SECARA perlahan-lahan, Tuan Yahya
meletakkan gelas berisi air kosong di atas meja. Berita yang dibawa oleh Hana
sedikit sebanyak membuatkan dia terkejut. Dia termenung seketika. Rasa sakit di
segenap tubuh masih terasa namun Tuan Yahya kuatkan diri untuk menghadapi
hari-hari yang mendatang.
“Jadi Hana terima tawaran
tu?” soal Tuan Yahya dengan tenang. Wajah Hana yang duduk setentang dengannya
dipandang lama.
Hana terdiam seketika.
Akalnya masih menimbang baik dan buruk akan cadangkan yang Tuan Ruslan
kemukakan.
“Hana dah fikir
masak-masak, papa. Hana terima cadangan Tuan Ruslan tu. Bagi Hana itu saja
pilihan yang kita ada sekarang ni. Lagipun, Hana dan berjanji dengan Zahid
untuk selesaikan hutang gaji mereka dalam masa seminggu. Kalau kita tak dapat
selesaikan hutang tu, Hana tak tahu apa yang mereka akan buat. Tuan Ruslan dah janji
nak bagi wang pendahuluan kalau Hana setuju dengan cadangan dia,” terang Hana
dengan berhati-hati. Bimbang mengundang amarah Tuan Yahya.
Tuan Yahya melepaskan
keluhan berat. Dia meraup wajahnya. Menyesali perbuatannya sendiri. Perbuatan
yang mengakibatkan Hana terheret sama dalam masalahnya.
“Hana tak perlu setuju
dengan cadangan Tuan Ruslan. Ini melibatkan masa depan Hana sendiri. Hana
sanggup ke kahwin dengan lelaki yang Hana tak kenal? Walaupun dia anak kawan
papa tapi papa tak nak perjudikan nasib Hana. Apatah lagi Tuan Ruslan tu masih
marahkan papa disebabkan peristiwa lepas.” Ucap Tuan Yahya meluahkan apa yang
berada di dalam fikirannya.
Hana hanya tersenyum
mendengar kata-kata Tuan Ruslan. Dia tahu kerisauan yang bermain di jiwa
papanya. Sungguh, dia melakukan semua ini bukan kerana terpaksa tapi atas dasar
tanggungjawab sebagai seorang anak terhadap ayahnya.
“Mungkin keputusan yang
Hana buat ni keputusan yang pelik bagi papa tapi ini satu-satunya cara untuk
kita selesaikan semua masalah. Ini salah satu usaha kita papa. Papa dalam
kesusahan, takkan Hana nak biarkan macam tu saja. Sekarang, peluang dah ada
depan mata. Memang Hana tak kenal siapa anak Tuan Ruslan, nama pun Hana tak
tahu tapi Hana yakin Tuan Ruslan pun takkan perjudikan masa depan anak dia demi pernikahan
ni. Tuan Ruslan memang masih marahkan papa tapi dia tetap anggap papa sebagai
kawan dia kalau tak, dia takkan tawarkan pertolongan ni, papa.” Ujar Hana cuba
menyakinkan Tuan Yahya. Pantas, dia meletakkan tangannya di atas tangan Tuan
Yahya bersama senyuman manis.
“Tapi dia masih belum
maafkan papa. Dia masih salahkan papa atas apa yang terjadi dulu. Papa takut
dia gunakan kamu untuk balas dendam terhadap apa yang terjadi,” balas Tuan
Yahya masih lagi risau dengan keputusan Hana.
“Papa, kalau Tuan Ruslan
nak balas dendam, dia takkan tolong papa. Dia boleh aje tengok papa jatuh
bankrap dan tersungkur sendirian. Tapi kenapa dia tolong papa? Pasti jauh dalam
hati, dia turut simpati atas apa yang terjadi pada papa. Walaupun pertolongan
dia bersyarat, tapi dia tetap tolong kan?” soal Hana mengajak Tuan Yahya
berfikir di sebalik pertolongan yang diberikan oleh Tuan Ruslan.
Tuan Yahya terdiam sejenak.
Rambut diraup ke belakang. Walaupun kata-kata Hana ada benarnya, sebagai
seorang ayah dia tetap risau akan masa hadapan Hana sementelah, dia sendiri
tidak mengenali anak lelaki Tuan Ruslan secara peribadi.
