MARHA menyapu sisa air matanya yang masih berbekas
di pipi sambil tangannya lincah menyapu gel aloe vera pada kesan lecur di
lengannya. Hatinya masih tersiat dengan perbuatan Amzar sebentar tadi. Nasibnya
baik kerana Dato Zuhdi muncul tepat pada waktunya, jika tidak entah apa yang
Amzar akan lakukan kepadanya.
“Marha, awak okey ke?” Sapa satu suara mengejutkan
Marha. Lantas, ubat yang dipegangnya jatuh ke lantai. Dia berpaling sekilas
sebelum dia menunduk bagi mencapai ubat yang terjatuh.
“Saya okey, Encik Rafiq…” Jawab Marha. Senyuman
hambar diukirkan.
Dahi Rariq berkerut. Dia yakin pasti ada yang tidak
kena dengan Marha. Wajah kelat gadis itu menceritakan segalanya. Lantas, dia
menghampiri Marha. Pandangan Rafiq terarah pada lengan Marha.
“Kenapa dengan lengan awak tu? Sakit ke?” Soal Rafiq
dengan riak yang serius.
Marha menggelengkan kepalanya dengan pantas. Kedua
belah tangannya disorokkan ke belakang badan.
“Tak ada apa-apalah, encik. Saya okey je.” Jawab
Marha cuba melindungi rasa yang sebenar.
“Kalau awak ada apa-apa nak cakap dengan saya, cakap
aje tau. Anggap saya macam kawan awak. Tadi saya ternampak Dato Zuhdi keluar
dari bilik Am. Nampak macam tegang aje. Awak ada masalah dengan bos awak tu ke?
Dia buli awak?” Soal Rafiq lagi masih belum mengalah.
Marha terdiam. Dia menundukkan wajah seketika.
Patutkah dia menceritakan segalanya pada Rafiq atau diamkan saja? Sedangkan dia
tahu, Amzar sengaja mencari fasal dengannya bukan disebabkan hal kerja tetapi
disebabkan rasa amarah lelaki itu yang tidak pernah surut.
“Buli fasal kerja tu biasa kan encik? Tak ada
apalah.” Jawab Marha.
“Tapi buli tetap buli. Kalau Am suruh awak buat
kerja melebihi kemampuan awak, awak boleh buat aduan. Sebagai pekerja kita ada
hak tau. Awak pun ada hak. Walaupun awak baru dekat sini, tapi tak ada sesiapa
yang berhak buli awak.” Ujar Rafiq dengan riak wajah yang serius.
Sejujurnya, sejak kali pertama dia bertentang mata
dengan Marha, dia dapat rasakan dia mula sukakan gadis ini. Dia cuba untuk
mendekat tapi Marha terus-terusan mengelak.
“Encik jangan risaulah. Tuan Am takkan buli saya.
Kalau dia buli saya, saya report terus dekat Dato Zuhdi.” Balas Marha cuba
menyedapkan hati Rafiq.
Rafiq hanya tersenyum sebaik saja melihat bibir
Marha mengukir senyuman. Lesung pipit di pipi kanan gadis itu cukup membuatkan
senyumannya menawan. Bergetar halus jantung Rafiq.
“Tak payah panggil saya encik. Panggil biasa aje.
Saya lebih suka kalau awak anggap saya kawan.” Ucap Rafiq cuba beramah.
Marha tersenyum lagi. Dia menganggukkan kepala.
“Saya pergi sambung kerja dululah, Encik Rafiq.
Oppss… Salah… Rafiq.” Ujar Marha sambil memperbetulkan percakapannya. Dia
ketawa kecil. Rasa sebal terhadap sikap Amzar tadi hilang begitu saja dengan
kehadiran Rafiq.
Rafiq menjengilkan matanya namun dia ketawa
kemudiannya.
“Baiklah. Err… Marha…” panggil Rafiq perlahan.
Langkah Marha terhenti. Dia menoleh ke belakang.
“Takziah atas kehilangan ayah awak…” ucap Rafiq
dengan lembut.
Marha tersenyum lagi. Dia menganggukkan kepala
sebelum berpaling untuk melangkah pergi.
“Marha….” Suara Rafiq memanggil lagi.
Sekali lagi langkah Marha terhenti. Dia menoleh buat
kali kedua.
“Ada apa, Rafiq?” soalnya pendek.
“Jangan senyum macam tu lagi. Tak tidur lena saya
malam ni,” gurau Rafiq lantas ketawa lepas.
Marha membesarkan matanya. Sedikit terkedu dengan
kata-kata Rafiq. Namun tidak lama kemudian dia ikut ketawa.
TUMPUAN Amzar masih terarah pada jalan raya yang
kelihatan sesak sebaik saja pulang dari pejabat. Sekilas Amzar mengerling jam
yang terpapar di dashboard. Sedar tak sudah waktu sudah menghampiri pukul
sembilan malam. Satu bandar Kuantan dia berpusing tanpa arah tujuan.
Perbualan dengan Dato Zuhdi menganggu
ketenteramannya saat ini sehinggakan dia nekad untuk mencari secebis
ketenangan.
