“SAYA ke dapur dululah. Nak masak untuk tengah hari.
Tuan nak makan apa hari ni?” Soal Marha sebaik saja melangkah masuk ke dalam
rumah.
Pertanyaan Marha menghentikan langkah Amzar. Dia
berpaling ke belakang. Wajah Marha yang masih menanti jawapan daripadanya
dipandang daripada atas hingga ke bawah. Dia merenung tajam. Tiada satu pun
yang menarik pada Marha tapi dia pelik kenapa semua ahli keluarganya boleh
menerima gadis tersebut dengan senang.
“Kau pandai masak ke?” Soal Amzar.
Marha hanya tersenyum nipis. Nafas yang dihela
dihembus dengan perlahan.
“Taklah pandai sangat macam chef kat hotel tu, tapi
kalau setakat masakan kampung insya-Allah saya boleh masak. Tapi… Tapi tuan
makan ke masakan kampung?” Soal Marha teragak-agak. Dia mengerling wajah Amzar
yang kelat.
“Aku dah agak dah. Dahlah pakaian kampung, perangai
kampung, pandai masak pun masakan kampung. Agaknya kau dengan kampung memang
tak dapat dipisahkan ke? Tapi aku peliklah, selalunya orang-orang kampung ni
perangai dia orang baik-baik. Sopan-santun. Tapi kau, tak nampak pun macam tu.
Ke orang kampung kau semuanya busuk hati macam kau?” Sinis Amzar.
Marha cuba menahan sabar. Sudah lali dia mendengar
tohmahan demi tohmahan yang dilontarkan oleh Amzar. Alah bisa, tegal biasa.
“Kalau diikutkan hati saya yang busuk ni, nak je
saya biarkan tuan tinggal dalam rumah ni sorang-sorang. Biar mereput. Tapi
nasib baik saya ni ada sikap kemanusiaan sikit, saya tak naklah majikan saya ni
terabai jadi dengan hati yang busuk nilah, saya sanggup datang sini semata-mata
nak tengokkan tuan.” Jawab Marha tidak mahu mengalah.
Amzar tersentak. Aik, dah pandai menjawab perempuan
ni?
“Sikap kemanusiaan konon. Cakaplah yang papa aku dah
bayar pada kau untuk tengok-tengokkan aku. Aku percaya perempuan tak guna macam
kau ni cuma pentingkan duit.”
“Percayalah apa yang tuan nak percaya. Bukan tugas
saya untuk buat tuan percayakan semua kata-kata saya. Sekarang saya nak pergi
masak. Kalau tuan tak tahu nak makan apa, tuan makan jelah apa yang saya masak
nanti. Sementara tu, tuan pergilah berehat. Saya ke dapur dulu.” Ucap Marha
lantas berlalu tanpa menunggu bicara daripada Amzar. Dia malas untuk berdebat
dengan Amzar kerana di pengakhirannya, dia juga yang kalah.
Amzar ingin membuka mulut namun Marha terlebih
dahulu mengorak langkah. Dia mendengus geram. Tanpa membuang masa dia terus
melangkah ke tingkat atas. Menuju ke biliknya. Tuala dicapai lalu dia bergerak
ke bilik mandi.
“Kenapalah papa dengan mama beria sangat nak
perempuan tu jaga aku? Tengok muka dia pun mendidih hati aku ni. Apatah lagi
nak tinggal satu rumah. Malang sungguh nasib aku kali ni.” Dengus Amzar.
Dia menyangkut tuala di penyidai sebelum baju yang
tersarung di badan cuba ditanggalkan. Namun, perbuatan Amzar terbejat apabila
baju yang ingin ditanggalkan tersekat di bahagian lengan kanannya.
“Aduh…aduh…” Amzar mengaduh dengan dahi yang
berkerut. Tangan kanannya yang terseliuh terasa sakit.
Dia mengeluh kecil.
“Macam mana aku nak mandi kalau nak tanggal baju pun
tak boleh?” Soal Amzar sendirian.
Otaknya ligat memikirkan sesuatu. Kain anduh yang
melingkar di leher terasa menganggu. Beberapa kali dia cuba untuk menanggalkan
baju dengan sendiri namun Amzar tetap gagal. Tangan kanannya langsung tidak
dapat diangkat.
