TEPAT
pukul satu pagi Laila sampai di rumahnya. Dia menghentikan keretanya di hadapan
pintu pagar. Hon dibunyikan beberapa kali sebelum pintu pagar tersebut terbuka.
Dia merengus marah.
“Kenapa lambat sangat nak buka pintu
pagar, hah? Pak Man tidur ke?!” jerkah Laila pada Pak Man yang sudah berusia.
Kelihatan lelaki itu terbatuk-batuk menghampiri kereta Laila.
“Pak Man terlelap tadi, nak. Maafkan Pak
Man. Kenapa Laila balik lambat sangat ni?” Soal Pak Man lembut. Walaupun
hatinya tergores dengan sikap kurang ajar Laila tetapi dia masih bersabar
dengan kerenah anak majikannya ini.
“Jangan nak sibuk boleh tak? Suka hati
sayalah nak balik pukul berapa pun. Pak Man buat kerja Pak Man sudahlah!” balas
Laila lagi dengan lagak sombongnya.
Lalu tanpa menunggu balasan daripada Pak
Man, Laila memecut keretanya menuju ke dalam garaj. Mulutnya terkumat-kamit
membebel pada Pak Man yang dirasakan sibuk untuk menjaga tepi kainnya. Tak
padan dengan pengawal keselamatan, asyik nak menyibuk saja kerjanya. Desis hati
Laila.
Pak Man menundukkan wajah. Sungguh nyilu
hatinya melihat sikap Laila yang agak bongkak dan kurang ajar. Semasa gadis itu
masih kecil, dia selalu bermain dengan Laila malah Laila sungguh manja
dengannya namun seiring masa bergerak dengan pantas, sikap Laila mula berubah
apabila gadis itu meningkat dewasa. Gadis itu berubah menjadi seorang yang
kasar dan berlagak dengan kuasa duit milik walednya.
“Maafkan abang, Ros…” desis Pak Man
tiba-tiba sambil matanya memandang ke arah langit yang gelap.
Sementara itu, Laila membuka pintu
rumahnya dengan penuh berhati-hati. Dia risau jikalau kepulangannya diketahui
oleh Haji Azhar. Masak kalau Haji Azhar masih belum tidur, tentu berbakul-bakul
dia dimarahi kerana balik lambat ke rumah.
Namun, saat dia menutup daun pintu
tiba-tiba ruang tamu yang tadinya gelap bertukar menjadi terang-benderang.
Laila tersentak. Gulppp.. Air liur
ditelan.
“Laila dari mana? Jam kat tangan Laila
tu dah rosak ke?” sinis soalan Haji Azhar membuatkan Laila berpaling. Dia hanya
mampu mempamerkan sengihannya pada Haji Azhar yang berdiri di muka tangga.
“Laila tak pergi mana-mana. Laila cuma
ronda-ronda bandar je…” jawab Laila.
“Jauh betul bandar yang Laila pergi
sampai pukul satu baru nampak batang hidung…” sinis Haji Azhar lagi. Dia
memandang penampilan Laila kemudian kepalanya tergeleng-geleng.
Kenapa susah sangat nak mendidik anak
perempuan yang satu ini? Keras kepala betul. Sudah banyak kali dia menasihati
gadis itu jangan terlampau menonjol dalam segi pemakaian namun gadis itu tetap
ingkar arahannya. Jeans dan baju ketat juga yang menjadi pilihan Laila.
Kadang-kadang Haji Azhar malu dengan jemaah masjid yang asyik mengata tentang
anaknya itu.
“Satu lagi ni…siapa yang benarkan Laila
keluar rumah tanpa pakai tudung ni?” soal Haji Azhar. Kali ini suaranya
kedengaran tegang.
Laila menayang muka bosan. Bosan jika
perkara yang sama asyik diperkatakan. Dia sudah besar, jadi biarlah dia
menentukan masa depannya sendiri. Dia ingin bebas seperti gadis-gadis yang lain
bukannya terkurung dengan setiap arahan Haji Azhar.
“Alah waled ni tak supporting betullah. Rimas tau pakai tudung. Serabut je…” jawab
Laila berani. Dia merebahkan badannya di atas sofa. Rambutnya yang panjang
dikuak ke belakang.
