Tetamu Rindu

Saturday, 1 February 2020

MR. FROST ( Bab 12 )


PINTU bilik milik Tuan Ruslan ditutup dengan perlahan. Buat seketika, dia berdiri kaku di hadapan pintu tersebut dengan fikiran yang ligat berputar. Sungguh, saat ini lututnya terasa lembik malah jantungnya turut berlari kencang. Jiwanya tidak keruan sebaik saja teringatkan perbualan di antara dia dan Tuan Ruslan sebentar tadi.
“Kahwin? Kahwin dengan tuan?” soal Hana dengan oktaf suara yang meninggi. Terjengil matanya memandang Tuan Ruslan yang sudah menghamburkan tawa.
“Kamu nak kahwin dengan saya ke?” soal Tuan Ruslan setelah tawanya reda. Dia menggelengkan kepala mengenangkan sikap gelabah yang ditunjukkan Hana.
Hana menunduk. Lambat-lambat dia menggelengkan kepala. Benar, dia perlukan pinjaman untuk menyelesaikan masalah Tuan Yahya, tetapi perkara itu tidak boleh dijadikan alasan oleh Tuan Ruslan untuk mengambil kesempatan sementelah lelaki sebaya ayahnya itu sudah mempunyai anak dan isteri. Takkan dia nak jadikan aku bini kedua kut? Hilang akal? Omel hati Hana.
“Kalau hanya itu saja cara yang ada, saya terpaksa menolak. Tuan dah ada keluarga tuan sendiri dan mungkin saya sebaya dengan anak tuan. Saya tak nak mencipta kerosakan kepada rumahtangga orang lain demi kepentingan saya,” ujar Hana dengan perlahan. Bimbang jika Tuan Ruslan naik radang dengan kata-katanya.
Tuan Ruslan kembali menyambung tawa dengan gelagat Hana.
“Saya cuma cakap kahwin. Saya tak cakap yang kamu kena kahwin dengan saya.” Balas Tuan Ruslan membuatkan Hana mendongak. Terkebil-kebil dia membalas pandangan Tuan Ruslan.
“Habis tu tuan nak saya kahwin dengan siapa? Dan kenapa saya kena kahwin sedangkan saya cuma cagarkan diri saya untuk tuan berikan pinjaman. Itu saja.” Ujar Hana masih lagi dilanda dengan tanda tanya.
“Kamu ingat dengan mencagarkan diri kamu sendiri, semua masalah akan selesai? Dulu, papa kamu tak percayakan saya, jadi kamu jangan ingat saya akan percayakan kamu dan papa kamu. Entah-entah kamu berdua dah rancang untuk larikan diri bila semua hutang dapat diselesaikan. Jadi, bagi mengelak sebarang perkara tak diingini berlaku, saya perlu ikat kamu sebagai cagaran seperti yang kamu usulkan. Perkahwinan ni hanya untuk memastikan yang kamu tidak lari daripada tanggungjawab.” Terang Tuan Ruslan.
Hana terdiam seketika. Cuba menimbang baik buruk yang dikatakan oleh Tuan Ruslan.
“Perlu ke semua tu? Saya rasa kalau tuan tak percayakan saya, tak percayakan papa saya, tuan boleh buat kontrak untuk pinjaman ni. Saya janji saya takkan lari daripada tanggungjawab memandangkan saya akan menjadi salah seorang kakitangan syarikat tuan. Tuan boleh perhatikan saya 24 jam.” Ujar Hana cuba menyakinkan Tuan Ruslan.
Tuan Ruslan menyandarkan tubuhnya ke belakang. Tangannya disilangkan ke dada. Bahunya dijongketkan.
“Kamu tak perlu terima tawaran saya jika kamu rasakan syarat yang saya kenakan terlalu membebankan. Saya tak pernah paksa kamu jumpa saya untuk pinjam duit. Kamu sendiri yang cakap, kamu lakukan semua ini semata-mata untuk tolong papa kamu. Saya cuma berikan jalan. Segala keputusan atas kamu dan ingat, saya tak nak kamu terima syarat saya kalau rasa terpaksa. Kalau kamu tak nak terima, saya tak rugi apa-apa.” Balas Tuan Ruslan tenang.
Hana terdiam. Bicara Tuan Ruslan ada benarnya. Lelaki itu tidak pernah memaksanya untuk menerima bantuan malah sejak dari awal, Tuan Ruslan menolak untuk menghulurkan bantuan kepada Tuan Yahya. Disebabkan terdesak, dia adalah orang yang bertanggungjawab memaksa Tuan Ruslan menghulurkan pertolongan. Sekarang, apabila lelaki itu sudah terbuka hati untuk menolong, patutkah dia menolak apabila syarat yang dikenakan bersangkut-paut dengan masa hadapannya? Soal hati Hana.
“Cik… Cik tak apa-apa ke ni?”
Tegur satu suara mengejutkan Hana daripada lamunan. Dia tersedar. Pantas, pandangan dihalakan ke hadapan. Kelihatan setiausaha Tuan Ruslan merenungnya dengan pandangan pelik. Hana tersengih.
