Tetamu Rindu

Saturday, 1 February 2020

MR. FROST ( Bab 15 ) ~ TAMAT~


HANA!” laung satu suara memanggil Hana membuatkan langkah Hana terhenti serta-merta. Dia berpaling, mencari empunya suara.
Dari jauh dia dapat melihat seorang lelaki memakai kemeja berwarna hitam sedang melambaikan tangan kepadanya. Hana mengecilkan mata cuba mengamati pemilik wajah itu sebelum bibir melebarkan senyum saat pemuda itu semakin menghampiri.
“Azmer. Kau rupanya. Aku ingatkan siapa tadi,” ujar Hana. Nafas dihela dan dilepaskan dengan perlahan.
“Kau ada kenal orang lain selain aku ke di Pena Qarya ni?” soal Azmer sambil ketawa kecil. Dia berdiri di sisi Hana. Wajah sahabatnya itu dipandang lama.
Hana hanya tersengih. Perlahan-lahan dia menggelengkan kepala.
“Sejak kau pindah tinggal di KL ni, tak pernah pun kau call aku kan? Sampai hati. Bila dah dapat kerja di sini baru kau nak cari aku. Agaknya kalau kau tak dapat kerja di Pena Qarya ni, gerenti kau takkan contact aku kan?” ujar Azmer dengan bibir terjuih-juih. Seakan berjauh hati dengan sikap Hana terhadapnya.
Hana ketawa kecil. Dia mula mengatur langkah menuju ke pintu masuk sambil diikuti oleh Azmer.
“Aku bukan tak nak contact kau, Mer. Banyak sangat benda yang terjadi pada aku dan keluarga aku sekarang ni. Soal syarikat papa aku, tentu kau tahu kan?” soal Hana dengan kepala yang tertunduk.
Azmer terdiam seketika. Dia serba salah apabila melihat wajah Hana yang keruh.              
Sorry, Hana. Aku tak bermaksud nak…”
Hana memanggung kepala. Dia tersenyum manis.
“Jangan risaulah. Aku okey je. Hari ni hari pertama aku di sini, sepatutnya kau beri aku semangat. Aku tengah nervous ni.” Ujar Hana mengubah arah perbualan mereka.
Azmer menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia tersengih.
“Permulaan memanglah kau nervous tapi bila kerja dah bertimbun, kau takkan sempat nak rasa apa-apa. Jomlah masuk. Nanti aku kenalkan kau dengan kawan-kawan aku dekat sini.” Balas Azmer lalu menunjukkan jalan kepada Hana.
Hana hanya mengikut. Debar perasaan makin menghilang dengan kehadiran Azmer. Sekurang-kurangnya, dia tidak termangu-mangu sendirian di tempat yang cukup asing ini.
“Mesti kau ramai peminat dekat sini kan? Maklumlah masa di kampung dulu, kau kan jadi gilaan para gadis,” usik Hana diiringi tawa kecil.
Azmer turut tertawa kecil dengan kata-kata Hana.
“Itu dulu. Sekarang aku dah tak ada masa untuk semua tu, Hana. Dalam otak aku ni cuma mampu fikir pasal kerja. Tiap-tiap bulan nak kena cari konsep untuk muka depan novel. Sampai tak sempat nak cari girlfriend.” Balas Azmer. Dia menggeleng kecil.
Hana mencebik. Kurang percaya dengan kata-kata Azmer. Sebaik saja Azmer menyebut soal teman wanita, tiba-tiba Hana teringatkan sesuatu. Kemudian, dia berpaling sejenak ke arah Azmer yang masih menanti pintu lif terbuka.
“Eh, Mer. Kau kenal tak siapa anak Tuan Ruslan?” soal Hana tiba-tiba.
Azmer hanya menganggukkan kepala tanpa mengesyaki apa-apa daripada soalan Hana.
“Kenal. Semua pekerja kena kenal anak Tuan Ruslan tu. Kau pun kena kenal nanti. Dia timbalan ketua pengarah eksekutif, Qarya Group. Kenapa?” soal Azmer ringkas.
“Tak ada apa-apa. Kau ada gambar dia tak?” soal Hana lagi.
“Gambar? Kejap. Aku rasa aku ada simpan gambar masa annual dinner tahun lepas. Kau tolong pegang ni sekejap,” ujar Azmer lalu menghulurkan beg komputer riba miliknya kepada Hana. Huluran bersambut.
