HAMNA menarik tangannya dengan kasar. Dia merengus
kerana Fika menganggu urusannya dengan mamat perasan bagus tu. Kalau tidak
gerenti lelaki itu sudah tewas di tangannya.
“ Kau ni Na ganas betul. Tak malu ke bergaduh depan
orang ramai?” tempelak Fika dengan geram.
“ Aku tak peduli. Dia ingat aku ni lembik sangat ke?
Kau tak nampak apa yang dia buat dan kutuk aku. Dahlah dia panggil aku Minah
Gendut, dia tunjal pulak kepala aku. Aku ni memang pantang orang tunjal- tunjal
kepala aku!” bentak Hamna marah.
Wajahnya tegang tapi hatinya puas kerana dapat
membelasah seteru nombor satu dalam hidupnya itu. Terasa kemenangan di
pihaknya. Tiba- tiba Hamna ketawa. Ketawanya bersambung- sambung.
Fika mengerutkan dahi. Dia pelik melihat Hamna yang
sudah ketawa. Tadi marah, sekarang ketawa pula. Apa dah jadi dengan kawan aku
ni? Teruk juga penangan Isyraq tu.
“ Yang kau ketawa macam tak ingat alam realiti ni
kenapa?” soal Fika pelik.
“ Mahu aku tak gelak. Suka benar hati aku tengok
muka mamat tu bila dia jatuh terlentang atas lantai tadi. Kalau ikutkan hati
aku yang sakit ni, nak je aku pijak- pijak perut dia biar muntah hijau!” Hamna
membayangkan saat dia memijak- mijak perut musuhnya itu. Wow, mesti best kan?
Hamna tergelak lagi.
Fika menggelengkan kepala. Apa- apa jelah Hamna
janji kau tanggunglah akibatnya.
“ Kau tahu tak Na, kau dah main dengan api….” Ujar
Fika tiba- tiba.
Langkah Hamna terhenti. Wajah Fika direnung dalam.
Kurang mengerti dengan apa yang dikatakan oleh Fika.
“ Bila masa pulak aku main api? Aku ni hisap rokok
pun tak. Nak kata bakar sampah, memang taklah. Pencemaran udara tu…” balas
Hamna lurus.
Fika menepuk dahi. Lain aku cakap, lain pula yang
kau balas Hamna. Tak sangka kau bendul juga. Bisik hati Fika.
“ Bukan itu maksud aku, Na. Kau tak kenal siapa
Isyraq tu. Semua orang tak berani cari pasal dengan dia tau, kau tak ingat ke
orang panggil dia apa?” soal Fika memandang wajah Hamna yang sudah kembali
tenang.
Hamna mengetuk dagunya. Cuba mengingati apa gelaran
yang biasa orang berikan pada mamat perasan bagus tu. Lama dia mengingat namun
dia tidak dapat ingat apa- apa. Tiada satu pun perkara tentang lelaki itu yang
melekat dalam kepalanya kecuali satu perkataan yang selalu bermain di
fikirannya iaitu BENCI!
“ Aku tak ingat pun. Tak ada masa aku nak ingat
pasal mamat tu,” balas Hamna selamba. Dia meneruskan langkah untuk menunggu
bas.
“ Biar aku ingatkan kau. Kawan- kawan sekelas kita
panggil dia Is Tiger tahu tak!” ujar Fika bersungguh- sungguh. Hampir menjerit
suaranya kedengaran di telinga Hamna.
Hamna memandang wajah Fika. Erk? Is Tiger? Kenapa
perut aku tak kecut pun?
“ Kenapa kau tak terkejut pun bila aku cakap nama
dia? Kau tak ada rasa takut ke?” soal Fika seperti orang bodoh. Dia pelik
melihat reaksi Hamna yang selamba tanpa perasaan. Tiada riak takut pun
tergambar di wajah temannya itu.
“ Perlu ke aku takut?” soalan dibalas soalan. Hamna
menjongketkan kening.
