“Berapa lama kau kenal dia, Ada?” soal Zafran
tiba-tiba.
Wardah mengerutkan kening. Pandangannya dilabuhkan
di wajah Zafran.
“Siapa?” soalnya pendek.
“Bakal suami kaulah takkan aku pulak,” balas Zafran
bergurau.
Wardah tersenyum nipis.
“Sejak semester akhir aku kenal dia sampailah
sekarang,” balas Wardah sambil tangannya lincah membentangkan alas meja lalu
diletakkan dihamparkan di atas meja.
“Kau betul-betul kenal dia ke, Ada?” soal Zafran
lagi. Dia merenung anak mata Wardah yang duduk agak jauh daripadanya.
“Apa maksud kau?”
“Kau kenal dia tak sampai setahun dan kau ambil
keputusan untuk hidup dengan dia buat selama-lamanya? Kau betul-betul kenal dia
ke?” soal Zafran sekali lagi.
Wardah mengetap bibir. Dia sedikit tersentap dengan
soalan Zafran yang seolah-olah menguji ketahanan hatinya sedangkan lelaki itu
sudah sedia maklum yang Emir Rehan akan menjadi suaminya tidak lama lagi.
“Kadang-kadang untuk mengenali seseorang itu tidak
perlu masa lama kerana hanya hati yang mengenal hati. Kau kena ingat Zaf jodoh
kita tak semestinya dengan orang yang lama kita kenal, mungkin jodoh kita
dengan baru kita kenal. Aku percaya tentang itu,” balas Wardah tenang.
Zafran terpempan. Kata-kata Wardah tepat mengenai
batang hidungnya sendiri. Dia menundukkan wajah.
“Aku tahu aku dah tak ada peluang tu tapi kau kena
tahu sesuatu Ada, apa yang aku cakapkan pada kau dulu tak pernah berubah sama
ada kau terima aku sebagai sahabat ataupun tidak. Cinta bukan sesuatu yang
mudah untuk dialihkan, Ada. Bila ia dah menyapa hati, ia akan terus lekat dalam
hati seperti digam. Itulah yang aku rasakan saat ini. Bukan aku tak cuba
lupakan apa yang pernah aku katakan pada kau tapi mustahil semua itu boleh
hilang dalam sekelip mata kan, Ada?” balas Zafran mengharapkan pengertian
daripada Wardah.
Wardah terdiam sejenak. Dadanya mula bergendang
tidak menentu mendengar kata-kata Zafran. Kenapa kisah lalu juga yang ingin
diungkit? Sedangkan dia ingin melupakan semua itu.
“Aku tahu kau dah berubah, Zaf. Aku yakin kau bukan
Zaf yang dulu lagi…”
“Tapi kenapa susah sangat kau nak terima aku
walaupun aku terlambat untuk jadi teman hidup kau tapi tak boleh ke kalau kau
terima aku sebagai kawan kau semula? Hina sangat ke aku pada mata kau, Ada?
Hina sangat ke?” kali ini Zafran seolah-olah emosi. Dia mendekati Wardah.
Wardah gelisah. Dia mengundurkan langkah setapak ke
belakang. Renungan anak mata yang hitam pekat itu meresahkan dirinya. Apa yang aku
nak jawab?
“Zaf, tolong jangan paksa aku. Aku dah maafkan kau,
itu sudah cukup untuk kau tahu kan. Apa lagi yang kau nak selain kemaafan atas
kesalahan kau dulu?” soal Wardah pula. Langkahnya terhenti apabila tubuhnya
terlanggar meja. Dia berdiri kaku di hadapan Zafran.
Mata Wardah melilau memandang sekeliling, bimbang
juga jika ada mata yang memandang mereka berdua. Nanti boleh menimbulkan
fitnah.
“Aku
sayangkan kau, Wardah. Aku sayangkan kau…” luah Zafran sayu.
Thanks 4 the teaser Siti. Bila baca ingkar cinta ni boleh buat kita byk berfikir apa yg sebenarnya kita tahu tentang cinta & apa yg kita faham sebenarnya tentang cinta. Really love this story....keep up the good work Siti!
ReplyDeleteSetuju dgn Ada...tak perlu amik ms yg lama tuk kenal seseorang..
ReplyDeleteSy ada pengalaman tu...kadang terlalu lama kenal pun tak bermakna Kita telah faham segalanya ttg dia.....