Tetamu Rindu

Wednesday 8 May 2013

Jika Benar Kau Cinta ( Bab 7 )


HAMNA mempercepatkan langkahnya. Sesekali dia menoleh ke belakang apabila terasa seperti diekori oleh dua orang lelaki yang memakai pakaian serba hitam dan bertopi. Siapa agaknya mereka tu? Mereka nak apa dengan aku? Nak cakap penarik kereta, kereta pun aku tak beli. Siapa agaknya? Hati Hamna tertanya- tanya.
Sebaik saja dia pulang dari pasaraya yang berhampiran dengan rumahnya, dia terasa seperti diekori, apa yang pelik apabila ditoleh ke belakang, dua lelaki tadi pura- pura bercakap sesama sendiri. Itu yang menambahkan gusar di hati Hamna memandangkan dia hanya berjalan kaki seorang diri. Maklumlah, motor kesayangannya masih berada di bengkel.
Sewaktu Hamna melalui lorong untuk ke rumahnya tiba- tiba lelaki tersebut muncul di hadapan. Hamna memandang wajah mereka berdua yang ditutupi dengan sapu tangan dari bahagian hidung hingga ke mulut. Hanya mata mereka saja yang kelihatan. Hamna menggigil.
“ Kau nak apa?” soal Hamna berani namun suaranya sedikit bergetar.
“ Nak kau!” jawab lelaki itu dengan suara yang cukup garau.
Dahi Hamna berpeluh. Jantungnya berlari kencang apabila salah seorang lelaki tersebut mengeluarkan pisau.
“ Serahkan semua barang berharga yang ada pada kau!” arah lelaki itu. Matanya tajam menatap wajah Hamna.
“ Saa…ya..tak ada barang berharga..Duit pun tak ada…” balas Hamna terketar- ketar. Dia menelan air liur berkali- kali saat melihat pisau yang berada di tangan lelaki itu. Mak aii, berkilatnya pisau dia.
“ Aku cakap keluarkan cepat!” jerit lelaki itu lagi.
Dengan badan yang menggigil, Hamna mengeluarkan semua duit yang berada di dalam dompetnya lalu menyerahkan kepada perompak tersebut. Sayu hatinya saat melihat duit 50 ringgit melayang ke tangan perompak itu.
“ Takkan banyak ni je ada?!” tengking lelaki itu lagi.
“ Ini je yang ada.” Balas Hamna takut- takut berani.
“ Nampaknya, kau kena bagi ‘barang berharga’ yang lain. Aku dah lama mengidam anak dara ni!” sampuk lelaki yang sorang lagi.
Hamna makin cuak. Dia tahu apa yang lelaki itu maksudkan, lantas dia mengambil langkah ke belakang sebelum cuba untuk melarikan diri. Namun, kedua lelaki tersebut bertindak ganas. Kedua lengan Hamna dicengkam kuat sebelum tubuh Hamna yang berisi ditarik dengan kasar.
Hamna menjerit namun tak semena-mena, pipinya ditampar sehinggakan Hamna terdiam. Dia menangis dan meronta.
“ Lepaskan akulah!” jerit Hamna sambil meronta- ronta. Barang yang dibeli tadi sudah terlepas entah ke mana. Sekarang dia diheret hingga sampai ke sebuah kereta yang tersadai tidak jauh dari lorong tadi.
“ Diamlah!” jerit lelaki itu sambila menarik kuat lengan Hamna dan cuba menolak Hamna masuk ke tempat duduk belakang.
“ Kenduri kita hari ni!” balas lelaki seorang lagi dengan ketawa yang cukup menakutkan Hamna.
Hamna tidak menyerah kalah. Dia cuba melawan dengan menyepak peha kedua lelaki tersebut namun lelaki tersebut bertindak dengan lebih ganas. Kedua lengan Hamna dicengkam.
“ Tolong!Tolong!” jerit Hamna sekuat hati.
Buk!
Bunyi sepakan kedengaran menyebabkan cengkaman tangan dua lelaki tadi terlerai. Dalam pandangan yang berpinar- pinar, Hamna dapat melihat seorang lelaki bergelut dengan kedua penjahat tadi. Berlaku adengan tumbuk menumbuk antara mereka bertiga. Hamna tidak nampak jelas muka lelaki yang datang menyelamatkannya kerana cermin mata yang dipakai hilang entah ke mana.