Melotot mata Haji Azhar mendengar
kata-kata Laila. Serta-merta darah merah menyerbu ke mukanya. Dadanya berombak
ganas. Dia memang pantang kalau orang meremehkan soal agama. Nanti dia juga
yang akan dipertanggungjawabkan di padang masyar nanti.
“Rimas? Berani Laila cakap rimas. Hah,
kalau berani sangat, waled nak Laila cakap macam tu depan Allah nanti. Berani
ke?!” tempelak Haji Azhar. Masih cuba untuk bersabar dengan kerenah Laila yang
nampak semakin kurang ajar.
Giliran Laila pula yang tersentak. Dia
mendengus benci.
“Laila dah besarlah, waled. Laila boleh
fikir sendiri mana yang baik dan mana yang buruk…”
“Laila rasa dengan pakai macam ni, baik
sangatlah ya?” pintas Haji Azhar.
“Waled ni, bosanlah asyik cakap benda
yang sama. Laila nak tidur…” balas Laila menghentikan bebelan Haji Azhar. Dia
mencapai tas tangannya dan cuba untuk beredar namun Haji Azhar pantas menarik
lengan Laila.
“Kenapa susah sangat Laila nak dengar
cakap waled ni? Apa yang Laila nak semua waled bagi takkan perkara kecil macam
ni Laila tak boleh nak ikut? Bukan waled yang mintak Laila tutup aurat ni tapi
Allah. Hukum Allah jangan dibuat main, Laila. Buruk padahnya nanti. Cuba jadi
anak yang mendengar kata, malu waled pada ayah kamu…” ucap Haji Azhar dengan
suara yang kembali mengendur.
“Buat apa nak malu, waled kata ayah
Laila dah mati jadi orang mati bukan tahu apa-apa…” balas Laila lantang.
“Laila!” suara Haji Azhar meninggi.
Memang Laila sudah sedia maklum yang dia
hanya anak angkat kepada keluarga Haji Azhar. Malah Haji Azhar sendiri yang
mengatakan ayah kandungnya sudah meninggal dunia sewaktu dia masih bayi lagi
dan sehingga sekarang Haji Azhar yang menjaga Laila sehingga gadis itu menjadi
seorang gadis yang cukup cantik dan jelita namun sayangnya budi bahasa gadis
itu tidak secantik wajahnya. Itu yang membuatkan Haji Azhar terkilan namun dia sedar,
harta, isteri dan anak-anak merupakan sebuah ujian yang dikirimkan oleh Allah
untuk menguji sejauh mana keimanannya. Dia redha tentang itu.
“Tuan…” satu suara memanggilnya dari
arah pintu membuatkan Haji Azhar tersentak kemudian dia berpaling.
Luluh hatinya saat melihat Pak Man
berdiri di muka pintu utama. Dia melihat mata itu berair. Mungkin terasa dengan
kata-kata Laila tadi. Haji Azhar menarik nafas panjang.
“Yang Pak Man menyibuk masuk rumah orang
pagi-pagi ni kenapa?” Laila melepaskan kemarahannya kepada Pak Man.
“Laila, waled tak pernah ajar Laila
kurang ajar dengan orang tua. Laila dah melampau!” jerkah Haji Azhar geram.
Laila mendengus. Dia menjeling benci.
“Waled dengan Pak Man sama je!” bentak
Laila lalu berlari menuju ke tingkat atas untuk ke biliknya.
“Laila!” jerit Haji Azhar. Geram dengan
sikap Laila yang kurang sopan.
Kemudian, Haji Azhar kembali memandang
wajah Pak Man yang kelihatan muram. Lalu, perlahan-lahan dia menghampiri Pak
Man. Bahu lelaki itu ditepuk lembut.
“Saya gagal, Man…” ucap Haji Azhar
sambil menundukkan wajahnya.
Pak Man tersenyum nipis. Dia memegang
bahu Haji Azhar kemudian dia meraih lelaki itu ke dalam pelukan. Belakang badan
lelaki itu ditepuk dengan lembut.
