Tetamu Rindu

Saturday, 1 August 2015

JADIKAN AKU YANG KEDUA ( BAB 2 )



BAB 2
THAQIF merenung wanita yang berada di dalam gambar. Sekali sekala dia mengusap gambar perkahwinannya. Tanpa sedar ada titisan air mata yang jatuh menitik di atas gambar itu. Thaqif tersedar lantas menyeka manik jernih itu.
“Abang rindukan Wahi. Sampai sekarang abang tak mampu untuk lupakan Wahi walaupun Wahi tak ada di samping abang. Susah untuk abang terima hakikat yang Wahi tak ada depan mata abang. Wahi, kenapa tinggalkan abang secepat ini? Kenapa tak bawak abang sekali, sayang? Kenapa tinggalkan abang?” rintih Thaqif sambil memeluk bingkai gambar bersegi empat itu.
Dalam gambar itu, Wahi tersenyum ceria ketika mereka telah selamat diijabkabulkan dua tahun yang lepas. Masih tergambar jelas hari gembira mereka di mana lafaz janji termeterai antara mereka berdua.
“Wahi janji akan cintakan abang sampai hujung nyawa Wahi. Wahi harap abang pun macam tu, jangan pernah abang cuba- cuba untuk cintakan orang lain. Kalau abang cintakan orang lain bermakna abang memang tak pernah cintakan Wahi. Ingat tu!”
Masih terngiang- ngiang kata-kata janji Waheeda yang dilafazkan pada malam perkahwinan mereka. Ketika itu Thaqif hanya mampu ketawa kerana tiada sesiapa di hatinya kecuali Waheeda. Perkenalan sewaktu menuntut di UPSI membawa mereka ke jinjang pelamin. Tetapi dia tidak menyangka cinta yang disulam hanya untuk seketika.
“Isteri encik dah tak ada. Allah lebih sayangkan dia…”
Kata- kata keramat daripada doktor yang merawat Waheeda menghancurkan rasa gembira Thaqif saat menyambut kelahiran anak sulung mereka. Dia terdiam tanpa kata. Seluruh alam dirasakan kosong walaupun esak tangis si kembar kedengaran kuat di telinga. Akhirnya, Thaqif jatuh terduduk di sisi katil Waheeda yang terbaring kaku. Dia dapat merasakan separuh nyawanya melayang.
“Abang janji sayang, hanya cinta sayang yang pertama dan yang terakhir buat abang. Takkan ada mana- mana perempuan yang akan dapat mengubah cinta ini malah perasaan cinta dah terkubur bersama dengan jasad sayang. Abang doakan sayang aman di sana,” ucap Thaqif lagi sambil mencium gambar yang kaku itu. Kemudian dia memeluk bingkai itu dengan erat.
“Sudahlah tu Qif. Jangan diratap orang yang dah pergi. Tak elok,” tegur satu suara menyentakkan lamunan Thaqif.
Dengan pantas dia menyeka air mata yang bercucuran. Wajah ibunya yang berada di sebelah di pandang dengan senyuman hambar.
“Entahlah ibu, tiba- tiba rasa rindu pada arwah bila tengok muka Dania,” luah Thaqif sambil pandangannya dihalakan ke kaca televisyen.
Puan Maryam mengeluh. Dia sendiri pening memikirkan masalah yang melanda anaknya yang satu ini. Sudah lama dia tidak mendengar suara tawa anak lelakinya itu malah sudah lama dia merindui senyuman manis Thaqif yang hilang sejak kematian Waheeda.
“Ibu faham perasaan Qif sebab ibu pun pernah kehilangan orang yang paling ibu sayang tapi ibu terima semua ini sebab ibu tahu, Allah takkan menjadikan sesuatu itu sia- sia. Allah ambil Wahi sebab Allah sayangkan dia dan pasti Allah akan gantikan Wahi dengan yang lebih baik,” ucap Puan Maryam sambil mengenggam tangan Thaqif.
“Tapi Qif tak nak tempat Wahi diganti dengan orang lain. Tak ada sesiapa pun yang dapat gantikan Wahi dalam rumah ni ataupun dalam hati Qif, bu. Dia yang pertama dan Qif akan pastikan dia yang terakhir berada dalam hati dan hidup Qif,” potong Thaqif. Suaranya kedengaran tegas.
