“KENAPA
mak buat Muaz macam ni? Kenapa mak pinangkan Su tanpa pengetahuan Muaz? Nasib
baik adik yang bagitahu kalau tak sampai mati pun Muaz tak tahu yang mak
pinangkan Su untuk Muaz,” keluh Muaz sambil merenung wajah orang tuanya yang
kelihatan serba salah.
Haji Muin dan Hajah Haniza berpandangan
sesama sendiri. Terpancar riak keresahan di wajah mereka.
“Mak ingatkan kamu suka pada Su jadi
kami putuskan untuk masuk meminang dia untuk kamu. Selama ini mak tengok kamu
tu rapat je dengan Su jadi mak pinanglah dia untuk kamu,” jawab Hajah Haniza
sambil memandang suaminya yang hanya menganggukkan kepala.
Muaz mengeluh panjang. Wajahnya yang
lesu diraup dengan kedua belah tapak tangan. Dia cukup tertekan dengan apa yang
berlaku. Disebabkan peminangan ini hubungan persahabatan antara dia dan Syahid
musnah dalam sekelip mata. Apa yang nyata Syahid sudah meninggalkan kampung ini
tanpa sempat dia menjelaskan perkara yang sebenarnya. Hatinya cukup terkilan
kerana telah kehilangan satu-satunya sahabat baik.
“Muaz tak pernah sukakan Su, mak. Muaz
dah anggap Su tu macam adik Muaz sendiri. Su cintakan Syah. Su sayangkan Syahid
bukan Muaz, mak, ayah. Syahid tu kawan Muaz. Takkan Muaz tergamak nak rampas
buah hati kawan Muaz sendiri. Mak tahu tak bertapa susah payahnya Syahid tu kumpul
duit semata-mata nak meminang Su tapi mak tengok apa yang jadi sekarang. Syahid
dah tinggalkan kampung. Dia marah pada Muaz dan Muaz langsung tak sempat nak
mintak maaf pun pada dia. Mak dan ayah tentu sukakan tengok Muaz dan Syahid
bergaduh macam ni. Kalau mak dan ayah nak berbesan sangat dengan orang kaya tu,
mak dan ayah carilah anak lain. Muaz tak nak kahwin!” tegas Muaz.
Haji Muin dan Hajah Haniza terpempan.
Lama dia menatap wajah Muaz. Sungguh mereka tidak tahu tentang perkara Syahid
dan Suffiya selama ini mereka ingatkan Muaz suka pada Suffiya. Kesempatan itu
diambil oleh Puan Watie memujuk Hajah Haniza supaya menyatukan Muaz dan
Suffiya.
“Muaz, ayah mintak maaf dengan apa yang
berlaku ni. Ayah tak tahu apa yang berlaku tetapi tarikh pernikahan kau dan Su
dah ditetapkan. Takkan kita nak batalkan. Malulah pada keluarga Su nanti.
Takkan Muaz nak tengok Su dapat malu,” Haji Muin bersuara.
“Muaz ni yang dah malu pada keluarga
Syah, ayah. Muaz beria-ia pujuk Syah supaya masuk meminang Su tapi tengoklah apa
yang jadi. Muaz malu pada diri sendiri, ayah. Muaz malu sebab dah kecewakan
kawan Muaz sendiri. Kalau mak dan ayah nak teruskan perkahwinan ni…teruskanlah
tapi….” Muaz menghentikan percakapannya. Dia menelan air liur.
“Tapi apa Muaz?” soal Hajah Haniza tidak
sabar.
“Pastikan bukan Muaz pengantinnya,” ucap
Muaz selamba. Kemudian dia bangun dan berlalu meninggalkan mak dan ayahnya yang
terkejut dengan ucapannya.
“Muaz! Muaz!” panggilan daripada Hajah
Haniza tidak langsung diendahkan oleh Muaz.