“Tak ada apa-apa. Saya okey. Saya minta diri dulu,” ujarnya.
“Baiklah.”
Hana tersenyum manis. Dia menganggukkan kepala lalu cuba mengatur langkah menuju ke pintu keluar pejabat.
“Kau buat apa di sini?” tegur satu suara garau mematikan langkah Hana. Dia berpaling. Matanya membulat.
Alamak! Kenapa benda yang kita tak nak jumpa, pasti akan berjumpa? Nasib aku memang malang hari ini. Keluh hatinya.
Tanpa menghiraukan soalan daripada lelaki itu, Hana terus mempercepatkan langkah untuk keluar dari ruang pejabat yang dirasakan menyesakkan dada. Dia tidak peduli akan pandangan orang lain yang pelik tingkahnya.
Rais mengetap bibir apabila melihat Hana yang tidak langsung mengendahkan panggilannya. Lantas, tanpa menunggu lama, dia turut mengejar langkah Hana. Masih ada masalah yang belum selesai di antara mereka berdua. Dia dapat rasakan kedatangan Hana ke pejabat Tuan Ruslan bukan perkara yang tidak disengajakan. Pasti gadis itu sedang merancang sesuatu. Video tu! Pasti tentang video yang berada dalam simpanan gadis itu! Rais kegelisahan. Langkah Hana terus dikejar.
Tanpa Rais sedar, setiap perlakuannya diperhatikan oleh seseorang. Dahi gadis itu berkedut seribu apabila melihat tingkah Rais yang berlainan daripada selalu.
“Abang Rais…” Panggilnya perlahan. Niatnya untuk menegur terbantut apabila kelihatan Rais seperti tergesa-gesa mengejar sesuatu.
“Fina, kenapa you tercegat kat sini? Kenapa tak terus ke bilik I aje?” satu suara menegur dari arah belakang menyedarkan Fina. Dia berpaling.
“I ternampak Abang Rais…”
“Rais… Panggil dia Rais aje. Dia bukan kekasih you lagi,” tegur Razin dengan muka yang cemberut saat mendengar bahasa yang digunakan Fina untuk Rais.
Fina mengawal riak wajahnya. Sedaya upaya dia mengukir senyuman manis buat Razin.
“Memang dia bukan kekasih I lagi, tapi dia lebih tua daripada I, tak salah kalau I panggil dia abang, kan?” soal Fina dengan suara yang dilembutkan.
Razin mencebik. Rasa cemburu terasa makin meluap dalam dada. Dia sedar pandangan Fina kepada Rais tidak pernah berubah walau dia berada di hadapan mata.
“Memang tak salah tapi I tak suka. You boleh panggil I abang, kalau you nak,” jawab Razin masih tidak berpuas hati.
Fina hanya tersenyum.
“Abang tu cuma panggilan biasa sedangkan you istimewa untuk I, takkan I nak panggil you dengan panggilan biasa pula kan?” Ucap Fina. Dia mengenyit mata.
Sebaik saja melihat senyuman manis milik Fina, hati Razin yang menggelegak panas, sejuk dengan serta-merta. Dia tewas. Pantas, bibirnya turut mengukir senyuman.


BERULANG kali butang lif ditekan namun pintu lif tersebut masih lagi tertutup rapat sedangkan saat ini Hana mula resah. Bimbang jika dirinya diekori oleh lelaki tersebut. Sesekali dia memandang ke sisi, cuba memastikan bahawa tiada sesiapa yang mengekorinya saat ini. Tetapi harapan Hana berkecai apabila kelihatan seorang lelaki berwajah tegang sedang memandang ke arahnya dengan pandangan yang sukar Hana mengerti.
“Alamak, dia datanglah pula,” getus Hana. Sekali lagi dia memandang nombor yang tertera di bahagian atas lif. Nampaknya, lif masih berada di tingkat dua sedangkan saat ini dia sudah kegelisahan.
“Hey, kau nak ke mana tu?” suara itu menegur.
Hana mengetap bibir. Tidak dapat tidak, dia memusingkan badan dan terus memanjangkan langkah menuju ke ruang tangga. Hana tidak peduli, dia tidak mahu berhadapan dengan lelaki itu sekarang. Banyak lagi perkara lain yang harus difikirkan selain bertikam lidah dengan lelaki itu.
Melihat Hana yang mula melarikan diri, Rais mula diterpa dengan rasa geram. Kali ini dia bernekad untuk tidak mahu melepaskan Hana sehingga gadis itu memadam atau menyerahkan video itu kepadanya. Dia tidak dapat hidup dengan tenang selagi video itu masih berada dalam simpanan Hana. Dia tidak menyangka Hana boleh menjadi selicik ini.
“Tunggu!” jerit Rais apabila melihat Hana mula berlari ke ruang tangga. Rais mengetap bibir. Tanpa bertangguh, dia turut berlari mengejar Hana yang mula menyusup di sebalik pintu.
“Tak guna!” marah Rais lalu merempuh pintu tersebut dengan kuat.
Pada waktu yang sama, langkah Hana terhenti apabila telinganya menangkap bunyi derap tapak kasut yang mula menghampirinya. Dia berpaling sejenak dan ternyata Rais sedang mengejarnya dari belakang. Dia mendengus.
