“Penatnya!” Keluh Aisya sambil memejamkan
mata. Dia menyeka peluh yang mula membasahi wajahnya.
Qartal melepaskan nafas dengan kuat.
“Ni baru sekor binatang yang kejar kita.
Nanti ke depan entah apa pulak yang menanti.” Ucap Qartal. Dia terduduk di atas
tanah bagi melepaskan lelah.
“Tapi macam mana kau tahu kalau jumpa
dengan khinzir, kena lari macam tu?” Soal Aisy sambil merenung wajah Qartal
dengan penuh tanda tanya.
Qartal terdiam. Anak matanya melilau
memandang ke tempat lain.
“Errr…aku lari aje.” Jawab Qartal dengan
suara yang tersekat-sekat.
Aisy mencebikkan bibir. Dia tidak
percaya. Mustahil Qartal hanya ikut langkah kaki sahaja sedangkan terang-terang
lelaki itu sengaja berlari secara bengkang-bengkok seperti yang diajarkan oleh
Tok Awang ketika di kampung dahulu.
“Apa yang kau buat tu sama macam atok aku
ajar. Kalau kena kejar dengan khinzir, kita kena lari bengkang-bengkok. Aku pun
tak tahu apa rasionalnya tapi alhamdulillah petua tu menjadi.” Ujar Aisy turut
duduk di atas tanah berhadapan dengan Qartal.
Qartal tersenyum kelat. Dia merenung
wajah Aisy tetapi sebaik saja gadis itu berpaling, sepantas kilat Qartal
mengalihkan pandangan ke tempat lain.
“Dahlah, jom kita gerak. Aku tak nak
binatang tu datang semula bawak geng pulak.” Ujar Qartal lantas bingkas bangun
sebelum diikuti oleh Aisy.
Aisy mengibas-ngibas pasir yang melekat
di belakangnya. Dia hanya menurut arahan Qartal. Namun tidak sampai beberapa
tapak dia melangkah, Qartal mendepangkan tangan menghalang laluannya. Dahi Aisy
berkerut. Dia memandang wajah Qartal dengan pelik.
“Kenapa?” Soalnya pendek.
Qartal tidak menjawab sebaliknya
kepalanya berpusing memandang sekeliling. Telinganya tidak menangkap sebarang
bunyi yang lazimnya kedengaran dalam hutan rimba ini.
“Kau perasan tak, tak ada satu pun bunyi
binatang sekarang ni. Selalunya suara monyet atau burung mesti kedengaran.”
Ujar Qartal membuat kesimpulan.
“Apa nak pelik, tentu binatang-binatang
lain lari bila dengar suara khinzir tu tadi.” Balas Aisy sambil lewa. Dia ingin
meneruskan perjalanan tapi ada tangan Qartal yang menghalang.
Qartal mengamati kawasan sekitar dengan
teliti. Benar, tiada satu bunyi binatang pun kedengaran waima bunyi burung.
Lazimnya, unggas, burung dan monyet akan saling bersahut-sahutan. Tapi kali ini
tidak. Hati Qartal terasa sesuatu.
“Biasanya kalau hutan sunyi-sepi macam ni
pasti ada ‘benda’ yang sedang menghendap!” Balas Qartal. Suaranya bertukar
perlahan. Anak matanya tidak duduk diam memerhatikan keadaan sekitar yang
kelihatan sepi.
Jantung Aisy berdengup apabila mendengar
kata-kata Qartal. Saat ini baru dia terasa sesuatu yang janggal. Anak matanya
juga terus mengawasi kawasan sekitar sebelum bola matanya tertancap pada
tumbuhan renek yang kelihatan bergoncang seperti sedang digoyang oleh sesuatu.
“Qartal, kat sana!” Ucap Aisy lantas
menuding jari ke arah semak yang sedang bergoyang.
Qartal mengalih pandang. Dia menelan air
liur bersama peluh jantan yang mula menitis di dahi. Dia yakin lawannya
sekarang ini bukan calang-calang. Lalu, pistol jenis revolver ditarik daripada
poket seluarnya.
“Walau apa pun yang berlaku, aku nak kau
ikut cakap aku. Faham?” Soal Qartal tanpa memandang wajah Aisy yang berada di belakangnya.
Aisy mengangguk laju. Mereka menanti
penuh debaran. Namun, secara tiba-tiba semak yang bergoyang itu terhenti dengan
sendiri. Aisy dan Qartal berpandangan.
“Mungkin binatang tu dah lari.” Ucap Aisy
membuat andaiannya sendiri.
Qartal menarik nafas lega. Mungkin betul
andaian Aisy. Binatang yang sedang menghendap mereka berdua sudah berlalu.
Tetapi telinga Qartal menangkap bunyi yang kurang menyenangkan. Bunyi ranting
dipijak semakin menambah debar dalam hati Qartal. Lalu, dia mendongak.
Baik Qartal mahu pun Aisy, masing-masing
tergamam di tempat mereka berdiri apabila berhadapan dengan situasi yang tidak
pernah diduga saat ini. Berhadapan dengan mereka saat ini seekor harimau belang
sedang merenung dengan mata yang cukup tajam!
Qartal cuak. Aisy menggigil ketakutan.
Inilah kali pertama dia bertentang mata dengan raja rimba. Sungguh, Aisy terasa
ingin pitam tetapi dia cekalkan diri. Tanpa sedar dia menarik baju Qartal dek
kerana ketakutan.
“Apa kita nak buat ni, Qartal?” Tanya
Aisy dengan suara yang cukup perlahan.
Mereka berdua tidak melakukan sebarang
pergerakan. Hanya anak mata yang mengawasi setiap langkah si belang.
“Diam!” Balas Qartal turut berbisik.
Aisy terus menutup mulut. Akur dengan
arahan Qartal. Kelihatan lelaki itu mengenggam kemas pistol di tangan sebelum
perlahan-lahan tangannya diangkat. Muncung pistol tersebut dihalakan tepat ke
dahi harimau tersebut.
Si belang mengaum menunjukkan taringnya
yang tajam tanda dirinya sedang diancam. Kedua mangsa yang berada di hadapan
mata ditatap dengan bengis.
Tangan Qartal menggeletar. Ngauman si
belang membuatkan dia kecut perut. Spontan, otaknya beku untuk memberi arahan.
“Kita lari, Qartal! Kita tak boleh buang
masa!” Aisy membuat keputusan.
“Tak boleh! Lagi bahaya!” Qartal
membantah.
Aisy mengetap bibir. Namun, dia yakin
hanya melarikan diri adalah jalan terbaik saat ini. Lalu, tanpa berfikir
panjang, Aisy melakukan pergerakan yang menyebabkan pandangan si belang teralih
pada Aisy. Aisy menoleh. Pandangannya bersabung dengan anak mata si belang yang
tajam.
“Kita lari sekarang!” Jerit Aisy sambil
menarik lengan Qartal dengan kuat.
Tubuh Qartal terdorong. Serentak, si
belang terus melakukan serangan. Keadaan menjadi kelam-kabut dalam sekelip
mata.
“Aisy!” Jerit Qartal kuat lalu menepis
tubuh Aisy dengan kuat sehingga gadis itu terhumban ke tanah.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.