“Papa tahu kamu benci sangat pada Mar tu tapi ini
pejabat. Jaga sikit perangai kamu tu. Jangan disebabkan masalah peribadi antara
kamu dan dia, kamu bawa sampai ke tempat kerja.” Nasihat Dato Zuhdi dengan
tegas.
Wajah Amzar dipandang lama. Tiada secalit senyuman
pun terukir di bibir anak sulungnya itu.
“Dah dia melawan, memang patutlah Am ajar sikit.
Perempuan kurang ajar macam tu memang elok ditampar aje.” Balas Amzar
bersahaja. Hatinya masih berdongkol dengan rasa marah terhadap Marha. Dia
sendiri keliru sama ada amarahnya disebabkan Ratna atau pun rasa marah itu
disebabkan pernikahan yang terjadi antara mereka berdua.
“Astaghfirullah-al-azim. Sejak bila kamu jadi macam
ni, Am? Kalau marah sekali pun jangan sampai angkat tangan dekat perempuan tak
kiralah siapa pun dia pada kamu. Papa tak pernah ajar kamu berkasar dengan
perempuan. Ingat sikit, dia tu isteri kamu. Tanggungjawab kamu untuk jaga dia,
bukan jadikan dia tempat untuk lepaskan kemarahan kamu.” Tegur Dato Zuhdi lagi.
Kali ini lebih tegas.
Dia tidak menyangkan anak yang dia didik selama dua
puluh lapan tahun dengan penuh kasih sayang, dengan penuh sifat penyayang
akhirnya menjadi seorang yang panas baran dalam sekelip mata. Dato Zuhdi
menggelengkan kepala tanda kesal.
“Tak pernah terlintas dalam fikiran Am ni untuk jaga
dia. Am nikah dengan dia sebab mama dan papa tau. Kalau ikutkan Am tak ingin
langsung ambil perempuan tu jadikan isteri.” Balas Amzar mendabik dada.
“Jadi kamu nak menidakkan jodoh yang Allah tetapkan
untuk kamu? Papa peliklah dengan kamu ni, Am. Kamu tahu kamu dan Marha tak
bersalah, tapi kenapa kamu letakkan semua kesalahan malam itu seratus peratus
atas bahu dia? Papa terima apa yang terjadi pada kamu sebagai satu kemalangan
tapi kenapa kamu tak dapat terima semua tu?” soal Dato Zuhdi membuatkan Amzar
mati bicara.
“Sebab dia mama paksa Am kahwin. Papa tahu kan Am
dah ada Ratna. Am boleh cari pasangan hidup Am sendiri. Kenapa Am nak kena
kahwin dengan dia pulak? Malam tu. Malam tu papa tahu Am tak bersalah, tapi
kenapa papa nak juga Am kahwin dengan perempuan tu? Papa nak tengok hidup Am
musnah ke kahwin dengan perempuan yang Am langsung tak kenal.” Luah Amzar. Dia
meraup rambutnya ke belakang.
Dato Zuhdi tersenyum sinis. Dia menyandarkan
belakang tubuhnya ke kerusi. Wajah kacak milik Amzar ditenung lama.
“Jadi Am betul-betul kenal Ratna? Am kenal semua
ahli keluarga dia? Dan yang paling penting, betul Am cintakan Ratna dengan
sepenuh hati Am?” soal Dato Zuhdi sambil merenung tepat ke dalam anak mata
Amzar yang coklat cair.
Amzar terkedu. Soalan Dato Zuhdi benar-benar
mencabar mindanya. Bukannya Dato Zuhdi tidak tahu, satu-satunya kelemahan Amzar
adalah perkataan ‘cinta’. Sejak dulu, bibirnya bagaikan berat untuk menyebut
perkataan itu. Entah kenapa dan mengapa.
“Apa yang papa tanya ni? Of course Am cin….”
Kata-kata Amzar mati di situ. Dia berdeham. Dadanya mula berdetak tidak
menentu. Perkataan itu bagaikan tidak mahu keluar daripada kerongkongnya.
Lidahnya turut beku dengan tiba-tiba malah dahinya mula berpeluh walaupun bilik
mesyuarat itu lengkap dengan pendingin hawa.
“Apa yang Am nak cakapkan ni?” Soal Dato Zuhdi
menguji. Dia tersenyum sinis.
“Am nak cakap yang Am memang cin….” Sekali lagi
Amzar gagal untuk menghabiskan bicara. Dia melepaskan satu keluhan dengan kuat.
Dia mengalah akhirnya. Perkataan itu terus tersekat di kerongkongnya. Sumpahan
apakah ini?
“See… Nak cakap perkataan cinta pun kamu payah.
Inikan pula kamu nak mengaku yang kamu mahukan Ratna jadi teman hidup kamu.