“Jangan terlalu awal membuat keputusan Qif. Cuba pandang keliling, jangan pentingkan diri sendiri. Anak Qif perlukan kasih sayang seorang ibu…”
“Qif boleh jaga kembar tu tanpa ada perempuan lain yang gantikan tempat mama mereka, ibu. Qif boleh jaga mereka sorang…” bantah Thaqif.
Puan Maryam mengeluh. Dia menggelengkan kepala dengan sikap keras kepala anaknya itu.
“Qif lelaki, Qif takkan boleh buat banyak kerja dalam satu masa. Macam mana pula dengan kerja Qif dekat sekolah? Cuba bayangkan kalau umur ibu tak panjang, siapa yang nak uruskan dan jaga Dani dan Dania. Qif pernah tak fikirkan semua tu? Ibu tahu Qif sayangkan sangat Wahi, ibu pun sama tapi fikirkan tentang anak- anak Qif. Mereka perlukan belaian dan didikan seorang ibu bukan saja seorang ayah. Ibu tak minta Qif lupakan Wahi tapi ibu cuma mahukan yang terbaik untuk cucu dan anak ibu,” ujar Puan Maryam seakan meluahkan perasaan yang lama terbuku di hatinya.
Thaqif mendiamkan diri. Kata- kata Puan Maryam berlegar- legar di fikiran.
“Macam mana Qif nak terima perempuan lain jadi isteri Qif sedangkan cinta Qif cuma untuk Wahi. Qif tak nak seksa anak dara orang, ibu,” balas Thaqif setelah agak lama mendiamkan diri.
Puan Maryam tersenyum. Sedikit sebanyak kata- kata Thaqif menunjukkan tanda positif.
“Anggaplah semua yang Qif lakukan ini semata- mata kerana tanggungjawab. Tanggungjawab pada anak-anak Qif. Cinta boleh datang kemudian tapi kalau Qif berkeras tak nak bercinta, biarlah apa yang berlaku kekal sebagai tanggungjawab,” ucap Puan Maryam dengan senyuman yang cuba menyakinkan anaknya.
Thaqif mengeluh berat. Tanggungjawab? Mampukah aku memikul tanggungjawab sebagai seorang suami sekali lagi?
“Tapi Qif tak ada calon…”
“Takkan tak ada cikgu- cikgu yang solo dekat sekolah?” soal Puan Maryam.
Thaqif hanya mengangkat bahu. Semenjak berkahwin dengan Waheeda, dia tidak pernah pandang perempuan lain pun malah hanya Waheeda yang mampu membuka hatinya untuk mengenal cinta yang selama ini tidak dipedulikan oleh Thaqif.
“Tak apalah kalau macam tu, kalau Qif dah buka hati untuk menerima jodoh lain pasti Allah tunjukkan jalan,” ucap Puan Maryam.
Dia tersenyum memandang wajah anaknya yang tenang. ‘Hanya seorang yang sesuai untuk jadi ibu pada cucu aku.’

“FATIN, jom temankan aku pergi pejabat sekejap, aku nak hantar buku rekod kedatangan nilah,” ajak Nuha sambil menarik tangan sahabat baiknya itu.
Dengan rasa malas, Fatin bangun dan membuntuti langkah Nuha yang sudah memanjangkan langkah. Sudah memang menjadi tugas penolong ketua kelas untuk menghantar buku rekod kedatangan sebelum sesi persekolahan tamat dan itu adalah tugas Nuha namun yang jadi mangsa adalah Fatin. Asyik jadi peneman setia saja. Kalau dia malas, Nuha akan menarik muka 14. Itu yang Fatin tidak sanggup tu.
“Lambatlah kau ni, Atin. Cepat sikit kejap lagi loceng nak bunyi,” bebel Nuha sambil mempercepatkan langkahnya.
“Yelah- yelah. Sabarlah sikit, kau tu yang jalan laju salahkan aku pulak,” balas Fatin geram.