“Jangan lari!” laung Rais lalu mempercepatkan langkah mengejar Hana yang sedang menuruni anak tangga dengan tergesa-gesa.
“Apa yang awak nak lagi, hah? Saya tak ada urusan dengan awak! Jangan ikut saya!” jerit Hana dengan kaki yang laju menyusun langkah.
Rais tidak peduli dengan kata-kata Hana, sebaliknya dia mengambil langkah yang besar untuk menyaingi Hana dan ternyata usaha berjaya, sewaktu Hana terkocoh-kocoh menuruni tangga, Rais dengan pantas menarik tali beg sandang milik Hana dari belakang menyebabkan langkah gadis itu terhenti dengan sendiri.
“Aaaa!” Hana terjerit kecil. Tangannya turut meronta kerana cuba melepaskan diri daripada Rais.
“Kau nak lari ke mana? Selagi kau tak serahkan video tu pada aku, selagi itulah aku takkan lepaskan kau,” ujar Rais dengan tegas. Tali beg milik Hana ditarik dengan kuat.
Hana terbatuk. Tarikan yang kuat itu menyebabkan dia hampir tercekik. Lelaki ini benar-benar tidak berperasaan!
“Saya dah padam video tu!” ujar Hana tiba-tiba.
Rais tersentak.
“Apa?!” spontan dia menolak tubuh Hana ke dinding. Dia tidak peduli dengan jeritan kecil yang terbit daripada mulut Hana dek perbuatan kasarnya itu.
“Sakitlah!” bentak Hana lantas berpaling menghadap Rais yang sedang bercekak pinggang. Melotot anak matanya memandang Rais yang kelihatan kebigungan.
“Awak tak dengar ke apa yang saya cakap tadi? Saya dah padam video tu!” Hana mengulang kembali ayatnya. Anak matanya mula meliar mengintai peluang untuk melarikan diri.
“Kau ingat aku percaya kata-kata kau? Kalau kau dah padam video tu, tunjuk bukti tu pada aku sekarang!” arah Rais turut mengawasi setiap tindak tanduk Hana. Gadis itu tidak boleh dibiarkan begitu saja. Otak gadis itu penuh dengan muslihat. Licik!
“Oh, awak nak bukti? Baik. Saya boleh tunjukkan!” ujar Hana lalu mengeluarkan telefon bimbitnya daripada poket seluar. Skrin telefon tersebut ditekan sebelum dia menunjukkan skrin ke arah Rais dengan sekali imbas.
“Nampak tak? Saya dah padam semua video tu. Kalau awak tak percaya, terpulang pada awak. Mulai sekarang, jangan ikut saya lagi. Saya rimas, awak tahu tak?” bebel Hana dengan bibir yang terjuih.
Mata Rais membulat. Kecil saja Hana di pandangannya saat ini. Separuh hati dia masih tidak percaya dengan bicara Hana. Mustahil gadis itu memadamkan semua bukti dengan begitu mudah tanpa mengharapkan apa-apa imbuhan daripadanya.
“Aku ikut kau? Kalau kau tak buat perkara bodoh tu, aku tak ingin nak ikut kau!” bentak Rais dengan rasa geram menggunung dengan sikap Hana.
Namun, Hana hanya menayang wajah selamba. Sedikit pun tidak terkesan dengan bentakan Rais. Sebaliknya, dia mencebikkan bibir.
“Perkara bodoh? Apa yang terjadi pada kekasih awak, awak cakap perkara bodoh? Sepatutnya awak fikirkan nasib anak yang kekasih awak kandungkan bukannya fikirkan pasal video tu. Selama ni saya cuma fikir awak seorang yang dingin, tapi saya tak pernah sangka, awak sekeji ni! Tak bertanggungjawab!” hambur Hana tiba-tiba.
“Diam! Kau tak tahu apa-apa pasal aku. Jangan nak menyibuk!” marah Rais. Suaranya bergema di segenap ruang tangga yang sunyi sepi.
Hana terkesip juga dengan suara Rais yang melengking tinggi. Jantungnya mula berlari pantas. Bimbang jika lelaki itu mengamuk, pasti teruk dikerjakannya. Perlahan-lahan, Hana mengangkat pandang. Tanpa sengaja, bola mata mereka bertentangan buat seketika.
Rais terkedu. Sepantas, kilat dia melarikan pandangan. Dia mengundur setapak ke belakang.
“Kalau kau tak nak ada sebarang urusan dengan aku, cepat bagi aku video tu dan aku takkan cari pasal dengan kau. Aku tahu, kau takkan padam video tu dengan mudah. Kau nak apa sebenarnya? Kau nak duit?” soal Rais dengan suara yang kembali mendatar. Anak matanya hanya terarah pada dinding yang berada di belakang Hana.
Hana tersenyum sinis.
“Duit? Mentang-mentang saya bukan orang senang macam awak, hanya itu yang awak fikir pasal saya? Duit? Bernilai sangat ke duit awak tu?” soal Hana dengan suara yang perlahan. Menahan rasa pedih yang mencucuk hati.
