PROLOG 1
Berkali-kali
ku cuba mengerti tentang dirimu,
Tapi
selalu saja tak pernah kau sedari,
Renungkanlah,
Begitu
besar harapan yang ku bawa,
Ku
ingin kau selalu temaniku,
Tiap
hariku,
Begitu
banyak bintang di langit,
Namun
kau tetap pujaan hati,
Kan ku
tunggu sampai kau mengerti,
Cinta
adalah anugerah,
Rasakan
ia dan jaga perasaannya,
Usah
kau salahkan takdir,
Bila cinta
kita berakhir,
Jika
kau sia-siakan kesempatan yang telah kau dapatkan,
Usah
kau berharap lagi aku selalu ada untukmu…
PROLOG 2
LAMA
mata Marissa membalas pandangan Firman. Wajah temannya itu tampak begitu
bersungguh. Cuma Marissa sahaja bagaikan tidak percaya dengan apa yang telah
diluahkan oleh Firman sebentar tadi.
“Kenapa awak senyap je ni, Rissa? Awak tak percaya
apa yang saya cakapkan ni?” Soal Firma mulai gundah dengan sikap berdiam diri
Marissa tika ini.
“Tak percaya dan terkejut. Terkejut sebab awak boleh
cakap yang awak sukakan saya. Kita kawan dah lama tau, saya tak pernah nampak
pun yang awak macam sukakan saya,” balas Marissa sambil memanah tepat ke anak
mata Firman yang hitam pekat.
Firman tersenyum manis. Dia mendekatkan wajah namun
Marissa terus menyandarkan tubuhnya ke kerusi agar menjauh daripada Firman.
“Semua kawan-kawan kita perasan yang saya sukakan
awak cuma awak tu aje yang tak nampak sikap saya bila dengan awak. Kita
berkawan daripada semester satu sampailah sekarang, sedikit sebanyak sikap awak
tu buat saya selesa. Kadang-kadang perangai pelik awak tu buat saya terhibur.
Saya suka orang yang unik macam awak ni,” jawab Firman jujur.
“Perangai pelik?” Soal Marissa sambil menjongketkan
kening.
“Yalah, perangai pelik. Tak perlulah saya sebutkan.
Awak tentu lebih kenal diri awak sendiri. Saya tahu ramai lelaki yang sukakan
awak, tapi dia orang takut nak dekat dengan awak. Saya tak nak jadi macam tu.
Saya tak suka pendam apa yang saya rasa dan apa yang saya rasa sekarang datang
dari hati saya sendiri,” ujar Firman dengan bersungguh.
Marissa menghela nafas lalu menghembuskannya dengan
perlahan. Dia tersenyum sumbing. Bibirnya diketap. Entah kenapa luahan Firman
tidak sampai ke hatinya. Malah, jantungnya seakan tidak memberi reaksi walaupun
lelaki itu membicarakan soal hati.
“Awak tahu kan prinsip saya?” Soal Marissa tidak
lama kemudian.
Firman hanya menganggukkan kepala.
“Saya nak awak tahu, saya seorang yang sangat
berpegang pada prinsip dan takkan ada sesiapa yang dapat lunturkan prinsip
saya. Saya akan terima awak kalau awak lulus ujian saya,” ujar Marissa dengan
muka yang serius.
Jelas Firman kebingungan.
“Ujian apa, Rissa?” soalnya.
“Awak akan tahu nanti. Sekarang, saya nak awak
dengar baik-baik…”
Firman angguk. Dia menumpukan sepenuh perhatian
kepada Marissa yang kelihatan memandang ke kiri dan kanan.
“Saya akan panggil waiter tu untuk oder makanan dan saya akan bagitahu dia seorang
saja makanan yang saya akan pesan. Lepas saya oder makanan, saya nak awak pun oder
sekali. Kalau makanan yang awak pesan sama dengan makanan yang saya pesan, saya
akan terima awak,” ucap Marissa dengan senyuman.
“What?
Permainan apa yang awak nak buat ni, Rissa?” Soal Firman seakan tidak percaya.
“Awak cakap awak kenal perangai saya kan? Awak suka
dengan perangai pelik saya kan? Jadi inilah perangai saya. Kalau awak
keberatan, saya tak kisah. Saya boleh balik sekarang,” balas Marissa lalu berura-ura
untuk berdiri.
Firman mengetap bibir. Walaupun rancangan Marissa
dianggap terlalu pelik, namun demi sebuah perasaan, dia turutkan jua.
“Rissa, nanti dulu! Baiklah. Saya setuju dengan
permintaan awak,” balas Firman akhirnya. Dia mengalah.
Marissa tersenyum manis. Lalu, dia menggamit seorang
pelayan wanita ke arahnya. Kemudian, senarai menu diletakkan di hadapannya. Dia
membelek buku menu tersebut dengan wajah yang tenang. Dia tahu Firman sedang
memerhatikannya saat ini. Selepas memilih menu, dia meminta pen dan kertas yang
dipegang oleh nelayan tersebut.