Nuha meneruskan langkah sehingga sampai ke muka pintu pejabat. Namun langkahnya tiba- tiba terhenti apabila matanya tertacap pada figura seorang lelaki yang segak memakai kemeja berwarna hijau gelap manakala di hidung mancungnya tersungging cermin mata yang sedikit menutupi anak mata coklat cair miliknya. Nuha terpegun apabila lelaki itu melemparkan senyuman manis pada kerani yang bertugas petang itu. Walaupun pipi itu tidak dihiasi dengan lesung pipit tapi senyuman itu cukup menawan. Memang menawan dan lebih parah, senyuman itu telah menawan hatinya!
Nuha menyentuh dadanya yang berdebar secara tiba- tiba. Matanya masih tidak berganjak daripada memandang ke arah lelaki itu. Siapa dia? Nuha tersedar apabila bahunya dicuit seseorang. Dia berpaling.
“Kau tengok apa tu?” soal Fatin pelik. Dia mengerutkan dahi.
“Tu….” Nuha memuncungkan mulutnya ke arah lelaki yang baru dilihatnya tadi. Kali ini lelaki itu kelihatan ketawa mesra sambil mengusik Kak Zaiton, kerani sekolahnya. Sungguh, Nuha tertawan melihat wajah itu ketawa, mata lelaki itu akan mengecil apabila bibir itu meletuskan tawa. Nuha tersenyum  sendirian. Aku dah jatuh cinta pandang pertama ke?
Fatin mengalihkan pandangan ke arah yang ditunjukkan oleh Nuha. Matanya yang berkelip, tiba- tiba berhenti berkedip. Mulutnya sedikit terlopong. Air liur ditelan. Kelat.
“Subhanallah!” hanya itu yang terkeluar daripada mulut Fatin.
Sebaik saja mendengar ungkapan itu, Nuha berpaling. Dahinya berkerut. Takkan Fatin pun terpikat?
“Cikgu baru ke Nuha? Aku tak pernah tengok pun,” tanya Fatin namun pandangannya masih terlekat pada laman wajah lelaki yang baru dilihatnya itu.
“Mungkin kut, kita tengoklah esok macam mana, mesti ada pengumuman,” balas Nuha. Berpura- pura tidak berminat dengan kehadiran lelaki itu padahal dalam hati hanya Allah yang tahu betapa dia ingin tahu siapakah gerangan lelaki berkaca mata itu.
“Kalau betullah dia cikgu baru dan ajar kelas kita, aku rasa memang aku takkan ponteng sekolah sampai bila- bila,” ucap Fatin selamba.
Nuha ketawa lepas kemudian melangkah masuk ke dalam ruang ofis dan meletakkan buku rekod tersebut di dalam bakul yang disediakan. Sempat lagi dia mencuri dengar perbualan lelaki itu dengan Kak Zaiton.
“Okeylah kak, saya ni baru lagi dekat sekolah. Banyak benda yang saya kena belajar. Esok saya ada kelas dengan form five pulak, entah macam mana pula lagaknya,” ujar lelaki itu ramah tanpa menyedari kehadiran Nuha yang sudah tersenyum sendirian. Dia menjeling name tag yang dipakai oleh lelaki itu.
‘Thaqif…’ bisik hati Nuha kemudian tersenyum. Namun, senyumannya mati apabila cikgu muda itu memandang ke arahnya dengan senyuman. Saat itu, Nuha rasakan dunianya bagaikan terhenti berputar. Debaran di dada semakin laju membuatkan Nuha hanya mampu tersenyum tipis sebelum cepat- cepat berlalu. Dia bimbang tidak mampu menahan rasa yang bermain di kalbu.
Nuha melepaskan nafas yang panjang. Sesak nafasnya apabila melihat senyuman Cikgu Thaqif yang memikat. Dia kembali mengatur langkah yang terawang- awangan. Nuha menghampiri Fatin yang setia menunggu di hadapan pintu pejabat.
“Dah settle? Lamanya kau dekat dalam…” ucap Fatin dengan nada curiga.
Nuha tersengih. Dia membetulkan tudung sekolahnya yang ditiup angin.
“Aku dah dapat nama cikgu baru yang da bomb tu,” ujar Nuha sambil menarik lengan baju Fatin supaya mengikuti langkahnya menuju ke kelas.
“Siapa nama dia?” soal Fatin tidak sabar- sabar. Dia benar- benar teruja.
“Adalah…” balas Nuha sambil tersenyum simpul.
