Tetamu Rindu

Friday 29 August 2014

Pewaris Takhta Cinta ( Bab 1 )



TAN Sri Syed Umar terjaga daripada tidur singkatnya. Dia meraup muka berkali- kali. Kenangan semalam kembali bertamu di fikirannya. Kenapa agaknya? Adakah ini satu petunjuk? Tan Sri Syed Umar tertanya- tanya. Tidurnya sering dihantui dengan janji- janji yang terlafaz bersama dengan Soleha, wanita pertama dan terakhir yang dicintai.
Namun, perkara itu sudah bertahun berlalu mungkin Soleha sudah berumahtangga dan mempunyai ramai anak. Sejak mereka bertemu buat kali terakhir di Pantai Selamat 30 tahun yang lalu, Tan Sri Syed Umar tidak pernah lagi mendengar berita tentang Solehah.
Hatinya begitu merindui Solehah walaupun sekarang dia sudah mempunyai isteri dan anak. Rindu kepada kekasih lama mengatasi rasa cinta pada isterinya Sharifah Mastura, wanita pilihan mamanya.
Lamunan Tan Sri Syed Umar terganggu dengan bunyi ketukan di muka pintu. Serentak kepalanya tegak semula.
“Masuk!” Arah Tan Sri Syed Umar.
Kelihatan pintu terkuak dan muncul seorang lelaki berbadan sasa menuju ke arah Tan Sri Syed Umar yang sedang duduk di kerusi empuknya.
“Jemput duduk, Muzamil.” Pelawa Tan Sri Syed Umar bersama senyuman.
Muzamil hanya tersenyum dan melabuhkan duduknya di hadapan Tan Sri Syed Umar. Wajah ayah angkat kesayangannya dipandang. Ada garis sendu di wajah itu. Kenapa agaknya?
“Kenapa ayah panggil Amil ni?” Tanya Muzamil lembut.
“Ayah ingat nak Amil buatkan wasiat untuk ayah. Ayah takut tak sempat nanti.”
“Apa yang ayah cakap ni? Ayahkan masih sihat. Masih handsome lagi.” Gurau Muzamil.
Tan Sri Syed Umar tergelak kecil mendengar kata- kata anak angkatnya itu. Muzamil adalah anak kepada pemandunya yang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya lima tahun yang lalu. Emak Muzamil pula telah meninggal dunia sewaktu melahirkan Muzamil ke dunia. Oleh itu Tan Sri Syed Umar mengambil keputusan untuk mengambil Muzamil sebagai anak angkatnya.
“Kalau Allah nak ambil, Dia tak kira sama ada sihat atau tidak, Mil. Lagipun ayah memang bercadang nak buat wasiat supaya nanti tak ada yang berebutkan harta ayah.” Ujar Tan Sri Syed Umar.
Dia tersenyum hambar kerana tiada siapa tahu dia mengidap penyakit jantung sejak beberapa tahun yang lalu. Hal itu disembunyikan daripada anaknya mahupun isterinya. Penyakit yang telah merebak itu membuatkan nyawa Tan Sri Syed Umar bagaikan di hujung tanduk kerana bila- bila masa sahaja dia akan kembali menemui Sang Pencipta.
Muzamil terdiam. Kalau itu yang ayahnya mahukan takkan dia ingin menghalang. Memandangkan dia adalah peguam keluarga Tan Sri Syed Umar maka sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mengikuti arahan Tan Sri Syed Umar. Tetapi ada sesuatu yang masih membelenggu fikiran Muzamil.
“Tapi dulu ayah ada bagitahu selagi ayah tak jumpa dengan bekas kekasih ayah tu, ayah takkan buat wasiat. Macam mana ayah dah jumpa dengan dia ke?” Soal Muzamil cuba merungkai persoalan yang bermain di benaknya selama ini.
Tan Sri Syed Umar mengeluh. Itu yang sering menganggu fikirannya saat ini. Entah mengapa wajah Soleha kerap bermain di fikirannya sekarang ini.
