Tetamu Rindu

Friday 3 May 2019

Bayang - Bab 2 -

RAFI mundar-mandir di hadapan katil milik Syadi yang sedang terbaring tidak sedarkan diri. Dia mengerling ke arah Syadi sambil menggigit bibir. Dia memejamkan mata sejenak kemudian membukanya kembali. Berharap Syadi membuka mata namun hampa. Syadi masih tidak menunjukkan tanda-tanda ingin sedarkan diri.
Dia melepaskan keluhan lalu dia mendapatkan tubuh Syadi. Wajah Syadi yang lebam-lebam dan bengkak dipandang dengan penuh simpati. Kepala lelaki itu turut berbalut. Nasib Syadi baik apabila tiada kecederaan yang serius kecuali dada lelaki itu yang terpaksa dijahit akibat ditusuk dengan pisau.
“Syad, bangunlah. Cakaplah kat aku apa yang jadi pada kau ni. Jangan buat aku risau.” Ujar Rafi sambil menyebak rambutnya ke belakang. Lengan Syadi digoncang lembut.
“Siapa orang yang ceroboh rumah kau tu? Apa yang  dia nak daripada kau? Kenapa dia sanggup pukul kau sampai macam ni sekali?” Soal Rafi bertalu-talu kepada tubuh Syadi yang kaku. Hanya dada lelaki itu saja yang turun naik menandakan lelaki itu masih lagi bernyawa.
Rafi mengeluh buat kesekian kalinya. Dia ingin berbicara lagi tetapi ketukan di pintu membuatkan Rafi mendongak. Tidak lama kemudian, pintu terkuak dari luar. Semerta, Rafi bingkas bangun apabila melihat dua orang lelaki berbadan tegap memakai jaket kulit berwarna hitam menghampiri katil Syadi.
“Assalamualaikum…” Salam diberikan dengan sopan.
“Waalaikummusalam.” Jawab Rafi sambil menundukkan kepala.
“Saya Inspektor Fariz dan ini Sarjan Munir. Kami dapat laporan tentang kes ceroboh dan pukul terhadap Encik Syadi Arsyad. Encik ni siapa?” Soal Inspektor Fariz sambil mengunjukkan ibu jarinya kepada Rafi.
“Saya Rafi, pengurus Encik Syadi. Saya yang buat laporan tadi.” Jawab Rafi laju.
Inspektor Fariz menganggukkan kepala. Dia meneliti sesuatu di atas kertas yang berada di dalam fail.
“Encik Syadi masih belum sedarkan diri? Apa kata doktor?” Inspektor Fariz berbasa basi. Cuba untuk menenangkan Rafi yang kelihatan risau.
“Belum sedar lagi, tuan. Doktor kata dia cuma mengalami luka-luka yang ringan. Dadanya ditusuk dengan pisau dan terpaksa dijahit. Walaupun tak ada yang serius, tapi saya tetap risau. Saya tak tahu siapa punya angkara. Masa saya masuk ke dalam rumah Syadi, ada seorang lelaki yang berlari keluar dari rumah tu. Saya tak sempat nak kejar sebab saya lebih pentingkan Syadi.” Ujar Rafi tanpa sedar dia memulakan cerita.
Inspektor Fariz berpandangan dengan Sarjan Munir.
“Encik Syadi ada bermusuh dengan sesiapa tak?” Soal Inspektor Fariz lagi sedangkan Sarjan Munir mula mencatat sesuatu.
Rafi terdiam seketika. Dia cuba memikirkan sesuatu.
“Setahu saya Syadi tak ada bermusuh dengan sesiapa. Dia bukan macam artis lain. Hidup dia cuma atas pentas, dalam studio dan rumah. Dia tak ada kawan yang rapat. Saya tak rasa dia ada musuh, tuan.” Jelas Rafi. Anak matanya dialihkan ke arah Syadi.
“Mungkin peminat fanatik?” Inspektor Fariz cuba membuat andaian.
Rafi menggelengkan kepala dengan laju.
“Saya tak nafikan Syadi ada ramai peminat fanatik tetapi setakat ini tak ada peminat fanatik mana-mana artis yang sanggup menceroboh dan cederakan artis kesayangan mereka.” Balas Rafi.
Inspektor Fariz menganggukkan kepala. Dia ingin melanjutkan kata tetapi apabila melihat Syadi mula menggerakkan kepalanya, perbualan mereka terbantut. Sepantas kilat, Rafi mendapatkan Syadi. Lengan lelaki itu disentuh lembut.
“Syad, kau dah sedar?” Soal Rafi lembut. Anak matanya tuntas memandang Syadi yang mula membuka mata.
Syadi menarik nafas panjang dan melepaskan perlahan. Pandangannya masih lagi kabur tetapi dia tetap mengerdipkan matanya beberapa kali. Kepalanya juga terasa berdenyut. Tekakknya mula terasa haus. Namun, bayang wajah Rafi yang tadinya kabur, mula kelihatan jelas di pandangannya.