Fatin merengus. Spoil mood betullah si Nuha ni. Baru nak feeling lebih dengan cikgu baru yang segak tu.
“Cepatlah bagitahu sebelum aku mogok lapar dengan kau,” ugut Fatin membuatkan Nuha ketawa lepas namun cepat- cepat dia menekup mulutnya. Nuha, sopan sikit!
“Ikut suka kaulah nak mogok lapar ke nak berpiket sekalipun. Ada aku kisah!” tempelak Nuha bersama tawa yang panjang.
Fatin menarik muka. Mulutnya sudah memuncung hampir sedepa. Geli hati pula Nuha melihatnya. Tawa yang bersisa, terus bersambung.
“Yelah- yelah, aku bagitahu. Nama cikgu tu Thaqif. Puas hati?” soal Nuha sambil membulatkan matanya yang sedia bulat.
Fatin melebarkan senyuman. Oh, Thaqif. Sedap betul namanya. Takkan pendek itu saja? Tapi macam familiar je nama Thaqif tu. Thaqif, Thaqif…Eh, takkanlah! Detik hati Fatin kemudian dia berpaling memandang Nuha dengan muka penuh tanda tanya.
“Yang kau pandang muka aku macam muka aku tumbuh cendawan, ni kenapa?” soal Nuha pelik.
“Cikgu Thaqif tu ajar subjek apa?” soal Fatin tiba- tiba.
“Mana aku tahu. Aku bukan pengetua. Kau ni pun. Aku ternampak nama dia pun secara tak sengaja,” jelas Nuha.
“Lebih baik kau check jadual yang Cikgu Rosmizah bagi semalam. Jadual baru tu,” balas Fatin tiba- tiba.
Dahi Nuha berkerut. Ketika itu mereka sudah sampai di muka pintu kelas mereka. Selepas mengetuk pintu, kedua sahabat itu melangkah ke tempat duduk. Tinggal lagi 10 minit sebelum loceng waktu terakhir berbunyi. Kebetulan waktu itu waktu mata pelajaran Ekonomi Asas, guru yang mengajar cikgu itu sudah berpindah jadi mereka terpaksalah menunggu kedatangan guru yang baru.
“Apa kena mengena cikgu tu dengan jadual kita?” Nuha menyambung pertanyaan yang terbantut.
“Check jelah dulu,” arah Fatin.
Dengan lagak malas, Nuha mencapai fail kulit keras yang selalu dibawanya lalu mengeluarkan sekeping kertas A4 yang tercatat jadual waktu yang perlu dipatuhinya. Dia membaca satu persatu sebelum matanya tertacap pada sebaris nama guru yang mengajar subjek Ekonomi Asas. Terjengil matanya memandang sepotong nama yang membuatkan hatinya berdetak.
“Cikgu Thaqif?”



JADIKAN AKU YANG KEDUA ( BAB 1 )




BAB 1
“NUHA tolong hantarkan air ni…” Arah Puan Maryam setelah selesai membancuh kopi O dan meletakkanya di atas dulang.
Nuha hanya mengangguk dan mengikut arahan yang diberikan. Maklumlah hari ini hari pertama dia bekerja di kantin sekolah setelah tamat SPM. Rasa kekok pula nak bekerja selepas sekian lama menghadap buku dan kerja sekolah.
“Siapa yang pesan air ni, mak cik?” Soal Nuha lembut.
“Cikgu Thaqif…” beritahu Puan Maryam dengan senyuman.
Cikgu Thaqif? Nuha menelan air liur. Hatinya berdebar- debar. Tanpa menunggu lama dia menatang dulang dan berlalu ke kantin guru.
Nuha menolak pintu gelongsor dan mencari kelibat Cikgu Thaqif yang tidak kelihatan. Dia memandang ke sudut meja yang menempatkan makanan. Dia tersenyum memandang belakang lelaki yang berkemeja biru lembut. Cikgu Thaqif…seru hatinya.
Tiba- tiba Cikgu Thaqif berpaling dan terkaku memandang Nuha yang sedang berdiri di sisi meja tidak jauh daripadanya. Namun, tiba- tiba bibirnya mengukir senyuman.
