BUNYI
ketukan di pintu mengganggu Amzar yang sedang larut dalam lamunan. Dia
melemparkan pandangan ke muka pintu. Satu dengusan terlepas daripada bibir.
“Nak apa lagilah minah ni?” Sungut Amzar sendirian.
Dia melepaskan keluhan berat.
“Masuk!” laung Amzar kuat. Dia membetulkan duduk
sambil menunggu kehadiran Marha.
Tidak lama kemudian, pintu bilik tidurnya terkuak.
Muncul Marha yang melangkah dengan tenang menghampiri Amzar.
“Hah, kau nak apa? Nak boleh tengok aku senang sikit
ke?” Soal Amzar tanpa berlengah. Dia memerhati Marha yang berdiri di sisi
katil. Terdapat sebotol minyak berada dalam genggaman tangan gadis itu.
“Mama pesan sebelum tidur, tangan tuan tu kena urut
dulu. Barulah cepat sembuh.” Terang Marha dengan senyuman nipis terukir di
bibir.
Amzar mencebikkan bibir. Dia menjeling.
“Aku tak nak!” Balas Amzar pantas dan tegas.
Marha melepaskan nafas pendek. Dia cuba menghimpun
kesabaran untuk berhadapan dengan Amzar. Kebencian lelaki itu terhadapnya
setinggi gunung, mana mungkin dapat terhakis dalam masa yang singkat.
“Baiklah kalau tuan tak nak, saya tak paksa. Tapi
kalau tangan tuan tu lambat sembuh, jangan salahkan saya pulak. Makin lambat
tangan tuan sembuh, lagi lamalah tuan terpaksa menghadap muka saya yang tak
cantik ni. Jadi tuan jangan menyesal.” Ugut Marha. Dia berura-ura untuk
melangkah keluar dari bilik Amzar.
Amzar mengetap bibir. Dia memandang tangannya yang
berbalut dengan kain anduh sebelum pandangannya dilemparkan ke figura Marha
yang sudah membelakanginya. Dia menghembus nafas pendek.
“Aku bagi lima belas minit aje untuk kau urut. Lepas
tu kau boleh berambus dari bilik aku.” Amzar bersuara.
Langkah kaki Marha terhenti. Dia tersenyum
sendirian. Dasar lelaki ego! Dia ingat aku hadap sangat nak berdua-duaan dalam
bilik ni dengan dia. Boleh jalanlah! Omel hati Marha. Lantas, dia berpaling.
“Hah, macam tulah. Saya tahu tuan dah muak tengok
muka saya ni. Jadi saya akan cari jalan supaya tuan cepat sembuh.” Ujar Marha
lalu duduk di birai katil bertentangan dengan Amzar.
Amzar tidak membalas. Dia hanya membatukan diri.
Namun, saat Marha menyentuh tangannya, dia mengaduh kesakitan.
“Sakitlah! Tak boleh berlembut sikit ke? Kau ingat
tangan aku ni kayu?” bentak Amzar tidak puas hati. Berkerut dahinya menahan
rasa sakit.
“Maaf, maaf. Saya tak sengaja.” Ucap Marha sambil
menggigit bibir. Sakit sikit je, itu pun nak kecoh. Kalau ikutkan aku, nak aje
aku patah-patahkan tangan kau ni. Omel Marha dalam hati.
Amzar menjeling. Dia terpaksa menahan rasa nyilu
setiap kali tangan halus milik Marha mengurut lembut lengannya. Sesekali dia
mengerling wajah Marha yang kelihatan tenang. Tanpa sedar bola matanya mula
merayap meneliti setiap anggota wajah Marha. Bermula dari kening gadis itu yang
lebat, kemudian anak matanya beralih ke sepasang mata bundar milik Marha yang
kelihatan bersinar. Nampak cantik dengan bulu mata yang melentik. Percaya atau
tidak, rasa nyilu hilang begitu saja saat dia menatap keindahan wajah
isterinya.