“Tuan!” Panggil satu suara halus menyedarkan Amzar.
Dia mengangkat wajah. Itu suara Marha. Kenapa minah ni masuk bilik aku pula?
Bebel hati Amzar. Lalu, dia menyarung kembali bajunya dan menarik tombol pintu
bilik air.
Marha menjengukkan kepala ke dalam bilik Amzar yang
sunyi sepi. Melilau anak matanya mencari kelibat lelaki itu yang tidak kelihatan.
“Mana pulak mamat ni?” Omel Marha sendirian.
“Tuan!” Panggil Marha. Dia memandang ke ruang
balkoni tetapi pintu balkoni itu tertutup rapat.
“Hah, kau nak apa?” Sergah Amzar tiba-tiba.
Marha tersentak. Dia mengurut dada. Kus semangat aku
mamat nilah! Getus hati Marha lalu kepalanya tegak memandang ke hadapan. Dia
tersengih malu.
“Saya cuma nak tanya, tuan makan pedas tak? Saya
lupa nak tanya tadi.” Ujar Marha. Bola matanya ditundukkan.
“Tak. Aku tak makan pedas.” Jawab Amzar keras.
Marha menganggukkan kepala.
“Baiklah. Saya pergi dulu…” ucap Marha berura-ura
untuk berpaling.
“Tunggu kejap!” Tahan Amzar tidak semena-mena.
Marha berpaling kembali. Anak matanya dibiarkan
membalas pandangan Amzar yang kelihatan gelisah.
“Tuan nak apa?” Soalnya tenang.
Amzar serba-salah. Ingin diluahkan, rasa egonya
masih lagi menebal. Tetapi kalau diikutkan rasa egonya, sampai ke sudah dia
tidak dapat membersihkan badan.
“Errr… Tunggu sekejap…” Hanya itu saja yang terluah
dari bibir Amzar.
Dahi Marha berkerut.
“Ya, saya tengah tunggulah ni. Tuan nak apa? Ada
apa-apa yang saya boleh tolong ke?” Soal Marha lagi.
Amzar menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
Bibir digigit. Nafas dilepaskan dengan kuat. Dia tiada pilihan saat ini.
“Tolong tanggalkan baju aku sekejap. Aku nak mandi.”
Pinta Amzar senafas.
“Hah?”
Amzar mendengus. Geram sungguh dengan reaksi Marha
saat ini.
“Kau pekak ke? Aku mintak tolong tanggalkan baju aku
ni. Sebelum ni mama yang pakaikan baju dan tanggal baju aku. Tapi sekarang mama
tak ada. Kau je yang ada dalam rumah ni. Tangan aku tak boleh nak angkat lagi.
Sakit.” Terang Amzar.
Marha mengulum senyum.
“Tak sangka pandai jugak kau mintak tolong…” desis
Marha. Cukup hanya dia yang mendengar.
Amzar mengangkat pandang apabila telinganya
mendengar sesuatu yang tak jelas.
“Kau cakap apa? Nak tolong ke tak ni?” Soal Amzar
malas.
Marha mengetap bibir. Nak tolong ke tak ya?
Takkanlah aku nak tanggalkan baju dia pulak? Seganlah aku. Detik hatinya.
“Nak tolong ke tak ni? Kalau tak nak, kau boleh
berambus!” Sergah Amzar mula panas hati dengan sikap berdiam diri Marha. Kita
dahlah sakit, dia boleh tayang muka bodoh pula kat situ. Bebel hati Amzar.
Bahu Marha terhenjut. Lamunannya pecah berderai.
Spontan, kakinya terus melangkah menghampiri Amzar. Dia bimbang baran Amzar akan
menjadi-jadi jika arahannya tidak dipatuhi.
“Boleh tak dalam sehari kau tak naikkan darah aku?
Kalau kau datang sini sekadar nak menyemak, lebih kau balik rumah kau. Mata aku
pun tak sakit tengok muka kau tu.” Sambung Amzar lagi. Dia menjeling benci.
Marha hanya mendiamkan diri. Bukan dia tidak boleh
melawan balik cuma dia malas. Malas bertekak dengan lelaki seperti Amzar.
