“ADA apa tuan panggil saya?” Soal Marha sebaik saja
sampai di dalam bilik Amzar. Dia hanya memandang Amzar yang sedang mundar-mandir
tanpa baju tersarung di tubuhnya. Marha menundukkan pandangan. Segan apabila
terpaksa berhadapan dengan Amzar dalam situasi seperti sekarang.
“Aku nak pergi ofis. Ambilkan baju untuk aku.” Arah
Amzar dengan suara yang mendatar.
Marha mendongak. Berkerut dahinya sebaik saja
mendengar kata-kata Amzar.
“Nak pergi ofis? Tapi tangan tuan tak sembuh lagi.
Dato dan datin tak benarkan tuan masuk ofis sampai tangan tuan tu sembuh
sepenuhnya.” Bantah Marha. Dia cuba menentang pandangan Amzar, namun tidak
lama. Pandangannya ditundukkan kembali.
“Aku bosan duduk terperap dalam rumah ni, kau tahu
tak? Sekurang-kurangnya bila aku pergi ofis, ada juga kerja yang aku boleh
buat. Dah, kau jangan nak banyak songeh. Aku bos, suka hati akulah nak masuk
ofis ke tak nak. Kau tak payah nak menyibuk. Sekarang, ambilkan aku baju.” Arah
Amzar lagi tanpa mempedulikan bantahan Marha.
“Tapi tuan…”
“Tapi apa lagi ni? Jangan lawan cakap aku, boleh
tak?” bentak Amzar dengan wajah yang menyinga.
Marha tidak mempunyai pilihan lain. Sepantas kilat
dia menuju ke almari. Memilih baju yang sesuai untuk Amzar. Dia terlopong
seketika apabila melihat baju kemeja Amzar yang bergantungan. Terkebil-kebil
dia memandang deretan baju yang tersusun kemas. Kebanyakan baju kemeja Amzar
hanya berwarna hitam dan putih. Boleh dikira baju berwarna lain yang terdapat
dalam almari lelaki itu.
“Tak ada warna lain ke?” soal Marha sendirian.
Kemudian dia berpaling ke belakang.
Saat itu baru dia menyedari, bilik Amzar juga turut
dihiasi dengan warna hitam dan putih. Malah, katil dan cadar milik lelaki itu
juga hasil gabungan warna hitam dan putih. Minat betul mamat ni dengan warna
hitam dan putih. Mungkin jiwanya sederhana tetapi seorang yang teliti. Fikir
Marha.
“Yang kau termenung tenung muka kau ni kenapa?”
sergah Amzar tiba-tiba.
Marha tersentak. Dia tersengih.
“Maaf. Tapi tuan tak ada baju warna lain ke selain
hitam putih ni?” soal Marha akhirnya.
“Tak payah nak rumitkan kepala otak fikir warna
lain. Ambil ajelah salah satu baju dekat situ. Itu pun susah ke?” rungut Amzar.
Marha akur. Dia mencapai baju kemeja berwarna putih
dan dipadankan dengan tie berwarna kelabu. Dia menghulurkan baju kemeja
tersebut kepada Amzar.
Amzar mengeluh. Dia mencekak pinggang.
“Kau nampak kan tangan aku ni sakit lagi. Takkan aku
nak suruh banyak kali.” Dengus Amzar. Sedikit geram dengan sikap Marha kali
ini.
“Saya nak kena pakaikan baju untuk tuan lagi?” soal
Marha tergagap-gagap. Hatinya kembali bergetar.
“Kau ada nampak orang lain ke?” soalan dibalas
soalan oleh Amzar. Sebelah keningnya dijongketkan.
Marha tiada pilihan. Perlahan-lahan dia menapak
menghampiri Amzar. Dia berdiri setentang dengan lelaki itu. Walaupun rasa segan
masih lagi menebal, namun Marha cuba berlagak selamba.
“Aku nak pakai baju alas tu dulu…” arah Amzar sambil
memuncungkan bibirnya ke arah baju kemeja T berwarna putih yang tersadai di
atas tilam.
Marha menurut. Dia mencapai baju tersebut lalu
disarungkan ke badan Amzar. Dengan berhati-hati dia memegang tangan Amzar dan
menyarungkan ke lengan baju. Dia melakukan dengan penuh teliti. Setelah Amzar
siap memakai baju alas, Marha kembali mencapai baju kemeja yang telah dipilih
sebentar tadi.
Amzar hanya memerhatikan setiap tindak-tanduk Marha.
Ternyata Marha memang berhati-hati sewaktu menyarungkan lengannya ke baju.
Setiap kali dia mengaduh kesakitan pasti wajah gadis itu berubah riak
kerisauan. Amzar mencebik.
“Saya dah siapkan sarapan, tuan nak sarapan dulu
ke?” soal Marha seraya mendongak.