“Papa tahu tu. Cuma papa
risau. Nikah kahwin ni bukan perkara main-main, Hana. Ini melibatkan agama
kita. Papa tak nak kamu anggap perkahwinan ni satu perkara yang boleh dijual
beli. Besar dosanya tu. Walaupun papa bukan orang yang baik, tapi papa tak nak tengok anak
papa buat perkara yang Allah larang, kamu faham kan?” tambah Tuan Yahya.
Hana menganggukkan kepala.
Faham dengan kerisauan Tuan Yahya. Dia sendiri tidak pernah menganggap
perkahwinan sebagai perkara yang main-main. Cuma dia masih ragu-ragu dengan
keputusan dirinya sendiri.
“Hana faham, papa. Hana
takkan buat perkara yang akan memalukan papa. Walaupun perkahwinan ni diatur,
tapi bukan itu bukan alasan Hana untuk anggapnya main-main. Mungkin jodoh Hana
ditetapkan dengan cara macam ni. Hana reda. Hana buat semua ni untuk papa. Insya-Allah, Allah
pasti akan berikan balasan yang setimpal. Buat baik, pasti dibalas baik kan?”
ujar Hana dengan senyuman mekar di bibirnya.
Tuan Yahya membalas
senyuman Hana. Hambar. Kata-kata Hana tidak mampu menghilangkan rasa gundah di
hatinya.
“Papa minta maaf, Hana.
Papa dah menyusahkan kamu dengan masalah papa…”
“Masalah papa pun masalah
Hana. Takkan Hana nak biarkan papa sorang-sorang hadapi semua ni. Papa harta
Hana yang paling berharga. Banyak yang papa dah buat untuk besarkan Hana,
biarlah Hana berkorban untuk papa. Hana yakin anak Tuan Ruslan, lelaki yang
baik. Papa jangan risau, semuanya akan baik-baik saja. Selesaikan hutang-hutang
yang tertunggak itu perkara yang paling penting sekarang.” Pintas Hana
perlahan.
Tuan Yahya menyeka air mata
yang hampir menitis. Dia terharu dengan kata-kata Hana. Dia tidak menyangka,
anak yang tidak dipedulikan selama ini sanggup berkorban untuknya. Sedangkan
ahli keluarganya yang lain lari meninggalkannya tanpa sedikit pun bertanya
khabar apatah lagi hendak memberi kata semangat.
“Papa minta maaf, Hana.
Papa betul-betul maksudkan. Tak sepatutnya papa abaikan kamu dulu. Papa buat
kamu tak wujud selepas adik kamu meninggal. Papa letakkan semua kesalahan atas
bahu kamu atas apa yang berlaku terhadap arwah adik kamu. Papa seolah-olah tak
reda dengan takdir Allah. Papa memang tak guna. Papa tak layak jadi ayah kamu,”
ujar Tuan Yahya dengan kepala yang tertunduk. Air mata mula bergenang di
kelopak mata. Sedaya upaya dia menahan diri daripada menitiskan air mata di
hadapan Hana.
Hana melepaskan nafas
pendek. Perlahan-lahan dia bangun dan mendapatkan Tuan Yahya yang kelihatan
sendu. Leher Tuan Yahya dipeluk dari belakang bagi menenangkan perasaan papanya
itu.
“Semua tu dah lepas, papa.
Kita hidup di waktu sekarang kan? Walau apa yang terjadi, tak ada sesiapa yang
yang layak jadi ayah Hana selain papa. Kita lupakan apa yang jadi, ya?” pinta
Hana sambil memandang wajah Tuan Yahya yang turut menoleh ke belakang.
“Tapi papa tetap…”
“Papa tetap papa Hana. Sama
ada papa susah atau senang, Hana tetap akan ada di sisi papa selagi papa
perlukan Hana. Hana sayang papa,” pintas Hana membuatkan mulut Tuan Yahya
terkunci rapat.
Tuan Yahya mengalah.
Melihat renungan anak mata bundar milik Hana yang bersinar, membuatkan dia
tenang dengan sendirinya. Dia mengerdipkan mata. Tangan Hana yang melingkar di
lehernya, dielus lembut.
“Papa pun sayangkan Hana.
Tapi kenapa Hana pergi jumpa Tuan Ruslan tanpa bagi tahu papa?” soal
Tuan Yahya menukar topik perbualan mereka.