LAMA
mata Syahid menatap Masjid Sultan Haji Ahmad Shah yang indah tersergam di
hadapan mata. Jam sudah menunjukkan pukul 10 malam sedangkan dia sudah tiada
arah tujuan. Hendak bermalam di hotel, dia perlu berjimat memandangkan duit
simpanannya tidaklah sebanyak mana jika dia mahu meneruskan kehidupan di bandar
Kuantan ini. Untung nasib dirinya masih belum diketahui.
Keputusan yang diambil adalah untuk
mengubati hatinya yang sakit. Tetapi untuk menyesali segala keputusan yang
dibuat, memang tidak akan dilakukan. Lalu, perlahan-lahan Syahid melangkah ke
ruangan solat bahagian lelaki. Dia ingin menunaikan Solat Isyak sementara masih
terdaya. Mungkin hari ini dia akan bermalam di masjid. Itulah rancangannya.
Setelah selesai mengambil wuduk, Syahid
melangkah ke ruang solat. Sempat lagi dia tersenyum pada seorang lelaki yang
duduk di sebelahnya. Lelaki yang sudah berusia itu turut tersenyum padanya.
Selesai bersolat, Syahid duduk berteleku
di atas sejadah mengadapkan wajahnya ke arah kiblat. Satu keluhan dilepaskan
sebelum tangannya ditadah.
“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Haq,
hamba-Mu ini memohon keampunan dan perlindungan di bawah nama-nama-Mu yang
suci. Lindungilah aku dan berkatilah keputusan yang telah aku lakukan.
Sesungguhnya tiada tempat yang boleh ku tuju di bandar ini selain rumah-Mu ini.
Kurniakan aku kesabaran untuk menghadapi segala cabaran yang telah Kau sediakan
untuk hamba-Mu ini. Ya Allah, berikan aku pekerjaan yang baik, berikan aku
kehidupan yang baik dan berikan rahmat-Mu untukku dan keluargaku. Jauhkan kami
dari api neraka,” ucap Syahid seolah-olah berbisik. Dia meraup wajahnya setelah
selesai berdoa.
Ini baru permulaan. Bisik hati Syahid.
“Anak ni baru datang ke sini ke?” tegur
satu suara mengejutkan Syahid yang sedang leka merenung masa depannya. Dia menoleh
ke sisi. Kelihatan seorang lelaki berusia sedang tersenyum manis. Dia membalas
senyuman itu dengan seikhlasnya.
“Macam mana pak cik boleh cam?” soal
Syahid sambil membetulkan duduknya.
Lelaki tersebut tersenyum nipis. Dia
menggosok janggutnya yang sudah memutih manakala kopiah putih yang tersarung di
atas kepalanya dibetulkan sedikit.
“Tiap-tiap hari pak cik datang ke sini
jadi pak cik dah cam jemaah yang baru atau yang lama. Kenapa anak tak balik
lagi? Dah pukul berapa ni. Atau anak ni nak lepak-lepak dekat bandar dulu,”
soal lelaki itu lagi dengan ramah.
Syahid ketawa kecil. Nak lepak apanya?
Tempat lepak pun tak ada. Bisik hati Syahid lagi.
“Kenapa anak ketawa?” soal lelaki itu.
“Saya ni baru datang dari Rompin.
Kiranya saya ni musafirlah. Setakat ini saya tak ada tempat lagi nak dituju
jadi saya singgah masjid ini dulu. Mencari ketenangan. Err…saya Indra Syahid…pak cik?” soal Syahid teragak-agak. Dia
menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan lelaki itu.
“Panggil pak cik ni Pak Cik Har je.
Syahid ni lari dari rumah ke?” soal Pak Cik Har kemudiannya. Salam Syahid
disambut.
Dengan pantas Syahid menggelengkan
kepala.
“Eh taklah, pak cik. Syah cuma berhijrah
je dari kampung datang ke bandar ni. Nak cari pengalaman hidup yang baru…”
balas Syahid tersengih-sengih.
“Takkan tak ada kawan-kawan yang boleh
tolong?” Pak Cik Har kembali menyoal.
“Err…tak
ada, pak cik. Saya ingat esok saya nak cari kerja,”
“Habis tu kamu nak bermalam di mana?”
soal Pak Cik Har lagi.