Lelaki itu takkan pernah mahu beralah. Jadi biarlah dia mendiamkan diri.
“Apa yang saya boleh tolong, tuan?” Soal Marha
akhirnya.
Bebelan Amzar terhenti. Dia memandang wajah Marha
yang jauh lebih rendah daripadanya.
“Kau tak dengar aku cakap tadi? Tolong tanggalkan
baju aku ni.” Jawab Amzar dengan suara yang sedikit bergetar. Sungguh hatinya
segan tetapi dia terpaksa.
Marha menelan air liur. Ada getaran bermukim di
jiwanya saat Amzar meluahkan permintaan itu. Terkebil-kebil dia memandang wajah
Amzar.
“Errr… Saya… Saya... Macam mana saya nak tolong?”
Soal Marha tergagap-gagap. Wajahnya berubah rona. Merah.
Amzar tidak menjawab sebaliknya dia memberi isyarat
mata ke arah t-shirt yang tersarung di tubuhnya.
Dengan rasa malu yang menebal, Marha melangkah
setapak menghampiri Amzar. Tangannya diangkat untuk menyentuh hujung t-shirt
yang dipakai Amzar. Terketar-ketar tangannya akibat menahan rasa. Jantungnya
pula bagaikan ingin meletup saat itu juga. Lantas, Marha memejamkan mata saat
tangannya mula mengangkat baju Amzar.
Amzar hanya mampu menahan tawa. Wajah Marha yang
berona merah dengan mata yang terpejam rapat mencuit hatinya.
“Kalau kau pejam mata, macam mana kau nak nampak
tangan aku ni? Buka mata kau sekarang!” Arah Amzar dengan suara yang tegas.
Marha menggeleng pantas. Laju saja tangannya menarik
baju keluar daripada tangan kiri Amzar tetapi baju tersebut tersangkut di
lengan kanan Amzar yang masih berbalut dengan kain anduh yang terikat di leher.
“Adoiii!” Amzar mengaduh kesakitan.
Spontan, Marha membuka mata.
“Sorry, tuan. Sakit ke? Saya mintak maaf.” Ujar
Marha menyedari kesilapannya.
Amzar merengus.
“Kan aku dah cakap kalau kau pejam mata, macam mana
kau nak tanggalkan baju ni dari tangan aku ni. Takkan itu pun tak faham? Aku
suruh kau tanggalkan baju aku je, bukan aku nak terkam kau pun. Tak selera
aku!” Bebel Amzar lagi. Sekadar untuk menyakitkan hati Marha.
Marha menarik nafas sedalam-dalamnya. Berhadapan
dengan Amzar memang memerlukan kesabaran yang tinggi. Dia tahu lelaki itu
sengaja ingin menyakiti hatinya. Jika hatinya sakit, bermakna lelaki itu akan
menang dan Marha takkan membiarkan perkara itu terjadi.
“Yalah. Saya cuma segan. Inilah kali pertama saya
tanggalkan baju lelaki selain adik lelaki saya.” Ujar Marha berharap agar Amzar
faham keadaannya.
Amzar terdiam. Dia tidak mengulas apa-apa.
Sebaliknya, dia membiarkan tangan Marha melepaskan ikatan kain anduh di
belakang tengkuknya. Dengan penuh kelembutan, gadis itu memegang lengannya
manakala sebelah tangan gadis itu lagi menarik baju keluar daripada tangan
kanannya yang terseliuh.
Entah mengapa ada debaran halus menyapa hati Amzar
saat lembut tangan Marha menyentuh kulit lengannya. Tiba-tiba saja lidahnya
menjadi kelu. Hanya anak mata saja yang merayap di segenap anggota wajah milik
Marha yang manis.
“Dah siap. Saya keluar dulu.”
Suara Marha menghentikan khayalan Amzar. Dia
berdeham kecil lantas berpaling membelakangi Marha. Cuba meredakan getaran
halus yang mula menjengah ke ruang hati.
“Keluarlah!” Ujarnya tanpa memandang wajah Marha.
Marha mengangguk lalu berpaling meninggalkan Amzar.
