ZAFRAN
gelisah menanti Wardah yang hilang entah
ke mana. Dia mengerling jam di tangan. Sudah hampir pukul 9.00 malam,
sepatutnya semua peserta dan fasilitator harus berkumpul di dewan untuk makan
malam.
“Abang Zaf tak makan lagi ke? Tadi saya
tengok lauk dah nak habis…” tegur Qistina. Dia melabuhkan punggung di sebelah
Zafran.
Zafran mengesot ke tepi, memberi ruang
pada Qistina untuk duduk di sebelahnya. Dia perasan pelajar- pelajar lain
menjeling pada mereka berdua.
“Qis makanlah dulu. Kejap lagi abang
makan. Ada sesiapa nampak Kak Wardah tak?” soal Zafran akhirnya.
Dia memandang wajah pelajar-pelajar yang
sedang enak menjamu selera. Memang dia sudah tetapkan bahawa semua fasilitator
harus makan bersama-sama dengan pelajar barulah kemesraan itu terjalin. Zafran
tidak mahu ada jurang di antara pelajar
senior dan pelajar junior.
“Rasanya tadi saya nampak Kak Wardah
solat. Mungkin lambat sikit sebab surau penuh, Abang Zaf,” Azlin menjawab.
Zafran terdiam. Wardah memang seorang
yang menepati waktu solatnya. Hal itu yang membuatkan Zafran kagum dengan
Wardah.
“Abang Zaf pergilah ambil makanan dulu.
Nanti habis, abang tak sempat nak makan pula,” sambung Qistina sambil mencuit
lengan Zafran.
Zafran sedikit terkejut dengan tindakan
Qistina lalu dengan pantas dia melarikan tangannya. Apahal pula budak ni, nak
cuit-cuit aku. Jangan nak goda aku sudahlah. Aku tak main budak- budaklah.
Bisik hati Zafran.
“Oh, ya ke? Abang pergi ambil dululah,”
ucap Zafran lalu melangkah menuju ke meja yang menempatkan lauk pauk.
Qistina tersenyum kemenangan. Dia
menayang muka bangga kepada kawan- kawannya yang lain. Sangkanya, Zafran sudah
mula terpikat pada dirinya. Perasan!
Tidak lama kemudian, Wardah datang
setelah siap bersolat. Dia tahu dia sudah terlambat untuk makan malam tapi
apakan daya menghadap Yang Maha Esa lebih penting daripada makan. Wardah tidak
kisah tentang itu asalkan tanggungjawab lima waktunya telah sempurna.
Dia mencari kedudukan kumpulannya, dari
jauh dia melihat Qistina sedang menempel di sebelah Zafran. Dia mengerutkan
kening. Agak janggal pada pandangannya apabila Qistina seorang saja perempuan
dalam kalangan pelajar-pelajar lelaki. Ada ulat bulu dah naik daun! Fikir
Wardah.
Akhirnya, Wardah melangkah untuk
mengambil makanan. Tapi apakan daya, nasib tak menyebelahinya. Semua makanan
sudah habis. Nampaknya terpaksalah dia ikat perut malam ini. Wardah melepaskan
keluhan. Walaupun perutnya sudah berbunyi tapi dibiarkan saja. Mungkin bukan
rezekinya. Lalu Wardah mencapai cawan dan mengambil air.
Dia duduk di sebelah Azlin. Air yang
diambil diteguk perlahan-lahan.
“Kak Wardah tak makan ke?” soal Azlin
yang tersedar Wardah duduk di sebelahnya.
Wardah berpaling dan melemparkan
senyuman kecil pada Azlin.
“Tak sempatlah Azlin. Akak lambat tadi.
Akak minum je,” ucap Wardah.
“Saya lupa nak ambilkan untuk akak
sekali. Saya lapar sangat tadi sampaikan semua orang saya lupa,” ujar Azlin
sambil ketawa kecil.
Wardah turut tergelak dengan kata-kata
Azlin. Namun, ketawanya terhenti apabila Zafran duduk di hadapannya sebelum
menyuakan pinggan kepadanya. Dahi Wardah berkerut. Kenapa pula dengan lelaki
ni? Soal hati Wardah.
“Ambillah nasi ni, aku tahu mesti kau
lapar kan. Aku ada simpankan untuk kau…” ucap Zafran sambil menolak pinggan yang berisi nasi dan
ayam masak merah ke hadapan Wardah.
Wardah serba salah apatah lagi saat ini
semua mata memandang ke arah mereka berdua. Entah apa yang budak-budak ni
fikir. Kenapalah Zaf ni suka sangat mencetuskan kontroversi? Keluh hati Wardah.