“Aku haus…” Ucapnya perlahan. Dia cuba bangun untuk menyandarkan belakang badannya di kepala katil. Dadanya dipegang. Wajahnya berkerut menahan sakit setiap kali dia bergerak.
“Kau haus? Kejap, aku ambilkan air.” Balas Rafi lalu mencapai gelas yang berisi air putih lalu disuakan ke mulut Syadi selepas membetulkan bantal yang berada di belakang Syadi.
Syadi hanya menurut. Perlahan-lahan dia meneguk air yang disuakan oleh Rafi. Lega.
“Kau okey, Syad?” soal Rafi sambil meletakkan gelas tersebut di atas meja sisi.
Inspektor Fariz dan Sarjan Munir hanya memerhatikan setiap gerak geri Syadi yang kelihatan terbatas. Mungkin rasa sakit itu masih bersisa.
“Alhamdulillah, aku rasa okey sikit. Cuma kepala aku sakit. Kaki aku sakit. Dada aku ni lagilah sakit. Pedih.” Ujar Syadi dengan wajah yang berkerut.
“Nak aku panggil doktor?” soal Rafi.
Dengan pantas, Syadi menggelengkan kepala. Dia beralih pandangan ke arah Inspektor Fariz dan Sarjan Munir. Dia tersenyum kelat. Kemudian dia memandang Rafi untuk meminta penjelasan.
“Oh, ini Inspektor Fariz dan Sarjan Munir. Dia datang nak dapatkan keterangan daripada kau.” Terang Rafi. Syadi menganggukkan kepala tanda faham.
“Kalau encik belum bersedia, kami boleh datang esok.” Balas Inspektor Fariz simpati melihat keadaan Syadi.
“Saya boleh beri keterangan sekarang. Saya nak penceroboh tu ditangkap secepat mungkin. Saya nak tahu siapa dia. Kenapa dia serang saya tanpa sebab yang pasti.” Ujar Syadi. Otaknya mula memutarkan peristiwa hitam itu.
“Jadi encik boleh ceritakan semuanya sekarang?” soal Inspektor Fariz.
Syadi mengangguk laju.


YUSRA menundukkan kepala. Dia hanya mampu menadah telinga mendengar segala hamburan Tan Sri Ghazali terhadapnya.  Sesekali dia memegang lengannya yang berbalut akibat ditoreh sewaktu bergelut dengan penculik tadi. Ehsan, rakan setugasnya turut menundukkan kepala. Tidak berani mengangkat wajah sebaik saja Tan Sri Ghazali meluahkan rasa amarah.
“Macam mana boleh jadi begini, hah? Berapa kali saya pesan, jaga keluarga saya ketat-ketat. Tengok, apa dah jadi pada anak saya? Nasib baik tak ada kecederaan yang serius, kalau tak, saya nak awak berdua bertanggungjawab!” Suara Tan Sri Ghazali kedengaran memetir di hadapan pintu bilik Lily.
Yusra masih lagi mendiamkan diri. Tangannya diletakkan ke belakang. Dia sudah biasa menghadapi situasi seperti ini. Menjadi pengawal peribadi kepada orang kenamaan harus memiliki mental yang kuat. Jika tidak, pasti dia sendiri yang tidak dapat mengawal amarah. Kerenah mereka kadang-kadang mampu mencabar kesabarannya.
“Awak berdua buat apa semalam? Macam mana Lily boleh terlepas keluar dengan lelaki tu? Siapa lelaki tu? Awak berdua siasat tak?” Soal Tan Sri Ghazali bertalu-talu dengan amarah yang masih belum surut.
Yusra dan Ehsan berpandangan. Ehsan tergagap-gagap. Jelas dahi lelaki yang berusia dua puluh tujuh tahun itu berpeluh. Gementar mungkin. Yusra turut merasakan perkara yang sama. Dia menelan air liur.
“Kenapa diam?!” Jerkah Tan Sri Ghazali tanpa memikirkan di mana mereka berada saat ini. Beberapa orang jururawat yang lalu lalang terkejut mendengar suara Tan Sri Ghazali yang meninggi. Mereka ingin menegur namun tidak mempunyai keberanian.
“Errr… Saya dah cuba untuk halang Cik Lily, tan sri. Tapi Cik Lily tak nak bagi kerjasama.” Jawab Yusra berani.
Mata Tan Sri Ghazali terarah kepada Yusra. Melotot pandangannya mendengar jawapan yang terbit daripada mulut gadis muda itu.
“Jadi, awak nak salahkan anak sayalah ni?” soal Tan Sri Ghazali mula menapak ke arah Yusra. Langkah Yusra terundur ke belakang. Wajahnya tetap ditundukkan. Tanda hormat.