“Dekat masjid nilah, pak cik. Tak salah
kan?”
Pak Cik Har terdiam. Lama dia memandang
wajah Syahid yang bersih.
“Kamu belajar sampai mana?” soal Pak Cik
Har lagi.
“Hah?” Syahid mula kehairanan. Ini
temuduga kerja ke? Bisik hatinya.
“Saya belajar sampai STPM je. Tak sempat
nak sambung…” balas Syahid jujur.
“Kenapa?”
“Saya kena beri peluang untuk adik-adik
saya sambung belajar. Kalau saya sambung maknanya kos yang perlu ibu saya
tanggung lebih tinggi lagipun saya bukan orang yang senang,” tanpa sedar Syahid
telah menceritakan kisah hidupnya pada Pak Cik Har yang kelihatan tekun
mendengar.
“Kamu pandai memandu?” soal Pak Cik Har
tiba-tiba.
“Err..pandai.
Tapi tak ada lesen,” balas Syahid.
Kesempitan hidup membuatkan dia tidak
berpeluang untuk mengambil lesen kereta. Setakat memandu kereta milik Muaz itu
memang dia pandai tetapi hanya di dalam kampung saja. Nasib baiklah Muaz ada
mengajarnya memandu, jika tidak sampai sekarang dia masih buta tentang kereta.
Tiba- tiba saja Syahid teringatkan Muaz. Hatinya sakit tiba-tiba.
“Hmmm…apa
kata kalau kamu ikut pak cik balik rumah? Kita boleh bersembang lebih panjang,”
Pak Cik Har memberi cadangan.
Syahid tersentak. Bayangan wajah Muaz
terbang melayang dibawa angina diganti dengan wajah Pak Cik Har yang
mengharapkan jawapan daripadanya.
“Pak cik tak takut ke kalau-kalau saya
ni orang jahat?” soal Syahid menguji.
Pak Cik Har ketawa kuat. Dia
menepuk-nepuk bahu Syahid dengan lembut.
“Ada ke orang jahat datang pukul 10
malam dalam masjid ni semata-mata nak sembahyang?” persoalan daripada Pak Cik
Har membuatkan Syahid tersengih.
“Sudah tak payah nak berdalih. Jom
temankan pak cik minum.” Ajak Pak Cik Har lagi.
Syahid jadi serba salah. Perlukah dia
mengikuti pak cik ni? Kenal pun tak takkan nak ikut senang macam tu je. Buatnya
dia ni ketua sindiket, ketua mafia ke. Matilah aku. Monolog Syahid dalam hati.
Pak Cik Har sudah pun mula mengorak
langkah untuk keluar namun langkahnya terhenti apabila terlihat Syahid masih
lagi termenung di atas sejadah. Anak muda itu kelihatan keberatan untuk
mengikutinya. Akhirnya, Pak Cik Har tersenyum nipis. Syahid dihampiri dan bahu
lelaki itu ditepuk lembut.
“Jangan takut pak cik takkan jual kamu
dekat bapak ayam. Nama pak cik, Haji Azhar bin Zainal Abidin. Pak cik ni salah seorang
AJK masjid ni. Pak cik cuma nak berkenalan dengan kamu manalah tahu kalau-kalau
pak cik boleh tolong selesaikan masalah kamu. Anggap sajalah pertemuan kita ni
Allah yang rancang,” ujar Pak Cik Har cuba menyakinkan Syahid.
Syahid mendongak memandang wajah Pak Cik
Har yang bersih. Dia tersengih malu. Malu kerana memikir perkara yang
bukan-bukan sedangkan niat Pak Cik Har baik untuk membantunya.
“Tolonglah orang yang memerlukan
pertolongan, maka Allah akan menolong kita. Pak cik teringatkan sabda
Rasulullah s.a.w. Allah akan menolong seorang hamba selagi hamba tersebut
menolong sesamanya. Baginda juga bersabda, siapa yang menolong saudaranya yang
memerlukan maka Allah akan menolongnya. Jadi pak cik tak nak terlepas daripada
ditolong oleh Allah nanti,” sambung Pak Cik Har lagi dengan senyuman manis.
