Tetamu Rindu

Saturday 1 February 2020

MR. FROST ( Bab 14 )


RAIS hanya mendiamkan diri sebaik saja Tuan Ruslan melabuhkan punggung setentang dengannya. Walaupun hati melonjak dengan pelbagai soalan, namun dia tetap kelihatan tenang.
“Macam mana, kamu setuju tak dengan tawaran abah?” soal Tuan Ruslan memulakan perbincangan dengan Rais.
“Kenapa saya kena ikut cakap abah? Kenapa saya mesti kahwin dengan perempuan pilihan abah?” soal Rais akhirnya. Dia inginkan penjelasan yang kukuh daripada Tuan Ruslan.
“Abah nak kamu hidup dengan sempurna. Ada keluarga dan ada isteri yang akan jadi teman hidup kamu. Sampai bila kamu nak berfoya-foya, Is? Abah tahu kamu marahkan abah. Kamu bencikan abah. Tapi jangan gunakan perempuan untuk tunjuk perasaan kamu kepada abah.” Jelas Tuan Ruslan.
“Abah ada bukti yang saya kaki perempuan? Atau abah cuma dengar cakap-cakap orang lain tentang saya?” soal Rais kembali. Telinganya berdesing setiap kali Tuan Ruslan cuba mengkritik dirinya.
Tuan Ruslan terdiam. Lama dia memikirkan kata-kata Rais sebelum dia kembali tersedar. Selama ini, dia mengetahui segala kelakuan Rais melalui Puan Leyla dan Razin. Belum pernah walau sekali dia melihat tingkah Rais yang sebenar.
“Itu bukan persoalan sekarang ni. Sekarang, abah cuma nak kamu berubah. Berubah menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab…”
“Dengan kahwinkan saya dengan perempuan yang saya tak kenal? Apa helah abah kali ni? Abah benci sangat ke pada saya sampai nak saya kahwin cepat-cepat dan keluar dari kawasan rumah ni?” tempelak Rais geram. Wajahnya bertukar kelat.
Astaghfirullah-al-azim. Abah tak pernah fikir semua tu, Is. Abah cuma nak yang terbaik untuk kamu. Abah tak pernah benci kamu. Kamu anak abah…”
“Nak yang terbaik? Abah yakin ke perempuan yang abah pilih tu terbaik untuk saya?” Rais masih belum berhenti menyoal.
Tuan Ruslan menghela nafas dan menghembuskannya dengan perlahan. Berbicara dengan Rais memerlukan kesabaran yang tinggi. Tersalah bicara, dia yang terkena.
“Dia anak kawan abah…”
“Siapa?”
Dian Hana. Anak bongsu Tuan Yahya. Bekas pemilik Kalam Kreatif.” Jawab Tuan Ruslan laju.
Rais terdiam. Matanya terbuka luas apabila Tuan Ruslan menyebut sebaris nama tersebut. Serta-merta dadanya dilanda debaran. Seraut wajah menjelma di fikiran. Dia dapat merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena memandangkan Tuan Yahya bukan kawan rapat Tuan Ruslan. Mesti ada muslihat di sebalik pernikahan yang dirancang ini.
“Tapi dia musuh utama abah. Macam mana dia boleh bertukar jadi kawan abah pula ni? Apa yang abah cuba sembunyikan daripada saya sekarang?” soal Rais masih belum jelas.
Tuan Ruslan mengemam bibir. Cuba mencari alasan yang dirasakan kukuh untuk diberikan kepada Rais.
“Dia pernah jadi rakan kongsi abah dulu. Disebabkan sikap tamak dia, dia khianati abah. Kalau diikutkan rasa sakit hati, abah memang takkan tolong dia. Tapi dia betul-betul dalam kesusahan sekarang. Abah rasa kamu cukup tahu apa yang berlaku terhadap keluarga Tuan Yahya kan? Disebabkan masalah itu anak dia datang untuk dapatkan bantuan daripada abah dengan mencagarkan dirinya sendiri…”
“Cagarkan diri dia sendiri? Apa maksud abah?” soal Rais dengan dahi yang berkerut seribu.
