SENYUMAN
yang mekar di bibir itu menggamit ketenangan pada sesiapa yang melihat.
Terpancar cahaya keikhlasan di wajah itu sewaktu mengucapkan terima kasih
kepada pelanggan yang singgah di warung berhadapan dengan rumahnya. Sekilas dia
berpaling memandang wajah ibunya yang sedang duduk berehat sambil meneguk air.
Simpati tumpah saat melihat wajah itu kepenatan.
“Alhamdulillah, ibu. Hari ni rezeki kita
lebih sikit,” ujarnya dengan senyuman manis terlakar mesra di bibir merahnya.
Mak Cik Sarimah hanya tersenyum nipis.
Wajah anak lelakinya yang sudah berpeluh dipandang dengan penuh rasa simpati.
Walaupun cuma anak angkat, tetapi anak muda itu memang seorang yang baik hati
dan sanggup menolong dirinya yang serba kekurangan.
Semenjak kematian suaminya Pak Cik
Rahim, Mak Cik Sarimah mengambil alih tugas sebagai seorang ayah dan seorang
ibu bagi anak-anaknya yang seramai tiga orang. Rata- ratanya masih di sekolah
menengah. Mujur ada Syahid yang sudi menolong walaupun anak muda itu terpaksa
mengorbankan masa remajanya mencari rezeki bagi mengurangkan beban mereka
sekeluarga.
“Alhamdulillah, Syah. Syah tak ke laut
ke hari ni?” soal Mak Cik Sarimah sambil menatap wajah anak angkatnya itu.
Syahid tersenyum manis. Dia mengibas
tangan bagi menghalau lalat yang berterbangan di sekitar bekas makanannya.
“Petang nanti Syah pergilah, ibu. Syah
nak ke bandar sekejap..” balas Syahid.
“Nak buat apa pergi bandar?” soal Mak
Cik Sarimah pelik.
“Nak belikan ubat untuk ibulah. Nanti
ibu sakit lagi, siapa pula yang nak masak?” ucap Syahid sambil ketawa kecil.
Mak Cik Sarimah turut ketawa. Dia
bersyukur kerana dianugerahkan anak seperti Indra Syahid ini. Walaupun hanya
anak angkat tetapi anak muda itu tidak pernah mengeluh hidup dalam serba
kekurangan. Sudah banyak kali Mak Cik Sarimah meminta supaya Syahid mencari
keluarga kandungnya yang lain namun anak muda itu masih berdegil. Baginya
cukuplah hidup dengan keluarga Mak Cik Sarimah walaupun hidup serba kekurangan
tetapi dia bahagia.
“Bila Syah nak pergi?” soal Mak Cik
Sarimah lagi.
“Ni nak pergilah ni. Syah masuk dulu ibu
nak tukar baju,” ucap Syahid lalu berlalu selepas melihat anggukan daripada Mak
Cik Sarimah.
Mak Cik Sarimah membiarkan Syahid
berlalu. Sementara itu dia mengambil alih tempat Syahid. Tidak sampai beberapa
minit menunggu, tiba- tiba sebuah kereta Audi A4 berwarna merah berhenti di
hadapan warungnya. Dahi Mak Cik Sarimah berkerut apabila melihat pemilik kereta
tersebut keluar dan berjalan menghampirinya.
“Mak cik, I nak tanya sikit. Nak ke
bandar Rompin macam mana?” soal gadis itu dengan suara yang kedengaran agak
angkuh di telinga Mak Cik Sarimah.
“Err...anak
pergi terus. Sampai dekat simpang tu, anak belok ke kiri lepas tu terus je…”
ujar Mak Cik Sarimah memberi tunjuk arah.
Gadis itu mengangguk. Lantas tanpa
ucapan terima kasih dan salam, gadis itu terus melangkah masuk ke dalam kereta
mewahnya tanpa menghiraukan Mak Cik Sarimah yang agak terkejut melihat
perlakuan biadap gadis itu.
“Muka cantik tapi kurang ajar. Hai, apa
nak jadi dengan perempuan zaman sekarang…” bebel Mak Cik Sarimah seorang diri.