Syahid turut tersenyum. Lantas dia
bangun dan membuntuti langkah Pak Cik Har. Mungkin betul kata Pak Cik Har,
pertemuan mereka malam ini memang sudah dirancangkan oleh Yang Maha Kuasa.
“INILAH
pondok buruk pak cik, Syah…” Pak Cik Har menunjukkan rumah banglo tiga tingkat
miliknya kepada Syahid yang kelihatan tercengang di hadapan pintu masuk.
Pondok buruk? Syahid menelan air liur.
Buruk apa ke bendanya? Besar gila rumah pak cik ni! jerit hati Syahid teruja.
“Jomlah masuk. Nanti pak cik kenalkan
dengan anak pak cik. Pak cik ni tinggal berdua je dengan anak pak cik. Isteri
pak cik dah meninggal dunia. Anak pak cik pun ada sorang je. Itu pun
perempuan,” Pak Cik Har mula bercerita dengan senyuman yang tidak pernah lekang
daripada bibirnya.
Syahid hanya mendengar. Namun tiba-tiba
matanya tertangkap kelibat seorang lelaki tua sedang menuju ke arah mereka
berdua.
“Siapa tu, pak cik?” soal Syahid ingin
tahu.
Pak Cik Har menoleh pada lelaki
tersebut. Dia menggamit tangannya pada lelaki tersebut sebelum lelaki itu
berjalan ke arah mereka.
“Itulah sahabat, teman dan pekerja pak
cik. Syah boleh panggil dia Pak Man je. Dia pengawal keselamatan rumah ni tapi
bagi pak cik dia tak ubah seperti keluarga pak cik sendiri,” balas Pak Cik Har.
Syahid mengangguk. Dia memerhati wajah
Pak Man yang kelihatan tenang. Wajah itu sungguh bersih dan kelihatan bercahaya
pada pandangan Syahid. Lantas, salam dihulurkan. Dia menundukkan wajah untuk
mencium tangan lelaki tersebut. Hatinya tersentuh apabila Pak Man menggosok
lembut kepalanya.
“Assalamualaikum, siapa ni tuan?” soal
Pak Man lembut sambil matanya tidak lepas memandang wajah anak muda yang
kelihatan asing pada pandangannya.
“Waalaikummusalam, ini Indra Syahid. Man
boleh panggil dia Syah je. Saya jumpa dia dekat masjid. Kesian sangat tengok
duduk sorang-sorang dalam masjid tu jadi saya jemput dia datang ke rumah. Anak
bertuah saya tu mana?” Soal Pak Cik Har sambil memandang ke arah garaj yang
kosong.
Pak Man serba salah. Dia mengetap bibir.
“Dia tak ada dekat rumah, tuan. Tak
balik lagi. Entah ke mana dia pergi. Dah puas saya halang tapi dia tetap degil
nak keluar,” ujar Pak Man dengan suara yang lirih.
Pak Cik Har mengeluh berat. Susah betul
nak membentuk anak daranya yang seorang itu. Agak-agaknya apa yang perlu
dilakukan agar gadis itu berubah?
Syahid pula hanya mendiamkan diri.
Sedikit pun dia tidak menyampuk perbualan antara Pak Cik Har dan Pak Man.
Biarlah, mungkin urusan keluarga mereka tak baik menyibuk. Desis hati Syahid.
Matanya diliarkan ke arah halaman rumah Pak Cik Har yang besar. Banglo di Bukit
Istana siapa tidak kenal dengan kemewahannya? Hanya orang yang betul-betul kaya
saja yang boleh tinggal di kawasan ini. Hati Syahid benar-benar teruja.
“Syah..Syah…” panggilan daripada Pak Cik
Har menyentakkan lamunan Syahid. Dia berpaling pada Pak Cik Har dan Pak Man
yang tersenyum simpul. Syahid tersengih malu.