Cuma dia dapat melihat bentuk fizikal lelaki itu yang tinggi saja. Hanya dalam masa beberapa minit, lelaki misteri itu dapat menewaskan kedua penjahat terbabit. Hamna mengerutkan kening cuba mengamati lelaki yang menyelamatkannya tetapi pandangannya berbalam- balam. Dia cuba memanggil lelaki itu tetapi dengan pantas, lelaki itu hilang daripada pandangan apabila sebuah kereta Myvi berhenti berdekatan dengan Hamna.
“ Ya Allah, Na kenapa dengan kau?” satu suara menyapa dengan nada cemas.
“ Aku..aku..takut…” hanya itu yang terluah daripada mulut Hamna. Dia memandang wajah lelaki yang berada dekat dengannya. Dia kenal suara itu. Elyas!
Elyas berlalu ke kereta sebelum datang dengan membawa jaket lalu diselimutkan pada badan Hamna. Walaupun tiada kecederaan tapi dia tahu Hamna pasti trauma dengan apa yang berlaku. Matanya beralih pada kedua lelaki yang sudah terlentang di atas jalan. Keduanya pengsan. Bagaimana kedua lelaki ini boleh pengsan? Hati Elyas tertanya- tanya.
“ Kau ke yang pukul lelaki- lelaki ni, Na?” soal Elyas sambil mengeluarkan telefon bimbitnya. Nombor telefon polis didail.
“ Tak. Bukan aku. Ada sorang lelaki yang datang selamatkan aku tapi aku tak nampak muka dia. Bila kau sampai, dia blah macam tu je,” terang Hamna dengan tangisan yang mula berlagu.
Elyas risau. Dia duduk mencangkung mengadap Hamna yang sedang ketakutan. Dia boleh lihat dengan jelas, tubuh gadis itu menggigil.
“ Kau sabar ye. Polis sudah dalam perjalanan, kau jangan risau. Kau selamat. Aku ada dengan kau,” pujuk Elyas. Dia merenung wajah Hamna yang tidak berkaca mata. Tak sangka kau cantik rupanya, Hamna. Sempat lagi hatinya berbisik.
“ Terima kasih, Elyas sebab selamatkan aku. Kau jangan ceritakan pada sesiapa pun apa yang berlaku. Aku malu!”  ujar Hamna tersedu- sedan.
Apa yang terjadi hari ini memang tidak dapat dijangkau oleh akalnya. Dia hampir saja dirogol! Hamna sendiri tidak percaya, apa yang dilihat dan dibaca di dalam surat khabar ternyata berlaku pada dirinya.
“ Baiklah. Kau jangan risau, tak ada siapa pun yang akan tahu. Tapi aku pelik macam mana jantan dua ekor ni boleh ikut kau sampai ke sini? Entah- entah ada orang yang upah,” Elyas mula membuat spekulasi.
“ Maksud kau?” soal Hamna sambil menyeka air matanya.
Elyas tidak menjawab. Dia dapat rasakan sesuatu yang tidak kena apa yang berlaku pada Hamna saat ini. Ini tentu ada kaitan dengan Isyraq. Mungkin ini sebahagian daripada dendam lelaki itu pada Hamna. Tapi takkanlah Isyraq sanggup mengupah orang melakukan perbuatan terkutuk begini? Elyas mula diserang pelbagai tanda tanya.
“ Elyas!” panggil Hamna sedikit kuat menyentakkan lamunan Elyas. Lelaki itu berpaling.
“ Tak ada apa- apa. Lupakan apa yang aku cakapkan pada kau tadi. Itu polis dah datang. Alhamdulilllah, Na kau selamat. Biar jantan tak guna ni meringkuk dalam penjara!” ujar Elyas geram sambil menyepak tubuh lelaki itu yang kaku.