Fika melongo mendengar soalan Hamna. Akhirnya dia
menepuk dahi. Susah betul bercakap dengan orang yang memang tak ada perasaan
macam Hamna ni. Memang Fika akui, Hamna seorang yang berani. Cukup berani dalam
mempertahankan dirinya tetapi Fika takut keberanian Hamna akan memakan diri
sendiri.
Bukannya dia tidak kenal Isyraq. Lelaki itu memang
dikenali dengan sikap dingin, garang dan tegas apabila bercakap dengan
perempuan. Fika takut Isyraq akan lakukan perkara yang tak elok pada Hamna. Dia
sayang sahabatnya itu.
“ Aku tak tahulah nak cakap apa lagi dengan kau ni
Na. Ikut suka kaulah tapi aku nak nasihatkan kau yang jangan cuba main- main
dengan Is, kau bukan lawan dia…” balas Fika.
“ Aku tak pernah gentar walau sedikit pun dengan
mamat tu. Apa aku lakukan untuk pertahankan diri aku daripada dihina dan dimaki
dengan dia. Aku tahu dia suka buli orang, dia boleh dikatakan kaki gangster
tapi tu sikit pun tak bagi kesan kat aku. Siapa yang cuba cabar aku, akan aku
tentang!” ujar Hamna bersungguh- sungguh.
Fika mendiamkan diri. Dia menggelengkan kepala.
Lantak kaulah, Na.
“ Ikut suka kaulah Hamna, janji kau bahagia…”
PENUMBUK dikepal dengan seeratnya lalu satu tumbukan
lekat di dinding seolah- olah dinding itu muka perempuan yang sudah berani
mencabar kesabarannya. Selama ini,belum pernah ada orang berani melawannya
tidak kira lelaki apatah lagi perempuan. Tetapi hari ini dalam sejarah apabila
seorang gadis telah ‘membelasah’ dirinya di depan orang ramai.
Isyraq mundar mandir di hadapan gengnya yang setia
berada di sisinya. Elyas yang tahu cerita sebenar hanya mendiamkan diri. Dia
lebih suka mengadap novel daripada campur tangan dalam urusan Isyraq.
“ Habis tu apa yang kau nak buat bro? Malu weh, Is
Tiger kena belasah dengan perempuan. Aku dengar semua orang duk bercerita pasal
kau dengan perempuan tu. Kau tak nak balas ke?” Sampuk Redza cuba membakar api
kemarahan yang sudah memuncak dalam hati Isyraq.
“ Arghhhh!!” Isyraq menjerit dengan tiba- tiba.
Peristiwa di kafe tadi terbayang di ruang mata menjadikan jiwa Isyraq terus
digaru amarah.
“ Sabar bro. Kau tenang dulu, lepas tu baru kita
fikir apa yang patut kita buat pada
perempuan tu,” sampuk Zaim.
“ Aku takkan lepaskan perempuan tu! Takkan!” bentak
Isyraq. Dia meraup rambutnya ke belakang.
Zaim dan Redza berpandangan. Dia tumpah simpati pada
sahabatnya itu. Bayangkanlah seorang lelaki yang terkenal dengan sikap
gangsternya akhirnya tumbang dibelasah oleh seorang gadis yang entah apa- apa.
Nak cakap hebat, rupa gadis itu cukup buruk di pandangan mereka berdua. Dengan
cermin mata yang bulat dan tebal tersungging di hidung gadis itu cukup
membuatkan Hamna seperti nenek bongkok tiga. Tudung yang dipakainya juga
membuatkan gadis itu kelihatan lebih tua daripada umurnya. Eiii…tak sangka
masih wujud lagi perempuan macam itu dalam era milinium ini. Kutuk hati mereka
berdua.
“ Apa kau nak buat pada minah tu?” soal Redza.
Isyraq berhenti mundar mandir. Dia berdiri tegak di
hadapan sahabatnya itu sekilas dia memandang Elyas yang leka membaca novel
Ramlee Awang Murshid itu. Memang itulah perangai Elyas Minhad. Tidak suka masuk
campur bila dia sedang mengatur rancangan untuk kenakan musuh- musuhnya.
“ Kau nak buat sampai dia dia melutut pada kau macam
yang kau buat pada Ema dulu?” Soal Zaim pula.