“Ini bukan kegagalan, tuan. Ini hanyalah
sebahagian daripada cubaan yang perlu tuan dan saya hadapi. Insya-Allah, waktu
yang sukar pasti akan berakhir…” nasihat Pak Man sambil meleraikan pelukannya.
Haji Azhar mengagahkan bibirnya untuk
mengukir senyuman. Ya, waktu sukar pasti akan berakhir. Bisik hatinya.
SYAHID
memandang wajah Mak Cik Sarimah dengan penuh pengharapan. Walaupun dadanya
berdebar-debar namun niatnya perlu diteruskan. Dia tahu Puan Watie akan
menentang habis-habisan peminangan ini tapi Syahid tetap tekad, dia tidak kira
apa pun rintangan dia akan sanggup harunginya jua semata-mata untuk mendapatkan
orang yang dicintainya. Mungkin dengan peminangan ini Puan Watie akan dapat
membuka mata yang dia bersungguh-sungguh untuk memperisterikan Suffiya bukannya
setakat omong kosong.
“Ibu, betul ke apa yang kita buat ni?
Syah tak salah ke masuk meminang Su ni, bu?” soal Syahid sewaktu ibunya sedang
memakai tudung.
Mak Cik Sarimah berpaling dan tersenyum
pada anaknya itu.
“Dah berbulan-bulan Syah kumpul duit
untuk kahwin dengan Su jadi tak salah pun kalau Syah cuba masuk meminang. Ibu
sokong apa saja yang anak ibu buat tapi semua risikonya, Syah kena
tanggunglah…” balas Mak Cik Sarimah dengan lembut.
Syahid mengeluh. Risiko? Pinangan
ditolak. Itulah risikonya nanti tetapi dia tetap cekalkan hati untuk meneruskan
niatnya walaupun dia tahu hatinya akan terluka. Dia teringat pesan Muaz tempoh
hari yang membuatkan dia tekad untuk menyunting Suffiya menjadi suri hidupnya.
“Kalau kau betul sayangkan Su kau
masuklah meminang. Aku tahu mesti harta yang jadi halangan kau kan? Kau kena
ingat, Syah. Allah dah menjanjikan rezeki bagi orang-orang yang ingin membina
masjid ni. Perkahwinan ini satu yang mulia, mungkin jodoh kau dah sampai..”
nasihat Muaz selepas dia diserang oleh Puan Watie dulu.
“Tapi macam mana pulak dengan mak Su tu?
Dia confirm tak suka dekat aku. Tak
ke menempah balanya kalau aku pergi meminang Su?” soal Syahid sambil matanya
merenung laut yang terbentang luas. Tangannya mengetuk-ngetuk permukaan gitar
yang dipinjamnya daripada Muaz.
“Siapa Puan Watie nak halang kalau dah
jodoh kau dengan Su? Su suka pada kau, kau pun suka pada Su jadi apa masalahnya
sekarang? Bila dah kahwin Su kena ikut kau bukan di bawah tanggungjawab Puan
Watie lagi. Lagipun yang nak kahwin dengan kau itu Su, bukannya dia. Kalau Su
sanggup susah dengan kau, kenapa dia nak sibuk pulak? Kau kena ingat, yang jadi
wali untuk Su nanti bapak dia bukannya Puan Watie. Aku tengok Tuan Kamarul tu
macam suka je dekat kau. Kira petanda baiklah ni…” ucap Muaz lagi dengan sengihan
memanjang.
Syahid terangguk-angguk. Betul juga apa
yang dikatakan oleh Muaz. Kalau Suffiya sanggup hidup senang dan susah
dengannya, Puan Watie tidak boleh menghalang.
“Yang kau duk terangguk-angguk ni
kenapa? Jomlah kita pergi..” ajakan Mak Cik Sarimah mengejutkan Syahid yang
sedang termenung. Dia tersengih kemudian mereka berdua beredar untuk ke rumah
Puan Watie.
Setelah sepuluh minit membonceng
motorsikal Honda EX5 miliknya, akhirnya Syahid sampai di hadapan rumah Puan
Watie. Namun, dahinya sedikit berkerut apabila melihat beberapa buah kereta
mewah terpakrir di hadapan rumah Puan Watie.