“Untuk dapatkan pinjaman daripada abah, anak perempuan dia sanggup cagarkan diri dia kepada keluarga kita sampailah dia dapat bayar balik pinjaman tu. Abah tak percayakan dia jadi abah nak kamu kahwin dengan dia dan awasi setiap gerak-geri keluarga tu. Sebagai imbuhan, abah berikan Pena Qarya kepada kamu,” ujar Tuan Ruslan menerangkan tentang rancangannya.
Rais tersenyum sinis. Telahan dia benar. Dia yakin tentu ada muslihat di sebalik rancangan Tuan Ruslan dan sekarang masa depannya menjadi taruhan.
“Abah fikir perkahwinan ni satu perniagaan?” soal Rais sedikit kecewa dengan tindakan Tuan Ruslan.
Tuan Ruslan hanya menjongketkan bahu.
“Abah rasa inilah cara paling selamat bagi memastikan keluarga Tuan Yahya tu berpegang pada janji.”
“Kalau abah tak percayakan mereka, lebih baik abah tak payah tolong. Masalah mereka bukan masalah abah, tak payah kusutkan fikiran untuk tolong mereka,” bantah Rais.
Tuan Ruslan terdiam. Kata-kata Rais ada benarnya cuma dia ada sebabnya yang tersendiri mengapa dia memilih untuk membantu keluarga Tuan Yahya. Terutama sekali anak gadisnya yang begitu bersungguh untuk menolong ayahnya.
“Abah cuma nak tunjuk kepada Tuan Yahya, yang pilihan yang dia buat dulu, adalah pilihan yang salah. Abah suka tengok dia merayu. Abah seronok tengok dia tersungkur macam ni sama seperti dia lakukan pada abah dulu.” Ujar Tuan Ruslan dengan pandangan yang sarat dengan rasa dendam terhadap Tuan Yahya.
Rais menggelengkan kepala.
“Itu bukan urusan saya. Saya tak nak terlibat dengan dendam abah.” Ucap Rais malas.
Tuan Ruslan mengangkat pandangan. Wajah Rais yang tenang ditenung dengan lama.
“Jadi kamu tak nak Pena Qarya ditukar hak milik kepada kamu?” soal Tuan Ruslan lagi.
Rais mengetap bibir. Sememangnya matlamat utama dia bertahan tinggal di kawasan yang sama dengan Tuan Ruslan adalah disebabkan Penerbitan Pena Qarya. Syarikat yang diusahakan dengan susah payah oleh ibunya sendiri. Dia akan melakukan apa saja untuk mendapatkan syarikat itu kembali dan sekarang, peluang sudah berada di hadapan mata, haruskah dia melepaskannya dengan begitu saja? Sanggupkah dia menggadaikan masa depannya demi kemahuannya sendiri?
“Apa jaminan abah akan tukarkan Pena Qarya pada saya?” soal Rais masih sangsi dengan tawaran Tuan Ruslan.
“Kalau kamu setuju dengan tawaran abah, abah akan serahkan segala pengurusan Pena Qarya kepada kamu tapi abah tak boleh keluarkan Pena Qarya daripada Qarya Group. Abah bagi masa tiga bulan untuk kamu naikkan jualan produk Pena Qarya kemudian barulah abah akan berikan sepenuh kuasa kepada kamu untuk uruskan Pena Qarya dengan cara kamu sendiri tapi dengan syarat kamu kena setuju dengan pernikahan ni,” ujar Tuan Ruslan.
“Kenapa susah sangat abah nak lepaskan Pena Qarya? Bukan ke Pena Qarya wujud disebabkan ibu. Kenapa abah tak buang je Pena Qarya sama seperti abah buang ibu?” soal Rais tiba-tiba.