“Belum lagi. Ayah tak tahu nak cari dia dekat mana. Ayah dah pernah pergi dekat kampung lama tapi ramai yang cakap dia dah berpindah ikut suami barunya. Sekarang ini ayah buntu nak cari dia dekat mana.” Luah Tan Sri Syed Umar.
Hanya Muzamil yang tahu tentang kisah Soleha dan janji yang pernah dia buat dengan Soleha dahulu kerana hanya Muzamil yang memahami isi hatinya yang begitu rindukan Soleha.
“Ayah tak cuba tanya orang kampung ke mana tahu mereka tahu Mak Cik Soleha itu ada dekat mana.”
“Ayah dah tanya dah mereka cakap Mak Cik Soleha berpindah ke Kuantan tetapi Kuantan tu besar. Mana ayah nak cari dia, Mil.” Keluh Tan Sri Syed Umar.
Muzamil terdiam sejenak.
“Ayah jangan risau. Mil aku tolong ayah cari Mak Cik Soleha. Mil nak jugak tengok wanita yang mampu buat ayah Mil jadi begini. Mama Mastura tahu tentang hal ini ayah?” Tanya Muzamil.
Tan Sri Syed Umar mengelengkan kepala.
“Dia tak tahu dan ayah nak Mil rahsiakan hal ini dari pengetahuan Mama Mastura.” Pinta Tan Sri Syed Umar. Muzamil mengangguk.
Bagi Muzamil Tan Sri Syed Umar adalah seorang lelaki yang berjiwa kental. Walaupun dia telah menjadi seorang lelaki yang berjaya tetapi tiada siapa tahu gejolak hatinya di dalam. Pada Muzamil tempat Tan Sri Syed Umar meluahkan perasaannya yang tidak dapat diceritakan pada isterinya.
Oleh itu, Muzamil merasakan sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mencari Soleha untuk Tan Sri Syed Umar. Walaupun tidak dapat bersatu dalam sebuah ikatan, cukuplah mereka bertemu untuk menyambung janji lama yang telah terpatri.

PUAN Sri Sharifah Mastura tersenyum pada suaminya saat dia melangkah masuk ke dalam kamar mereka. Puan Sri Sharifah Mastura tahu dia telah melakukan kesalahan kerana pulang lewat ke rumah. Pasti dia marah lagi. Desis hati Puan Sri Sharifah Mastura.
“You ke mana malam- malam buta baru balik?” Tanya Tan Sri Syed Umar tegas. Buku Tafsir al- Quran diletakkan di atas meja sisi. Figura isterinya yang baharu melangkah masuk ke dalam bilik direnung tajam.
“I baru balik dari rumah Lily, hari ini dia sambut birthday anak dia. Tak salah kalau I pergi untuk meraikannya.” Jawab Puan Sri Sharifah Mastura tergagap- gagap.
Tan Sri Syed Umar bengang. Pergi ke parti apanya kalau tiap- tiap hari balik lewat. Kadang- kadang Tan Sri Syed Umar merasa menyesal kerana sanggup menerima Puan Sri Sharifah Mastura menjadi isterinya. Wanita itu tidak pernah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri yang solehah. Sering sahaja perintah dan teguran Tan Sri Syed Umar dibantah. Namun, masa tidak dapat diundurkan kembali. Segalanya telah tersurat di atas sana dan Tan Sri Syed Umar menerima dengan redha.
“Tiap- tiap hari you cakap benda sama. Pergi parti, pergi dinner dengan kawan , pergi spa. Takkan semuanya sampai lewat malam. You sedar tak yang you tu isteri I. Takkan I nak tunggu you balik rumah tiap- tiap hari. Cuba bertanggungjawab sikit, Mas!” Tan Sri Syed Umar mula melenting. Dia bangkit daripada duduknya dan menghampiri isterinya.