Azmer mencari sesuatu di telefon pintarnya sementara Hana menunggu dengan penuh sabar. Entah mengapa hatinya berdetak tidak tentu hala saat ini. Nafas dilepaskan dengan perlahan-lahan.
“Hah, ada pun. Ni dia gambar Tuan Razin…” Ujar Azmer lalu menunjukkan skrin telefon pintar miliknya kepada Hana.
Hana menjengukkan kepala. Wajah yang terpapar di skrin membuatkan Hana melepaskan nafas lega. Jantungnya mula berdetak secara normal.
“Tuan Razin ni macam mana orangnya?” soal Hana lagi. Sekadar ingin tahu.
Azmer tidak terus menjawab. Dia memuncungkan mulut seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.
Hmm… Aku taklah kenal dia secara personal. Tapi melalui cakap-cakap orang, Tuan Razin ni baik aje orangya. Tapi dia tak macam pengarah yang lain,” ujar Azmer sambil tersengih.
Dahi Hana berkerut. Kurang mengerti kata-kata Azmer.
“Tak macam pengarah yang lain? Maksud kau?” soal Hana.
Anak mata Azmer melilau ke sekeliling sebelum merapatkan badannya ke arah Hana.
“Dia cuma pegang jawatan tapi kerja dia orang lain yang buat,” jawab Azmer dengan berbisik. Hanya Hana yang mendengar.
Hesy, kau ni. Tak mungkinlah dia macam tu. Mungkin kerja dia banyak sangat, sebab itu orang lain tolong buatkan,” Hana cuba berfikir positif.
Azmer hanya menjongketkan bahu. Dia hanya menyampaikan apa yang dia tahu. Selebihnya dia langsung tidak berminat dengan perihal orang atasan. Dia cuma melakukan tugas yang diamanahkan kepadanya.
“Entah. Aku bukan tahu sangat pasal dia. Cuma aku nak bagi tahu kau, kalau kau sayangkan kerja kau, jangan cari pasal dengan ketua editor kita,”
“Kenapa?” soal Hana pantas.
“Dia buah hati Tuan Razin sekarang dan pernah jadi buah hati Mr. Frost,” bisik Azmer lagi. Saat ini mereka berdua sudah sampai di hadapan pintu masuk pejabat.
Sebaik saja mendengar nama Mr. Frost meniti di bibir Azmer, langkah Hana terhenti dengan sendirinya. Bulat matanya memandang Azmer.
Mr. Frost?” soal Hana dengan suara yang sedikit meninggi.
 Aku tak salah dengar ke ni? Bukan ke Mr. Frost dah ada teman wanita? Berapa ramai teman wanita yang mamat tu ada? Mamat kaku dan dingin macam tu pun ada orang suka ke? Omel hati Hana.
Syhhh… Jangan cakap kuat sangat. Ini semua gosip je. Tak boleh percaya. Kita dah nak masuk kerja ni. Kau pergi lapor diri dulu. Nanti lunch kita sembang lagi,” ujar Azmer menamatkan perbualan mereka.
Hana hanya menganggukkan kepala. Mereka terpisah haluan namun setiap perkara yang diceritakan oleh Azmer masih bermain di fikiran Hana. Bayang wajah Tuan Razin yang ditunjukkan oleh Azmer turut sama terlintas di ruang mata.
“Kalau Tuan Razin dah ada kekasih, kenapa Tuan Ruslan nak aku kahwin dengan anak dia? Macam mana pula dengan kekasih dia nanti?” desis Hana perlahan. Dia tertelan air liur memikirkan apa yang akan terjadi.


HARI ni saya nak awak ambil manuskrip ni, baca dan nilai kemudian senaraikan kekuatan dan kelemahan yang terdapat dalam manuskrip supaya senang untuk pihak kita buat keputusan sama ada untuk terbitkan manuskrip ini atau tidak. Pastikan awak habiskan baca manuskrip ni dalam masa dua hari. Banyak lagi manuskrip yang perlu dinilai. Faham?” arahan pertama dikeluarkan oleh Fina sewaktu Hana melaporkan diri.
Hana tertelan air liur apabila melihat ketebalan manuskrip yang diserahkan oleh Fina kepadanya. Dia membelek helaian terakhir. Matanya terbuntang apabila melihat jumlah muka surat yang tertera.