“Jomlah masuk dalam rumah. Nanti pak cik
tunjukkan bilik. Malam ni bolehlah Syah bermalam dekat rumah pak cik. Esok pak
cik bawak Syah ke restoran…” ujar Pak Cik Har membuat keputusan.
“Restoran?” dahi Syahid berlapis.
Pak Cik Har tersenyum lagi. Dia tahu
pasti Syahid kebingungan.
“Syah kata nak kerja. Esok pak cik bawa
Syah kerja. Nak tak?” soal Pak Cik Har.
Syahid terpempan. Bulat matanya
memandang wajah Pak Cik Har yang menganggukkan kepala. Aku tak salah dengar ke
ni? Aku dah dapat kerja?
“Eh mestilah nak, pak cik. Tapi…” suara
Syahid terhenti. Dia kelihatan gelisah.
“Tapi kenapa, Syah?”
“Saya seganlah nak tinggal dalam rumah
pak cik. Nanti anak perempuan pak cik balik, macam mana pulak? Pak cik bagilah
saya tidur kat pondok jaga pun saya dah okey…” balas Syahid teragak-agak.
Entah mengapa dia terasa terlalu banyak
berhutang budi dengan Pak Cik Har. Dia tidak mahu nanti kerana budi, tergadai body.
“Takkanlah pak cik nak biarkan Syah
tidur dekat pondok jaga pulak. Syah kan tetamu pak cik. Jadi tetamu kenalah
dilayan dengan baik…”
“Tapi saya segan. Saya dah banyak
menyusahkan pak cik,” ucap Syahid sambil kepalanya ditundukkan.
“Susah apanya, Syah? Tak ada yang susah
pun. Baiklah kalau Syah tak nak tinggal dengan pak cik, Syah boleh tinggal
dengan Pak Man. Rumah Pak Man ada dekat belakang rumah pak cik ni,” ujar Pak
Cik Har memberi cadangan.
“Hah, cantik jugak idea tu. Lagipun Pak
Man sorang je tinggal dalam rumah tu. Bolehlah Syah temankan Pak Man,” Pak Man
menyampuk.
Syahid mula serba salah. Nak menolak
rasa tak sampai hati pula apabila melihat kesungguhan Pak Cik Har dan Pak Man.
Akhirnya, Syahid menganggukkan kepala.
“Kalau macam tu Syah tinggal dengan Pak
Man jelah buat sementara waktu ni,” ujar Syahid.
Pak Cik Har dan Pak Man berpandangan.
Mereka tersenyum puas.
LAILA
melangkah masuk ke dalam Restoran Al-Azhar lalu duduk sambil menyilang kakinya.
Matanya melilau mencari pelayan restoran untuk memesan makanan.
“Oii,
kau tak nampak ke aku dekat sini? Bila nak ambik odernya?” jerit Laila kasar
pada seorang pelayan wanita yang kebetulan lalu di situ.
Gadis itu mengeluh panjang. Wajahnya
cuak apabila melihat wajah Laila yang garang. Lantas dengan perlahan-lahan dia
mengorak langkah menuju ke arah Laila.
“Kau ni kerja ke makan gaji, hah?!” soal
Laila lagi sambil merampas buku menu daripada tangan Sabrina.
“Maafkan saya, cik. Saya baru sampai…”
jawab Sabrina tergagap-gagap.
“Alasan tak logik. Pergi ambilkan aku
roti mulawah dan oqda lamb. Aku nak makan, sekarang!” bentak Laila sambil menyuruh
Sabrina pergi.
“Tapi cik roti mulawah tak siap lagi…”
“Tak siap? Korang ni pandai buat kerja
ke tak?!” jerit Laila lagi. Terjengil matanya memandang Sabrina. Orang tengah
lapar, banyak pula alasannya. Bentak hatinya.
“Cik, sekarang baru pukul 10, kedai
bukak pukul 12 jadi banyak makanan yang tak siap lagi…” terang Sabrina.
“Itu masalah aku ke?” soal Laila
mendatar.
