“Apabila membicarakan soal jodoh ni, kita tak mampu
untuk mengatakan dia jodohku atau dia bukan jodohku. Ianya rahsia Allah yang
tak mampu kita rungkaikan. Seringkali cinta membawa kepada jodoh tapi
kebanyakannya jodoh itu yang menghadirkan cinta. Bila dia bukan ditakdirkan
untuk anta, maknanya Allah telah menyediakan seseorang yang terbaik menurut
pandangan-Nya buat anta. Anta kena yakin dengan janji itu,” balas Ustaz
Mustakim memujuk.
Zafran menghela nafas panjang. Wajahnya diraup.
“Ana yakin janji Allah itu pasti malah tiada
keraguan pun dalam hati ana tentang itu tetapi hati ana ini rapuh sangat. Ana
tak mampu lupakan dia walaupun sudah empat tahun ana tak jumpa dengan dia. Dia
mengajar ana tentang cinta dengan caranya tersendiri. Dia banyak mengubah ana
menjadi yang lebih baik. Ana sayangkan dia bukan sekadar seorang sahabat tetapi
lebih daripada itu. Tetapi ana sedar, ana mungkin tak dapat bersama dengannya
lagi…” luah Zafran dengan rasa sebak.
“Kalau begitu jadikan dia sebagai sahabat kerana
persahabatan itu satu ikatan yang tidak boleh diputuskan begitu saja…”
“Malangnya, ana bukan sahabatnya lagi. Kesilapan
yang ana lakukan dulu membuatkan dia memutuskan persahabatan kami. Ini hukuman
yang ana perlu terima sebagai balasan mempermainkan perasaannya,” pintas
Zafran.
Ustaz Mustakim terdiam. Lama dia menatap wajah keruh
Zafran.
“Tidak ada orang jahat yang tidak punya masa depan,
Zafran dan tiada orang baik yang tak punya masa lalu. Zafran yang ana lihat
depan ana sekarang ini jauh berbeza dengan Zafran yang dulu. Inilah dikatakan
ujian, Zaf. Dia sedang menguji sejauh mana keikhlasan anta dalam menghadapi
cabaran yang diberikan-Nya. Ana harap anta dapat bersabar,” balas Ustaz
Mustakim memujuk.
Zafran mendiamkan diri. Dia mengetap bibir. Memang
dia sedang bersabar. Tidak guna dia menyalahkan takdir kerana yang nyata Wardah
tetap tidak akan menjadi miliknya kerana dia tahu lumrah manusia lebih
mengingati orang yang sering melukakannya daripada orang yang menyayanginya.
Zafran redha tentang itu.
“Bukan ana tak cuba untuk lepaskan perasaan ini,
ustaz. Malah berkali-kali ana cuba buang perasaan ini daripada hati dan fikiran
ana tetapi semakin ana buang semakin kerap ia ganggu fikiran ana. Ana tak tahu
apa lagi yang perlu ana lakukan agar cinta ana untuk dia dapat dihapuskan.
Sakitnya hati ana hanya Allah yang tahu. Memang sakit apabila mencintai orang
yang tak pernah mencintai kita sedangkan hati kita hanya menyebut nama dia,”
balas Zafran setelah agak lama mendiamkan diri.
“Ana faham apa yang berlaku pada anta Zaf, cinta itu
adalah unsur yang berasal daripada emosi dalaman manusia, ia tidak dapat
dinafikan walaupun mampu disembunyikan. Ia tidak dapat diubah walaupun mampu
dinasihati. Keteguhan terhadap cinta itu mampu mengubah sejarah tetapi tidak
mampu mengubah takdir yang Allah tetapkan.” Ujar Ustaz Mustakim menasihati
Zafran.
Simpatinya tertumpah saat melihat wajah Zafran yang
muram. Sudah hilang sinar kebahagiaan pada wajah yang sentiasa tenang itu.
Hanya kerana cinta manusia boleh berubah dalam sekelip mata. Detik hati Ustaz
Mustakim.
Zafran menghela nafas panjang mengakui kata-kata
Ustaz Mustakim di dalam hati.
‘Wardah, cinta ini sudah tertanam dalam hati, telah
menyatu dengan jiwa malah telah bersatu dengan jiwa mengalir dalam aliran
darahku sehingga melahirkan nafas cinta yang takkan pernah mati. Semoga kau
bahagia buat selama-lamanya.’ Bisik hati Zafran.
....................................................................................................................................
WARDAH duduk tenang bersimpuh di atas bantal di
ruang tamu rumahnya sambil sabar menunggu ketibaan pengantin lelaki. Sesekali
kakaknya mengelap peluh yang memercik di dahi Wardah. Dia tersenyum pada Kak
Wardeena yang berada di sisinya.
“Ada, kenapa Emir ni lambat sangat? Patutnya dah
sampai ni…” keluh Kak Wardeena sambil menjeling jam di tangan.
Wardah tersenyum hambar. Hatinya gelisah
mengenangkan bayang Emir Rehan yang tak kunjung tiba. Ramai tetamu yang sudah
berbisik-bisik bertanyakan kelewatan Emir Rehan tetapi tiada apa yang boleh
dilakukan selain berdoa agar perjalanan Emir Rehan selamat.
Tadi ayahnya sudah menelefon Encik Husin malah
katanya mereka sekeluarga sudah dalam perjalanan dan sepatutnya mereka sudah
sampai ke sini. Tetapi kenapa sampai sekarang masih belum muncul? Soal hati
Wardah.
Tiba- tiba, kelihatan Puan Syifa yang berada di luar
rumah berlari-lari anak mendapatkan Wardah yang masih setia menanti. Dia
melihat Puan Syifa menangis lantas Wardah berdiri.
“Ada, Ada, Emir!” Jerit Puan Syifa termengah-mengah.
Hati Wardah mula dipagut resah lantas dia terus
memegang lengan Puan Syifa dan cuba menenangkan Puan Syifa yang kelihatan
termengah-mengah.
“Kenapa dengan Emir, ibu?” Soal Wardah kegelisahan.
Suasana dalam rumah Wardah menjadi tegang. Semua mata memandang Wardah dan Puan
Syifa.
“Emir, Emir, Ya Allah, macam mana ibu nak cakap
ni….” keluh Puan Syifa sambil meraup wajahnya.
“Ibu, bawak bertenang. Apa dah jadi pada Emir? Mana
Emir ibu? Patutnya Emir dah datang. Emir tak apa-apakan ibu?” soal Wardah cuba
menyakinkan hatinya bahawa tiada apa-apa yang berlaku pada Emir Rehan.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.