“Eh, tak payahlah Zaf. Kau makanlah. Aku
dah kenyang,” bohong Wardah. Dia menolak kembali pinggan yang berisi nasi itu
ke depan Zafran.
“Kau jangan nak tipu aku. Kau baru je
sampai sini, bila masanya kau makan? Petang tadi pun kau tak makan. Jangan nak
banyak songeh ya, makan je nasi tu. Nanti sakit macam mana nak buat kerja,”
balas Zafran tegas.
Wardah terkulat- kulat. Dia menjeling
Azlin yang sudah tersengih- sengih.
“Amboi, Abang Zaf, prihatin benar pada
Kak Wardah. Bertuahnya Kak Wardah,” usik Azlin sambil menyiku lengan Wardah.
Wajah Wardah bertukar merah. Dia malu
dengan apa yang dikatakan oleh Azlin, dia sendiri pelik dengan sikap Zafran
sejak kebelakangan ini. Macam ada yang tak kena.
“Ish, apa yang Azlin merepek ni. Makan
cepat. Nanti lambat pula,” tegur Wardah membuatkan Azlin menutup mulut namun
bibirnya masih mengukir senyuman penuh makna.
Wardah mendongak memandang wajah Zafran
yang masih setia di hadapannya. Lelaki itu tidak berkata apa- apa sebaliknya
hanya tenang merenung wajahnya.
“Tunggu apa lagi? Makanlah…” arah
Zafran.
Wardah menggelengkan kepala.
“Nasi ni banyak sangat. Aku tak larat
nak habiskan,” ujar Wardah. Dia mengalah akhirnya.
Zafran terdiam sebentar, kemudian dia
bangun dan menghilangkan diri. Tidak lama kemudian, dia kembali dengan membawa
sebiji pinggan. Nasi yang berada di hadapan Wardah diambil dan diletakkan
separuh ke dalam pinggan yang kosong sebelum menghulurkan pinggan itu kepada
Wardah.
Wardah sedikit terpana dengan perbuatan
Zafran. Lelaki itu sanggup berkongsi nasi dengannya, sungguh dia terharu. Entah
kenapa dia rasakan Zafran bukan Zafran yang dia kenal selama ini.
“Terima kasih,” hanya itu yang terkeluar
daripada mulut Wardah.
“Kasih diterima…” balas Zafran perlahan
namun sempat didengari oleh Wardah.
Spontan dia memandang wajah Zafran yang
kelihatan bersahaja. Aku tak salah dengar ke tadi? Tak, tak… Dia tak bermaksud
apa- apa pun. Come on Wardah, fokus-
fokus…
JULIANA
mengetap bibir saat melihat kemesraan Zafran dan Wardah dari jauh. Sakit
hatinya semakin bertambah apabila Zafran tanpa segan silu makan berhadapan
dengan gadis itu. Juliana menggenggam tangannya. Kenapa begitu sukar untuk dia
menakluki hati lelaki seperti Zafran?
“Jue, kau okey ke?” sapa Iqram sambil
memetik jarinya di hadapan muka Juliana.
Juliana tersedar kemudian mengalihkan
pandangannya pada laman wajah Iqram yang duduk di hadapannya. Sekarang ini
hanya tinggal mereka berdua, semua pelajar sudah bergerak ke dewan untuk
taklimat aktiviti seterusnya.
“Sakit betul hati aku tengok perempuan
tu, saja nak goda Zaf,” ucap Juliana dengan bibir yang terjuih.
Iqram menoleh ke arah yang ditunjukkan
oleh Juliana. Wardah?
“Wardah maksud kau?”
“Yelah, perempuan mana lagi kalau dah
asyik nak menggatal dengan Zaf. Macam tak ada lelaki lain, Zaf juga yang nak
dikejarnya. Dia tak tahu ke yang aku ni kekasih Zaf?” bebel Juliana meluahkan
rasa tidak puas hati.
Dahi Iqram berkerut. Erk? Sejak bila Juliana rasmi jadi
kekasih Zafran? Setahunya, Zafran tidak pernah serius dengan mana-mana gadis. Playboylah katakan. Cuma kebelakangan
ini dia agak pelik dengan sikap Zafran. Kelihatan lelaki itu terlampau baik
dalam melayani Wardah. Mungkin ini sebahagian daripada rancangannya untuk
mendapatkan Wardah demi taruhan mereka bertiga.
“Aku mintak maaflah kalau apa yang aku
tanya ni buat kau marah. Tapi bila pula Zaf ajak kau couple?” soal Iqram.
