“HANA!” laung satu suara
memanggil Hana membuatkan langkah Hana terhenti serta-merta. Dia berpaling,
mencari empunya suara.
Dari jauh dia dapat melihat seorang lelaki memakai kemeja berwarna hitam
sedang melambaikan tangan kepadanya. Hana mengecilkan mata cuba mengamati
pemilik wajah itu sebelum bibir melebarkan senyum saat pemuda itu semakin
menghampiri.
“Azmer. Kau rupanya. Aku ingatkan siapa tadi,” ujar Hana. Nafas dihela
dan dilepaskan dengan perlahan.
“Kau ada kenal orang lain selain aku ke di Pena Qarya ni?” soal Azmer
sambil ketawa kecil. Dia berdiri di sisi Hana. Wajah sahabatnya itu dipandang
lama.
Hana hanya tersengih. Perlahan-lahan dia menggelengkan kepala.
“Sejak kau pindah tinggal di KL ni, tak pernah pun kau call aku kan? Sampai hati. Bila dah
dapat kerja di sini baru kau nak cari aku. Agaknya kalau kau tak dapat kerja di
Pena Qarya ni, gerenti kau takkan contact
aku kan?” ujar Azmer dengan bibir terjuih-juih. Seakan berjauh hati dengan
sikap Hana terhadapnya.
Hana ketawa kecil. Dia mula mengatur langkah menuju ke pintu masuk
sambil diikuti oleh Azmer.
“Aku bukan tak nak contact kau, Mer. Banyak sangat benda yang
terjadi pada aku dan keluarga aku sekarang ni. Soal syarikat papa aku, tentu
kau tahu kan?” soal Hana dengan kepala yang tertunduk.
Azmer terdiam seketika. Dia serba salah
apabila melihat wajah Hana yang keruh.
“Sorry, Hana. Aku tak bermaksud nak…”
Hana memanggung kepala. Dia tersenyum manis.
“Jangan risaulah. Aku okey je. Hari ni hari pertama aku di sini,
sepatutnya kau beri aku semangat. Aku tengah nervous ni.” Ujar Hana
mengubah arah perbualan mereka.
Azmer menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia tersengih.
“Permulaan memanglah kau nervous tapi bila kerja dah bertimbun,
kau takkan sempat nak rasa apa-apa. Jomlah masuk. Nanti aku kenalkan kau dengan
kawan-kawan aku dekat sini.” Balas Azmer lalu menunjukkan jalan kepada Hana.
Hana hanya mengikut. Debar perasaan makin menghilang dengan kehadiran
Azmer. Sekurang-kurangnya, dia tidak termangu-mangu sendirian di tempat yang
cukup asing ini.
“Mesti kau ramai peminat dekat sini kan? Maklumlah masa di kampung dulu,
kau kan jadi gilaan para gadis,” usik Hana diiringi tawa kecil.
Azmer turut tertawa kecil dengan kata-kata Hana.
“Itu dulu. Sekarang aku dah tak ada masa untuk semua tu, Hana. Dalam
otak aku ni cuma mampu fikir pasal kerja. Tiap-tiap bulan nak kena cari konsep
untuk muka depan novel. Sampai tak sempat nak cari girlfriend.” Balas Azmer. Dia menggeleng kecil.
Hana mencebik. Kurang percaya dengan kata-kata Azmer. Sebaik saja Azmer
menyebut soal teman wanita, tiba-tiba Hana teringatkan sesuatu. Kemudian, dia
berpaling sejenak ke arah Azmer yang masih menanti pintu lif terbuka.
“Eh, Mer. Kau kenal tak siapa anak Tuan Ruslan?” soal Hana tiba-tiba.
Azmer hanya menganggukkan kepala tanpa mengesyaki apa-apa daripada
soalan Hana.
“Kenal. Semua pekerja kena kenal anak Tuan Ruslan tu. Kau pun kena kenal
nanti. Dia timbalan ketua pengarah eksekutif, Qarya Group. Kenapa?” soal Azmer ringkas.
“Tak ada apa-apa. Kau ada gambar dia tak?” soal Hana lagi.
“Gambar? Kejap. Aku rasa aku ada simpan gambar masa annual dinner
tahun lepas. Kau tolong pegang ni sekejap,” ujar Azmer lalu menghulurkan beg
komputer riba miliknya kepada Hana. Huluran bersambut.
Azmer mencari sesuatu di telefon pintarnya sementara Hana menunggu
dengan penuh sabar. Entah mengapa hatinya berdetak tidak tentu hala saat ini.
Nafas dilepaskan dengan perlahan-lahan.
“Hah, ada pun. Ni dia gambar Tuan Razin…” Ujar Azmer lalu menunjukkan
skrin telefon pintar miliknya kepada Hana.
Hana menjengukkan kepala. Wajah yang terpapar di skrin membuatkan Hana
melepaskan nafas lega. Jantungnya mula berdetak secara normal.
“Tuan Razin ni macam mana orangnya?” soal Hana lagi. Sekadar ingin tahu.
