Tetamu Rindu

Saturday 1 February 2020

MR. FROST ( Bab 11 )


LANGKAH kaki diaturkan menuju ke bahagian belakang rumah mewah itu. Kali ini langkah kakinya kelihatan perlahan manakala pandangan matanya kelihatan kosong menandakan fikirannya sedang menerawang jauh. Dia tidak menyangka, niat untuk mendapatkan video yang berada dalam simpanan Hana membuatkan dia menjadi saksi kepada sebuah pergaduhan yang melibatkan ayah gadis itu. Mulanya dia hanya mahu memandang dari kejauhan dan tidak mahu mencampuri urusan keluarga gadis itu, namun apabila melihat kumpulan itu mula bertindak kasar, Rais terpaksa bertindak.
Satu keluhan dilepaskan. Rais terus menapak sehingga sampai ke kawasan rumahnya yang jauh lebih kecil berbanding rumah yang dimiliki oleh Tuan Ruslan. Dia menanggalkan kasut lalu melangkah naik ke beranda. Punggung dilabuhkan ke kerusi yang tersedia di situ. Mata dipejamkan buat seketika.
“Is ke mana tadi?” sapa satu suara mengejutkan Rais daripada rehatnya. Semerta, kelopak mata terbuka luas. Dia mencari arah suara yang menegur sebelum nafas dilepaskan. Dia membetulkan duduk.
“Tak ke mana pun…” Jawab Rais acuh tak acuh. Dia mengalih pandangan ke tempat lain. Enggan menatap wajah lelaki yang telah bertanggungjawab membawanya ke dunia.
“Jangan nak tipu abah. Apa hubungan Is dengan keluarga Yahya?” soal Tuan Ruslan lantas berdiri di hadapan Rais yang sedang duduk dengan tenang.
Rais tersentak apabila nama itu menyapa pendengaran. Dia mengangkat pandang namun buat seketika sebelum bola matanya dilarikan ke arah lain seperti kebiasaannya.
“Siapa Yahya? Saya tak kenal.” Jawab Rais cuba berbohong.
Tuan Ruslan tersenyum sinis. Dia menggeleng kecil.
“Abah tahu Is cuba nak sembunyikan sesuatu daripada abah. Abah kenal Is. Is tak pandai berbohong,” ujar Tuan Ruslan sambil menyilang tangan ke dada.
“Abah kenal saya? Abah tahu saya tak pandai berbohong? Tapi mengapa waktu saya cakap, Auntie Leyla suka pukul saya, abah cakap saya berbohong?” tempelak Rais dengan wajah yang berubah kelat.
Tuan Ruslan terkedu. Kata-kata yang terbit daripada mulut Rais ibarat sebuah tamparan yang cukup memedihkan. Dia terkelu.
Errr… Abah… Sebab kamu tak ada bukti untuk tuduh mak cik kamu tu…”
“Bukti? Tak cukup lagi dengan lebam-lebam dan luka di tubuh saya sebagai bukti? Abah ingat saya sengaja cederakan diri saya sendiri untuk raih perhatian abah? Atau abah nak saya mati dulu baru abah percaya dengan kata-kata saya?” soal Rais dengan suara yang mendatar namun setiap patah perkataan itu cukup menikam hati Tuan Ruslan.
“Is! Abah tak ajar kamu cakap macam tu!”
“Memang abah tak ajar sebab abah tak pernah ada masa untuk ajar saya lepas ibu tak ada. Abah bencikan ibu, jadi abah jadikan saya mangsa untuk lepaskan segala kemarahan. Kenapa baru sekarang abah nak ambil berat pasal saya? Anggap ajelah yang saya tak wujud sama seperti yang abah buat sebelum ni,” bidas Rais petah. Bukan niatnya untuk berkurang ajar tetapi sikap Tuan Ruslan terhadapnya selama ini membuatkan dia semakin hilang sabar.
Sekali lagi Tuan Ruslan kehilangan kata. Lidahnya seakan beku untuk membalas setiap patah yang diucapkan oleh Rais. Dia mengaku, memang dia mengabaikan Rais sebaik saja dia mendirikan rumahtangga dengan Puan Leyla. Segala urusan berkaitan dengan Rais diserahkan bulat-bulat kepada Puan Leyla dan pembantu rumah. Tentang keputusan Rais untuk tinggal di rumah yang disediakan untuk pembantu rumah ini pun, dia tidak pernah membantah. Selagi Rais tidak keluar dari kediaman mereka, itu sudah cukup baginya.