Sabrina terdiam. Rasa ingin menangis pun
ada dengan perangai Laila yang garang tak bertempat ini.
“Aku tanya itu masalah aku ke?!” seperti
halilintar suara Laila menyentakkan lamunan Sabrina. Terhinjut bahunya
mendengar tengkingan Laila yang kuat. Air matanya gugur.
Manakala, Syahid mengintai kejadian
tersebut di sebalik pintu dapur. Kesian pula dia melihat wajah Sabrina yang
keruh kerana terpaksa menahan makian dan amarah seorang pelanggan restoran
mereka. Naik gerun juga dia melihat wajah pelanggannya yang merah kerana
menahan marah itu. Tapi memang betul juga kata Sabrina, kedai beroperasi pukul
12 tengah hari kenapa pelanggan yang seorang ini datang awal sangat? Detik
hatinya.
“Apa yang kau intaikan tu, Syah?” soal
Harraz yang muncul daripada belakang.
“Tu hah, kesian Rina kena marah dengan customer..” jawab Syahid sambil
memuncungkan bibirnya pada Sabrina dan gadis yang berwajah garang itu.
Harraz terdiam. Lama dia merenung kedua
gadis yang sedang bertegang urat itu. Timbul simpatinya melihat wajah Sabrina
yang sudah basah dengan air mata.
“Perempuan tu memang suka cari pasal
dengan kita. Dia ingat dia kaya, dia bagus sangat agaknya. Aku dah lama angin
dengan perempuan tu cuma aku tak berani je nak serang…semua pelayan kat sini
dah serik nak layan dia tu…” terang Haraz.
Syahid mendengar dengan teliti.
Terbayang wajah Puan Watie yang bongkak di ruang mata. Segala herdikan, hinaan
dan tohmahan daripada wanita itu terngiang-ngiang di telinganya sehingga
membuatkan dada Syahid berombak ganas. Serta-merta gadis yang berwajah garang
itu bertukar menjadi Puan Watie di mata Syahid.
Lalu, Syahid melangkah menuju ke arah
Sabrina dan gadis itu.
“Syah, Syah…kau nak ke mana tu?” panggil
Harraz.
Syahid tidak mempedulikan panggilan
daripada Harraz. Langkahnya terus dihayunkan ke arah Sabrina. Dia berdiri di
sebelah Sabrina yang sudah mula menangis.
“Boleh saya bantu?” soal Syahid dengan
senyuman manis.
Laila mengalihkan pandangan. Matanya
terpaku pada seorang jejaka yang memakai pakaian yang sama dengan Sabrina. Lama
dia menatap wajah kuning langsat itu. Senyuman di bibir lelaki itu menenangkan
hatinya yang kepanasan.
“Kau pekerja baru ke?” soal Laila
selamba.
“Ya. Cik ada masalah ke?” soal Syahid
masih lagi lembut padahal dalam hati berdongkol dengan rasa marah. Dia cukup
tak suka dengan perempuan yang kurang ajar. Sepatutnya sebagai wanita yang
dijadikan dengan sifat yang lemah lembut, gadis di hadapannya ini seharusnya
bersikap lebih sopan dengan orang lain.
“Aku nak roti mulawah dan oqda lamb.
Boleh buat tak?” tanya wanita itu sedikit kasar.
Mak kau bahasa minah ni, kasar bukan
main. Tak apa, tak apa, kau nak roti ya? Tunggu sekejap. Detik hatinya dengan
senyuman penuh makna terzahir di bibirnya yang merah.
“Eh, kenapa tak bolehnya? Boleh sangat…”
“Tapi Syah…roti tak….” Sabrina ingin
mengatakan sesuatu.
“Syhhh…”
Syahid meletakkan jari telunjuknya di bibir meminta supaya Sabrina diam.
“Cik duduk dulu. Nanti saya pergi
ambilkan roti ya…” ucap Syahid lantas berlalu ke dapur.