“Awak kerja dekat sini, Nuha?” soal Cikgu Thaqif seraya melabuhkan punggung di kerusi. Pinggan yang berisi nasi dan lauk diletakkan di atas meja. Dia memandang wajah Nuha yang kelihatan malu- malu untuk memandang wajahnya.
“Haah cikgu sementara tunggu result keluar…” balas Nuha lembut.
Cikgu Thaqif hanya mengangguk dan tersenyum. Dia menunduk dan meneruskan suapan manakala Nuha berlalu dengan hati yang berdetak. Aura Cikgu Thaqif sangat kuat pada dirinya. Sampaikan lidahnya kelu untuk berkata lebih.
Nuha tersenyum. Wajah Cikgu Thaqif bermain di fikirannya. Cikgu Thaqif seorang lelaki yang tenang, seorang yang tegas dan yang paling penting, seorang yang….kacak. Nuha tersenyum lagi.
“Amboi Nuha, apa yang disenyumkan tu?” laung Mak Cik Zakiah sewaktu Nuha masuk ke kawasan dapur.
Nuha tersengih. Dia menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Senyum sebab ingatkan Cikgu Thaqif, makcik. Bisik hatinya nakal. Kemudian dia meneruskan kerja yang terbengkalai. Roti burger dan daging burger yang sudah digoreng diambil.
“Qif tu tak nak kahwin lagi ke, Kak Yam? Dah setahun arwah pergi, kesian pula tengok si kembar tu tak dapat kasih sayang ibu,” tanya Mak Cik Zakiah yang sedang memotong sayur untuk dimasak tengah hari nanti.
Nuha hanya memasang telinga apabila nama Cikgu Thaqif disebut. Entah kenapa saat nama cikgu lelaki itu disebut pasti jantungnya berdegup.
“Entahlah Yam, Qif tu sayang sangat arwah Wahi tu. Dah penat akak suruh dia kahwin tapi dia tak nak. Bukannya akak nak suruh dia lupakan arwah tapi biarlah Dani dan Dania tu ada ibu bila besar nanti,” Puan Maryam meluahkan rasanya bersama keluhan berat.
“Kadang- kadang kesian pula saya tengok si Qif tu. Terpaksa bawak si kembar ke kantin. Mana nak kerja, mana nak jaga budak berdua tu lagi. Dahlah si kembar itu semakin membesar,” sambung Mak Cik Zakiah sambil mengupas bawang pula.
“Akak pun tak tahu macam mana nak nasihatkan anak akak yang sorang tu…” keluh Puan Maryam lagi.
Tiba- tiba perbualan mereka berdua terganggu apabila kedengaran suara anak kecil yang menangis. Sepantas kilat, Puan Maryam melangkah menuju ke bilik rehat yang telah dikhaskan untuk menjaga cucu kembarnya.
Telinga Nuha dapat menangkap suara tangisan itu makin kuat. Sayu pula mendengar keluhan hati Puan Maryam tadi. Kata- kata Puan Maryam membuatkan Nuha terfikir, sampai bila Puan Maryam mampu menjaga cucunya sedangkan wanita itu semakin berusia? Tidakkah Cikgu Thaqif memikirkan semua itu?
“Syyhhh…sayang cucu opah. Kenapa menangis ni?” ucap Puan Maryam sambil menepuk-nepuk belakang Dani dengan lembut.
Nuha mengangkat muka. Kesian pula dia melihat anak kecil yang berusia satu tahun itu menangis sampai merah wajahnya. Dia tersenyum pada Dani dan tiba- tiba tangisan Dani terhenti.
“Mama…” ucap Dani sepatah.
Nuha terpempan. Dia menelan air liur.
Puan Maryam tersentak. Dia memandang wajah cucunya dan Nuha silih berganti. Biar betul apa yang aku dengar tadi?
“Nuha cuba kamu dukungkan si Dani tu…” suara Mak Cik Zakiah membuatkan Nuha terkedu. Aku dukungkan si Dani? Biar betul?
Lalu, Puan Maryam menghulurkan tubuh Dani pada Nuha. Dengan teragak- agak Nuha menyambut. Namun, saat tubuh Dani berada dalam dukungannya, anak kecil itu senyap dan melentokkan kepalanya di bahu Nuha. Sungguh, hati Nuha tersentuh saat itu. Dia membelai belakang Dani dengan lembut.