Tuan Ruslan tersentak. Wajahnya berubah kelat dengan pertanyaan Rais. Dadanya mula berombak kecil apabila Rais membangkitkan soal ibunya sendiri. Parut lama seakan kembali terbuka. Terasa nyilu di dadanya meskipun tiada luka yang kelihatan.
“Kamu setuju ke tak?” soal Tuan Ruslan tanpa menjawab soalan Rais.
Rais menjilat bibir yang terasa kering. Otaknya ligat menimbang baik dan buruk jika dia menerima tawaran Tuan Ruslan.
“Anak Tuan Yahya tahu tentang rancangan abah ni?” soalan dibalas soalan oleh Rais.
Tuan Ruslan menganggukkan kepala.
“Dia setuju?”
Angguk lagi.
Rais meraup wajahnya. Dia tidak menyangka gadis itu sanggup menggadaikan dirinya sendiri semata-mata kerana duit dengan menjadikan diri sendiri sebagai cagaran. Berani! Gadis itu memang berani. Bisik hati Rais.
Kalau aku terima tawaran abah, bermakna aku boleh awasi setiap gerak geri gadis itu. Aku yakin video tu masih ada dengan dia. Aku akan guna apa saja cara untuk dapatkan video tu semula. Mungkin inilah salah satu caranya. Desis hatinya.
“Macam mana, Is? Setuju tak?” suara Tuan Ruslan mengembalikan Rais ke dunia yang sebenar.
Rais membalas pandangan Tuan Yahya. Lama.
“Saya nak abah buat kontrak tentang pertukaran hak milik Pena Qarya. Saya nak ada hitam putih. Soal pernikahan tu, saya nak berbincang dengan perempuan tu terlebih dahulu. Saya tak nak dia terkejut bila dia dapat tahu siapa bakal suami dia yang sebenar,” ujar Rais. Dia tersenyum nipis apabila membayangkan reaksi yang akan diterima nanti. Pasti gadis itu terkejut besar. Fikirnya.
Tuan Ruslan menggangguk setuju. Dia melepaskan nafas lega.


PINTU ruang rehat ditutup dengan perlahan sebelum tubuhnya disandarkan ke belakang pintu. Rais memejam mata sejenak. Cuba memikir kembali baik buruk yang bakal dihadapinya sebaik saja dia menerima tawaran Tuan Ruslan.
“Betul ke keputusan aku ni?” desisnya perlahan.
“Is kena tinggal di sini. Di sini tempat Is.Walau apa pun yang terjadi Is kena dapatkan balik milik Is. Jangan biarkan sesiapa pun rampas apa yang dah jadi milik Is. Ingat tu!” suara si ibu terngiang di telinga membuatkan matanya terbuka luas.
“Ya, aku harus dapatkan apa yang seharusnya jadi milik aku. Pena Qarya. Pena Qarya milik ibu. Aku takkan biarkan sesiapa rampas milik ibu.” Ucapnya sendirian. Nekad.
“Apa tawaran yang kau dapat kali ni?” tegur satu suara mengejutkan Rais. Dia berpaling.
Kelihatan Razin sedang berdiri sambil berpeluk tubuh. Anak mata lelaki itu tepat memandang ke arahnya. Rais hanya menayang wajah selamba. Dia mula mengorak langkah. Sedikit pun tidak mempedulikan pertanyaan Razin.
“Aku tak sangka kau sanggup lakukan apa saja untuk dapatkan perhatian abah. Kau tak malu ke menagih kasih macam tu? Abah dah tak sayangkan kau. Abah tak perlukan kau. Di mata abah sekarang kau cuma anak yang tak guna. Kau patut malu pada diri kau sendiri.” Ujar Razin cuba menyakitkan hati Rais.
Rais hanya tenang. Dia tersenyum nipis. Senyuman mengejek.
“Menagih kasih? Kau tak nampak siapa yang cari siapa dulu? Aku memang anak yang tak guna tapi sekurang-kurangnya aku tak seperti duit syiling. Depan lain, belakang lain. Aku tak malu dengan diri aku, tapi aku malu tengok kau. Sekuat mana kau mencuba untuk jadi anak abah, kau tetap bukan darah daging dia!” balas Rais. Perlahan tetapi cukup menikam.