Sudahlah, Am. Papa tak rasa pun yang Ratna tu jodoh terbaik untuk kamu. Mana
tahu orang yang kamu benci, orang yang kamu tak sangka itulah yang akan jadi
jodoh kamu. Jadi cinta kamu. Kita ni, kadang-kadang lebih suka memandang yang
jauh dari apa yang ada di hadapan mata. Bila dah hilang mulalah mencari,”
nasihat Dato Zuhdi dengan kiasan.
Amzar hanya mencebik. Dia tidak mempercayai apa yang
dikatakan oleh Dato Zuhdi.
“Dan papa jangan harap Am akan terima perempuan tu
dalam hidup Am. Tengok muka dia pun Am dah menyampah. Kalau boleh Am nak aje
buang dia dari hotel ni. Baru tak sakit hati Am.” Tambah Amzar lagi. Dia
mengepal penumbuk.
“Jangan macam tu Am. Kerja Marha tak pernah
mengecewakan papa dan papa tahu dia setiausaha yang baik untuk Am. Jangan tabur
pasir dalam periuk nasi dia. Am tahu kan Marha baru kehilangan ayah dia, takkan
Am nak tambah lagi kedukaan dia? Sekarang tugas dia sara adik-adik dan keluarga
dia. Jangan jadi kejam Am. Allah tak suka.” Balas Dato Zuhdi mulai risau dengan
sikap Amzar.
Amzar tersenyum sinis.
“Kalau inilah cara yang boleh beri dia penderitaan,
apa salahnya.” Jawab Amzar selamba tanpa perasaan.
“Ya Allah, Am!” terjerit kecil Dato Zuhdi dibuatnya.
Dia menggelengkan kepala dengan rasa kecewa yang membuak-buak.
“Terima takdir Allah ini dengan reda, Am. Pasti ada
hikmahnya. Jangan menidakkan apa yang dah Allah rencanakan untuk kamu.” Tambah
Dato Zuhdi lagi. Masih belum berputus asa untuk menasihati Amzar yang keras
sudah berkeras hati.
“Am tak pernah menidakkan takdir Allah tapi Am tetap
tak dapat terima perempuan tu walau apa pun yang berlaku.” Tegas Amzar. Lantas,
dia bingkas bangun untuk meninggalkan bilik itu.
“Tapi papa takkan pernah berhenti berdoa untuk
kebahagiaan Am. Am lelaki. Tugas Am sebagai pelindung bukan pemusnah.” Ucap
Dato Zuhdi sebelum Amzar menghilang di sebalik pintu.
Ping! Ping!
Bunyi hon dari belakang menghentikan Amzar daripada
lamunan. Dia memandang cermin pandang belakang sekilas sebelum kembali
memulakan perjalanan. Kata-kata Dato Zuhdi berlegar-legar di fikirannya saat
ini membuatkan otaknya semakin kusut. Dia perlukan ketenangan, lantas keretanya
dihalakan menuju ke rumah sewa Ratna.
Sebaik saja sampai di kawasan perumahan Ratna, Amzar
menghentikan keretanya agak jauh dari rumah gadis itu. Kelihatan sebuah kereta Nissan
Fairlady berada di hadapan rumah Ratna. Dahi Amzar berkerut.
“Siapa pula tu?” Soalnya sendirian.
Tidak lama kemudian, kelihatan Ratna keluar dari
rumah dengan siap berpakaian cantik. Malah, pakaiannya juga cukup seksi di mata
Amzar. Wajah gadis itu nampak begitu gembira sebaik saja terpandang pemilik
kereta tersebut melangkah keluar.
Jelas, seorang lelaki yang agak berumur keluar lalu
mendapatkan Ratna. Mereka berdua berpeluk untuk seketika. Sebelum lelaki tua
itu menghadiahkan ciuman di pipi Ratna. Ratna ketawa kecil.
Mata Amzar terbuntang. Jantungnya mula berdegup
pantas. Dia tidak menyangka Ratna semurah itu. Namun, Amzar hanya mampu ketawa.
Tidak terdetik pun dalam fikirannya untuk menyerang Ratna atau pun lelaki
tersebut. Hatinya kosong saat ini. Kosong sekosongnya.
Lalu, dia terus menekan pedal minyak dan
meninggalkan kawasan perumahan Ratna.
“Tak sangka senang betul kau diperbodohkan dengan
perempuan, Am.” Ucap Amzar sendirian. Dia ketawa kemudian wajahnya bertukar
serius.
“Aku nak tengok sejauh mana kau bersandiwara, Ratna.
Kalau kau boleh tipu aku, aku pun boleh tipu kau,” sambung Amzar lagi.
Dia akan gunakan Ratna untuk lepaskan diri daripada
Marha. Bila segalanya telah selesai, dia akan tinggalkan Ratna. Itu rancangan
Amzar. Lantas, dia meneruskan pemanduan dengan fikiran berkecamuk. Tanpa sedar,
lampu isyarat sudah bertukar merah tetapi Amzar tetap meneruskan perjalanan dan…
Dummm!
Kereta yang dipandu Amzar bertembung dengan kereta
lain tanpa sempat dia mengelak. Segalanya berlaku dalam sekelip mata. Dunia
Amzar terus kelam.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.