Tetamu Rindu

Sunday 28 April 2019

Bayang - PROLOG-

TUAN, tunggu dulu!” Jerit Inspektor Basri sambil berlari-lari anak bagi mengejar langkah Tuan Muhammad yang semakin menghampiri keretanya.
Tuan Muhammad menghentikan langkah. Dia berpaling. Sekilas dia memandang cucu lelakinya yang membisu. Tangan kanak-kanak yang berusia dua belas tahun itu, dipegang kemas sambil menunggu Inspektor Basri.
“Apa yang boleh saya bantu, inspektor?” Soal Tuan Muhammad sebaik saja Inspektor Basri berdiri di hadapannya.
Inspektor Basri melepaskan lelah. Nafas ditarik dan dihembuskan dengan perlahan.
“Kenapa tuan tutup kes ni?” Soal Inspektor Basri tanpa bertangguh.
Tuan Muhammad terdiam sejenak. Hanya senyuman nipis tersungging di bibirnya. Dia mengerling pada cucunya yang sedang terkebil-kebil memandang Inspektor Basri.
“Kesihatan cucu saya jauh lebih penting daripada kes ni,” jawab Tuan Muhammad ringkas.
Inspektor Basri mengetap bibir. Dia gelisah.
“Tapi siasatan untuk kes ni masih belum selesai. Saya yakin pihak polis akan dapat memberkas pembunuh itu secepat mungkin!” Tegas Inspektor Basri.
Tuan Muhammad menggelengkan kepala.
“Kalau pembunuh itu tertangkap, nyawa anak, menantu dan cucu saya akan kembali ke?” Soal Tuan Muhammad dingin.
Inspektor Basri tersentak. Dia terus terdiam.
“Ya, memang nyawa keluarga tuan takkan kembali tetapi sekurang-kurangnya apa yang terjadi kepada mereka mendapat pembelaan. Tuan kena fikir perasaan cucu tuan yang masih hidup ni. Tentu dia mahukan keadilan untuk keluarganya.” Pujuk Inspektor Basri lagi.
“Sebab saya fikirkan perasaan dia, saya buat keputusan ni. Apa yang saya lakukan sekarang demi kebaikan dia akan datang. Mungkin bagi inspektor keputusan yang saya buat adalah keputusan yang salah tapi bagi saya ini adalah sebaik-baik keputusan untuk cucu saya. Saya yakin satu hari ni, siapa yang bertanggungjawab menyakiti keluarga saya, akan rasa sakit yang sama. Pembalasan Allah selalunya tepat dan tidak pernah terlambat.” Ucap Tuan Muhammad kemudian meminta diri.
Inspektor Basri kehilangan kata. Dia ingin memanggil nama Tuan Muhammad namun suaranya bagaikan tersekat di kerongkong. Dia resah kerana ini adalah kali pertama dia tidak dapat menyelesaikan tugasnya sebagai seorang anggota polis. Akhirnya, dia hanya menghantar Tuan Muhammad dengan pandangan bersama keluhan panjang. Dia gagal kali ini.
Sementara itu, Tuan Muhammad menundukkan kepala. Cuba melindungi rasa sebak yang menghurung dada sebaik saja dia terpandang wajah cucunya yang polos.
“Atuk terpaksa buat semua ni, cu. Masa depan kamu jauh lebih penting daripada rasa sakit yang atuk rasakan saat ini.” Ucap Tuan Muhammad perlahan. Dia mengusap kepala cucunya dengan penuh kasih sayang.
Sedaya upaya dia cuba melindungi rasa sebak yang dirasakan saat ini. Sebaik saja cucunya mengalih pandang ke arahnya, Tuan Muhammad tidak dapat menahan perasaan. Tubuh cucunya diraih ke dalam pelukan.
“Atuk akan lindungi kamu. Atuk takkan biarkan kamu terluka lagi. Atuk akan bawa kamu jauh dari sini. Jauh dari kenangan yang menyakitkan.”

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.