Hamna diam. Namun, secara tidak sengaja matanya terpandang satu gelang silver yang terdampar tidak jauh daripadanya. Hamna bangun lalu mencapai gelang tangan tersebut. Dia menilik gelang tangan tersebut untuk mencari petanda tetapi tiada ukiran pun yang dapat memberi petunjuk siapa pemiliknya. Mungkin gelang ini milik lelaki misteri yang selamatkan aku tadi. Kalau ikutkan, takkan penjahat ni punya. Nampak daripada gayanya, gelang ini terputus sedangkan kedua penjahat masih memakai gelang tangan. Memang tak syak lagi, ini milik hero aku! Desis hati Hamna.
Sewaktu Elyas menghampiri, dengan pantas Hamna menyembunyikan gelang tersebut ke dalam poket seluarnya. Selepas bersoal jawab dengan pihak polis, Hamna mengikut Elyas ke balai polis untuk membuat laporan, manakala kedua lelaki tersebut telah diberkas.
Hamna menarik nafas dalam. Syukur pada-Mu Ya Allah, kerana telah meyelamatkan aku.

ELYAS mencengkam kolar baju milik Isyraq yang tengah rancak bersembang dengan Zaim dan Redza. Isyraq tersentak. Dia memandang wajah Elyas yang kelihatan garang.
“ Woi, apa dah jadi ni, bro?!” soal Zaim sambil cuba memengang bahu Elyas.
Elyas menepis. Dia perlu membuat perhitungan dengan Isyraq kali ini. Lelaki itu sudah melampau.
“ ‘Aku tak sangka perangai kau sekeji macam ni, Is. Sanggup kau permainkan maruah orang untuk puaskan dendam kau!” sembur Elyas tiba- tiba.
Zaim dan Redza berpandangan. Manakala Isyraq menepis tangan Elyas dengan kasar. Pandangan Elyas yang tajam langsung tidak memberi kesan padanya. Dia tersenyum sinis.
“ Apa yang kau mengarut, Elyas? Maruah siapa yang aku mainkan?” soal Isyraq selamba.
“ Kau tanya aku? Aku rasa kau lebih tahu apa yang terjadi pada musuh kau tu,kan? Kalau pun kau berdendam dengan dia, jangan sampai kau upah orang untuk rosakkan dia. Itu pengecut namanya!” balas Elyas kasar. Dia mendengus.
Isyraq terpempan buat seketika. Musuh aku? Siapa erk? Soal hatinya.
“ Cuba kau cerita pada kita orang ni, Elyas. Tak payahlah sampai nak bergaduh macam ni. Bila pula Is upah orang untuk rosakkan musuh dia? Siapa musuh Is yang tinggal?”
Bertalu- talu soalan keluar daripada mlut Zaim. Dia mengetuk dagu cuba memikirkan sesuatu. Tiba- tiba dia teringatkan seseorang. Dia berpandangan dengan Redza yang kelihatan turut memikir.
“ Takkan Hamna?!” ucap Zaim dan Redza serentak. Bulat matanya memandang wajah Elyas yang masih berdiri cegat di hadapannya.
“ Tuduhan kau tak berasas, Elyas. Buat apa aku upah orang untuk rosakkan dia. Lebih baik aku suruh Zaim dengan Redza ni,” seloroh Isyraq dengan ketawa yang kuat.
Elyas geram. Rasa mahu ditumbuk muka Isyraq yang sombong Cuma dia masih ada iman. Dia tidak suka bertindak mengikut perasaan, tetapi apa yang berlaku sekarang ini cukup membuatkan Elyas kurang sabar. Hampir separuh hari dia menemani Hamna di balai tetapi soal siasat terhadap dua penjahat itu masih belum dapat keputusan.
Betapa sayu hatinya saat melihat Hamna yang teresak- esak menangis. Gadis itu masih lagi trauma dengan apa yang terjadi mujur ada Fika yang datang memujuk. Barulah gadis itu kembali tenang. Memang Hamna meminta agar apa yang berlaku dirahsiakan, tetapi apabila Elyas terkenangkan apa yang terjadi kepada Hamna ada sangkut-paut dengan Isyraq, dia tidak boleh bersabar.
“ Sukalah kau dapat buat dia macam tu? Kau tahu tak apa yang terjadi pada dia? Hampir saja dia kehilangan maruah dia disebabkan sikap busuk hati kau! Aku tahu kau kaya, kau ada duit tapi tak perlulah guna duit tu untuk benda yang terkutuk!” Marah Elyas dengan suara yang tertahan- tahan.