“580 muka surat…” Desisnya perlahan. Bagaimana aku nak habiskannya dalam masa dua hari? Detik hati Hana.
“Kenapa, Hana? Awak ada masalah?” soal Fina sambil mengamati wajah Hana yang kelihatan berpeluh.
Hana memanggungkan kepala. Dia tersengih lalu menggelengkan kepala.
“Tak ada masalah, cik. Saya akan buat sekarang.” Jawab Hana akur.
“Bagus. Saya nak awak tumpukan sepenuh perhatian untuk kerja awak ni. Kelulusan manuskrip itu bergantung kepada awak. Saya nak awak nilai sebaik mungkin. Berikan alasan yang kukuh sebab awak luluskan atau tolak manuskrip tersebut.” Sambung Fina lagi. Hana hanya menganggukkan kepala tanda faham.
“Boleh saya tanya, cik?”
“Silakan…”
“Bukankah kebiasaannya, penilai sesebuah novel diambil bukan dalam kalangan syarikat? Maksud saya, syarikat akan upah penilai luar untuk menilai sesebuah novel.” Soal Hana cuba meleraikan tanda tanya yang bermain di fikirannya.
Fina terdiam seketika sebelum mengukirkan senyuman.
“Ya betul, kebanyakan syarikat penerbitan akan upah penilai daripada luar untuk menilai, tapi di Pena Qarya, bahagian editorial yang akan lakukan semua tu. Jimat perbelanjaan.” Jawab Fina dengan tenang.
Hana menganggukkan kepala. Faham dengan penerangan Fina.
“Saya seorang aje ke yang akan nilai manuskrip untuk tajuk ni atau akan ada editor lain yang turut serta?” soal Hana sopan.
“Untuk satu tajuk manuskrip akan ada dua orang penilai. Nanti kita akan gabungkan pendapat dan buat keputusan sama ada nak luluskan atau tolak manuskrip tu…”
Tok! Tok!
Bunyi pintu diketuk mengganggu perbincangan mereka berdua. Hana berpaling sejenak sebelum kembali memandang Fina yang kelihatan tenang. Dalam hati dia memuji kecantikan yang dimiliki Fina. Gadis itu nampak tenang dan berkarisma.
“Masuk!”
Selang beberapa minit muncul Maryam, salah seorang kerani pejabat di muka pintu.
“Cik Fina, Tuan Rais dah sampai. Boleh dia masuk sekarang?” soal Maryam.
Sebaik saja mendengar nama Rais meniti di bibir Maryam, mata Hana terbuka luas. Dadanya mula diserang debar.
“Macam mana mamat tu boleh datang ke sini pula? Dia tak tahu aku kerja kat sini. Kalau dia tahu habislah! Apa aku nak buat ni?” gumam Hana sendirian. Dia mengetuk dahinya sendiri.
“Oh, Tuan Rais dah sampai? Boleh minta dia masuk sekarang.” Jawab Fina. Dia mengerling ke arah Hana yang kelihatan gelisah. Dahinya berkerut.
“Hana…” Tegur Fina. Pelik dengan sikap Hana yang berubah secara mendadak.
“Hah? Ya saya, cik.”
“Awak tak apa-apa ke?” soal Fina lagi. Prihatin.
Hana mampu menayang sengih, Sedangkan saat ini jantung terasa ingin meletup. Jika boleh dia tidak mahu kewujudannya di sini disedari oleh Rais. Dia bimbang lelaki itu akan mengungkit kembali segala kesalahan yang pernah dilakukan selama ini termasuk kes video yang masih berada dalam simpanannya.
“Saya tak apa-apa, cik. Cik ada tetamu jadi saya minta untuk sambung kerja dulu, ya?” pinta Hana cuba melindungi rasa gelisah yang semakin ketara di raut wajahnya.
“Baiklah. Tapi sebelum tu biar saya kenalkan awak dengan Tuan Rais…”
“Tak apa! Tak mengapa, cik. Encik Zakri dah tunjukkan saya carta organisasi Qarya Group jadi saya dah…”
Bunyi ketukan di pintu buat kedua kalinya menghentikan bicara Hana. Dia cuba menenangkan diri apabila pintu bilik milik Fina terkuak.
“Saya keluar dulu, cik.” Sambung Hana dengan pantas. Dia mengangkat manuskrip yang berada dalam pegangan lalu diangkat bagi menutupi bahagian tepi wajahnya.