Hana tersentak. Serentak,
dia menjarakkan diri daripada Tuan Yahya. Sengihan melebar daripada bibirnya.
“Hana tahu mesti papa tak
bagi. Lagipun tak salah mencuba kan?” soal Hana lantas kembali ke tempat
duduknya.
“Walaupun Hana tahu
hubungan papa dan Tuan Ruslan dah lama terputus?” Tuan Yahya kembali menyoal.
Hana tersenyum.
“Waktu pertama kali Hana
jumpa Tuan Ruslan, memang Hana mengaku yang Hana ragu-ragu untuk minta
pertolongan daripada dia. Muka dia bengis sangat masa tu. Bercakap pun dengan
nada yang kasar. Tapi setiap kali dia sebut pasal papa, Hana dapat lihat
kekecewaan dalam matanya. Dia ingat setiap perbuatan papa pada dia, itu bermakna
dia selalu ingatkan papa. Dia cuma kecewa dengan sikap papa yang dahulu tapi
tak bermakna dia dah putuskan silaturahim tu. Tengoklah, dia sendiri yang call
Hana untuk berikan pertolongan,” jawab Hana panjang lebar.
“Papa yakin dia masih tak
percayakan papa…” Keluh Tuan Yahya.
“Bukan senang untuk
pulihkan kepercayaan seseorang kepada kita, papa. Apatah lagi orang yang
mengkhianati kita tu, sahabat karib kita sendiri.” balas Hana dengan perlahan.
Cukup untuk Tuan Yahya mendengar.
Tuan Yahya melepaskan nafas
yang panjang. Kata-kata Hana tepat mengenai batang hidungnya sendiri.
“Papa nak jumpa Tuan
Ruslan…” Ujar Tuan Yahya tanpa mengulas kata-kata Hana.
“Kenapa papa nak jumpa Tuan
Ruslan?”
Kerutan di dahi Hana
membuahkan senyuman kecil di bibir Tuan Yahya.
“Papa nak jumpa bakal besan
dan bakal menantu papa. Tak boleh ke?” soal Tuan Yahya. Dia tersengih.
Sedangkan Hana hanya terkulat-kulat.
WAKTU makan malam keluarga Tuan
Ruslan kelihatan meriah dengan kedatangan Fina yang sengaja dijemput oleh
Razin bagi memperkenalkan gadis itu kepada keluarganya. Tergambar riak gembira
di wajahnya apabila Puan Leyla dan Tuan Ruslan menerima baik kehadiran Fina.
“Mana Is? Kenapa dia tak
makan sekali?” soal Tuan Ruslan sebaik saja mengambil tempat di hujung meja. Dia memandang
Puan Leyla sekilas.
Puan Leyla berpandangan
dengan Razin. Puan Leyla memberi isyarat mata seolah-olah meminta agar Razin
menjawab soalan yang diutarakan oleh Tuan Ruslan. Namun, Razin hanya
menggelengkan kepala tanda enggan mengikuti arahan Puan Leyla.
“Selalunya dia memang tak
pernah makan malam dengan kita, you. Dia lebih suka berfoya-foya di luar sana,”
ujar Puan Leyla setelah agak lama memikirkan alasan.
Tuan Ruslan tidak mengulas
apa-apa sebaliknya dia menggamit Kak Su supaya mendekat.
“Su, awak tolong tengokkan
Is di rumah dia, kalau dia ada, suruh dia datang makan sekarang. Kalau tak ada,
awak telefon dia suruh dia balik sekarang juga,” arah Tuan Ruslan dengan tegas.
Kak Su tertelan air liur.
Jarang dia melihat Tuan Ruslan setegas ini, kebiasan majikannya itu lebih suka
mengambil jalan berdiam diri malah tidak pernah dia menyoal perihal Rais di
meja makan. Cuma kebelakangan ini, Tuan Ruslan seakan mencari jalan untuk
kembali dekat dengan anak lelakinya itu.
“Baik, tuan.” Kak Su akur
kemudian berlalu.
Puan Leyla berkerut dahi
melihat reaksi suaminya yang agak berlainan. Perlahan-lahan, dia menyentuh
lengan Tuan Ruslan.
“Kenapa tiba-tiba you minta
Is dinner sekali dengan kita?” soalnya perlahan. Cuba
menahan rasa kurang senang yang membuak di hati.