Puan Maryam tersenyum simpul. Suka dia melihat Dani yang kelihatan manja dengan Nuha. Nampaknya kata- kata Mak Cik Zakiah tadi ada benarnya. Dani dan Dania perlukan seorang ibu.

THAQIF selesai makan dan mula melangkah ke dapur kantin untuk berjumpa dengan ibunya sekali gus menjenguk buah hati pengarang jantungnya. Si kembar yang semakin membesar. Lambang cinta Waheeda bersama dengannya dulu.
Sewaktu dia tiba di muka pintu, Thaqif dapat mendengar tangisan anak lelakinya. Pantas, dia mengatur langkah laju namun langkahnya terhenti apabila anak kecilnya itu menyebut satu perkataan yang begitu menyentuh hati lelakinya.
“Mama…”
Sepotong ayat itu cukup membuatkan Thaqif terkedu. Tanpa disedari air matanya menitis apabila terkenangkan anak kembarnya sudah setahun tidak merasa belaian seorang wanita yang bergelar ibu. Bukan dia tidak simpati pada anak-anaknya namun mampukah dia untuk menerima orang lain selain arwah Waheeda?
“Sayang anak papa menangis…” sampuk Thaqif lalu mendapatkan Dani yang berada dalam dakapan Nuha. Dia tersenyum sekilas pada Nuha yang kelihatan terkejut.
Thaqif cuba mengambil Dani daripada pelukan Nuha namun tidak semena- mena anaknya itu menangis sambil menghulurkan tangannya pada Nuha. Sungguh saat itu dada Thaqif dihurung sebak. Pandangannya dilarikan ke tempat lain.
‘Sayang, kalau sayang ada, abang tak perlu hadapi semua ini,’ desis hati kecilnya.
“Qif, biarlah Nuha yang dukung Dani. Dani tu rindukan ibunya kut,” ujar Puan Maryam.
Thaqif terdiam. Dia memandang wajah Nuha yang kelihatan tenang. Gadis itu membalas pandangannya bersama senyuman. Lantas, Thaqif menyerahkan Dani kembali pada Nuha. Sebaik saja Nuha mendukung Dani, anak kecil itu terus diam.
“Kamu nampak tak sentuhan seorang perempuan, Qif. Dani perlukan seorang ibu,” Bisik Puan Maryam sambil menepuk bahu anak lelakinya.
Thaqif tidak membalas. Hatinya menolak kata- kata Puan Maryam. Tiada siapa yang layak jadi ibu pada Dani dan Dania kecuali Waheeda. Selamanya tetap Waheeda dalam hati Qif, ibu. Bisik hati kecil Thaqif.
“Dania mana ibu?” soal Thaqif mengalih topik. Dia malas membincangkan perkara ini di hadapan Nuha. Gadis itu masih mentah untuk mengetahui apa yang dibincangkan.
“Ada dalam bilik tu. Tidur. Pergilah jenguk sekejap,” Puan Maryam bersuara.
Thaqif hanya mengangguk. Langkahnya di atur menuju ke bilik rehat untuk menjenguk puterinya.
Nuha tersenyum apabila dapat memeluk tubuh Dani yang kecil. Kemanjaan anak kecil itu menyentuh hati perempuannya. Percaya atau tidak, tiba- tiba dia rasa sayang pada Dani yang erat memeluknya.
“Lepas ni bolehlah Nuha tolong mak cik jagakan Dani dengan Dania. Mak cik pun tak larat sangat nak jaga budak semangat ni. Boleh kan?” soal Puan Maryam dengan senyuman.
Nuha berpaling dan membalas senyuman Puan Maryam dengan ikhlas. Dia mengangguk.
“Insya-Allah boleh. Tapi kerja saya macam mana?” Soal Nuha kembali.
“Pasal kerja tu kita letak tepi dulu, bila Dani dan Dania tidur, Nuha bolehlah sambung kerja tapi kalau dia terjaga Nuha tolong tengok- tengokkan. Lagipun mak cik rasa, Dani ni macam suka Nuha je,” ucap Puan Maryam sambil mencuit lengan Mak Cik Zakiah. Matanya dikenyitkan.