Wajah Juliana berubah. Soalan Iqram
seolah-olah mempersendakannya. Memang Zafran tidak pernah melafazkan kata cinta
malah lelaki itu tidak pernah melamarnya untuk dijadikan kekasih tapi layanan
Zafran terhadapanya sudah cukup mengatakan yang dia adalah kekasih lelaki itu.
“Bercakap dengan kau ni memang buat aku
sakit hati je. Kau tak nampak ke Zaf selalu keluar dengan aku. Dia selalu hang out dengan aku. Tengok wayang,
karaoke, makan-makan… Aku tahu dia sukakan aku tapi bila Wardah ada, dia terus
tak endahkan aku..” balas Juliana bersungguh- sungguh untuk menyakinkan Iqram.
Iqram tidak membalas. Dia terasa ingin
tergelak namun ditahan. Perasannya kau perempuan, kalaulah kau tahu yang lelaki
tidak suka pada perempuan yang terlalu mudah untuk dibawa ke mana- mana apa
agaknya reaksi kau?
“Itulah, aku nampak Zaf pun dah banyak
berubah. Dia jarang keluar malam sejak dia rapat dengan Wardah ni. Yelah, kau
tengoklah Wardah tu kan alim, baik, sopan-santun takkanlah dia nak lelaki yang
nakal macam Zaf tu. Mungkin Zaf dah berubah untuk pikat Wardah kut,” ujar Iqram
lagi, sengaja dia berkata seperti itu untuk menaikkan suhu kemarahan Juliana.
Juliana bertambah bengang.
“Zaf nak pikat Wardah? Kau gila ke apa
Iq? Aku tahu, perempuan macam Wardah tu bukan pilihan Zaflah. Kolot, tak up to date. Kalau Zaf nak cari perempuan
lain aku tak kisah tapi biarlah perempuan yang lebih cantik daripada aku. Ini
Wardah? Aku tak percaya langsung. Zaf tu gilalah kalau pilih Wardah berbanding
dengan aku,” balas Juliana berbangga diri. Dia mendabik dada dengan kecantikkan
yang diberikan Allah kepadanya. Dia terlupa bahawa kecantikan bukanlah segala-galanya.
Iqram hanya tersengih. Geli pula hatinya
bila mendengar kata- kata Juliana yang berbaur riak dengan kecantikan yang
diberikan kepadanya.
Kalaulah kau tahu Jue, tak semestinya
lelaki memilih perempuan itu kerana kecantikan semata-mata, banyak faktor yang
lelaki pandang untuk memilih pasangan hidupnya. Bukan saja Zaf, malah aku
sendiri akan pilih perempuan seperti Wardah untuk dijadikan isteri. Perempuan
macam kau hanya sesuai untuk dijadikan teman di waktu sunyi. Bukan untuk teman
buat selama- lamanya. Kau bangga dengan pakaian yang kau rasakan cukup moden,
tapi sebenarnya kau lebih kolot daripada Wardah kerana sesuka hati menayangkan
perhiasan yang kau ada pada lelaki yang tiada hubungan dengan kau. Monolog Iqram.
“Kenapa kau diam? Betulkan apa yang aku
cakap?” soal Juliana lagi selepas tiada jawapan daripada Iqram.
“Aku iya kan ajelah, Jue…” balas Iqram
malas.
“Aku akan pastikan perempuan tu jauh
daripada Zaf. Aku tak puas hati kenapa Zaf baik sangat dengan dia,”
“Alah, kau jangan risau. Itu semua
lakonan je…” balas Iqram selamba.
Kemudian dia menutup mulut. Dia sudah
terlepas cakap.
Juliana terdiam. Dia cuba menganalisis
apa yang dikatakan oleh Iqram.
“Lakonan? Apa maksud kau?” soal Juliana
inginkan kepastian.
Iqram terdiam seribu bahasa. Sepatutnya
tiada siapa yang boleh tahu tentang pertaruhan antara dia, Zafran dan Riduan.
Ini rahsia mereka bertiga.
“Tak ada apa- apalah…” dalih Iqram
sambil meneguk air sirap yang masih berbaki.
“Kau jangan nak tipu aku, Iq. Aku tahu
kau rahsiakan sesuatu daripada aku. Lebih baik kau bagitahu aku sekarang,”
balas Juliana tidak sabar.
“Kalau aku bagitahu kau, apa yang aku
dapat?” Iqram masih bermain tarik tali.
“Berapa kau nak? Aku boleh bagi…” balas
Juliana.
Iqram tersengih. Gambaran duit
bermain-main di ruang mata Iqram. Rezeki ni. Aku tak boleh tolak. Bisik
hatinya. Syaitan mula mempermainkan peranannya menghasut anak Adam yang tamak
haloba.