“Tak. Bukan itu maksud saya, tan sri…”
“Habis tu apa maksud kau? Aku suruh kau jaga anak aku. Awasi gerak-geri dia. Takkan itu pun kau tak boleh buat? Ingat, aku bayar kau bukan sikit tau. Kalau aku tak bayar kau, kau orang berdua ni dah kebulur. Sedar diri tu!” Maki Tan Sri Ghazali tidak semena-mena. Dengan selamba, dia menunjal kepala Yusra beberapa kali.
Yusra mengetap bibir. Menahan rasa amarah yang mula membuak di dada. Tangan yang berada di belakang badan, dikepal dengan kemas. Cuba mencari kekuatan dan kesabaran dengan cara itu.
“Saya dah cuba halang Cik Lily keluar dari rumah tapi Cik Lily yang degil, tan sri. Kalau tan sri tak percaya, tan sri boleh check CCTV. Cik Lily yang cuba keluar dari rumah tanpa pengetahuan saya dan Ehsan.” Yusra mula menjawab. Tidak tahan dengan sikap Tan Sri Ghazali yang suka melepaskan amarah kepada pekerja-pekerja bawahannya.
“Berani kau salahkan anak aku ya?”
“Dah memang Cik Lily  yang salah. Dia ingkar arahan ayah dia sendiri. Tan sri ingat dia akan ikut arahan kami? Kami dah buat sehabis baik untuk lindungi tan sri dan keluarga tan sri tapi kalau Cik Lily sendiri yang ingin menempah maut, itu bukan salah kami. Kalau tan sri nak kami lindungi keluarga tan sri, keluarga tan sri perlu beri kerjasama.” Tegas Yusra tidak teragak-agak.
Ehsan membulatkan matanya. Tidak menyangka Yusra seberani itu. Dia cuba menyinggung lengan Yura namun gadis itu terlalu jauh daripadanya. Dia tidak mahu kata-kata Yusra makin menyemarakkan lagi api kemarahan dalam hati Tan Sri Ghazali.
“Kau cakap apa? Kau cakap Lily cuba tempah maut? Habis tu apa gunanya kau orang berdua? Jaga anak aku tu pun kau tak boleh, kata bodyguard profesional. Tapi kerja senang macam ini pun kau tak boleh buat. Cakap ajelah yang kau orang berdua ni, tak guna! Lembab!” Hambur Tan Sri Ghazali lagi. Kali ini, bahu Yusra ditolak kasar.
Yusra melepaskan nafas. Perbuatan Tan Sri Ghazali kali ini sudah melampau. Lantas, tangan lelaki tua itu ditepis. Mencerun anak matanya memandang wajah Tan Sri Ghazali.
“Baiklah. Memandangkan kerja ni senang bagi tan sri. Saya cadangkan tan sri sendiri yang jaga! Saya letak jawatan! Aha, lagipun kontrak saya dah tamat semalam! Jadi, selamat tinggal!” Tekan Yusra lalu menanggalkan kad pekerja yang tergantung di lehernya. Kad tersebut dicampakkan ke atas lantai. Satu jelingan dihadiahkan buat Tan Sri Ghazali yang terpempan dengan kata-katanya.
Tan Sri Ghazali tergamam dengan tindakan Yusra. Terkebil-kebil dia memandang gadis itu yang berlalu pergi.
“Yusra!” Panggillan Ehsan tidak diendahkan.
Dia sudah nekad untuk tidak berpaling. Hatinya sudah tersiat. Seringkali kerjanya sebagai pengawal peribadi dipandang enteng oleh sesetengah pihak sedangkan dia sanggup menggadaikan nyawa semata-mata untuk melindungi orang yang tidak dikenalinya.
“Budak tak kenang budi!” Maki Tan Sri Ghazali lagi lantas kad pekerja milik Yusra yang terdampar di atas lantai disepak sekuat hati. Kali ini pandangannya terarah kepada Ehsan.
“Tak payah kau panggil kawan kau yang tak guna tu! Kalau kau nak teruskan kerja ni, ikut aku sekarang!” Arah Tan Sri Ghazali dengan garang.
Ehsan serba-salah. Sememangnya bekerja di bawah prinsipal seperti Tan Sri Ghazali tidak pernah terlintas di dalam fikirannya. Kalau diikutkan hati ingin saja dia mengikuti jejak langkah Yusra, namun apabila memikirkan dia masih memerlukan duit untuk menanggung keluarga, Ehsan terpaksa menelannya seorang diri. Adat pekerjaan. Itu yang sering difikirkan oleh Ehsan semata-mata untuk menyedapkan hatinya sendiri. Akhirnya, dia hanya mampu membuntuti langkah Tan Sri Ghazali.
Dia menoleh ke belakang buat seketika. Hanya pandangan sayu bisa dilemparkan ke arah kad pekerja milik Yusra yang terdampar di atas lantai berhadapan bilik VIP yang lain. Semoga kau terus kuat, Yusra. Bisik hatinya.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.