Azmer tidak terus menjawab. Dia memuncungkan mulut seolah-olah sedang
memikirkan sesuatu.
“Hmm… Aku taklah kenal dia secara personal. Tapi melalui cakap-cakap orang, Tuan Razin ni baik aje
orangya. Tapi dia tak macam pengarah yang lain,” ujar Azmer sambil tersengih.
Dahi Hana berkerut. Kurang mengerti kata-kata Azmer.
“Tak macam pengarah yang lain? Maksud kau?” soal Hana.
Anak mata Azmer melilau ke sekeliling sebelum merapatkan badannya ke
arah Hana.
“Dia cuma pegang jawatan tapi kerja dia orang lain yang buat,” jawab
Azmer dengan berbisik. Hanya Hana yang mendengar.
“Hesy, kau ni. Tak mungkinlah
dia macam tu. Mungkin kerja dia banyak sangat, sebab itu orang lain tolong
buatkan,” Hana cuba berfikir positif.
Azmer hanya menjongketkan bahu. Dia hanya menyampaikan apa yang dia
tahu. Selebihnya dia langsung tidak berminat dengan perihal orang atasan. Dia
cuma melakukan tugas yang diamanahkan kepadanya.
“Entah. Aku bukan tahu sangat pasal dia. Cuma aku nak bagi tahu kau,
kalau kau sayangkan kerja kau, jangan cari pasal dengan ketua editor kita,”
“Kenapa?” soal Hana pantas.
“Dia buah hati Tuan Razin sekarang dan pernah jadi buah hati Mr. Frost,” bisik Azmer lagi. Saat ini
mereka berdua sudah sampai di hadapan pintu masuk pejabat.
Sebaik saja mendengar nama Mr.
Frost meniti di bibir Azmer, langkah Hana terhenti dengan sendirinya. Bulat
matanya memandang Azmer.
“Mr. Frost?” soal Hana dengan
suara yang sedikit meninggi.
Aku tak salah dengar ke ni? Bukan
ke Mr. Frost dah ada teman wanita?
Berapa ramai teman wanita yang mamat tu ada? Mamat kaku dan
dingin macam tu pun ada orang suka ke? Omel hati Hana.
“Syhhh… Jangan cakap kuat sangat. Ini semua gosip je. Tak boleh
percaya. Kita dah nak masuk kerja ni. Kau pergi lapor diri dulu. Nanti lunch
kita sembang lagi,” ujar Azmer menamatkan perbualan mereka.
Hana hanya menganggukkan kepala. Mereka terpisah haluan namun setiap
perkara yang diceritakan oleh Azmer masih bermain di fikiran Hana. Bayang wajah
Tuan Razin yang ditunjukkan oleh Azmer turut sama terlintas di ruang mata.
“Kalau Tuan Razin dah ada kekasih, kenapa Tuan Ruslan nak aku kahwin
dengan anak dia? Macam mana pula dengan kekasih dia nanti?” desis Hana
perlahan. Dia tertelan air liur memikirkan apa yang akan terjadi.
“HARI ni saya nak awak ambil
manuskrip ni, baca dan nilai kemudian senaraikan kekuatan dan kelemahan yang
terdapat dalam manuskrip supaya senang untuk pihak kita buat keputusan sama ada
untuk terbitkan manuskrip ini atau tidak. Pastikan awak habiskan baca manuskrip
ni dalam masa dua hari. Banyak lagi manuskrip yang perlu dinilai. Faham?”
arahan pertama dikeluarkan oleh Fina sewaktu Hana melaporkan diri.
Hana tertelan air liur apabila melihat ketebalan manuskrip yang
diserahkan oleh Fina kepadanya. Dia membelek helaian terakhir. Matanya
terbuntang apabila melihat jumlah muka surat yang tertera.
“580 muka surat…” Desisnya perlahan. Bagaimana aku nak habiskannya dalam
masa dua hari? Detik hati Hana.
“Kenapa, Hana? Awak ada masalah?” soal Fina sambil mengamati wajah Hana
yang kelihatan berpeluh.
Hana memanggungkan kepala. Dia tersengih lalu menggelengkan kepala.
“Tak ada masalah, cik. Saya akan buat sekarang.” Jawab Hana akur.
“Bagus. Saya nak awak tumpukan sepenuh perhatian untuk kerja awak ni.
Kelulusan manuskrip itu bergantung kepada awak. Saya nak awak nilai sebaik
mungkin. Berikan alasan yang kukuh sebab awak luluskan atau tolak manuskrip
tersebut.” Sambung Fina lagi. Hana hanya menganggukkan kepala tanda faham.
“Boleh saya tanya, cik?”
“Silakan…”
“Bukankah kebiasaannya, penilai sesebuah novel diambil bukan dalam
kalangan syarikat? Maksud saya, syarikat akan upah penilai luar untuk menilai
sesebuah novel.” Soal Hana cuba meleraikan tanda tanya yang bermain di
fikirannya.
Fina terdiam seketika sebelum mengukirkan senyuman.