Dia kelu seketika apabila anak mata mereka bertemu.
Tangannya yang asyik bermain dengan tali leher, turut terhenti. Ada debaran
menyapa di hati. Begitu juga dengan Amzar tika ini. Tiba-tiba saja bibirnya
kelu untuk menjawab soalan Marha. Dia bagaikan terpesona dengan redup pandangan
itu.
“Tuan…” panggil Marha akhirnya.
Amzar tersentak. Pantas, dia mengalihkan pandangan
ke tempat lain. Dia hanya membiarkan Marha menghabiskan kerjanya.
“Lambat betullah kau ikat tie. Lembab!” ucap Amzar
cuba meredakan rasa debar yang bermain di dalam dadanya.
Marha mengetap bibir. Walaupun sedikit terasa dengan
kata-kata Amzar, namun dia cuba menguatkan diri. Tie yang berada dalam pegangan
terus dililit tanpa berkata apa-apa.
“Dah siap. Saya keluar dulu. Saya nak sediakan
sarapan. Kalau tuan sudi, turunlah. Kalau tak nak, terpulanglah pada tuan. Tuan
yang lapar bukan saya.” Jawab Marha cukup bersahaja.
Amzar membuntangkan matanya. Tanpa sempat dia
membalas, Marha terlebih dahulu meninggalkan ruang biliknya. Amzar merengus.
Ternyata hati gadis itu begitu kebal. Walau dihambur dengan kata-kata kasar,
tidak sekali pun Marha menitiskan air mata seolah-olah bicaranya itu tidak
langsung berbekas di hati gadis itu.
Tidak dapat tidak, akhirnya Amzar turun untuk
bersarapan. Dia hanya mendiamkan diri saat sampai di meja makan. Kelihatan
bihun goreng, telur goreng dan kopi sudah tersedia di atas meja.
Marha memandang sekilas ke arah Amzar yang sedang
menarik kerusi untuk melabuhkan punggung. Dia tersenyum kecil. Dia tidak
menyangka, akhirnya Amzar mengalah juga. Lantas, bihun goreng disendukkan ke
dalam pinggan Amzar berserta telur goreng. Dia turut melabuhkan punggung di
kerusi bersebelahan dengan Amzar. Sudu yang berisi bihun goreng tersebut,
diangkat lalu disuakan ke mulut Amzar.
Amzar terkejut. Dia menjauhkan wajahnya. Sudu dan
wajah Marha dipandang silih berganti dengan dahi yang berkerut. Tetapi gadis
itu hanya tersenyum manis.
“Tuan takkan makan guna tangan kiri kan? Jadi saya
suaplah. Nahhh…” ucap Marha sambil mengerdipkan matanya.
Amzar melepaskan nafasnya dengan perlahan. Entah
mengapa sikap gadis itu hari ini nampak comel di matanya, lantas tanpa berkata
apa-apa, dia membuka mulut membiarkan gadis itu menyuapnya. Sedar tak sedar,
habis sepinggan bihun ditelannya.
“Hari ni aku ada apa-apa mesyuarat ke?” soal Amzar
sambil mencicip kopi yang dibancuh oleh Marha.
Marha yang sedang mengemas pinggan kotor, terhenti
seketika. Dia cuba mengingati sesuatu.
“Dato minta semua mesyuarat dibatalkan seketika
sementara tuan tak sihat.” Jawab Marha sambil tangannya lincah mengelap meja.
“Tak payah batalkan. Aku boleh handle mesyuarat,
lagi pun kau yang catat minit mesyuarat, bukan aku. Aku tak nak tangguh kerja.
Banyak lagi kerja yang aku kena uruskan. Hari ni aku nak jumpa bahagian
F&B, nanti kau inform pada mereka.” Arah Amzar dengan wajah yang serius.
“Baik, tuan.” Akur Marha.
“Kenapa kau tak makan?” Soal Amzar apabila menyedari
Marha hanya menyuapnya tanpa menjamah sedikit pun bihun yang telah terhidang.
Marha berpaling dah tersengih.
“Tak sempat kalau saya nak makan. Nanti lambat pula
masuk ofis. Pinggan ni saya nak kena cuci dulu. Saya makan kat ofis ajelah.
Tuan tunggu kejap, ya.” Ucap Marha lalu berlalu ke dapur dengan membawa pinggan
dan cawan yang kotor.
Amzar kehilangan kata-kata. Dia suruh aku makan tapi
dia tak makan? Perempuan macam ni pun ada ke? Rungut hati Amzar. Dia mengangkat
bahu.
“TUAN tak kisah naik kereta saya ni?” Soal Marha
sewaktu membantu Amzar memakai stokin. Memandangkan Amzar kelihatan
terkial-kial untuk menyarung stokin, jadi Marha menghulurkan bantuan.