Dia menyentuh dadanya yang berdengup kuat.
SETELAH hampir satu jam Marha memasak, hidangan untuk
makan tengah hari mereka akhirnya siap. Marha tersenyum melihat masakannya yang
terhidang di atas meja. Hari ini dia memilih untuk memasak ayam masak lemak
cili api, ikan goreng, sayur kailan ikan masin dan sambal udang. Dia tidak
pasti bagaimana selera Amzar jadi dia cuba-cuba masak. Harap-harap semua lauk
yang dihidangkannya menepati selera lelaki itu.
“Dah siap pun. Lama betul mamat tu mandi, takkan tak
nak turun makan kut?” Omel Marha sendirian.
Tidak lama kemudian, telinganya menangkap derap
tapak kaki seseorang. Marha tersenyum. Dia pasti itu Amzar. Lantas, dia menuju
ke peti ais. Air masak dikeluarkan sebelum dia berpaling.
“Arghhh!” Jerit Marha lantas memejamkan mata dengan
rapat. Jantungnya berlari kencang.
“Kau ni dah kenapa menjerit tak tentu pasal?” Soal
Amzar dengan dengusan nafas yang kuat.
“Tuan tu! Tuan tu kenapa turun ke dapur dengan
separuh bogel macam tu?!” Soal Marha dengan suara yang meninggi. Kedua belah
matanya ditekup dengan telapak tangan.
Amzar menahan tawa. Reaksi Marha yang gelabah
mencuit hatinya. Baju t-shirt yang dipegang disangkutkan ke bahu. Nasib baik
aku turun pakai seluar, buatnya aku tak pakai baju dan seluar terus, mahu
pengsan minah ni. Omel hati Amzar. Lantas mendekati Marha.
“Aku baru siap mandi. Aku dapat pakai seluar je.
Baju ni aku tak lepas nak pakai. Jadi tugas kau pakaikan aku baju.” Ujar Amzar
bersahaja.
Demi mendengar kata-kata Amzar, perlahan-lahan Marha
menjatuhkan tangan. Kelopak matanya dibuka dengan perlahan. Tidak sanggup
rasanya untuk dia melihat badan Amzar yang berotot. Naik semput nafas
dibuatnya.
“Kenapa saya pulak nak kena pakaikan untuk tuan?
Tuan pakailah sendiri.” Balas Marha masih enggan memandang Amzar meskipun
matanya sudah terbuka. Dia rela tunduk menekur lantai dari menoleh ke arah
Amzar.
“Kalau aku boleh pakai sendiri, tak adanya aku turun
ke bawah dengan separuh bogel macam ni. Tadi kau yang tanggalkan baju aku, jadi
sekarang kaulah yang kena pakaikan!” Suara Amzar kedengaran tegas.
Marha terdiam. Dia resah. Melilau-lilau anak matanya
memandang ke kiri dan kanan.
“Cepatlah! Aku sejuk ni!” Sergah Amzar kuat.
Marha mengetap bibir. Tidak dapat tidak dia harus
menurut. Perlahan-lahan dia mendekati Amzar. Tangannya dihulurkan untuk meminta
t-shirt daripada Amzar. Apabila t-shirt bertukar tangan, cepat-cepat Marha
sarungkan ke kepala Amzar. Dengan berhati-hati dia menyarungkan tangan kanan
Amzar ke lengan baju. Bimbang lelaki itu mengaduh kesakitan lagi.
“Dah siap…” Ucap Marha setelah baju Amzar selamat
tersarung di tubuhnya yang tegap. Marha dapat merasakan kulit wajahnya yang
berbahang panas. Seolah-olah dibakar hidup-hidup. Dia malu!
“Belum siap lagi.” Balas Amzar menghentikan langkah
Marha. Gadis itu mendongak. Sebaik saja anak mata mereka bertemu, Amzar terkelu
untuk seketika.
“Apa yang tak siap lagi?” Soal Marha polos.
“Ikatkan anduh tu kat lengan aku.” Arah Amzar lagi.
Marha menarik nafas sedalam-dalamnya dan
melepaskannya dengan perlahan. Tak sampai satu hari dia menjaga Amzar, dah
macam-macam arahan yang dikeluarkan. Agaknya bagaimana nasib diri dia sementara
menunggu Datin Zahidah pulang dari mengerjakan umrah?