“Ibu ada cakap dengan Puan Watie ke yang
kita nak datang?” soal Syahid sambil memandang wajah ibunya yang sudah
berkedut.
“Eh, tak ada pun. Ibu tak sempat nak
bagitahu Puan Watie. Ibu terjah je ni…” balas Mak Cik Sarimah dengan sengihan
melebar di bibirnya.
Syahid menepuk dahi. Namun, itu bukanlah
masalah baginya. Perlahan-lahan dia menarik tangan ibunya untuk bertemu dengan
Puan Watie tetapi saat kakinya melangkah ke anjung rumah, tiba-tiba hatinya
terasa seperti ada yang tidak kena. Bunyi gelak tawa orang-orang yang berada di
dalam rumah itu membuatkan hati Syahid semakin cuak.
“Kalau semua dah setuju, eloklah kita
letak tarikhnya kan…”
Suara itu membuatkan Syahid tergamam di
tempatnya berdiri. Tarikh apa? Soal hatinya. Dadanya mula berdebar-debar.
“Saya rasa bulan hadapan eloklah kita
nikahkan budak berdua ni. Perkara yang baik eloklah dipercepatkan.” Kedengaran
suara Puan Watie mencelah.
Duppp!
Jantung hati Syahid berdegup kencang.
Budak berdua? Siapa? Setahunya, Suffiya anak tunggal kepada Tuan Kamarul dan
Puan Watie. Jadi siapa yang hendak dikahwinkan ini? Soal hatinya.
“Saya pun rasa macam itu jugak. Muaz tu
bukannya muda lagi, bulan depan dah masuk 28 umurnya jadi eloklah kita
kahwinkan mereka cepat-cepat.”
Muaz?! Jerit hati Syahid. Takkan Muaz
sanggup tikamnya daripada belakang? Tidak! Ini pasti salah faham!
“Syah, ibu rasa baik kita balik. Su pun
dah dipinang orang. Kita dah terlambat. Berdosa kita meminang atas pinangan
orang lain…” Mak Cik Sarimah bersuara. Dia menyentuh lembut lengan Syahid yang
kelihatan terkedu.
Syahid tersentak. Dia memandang wajah
Mak Cik Sarimah dengan pandangan sayu. Jika benar Muaz sahabat baiknya itu yang
meminang Suffiya, dia perlu dapatkan penjelasan daripada lelaki itu sendiri.
Dia inginkan kebenaran. Dia tidak suka hidup dalam tanda tanya.
“Tapi Syah kena dapat kepastian dulu,
ibu. Syah…” kata-kata Syahid terhenti di situ apabila Puan Watie muncul di
hadapannya. Kepalanya kembali tegak memandang wajah Puan Watie yang bersolek
tebal.
“Hah, kau berdua nak apa dekat rumah aku
ni?” soal Puan Watie dengan kasar sambil tangannya mencekak pinggang.
“Eh tak ada apa-apalah, puan. Saja
singgah nak tanya khabar tapi nampak gayanya puan macam sibuk sangat je ni.
Kami balik dululah…” ujar Mak Cik Sarimah sambil menarik tangan anaknya yang
masih kaku di hadapan pintu.
“Tak, saya datang nak menyunting Su
untuk jadi isteri saya!” tegas Syahid dengan berani.
Buntang biji mata Puan Watie memandang
wajah Syahid yang kelihatan begitu yakin tetapi tanpa disangka-sangka dia
ketawa malah ketawanya bersambung-sambung sambil matanya merenung Syahid
daripada atas dan ke bawah.
“Kalau setakat bawak motor cabuk macam
tu datang nak meminang anak aku, baik kau lupakan jelah. Kau tak layak langsung
tak jadi menantu aku. Eh, cermin diri tu dulu sebelum masuk meminang anak dara
orang. Kau nak anak aku makan pasir ke kalau kahwin dengan kau!” sinis Puan
Watie sambil tersenyum dengan senyuman yang dibuat-buat.
“Rezeki bukannya dekat tangan mak cik
tapi dekat Allah. Saya yakin saya boleh jaga anak mak cik dengan baik…” sambung
Syahid lagi.
Kali ini Puan Watie ketawa besar. Rasa
lucu pula dengan kata-kata Syahid. Budak mentah nak mengajarnya tentang agama.