Tiba- tiba dia teringatkan Ema, gadis itu suka
melawan dan bertikam lidah dengan Isyraq sewaktu di dalam kelas sama seperti
Hamna lakukan, akibatnya Isyraq telah meletakkan seekor anak katak di dalam beg
gadis itu sehingga Ema menangis meraung pada Isyraq dan merayu supaya Isyraq
keluarkan anak katak itu daripada begnya.
Saat itu tiada siapa yang berani menolong Ema kerana
takutkan Isyraq yang memang terkenal dengan sikap barannya. Siapa yang cuba
masuk campur dalam urusan dia, orang itu yang terima padahnya. Nampaknya kali
ini ada seorang lagi yang akan jadi mangsa Isyraq.
“ Memang itu yang akan aku lakukan. Aku nak tengok
sejauh mana beraninya dia dengan aku. Aku akan pastikan dia melutut mintak maaf
pada aku. Dia takkan hidup tenang selepas apa yang dia lakukan pada aku,” tegas
Isyraq.
Zaim dan Redza mengangkat ibu jari. Mereka bersedia
untuk berperang kali ini. Namun senyuman mereka mati saat terpandangkan Elyas
yang asyik dengan novelnya.
“ Kau ni Elyas, langsung tak membantu Is…” ujar Zaim.
Elyas berpaling. Dia hanya mengangkat bahu. Walaupun
dia kelihatan seperti tidak dengar apa yang dirancang oleh mereka tapi
sebenarnya dia tetap pasang telinga Cuma dia malas campur tangan. Lantak
koranglah!
“ Kau pedulikan si Elyas ni. Bukan kau tahu, dia ni
kalau dah dapat novel thriller tu memang tak ingat dunialah…” sampuk Isyraq.
Zaim dan Redza terdiam. Kalau bos dah bersuara lebih
baik jangan lawan, nanti tak pasal- pasal buku lima singgah dekat muka.
“ Tapi untuk kenakan minah tu, aku perlukan korang
berdua…” sambung Isyraq seterusnya.
“ Any time bos!” jawab mereka hampir serentak.
Isyraq hanya tersenyum. Senyuman penuh makna yang
akan memusnahkan musuhnya itu.
HAMNA merengus apabila dia terpaksa berjumpa dengan
Encik Fakhri selaku ketua Hal Ehwal Pelajar kolej mereka. Paling menyakitkan
hati apabila dia terpaksa berjumpa bersama- sama dengan Isyraq. Lelaki yang
memang tak mahu dilihat dalam muka bumi ini.
“ Mesti hal semalam kan?” bisik Fika perlahan.
Hamna mencebik. Dah memang tak ada hal lain dah.
Bisik hatinya. Buat seketika dia menjeling pada Isyraq yang turut bangun
daripada tempat duduk. Makin mendidih rasa marahnya. Disebabkan lelaki itu dia
menjadi perhatian unit Hal Ehwal Pelajar.
Isyraq yang sudah biasa keluar masuk bilik HEP hanya
bersikap biasa. Sempat lagi dia mengenyit mata pada Zaim dan Redza memberi
tanda agar rancangan mereka diteruskan.
Zaim dan Redza mengangkat ibu jari tanda bersedia.
Mereka mengintai seekor katak yang sebesar tapak tangan yang diletakkan di
dalam balang di dalam laci meja. Mereka tergelak sesama sendiri. Namun, apabila
Cik Wahida berpaling, mereka mematikan ketawa.
Sementara itu diluar kelas, Hamna membebel apabila
terpaksa ke bilik HEP. Dia berjalan di belakang Isyraq, macam- macam aksi
dilakukan di belakang lelaki itu. Dia mengangkat penumbuk, dia menjelirkan
lidah, dia buat gaya ingin mencekik leher Isyraq. Hanya itu yang dia berani
lakukan, selebihnya dia tidak berani. Semalam pun disebabkan dikuasai amarah
dia bertindak ganas pada lelaki itu. Itulah siapa suruh mengutuk Ezlaili Hamna,
buruk padahnya. Cewaahhh, Hamna, banggalah sangat kau dapat belasah gangster
kampung pisang tu! desis hatinya.