“Baiklah.” Jawab Fina dengan kening yang sedikit bertaut apabila melihat gelagat Hana yang nampak sedikit pelik di pandangan mata.
Hana menganggukkan kepala. Perlahan-lahan dia mengundurkan langkah sehingga sampai ke muka pintu dengan wajah yang ditundukkan. Manakala, manuskrip yang berada dalam pegangan, dibiarkan menutup bahagian tepi mukanya.
“Assalamualaikum…” Sayup-sayup kedengaran salam dihulurkan oleh Rais sewaktu menapak ke dalam bilik Fina.
Hana cuba tidak mengendahkan. Kepala terus ditundukkan. Debaran di dada usah diceritakan lagi. Janganlah dia perasan! Janganlah dia perasan! Doa Hana dalam hati.
Setapak demi setapak dia melangkah, akhirnya dia berjaya melepasi tempat Rais berdiri. Dia tidak peduli akan pandangan lelaki itu terhadap dirinya saat ini. Apa yang dia tahu, dia ingin keluar dari bilik itu secepat mungkin.
Manakala, Rais memandang pelik gadis yang sedang berjalan melepasinya saat ini. Dia memandang Fina, meminta penjelasan namun Fina hanya menjongketkan bahu.
“Hana!”
Sebaris nama yang dipanggil daripada luar mengejutkan Rais, pantas dia berpaling. Serentak, pintu bilik ditutup rapat.
“Tak mungkin orang yang sama.” Gumam Rais sendirian.
“Abang Is, kenapa?” soal Fina membuatkan Rais kembali menoleh. Dia menggelengkan kepala.
“Tak ada apa-apa. Siapa tadi tu?”
“Editor baru. Baru aje lapor diri hari ni,” jawab Fina.
“Siapa namanya?”
“Hana. Dian Hana…”
Rais terpempan sebaik saja Fina menyebut sebaris nama tersebut. Dia lagi?



MR. FROST ( Bab 14 )


RAIS hanya mendiamkan diri sebaik saja Tuan Ruslan melabuhkan punggung setentang dengannya. Walaupun hati melonjak dengan pelbagai soalan, namun dia tetap kelihatan tenang.
“Macam mana, kamu setuju tak dengan tawaran abah?” soal Tuan Ruslan memulakan perbincangan dengan Rais.
“Kenapa saya kena ikut cakap abah? Kenapa saya mesti kahwin dengan perempuan pilihan abah?” soal Rais akhirnya. Dia inginkan penjelasan yang kukuh daripada Tuan Ruslan.
“Abah nak kamu hidup dengan sempurna. Ada keluarga dan ada isteri yang akan jadi teman hidup kamu. Sampai bila kamu nak berfoya-foya, Is? Abah tahu kamu marahkan abah. Kamu bencikan abah. Tapi jangan gunakan perempuan untuk tunjuk perasaan kamu kepada abah.” Jelas Tuan Ruslan.
“Abah ada bukti yang saya kaki perempuan? Atau abah cuma dengar cakap-cakap orang lain tentang saya?” soal Rais kembali. Telinganya berdesing setiap kali Tuan Ruslan cuba mengkritik dirinya.
Tuan Ruslan terdiam. Lama dia memikirkan kata-kata Rais sebelum dia kembali tersedar. Selama ini, dia mengetahui segala kelakuan Rais melalui Puan Leyla dan Razin. Belum pernah walau sekali dia melihat tingkah Rais yang sebenar.
“Itu bukan persoalan sekarang ni. Sekarang, abah cuma nak kamu berubah. Berubah menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab…”
“Dengan kahwinkan saya dengan perempuan yang saya tak kenal? Apa helah abah kali ni? Abah benci sangat ke pada saya sampai nak saya kahwin cepat-cepat dan keluar dari kawasan rumah ni?” tempelak Rais geram. Wajahnya bertukar kelat.
Astaghfirullah-al-azim. Abah tak pernah fikir semua tu, Is. Abah cuma nak yang terbaik untuk kamu. Abah tak pernah benci kamu. Kamu anak abah…”
“Nak yang terbaik? Abah yakin ke perempuan yang abah pilih tu terbaik untuk saya?” Rais masih belum berhenti menyoal.