Amzar melepaskan nafasnya yang terasa berat. Ada
getaran halus saat Marha membantu dirinya menyarungkan stokin di kaki. Gadis
itu kelihatan polos saat memandang wajahnya.
“Apa bezanya kereta kau dengan kereta aku? Kereta
juga kan?” Soal Amzar akhirnya. Sekadar untuk menutup debaran di dada.
Marha tersenyum. Dia mencapai kasut milik Amzar lalu
disarungkan ke kaki suaminya itu.
“Memanglah sama. Tapi kereta saya tak sebesar kereta
tuan. Saya risau tuan tak selesa je naik kereta saya tu,” jawab Marha sambil
tumpuannya difokuskan pada kasut Amzar.
Amzar merenung Marha yang sedang ralit mengikat tali
kasutnya. Dia tersenyum kecil tanpa sedar. Namun, sebaik saja Marha mendongak,
sepantas kilat Amzar berpaling ke tempat lain.
“Pak Samad cuti, apa pilihan aku ada sekarang?
Kereta aku masih kat bengkel. Jadi tak payah semakkan kepala otak nak fikir
kereta tu selesa ke tak, janji aku sampai dekat ofis.” Jawab Amzar.
Marha tersenyum. Ternyata Amzar bukan lelaki yang
cerewet cuma sikapnya saja yang kasar.
“Kalau macam tu, jomlah.” Ajak Marha.
Dia berdiri lalu berjalan menuju ke kereta.
Briefcase milik Amzar turut dibawa bersama. Mereka melangkah masuk ke dalam kereta. Marha
membetulkan duduk di tempat duduk pemandu, buat seketika dia mengerling ke arah
Amzar yang duduk membeku di tempat duduk sebelah. Dia mula serba salah apabila
melihat Amzar hanya kaku tanpa memakai tali pinggang keledar. Lantas, Marha
mendekatkan tubuhnya untuk menarik tali pinggang yang berada di sebelah kiri
Amzar.
Pada waktu yang
sama, Amzar berpaling apabila menyedari tubuh Marha sedang menempel ke arahnya.
Namun, tindakan Amzar tersebut
menyebabkan hujung hidungnya bersentuhan dengan pipi Marha yang gebu.
Marha tersentak.
Amzar tergamam. Jantung masing-masing bergendang kuat. Seakan terkena renjatan
elektrik, Amzar terkaku dengan mata yang terkebil-kebil. Marha turut merasakan
perkara yang sama. Dia meneguk liur.
“Apa yang kau
buat ni?!” soal Amzar dengan suara yang meninggi. Sepantas kilat dia
memalingkan wajahnya ke tempat lain. Di hujung suaranya kedengaran sedikit bergetaran.
Marha
terkulat-kulat. Dia menelan air liur yang terasa berpasir. Semerta, wajahnya
berubah rona. Merah. Dia malu!
“Errr… Saya tak
bermaksud nak… Saya cuma nak tarik tali pinggang tuan tu.” Terang Marha dengan
tergagap-gagap. Dia terus membetulkan duduk dengan wajah ditundukkan. Bibirnya
dikertap menahan rasa malu.
Amzar berdeham
kecil. Dia turut terasa janggal ketika ini. Anak matanya diliarkan ke arah
tangannya yang masih berbalut.
“Cepatlah tarik
tali pinggang ni, nanti lambat pulak…” ujar Amzar akhirnya.
Marha melepaskan
nafas pendek. Dengan terketar-ketar dia mendekatkan badannya ke arah Amzar.
Tangannya dipanjangkan untuk mencapai tali pinggang yang tersangkut di sebelah
kiri Amzar. Dia memejamkan mata dengan dada berdebar kuat.
Amzar tersenyum
kecil. Geli hati dengan telatah Marha yang memejamkan mata. Jelas wajah gadis
itu pucat. Gementar mungkin. Sedangkan saat ini hatinya turut kacau bilau
apatah lagi kedudukan Marha yang dekat membuatkan hidungnya tercium haruman
yang dipakaikan oleh gadis itu. Amzar menggigit bibir. Tanpa sedar, ada getaran
halus yang mula bermain di jiwa.
“Kalau kau pejam
mata, macam mana nak nampak tali pinggang tu?” soal Amzar tiba-tiba.
“Hah?” serentak
mata Marha terus terbuka luas. Terkebil-kebil dia membalas pandangan Amzar.
Anak mata mereka bertentangan buat seketika.
“Maaf tuan, saya pakaikan sekarang…” balas Marha gelabah.
Pantas, dia
menarik tali pinggang tersebut dengan pantas tanpa memandang wajah Amzar.
Kemudian, dia terus membetulkan duduk dan memulakan pemanduan.
Amzar melepaskan
nafas lega lantas pandangan terus dihalakan ke luar tingkap. Rasa sunyi mula
mengambil alih suasana di antara mereka.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.