Laila hanya menurut. Dia duduk sambil
menunggu Syahid mengambil makanan untuknya. Sekali sekala dia menjeling jam di
tangan. Masa sudah berlalu selama lima minit namun kelibat Syahid tidak
kelihatan. Dia mendengus marah.
Namun tidak lama kemudian, kelihatan
Syahid kembali dengan senyuman. Tangannya disorokkan ke belakang dan itu yang
membuatkan Laila dilanda tanda tanya. Mana roti yang aku nak? Soal hatinya.
“Mana makanan aku? Aku tak ada masa nak
bergurau dengan kau sekarang ni!” marah Laila agak kasar.
“Siapa cakap saya bergurau? Saya bawak
roti yang cik pesanlah ni…” ujar Syahid menghampiri Laila.
“Mananya?” soal Laila dengan dahi yang
berkerut.
“Ini dia!” jawab Syahid.
Lalu, tanpa disangka-sangka sebungkus
tepung gandum dicurahkan ke kepala Laila!
Laila tergamam. Bulat matanya melihat
debu-debu tepung itu memenuhi kepala dan badannya. Dadanya mula berombak dan
amarahnya semakin memuncak.
“Hey,
what the hell!!” jerit Laila lantas berdiri.
Syahid menepuk-nepuk tangannya. Dia
tersenyum melihat wajah Laila yang cemberut. Merah padam wajah itu menahan rasa
marah.
“Kan pelayan tadi dah cakap yang roti mulawah tak siap lagi. Kenapa cik ni
kurang ajar sangat? Cik ni tak ada belajar sivik ke dekat sekolah? Atau cik nak
saya tolong ajarkan? Sekalipun cik ni kaya tapi takkan tak boleh hormat kita
orang yang tak berapa nak kaya ni? Kalau cik nak sangat makan roti mulawah tu,
apa kata cik uli sendiri dengan tepung yang ada atas kepala cik tu…lagi cepat
siap….” Perli Syahid kemudian berlalu ke dapur dengan ketawa yang kuat.
Laila mendengus marah. Dia
menghentak-hentak kakinya.
“Arggghhh…kau
jangan nak cari pasal dengan aku. Buruk padahnya!! Aku akan pastikan hari ni
hari terakhir kau kerja dekat sini!!” jerit Laila pada Syahid yang berjalan
tanpa sedikit pun menoleh kepadanya.
“Rezeki di tangan Allah bukan di tangan
manusia!” jerit Syahid selamba.
“Arghhhh!!
Waled!!” jerit Laila dengan perasaan geram.
Tanpa mereka sendiri, Haji Azhar
tersenyum melihat insiden tersebut. Kali pertama ada orang yang berani melawan
Laila. Tak sangka orang itu adalah Syahid. Betul-betul berani mati anak muda
itu. Dia hanya mampu menggelengkan kepala melihat wajah Laila yang
terkulat-kulat.
Sementara itu, Syahid ketawa
berdekah-dekah dengan kawan-kawannya yang lain di bahagian dapur cuma Harraz
saja yang mendiamkan diri. Syahid pelik.
“Kenapa dengan kau ni Raz? Tadi bukan
main lagi kau setuju aku kenakan minah yang perasan bagus tu, alih-alih muka
kau sedih ni kenapa?” soal Syahid pelik.
“Aku tumpang sedih untuk kau…” ucap
Harraz dengan suara yang sayu.
Dahi Syahid berlapis.
“Kenapa tumpang sedih untuk aku pulak?”
soal Syahid sambil memandang wajah Harraz, Sabrina dan Ali satu persatu.
“Alamak, aku lupa nak cakap kau
sesuatu…” Sabrina menyampuk sambil menepuk dahinya. Lagaknya seperti
benar-benar terlupa.
“Lupa apa Rina?” Soal Syahid mula
kelam-kabut.
“Sebenarnya cik tadi tu…cik tu…” Sabrina
tergagap-gagap.
“Apa dia, Rina?” sergah Syahid. Dahinya
mula berpeluh.
“Dia anak Haji Azhar! Anak tokey!” ujar
Sabrina spontan.
“Apa?Alamak!”
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.