Tiba- tiba Isyraq berpaling, Hamna terkejut. Dengan
pantas dia turut berpaling ke belakang sambil menggelengkan kepala.
“ Ish- ish, orang sibuk belajar dia sibuk nak
berdating…” komen Hamna seolah tiada apa- apa. Kepalanya digelengkan banyak
kali.
Isyraq tersenyum dalam hati. Nak cover konon
macamlah aku tak nampak dalam cermin apa yang kau buat dekat belakang aku. Dasar
Minah Gendut!
“ Kau dengar sini Minah Gendut, kalau apa- apa
berlaku, aku takkan lepaskan kau!” Isyraq memberi amaran.
Hamna memandang wajah Isyraq dengan selamba. Dia
tayang muka bosan.
“ Oh erk?” hanya itu yang disebut. Kemudian dia
menolak daun pintu HEP tanpa memberi apa- apa balasan pada kata- kata Isyraq.
Kata- kata itu hanya dibiar sepi dibawa angin yang menghembus.
Isyraq tercengang- cengang. Oh erk je dia balas? Tak
guna punya perempuan. Dia tak takut langsung dengan ugutan aku? Orang ke besi
minah ni? Jerit hati Isyraq. Dia mengancing gigi.
Tanpa menunggu lama, dia turut meloloskan diri ke
dalam bilik HEP untuk mengadap Encik Fakhri yang boleh tahan juga tegasnya tapi
taklah setegas ayahnya yang bekas anggota tentera tu.
“ Ezlaili Hamna dan Taufiqul Isyraq, awak tahu
kenapa saya panggil awak berdua ke sini?” soal Encik Fakhri memulakan bicara
setelah Isyraq berdiri di hadapan mejanya.
“ Encik panggil kami jadi encik lebih jelas tentang
sebab kenapa kami dipanggil,” jawab Hamna selamba sambil ibu jarinya ditunjuk
ke arah Encik Fakhri kononnya sopanlah tu. Tapi sopannya tidak kena tempat.
Buntang biji mata Isyraq mendengar keberanian Hamna
yang menjawab kata- kata Encik Fakhri. Agaknya minah ni jenis tak ada perasaan
takut. Dengan Encik Fakhri boleh dibuat main. Desis hatinya.
Mata Encik Fakhri mencerlung pada Hamna membuatkan
Hamna diam tak terkutik. Ish, takut aku pandangan Encik Fakhri ni, janganlah
pandang saya macam tu encik, rasa macam nak terkucil pulak. Bisik hati kecil
Hamna kemudian dia menundukkan wajah.
“ Saya tanya betul- betul, awak main- main. Suka
dapat bergaduh depan orang ramai? Dah rasa diri tu kuat? Awak berdua ni tak ada
perasaan malu ke?” tekan Encik Fakhri.
“ Ada, encik!” balas Hamna pantas.
Encik Fakhri memandang Hamna dengan tajam. Ish budak
ni kuat betul menjawabnya. Rasa macam nak stapler je mulut budak ni.
“ Kalau ada kenapa bergaduh semalam? Nak jadi
gangster ke?” tanya Encik Fakhri lagi.
“ Dia yang mulakan encik!”
Hamna menuding jari ke arah Isyraq yang ada
disebelahnya. Jelas lelaki itu terkejut. Argh, aku peduli apa dengan muka
terkejut kau tu. Janji aku lepas.
“ Aku pulak. Kau yang sesuka hati pijak kaki aku
lepas tu kau tumbuk perut aku, sekarang kau nak salahkan akulah!” balas Isyraq
berang apabila dirinya dipersalahkan padahal memang dia salah pun.
“ Oh, kau kira aku punya salah jelah. Yang kau
sesuka hati panggil aku Minah Gendut tu kenapa? Ada aku benarkan? Tak ada kan?
Padam mukalah kena tumbuk. Patutnya aku tumbuk muka kau biar kasih pecah macam
pinggan yang kena hempas kat lantai. Baru puas hati aku!” balas Hamna kasar.