Dia menggelengkan kepalanya.
“Apa yang ibu bebelkan tu?” soal Syahid
tiba- tiba mengejutkan Mak Cik Sarimah. Dia mengurut dadanya.
“Syah ni pun, terkejut ibu. Tadi ada
perempuan berhenti tanya jalan kat ibu tapi bukan main sombong lagi dia dengan
ibu. Bukan setakat salam, terima kasih pun dia tak cakap,” balas Mak Cik
Sarimah sambil mencebikkan bibirnya.
Syahid hanya mengangkat bahu. Nak buat
macam mana, perempuan zaman sekarang sudah luntur dengan sikap ketimurannya.
“Biasalah, ibu. Perempuan alaf baru. Ibu
tak payah fikir sangatlah. Syah dah nak pergi ni,” ucap Syahid.
“Yalah,” balas Mak Cik Sarimah sambil
melemparkan pandangan pada Syahid yang sudah mula melangkah naik ke atas
motornya. Lambaian Syahid hanya dibalas dengan senyuman. Dia menghantar bayang
Syahid sehingga anak angkatnya itu hilang dari pandangan.
MATA
Syahid melilau mencari tempat untuk memarkir motornya sementara dia hendak ke
farmasi untuk membeli ubat untuk ibunya. Sudah puas berpusing di sekitar
bangunan kedai itu akhirnya matanya tertancap pada ruang parkir yang dikhaskan
untuk tempat letak motorsikal. Lalu, dia mengarahkan motornya ke tempat
tersebut.
Namun, belum sempat tayar motornya
melangkah masuk ke ruang kuning itu tiba- tiba sebuah kereta Audi berwarna merah
memotong motornya dan terus memarkir kereta mewahnya di kawasan tempat letak
motor. Bulat mata Syahid melihat sikap kurang ajar pemandunya itu. Nasib baik
dia sempat membrek motornya kalau tidak gerenti dia jatuh tersembam.
Dengan rasa geram, Syahid menghampiri
kereta tersebut dengan motorsikalnya. Cermin kereta itu diketuk. Tidak sampai
beberapa minit, cermin kereta yang di tinted
hitam itu terbuka. Terjengul wajah gadis yang cantik jelita. Syahid terpana
seketika namun jelingan gadis itu membuatkan Syahid tersedar.
“Kau apa hal?” tanya gadis itu dengan
kasar. Wajahnya tidak menggambarkan rasa bersalah malah dengan bongkaknya dia
menolak pintu kereta.
“Awak tanya saya apa hal? Awak tahu tak
tempat yang awak parking ini tempat
letak motor. Siapalah yang ajar awak parking
kereta dalam petak parking untuk
motor?” sinis Syahid geram. Harapkan muka je cantik macam Wawa Zainal tapi
bahasa nauzubillah. Omel hati Syahid.
“Ada aku kisah ke ni parking motor ke parking kereta?” gadis itu
menyoal kembali dengan gaya angkuhnya.
Dia keluar daripada perut kereta. Cermin
mata hitamnya dibetulkan sedikit. Wajah Syahid yang terlindung oleh helmet itu
dipandang sekilas. Eeeuuu…budak
selekeh rupanya yang tegur aku. Detik hatinya dengan bongkak.
“Awak memang tak kisah tapi saya kisah.
Dalam banyak-banyak parking kenapa
tempat motor ini jugak awak pilih? Kereta dah besar tapi sayang undang-undang
jalan raya pun tak tahu. Kesian…” ejek Syahid berani.
Merah padam muka si gadis. Dia menguak
rambutnya ke belakang. Cermin matanya ditanggalkan. Dia menentang wajah Syahid
dengan berani. Kecil besar, kecil besar saja Syahid di matanya saat ini. Sekali
aku tempeleng mamat ni, koma seminggu kang. Detik hatinya.
Syahid seakan terpaku melihat wajah
sebenar gadis yang berada di hadapannya. Memang cantik malah cukup sempurna
pada pandangan Syahid. Tiba- tiba saja hatinya terdetik sesuatu. Jantungnya
mula berdetak saat membalas renungan anak mata bundar itu.