“Kalau duit tidak bernilai, kenapa kau datang ke sini? Kenapa kau datang jumpa Tuan Ruslan kalau bukan pasal video tu? Kau gunakan video tu untuk tunjukkan pada Tuan Ruslan kan? Tentu kau guna cara ni untuk balas dendam disebabkan aku dah pecat kau. Cara kau betul-betul licik. Hati kau busuk.” Balas Rais. Perkataan busuk ditekankan.
Hana hanya mampu ketawa kecil. Ketawa yang cukup menyakitkan telinga Rais. Kepalanya digeleng kecil.
“Kenapa, awak takut majikan awak tahu perangai buruk awak tu? Takut kena buang kerja macam awak buang saya?” perli Hana. Tangannya disilangkan ke dada.
Pandangan Rais teralih ke wajah Hana untuk seketika. Rasa ingin ditelan gadis itu hidup-hidup saat ini. Dia ingin membalas bicara Hana namun bunyi deringan telefon membantutkan niat Rais. Sakunya diseluk sebelum telefon bimbit dikeluarkan. Tertera nama Adra di skrin membuatkan mata Rais terbuka luas.
Hana sempat menjeling skrin telefon milik Rais. Dia tersenyum senget.
“Kekasih awak dah call tu. Jagalah dia dan anak awak tu baik-baik. Satu lagi, jangan ganggu saya lagi. Video tu dah tak ada. Sama ada awak nak percaya atau tidak, terpulang. Bukan masalah saya pun.” Sambung Hana.
Dia mencari ruang untuk melarikan diri. Ternyata, dia berjaya. Nafas dihembus dengan kuat. Hana lega apabila berjaya melepaskan daripada desakan Rais.
“Adra! No! You tak boleh datang ke sini. You tunggu I kat bawah!” suara Rais sempat singgah di telinga Hana.
Belum sempat Hana berpaling, dia terasa bahunya dirempuh. Nasibnya baik apabila tangannya sempat berpaut pada pemegang tangga. Jika tidak, pasti dia sudah tersungkur di anak tangga. Hana merengus.


“YOU nak apa lagi ni, Adra? Kenapa you datang ke sini? You nak buat kecoh ke?” soal Rais sebaik saja berjaya mengheret Adra dari lobi syarikat. Kini, mereka berdua berdiri di bawah pokok yang terdapat di sisi bangunan. Rais tidak mahu, pertemuan mereka berdua mendatangkan syak kepada orang lain.
“Memang I nak buat kecoh. I nak jumpa abah you. Dia perlu tahu tentang kandungan I.” Ujar Adra. Nampak tekad dan bersungguh.
Rais hanya mampu menggelengkan kepala. Satu senyuman sinis tersungging di bibirnya.
“You fikir abah I akan percaya dengan kata-kata you? You silap. Abah I langsung tak kesah apatah lagi nak ambil peduli!” balas Rais penuh yakin.
“I akan sebarkan berita ni kepada media…” Ugut Adra apabila merasakan situasi tidak berpihak kepadanya.
“Silakan. You tak ada bukti. You yang akan malu nanti. You sanggup canangkan pada semua orang tentang kandungan you tu? You tak malu?” tempelak Rais tanpa memikirkan perasaan Adra tika ini.
Adra terpempan. Turun naik dadanya menahan sabar saat mendengar kata-kata Rais.
“Jadi you nak suruh I tunggu saja sedangkan perut I semakin membesar?” soal Adra  dengan lantang.
“Sekarang I nak you buat pilihan. Kalau you diamkan diri, you serta anak you akan selamat. Tapi kalau you nekad nak bagi tahu pada abah I tentang kandungan you tu, nyawa you dan anak you akan melayang. You pilihlah. I takkan masuk campur.” Ujar Rais masih lagi dingin.
“I tak ada pilihan lain ke, Is?” soal Adra dengan wajah kembali muram.
“Itu saja pilihan yang I boleh berikan untuk you sekarang. Jangan pernah datang ke sini lagi. Apa yang you cuba buat tu takkan mendatangkan apa-apa kebaikan pada you pun. You yang pilih jalan ni. Jadi jangan babitkan orang lain dalam masalah you.” Tingakah Rais lalu melangkah untuk meninggalkan Adra diam membisu.
Saat dia berpaling untuk berlalu, tubuh Rais terkaku seketika. Dia tersentak apabila anak matanya bertembung dengan sepasang anak mata yang sedang memerhatikannya. Gadis itu menggelengkan kepala sambil tersenyum sumbing ke arahnya. Nampak seperti mengejek. Rais menjeling benci.



MR. FROST ( Bab 11 )


LANGKAH kaki diaturkan menuju ke bahagian belakang rumah mewah itu. Kali ini langkah kakinya kelihatan perlahan manakala pandangan matanya kelihatan kosong menandakan fikirannya sedang menerawang jauh. Dia tidak menyangka, niat untuk mendapatkan video yang berada dalam simpanan Hana membuatkan dia menjadi saksi kepada sebuah pergaduhan yang melibatkan ayah gadis itu. Mulanya dia hanya mahu memandang dari kejauhan dan tidak mahu mencampuri urusan keluarga gadis itu, namun apabila melihat kumpulan itu mula bertindak kasar, Rais terpaksa bertindak.
