BUNYI
tangisan anak kecil yang dikendong oleh Manan menyentakkan lamunan Azhar yang
sedang menangis. Dengan pantas kepalanya didongakkan. Wajah Manan dipandang
dengan air mata bercucuran.
“Tuan, janganlah tuan sedih. Mungkin tiada
rezeki untuk tuan kali ini,” pujuk Manan sambil melabuhkan punggung di sebelah
Azhar yang kelihatan begitu sedih.
Azhar meraup wajahnya yang kelesuan.
Baru saja dia mendapat berita yang zuriat yang dinantikan selama ini akhirnya
telah selamat bertemu Ilahi sebaik saja selamat dilahirkan oleh isterinya,
Ruqayah. Sungguh, dia tertekan. Tertekan untuk mencari alasan yang boleh
menyedapkan hati isterinya yang pengsan sebaik saja melahirkan anak mereka.
“Sudah masuk tiga kali Aya tidak dapat
kendong bayi dia sendiri. Sudah dua kali saya tengok dia kecewa sebab tak dapat
pegang darah dagingnya sendiri. Sedih hati saya bila terkenangkan Aya, Manan.
Saya nak dia gembira, saya nak dia ceria dengan kehadiran anak kami tapi
ternyata Allah lebih sayangkan anak saya,” luah Azhar tidak dengan teresak-
esak.
Manan mengeluh panjang. Dia memandang
wajah anaknya yang sedang culas tidur. Wajah bayi itu sangat polos dan setiap
kali Manan memandang wajah kecil itu, dia tersenyum. Rasa ketenangan menyapa
hatinya.
“Anak-anak ini amanah dan rezeki Allah
untuk kita. Apabila Dia tidak mengizinkan kita menjaga amanah itu, tiada siapa
yang dapat menghalang ataupun memaksa. Saya berdoa agar tuan memperolehi amanah
itu…jangan pernah berhenti berusaha, tuan.” Ujar Manan sambil menepuk lembut
bahu majikannya.
“Saya tahu itu, Manan. Tapi puan tak
tahu. Puan sangka anaknya masih hidup. Apa yang perlu saya lakukan? Semangatnya
tengah lemah sekarang dan saya yakin dia pasti mahu melihat anak yang
dilahirkan saat matanya terbuka nanti,” ujar Azhar. Satu keluhan berat
dilepaskan. Wajahnya yang kusut diraup beberapa kali.
Tumpah simpati Manan saat melihat
majikannya yang bersedih. Apa yang dapat aku lakukan? Tuan Azhar terlalu banyak
berjasa kepada aku, takkan tak ada satu pun yang aku boleh lakukan untuk dia?
Soal hati Manan. Kemudian, matanya beralih pada wajah anak kecil yang nyenyak
tidur. Mungkinkah ini satu pengorbanan?
“Kalau macam tu, tuan tunjukkanlah anak
saya ni pada puan. Mana tahu dengan kehadiran anak ini, mampu buat puan ceria
kembali…” ujar Manan tersenyum nipis.
Azhar tersentak. Lama dia memandang muka
Manan yang kelihatan ikhlas. Terpancar sinar keikhlasan di wajahnya.
“Tapi dia anak awak, Manan…” bantah
Azhar. Dia menolak lembut huluran Manan.
“Sampai mati pun dia tetap anak saya
tetapi biarlah saya melihat dia dari kejauhan saja. Mungkin nasibnya lebih baik
jika bersama dengan tuan…”
“Tapi macam mana dengan Ros?” soal Azhar
lagi.
Manan hanya tersenyum.
“Dia akan mengerti suatu hari nanti…”
ucap Manan sebelum menyerahkan bayinya kepada Azhar.
Walaupun masih ragu- ragu dengan
kata-kata Manan, namun akhirnya Azhar menyambut huluran Manan dengan hati yang
sangsi namun sebaik saja terpandangkan wajah anak kecil itu. Hati Azhar kembali
tenang. Dia melihat sinar kebahagiaan dengan kehadiran bayi itu.
BUNYI
dentuman yang kuat mengejutkan Sarimah daripada tidurnya. Dia bingkas duduk di
atas tilam yang beralaskan lantai rumahnya. Dia memandang ke kiri dan kanan
mencari arah bunyi dentuman yang kuat itu.
“Tolong!” satu suara menjerit meminta
tolong kedengaran jelas di telinganya. Dengan pantas, Sarimah menggerakkan
tubuh suaminya yang sedar lena tidur.
“Abang, bangunlah. Imah dengar orang
mintak tolong,” ujar Sarimah sambil menggoncang bahu suaminya.
“Alah, awak ni. Bunyi kucinglah tu. Tidurlah,
dah malam ni…” balas Rahim sambil menolak lembut tangan isterinya.