“Is… Kamu anak abah, memang dulu abah abaikan kamu. Tapi abah jadi macam tu sebab…”
“Sebab ibu? Abah tak boleh tengok saya sebab abah akan teringatkan ibu? Abah kahwin dengan Auntie Leyla sebab abah nak buang segala-galanya tentang ibu? Kalau abah sakit hati tengok saya, kenapa abah sanggup bela saya? Kenapa tak serahkan saya pada ibu? Kenapa pisahkan kami?” soal Rais bertalu-talu. Inilah kesempatan yang ada untuk dia memperolehi jawapan yang selama ini dia inginkan.
Tuan Ruslan menundukkan wajah. Wajahnya berubah keruh dengan soalan yang diajukan oleh Rais. Pertanyaan Rais membuatkan dia kembali mengingati peristiwa yang cukup mengguris hatinya. Menghancurkan jiwanya. Peristiwa yang tidak mahu dia kenang untuk seumur hidupnya.
“Dia tak layak untuk jadi ibu kamu! Dia tak layak untuk didik anak abah!” tekan Tuan Ruslan sarat dengan kebencian.
Rais berjeda seketika. Kata-kata Tuan Ruslan membuatkan hatinya bertambah sakit. Kepalanya digeleng lembut. Wajahnya diraupkan.
“Habis tu siapa yang layak? Auntie Leyla? Kalau itulah yang abah nak cakap, saya rasa lebih baik saya tak ada ibu!” balas Rais berani. Terang dan tegas.
“Is!” jerit Tuan Ruslan dengan tangan yang hampir terangkat untuk menampar pipi Rais. Namun, tindakannya terhenti serta-merta sebaik saja melihat wajah Rais yang tenang. Tidak langsung menunjukkan lelaki itu gentar akan perbuatannya seolah-olah anak lelakinya itu tidak berperasaan. Beku.
“Sudahlah, abah. Abah baliklah ke mahligai abah. Abah dah ada anak lain. Jangan pedulikan saya. Saya cuma menumpang di sini semata-mata kerana kenangan yang ibu tinggalkan di kawasan rumah ni. Kalau saya lakukan sesuatu yang memalukan abah, anggap saja abah tak pernah kenal saya. Lagipun tak ada sesiapa pun yang tahu tentang status saya dengan abah. Anak abah cuma Razin Luqman, bukan Rais Lutfan.” Ujar Rais berjauh hati. Perlahan-lahan dia bangun dan menapak menghampiri daun pintu tanpa memandang Tuan Ruslan.
“Is… Kamu tetap anak abah. Abah nak kamu pindah semula ke rumah kita. Abah akan lakukan apa saja asalkan kamu maafkan abah dan terima abah…” Ucap Tuan Ruslan dengan nada yang lirih.
Sungguh, hatinya tersentuh dengan setiap bait yang dituturkan oleh Rais. Sekarang baru dia menyedari betapa terseksanya hidup anak sulungnya itu tanpa kasih sayang seorang ayah apatah lagi ibu. Hidupnya bersendirian tanpa teman. Tiada senyuman yang terukir di bibir merah itu, tanda jiwanya kosong dengan kasih sayang. Kini, Tuan Ruslan mula terasa kehilangan. Kehilangan seorang anak meskipun anak itu berada betul-betul di hadapan matanya. Mereka dekat tetapi dirasakan cukup jauh. Dia rindu, rindukan Rais yang dulu.
“Apa hak saya untuk tidak maafkan abah? Saya cuma anak. Apa saja yang abah lakukan saya kena terima. Saya dah lama maafkan abah…” Kata-kata Rais terhenti seketika. Dia mengemam bibir. Cuba menahan sebak. Kepalanya ditundukkan. Enggan menatap wajah Tuan Ruslan.
“Saya dah lama maafkan abah sehinggakan saya lupa saya ada seorang ayah. Kalau kemaafan yang abah nak, saya boleh berikan tapi untuk kembali seperti dulu, saya minta maaf. Saya tak mampu.” Sambung Rais lantas pintu rumahnya ditarik.