Tuan Ruslan menghela nafas dan menghembuskannya dengan perlahan. Berbicara dengan Rais memerlukan kesabaran yang tinggi. Tersalah bicara, dia yang terkena.
“Dia anak kawan abah…”
“Siapa?”
Dian Hana. Anak bongsu Tuan Yahya. Bekas pemilik Kalam Kreatif.” Jawab Tuan Ruslan laju.
Rais terdiam. Matanya terbuka luas apabila Tuan Ruslan menyebut sebaris nama tersebut. Serta-merta dadanya dilanda debaran. Seraut wajah menjelma di fikiran. Dia dapat merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena memandangkan Tuan Yahya bukan kawan rapat Tuan Ruslan. Mesti ada muslihat di sebalik pernikahan yang dirancang ini.
“Tapi dia musuh utama abah. Macam mana dia boleh bertukar jadi kawan abah pula ni? Apa yang abah cuba sembunyikan daripada saya sekarang?” soal Rais masih belum jelas.
Tuan Ruslan mengemam bibir. Cuba mencari alasan yang dirasakan kukuh untuk diberikan kepada Rais.
“Dia pernah jadi rakan kongsi abah dulu. Disebabkan sikap tamak dia, dia khianati abah. Kalau diikutkan rasa sakit hati, abah memang takkan tolong dia. Tapi dia betul-betul dalam kesusahan sekarang. Abah rasa kamu cukup tahu apa yang berlaku terhadap keluarga Tuan Yahya kan? Disebabkan masalah itu anak dia datang untuk dapatkan bantuan daripada abah dengan mencagarkan dirinya sendiri…”
“Cagarkan diri dia sendiri? Apa maksud abah?” soal Rais dengan dahi yang berkerut seribu.
“Untuk dapatkan pinjaman daripada abah, anak perempuan dia sanggup cagarkan diri dia kepada keluarga kita sampailah dia dapat bayar balik pinjaman tu. Abah tak percayakan dia jadi abah nak kamu kahwin dengan dia dan awasi setiap gerak-geri keluarga tu. Sebagai imbuhan, abah berikan Pena Qarya kepada kamu,” ujar Tuan Ruslan menerangkan tentang rancangannya.
Rais tersenyum sinis. Telahan dia benar. Dia yakin tentu ada muslihat di sebalik rancangan Tuan Ruslan dan sekarang masa depannya menjadi taruhan.
“Abah fikir perkahwinan ni satu perniagaan?” soal Rais sedikit kecewa dengan tindakan Tuan Ruslan.
Tuan Ruslan hanya menjongketkan bahu.
“Abah rasa inilah cara paling selamat bagi memastikan keluarga Tuan Yahya tu berpegang pada janji.”
“Kalau abah tak percayakan mereka, lebih baik abah tak payah tolong. Masalah mereka bukan masalah abah, tak payah kusutkan fikiran untuk tolong mereka,” bantah Rais.
Tuan Ruslan terdiam. Kata-kata Rais ada benarnya cuma dia ada sebabnya yang tersendiri mengapa dia memilih untuk membantu keluarga Tuan Yahya. Terutama sekali anak gadisnya yang begitu bersungguh untuk menolong ayahnya.
“Abah cuma nak tunjuk kepada Tuan Yahya, yang pilihan yang dia buat dulu, adalah pilihan yang salah. Abah suka tengok dia merayu. Abah seronok tengok dia tersungkur macam ni sama seperti dia lakukan pada abah dulu.” Ujar Tuan Ruslan dengan pandangan yang sarat dengan rasa dendam terhadap Tuan Yahya.
Rais menggelengkan kepala.
“Itu bukan urusan saya. Saya tak nak terlibat dengan dendam abah.” Ucap Rais malas.
Tuan Ruslan mengangkat pandangan. Wajah Rais yang tenang ditenung dengan lama.
“Jadi kamu tak nak Pena Qarya ditukar hak milik kepada kamu?” soal Tuan Ruslan lagi.
Rais mengetap bibir. Sememangnya matlamat utama dia bertahan tinggal di kawasan yang sama dengan Tuan Ruslan adalah disebabkan Penerbitan Pena Qarya. Syarikat yang diusahakan dengan susah payah oleh ibunya sendiri. Dia akan melakukan apa saja untuk mendapatkan syarikat itu kembali dan sekarang, peluang sudah berada di hadapan mata, haruskah dia melepaskannya dengan begitu saja? Sanggupkah dia menggadaikan masa depannya demi kemahuannya sendiri?