“Jangan menyibuk boleh tak? Kau pergilah
parking tempat lain. Ikut suka hati
akulah nak parking kat mana pun.
Kalau aku kena saman, aku yang bayar. Bukan kau!” tingkah gadis itu lagi.
Sebaik saja mendengar suara gadis itu,
berterbangan habis lamunan Syahid. Serta-merta wajah gadis cantik gadis itu
kelihatan hodoh di mata Syahid. Agaknya minah ni tak pernah belajar cara
menghormati orang dekat sekolah dulu. Desis hati Syahid geram. Dia mengetap
bibir.
“Masalahnya majlis perbandaran dah letak
tempat parking untuk motor itu dekat
tempat awak parking kereta. Awak ni
tak faham bahasa ke?!” marah Syahid lagi.
Bulat mata gadis itu mendengar bahasa
Syahid. Dia merengus benci.
“Eh suka hati akulah. Kau boleh berambus
cari tempat lain. Jangan nak melalak depan aku. Serabai!” balas gadis itu lagi
lalu melangkah meninggalkan Syahid yang kelihatan bengang.
Syahid menahan sabar. Rasa mahu
ditamparnya mulut gadis itu. Biar tahu adab sopannya sebagai seorang wanita.
Ini tidak bahasa mengalahkan gangster, mengalahkan orang yang tak sekolah.
Walaupun dia bukanlah seorang yang berpelajaran tinggi tapi dia masih tahu lagi
beradap dengan orang lain.
“Oh, kau nak main kasar dengan aku, ya?
Memanglah kau kaya, tapi setakat kaya harta je buat apa. Kalau budi bahasa
berterabur. Tak apa, biar aku sekolahkan kau hari ni…” ucap Syahid dengan
senyuman penuh makna.
Matanya meliar memandang lenggok gadis
itu yang melangkah ke dalam bank. Sebelum matanya mencari pondok penguatkuasa
bandar raya. Dia tersenyum apabila melihat penguatkuasa yang memakai baju biru
gelap sedang duduk di pondok tidak jauh daripada tempatnya.
“Masa untuk balas dendam!” ucapnya
dengan senyuman sinis.
LAILA
melangkah keluar daripada bank setelah urusannya selesai. Dia merengus kerana
terpaksa beratur panjang untuk mengambil duit di mesin ATM. Dahlah panas
ditambah lagi dengan kesesakan ketika berada di dalam bank, makin membuatkan
hati Laila bertambah panas. Dia melangkah menuju ke keretanya yang diparkir di
hadapan bank.
Dahinya berkerut dan serta-merta
wajahnya berubah apabila melihat tayar keretanya sudah dikunci dengan besi yang
berwarna kuning. Terdapat notis saman daripada Majlis Perbandaran Rompin di
atas keretanya.
“Argghh!” Laila menjerit geram. Tak
sampai setengah jam dia memarkirkan kereta, sudah dapat surat saman?
Namun tiba-tiba matanya tertancap pada
sehelai kertas yang diselitkan dicelah wiper
keretanya.
“Harga kereta beribu-ribu boleh bayar,
takkan saman tiga ratus ringgit tak boleh bayar. Buat malu je, muka cantik tapi
perangai hampeh. Budi bahasa itu budaya kita!” Laila membaca ayat yang tertera
di atas kertas kecil itu.
Sakit hatinya makin bertambah apabila
dia mendengar suara ketawa daripada arah depan. Lelaki itu! Jerit hatinya.
Lelaki selekeh tadi sedang mentertawakannya. Sempat lagi lelaki itu memberi
lambaian sebelum memecut motornya dengan laju meninggalkan Laila yang sudah
mula bengang.
“Tak guna punya jantan!” jerit Laila
geram. Dia meramas-ramas kertas tersebut kemudian kertas itu dipijak-pijak
seolah-olah muka lelaki itu yang dipijak.
“Kalau aku jumpa kau sekali lagi,
siaplah kau aku kerjakan!” dengus Laila.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.