“ Kau ingat aku nak biarkan jelah. Jangan sampai
muka kau makan penampar aku. Baru kau tahu langit tinggi ke rendah!” balas
Isyraq tidak mahu mengalah.
“ Kau ni, kalau aku cakap bangang tentu kau marah.
Dah sah- sah langit tu tinggi tak payah nak suruh aku tengok. Tapi jangan
sampai roh kau naik ke langit sudah!” balas Hamna lagi.
Dia memeluk tubuh. Sekilas dia menjeling pada Isyraq
yang mengetap bibir. Marahlah tu!
“ Dah habis kutuk- mengutuk? Dah habis? Kenapa tak
sambung lagi?” sinis Encik Fakhri yang semenjak tadi menjadi pemerhati.
“ Boleh sambung lagi ke, encik?” soal Hamna lurus.
Encik Fakhri menepuk dahi. Soalan Hamna selalu saja
menguji kesabarannya. Patutlah Isyraq
hilang sabar dengan Hamna, memang sakit hati melayan kerenah gadis seperti
Hamna.
“ Sudah Hamna, jangan menyampuk cakap saya!” tegas
Encik Fakhri.
Hamna mengangkat bahu. Dia menutup mulut sambil
membetulkan tudungnya yang senget.
“ Depan saya awak boleh bergaduh apatah lagi belakang
saya. Saya tak tahu apa yang awak berdua fikirkan sampai boleh bergaduh macam
anjing dengan kucing….”
“ Saya kucing dia tu anj….” Sampuk Hamna.
“ Hamna!!” tekan Encik Fakhri geram. Hamna menutup
mulut.
Isyraq tahu apa yang ingin dikatakan oleh Hamna. Dia
memandang Hamna dengan pandangan tajam. Siaplah kau lepas ni, Minah Gendut.
“ Saya malas nak cakap panjang dengan awak. Saya
akan bagi hukuman pada awak berdua!”
“ Hukuman??!” jerit mereka berdua.
Encik Fakhri mengangguk tanpa rasa bersalah.
“ Sama ada awak berdua suka ataupun tidak, mulai
esok awak berdua kena buat khidmat masyarakat di sekitar kawasan kolej. Esok
saya akan serahkan awak pada Encik Mohamad, pengawal keselamatan kolej kita
untuk memantau kerja awak berdua. Tidak ada seorang pun daripada awak berdua
boleh terlepas daripada hukuman ini, faham?!” ujar Encik Fakhri.
Isyraq mendengus. Hamna merengus. Hukuman? Memang
tak masuk dek akal langsung.
“ Saya bukan budak- budak sampai kena terima hukuman
macam ni, encik. Kalau encik nak saya bayar denda saya sanggup asalkan jangan
suruh saya bekerjasama dengan minah ni…” Isyraq bersuara.
Encik Fakhri menggeleng. Dia tahu Isyraq bukannya
pelajar yang susah malah lelaki itu mampu untuk membayar segala denda yang
diberikan namun hukuman seperti itu menjadikan anak muda seperti Isyraq semakin
besar kepala. Pelbagai aduan dia terima tentang Isyraq yang suka membuli namun
tiada sebarang hukuman pun yang dapat mengubah perangai Isyraq.
“ Kau ingat aku nak sangat ke bekerjasama dengan
kau, mati hidup balik, hidup mati balik pun aku tak nak bekerjasama dengan
kau!” balas Hamna.
“ Masalah sekarang awak tengah hidup kan Hamna? Jadi
suka atau tidak, rela atau tak, awak berdua kena bekerjasama kalau tidak result
final exam awak akan saya tahan dan awak takkan dapat grad,” ugut Encik Fakhri.
“ Mana aci macam ni, encik…” balas Isyraq pula.
“ Aci kat India. Hukuman tetap hukuman. Awak boleh
keluar sekarang. Esok tepat pukul tiga petang awak jumpa saya di sini sebelum
saya serahkan awak pada Encik Mohamad, faham?” soal Encik Fakhri.
Hamna dan Isyraq mengeluh. Mereka mengangguk.
Sebaik sahaja mereka berpaling untuk keluar daripada
bilik Encik Fakhri, Hamna menjelirkan lidah pada Isyraq sementara Isyraq
menunjuk penumbuknya pada Hamna. Mereka sama- sama menjeling.