Razin terbeliak. Darahnya menyirap. Lantas, dia menghampiri Rais. Kolar baju lelaki itu dicengkam dengan kuat. Tangannya diangkat untuk menumbuk muka Rais. Namun, renungan anak mata lelaki itu yang tajam menghentikan tingkahnya.
“Kau nak tumbuk aku? Tumbuklah. Biar abah tengok apa yang anak kesayangannya dah buat. Kau tak takut reputasi kau sebagai anak yang soleh akan jatuh? Kau tak takut perangai malaikat kau tu akan hilang di mata abah?” sinis Rais sambil menolak tangan Razin dengan kasar. Dia membetulkan kolar bajunya dengan gaya yang cukup bersahaja.
Razin melongo. Dia tidak percaya Rais akan melawan. Selama ini lelaki itu akan turuti semua kata-kata namun hari ini, sikap Rais begitu berlainan. Lelaki itu seakan tidak takut akan dirinya.
“Berani kau nak lawan aku? Ingat sikit, kau cuma orang suruhan aku,”
“Orang suruhan kau? Huh! Dulu mungkin aku ikut semua arahan kau tapi sekarang, tak lagi. Aku akan dapatkan hak aku semula. Lebih baik kau jaga-jaga. Kalau kau cuba halang aku, aku akan musnahkan semuanya.” Pintas Rais dengan kerlingan tajam.
Razin melongo. Dia kehilangan kata-kata. Apa yang telah merasuk Rais hari ini? Bagaimana lelaki itu boleh bertukar watak dalam sekelip mata? Apa yang Tuan Ruslan telah berikan kepada lelaki itu sehingga Rais berani menentangnya? Soal hati Razin bertubi-tubi.
“Oh ya, selepas ni soal peribadi atau soal kerja, kau uruskan sendiri. Aku tak nak masuk campur. Pandai makan, pandailah simpan,” sambung Rais. Bahu Razin ditepuk sebelum dia berlalu meninggalkan Razin yang termangu-mangu.
Razin terkebil-kebil. Hatinya bagai ingin meletup saat ini. Sikap Rais mencabar kesabarannya lantas telapak tangan dikepal. Dia mendengus. Rais harus diajar!


ABANG IS!”
Langkah Rais terhenti apabila telinga menangkap satu suara yang memanggil namanya. Anak mata Rais melingas ke kiri dan kanan cuba mencari arah suara tersebut. Tidak lama kemudian, muncul seorang gadis dari tepi rumah dengan senyuman melebar di bibir gadis itu.
“Fina? Fina buat apa di sini?” soal Rais terkejut. Dia terus mendapatkan Fina yang turut berjalan ke arahnya.
Fina meletakkan jari di bibir tanda meminta Rais memperlahankan suara. Rais hanya menganggukkan kepala.
“Nah…” Ucap Fina lalu menghulurkan mangkuk tingkat kepada Rais yang kelihatan terkejut.
“Apa ni?” soal Rais namun tangannya laju menyambut huluran Fina.
“Makanan. Fina minta Kak Su tolong bungkuskan untuk Fina. Padahal, Fina nak bagi makanan ni untuk abang. Fina tengok abang makan sikit sangat tadi,” ujar Fina lalu melabuhkan punggung di kerusi yang disediakan di beranda rumah Rais.
Rais tidak selesa. Anak matanya mula melilau memandang ke arah hadapan rumah. Bimbang jika kehadiran Fina di rumahnya disedari oleh Razin.
“Abang rasa Fina kena balik. Nanti kalau Razin tahu Fina jumpa abang, habis kita.” Ujar Rais sedikit bimbang.
Namun, Fina hanya kelihatan bersahaja. Dia tersenyum kecil.