“Apa jaminan abah akan tukarkan Pena Qarya pada saya?” soal Rais masih sangsi dengan tawaran Tuan Ruslan.
“Kalau kamu setuju dengan tawaran abah, abah akan serahkan segala pengurusan Pena Qarya kepada kamu tapi abah tak boleh keluarkan Pena Qarya daripada Qarya Group. Abah bagi masa tiga bulan untuk kamu naikkan jualan produk Pena Qarya kemudian barulah abah akan berikan sepenuh kuasa kepada kamu untuk uruskan Pena Qarya dengan cara kamu sendiri tapi dengan syarat kamu kena setuju dengan pernikahan ni,” ujar Tuan Ruslan.
“Kenapa susah sangat abah nak lepaskan Pena Qarya? Bukan ke Pena Qarya wujud disebabkan ibu. Kenapa abah tak buang je Pena Qarya sama seperti abah buang ibu?” soal Rais tiba-tiba.
Tuan Ruslan tersentak. Wajahnya berubah kelat dengan pertanyaan Rais. Dadanya mula berombak kecil apabila Rais membangkitkan soal ibunya sendiri. Parut lama seakan kembali terbuka. Terasa nyilu di dadanya meskipun tiada luka yang kelihatan.
“Kamu setuju ke tak?” soal Tuan Ruslan tanpa menjawab soalan Rais.
Rais menjilat bibir yang terasa kering. Otaknya ligat menimbang baik dan buruk jika dia menerima tawaran Tuan Ruslan.
“Anak Tuan Yahya tahu tentang rancangan abah ni?” soalan dibalas soalan oleh Rais.
Tuan Ruslan menganggukkan kepala.
“Dia setuju?”
Angguk lagi.
Rais meraup wajahnya. Dia tidak menyangka gadis itu sanggup menggadaikan dirinya sendiri semata-mata kerana duit dengan menjadikan diri sendiri sebagai cagaran. Berani! Gadis itu memang berani. Bisik hati Rais.
Kalau aku terima tawaran abah, bermakna aku boleh awasi setiap gerak geri gadis itu. Aku yakin video tu masih ada dengan dia. Aku akan guna apa saja cara untuk dapatkan video tu semula. Mungkin inilah salah satu caranya. Desis hatinya.
“Macam mana, Is? Setuju tak?” suara Tuan Ruslan mengembalikan Rais ke dunia yang sebenar.
Rais membalas pandangan Tuan Yahya. Lama.
“Saya nak abah buat kontrak tentang pertukaran hak milik Pena Qarya. Saya nak ada hitam putih. Soal pernikahan tu, saya nak berbincang dengan perempuan tu terlebih dahulu. Saya tak nak dia terkejut bila dia dapat tahu siapa bakal suami dia yang sebenar,” ujar Rais. Dia tersenyum nipis apabila membayangkan reaksi yang akan diterima nanti. Pasti gadis itu terkejut besar. Fikirnya.
Tuan Ruslan menggangguk setuju. Dia melepaskan nafas lega.


PINTU ruang rehat ditutup dengan perlahan sebelum tubuhnya disandarkan ke belakang pintu. Rais memejam mata sejenak. Cuba memikir kembali baik buruk yang bakal dihadapinya sebaik saja dia menerima tawaran Tuan Ruslan.
“Betul ke keputusan aku ni?” desisnya perlahan.
“Is kena tinggal di sini. Di sini tempat Is.Walau apa pun yang terjadi Is kena dapatkan balik milik Is. Jangan biarkan sesiapa pun rampas apa yang dah jadi milik Is. Ingat tu!” suara si ibu terngiang di telinga membuatkan matanya terbuka luas.
“Ya, aku harus dapatkan apa yang seharusnya jadi milik aku. Pena Qarya. Pena Qarya milik ibu. Aku takkan biarkan sesiapa rampas milik ibu.” Ucapnya sendirian. Nekad.
“Apa tawaran yang kau dapat kali ni?” tegur satu suara mengejutkan Rais. Dia berpaling.
Kelihatan Razin sedang berdiri sambil berpeluk tubuh. Anak mata lelaki itu tepat memandang ke arahnya. Rais hanya menayang wajah selamba. Dia mula mengorak langkah. Sedikit pun tidak mempedulikan pertanyaan Razin.