“Termenung apa lagi? Cepatlah. Aku dah lapar ni!”
Marah Amzar meleraikan lamunan Marha.
Pantas, Marha mendekati Amzar lagi. Kali ini lebih
rapat kerana dia terpaksa menjengketkan kaki untuk mengikat kain anduh di
belakang tengkuk Amzar.
Amzar cuba berlagak tenang walaupun dalam hatinya
sedikit resah apabila terasa tubuh Marha begitu rapat dengan tubuhnya. Seakan
terasa hangat tubuh gadis itu.
“Tunduk sikit boleh tak? Tuan tu dahlah tinggi. Saya
tak sampai nak ikat ni.” Bebel Marha. Dia terpaksa mendekatkan tubuhnya lagi
dengan kaki yang terjengket. Leher Amzar dipaut bagi membolehkan dia melihat
bahagian belakang tengkuk lelaki itu.
Perbuatan spontan Marha membuatkan jiwa lelaki Amzar
diamuk resah. Jantungnya mula berdengup tidak senada apabila hangat nafas Marha
menampar lembut pipinya. Suara Marha yang rapat di telinga Amzar juga turut
menganggu tumpuannya. Dah kenapa dengan hati aku ni, asyik bergendang je?
Perempuan ni je pun. Bukan ada apa-apa pun. Relaks. Kau kena relaks wahai hati.
Benak hati Amzar bersuara.
Manakala Marha dapat menarik nafas lega apabila kain
anduh itu berjaya diikat. Lantas, dia melepaskan pautan di leher Amzar. Tetapi
disebabkan terlalu lama berjengket, kakinya menjadi kebas. Sebaik saja pautan
di leher Amzar dilepaskan, tubuhnya terhuyung-hayang.
“Eh…eh…”
Marha terasa ingin jatuh. Tetapi nasibnya baik
apabila tangan kiri Amzar laju saja meraup pinggangnya. Marha selamat. Dia
terjatuh ke dalam pelukan Amzar. Rapat tubuhnya melekap di dada Amzar.
Kedua insan itu tersentak. Mata Marha terbuntang.
Amzar pula tergamam. Tindakan drastiknya membawa padah apabila jantungnya
berdengup tidak tentu arah. Apa yang aku buat ni? Soal hati Amzar.
“Auch! Aduh!” Jerit Amzar tiba-tiba.
Spontan, Marha menolak tubuh Amzar. Dia cuba berdiri
dengan tegak. Air liur ditelan berkali-kali tetapi itu masih tidak dapat
menghilangkan rasa gementar yang menyerang hatinya saat ini. Dia mengerling ke
arah Amzar. Kelihatan lelaki itu turut mengerling ke arahnya. Lantas, Marha
berpaling ke tempat lain.
Amzar berdeham. Cuba meredakan debaran di hati. Dia
memegang tangan kanannya, berpura-pura sakit padahal dia cuma ingin melindungi
rasa malu.
“Errr… Makanan dah siap. Kalau tuan nak makan saya
hidangkan sekarang.” Ucap Marha tanpa memandang wajah Amzar.
Amzar tidak banyak bicara. Dia terus menarik kerusi
dan duduk. Entah mengapa berada berdua-duaan dengan Marha kali ini terasa
sangat janggal. Hilang terus segala makian yang ingin dia lontarkan pada gadis
itu. Lidahnya seakan kelu. Bibirnya beku.
Marha yang faham dengan tindakan Amzar, terus saja
mencapai pinggan kosong. Dua senduk nasi diletakkan di atas pinggan lalu
disuakan ke arah Amzar.
“Masak lemak cili api ni tak pedas pun. Saya letak
sikit je. Tuan jangan risau.” Terang Marha apabila melihat wajah Amzar berkerut
melihat lauk yang diletakkan di dalam pinggannya.
Amzar hanya merenung kosong nasi dan lauk yang
terhidang di hadapan mata. Kecur juga air liurnya melihat masakan Marha namun
dia tetap menayang sikap egonya. Seolah-olah lauk yang dimasak oleh Marha
langsung tidak menarik perhatiannya.