Tuan Ruslan menggenggam tangan. Cuba mencari secebis kekuatan. Melihat keadaan Rais, baru dia sedari bahawa anak lelakinya itu telah lama terluka dengan sikapnya. Sungguh, dia menyesal. Menyesal kerana mengabaikan Rais dek kerana rasa marah terhadap insan lain.
“Abah takkan putus asa, Is. Abah akan tebus segala kesalahan abah kepada kamu. Kamu anak abah, takkan ada sesiapa yang dapat mengubah kenyataan itu. Apa yang kamu nak? Cuba cakap pada abah. Abah akan tunaikan asalkan kamu kembali seperti dulu. Kembali jadi anak abah.Ujar Tuan Ruslan perlahan seolah-olah merayu.
Rais memejamkan mata sejenak. Jauh dalam hati dia tetap tersentuh dengan kata-kata Tuan Ruslan, namun kenangan lalu kembali menjadikan hatinya sedingin ais.
“Serahkan Pena Qarya pada saya…” Ucap Rais tiba-tiba.
Tuan Ruslan tersentak. Dia mengangkat pandangan. Lama dia merenung wajah Rais dengan rasa tidak percaya.
“Apa yang Rais cakapkan ni?” soalnya pelik.
“Keluarkan Pena Qarya daripada Qarya Group dan jadikan Pena Qarya milik saya. Kalau abah betul-betul nak tebus kesalahan abah sebab abaikan saya dahulu,” jawab Rais pantas.
Tuan Ruslan teragak-agak. Bibirnya bergetar cuba mengucapkan sesuatu namun tiada yang terluah.
“Tapi Pena Qarya merupakan jantung Qarya Group. Tanpa Pena Qarya, Qarya Group takkan dapat bertahan,” bantah Tuan Ruslan.
Qarya Group ada lebih tiga cabang perniagaan yang lain, tanpa Pena Qarya, Qarya Group tetap boleh berdiri megah. Saya tak minta harta abah. Saya cuma nak minta hak atas Pena Qarya sebab sejak awal lagi, Pena Qarya bukan milik abah!” ujar Rais membuatkan Tuan Ruslan terkedu.
“Is! Siapa yang ajar kamu jadi macam ni?” suara Tuan Ruslan mula meninggi.
“Sebab tiada siapa yang ajar, saya jadi macam ni. Kalau abah tak dapat berikan apa yang saya nak, saya tak kesah. Tapi satu saya minta, tolong jangan ganggu ketenangan hidup saya. Abah dah ada keluarga. Biarlah saya hidup di sini dengan cara saya sendiri. Abah baliklah, di sini bukan tempat abah.” Balas Rais lantas berpaling. Langkah kaki mula diorak meninggalkan Tuan Ruslan yang termangu sendirian.
Belum sempat Tuan Ruslan membalas, Rais terlebih dahulu menghilangkan diri di sebalik pintu kayu. Tuan Ruslan mengeluh hampa. Dia gagal memujuk anaknya sendiri.
“Sini juga bukan tempat kamu, Is…”


HANA memandang bangunan yang berdiri megah di hadapannya saat ini dengan penuh dengan rasa kagum yang menggunung. Tidak berkelip kelopak matanya apabila nama Qarya Group Sdn. Bhd menyapa pandangannya.
“Besarnya syarikat Tuan Ruslan ni...” Ucap Hana tanpa sedar. Dia memerhatikan setiap papan tanda yang tertera di hadapannya.
“Jadi semua syarikat milik Qarya Group terletak di bangunan yang sama kecuali bahagian percetakan. Besar sungguh. Aku yakin aku takkan terserempak dengan mamat tu bila dah start kerja nanti memandangkan pejabat urusan Qarya Group berada di tingkat paling atas. Kalau bukan disebabkan Tuan Ruslan nak jumpa, jangan harap aku nak jejak kaki kat bahagian tu,” Hana berbicara dengan dirinya sendiri. Dagunya diketuk dengan jari telunjuk sebelum kaki menapak masuk ke bangunan utama Qarya Group Sdn. Bhd.