“Abang jangan risau, dia takkan perasan Fina ke sini sebab dia agak Fina dah balik. Padahal Fina datang ke sini semula tapi Fina letak kereta jauh daripada rumah abang. Cuma, balik nanti abang kena tolong Fina. Tolong cover Fina.” Ujar Fina sambil tersengih.
Rais hanya menggelengkan kepala apabila mengenangkan tingkah Fina. Lantas, dia melabuhkan punggung di sebelah Fina.
“Kenapa Fina nekad sangat nak jumpa abang malam ni?” soal Rais kembali kepada persoalan yang sebenar.
“Saja. Lama tak bersembang dengan abang. Apa yang abang bincangkan dengan abah abang tadi?” soal Fina ingin tahu. Dia merenung wajah Rais yang duduk di sisinya.
“Dia nak abang kahwin…”
“Kahwin?!” Suara Fina meninggi namun dengan pantas dia menekup mulut. Bimbang suaranya disedari oleh orang lain.
“Dengan siapa? Tapi kenapa?” soal Fina setelah dapat mengawal rasa terkejutnya.
“Soal siapa dan kenapa tu tak penting, Fina. Tapi soal apa yang abang akan dapat dari perkahwinan ni, itu yang penting,” balas Rais masih lagi tenang sedangkan Fina seakan tidak percaya dengan berita yang disampaikan oleh Rais.
“Apa yang abang akan dapat?” soal Fina akhirnya. Dia turut ingin tahu apa yang Tuan Ruslan tawarkan kepada Rais.
“Pena Qarya…” Jawab Rais sambil membalas pandangan Fina.
Fina melongo seketika. Terkebil-kebil anak matanya memandang Rais.
“Fina tahu abang memang nak sangat Pena Qarya, tapi perlu ke abang  terima perkahwinan ni sedangkan abang tak kenal perempuan tu,” bantah Fina.
“Siapa cakap abang tak kenal?”
“Jadi abang kenal perempuan yang abah abang pilih tu?” soal Fina masih lagi terkejut. Bulat matanya memandang Rais.
Rais hanya menganggukkan kepala.
“Tapi abang, Fina rasa….”
“Fina jangan risau. Abang tahu apa yang abang buat. Peluang dah ada di depan mata, takkan abang nak tolak macam tu aje? Kalau boleh abang nak tamatkan semua ni secepat mungkin. Abang tak nak Fina bertambah rapat dengan Razin. Abang tak percayakan dia,” balas Rais perlahan.
Fina mendiamkan diri seketika. Dia menarik nafas dalam dan menghembuskannya dengan perlahan.
“Fina buat semua ni untuk abang. Insya-Allah, Fina akan cuba jaga diri Fina sebaiknya. Kalau itu keputusan abang, Fina faham. Fina yakin abang takkan lakukan sesuatu tanpa sebab yang kukuh. Soal Razin, abang serahkan pada Fina.” Ujar Fina  dengan senyuman.
Rais hanya menganggukkan kepala.
“Razin ada tunjukkan barang kemas yang dia nak berikan pada Fina, Fina terima tak?” soal Rais apabila teringatkan tentang berlian yang pernah ditunjukkan oleh Razin untuk diberikan kepada Fina.
Fina menggelengkan kepala.
“Fina minta dia serahkan baki saham milik dia dalam syarikat tu tapi dia nampak keberatan nak bagi pada Fina,” balas Fina.
“Bukan senang nak perdayakan Razin. Dia licik sama seperti mak dia. Abang harap Fina lebih berhati-hati. Abang tak nak dia syak Fina yang bukan-bukan.” Ujar Rais cukup khuatir dengan hubungan Fina dan Razin.
Namun, Fina hanya mengukir senyuman manis.
“Fina akan ingat kata-kata abang. Fina cuma tak sabar nak tengok dia jatuh tersungkur. Biar dia sedar, dia takkan selamanya berada di atas.” Ujar Fina sarat dengan rasa amarah yang jelas terpancar dari sinar matanya.



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.