Huh, boleh jalanlah. Detik hatinya.
“Kalau setakat yakin je baik tak
payahlah. Buang masa kau je. Kau ni aku nak cakap bodoh kan kau marah aku, dah
terang-terang aku tak suka kau dekat anak aku tapi yang kau berlagak macam mat
remeo ni kenapa? Kalau kau merayu sekali pun aku takkan terima pinangan kau.
Anak aku dah nak dikahwinkan dengan anak Tok Ketua. Faham tak? Su dah nak
kahwin dengan anak Tok Ketua. Muaz tu beratus kali lebih baik daripada kau!”
ujar Puan Watie.
Syahid tersentak. Muaz anak Tok Ketua?
Jadi betullah Muaz kawan baiknya itu yang datang meminang Suffiya? Ya Allah,
sakitnya hati aku ni. Detik hati Syahid. Bagaikan ditores dengan pisau, hatinya
terasa cukup sakit. Rasa lemah lututnya apabila kawan baiknya sendiri merampas
orang yang dicintainya.
“Abang Indra…” panggil suara yang cukup
lembut itu membuatkan Syahid mengalihkan pandangannya ke arah belakang Puan
Watie.
Kelihatan Suffiya berdiri di muka pintu
dengan baju kurung berwarna putih tersarung di badannya. Mata gadis itu
kelihatan berkaca malah pipi gadis itu sudah basah dengan air mata.
“Maafkan Su, abang. Su terpaksa…” ucap
Suffiya dengan linangan air mata.
Syahid tersenyum hambar. Tiada apa yang
perlu diperkatakan lagi. Hatinya sudah remuk. Hasrat cintanya tidak kesampaian
malah kebaikannya dikhianati oleh sahabatnya sendiri lalu Syahid mengundurkan
langkah lalu berpaling.
“Jom ibu…” ajak Syahid membendung rasa
sebak yang menampar-nampar dinding hatinya.
Namun, langkahnya terhenti apabila
matanya bertentangan dengan anak mata milik Muaz. Dia memandang wajah lelaki
itu dengan tajam.
“Aku tak sangka ini yang kau buat pada
aku, Muaz. Sahabat baik aku sendiri tikam aku dari belakang…” sebaris ayat itu
menikam hati Muaz. Wajahnya tegang. Dia menghampiri Syahid.
“Aku tak tahu menahu tentang ni, Syah. Ini
semua rancangan ibu dan ayah aku. Aku tak pernah terniat pun nak rampas Su
daripada kau. Aku tahu kau sayangkan dia takkan aku sanggup nak rampas buah
hati kawan baik aku sendiri…” Muaz cuba menyakinkan Syahid.
Namun Syahid terlebih dahulu mengangkat
tangan kanannya di hadapan wajah Muaz. Dia tidak mahu mendengar apa-apa pun
penjelasan daripada Muaz. Inilah kali pertama dia rasa sakit hati malah hatinya
sudah cukup terluka dengan pengkhianatan daripada Muaz. Orang yang selama ini
dipercayainya.
“Tapi semuanya sudah terbuktikan. Aku
harap kau bahagia dengan Su…” ucap Syahid dengan suara yang lirih.
Dia menarik tangan Mak Cik Sarimah yang
hanya mendiamkan diri. Sungguh, dia tidak sanggup lagi dimalukan di hadapan
orang kampung. Jika maruahnya direndah-rendahkan dia masih boleh bersabar tapi
dia tidak mahu ibunya turut mendapat tempiasnya sekali. Biarlah dia seorang
saja merasa sakitnya dihina dan dicaci oleh orang kampung tetapi dia tidak
sanggup melihat air mata menitis daripada kelopak mata ibunya.
“Syah jangan macam ni. Aku tahu kau
marahkan aku. Itu hak kau tapi percayalah aku Syah, aku tak tahu tentang hal
ni…” rayu Muaz lagi sambil cuba memegang tangan Syahid.
Spontan Syahid merentap tangannya. Dia
melompat ke atas motornya. Selepas Mak Cik Sarimah selamat duduk di
belakangnya, Syahid menghidupkan enjin motornya. Dia berlalu membawa hatinya
yang terluka. Terluka dengan sikap manusia yang kejam terhadapnya.