“ Ingat, saya selalu pantau awak berdua. Kalau saya nampak awak bergaduh
lagi, saya tak teragak- agak untuk suruh semua pensyarah yang mengajar awak
untuk potong markah carry mark awak berdua,” Encik Fakhri mengugut lagi.
Langkah Hamna dan Isyraq terhenti. Mereka mengeluh.
Kuat betul Encik Fakhri ni mengugut. Agaknya cita- cita lelaki itu nak jadi
ketua pemeras ugut dulu kut.
Hamna dan Isyraq berpaling pada Encik Fakhri, mereka
tersengih.
“ Eh, mana ada kitaorang bergaduh. Kitaorang dah
baik dah…” ujar Hamna berbohong.
Dia tersenyum manis pada Isyraq. Senyuman yang
dibuat- buat. Namun, Isyraq turut tersenyum pada Hamna membuatkan Hamna terpana
seketika. Berkelip- kelip matanya melihat senyuman Isyraq yang jarang boleh
nampak. Subhanallah, comelnya! Desis hatinya.
Namun dengan pantas, Hamna menggelengkan kepala.
Comel apanya macam Spongebob je aku tengok muka mamat ni time dia senyum. Tak
kacak langsung! Bentak hati Hamna.
HAMNA kembali ke kelas selepas berjumpa dengan Encik
Fakhri, dia masih belum berpuas hati dengan arahan yang diterima oleh Encik
Fakhri. Ada ke aku nak disuruh bekerjasama dengan mamat tu? Hilang akal agaknya
Encik Fakhri ni. Bebel hati Hamna dengan bibir yang dijuihkan.
Dia melabuhkan punggung di sebelah Fika yang sedang
khusyuk mendengar apa yang Cik Wahida terangkan. Hamna tidak mempedulikan Fika,
dia menyeluk tangannya ke dalam beg yang diletakkan dalam laci meja. Hajatnya
untuk mengambil buku nota tetapi tiba- tiba tangannya terpegang sesuatu yang
sejuk dan lembik.
‘ Benda alah apa pulak yang ada dalam beg aku ni?’
soal hati kecil Hamna. Keningnya bertaut. Dia menekan- nekan benda yang lembik
itu. Hmmm…sejuknya. Macam marshmallow je rasanya. Tapi apa benda erk?
Hamna menundukkan wajahnya dan mengintai ke dalam
begnya. Dia dapat melihat benda bulat bersinar dan berkelip- kelip. Hamna
menelan air liur. Dadanya berdebar- debar. Aik, macam rasa jatuh cinta pulak.
Hamna, kau pernah rasa jatuh cinta ke? Sempat lagi hatinya monolog perkara yang
bukan- bukan.
“ Fika, benda apa ni?” soal Hamna sambil mengeluarkan
benda sejuk tersebut dan ditunjukkan kepada Fika yang berada di sebelahnya.
Fika berpaling.
“ Katakkkkk!!!!” jerit Fika kuat. Dia bingkas bangun
dan melarikan diri daripada Hamna.
Satu kelas riuh- rendah mendengar jeritan Fika.
Pelajar- pelajar perempuan menjerit termasuklah Cik Wahida yang terkejut
melihat Hamna yang memegang katak sebesar tapak tangan tanpa rasa segan dan
silu.
Hamna masih lagi selamba. Dia langsung tidak takut
dengan katak yang berada di dalam genggamannya Cuma ada rasa geli sikit jelah.
Tapi yang menjadi persoalan, siapa yang meletakkan katak tersebut di dalam
begnya? Takkan katak itu melompat dengan sendiri?
“ Hamna, kau tak geli ke dengan katak tu? Tolonglah
buang, Na…” rayu Fika sambil menghentak- hentak kakinya.
“ Siapa yang berani letak katak dalam beg aku ni?
Baik ngaku!” Hamna sudah mula bangun daripada tempat duduknya.
Dia memandang Isyraq dan kawan- kawannya yang sedang
ketawa kuat. Elyas yang berada di hadapan Isyraq hanya tayang muka selamba.