Selepas memaklumkan tentang kedatangannya, salah seorang kakitangan syarikat milik Tuan Ruslan terus membawanya ke bilik Tuan Ruslan. Sungguh, dada Hana berdebar-debar saat ini. Beberapa pasang mata yang memandangnya tidak dipedulikan. Sebaliknya, anak mata Hana yang melilau-lilau bimbang terserempak dengan orang yang tidak sepatutnya.
“Jemput masuk Cik Hana. Tuan Ruslan ada di dalam,” ujar setiausaha Tuan Ruslan dengan senyuman. Pintu bilik dibuka dengan lebar untuk Hana.
Hana menganggukkan kepala dan mula menapak ke dalam bilik Tuan Ruslan yang besar dan luas. Sedaya upaya dia cuba melindungi rasa gementar yang tiba-tiba menjengah. Telapak tangannya juga berpeluh apabila melihat Tuan Ruslan sedang meneliti fail yang terletak di hadapannya. Hana melangkah setapak ke hadapan. Menghampiri meja kerja milik Tuan Ruslan.
“Assalamualaikum, tuan…” Salam dihulurkan dengan sopan.
Tuan Ruslan mendongak. “Waalaikummusalam.” Jawabnya sepatah. Segaris senyuman terukir di bibir tuanya.
“Duduklah…” Sambungnya lalu menunjukkan kerusi kepada Hana. Gadis itu menganggukkan kepala lalu melabuhkan punggung berhadapan dengannya.
“Terima kasih…” Ucap Hana perlahan. Dia hanya menunggu kata-kata selanjutnya daripada Tuan Ruslan kerana dia sendiri bingung kenapa Tuan Ruslan memintanya untuk datang ke pejabat sedangkan lelaki itu terang-terangan enggan memberi bantuan kepadanya.
“Bila kamu akan bekerja di Pena Qarya?” soal Tuan Ruslan berbasa-basi. Dia merenung wajah Hana yang manis bertudung putih.
Err… Insya-Allah, minggu depan tuan.” Jawab Hana. Dia kembali mendiamkan diri.
Tuan Ruslan menganggukkan kepala.
“Papa kamu macam mana? Dah keluar dari hospital?” soal Tuan Ruslan kembali. Kali ini Hana tersentak. Dia menentang pandangan Tuan Ruslan dengan tanda tanya memenuhi benaknya. Dalam hatinya sedikit lega kerana bahasa yang digunakan oleh Tuan Ruslan jauh lebih lembut berbanding tempoh hari.
“Macam mana tuan tahu papa  masuk hospital?” soalan dibalas dengan soalan. Namun, Tuan Ruslan hanya menjongketkan bahu.
“Soal macam mana saya tahu, itu tak penting. Keadaan papa kamu jauh lebih penting sekarang ini. Kamu dah jumpa cara untuk selesaikan masalah papa kamu tu?”
Nada yang digunakan oleh Tuan Ruslan jauh lebih lembut berbanding sebelum ini. Lelaki sebaya ayahnya itu kelihatan jauh lebih tenang jika hendak dibandingkan sewaktu pertama kali Hana berjumpa dengannya.
Lambat-lambat Hana menggelengkan kepala. Cara untuk selesaikan masalah masih menemui jalan buntu, sebaliknya masalah lain pula yang tercetus. Hana melepaskan nafas. Agaknya aku ni memang betul-betul malang. Desis hati Hana. Pasrah.
“Belum lagi tuan. Tak ada sesiapa yang sanggup tolong kami. Mungkin dah takdir kami macam ni.” Jawab Hana setelah agak lama mendiamkan diri.
“Kamu tak boleh salahkan takdir sedangkan semuanya berpunca daripada sikap papa kamu sendiri. Dengan menyalahkan takdir, hutang tu takkan langsai dengan sendiri. Hutang tetap kena bayar terutama hutang dengan pekerja-pekerja yang tertunggak. Selagi papa kamu tak langsaikan semua hutang, selagi itulah pekerja-pekerja akan buru kamu sekeluarga untuk tuntut hak mereka. Kamu tak boleh lari,” ujar Tuan Ruslan sekadar mengingatkan Hana.
“Saya tahu tuan. Hutang wajib kena bayar. Cuma saya dan papa perlukan waktu untuk kumpul duit dan bayar semua hutang-hutang tu. Tapi sekarang… Boleh saya tahu kenapa tuan panggil saya datang ke sini? Saya tak rasa tuan nak ucap tahniah sebab saya akan jadi pekerja baru di syarikat tuan.” Ujar Hana apabila teringatkan tujuan sebenar dia diundang ke sini.