“Saya nak minta tolong boleh tak?” Soal Marissa
kepada pelayan wanita tersebut.
“Boleh, cik. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?”
soal gadis itu dengan senyuman ramah menghiasi bibir.
“Awak tolong pegang kertas yang saya dah tulis oder
saya ni. Awak jangan baca, biar kawan saya ni pilih makanan dia dulu kemudian
baru awak tengok, boleh? Saya nak tengok sama ada makanan dia pilih sama tak
dengan makanan yang saya pilih.” Terang Marissa.
Pelayan tersebut melemparkan pandangan pelik namun
Marissa tidak endahkan. Ada perkara yang lebih penting untuk dia fikirkan.
“Okey Firman, sekarang awak boleh pilih makanan apa
yang awak nak makan.” Arah Marissa.
Firman hanya menurut. Dengan dada yang
berdebar-debar, Firman membuat pilihan. Dia menulis nama makanan yang ingin
dipesannya di atas kertas lalu diserahkan kepada pelayan tersebut. Marissa
hanya memerhati dengan penuh rasa teruja.
“Nak saya bukakan sekarang ke?” Soal pelayan wanita
tersebut.
Marissa hanya menganggukkan kepala tanda mengiakan.
Kemudian, pelayan wanita tersebut membukakan kertas yang dilipat dua oleh
Marissa dan Firman. Dia meletakkan kedua-dua kertas tersebut di atas meja.
Firman berdebar. Marissa teruja.
Kedua-duanya menjenguk pada perkataan yang tertera
di atas kertas tersebut. Marissa hanya tersenyum sumbing. Sedangkan Firman
meraup rambutnya ke belakang. Dia menggigit bibir. Dia menatap wajah Marissa
dengan lama.
“Awak pilih Nasi Goreng Pattaya sedangkan saya pilih
Char Kue Teow. Nampaknya kita tak ada jodoh,” jawab Marissa dengan wajah yang
serius sebaik saja pelayan tersebut diminta beredar.
Firman terkebil-kebil memandang Marissa. Seakan
tidak percaya dengan apa yang diucapkan oleh gadis itu.
“Tak ada jodoh? Apa maksud awak? Takkan disebabkan
makanan yang saya pilih tak sama dengan awak, bermakna kita tak ada jodoh?
Mengarut tahu tak?” ujar Firman seakan tidak berpuas hati dengan Marissa.
“See. Awak
pun tak boleh faham dengan prinsip saya. Apa yang saya buat untuk cari
keserasian antara kita berdua. Sekarang ni kita tak serasi, Firman. Hati kita
tak serasi jadi jodoh tak berpihak kepada kita. Jadi saya tak dapat terima
awak,” balas Marissa dengan riak yang serius. Dia memang maksudkan kata-katanya
tadi.
“Rissa, awak tak boleh tentukan jodoh dengan cara
macam ni. Ini cuma kepercayaan awak.”
“Ya, memang ini kepercayaan saya dan saya akan
percaya cara saya ni sampai bila-bila. Saya minta maaf, Firman. Awak gagal
dalam ujian ni,” ujar Marissa lalu bingkas berdiri.
“Ujian apa?” Soal Firman pelik. Wajahnya jelas
kebingungan.
“Ujian jodoh…” jawab Marissa lalu meninggalkan
Firman yang terpinga-pinga.
“Rissa, tunggu dulu!” laung Firman namun Marissa
meneruskan langkahnya tanpa menoleh ke arah Firman.
Marissa melangkah keluar dari restoran, sedang dia
ingin mengatur langkah menuju ke perhentian bas, tiba-tiba bahunya dilanggar
seseorang.
“Maaf…” ucap lelaki tersebut sambil memegang kejap
telefon di telinga. Tangan diangkat. Kelihatan lelaki itu tergesa-gesa.
Marissa tidak sempat berkata apa. Hanya bibir saja
yang diketap.
“Berjalan tak pandang kiri kanan…” Bebel Marissa.
Lantas, dia kembali memandang ke hadapan. Dahinya
berkerut apabila ada titisan gerimis mengenai tepat pada wajahnya. Dia
mendongak ke langit. Cuaca yang tadinya cerah kini bertukar mendung.
“Aik… Hujan pula…” ucapnya sendiri. Namun Marissa
hanya berdiri di kaki lima itu sambil mendongak ke langit. Nafas ditarik dan
dilepaskan dengan perlahan.
“Aku tak tahu kau di mana, aku tak tahu kau siapa,
tapi aku yakin kau wujud. Kita pasti bertemu di saat yang tepat dengan cara
yang indah…” ucap Marissa sendiri. Satu senyuman nipis terukir di bibirnya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.