“Syah!!!” jerit Muaz.
“SYAH,
Syah nak pergi mana ni? Syah nak bawak ke mana pakaian Syah ni?” soal Mak Cik
Sarimah agak cemas apabila melihat Syahid membimbit beg di tangan. Wajah
anaknya itu kelihatan serius.
“Syah nak keluar dari kampung ni, ibu.
Syah rasa dah tak boleh nak mengadap muka Muaz lagi. Syah tak sangka dia
sanggup buat Syah macam ni. Dia tahu Syah sayangkan Su tapi ibu tengoklah apa
yang dia buat,” balas Syahid sambil meneguk air masak yang terhidang di atas
meja dengan rakus.
Mak Cik Sarimah mula tidak senang duduk.
Dia menggosok belakang badan Syahid dengan lembut.
“Sabar, Syah. Kalau melarikan diri pun
tetap takkan selesaikan masalah. Lagipun Syah nak ke mana nak?” soal Mak Cik
Sarimah lembut memujuk.
“Syah dah fikir masak-masak, Syah nak
berhijrah ke bandar. Syah nak cari kerja dekat sana. Syah nak ubah hidup kita,
ibu. Syah tak nak orang lain pandang rendah lagi pada kita. Kita pun ada maruah
ibu!” ujar Syahid penuh dengan semangat.
“Tapi Syah bukan kenal pun orang dekat
bandar tu. Syah nak tinggal dekat mana?” Mak Cik Sarimah mula gelisah.
“Selagi ibu redha pada Syah selagi
itulah Syah akan selamat lagipun Allah kan ada. Niat Syah nak cari rezeki yang
halal dan Syah harap ibu tak halang niat Syah kali ini.” ucap Syahid sambil
memegang kedua belah tangan ibunya.
Mak Cik Sarimah mengeluh berat. Besar
harapan Syahid namun mampukah harapan itu menjadi realiti? Soal hati Mak Cik
Sarimah.
“Ibu tetap risaukan Syah. Syah anak ibu
takkan ibu nak tengok Syah sorang-sorang dekat sana…”
“Ibu jangan risau. Syah lelaki. Tahulah
Syah jaga diri Syah nanti. Ibu jangan risau ya. Syah cuma perlukan doa dan
restu daripada ibu. Mungkin bila Syah pergi jauh, Syah dapat lupakan Su. Syah
dapat lupakan rasa sakit hati Syah ni.” balas Syahid. Dia mengetap bibir.
Sungguh, sampai sekarang dia masih belum
dapat melupakan apa yang berlaku tempoh hari. Sukar untuk menerima kenyataan
yang sahabat baiknya sendiri merampas buah hatinya dalam diam. Walaupun bertubi-tubi
kata maaf yang dipohonkan oleh Muaz namun Syahid tetap beku. Hatinya sudah beku
untuk menerima kata-kata maaf daripada orang yang telah mencarik-carik hati
lelakinya.
“Tak baik berdendam, Syah. Ibu tak ajar
Syah jadi seorang yang pendendam macam ni…” ujar Mak Cik Sarimah.
Syahid tersenyum nipis.
“Syah cuba maafkan mereka yang menyakiti
hati Syah, ibu. Semoga Allah melembutkan hati Syah ni biarlah masa dan takdir
yang menentukan segalanya. Syah pergi dulu ibu. Syah janji setiap minggu Syah
akan balik kampung jenguk ibu. Lagipun, Kuantan dengan Rompin tu bukannya jauh
sangat ibu.” Balas Syahid.
Mak Cik Sarimah melepaskan keluhan
berat. Akhirnya dia menganggukkan kepala tanda merestui niat anaknya itu untuk
berhijrah. Biarlah masa dan takdir yang menentu segalanya. Bisik hati tuanya.
Dia membuntuti langkah Syahid yang sudah
siap memakai helmet. Beg yang berisi pakaian digalaskan di atas bahu. Mungkin
inilah masanya. Selamat tinggal kampung. Selamat tinggal semuanya. Bisik hati
Syahid lalu motornya meluncur laju membelah kesunyian petang itu.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.