Tuan Ruslan berjeda. Dia hanya tersenyum sambil membelek-belek helaian kertas yang berada di hadapannya. Sengaja dia membiarkan Hana dihurung dengan tanda tanya.
“Kamu nak saya tolong kamu dan papa kamu?” soal Tuan Ruslan. Keningnya dijongketkan.
Mata Hana membulat. Mulutnya sedikit ternganga apabila mendengar pertanyaan yang terbit daripada mulut Tuan Ruslan. Dia menarik pipinya sendiri.
Awwww!” Hana terjerit kecil.
Tuan Ruslan hanya ketawa melihat gelagat Hana yang gelabah. Sedikit sebanyak hati tuanya terhibur dengan sikap Hana yang seakan kebudak-budakan.
“Kamu tak bermimpi. Saya boleh tolong kamu…”
“Betul ke ni tuan? Tuan tak salah cakap? Atau saya salah dengar ni? Tuan akan tolong papa? Tuan takkan tarik balik kata-kata tuan kan?” soal Hana bertubi-tubi. Dia benar-benar teruja. Matanya mula berkaca apabila membayangkan beban yang dipikul oleh Tuan Yahya akan berkurangan tidak lama lagi.
“Saya akan tolong papa kamu tapi dengan syarat…” Ujar Tuan Ruslan mematikan rasa teruja Hana. Dia kembali membetulkan duduk.
“Syarat? Oh ya, tuan nak cagaran kan? Saya ada bawa geran tanah yang saya tawarkan pada tuan tempoh hari…” Ujar Hana lalu menarik keluar fail daripada beg sandangnya lalu disuakan ke arah Tuan Ruslan.
Tuan Ruslan tersenyum kecil. Fail tersebut dicapai lalu dipegang manakala anak matanya masih melekat pada laman wajah Hana. Gadis ini benar-benar polos. Bisik hatinya.
“Kamu tahu kan, jumlah pinjaman yang papa kamu nak jauh lebih tinggi daripada nilai tanah ni. Dengan mencagarkan tanah ni saja, saya rasa tak cukup.” Balas Tuan Ruslan.
“Tak cukup? Nilai hartanah sekarang makin tinggi tuan. Mustahil tak cukup. Tapi kalau tuan nak cagaran lain, saya dah tak ada apa-apa yang boleh dicagarkan…” Hana menghentikan kata. Tiba-tiba dia teringatkan tentang kata-katanya kepada Tuan Ruslan tempoh hari. Dia tertelan air liur. Jangan-jangan Tuan Ruslan…
“Kamu pernah cakap yang kamu sanggup jadikan diri kamu sebagai cagaran, takkan kamu dah lupa?” soal Tuan Ruslan kedengaran sinis di telinga Hana.
Hana mula rasa tidak selesa. Rasa gembira mati dengan sendirinya.
“Tuan nak saya cagarkan diri saya sendiri?” soal Hana pula.
Tuan Ruslan terus menganggukkan kepala tanpa berfikir panjang.
“Tapi apa yang saya kena buat sebagai cagaran? Apa keuntungan yang saya boleh berikan kepada tuan? Saya cuma boleh bekerja untuk tuan memandangkan saya akan jadi salah seorang kakitangan syarikat ni nanti,”
“Tak. Kamu boleh buat lebih daripada tu sebagai cagaran untuk pinjaman ayah kamu nanti,” balas Tuan Ruslan dengan senyuman penuh makna.
“Apa tu, tuan? Apa yang perlu saya buat?” soal Hana ingin tahu. Hatinya mula bergendang sesama sendiri. Dia cuak dengan kenyataan Tuan Ruslan.
Tuan Ruslan membalas pandangan Hana yang sarat dengan tanda tanya. Bibirnya mengukir senyuman. Hanya dia seorang yang mengetahui maksud senyumannya itu.
“Kahwin…”
Dahi Hana berkerut seribu. Dadanya mula berdetak tidak menentu. Aku tak salah dengar ke ni? Soal hatinya.
“Kahwin? Dengan tuan?”



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.