“Razin nak perkenalkan
bakal isteri dia kepada kita, Is pun perlu ada di sini. Dia keluarga kita
juga,” jawab Tuan Ruslan bersahaja. Air kosong diteguk perlahan.
Puan Leyla tersentak. Dia
kembali berpandangan dengan Razin yang turut mempamerkan riak kurang senang
dengan ucapan Tuan Ruslan.
“Abang Rais tak tinggal
sekali dalam rumah ni ke, Raz?” soal Fina perlahan. Polos.
Razin tersenyum hambar.
“Dia tinggal di rumah
belakang. Dari kecil dia suka tinggal di situ walau banyak kali mama dan abah I
ajak dia tinggal dalam rumah ni. Entah apa yang dia suka sangat dengan rumah tu
pun, I tak tahu. Mungkin senang dia keluar waktu malam kut,” jawab Razin.
Fina hanya
mengganggukkan kepala tanda faham. Dia membuang pandang pada wajah Tuan Ruslan
yang kelihatan serius. Tiada secalit senyuman yang mekar di bibir lelaki itu.
“Tapi I rasa, Abang Rais
tak macam tu,” ucap Fina tiba-tiba.
Razin tersentak. Lantas,
dia berpaling ke arah Fina. Begitu juga dengan Tuan Ruslan dan Puan
Leyla. Tiga pasang mata memanah tepat ke laman wajah Fina.
“Cara Fina cakap, macam Fina betul-betul kenal
dengan Is…” Komen Puan Leyla sekali gus mematikan suasana sepi yang menyelubungi
mereka bertiga.
Fina serba-salah. Dia
membalas pandangan Razin yang kelihatan menahan marah. Dia tahu lelaki itu
cemburu apabila dia menyebut perihal Rais.
“Errr… Sebelum saya
rapat dengan Raz, saya rapat dengan Rais. Rais yang saya kenal seorang lelaki
yang baik,” ujar Fina lambat-lambat. Bimbang kata-katanya
mengundang amarah Razin.
Razin mendengus. Dia cukup
benci apabila Fina berbicara tentang Rais sedangkan saat ini
dia merupakan teman lelaki gadis itu bukannya Rais. Dia yakin perasaan Fina terhadap Rais masih
belum berubah. Dia tidak boleh biarkan semua itu terjadi. Dia tidak boleh kalah
dengan Rais. Tidak sama sekali!
“Kalau Rais lelaki yang
baik, kenapa tinggalkan dia?” soal Tuan Ruslan tiba-tiba.
Fina terdiam. Panahan
mata Tuan Ruslan membuatkan dia tertunduk. Lidahnya kelu untuk terus menjawab.
“Is tak mampu nak jaga Fina, abah. Malah dia
tak pernah fikirkan perasaan orang lain. Dia cuma pentingkan diri dia sendiri,
sebab itu Fina tinggalkan dia. Raz mampu untuk jaga Fina. Raz takkan sakiti
hati Fina seperti yang Is dah buat.” Razin bersuara bagi pihak Fina.
Fina mengalih pandangan
ke sisi. Dia tersenyum kecil mendengar bicara yang terbit daripada mulut Razin.
Dia terharu dengan kata-kata lelaki itu yang nampak bersungguh dalam memenangi
hatinya.
“Saya rasa, tanpa saya pun,
makan malam hari ni lebih meriah…” Sampuk satu suara membuatkan
mereka berpaling.
Kelihatan Rais berdiri
sambil memandang satu per satu wajah yang menyapa pandangan sebelum bola
matanya dialihkan ke tempat lain.
“Duduk dulu, Is. Kita makan
sama-sama. Hari ni Raz nak kenalkan tetamu istimewa pada kita semua,” ujar Tuan
Ruslan. Wajahnya sedikit berseri dengan kedatangan Rais.
Rais hanya menayang wajah
selamba. Dia masih kaku di tempatnya berdiri.
“Saya dah kenyang.” Jawab
Rais lantas berpaling untuk meninggalkan ruang makan tersebut.
“Kalau dah kenyang, lebih
baik tak payah datang. Menyusahkan orang nak tunggu kamu,” Puan Leyla bersuara.
Tuan Ruslan menjeling.
Rais tidak membalas.
Sebaliknya dia mula menyusun langkah.
“Kalau kamu hormatkan abah
dan tetamu, duduk dulu. Abah tak pernah ajar kamu kurang ajar macam ni,” ujar
Tuan Ruslan. Perlahan tetapi tegas.