“Kau letak banyak mana pun makanan dalam pinggan aku
ni, kau ingat aku boleh makan sendiri?” Soal Amzar dingin.
Marha berpaling. Dia menyoroti wajah Amzar yang
kelat. Salah apa pula aku kali ni? Detik hatinya.
“Kee…kenapa tuan?” Soalnya lambat-lambat.
“Kenapa kau tanya aku? Nak cakap kau ni bebal, dah
jadi setiausaha aku. Tak nampak ke tangan aku tak boleh nak gerak ni? Aku nak
makan macam mana?” Soal Amzar garang.
“Tuan nak saya suapkan ke?” Soalan dibalas soalan
oleh Marha.
Amzar menepuk dahi. Lama-lama dia menghadap Marha,
boleh terbang segala kesabarannya.
“Kenapalah hidup aku ni selalu malang je bila kau
ada? Tu pun nak tanya lagi ke? Kau nampak orang lain tak selain kau dalam rumah
ni?”
Marha menggelengkan kepala. Hatinya sedikit terasa
dengan kata-kata Amzar.
“Dah tu, tanya lagi buat apa?” Suara Amzar meninggi.
Marha terpaksa akur. Lambat-lambat dia menyuapkan
nasi ke mulut Amzar tanpa sedikit pun memandang wajah lelaki itu.
“Boleh hilang selera aku bila terpaksa hadap muka
kau hari-hari sementara mama balik.” Sinis Amzar sambil mengunyah makanan yang
masih bersisa.
Marha menarik nafas. Dia cuba bertenang meskipun
telinganya berdesing mendengar omelan Amzar. Hilang selera konon, padahal dah
nak masuk dua kali kau tambah nasi ni. Kelentong betul mamat ni. Bebel hati
Marha.
“Tuan nak saya panggilkan Cik Ratna ke?” Soal Marha
bersahaja.
“Nak buat apa panggil Ratna?” Soal Amzar pula.
“Tolong suapkan tuanlah. Mudah-mudahan tuan
berselera kalau Cik Ratna yang suapkan.” Balas Marha. Geram. Dia meletakkan
sudu lantas berdiri.
“Eh tunggu dulu. Aku tak keluarkan apa-apa arahan,
jadi jangan memandai nak buat tindakan sendiri.” Halang Amzar. Laju saja
tangannya memaut pergelangan tangan Marha.
Langkah Marha terbejat. Dia memandang tangan Amzar
yang bergayut di pergelangan tangannya silih berganti dengan wajah lelaki itu.
Dia mencebik sebelum merentap kembali tangannya.
“Cik Ratna tu kan kekasih tuan, saya yakin tuan mungkin
lebih berselera bila tengok muka dia. Jadi tak perlulah saya jaga tuan lagi.
Biar Cik Ratna yang jaga. Orang cantik macam kekasih tuan tu pasti pandai jaga
orang sakit macam tuan.” Balas Marha lagi.
Amzar berlagak tenang tetapi jauh dalam hati dia resah
juga.
“Kau jangan nak mengarut. Jangan nak libatkan Ratna
dalam hal ni. Dia sibuk. Cakap ajelah yang kau memang tak pernah ikhlas nak
jaga aku. Kau guna alasan Ratna untuk lepaskan diri.”
Marha mengeluh. Dia sudah naik bosan apabila
bertekak dengan Amzar hari-hari.
“Pernah tak walau sekali tuan nampak keikhlasan
saya? Saya ikhlas mintak maaf, tapi tuan tetap tuduh saya yang bukan-bukan.
Saya ikhlas jaga tuan sekarang ni, tapi tuan cakap saya buat semua ni sebab
papa yang bayar. Agaknya dalam otak tuan tu, tak pernah fikir baik pasal saya
walaupun sekali kan? Ikhlas tu tak semestinya kita kena cakap, tuan. Hanya hati
kita yang rasa. Kalau tuan tak dapat nak rasa keikhlasan saya, anggap saja yang
tuan tu tak ada hati!” Hambur Marha. Tegas.
Tanpa menunggu lama, dia meninggalkan Amzar
terkebil-kebil di meja makan.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.