Satu keluhan dilepaskan. Rais terus menapak sehingga sampai ke kawasan rumahnya yang jauh lebih kecil berbanding rumah yang dimiliki oleh Tuan Ruslan. Dia menanggalkan kasut lalu melangkah naik ke beranda. Punggung dilabuhkan ke kerusi yang tersedia di situ. Mata dipejamkan buat seketika.
“Is ke mana tadi?” sapa satu suara mengejutkan Rais daripada rehatnya. Semerta, kelopak mata terbuka luas. Dia mencari arah suara yang menegur sebelum nafas dilepaskan. Dia membetulkan duduk.
“Tak ke mana pun…” Jawab Rais acuh tak acuh. Dia mengalih pandangan ke tempat lain. Enggan menatap wajah lelaki yang telah bertanggungjawab membawanya ke dunia.
“Jangan nak tipu abah. Apa hubungan Is dengan keluarga Yahya?” soal Tuan Ruslan lantas berdiri di hadapan Rais yang sedang duduk dengan tenang.
Rais tersentak apabila nama itu menyapa pendengaran. Dia mengangkat pandang namun buat seketika sebelum bola matanya dilarikan ke arah lain seperti kebiasaannya.
“Siapa Yahya? Saya tak kenal.” Jawab Rais cuba berbohong.
Tuan Ruslan tersenyum sinis. Dia menggeleng kecil.
“Abah tahu Is cuba nak sembunyikan sesuatu daripada abah. Abah kenal Is. Is tak pandai berbohong,” ujar Tuan Ruslan sambil menyilang tangan ke dada.
“Abah kenal saya? Abah tahu saya tak pandai berbohong? Tapi mengapa waktu saya cakap, Auntie Leyla suka pukul saya, abah cakap saya berbohong?” tempelak Rais dengan wajah yang berubah kelat.
Tuan Ruslan terkedu. Kata-kata yang terbit daripada mulut Rais ibarat sebuah tamparan yang cukup memedihkan. Dia terkelu.
“Errr… Abah… Sebab kamu tak ada bukti untuk tuduh mak cik kamu tu…”
“Bukti? Tak cukup lagi dengan lebam-lebam dan luka di tubuh saya sebagai bukti? Abah ingat saya sengaja cederakan diri saya sendiri untuk raih perhatian abah? Atau abah nak saya mati dulu baru abah percaya dengan kata-kata saya?” soal Rais dengan suara yang mendatar namun setiap patah perkataan itu cukup menikam hati Tuan Ruslan.
“Is! Abah tak ajar kamu cakap macam tu!”
“Memang abah tak ajar sebab abah tak pernah ada masa untuk ajar saya lepas ibu tak ada. Abah bencikan ibu, jadi abah jadikan saya mangsa untuk lepaskan segala kemarahan. Kenapa baru sekarang abah nak ambil berat pasal saya? Anggap ajelah yang saya tak wujud sama seperti yang abah buat sebelum ni,” bidas Rais petah. Bukan niatnya untuk berkurang ajar tetapi sikap Tuan Ruslan terhadapnya selama ini membuatkan dia semakin hilang sabar.
Sekali lagi Tuan Ruslan kehilangan kata. Lidahnya seakan beku untuk membalas setiap patah yang diucapkan oleh Rais. Dia mengaku, memang dia mengabaikan Rais sebaik saja dia mendirikan rumahtangga dengan Puan Leyla. Segala urusan berkaitan dengan Rais diserahkan bulat-bulat kepada Puan Leyla dan pembantu rumah. Tentang keputusan Rais untuk tinggal di rumah yang disediakan untuk pembantu rumah ini pun, dia tidak pernah membantah. Selagi Rais tidak keluar dari kediaman mereka, itu sudah cukup baginya.
“Is… Kamu anak abah, memang dulu abah abaikan kamu. Tapi abah jadi macam tu sebab…”
“Sebab ibu? Abah tak boleh tengok saya sebab abah akan teringatkan ibu? Abah kahwin dengan Auntie Leyla sebab abah nak buang segala-galanya tentang ibu? Kalau abah sakit hati tengok saya, kenapa abah sanggup bela saya? Kenapa tak serahkan saya pada ibu? Kenapa pisahkan kami?” soal Rais bertalu-talu. Inilah kesempatan yang ada untuk dia memperolehi jawapan yang selama ini dia inginkan.
Tuan Ruslan menundukkan wajah. Wajahnya berubah keruh dengan soalan yang diajukan oleh Rais. Pertanyaan Rais membuatkan dia kembali mengingati peristiwa yang cukup mengguris hatinya. Menghancurkan jiwanya. Peristiwa yang tidak mahu dia kenang untuk seumur hidupnya.
“Dia tak layak untuk jadi ibu kamu! Dia tak layak untuk didik anak abah!” tekan Tuan Ruslan sarat dengan kebencian.
Rais berjeda seketika. Kata-kata Tuan Ruslan membuatkan hatinya bertambah sakit. Kepalanya digeleng lembut. Wajahnya diraupkan.