“Aku tak sangka kau sanggup lakukan apa saja untuk dapatkan perhatian abah. Kau tak malu ke menagih kasih macam tu? Abah dah tak sayangkan kau. Abah tak perlukan kau. Di mata abah sekarang kau cuma anak yang tak guna. Kau patut malu pada diri kau sendiri.” Ujar Razin cuba menyakitkan hati Rais.
Rais hanya tenang. Dia tersenyum nipis. Senyuman mengejek.
“Menagih kasih? Kau tak nampak siapa yang cari siapa dulu? Aku memang anak yang tak guna tapi sekurang-kurangnya aku tak seperti duit syiling. Depan lain, belakang lain. Aku tak malu dengan diri aku, tapi aku malu tengok kau. Sekuat mana kau mencuba untuk jadi anak abah, kau tetap bukan darah daging dia!” balas Rais. Perlahan tetapi cukup menikam.
Razin terbeliak. Darahnya menyirap. Lantas, dia menghampiri Rais. Kolar baju lelaki itu dicengkam dengan kuat. Tangannya diangkat untuk menumbuk muka Rais. Namun, renungan anak mata lelaki itu yang tajam menghentikan tingkahnya.
“Kau nak tumbuk aku? Tumbuklah. Biar abah tengok apa yang anak kesayangannya dah buat. Kau tak takut reputasi kau sebagai anak yang soleh akan jatuh? Kau tak takut perangai malaikat kau tu akan hilang di mata abah?” sinis Rais sambil menolak tangan Razin dengan kasar. Dia membetulkan kolar bajunya dengan gaya yang cukup bersahaja.
Razin melongo. Dia tidak percaya Rais akan melawan. Selama ini lelaki itu akan turuti semua kata-kata namun hari ini, sikap Rais begitu berlainan. Lelaki itu seakan tidak takut akan dirinya.
“Berani kau nak lawan aku? Ingat sikit, kau cuma orang suruhan aku,”
“Orang suruhan kau? Huh! Dulu mungkin aku ikut semua arahan kau tapi sekarang, tak lagi. Aku akan dapatkan hak aku semula. Lebih baik kau jaga-jaga. Kalau kau cuba halang aku, aku akan musnahkan semuanya.” Pintas Rais dengan kerlingan tajam.
Razin melongo. Dia kehilangan kata-kata. Apa yang telah merasuk Rais hari ini? Bagaimana lelaki itu boleh bertukar watak dalam sekelip mata? Apa yang Tuan Ruslan telah berikan kepada lelaki itu sehingga Rais berani menentangnya? Soal hati Razin bertubi-tubi.
“Oh ya, selepas ni soal peribadi atau soal kerja, kau uruskan sendiri. Aku tak nak masuk campur. Pandai makan, pandailah simpan,” sambung Rais. Bahu Razin ditepuk sebelum dia berlalu meninggalkan Razin yang termangu-mangu.
Razin terkebil-kebil. Hatinya bagai ingin meletup saat ini. Sikap Rais mencabar kesabarannya lantas telapak tangan dikepal. Dia mendengus. Rais harus diajar!


ABANG IS!”
Langkah Rais terhenti apabila telinga menangkap satu suara yang memanggil namanya. Anak mata Rais melingas ke kiri dan kanan cuba mencari arah suara tersebut. Tidak lama kemudian, muncul seorang gadis dari tepi rumah dengan senyuman melebar di bibir gadis itu.
“Fina? Fina buat apa di sini?” soal Rais terkejut. Dia terus mendapatkan Fina yang turut berjalan ke arahnya.
Fina meletakkan jari di bibir tanda meminta Rais memperlahankan suara. Rais hanya menganggukkan kepala.
“Nah…” Ucap Fina lalu menghulurkan mangkuk tingkat kepada Rais yang kelihatan terkejut.
“Apa ni?” soal Rais namun tangannya laju menyambut huluran Fina.
“Makanan. Fina minta Kak Su tolong bungkuskan untuk Fina. Padahal, Fina nak bagi makanan ni untuk abang. Fina tengok abang makan sikit sangat tadi,” ujar Fina lalu melabuhkan punggung di kerusi yang disediakan di beranda rumah Rais.