“Baiklah, deal!” ucap Iqram.
“SERONOK ke berdampingan dengan kekasih
orang? Ke mana saja berdua. Makan pun berdua. Tentu hidup kau bahagia kan,
Wardah?” sapa Juliana sewaktu Wardah sedang mencuci pinggan di singki.
Wardah hanya mendiamkan diri. Dia pura-pura
pekak. Orang macam Juliana ni tak boleh dilayan sangat nanti kesabarannya
hilang. Kalau kesabarannya hilang, tak pasal-pasal pinggan tu pecah atas kepala
Juliana nanti.
“Hai, baru dapat satu kumpulan dengan
jejaka idaman Malaya, dah sombong dengan aku. Wardah, Wardah ubat guna-guna
apalah yang kau berikan pada Zaf sampaikan dia terus tak pandang aku? Hebat
juga kau ni ya,” Juliana terus- terusan memerli.
Wardah menayang muka selamba. Lebih baik
aku cuci pinggan, aku tak nak tercuci muka minah ni pula. Kata hatinya.
“Mungkin bukan kau yang guna-gunakan
Zaf, tapi kau yang dipergunakan oleh Zaf. Patutnya kau sedar diri, Ada.
Perempuan macam kau tak sesuai langsung dengan lelaki macam Zaf. Macam langit
dengan bumi. Dia tak pandang perempuan macam kau ni, jadi aku nasihatkan kau
tak payah murahkan diri kau untuk tarik perhatian Zaf,” ucap Juliana lagi
dengan ketawa yang cukup sinis.
Berdesing telinga Wardah. Dia memang
pantang kalau orang cakap dia murah. Memang nak kena minah perasan bagus ni.
Aku dah lama tak basuh orang, jangan sampai aku bagi ceramah agama malam-malam
yang mulia ni. Dengus Wardah. Dia menghempas span pencuci pinggan dan berpaling
menentang wajah Juliana yang kelihatan samar- samar diterangi cahaya lampu.
“Yang kau ni tak puas hati sangat dengan
aku ni kenapa? Kalau kau nakkan sangat si Zaf tu kau ambiklah. Tak payah nak
sindir aku. Aku bukan perempuan murah yang senang-senang nak bagi cinta aku kat
orang. Zaf tu kawan aku sebelum kau kenal dia lagi. Kalau kau rasa aku rampas
Zaf daripada kau, kau memang bodoh. Aku kenal dia sejak kecil, kau tu baru
setahun jagung kenal dia dah nak berlagak. Kalau kau nak kepastian kau tanya
Zaf sendiri. Aku rimas kau tahu tak, kau asyik kejar aku cakap benda yang sama.
Kalau kau cintakan Zafran setengah mati, apa kata kau masuk je meminang Zaf tu.
Aku boleh nasihatkan Zaf untuk terima kau kalau dia tak nak!” ucap Wardah
panjang lebar. Dia melepaskan nafas yang panjang.
Terasa lapang hatinya kerana dapat
meluahkan apa yang terbuku di hati. Dia memandang wajah Juliana yang terkulat-kulat.
Gadis itu terdiam seribu bahasa, mungkin terkejut dengan kata-katanya yang agak
pedas dan berbisa. Huh, baru kau tahu. Ini Wardahlah. Aku bukan lembik sangat,
cuma aku banyak bersabar je tapi bila kesabaran aku hilang, jangan salahkan aku
kalau ada hati yang terluka. Benak hatinya berkata- kata.
“Hah, satu lagi aku nak pesan. Jadi perempuan
ni cubalah mahalkan diri tu sikit baru orang hargai. Allah ciptakan perempuan
tu penuh dengan sifat malu, jangan hilangkan sifat itu demi seorang lelaki yang
belum tentu jodoh kita,” pesan Wardah sebelum berlalu meninggalkan Juliana yang
kehilangan kata.
Dada Juliana berombak ganas. Dia tidak
mampu untuk mematahkan kata- kata Wardah. Dia kalah kali ini.
“Tak guna!!” bentak Juliana sambil menghentak-
hentakkan kakinya.
Zafran tersenyum di sebalik dinding.
Wardah memang seorang yang berani. Dia sendiri tidak menyangka yang Wardah akan
melawan Juliana. Sebab itulah dia mengintip di sebalik dinding, dia takut
Juliana buat perkara yang bukan- bukan pada Wardah namun ternyata Wardah pandai
membela dirinya sendiri. Dia perempuan yang berani. Zafran kagum dalam diam.
Satu lagi ciri- ciri wanita idaman aku ada dalam diri kau Wardah!
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.