Telinga Isyraq panas. Dengan pantas dia berdiri. Dia tidak peduli di mana mereka berada sekarang. Beberapa pasang mata di pusat futsal itu memandang pada mereka berempat, namun tidak dipedulikan oleh Isyraq. Ini dah lebih ni. Aku tak buat, dia cakap aku buat. Panas betul hati aku!
“ Kau kalau nak mengata, kalau nak menuduh tengok kiri kananlah, bro. Kau ingat aku buruk lantak sangat ke sampai sanggup buat benda yang tak berfaedah tu. Kalau aku benci dia sekali pun dan aku nak balas dendam aku, itu hal aku. Bukan hal kau. Jadi tak payah nak tunjuk hero depan aku. Aku hormat kau sebab kau kawan aku tapi jangan sampai hormat aku pada kau hilang, Elyas. Buruk padahnya nanti!” balas Isyraq geram.
Zaim dan Redza turut berdiri. Mereka berdua risau melihat keadaan kedua temannya yang tegang.
Elyas tersenyum sinis. Dia berdiri sambil berpeluk tubuh. Wajah Isyraq yang sudah kemerahan dipandang. Dahinya berkerut apabila melihat dahi lelaki itu berplaster. Jatuhlah tu. bisik hati Elyas.
“Sudahlah korang berdua jangan bergaduh sebab budak buruk tu. Tak ada hasil pun untuk kita. Kau ni Elyas, apa yang jadi sebenarnya sampai kau tuduh Is yang bukan- bukan. Aku tak faham, boleh kau terangkan? Janganlah nak bising- bising macam ni. Buat malu dekat orang je,” bebel Zaim sambil menepuk bahu Elyas.
“ Tak perlu aku terangkan, sendiri mahu ingatlah!” balas Elyas masih enggan bercerita perkara yang sebenar.
Dia sendiri pelik kenapa Isyraq langsung tidak menggesa dia untuk bercerita apa yang berlaku pada Hamna malah lelaki itu kelihatan tenang tanpa riak terkejut. Berlainan dengan Zaim dan Redza, mereka berdua asyik bertanyakan soalan yang sama. Apa yang berlaku? Ini yang aku musykil ni. Takkanlah apa yang aku syak ini betul belaka? Takkan Is sanggup upah orang untuk buat perbuatan tak senonoh itu pada Hamna. Takkan Is sekejam itu?
“ Tapi satu saja aku nak cakap pada kau, Is. Dia perempuan biasa, dia juga ada maruah diri. Kalau terbukti apa yang kau lakukan pada dia ni betul, aku malu nak mengaku yang kau ni kawan aku. Aku ingat benci kau pada dia hanya suka- suka tetapi ternyata benci kau terselit dendam. Kau harus tahu Is, dia cukup tertekan saat ini, dia trauma tapi kau pasti akan gembira kan sebab kau dah berjaya buat musuh kau takut…”’ balas Elyas mendatar. Dia merenung wajah Isyraq yang kelihatan bersahaja.
Isyraq menayang muka selamba. Katalah apa yang kau nak kata sebab kau tak tahu kebenarannya. Benci aku bukan untuk menghancurkan dia tapi benci aku sekadar di bibir. Desis hati Isyraq.
“ Aku nak ingatkan kau, Elyas yang aku tak buat apa- apa pun pada kekasih hati pengarang jantung kau tu. Kau tak payah risau, aku masih waras. Kalau pun kebenaran terbongkar, kau jangan risau, aku tetap anggap kau kawan aku. Tapi aku nak nasihatkan kau, carilah perempuan lain yang lebih sepadan dengan kau, dia bukan untuk kau…” Ucap Isyraq selamba.
Dia kembali duduk dan meneguk air 100 Plus yang masih bersisa. Wajah Elyas tidak dipandang.
Zaim dan Redza hanya menjadi pemerhati pertelingkahan yang berlaku tanpa memahami apa yang mereka berdua bincangkan. Akhirnya, Zaim dan Redza menggarukan kepala yang tidak gatal.

1 comment:

Note: only a member of this blog may post a comment.