Rais memejamkan mata
sejenak. Dia melepaskan nafas pendek kemudian berpaling. Kaki diatur menuju ke
hujung meja yang setentang dengan Tuan Ruslan. Dia melabuhkan punggung di situ
tanpa memandang wajah-wajah yang berada di hadapannya.
“Su, tolong sendukkan nasi
ke pinggan Is,” arah Tuan Ruslan.
“Tak payah, kak. Is boleh
sendukkan sendiri.” Halang Rais dengan lembut. Kak Su hanya menurut.
Tuan Ruslan hanya
memerhatikan tingkah Rais yang jauh lebih lembut dengan pembantu rumah mereka
berbanding dengan dirinya sendiri. Wajah anak lelakinya itu jauh lebih manis
sewaktu berhadapan dengan orang gaji mereka berbanding dengan ahli keluarganya.
Saat ini Tuan Ruslan merasakan jarak di antara dia dan Rais begitu jauh. Dia
ralat.
“Jemput makan, Fina. Kesian kamu
terpaksa tunggu lama. Tentu kamu lapar. Raz, letakkan lauk dalam pinggan Fina.” Arah Puan Leyla
dengan mesra. Sekilas dia menjeling kepada Rais yang hanya menguis nasi kosong
tanpa lauk. Dia tersenyum sinis.
“You kena makan banyak hari
ni, Fina. Mama I yang masak. Istimewa untuk you,” ujar Razin lalu meletakkan dua
ekor udang masak lemak cili api ke dalam pinggan milik Fina.
Fina hanya tersenyum.
Sempat lagi dia mencuri pandang kepada Rais yang sedang termenung panjang. Lelaki itu hanya mendiamkan diri sambil menyuap nasi kosong ke mulut.
Fina tersentak.
“Abang Is!” panggilnya secara tiba-tiba.
Panggilan Fina yang mengejut menyebabkan empat pasang mata memandang
mereka berdua silih berganti. Razin mula mendengus apabila menyedari perhatian
Fina hanya kepada Rais walaupun dia berada di hadapan mata.
“Makanlah lauk ni…” Sambung Fina. Dia terasa kekok apabila semua mata
memandangnya. Dia menghulurkan mangkuk berisi udang masak lemak cili api kepada
Rais.
“Tak perlu pedulikan dia, Fina. Kalau dia nak lauk, pandai-pandailah dia
ambil sendiri. Dia ada tangan,” ujar Puan Leyla.
Rais menyambut huluran Fina tanpa mempedulikan kata-kata Puan Leyla.
Segaris senyuman diukirkan buat Fina sebelum perhatiannya terarah pada pinggan
yang berada di hadapan mata. Butir bicara yang dibualkan oleh mereka tidak
langsung dihiraukan oleh Rais.
“Razin dah bawa bakal isterinya jumpa dengan abah, kamu bila lagi Is?”
soal Tuan Ruslan setelah agak lama mendiamkan diri.
Rais tersedak. Dia terbatuk kecil. Air kosong yang dicapai lalu diteguk
perlahan.
“Perempuan manalah yang dapat bertahan dengan perangai anak you yang
sorang ni? Dengar kata, dia suka bertukar perempuan. You rasa ada ke perempuan
yang sanggup jadi isteri dia?” Soal Puan Leyla dengan sinis.
“Leyla…” Tuan Ruslan menegur. Satu jelingan dihadiahkan membuatkan Puan
Leyla terus membisu. Dia menarik mulut muncung.
“Macam mana kalau saya katakan, bakal isteri saya dah diambil orang?”
soal Rais sambil mengerling ke arah Fina dan Razin. Sengaja dia ingin membakar
hati Razin saat ini.
Razin yang menyedari kata-kata itu ditujukan kepadanya turut menoleh ke
arah Rais. Wajah lelaki itu ditenung tajam. Memberi amaran dalam diam.
“Itu bermakna, kau tak layak untuk dapat perempuan tu.” Balas Razin
tidak mahu mengalah.
Rais hanya mengukir senyuman sinis. Dia kembali memandang Tuan Ruslan
yang masih merenungnya.
“Itu soal masa depan saya, tiada kena mengena dengan abah.” Rais
menjawab soalan Tuan Ruslan tanpa rasa bersalah.