“Kucing apa mintak tolong macam tu.
Abang, bangunlah sekejap. Tengok apa yang jadi dekat luar tu…” rengek Sarimah
lagi.
“Tolong! Tolong!” sayup- sayup
kedengaran suara itu meminta tolong.
“Hah, awak dengar tak tu?” soal Sarimah
dengan hati yang berdenyut laju. Rasa seram sejuk pula malam ini. Bisik
hatinya.
Sebaik saja mendengar suara jeritan itu,
sepantas kilat Rahim bingkas bangun. Dia membetulkan kain pelekat yang
dipakainya.
“Jom ikut saya,” ajak Rahim. Sarimah
hanya mengangguk.
Mereka berdua bangun dan menuju ke luar
rumah. Alangkah terkejutnya mereka saat melihat sebuah kereta melanggar tiang
lampu di seberang jalan rumahnya. Kereta itu remuk di bahagian hadapan dan
kelihatan asap berkepul-kepul keluar daripada enjin kereta.
“Ya Allah, abang! Cepat selamatkan orang
tu!” jerit Sarimah lalu berlari ke arah kereta yang tidak tahu jenama itu.
Rahim turut bergegas ke tempat kejadian.
Dia menjenguk ke tempat duduk pemandu manakala Sarimah meninjau ke tempat duduk
sebelah penumpang. Kelihatan seorang lelaki dan wanita berada di dalam kereta
tersebut.
“Abang, ada darah!” ucap Sarimah sambil
menarik tangan seorang perempuan yang sudah terkulai layu.
“Ya Allah, ini kes berat ni, Imah. Cepat
mintak pertolongan!” ucap Rahim turut cemas.
Sarimah mengangguk. Lalu, dia berlari
sekuat mungkin untuk meminta pertolongan. Dengan kawasan yang hanya diterangi
oleh cahaya bulan, mereka tidak dapat melihat dengan jelas apa yang berlaku di
hadapan mata cuma dalam fikiran mereka adalah nyawa kedua insan yang tidak
bersalah itu.
Sementara menunggu Sarimah meminta
pertolongan, Rahim cuba membuka pintu tempat duduk sebelah pemandu. Dengan
tenaganya yang masih bersisa, dia dapat menarik pintu kereta yang sudah
terkopak. Cermin kereta itu pecah berderai.
Saat pintu itu sudah terkopak, dia
melihat seorang lelaki dengan nafas yang tersekat- sekat cuba berkata sesuatu
kepadanya. Dia cuba menarik tangan lelaki tersebut namun genggaman tangan
lelaki itu menghentikan perbuatannya.
“Biarlah saya
pergi…sela…selamat..kan..aaa..nakk…saya..” suara itu tersekat-sekat.
Rahim kebingungan. Dia melilau-lilau
mencari kelibat budak yang dimaksudkan oleh lelaki tersebut namun hampa, tiada
seorang budak pun yang kelihatan di tempat duduk belakang.
“Mana anak awak?” soal Rahim cemas.
Namun, tiada jawapan yang diperolehi.
Lelaki itu diam membisu membuatkan Rahim bertambah takut. Dalam keadaan seperti
ini, dia sendiri tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Namun, tiba- tiba matanya
tertancap pada sesuatu yang terbaring di atas tanah.
Dia mendekati objek itu. Hampir buntang
biji matanya saat melihat sekujur tubuh kaku tidak bergerak di atas tanah.
Tubuh itu tercampak kira- kira lima meter dari tempat kereta itu terbabas.
Memang sah, inilah anak lelaki itu! jerit hati Rahim. Jari diletakkan di hidung
budak lelaki itu dan ternyata, budak itu masih bernyawa!
Budak yang berumur dalam lingkungan tiga
tahun itu dipangku dan dicempung. Sewaktu Rahim ingin membawa tubuh budak itu
ke arah kereta, tiba- tiba telinganya menangkap bunyi desiran yang aneh.
Tidak sempat untuk Rahim mengatur
langkah, tiba-tiba…
Dummm!!
Kereta
itu meletup dengan sendirinya membuatkan Rahim terpaksa meniarap di atas tanah
bagi mengelak terkena percikan api.
“Allahuakbar!” laung Rahim saat matanya
melihat api yang menjulang tinggi. Kedua pasangan suami isteri itu tidak dapat
diselamatkan. Pastinya jasad mereka berdua rentung dalam kebakaran itu.
Buat seketika Rahim terkedu dengan apa
yang terjadi. Hanya matanya saja memandang api yang semakin marak menjilat
setiap inci kereta itu sebelum matanya jatuh pada wajah budak kecil yang
pengsan tidak sedarkan diri. Apa akan jadi pada anak ini? Soal hatinya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.