“ Aku tak sangka perempuan ni jenis besi, dengan
katak pun dia boleh buat main. Dia ni memang tandingan kau Is,” bisik Zaim ke
telinga Isyraq.
Isyraq tersenyum sinis memandang Hamna yang
memandang tepat ke dalam matanya. Dia membalas dengan renungan tajam. Benar
kata Zaim, Hamna bukan perempuan yang sembarangan. Urat dawai tulang besi
agaknya.
Langkah Hamna yang semakin menghampirinya dipandang
tanpa rasa gentar. Inilah gadis yang berani mencabarnya, akan dia tentang
habis- habisan. Selama ini mana pernah dia kalah dengan perempuan, kali ini
gadis itu memang benar- benar mencabar kesabarannya sebagai lelaki.
“ Kau kan yang letakkan katak dalam beg aku?!”
sembur Hamna tanpa salam. Dia menentang wajah Isyraq yang duduk sambil
bersilang kaki. Memang selamba habis.
“ Nak tuduh pun tengoklah bukti, aku dengan kau
pergi bilik Encik Fakhri tadi. Bila masa aku nak letak katak dalam beg buruk
kau tu!” balas Isyraq kasar.
Hamna mendengus. Betul juga. Tapi dia tetap tidak
percaya dengan kata- kata Isyraq. Pasti lelaki itu telah berkomplot dengan orang
lain dan orang lain itu pasti konco- konconya. Lantas, pandangan Hamna beralih
pada laman wajah Zaim dan Redza yang memandang ke tempat lain. Sah! Memang
mamat dua ekor ni yang cuba cari nahas dengan aku! Tegas hati Hamna.
“ Kalau bukan kau, maknanya kawan- kawan kau nilah.
Eh, kalau setakat nak bagi katak ni, kau bagi dekat perempuan lainlah. Aku
langsung tak takut apatah lagi nak menjerit tengok katak macam ni. Kat rumah
aku lagi banyak aku bela, kau cakap je nak yang macam mana, bulat, segi tiga, empat
segi? Semua ada. Tak payahlah nak takutkan aku guna cara macam zaman P. Ramlee
dulu. Tak berkesan langsung!” ujar Hamna namun dalam ayatnya ada juga yang dia
berbohong. Bila masa pula dia bela katak? Memang taklah!
Elyas cuba menahan ketawa. Dia melihat wajah Isyraq
yang sudah merah. Marahlah tu. Padam dengan muka korang. Nampaknya, buku sudah
bertemu dengan ruas. Rasakan!
“ Kau jangan nak merepeklah, kau tak ada bukti nak
tuduh kami yang letakkan katak tu. Padahal kau yang bawak daripada rumah, nak
salahkan kitaorang pulak!” Redza cuba membela diri.
Hamna menarik nafas panjang. Cuba bersabar.
“ Kalau aku bawak ke unit forensic pasti cop jari
korang berdua ataupun bertiga ada atas belakang katak ni,” Hamna bercakap
dengan nada yang serius. Dia menunjukkan katak tersebut ke wajah Zaim, Redza
dan Isyraq.
Mereka menarik muka geli. Biar betul minah ni?
Zaim dan Redza berpandangan. Wajahnya mereka pucat.
Lantas, Zaim menyiku lengan Isyraq yang masih membisu.
“ Baiklah, kalau korang tak nak mengaku jadi aku terpaksa
pulangkan balik pada tuannya….” Ucap Hamna.
Lalu, dia mencampakkan katak tersebut tepat ke muka
Isyraq! Melekat katak tersebut di muka Isyraq yang tercengang- cengang. Satu kelas gamat dengan suara gelak
mentertawakan Isyraq.
Manakala, Zaim dan Redza sudah menjerit melihat
katak yang melekat di muka sahabatnya. Isyraq menepis katak tersebut sehingga
jatuh ke lantai. Dia betul- betul malu. Tersangat malu!
Isyraq bangun dan keluar dari kelas dengan wajah
yang bengang. Tak guna, aku kalah lagi dengan perempuan gila tu!!!
best nak lg.
ReplyDelete