Rais tidak selesa. Anak matanya mula melilau memandang ke arah hadapan rumah. Bimbang jika kehadiran Fina di rumahnya disedari oleh Razin.
“Abang rasa Fina kena balik. Nanti kalau Razin tahu Fina jumpa abang, habis kita.” Ujar Rais sedikit bimbang.
Namun, Fina hanya kelihatan bersahaja. Dia tersenyum kecil.
“Abang jangan risau, dia takkan perasan Fina ke sini sebab dia agak Fina dah balik. Padahal Fina datang ke sini semula tapi Fina letak kereta jauh daripada rumah abang. Cuma, balik nanti abang kena tolong Fina. Tolong cover Fina.” Ujar Fina sambil tersengih.
Rais hanya menggelengkan kepala apabila mengenangkan tingkah Fina. Lantas, dia melabuhkan punggung di sebelah Fina.
“Kenapa Fina nekad sangat nak jumpa abang malam ni?” soal Rais kembali kepada persoalan yang sebenar.
“Saja. Lama tak bersembang dengan abang. Apa yang abang bincangkan dengan abah abang tadi?” soal Fina ingin tahu. Dia merenung wajah Rais yang duduk di sisinya.
“Dia nak abang kahwin…”
“Kahwin?!” Suara Fina meninggi namun dengan pantas dia menekup mulut. Bimbang suaranya disedari oleh orang lain.
“Dengan siapa? Tapi kenapa?” soal Fina setelah dapat mengawal rasa terkejutnya.
“Soal siapa dan kenapa tu tak penting, Fina. Tapi soal apa yang abang akan dapat dari perkahwinan ni, itu yang penting,” balas Rais masih lagi tenang sedangkan Fina seakan tidak percaya dengan berita yang disampaikan oleh Rais.
“Apa yang abang akan dapat?” soal Fina akhirnya. Dia turut ingin tahu apa yang Tuan Ruslan tawarkan kepada Rais.
“Pena Qarya…” Jawab Rais sambil membalas pandangan Fina.
Fina melongo seketika. Terkebil-kebil anak matanya memandang Rais.
“Fina tahu abang memang nak sangat Pena Qarya, tapi perlu ke abang  terima perkahwinan ni sedangkan abang tak kenal perempuan tu,” bantah Fina.
“Siapa cakap abang tak kenal?”
“Jadi abang kenal perempuan yang abah abang pilih tu?” soal Fina masih lagi terkejut. Bulat matanya memandang Rais.
Rais hanya menganggukkan kepala.
“Tapi abang, Fina rasa….”
“Fina jangan risau. Abang tahu apa yang abang buat. Peluang dah ada di depan mata, takkan abang nak tolak macam tu aje? Kalau boleh abang nak tamatkan semua ni secepat mungkin. Abang tak nak Fina bertambah rapat dengan Razin. Abang tak percayakan dia,” balas Rais perlahan.
Fina mendiamkan diri seketika. Dia menarik nafas dalam dan menghembuskannya dengan perlahan.
“Fina buat semua ni untuk abang. Insya-Allah, Fina akan cuba jaga diri Fina sebaiknya. Kalau itu keputusan abang, Fina faham. Fina yakin abang takkan lakukan sesuatu tanpa sebab yang kukuh. Soal Razin, abang serahkan pada Fina.” Ujar Fina  dengan senyuman.
Rais hanya menganggukkan kepala.
“Razin ada tunjukkan barang kemas yang dia nak berikan pada Fina, Fina terima tak?” soal Rais apabila teringatkan tentang berlian yang pernah ditunjukkan oleh Razin untuk diberikan kepada Fina.
Fina menggelengkan kepala.
“Fina minta dia serahkan baki saham milik dia dalam syarikat tu tapi dia nampak keberatan nak bagi pada Fina,” balas Fina.
“Bukan senang nak perdayakan Razin. Dia licik sama seperti mak dia. Abang harap Fina lebih berhati-hati. Abang tak nak dia syak Fina yang bukan-bukan.” Ujar Rais cukup khuatir dengan hubungan Fina dan Razin.
Namun, Fina hanya mengukir senyuman manis.
“Fina akan ingat kata-kata abang. Fina cuma tak sabar nak tengok dia jatuh tersungkur. Biar dia sedar, dia takkan selamanya berada di atas.” Ujar Fina sarat dengan rasa amarah yang jelas terpancar dari sinar matanya.