Puan Sri Sharifah Mastura merengus. Dia bosan dengan sikap suaminya yang suka mengongkong. Dia ingin bebas seperti anak muda lain. Dia ingin menikmati dunia ini sebelum dia menghembuskan nafas terakhir. Bukankah dunia ini diciptakan untuk berseronok?
“I bosanlah duduk terperap je dekat rumah. Bila you pergi kerja I tinggal sorang dengan Mak Milah tu. Anak kita bukannya ada dekat sini. Kalau dia ada boleh I hilangkan bosan I.” Balas Puan Sri Sharifah Mastura.
Dengan selamba Puan Sri Sharifah Mastura duduk di bangku meja solek. Dia menanggalkan segala barang kemas yang tersangkut di leher dan telinganya. Lama dia memerhatikan wajahnya di cermin. Masih cantik walaupun usianya sudah melebihi 40 tahun.
“You jangan nak bagi alasan lapuklah Mas. Kalau anak kita ada dekat rumah ni pun, you tetap balik lewat. Apa dah jadi dengan you Mas. Hormat sikit I ni sebagai suami you. Ini tak semua cakap I you nak bantah. Tengok cara you berpakaian, bersolek. You buat semua ini untuk siapa Mas? Cuba bagitahu I?” Soal Tan Sri Syed Umar lagi.
Wajahnya kelihatan tegang. Dia benar- benar putus harapan untuk mengubah isterinya menjadi wanita yang solehah. Pendampingnya di syurga kelak. Puan Sri Sharifah Mastura sukar untuk dinasihati malah kata- kata Tan Sri Syed Umar disangkal keras. Bukan Tan Sri Syed Umar tidak bertegas, tetapi hati wanita itu terlalu keras untuk menerima hidyah Yang Maha Kuasa.
“I buat ini semua untuk you. You tak bangga ke kalau kawan- kawan you puji you ada isteri yang cantik macam I ni. Walaupun I dah berusia tapi kecantikan I tetap kekal tau. Nanti you jugak yang dapat nama.” Jawab Puan Sri Sharifah Mastura mendabik dada dengan kecantikkan yang dianugerahkan kepadanya.
“I tak perlukan kecantikan, Mas. I hanya perlukan seorang isteri yang solehah yang dapat menjadi pendamping I di syurga nanti. Kecantikan akan hilang bila jasad dan di mamah bumi nanti tapi amal dan pahala tidak akan luput walaupun bumi ini terpecah sekali pun. I harap sangat pada you Mas, berubahlah. Kita makin tua, anak kita dah besar panjang you tak malu ke pada dia?”ujar Tan Sri Syed Umar terkilan. Nada suaranya mendatar.
Memang Tan Sri Syed Umar mengakui yang isterinya seorang wanita yang cantik dan hebat malahan kecantikannya tidak dimamah usia. Tetapi bukan itu yang Tan Sri Syed Umar mahukan. Dia mahu Puan Sri Sharifah Mastura menjadi wanita yang muslimah menjalankan kewajipan sebagai seorang isteri dan hamba Allah dengan sempurna.
Puan Sri Sharifah Mastura mendengus benci. Nak ceramah akulah tu. Bosan betul! Jerit hati Puan Sri Sharifah Mastura. Lantas dia menghempas sikat yang ke atas meja solek. Tuala yang tersidai di capai dan tanpa mempedulikan suaminya, Puan Sri Sharifah Mastura berlalu ke bilik air dengan wajah yang bengang.
Tan Sri Syed Umar mengeluh hampa. Reaksi yang sudah dijangkakan daripada Puan Sri Sharifah Mastura bila dia membangkitkan isu yang sama. Tan Sri Syed Umar meraup wajahnya berkali- kali.
‘Ya Allah, bantulah aku dalam menghadapi ujian yang kau kirimkan melalui wanita yang kau berikan kepadaku. Mudah- mudahan aku dapat memperoleh hikmah daripada ujian ini.’ Desis hati Tan Sri Syed Umar.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.