“Budak- budak kecil ni lain sikit Nuha, dia boleh baik dengan orang yang dia suka je. Nampaknya, tak lama lagi Dani ni dapat mama barulah. Tak gitu, kak?” usik Mak Cik Zakiah.
Nuha terkedu. Serta merta wajahnya berbahang panas. Dia mengalihkan pandangan ke tempat lain namun pandangan bertembung dengan anak mata Thaqif yang baru saja keluar dari bilik. Lama mereka bertatapan sebelum Nuha menundukkan pandangan. Jantungnya sudah berlari kencang terkena panahan lelaki berkaca mata itu. Ya Allah, tolong redakan perasaan aku!




JADIKAN AKU YANG KEDUA ( PROLOG )



PROLOG
 “AKU mengandung, Wawa.” Kedengaran suara lembut itu menyapa telinga Wawa.
“Serius, Wahi? Alhamdulillah. Seronoknya aku dapat anak saudara. Tapi aku tak dapat nak rasakan kegembiraan dengan kau sekarang. Aku busy sangat dekat sini,” ujar Wawa sambil tangannya kemas memegang telefon bimbit. Sebelah tangannya lagi menyelak buku rujukan yang terbentang di hadapan mata.
Wahi tersenyum hambar. Dia begitu mengharapkan kehadiran kembarnya ini. Rasa rindu semakin mencengkam kalbu. Perlahan-lahan, perutnya yang ditutupi dengan baju, digosok perlahan.
“Masa aku kahwin kau tak balik, masa aku nak bersalin nanti mesti kau pun tak dapat balik. Agak-agak kalau aku tak ada, kau balik tak?” soal Wahi tiba-tiba.
Wawa terkaku. Pen yang dipegang terlepas dari genggaman. Jantungnya berdenyut pantas mendengar soalan daripada Wahi.
“Wahi, apa yang kau mengarut ni? Kau tahu kan aku memang payah nak balik. Bukan aku tak nak balik, aku rindukan kau tahu tak? Tapi aku banyak assignment nak kena buat. Kau kembar aku, patutnya kau faham.” Ujar Wawa. Suaranya berubah sayu apabila mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Wawa.
Wahi ketawa kecil. Kembarnya ini cukup sensitif orangnya. Pantang diusik cepat saja emosinya terganggu.
“Aku bergurau jelah. Aku tahu kau sibuk tapi boleh tak aku nak mintak sesuatu daripada kau?” soal Wahi membuatkan Wawa terdiam.
“Kau nak apa?” soalnya kembali. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal apabila terpaksa menyalin segala nota-nota untuk dijadikan rujukan sebelum peperiksaan menjelang.
“Misalan, kalau terjadi apa-apa pada aku kemudian hari, boleh tak kalau kau tolong jagakan anak aku?” soal Wahi.
Wawa terdiam. Hatinya resah dengan soalan yang diutarakan oleh Wahi. Sekarang, tumpuannya hanya pada Wahi. Dahinya berkerut seribu.
“Maksud kau apa, Wahi? Aku tak faham. Kau sihat je kan? Abang Qif layan kau dengan baik kan?” bertalu-talu soalan terbit dari bibir Wawa.
Kedengaran Wahi ketawa kecil di hujung talian.
“Alhamdulillah, Abang Qif seorang suami yang baik. Kalau jadi apa-apa pada aku, aku nak kau janji yang kau akan jaga anak aku dengan Abang Qif, boleh?” soal Wahi lagi.
“Apa kau merepek ni, Wahi?” soal Wawa makin pelik.
“Janji dengan aku, Wawa. Janji yang kau akan jaga anak aku dengan Abang Qif,” gesa Wahi lagi. Kedengaran suara itu seperti menahan sebak.
“Aku…aku…”
“Aku hanya percayakan kau sebab kau kembar aku. Sebahagian diri aku ada dalam diri kau. Aku yakin kau boleh jaga anak aku. Boleh ya, Wawa? Tolong janji dengan aku.” Rayu Wahi lagi.
Wawa tidak mampu untuk membantah. Dia menganggukkan kepala seolah-olah anggukan itu mampu dilihat oleh Wahi.
“Insya-Allah, aku janji akan jaga anak kau dengan baik.”