“Habis tu siapa yang layak? Auntie Leyla? Kalau itulah yang abah nak cakap, saya rasa lebih baik saya tak ada ibu!” balas Rais berani. Terang dan tegas.
“Is!” jerit Tuan Ruslan dengan tangan yang hampir terangkat untuk menampar pipi Rais. Namun, tindakannya terhenti serta-merta sebaik saja melihat wajah Rais yang tenang. Tidak langsung menunjukkan lelaki itu gentar akan perbuatannya seolah-olah anak lelakinya itu tidak berperasaan. Beku.
“Sudahlah, abah. Abah baliklah ke mahligai abah. Abah dah ada anak lain. Jangan pedulikan saya. Saya cuma menumpang di sini semata-mata kerana kenangan yang ibu tinggalkan di kawasan rumah ni. Kalau saya lakukan sesuatu yang memalukan abah, anggap saja abah tak pernah kenal saya. Lagipun tak ada sesiapa pun yang tahu tentang status saya dengan abah. Anak abah cuma Razin Luqman, bukan Rais Lutfan.” Ujar Rais berjauh hati. Perlahan-lahan dia bangun dan menapak menghampiri daun pintu tanpa memandang Tuan Ruslan.
“Is… Kamu tetap anak abah. Abah nak kamu pindah semula ke rumah kita. Abah akan lakukan apa saja asalkan kamu maafkan abah dan terima abah…” Ucap Tuan Ruslan dengan nada yang lirih.
Sungguh, hatinya tersentuh dengan setiap bait yang dituturkan oleh Rais. Sekarang baru dia menyedari betapa terseksanya hidup anak sulungnya itu tanpa kasih sayang seorang ayah apatah lagi ibu. Hidupnya bersendirian tanpa teman. Tiada senyuman yang terukir di bibir merah itu, tanda jiwanya kosong dengan kasih sayang. Kini, Tuan Ruslan mula terasa kehilangan. Kehilangan seorang anak meskipun anak itu berada betul-betul di hadapan matanya. Mereka dekat tetapi dirasakan cukup jauh. Dia rindu, rindukan Rais yang dulu.
“Apa hak saya untuk tidak maafkan abah? Saya cuma anak. Apa saja yang abah lakukan saya kena terima. Saya dah lama maafkan abah…” Kata-kata Rais terhenti seketika. Dia mengemam bibir. Cuba menahan sebak. Kepalanya ditundukkan. Enggan menatap wajah Tuan Ruslan.
“Saya dah lama maafkan abah sehinggakan saya lupa saya ada seorang ayah. Kalau kemaafan yang abah nak, saya boleh berikan tapi untuk kembali seperti dulu, saya minta maaf. Saya tak mampu.” Sambung Rais lantas pintu rumahnya ditarik.
Tuan Ruslan menggenggam tangan. Cuba mencari secebis kekuatan. Melihat keadaan Rais, baru dia sedari bahawa anak lelakinya itu telah lama terluka dengan sikapnya. Sungguh, dia menyesal. Menyesal kerana mengabaikan Rais dek kerana rasa marah terhadap insan lain.
“Abah takkan putus asa, Is. Abah akan tebus segala kesalahan abah kepada kamu. Kamu anak abah, takkan ada sesiapa yang dapat mengubah kenyataan itu. Apa yang kamu nak? Cuba cakap pada abah. Abah akan tunaikan asalkan kamu kembali seperti dulu. Kembali jadi anak abah.” Ujar Tuan Ruslan perlahan seolah-olah merayu.
Rais memejamkan mata sejenak. Jauh dalam hati dia tetap tersentuh dengan kata-kata Tuan Ruslan, namun kenangan lalu kembali menjadikan hatinya sedingin ais.
“Serahkan Pena Qarya pada saya…” Ucap Rais tiba-tiba.
Tuan Ruslan tersentak. Dia mengangkat pandangan. Lama dia merenung wajah Rais dengan rasa tidak percaya.
“Apa yang Rais cakapkan ni?” soalnya pelik.
“Keluarkan Pena Qarya daripada Qarya Group dan jadikan Pena Qarya milik saya. Kalau abah betul-betul nak tebus kesalahan abah sebab abaikan saya dahulu,” jawab Rais pantas.
Tuan Ruslan teragak-agak. Bibirnya bergetar cuba mengucapkan sesuatu namun tiada yang terluah.
“Tapi Pena Qarya merupakan jantung Qarya Group. Tanpa Pena Qarya, Qarya Group takkan dapat bertahan,” bantah Tuan Ruslan.
“Qarya Group ada lebih tiga cabang perniagaan yang lain, tanpa Pena Qarya, Qarya Group tetap boleh berdiri megah. Saya tak minta harta abah. Saya cuma nak minta hak atas Pena Qarya sebab sejak awal lagi, Pena Qarya bukan milik abah!” ujar Rais membuatkan Tuan Ruslan terkedu.
“Is! Siapa yang ajar kamu jadi macam ni?” suara Tuan Ruslan mula meninggi.