“Selagi kamu jadi anak abah, selagi itulah abah risau dengan masa depan
kamu. Abah tak nak kamu terus berfoya-foya. Tukar perempuan macam tukar baju,
tak elok macam tu, Is. Tak boleh ke kalau kamu jadi macam Razin? Cari perempuan
yang baik-baik untuk dijadikan isteri,” tegur Tuan Ruslan dengan lembut.
Rais mengetap bibir. Sekilas dia memandang ke arah Fina yang sedang
menundukkan kepala. Hatinya terbakar setiap kali Tuan Ruslan membandingkan
dirinya dan Razin.
“Itu urusan saya…”
“Urusan abah juga. Siapa perempuan yang cari kamu di ofis pagi tadi?”
soal Tuan Ruslan membuatkan Rais tersentak. Otaknya kembali memutarkan seraut
wajah.
“Kawan…” Jawab Rais pendek.
“Kawan? Papa tak rasa itu kawan kamu. Lagipun ini bukan kali pertama
papa tengok kamu dengan perempuan yang sama. Hari ini perempuan lain, esok
perempuan lain. Apa nak jadi dengan kamu ni? Kamu nak malukan papa?” soal Tuan
Ruslan sekali gus melepaskan rasa geramnya terhadap sikap Rais.
Rais melepaskan nafas. Kesabarannya makin menipis. Lalu, dia bingkas
bangun. Jika dia jelaskan sekali pun, tidak akan ada orang yang memahaminya.
Sebaliknya tentu dia dipersalahkan. Lebih baik dia meninggalkan ruang itu
daripada hatinya terus sakit dengan setiap kata-kata Tuan Ruslan.
“Kamu jangan cuba nak lari kali ni, memandangkan kita sekeluarga dah
berkumpul. Fina pun akan bakal jadi keluarga kita, jadi abah dah buat
keputusan, abah dah carikan calon yang sesuai untuk kamu, Is.” Ucap Tuan Ruslan
menghentikan pergerakan dan langkah Rais dengan serta-merta.
Bukan Rais sahaja, malah Razin, Puan Leyla dan Fina turut terkedu
mendengar kata-kata Tuan Ruslan. Mereka terkejut sehingga tiada sesiapa yang
berani mengeluarkan suara.
“Aa… Apa?” soal Rais lambat-lambat. Dia berpaling ke arah Tuan Ruslan.
Pandangan mereka bertaut saat ini. Jelas, Tuan Ruslan tidak bergurau.
“Abah nak kamu hentikan segala perangai buruk kamu tu. Abah dah pilih
perempuan yang sesuai untuk kamu,” Tuan Ruslan mengulang kembali kata-katanya.
Rais melepaskan keluhan kuat. Dia menggelengkan kepala.
“Abah ingat saya akan turuti kemahuan abah? Kalau selama ni satu kata-kata
abah pun saya tak pernah ikut, abah fikir saya akan ikut arahan abah kali ni?”
soal Rais cukup dingin.
Tuan Ruslan tersenyum nipis.
“Pena Qarya. Itu yang kamu nak kan?” soal Tuan Ruslan sambil menentang
anak mata Rais yang hitam pekat dengan lama. Dia yakin anaknya itu cukup faham
dengan apa yang cuba disampaikan olehnya.
Rais terdiam. Hatinya bergetar. Bibirnya digigit.
“Saya tunggu abah di ruang rehat.” Ujarnya tanpa menjawab soalan Tuan
Ruslan. Dia meninggalkan ruang makan dan menuju ke dapur.
Tuan Ruslan melepaskan nafas lega. Namun tidak bagi Puan Leyla dan
Razin. Mereka bertukar pandangan. Resah.
“You nak buat apa ni? Apa kaitan Pena Qarya dengan rancangan you tu?”
soal Puan Leyla tidak sabar.
“I tahu apa yang I buat. Ini demi masa depan Is.” Jawab Tuan Ruslan
ringkas.
Puan Leyla mati kutu. Dia mula tidak senang duduk. Bagaimana jika Tuan
Ruslan mula memberi perhatian kepada Rais? Adakah usaha untuk menjauhkan Tuan
Ruslan dan Rais selama ini hanya sia-sia? Melihat perubahan Tuan Ruslan terhadap
Rais kebelakangan ini sudah cukup untuk membimbangkan hatinya. Apa lagi yang
harus dia lakukan agar pemuda itu keluar dari hidup suaminya?
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.