“Ya betul, kebanyakan syarikat penerbitan akan upah penilai daripada
luar untuk menilai, tapi di Pena Qarya, bahagian editorial yang akan lakukan
semua tu. Jimat perbelanjaan.” Jawab Fina dengan tenang.
Hana menganggukkan kepala. Faham dengan penerangan Fina.
“Saya seorang aje ke yang akan nilai manuskrip untuk tajuk ni atau akan
ada editor lain yang turut serta?” soal Hana sopan.
“Untuk satu tajuk manuskrip akan ada dua orang penilai. Nanti kita akan
gabungkan pendapat dan buat keputusan sama ada nak luluskan atau tolak
manuskrip tu…”
Tok! Tok!
Bunyi pintu diketuk mengganggu perbincangan mereka berdua. Hana
berpaling sejenak sebelum kembali memandang Fina yang kelihatan tenang. Dalam
hati dia memuji kecantikan yang dimiliki Fina. Gadis itu nampak tenang dan
berkarisma.
“Masuk!”
Selang beberapa minit muncul Maryam, salah seorang kerani pejabat di
muka pintu.
“Cik Fina, Tuan Rais dah sampai. Boleh dia masuk sekarang?” soal Maryam.
Sebaik saja mendengar nama Rais meniti di bibir Maryam, mata Hana
terbuka luas. Dadanya mula diserang debar.
“Macam mana mamat tu boleh
datang ke sini pula? Dia tak tahu aku kerja kat sini. Kalau dia tahu habislah!
Apa aku nak buat ni?” gumam Hana sendirian. Dia mengetuk dahinya sendiri.
“Oh, Tuan Rais dah sampai? Boleh minta dia masuk sekarang.” Jawab Fina.
Dia mengerling ke arah Hana yang kelihatan gelisah. Dahinya berkerut.
“Hana…” Tegur Fina. Pelik dengan sikap Hana yang berubah secara mendadak.
“Hah? Ya saya, cik.”
“Awak tak apa-apa ke?” soal Fina lagi. Prihatin.
Hana mampu menayang sengih, Sedangkan saat ini jantung terasa ingin
meletup. Jika boleh dia tidak mahu kewujudannya di sini disedari oleh Rais. Dia
bimbang lelaki itu akan mengungkit kembali segala kesalahan yang pernah
dilakukan selama ini termasuk kes video yang masih berada dalam simpanannya.
“Saya tak apa-apa, cik. Cik ada tetamu jadi saya minta untuk sambung
kerja dulu, ya?” pinta Hana cuba melindungi rasa gelisah yang semakin ketara di
raut wajahnya.
“Baiklah. Tapi sebelum tu biar saya kenalkan awak dengan Tuan Rais…”
“Tak apa! Tak mengapa, cik. Encik Zakri dah tunjukkan saya carta
organisasi Qarya Group jadi saya
dah…”
Bunyi ketukan di pintu buat kedua kalinya menghentikan bicara Hana. Dia
cuba menenangkan diri apabila pintu bilik milik Fina terkuak.
“Saya keluar dulu, cik.” Sambung Hana dengan pantas. Dia mengangkat
manuskrip yang berada dalam pegangan lalu diangkat bagi menutupi bahagian tepi
wajahnya.
“Baiklah.” Jawab Fina dengan kening yang sedikit bertaut apabila melihat
gelagat Hana yang nampak sedikit pelik di pandangan mata.
Hana menganggukkan kepala. Perlahan-lahan dia mengundurkan langkah
sehingga sampai ke muka pintu dengan wajah yang ditundukkan. Manakala,
manuskrip yang berada dalam pegangan, dibiarkan menutup bahagian tepi mukanya.
“Assalamualaikum…” Sayup-sayup kedengaran salam dihulurkan oleh Rais
sewaktu menapak ke dalam bilik Fina.
Hana cuba tidak mengendahkan. Kepala terus ditundukkan. Debaran di dada
usah diceritakan lagi. Janganlah dia perasan! Janganlah dia perasan! Doa Hana
dalam hati.
Setapak demi setapak dia melangkah, akhirnya dia berjaya melepasi tempat
Rais berdiri. Dia tidak peduli akan pandangan lelaki itu terhadap dirinya saat
ini. Apa yang dia tahu, dia ingin keluar dari bilik itu secepat mungkin.
Manakala, Rais memandang pelik gadis yang sedang berjalan melepasinya
saat ini. Dia memandang Fina, meminta penjelasan namun Fina hanya menjongketkan
bahu.
“Hana!”
Sebaris nama yang dipanggil daripada luar mengejutkan Rais, pantas dia
berpaling. Serentak, pintu bilik ditutup rapat.
“Tak mungkin orang yang sama.” Gumam Rais
sendirian.
“Abang Is, kenapa?” soal Fina membuatkan
Rais kembali menoleh. Dia menggelengkan kepala.
“Tak ada apa-apa. Siapa tadi tu?”
“Editor baru. Baru aje lapor diri hari ni,”
jawab Fina.
“Siapa namanya?”
“Hana. Dian Hana…”
Rais terpempan sebaik saja Fina menyebut
sebaris nama tersebut. Dia lagi?
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.