Anak mata Amzar mula turun memandang pipi dan hidung
Marha sebelum turun ke bibir Marha yang merah basah. Lama pandangannya berlabuh
di situ menjemput debaran halus di dalam dada. Inilah kali pertama dia menatap
wajah Marha secara dekat dan lama. Dia meneguk liur. Ada rasa aneh mula
mengalir di setiap urat sarafnya. Amzar cuba mematikan rasa itu namun
pandangannya langsung tidak dapat dialihkan. Hatinya mula bergetar. Apa dah
jadi dengan aku ni? Hati Amzar menjerit.
“Rasanya cukuplah untuk hari ni…” Marha bersuara
seraya mengangkat pandangan.
Zapppp!
Pandangan mereka bertemu. Marha terkelu. Amzar
terkedu. Hanya mata mereka saja yang bertentangan. Seminit. Dua minit. Tiga
minit berlalu begitu saja. Namun, keduanya seakan tenggelam dalam dunia mereka
sendiri.
Akhirnya, bunyi deringan telefon bimbit milik Amzar
mematikan khayalan mereka berdua. Amzar tersentak. Sepantas kilat dia melarikan
pandangan dengan dada yang bergetar
hebat.
Begitu juga dengan Marha. Dia menghembuskan nafas
dengan perlahan. Cuba mengusir rasa gemuruh yang tiba-tiba hadir. Entah
bagaimana dia bagaikan terpaku dengan renungan Amzar yang tajam. Tapi kenapa
dia pandang aku macam tu? Soal hati Marha. Lantas, dia mengerling Amzar yang
meraba-raba tilam untuk mencari telefon bimbitnya.
“Apa lagi yang kau tunggu? Berambuslah!” Ujar Amzar
dengan suara yang tersekat-sekat.
Dia mencapai objek keras yang terdapat di atas
tilamnya lalu dilekapkan ke telinga. Anak matanya diliarkan ke kanan dan kiri.
“Tuan…” Panggil Marha perlahan.
Amzar menahan wajah bengis. Padahal dalam hati sudah
bergendang sesama sendiri apabila mendengar suara Marha yang gemeresik.
“Apa? Kau tak nampak aku tengah bercakap dengan
phone ni?” Amzar berpura-pura marah.
Marha menundukkan wajah seketika. Dia menahan rasa
yang membuak di dada. Dia menarik nafas panjang sebelum menghembuskannya dengan
perlahan.
“Tuan, benda yang tuan pegang tu bukan phone tapi
minyak gamat. Tuan bagi minyak tu kat saya, baru saya keluar dari bilik tuan.”
Terang Marha. Sedaya-upaya dia cuba menahan rasa geli hati apabila melihat Amzar
melekapkan botol minyak gamat ke telinga seolah-olah dia sedang memegang
telefon bimbit.
Amzar tersentak. Pantas, dia melihat benda yang
berada dalam genggaman. Matanya terbuntang.
“Arghh!” Dia menjerit. Spontan dia mencampakkan
botol minyak gamat ke lantai. Terasa berbahang wajahnya saat ini. Malunya!
Tawa Marha terburai jua melihat reaksi wajah Amzar
yang ketakutan seperti melihat hantu. Pantas, dia mencapai minyak gamat
tersebut dan beredar dari bilik Amzar dengan sisa tawa yang masih kedengaran.
Amzar meraup wajahnya dengan tangan kiri. Malunya
hanya Allah yang tahu. Lalu, Amzar merebahkan tubuhnya di tilam. Selimut
ditarik menutupi seluruh tubuhnya tetapi rasa malu masih tidak mahu berlalu
dari dirinya mengenangkan apa yang berlaku. Telefon bimbitnya yang berbunyi
nyaring lansung tidak diendahkan.
“Argghhh!” Jerit Amzar dari dalam selimut.
P/S: MAAF, ENTRY RDR AKAN DIHENTIKAN BUAT SEMENTARA WAKTU, YA. INSYA-ALLAH SK AKAN SAMBUNG SEMULA NANTI. TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA. ;-)
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.