“Sebab tiada siapa yang ajar, saya jadi macam ni. Kalau abah tak dapat berikan apa yang saya nak, saya tak kesah. Tapi satu saya minta, tolong jangan ganggu ketenangan hidup saya. Abah dah ada keluarga. Biarlah saya hidup di sini dengan cara saya sendiri. Abah baliklah, di sini bukan tempat abah.” Balas Rais lantas berpaling. Langkah kaki mula diorak meninggalkan Tuan Ruslan yang termangu sendirian.
Belum sempat Tuan Ruslan membalas, Rais terlebih dahulu menghilangkan diri di sebalik pintu kayu. Tuan Ruslan mengeluh hampa. Dia gagal memujuk anaknya sendiri.
“Sini juga bukan tempat kamu, Is…”


HANA memandang bangunan yang berdiri megah di hadapannya saat ini dengan penuh dengan rasa kagum yang menggunung. Tidak berkelip kelopak matanya apabila nama Qarya Group Sdn. Bhd menyapa pandangannya.
“Besarnya syarikat Tuan Ruslan ni...” Ucap Hana tanpa sedar. Dia memerhatikan setiap papan tanda yang tertera di hadapannya.
“Jadi semua syarikat milik Qarya Group terletak di bangunan yang sama kecuali bahagian percetakan. Besar sungguh. Aku yakin aku takkan terserempak dengan mamat tu bila dah start kerja nanti memandangkan pejabat urusan Qarya Group berada di tingkat paling atas. Kalau bukan disebabkan Tuan Ruslan nak jumpa, jangan harap aku nak jejak kaki kat bahagian tu,” Hana berbicara dengan dirinya sendiri. Dagunya diketuk dengan jari telunjuk sebelum kaki menapak masuk ke bangunan utama Qarya Group Sdn. Bhd.
Selepas memaklumkan tentang kedatangannya, salah seorang kakitangan syarikat milik Tuan Ruslan terus membawanya ke bilik Tuan Ruslan. Sungguh, dada Hana berdebar-debar saat ini. Beberapa pasang mata yang memandangnya tidak dipedulikan. Sebaliknya, anak mata Hana yang melilau-lilau bimbang terserempak dengan orang yang tidak sepatutnya.
“Jemput masuk Cik Hana. Tuan Ruslan ada di dalam,” ujar setiausaha Tuan Ruslan dengan senyuman. Pintu bilik dibuka dengan lebar untuk Hana.
Hana menganggukkan kepala dan mula menapak ke dalam bilik Tuan Ruslan yang besar dan luas. Sedaya upaya dia cuba melindungi rasa gementar yang tiba-tiba menjengah. Telapak tangannya juga berpeluh apabila melihat Tuan Ruslan sedang meneliti fail yang terletak di hadapannya. Hana melangkah setapak ke hadapan. Menghampiri meja kerja milik Tuan Ruslan.
“Assalamualaikum, tuan…” Salam dihulurkan dengan sopan.
Tuan Ruslan mendongak. “Waalaikummusalam.” Jawabnya sepatah. Segaris senyuman terukir di bibir tuanya.
“Duduklah…” Sambungnya lalu menunjukkan kerusi kepada Hana. Gadis itu menganggukkan kepala lalu melabuhkan punggung berhadapan dengannya.
“Terima kasih…” Ucap Hana perlahan. Dia hanya menunggu kata-kata selanjutnya daripada Tuan Ruslan kerana dia sendiri bingung kenapa Tuan Ruslan memintanya untuk datang ke pejabat sedangkan lelaki itu terang-terangan enggan memberi bantuan kepadanya.
“Bila kamu akan bekerja di Pena Qarya?” soal Tuan Ruslan berbasa-basi. Dia merenung wajah Hana yang manis bertudung putih.
“Err… Insya-Allah, minggu depan tuan.” Jawab Hana. Dia kembali mendiamkan diri.
Tuan Ruslan menganggukkan kepala.
“Papa kamu macam mana? Dah keluar dari hospital?” soal Tuan Ruslan kembali. Kali ini Hana tersentak. Dia menentang pandangan Tuan Ruslan dengan tanda tanya memenuhi benaknya. Dalam hatinya sedikit lega kerana bahasa yang digunakan oleh Tuan Ruslan jauh lebih lembut berbanding tempoh hari.
“Macam mana tuan tahu papa  masuk hospital?” soalan dibalas dengan soalan. Namun, Tuan Ruslan hanya menjongketkan bahu.
“Soal macam mana saya tahu, itu tak penting. Keadaan papa kamu jauh lebih penting sekarang ini. Kamu dah jumpa cara untuk selesaikan masalah papa kamu tu?”
Nada yang digunakan oleh Tuan Ruslan jauh lebih lembut berbanding sebelum ini. Lelaki sebaya ayahnya itu kelihatan jauh lebih tenang jika hendak dibandingkan sewaktu pertama kali Hana berjumpa dengannya.
Lambat-lambat Hana menggelengkan kepala. Cara untuk selesaikan masalah masih menemui jalan buntu, sebaliknya masalah lain pula yang tercetus. Hana melepaskan nafas. Agaknya aku ni memang betul-betul malang. Desis hati Hana. Pasrah.