 Beberapa bulan berikutnya….
SEORANG lelaki merenung kosong tanah kubur yang masih merah. Hujan renyai- renyai membasahi bumi tidak dipedulikan. Air mata yang bercucuran di pipi juga tidak dihiraukan. Sayu hatinya apabila mengenangkan jasad orang yang disayanginya telah selamat disemadikan sebentar tadi.
Betapa seksa hatinya kerana terpaksa berpisah dengan isteri tersayang walaupun baru setahun mereka mendirikan rumah tangga. Pilu hatinya apabila teringatkan anak kembar mereka berdua yang masih dalam jagaan ibunya di rumah. Apalah nasib anak kembarnya nanti, membesar tanpa kasih sayang seorang ibu. Dia menyeka air mata yang menuruni laju pipinya.
Tepukan di bahu mengejutkan lelaki itu. Dia mengangkat pandangan yang masih berbalam dengan sisa air mata yang tidak kering. Ditambah dengan air hujan yang menitis membasahi wajahnya. Lelaki itu tersenyum dalam kepayahan.
“Sudahlah tu nak, jangan menangis lagi. Kesian arwah kat dalam sana. Bersabarlah, semua ini ujian daripada Allah. Jika kamu redha dengan pemergiaannya insya-Allah, Allah akan tempatkan isteri kamu dalam kalangan orang yang beriman,” nasihat seorang lelaki tua sambil tersenyum tawar.
Lelaki itu membalas senyuman dengan hambar. Nasihat bapa mentuanya itu lekat di kepala namun mata dan hatinya tidak mampu membendung rasa yang bermain di jiwa. Dia cintakan wanita itu malah cintanya tak mungkin berubah. Baru dia ingin menyulam cinta dan hidup bahagia tetapi pemergian wanita itu meragut segalanya.
Sebak apabila terkenangkan wanita itu yang masih sempat tersenyum walaupun ajal semakin menjemput.
“Saya hadiahkan abang dengan sepasang kembar. Inilah lambang cinta saya pada abang. Tolong jaga mereka baik- baik. Bila dia besar nanti, abang tolong cakapkan pada mereka yang saya sangat sayang dan rindukan mereka. Saya tahu masa saya tak lama tapi saya nak abang tahu yang saya akan selalu sayang dan cintakan abang biarpun saya tiada di sisi abang,” ucap isterinya dengan suara yang lemah.
Dia menggelengkan kepalanya dengan laju. Air mata sudah menuruni lekuk pipi. Dia meletakkan jari telunjuk di bibir isterinya yang terbaring lesu. Sebaik saja selepas pembedahan, keadaan wanita itu menjadi semakin kritikal kerana penyakit barah rahim yang di alaminya semakin teruk. Dia sendiri tidak menyangka yang isterinya sanggup menyembunyikan penyakit itu semata- mata ingin memberinya zuriat penyambung cinta mereka.
“Sayang akan sihat, percayalah cakap abang. Abang tak boleh hidup tanpa sayang di sisi. Tolonglah sayang jangan cakap macam tu. Sayang tak boleh tinggalkan abang. Abang sangat cintakan sayang,” balas lelaki itu sambil mengusap pipi sang isteri yang tersenyum tawar.
“Saya pun sayangkan abang tapi mungkin jodoh kita sampai di sini. Tapi itu tak bermakna saya lupakan abang. Saya sayangkan abang meskipun jasad saya sudah tiada,” ucap isterinya dengan linangan air mata yang tidak berkesudahan. Dia mengenggam tangan suaminya dengan erat. Dia mengucup tangan itu, mungkin untuk kali terakhir.
Lelaki itu menggelengkan kepala. Tidak! Tidak! Jerit hatinya saat melihat mata wanita itu tertutup.
“Sayang jangan tinggalkan abang!” jeritnya.
Dia tersedar apabila terdengar bunyi guruh yang berdentum. Akhirnya dia bangun. Dengan langkah yang berat dia berlalu meninggalkan tanah perkuburan itu dengan perasaan yang sayu. Tak sangka, sayang tinggalkan abang juga akhirnya!
Siapa yang Allah kehendaki kepadanya kebaikan, nescaya Allah mengujinya. – HR al-Bukhari.