“Belum lagi tuan. Tak ada sesiapa yang sanggup tolong kami. Mungkin dah takdir kami macam ni.” Jawab Hana setelah agak lama mendiamkan diri.
“Kamu tak boleh salahkan takdir sedangkan semuanya berpunca daripada sikap papa kamu sendiri. Dengan menyalahkan takdir, hutang tu takkan langsai dengan sendiri. Hutang tetap kena bayar terutama hutang dengan pekerja-pekerja yang tertunggak. Selagi papa kamu tak langsaikan semua hutang, selagi itulah pekerja-pekerja akan buru kamu sekeluarga untuk tuntut hak mereka. Kamu tak boleh lari,” ujar Tuan Ruslan sekadar mengingatkan Hana.
“Saya tahu tuan. Hutang wajib kena bayar. Cuma saya dan papa perlukan waktu untuk kumpul duit dan bayar semua hutang-hutang tu. Tapi sekarang… Boleh saya tahu kenapa tuan panggil saya datang ke sini? Saya tak rasa tuan nak ucap tahniah sebab saya akan jadi pekerja baru di syarikat tuan.” Ujar Hana apabila teringatkan tujuan sebenar dia diundang ke sini.
Tuan Ruslan berjeda. Dia hanya tersenyum sambil membelek-belek helaian kertas yang berada di hadapannya. Sengaja dia membiarkan Hana dihurung dengan tanda tanya.
“Kamu nak saya tolong kamu dan papa kamu?” soal Tuan Ruslan. Keningnya dijongketkan.
Mata Hana membulat. Mulutnya sedikit ternganga apabila mendengar pertanyaan yang terbit daripada mulut Tuan Ruslan. Dia menarik pipinya sendiri.
“Awwww!” Hana terjerit kecil.
Tuan Ruslan hanya ketawa melihat gelagat Hana yang gelabah. Sedikit sebanyak hati tuanya terhibur dengan sikap Hana yang seakan kebudak-budakan.
“Kamu tak bermimpi. Saya boleh tolong kamu…”
“Betul ke ni tuan? Tuan tak salah cakap? Atau saya salah dengar ni? Tuan akan tolong papa? Tuan takkan tarik balik kata-kata tuan kan?” soal Hana bertubi-tubi. Dia benar-benar teruja. Matanya mula berkaca apabila membayangkan beban yang dipikul oleh Tuan Yahya akan berkurangan tidak lama lagi.
“Saya akan tolong papa kamu tapi dengan syarat…” Ujar Tuan Ruslan mematikan rasa teruja Hana. Dia kembali membetulkan duduk.
“Syarat? Oh ya, tuan nak cagaran kan? Saya ada bawa geran tanah yang saya tawarkan pada tuan tempoh hari…” Ujar Hana lalu menarik keluar fail daripada beg sandangnya lalu disuakan ke arah Tuan Ruslan.
Tuan Ruslan tersenyum kecil. Fail tersebut dicapai lalu dipegang manakala anak matanya masih melekat pada laman wajah Hana. Gadis ini benar-benar polos. Bisik hatinya.
“Kamu tahu kan, jumlah pinjaman yang papa kamu nak jauh lebih tinggi daripada nilai tanah ni. Dengan mencagarkan tanah ni saja, saya rasa tak cukup.” Balas Tuan Ruslan.
“Tak cukup? Nilai hartanah sekarang makin tinggi tuan. Mustahil tak cukup. Tapi kalau tuan nak cagaran lain, saya dah tak ada apa-apa yang boleh dicagarkan…” Hana menghentikan kata. Tiba-tiba dia teringatkan tentang kata-katanya kepada Tuan Ruslan tempoh hari. Dia tertelan air liur. Jangan-jangan Tuan Ruslan…
“Kamu pernah cakap yang kamu sanggup jadikan diri kamu sebagai cagaran, takkan kamu dah lupa?” soal Tuan Ruslan kedengaran sinis di telinga Hana.
Hana mula rasa tidak selesa. Rasa gembira mati dengan sendirinya.
“Tuan nak saya cagarkan diri saya sendiri?” soal Hana pula.
Tuan Ruslan terus menganggukkan kepala tanpa berfikir panjang.
“Tapi apa yang saya kena buat sebagai cagaran? Apa keuntungan yang saya boleh berikan kepada tuan? Saya cuma boleh bekerja untuk tuan memandangkan saya akan jadi salah seorang kakitangan syarikat ni nanti,”
“Tak. Kamu boleh buat lebih daripada tu sebagai cagaran untuk pinjaman ayah kamu nanti,” balas Tuan Ruslan dengan senyuman penuh makna.
“Apa tu, tuan? Apa yang perlu saya buat?” soal Hana ingin tahu. Hatinya mula bergendang sesama sendiri. Dia cuak dengan kenyataan Tuan Ruslan.
Tuan Ruslan membalas pandangan Hana yang sarat dengan tanda tanya. Bibirnya mengukir senyuman. Hanya dia seorang yang mengetahui maksud senyumannya itu.
“Kahwin…”
Dahi Hana berkerut seribu. Dadanya mula berdetak tidak menentu. Aku tak salah dengar ke ni? Soal hatinya.
“Kahwin? Dengan tuan?”