Tetamu Rindu

Saturday, 1 August 2015

JADIKAN AKU YANG KEDUA ( BAB 8 )



BAB 8
WAJAH Thaqif yang sedang lena tidur di atas lantai yang beralaskan permaidani di pandang lama. Wajah itu kelihatan tenang ketika memejamkan mata namun tiada siapa yang tahu apa yang berada di dalam hati lelaki itu yang dingin. Nuha meneliti setiap pelusok wajah Thaqif yang kacak. Tiada satu pun yang cacat pada wajah lelaki ini tetapi Nuha sedar, hati Thaqif yang cacat. Cacat kerana membiarkan diri terus hanyut dibuai dengan kenangan silam yang akan melemaskan diri sendiri.
“Saya tahu awak tak cintakan saya malah awak tak pernah sedar kewujudan saya depan mata awak tapi tak mengapa saya redha asalkan awak terus berada di sisi saya,” desis Nuha sambil menongkak dagu memandang wajah Thaqif.
Jam sudah berdetik ke angka enam namun Nuha masih leka merenung wajah Thaqif. Mungkin dengan cara ini saja dia mampu untuk meluahkan perasaannya.
“Mungkin saya yang terlalu awal jatuh cinta pada awak tapi adakah mencintai awak itu satu kesalahan? Kalau benar salah, saya rela untuk terus rasa bersalah. Awak tahu tak betapa sakitnya hati saya bila awak cakap awak anggap saya macam adik saja sedangkan saya dah bersedia untuk terima awak sebagai suami saya. Kenapa awak buat saya macam ni, Cikgu Thaqif?” luah Nuha dengan rasa sebak yang mula menghurung jiwanya.
“Awak mungkin boleh halang diri awak daripada jatuh cinta pada saya tapi awak tak boleh halang saya untuk terus menyayangi awak. Saya takkan paksa awak untuk terima saya tapi saya akan terus berusaha untuk mendapat tempat di hati awak kerana saya adalah isteri awak,” sambung Nuha lagi.
Dia mula bingkas bangun dengan tekad dan azam. Dia akan berusaha untuk merebut hati suaminya itu walaupun Nuha tahu  dia akan terluka. Nuha menarik nafas panjang dan menghela dengan perlahan. Dia tersenyum manis. Mulai saat ini dia akan cuba bangkit untuk terus mengukir corak hidupnya sendiri dan apa yang pasti, dia tidak akan mengalah untuk merebut hati Thaqif.
Lalu, dengan perlahan- lahan, Nuha turun dari katil dan duduk melutut di sisi Thaqif yang masih terlena. Nyenyak betul dia tidur. Mungkin penat sangat kut. Bisik hati Nuha.
“Cikgu, cikgu…bangunlah. Dah subuh,” kejut Nuha sambil menyentuh lengan Thaqif yang sedang mengiring. Namun, lelaki itu masih belum sedarkan diri. Hanya terdengar desah nafas lelaki itu saja membuatkan Nuha terasa tenang.
Lalu, Nuha mendekatkan lagi badannya ke arah Thaqif. Dia merapatkan sedikit wajahnya ke wajah Thaqif.
“Cikgu, bangun dah lambat ni. Nanti subuh habis,” bisik Nuha di telinga Thaqif.
Thaqif yang terasa ada sesuatu berbisik di telinganya cepat- cepat membuka mata. Dia terkejut melihat wajah Nuha yang berada beberapa inci saja dengan wajahnya.  Dengan pantas dia bingkas bangun dan mengesot sedikit badannya ke belakang.
Nuha tergelak kecil melihat wajah Thaqif yang sedikit terkejut. Dia duduk bersimpuh sambil menatap wajah suaminya yang masih lagi terpinga- pinga.
“Saya bukan nak apa- apakan cikgu, saya cuma nak kejutkan cikgu. Subuh dah masuk ni. Saya pergi mandi dulu ye. Nanti kita jemaah sama- sama, boleh?” tanya dengan senyuman yang mekar di bibir.
Thaqif masih lagi mendiamkan diri. Dia seakan kelu untuk membalas kata- kata Nuha. Akhirnya dia menganggukkan kepala. Kelihatan Nuha sudah bingkas bangun dan berlalu ke dalam bilik air. Thaqif melepaskan nafasnya. Kenapa tiba- tiba aku jadi kelu nak bercakap dengan dia ya?
Tidak lama kemudian, Nuha keluar dari bilik air. Cepat- cepat Thaqif melangkah masuk ke dalam bilik air. Wajah Nuha langsung tidak dipandang. Entah, tiba- tiba saja dia terasa gementar bila berhadapan dengan gadis yang sudah sah menjadi isterinya semalam.
Nuha hanya tersenyum melihat tingkah Thaqif yang kelihatan sedikit canggung. Dia tidak dapat meneka apa yang bermain di fikiran lelaki itu cuma apa yang dia pasti, dia cukup gembira kerana berada di sisi lelaki itu walaupun lelaki itu tidak pernah sedar kewujudannya.
“Ehem- ehem,” bunyi dehaman membuatkan Nuha tersentak. Dia mengangkat kepala. Serentak pandangannya bersatu dengan anak mata Thaqif yang turut memandang ke arahnya. Nuha tersenyum manis.
“Kata nak solat sama, sempat lagi ye termenung,” tegur Thaqif kemudian mengalihkan pandangannya ke tempat lain. Tak sanggup rasanya untuk terus- terusan menatap wajah Nuha yang bersih, jantungnya sudah berlari kencang.
“Maaf, abang…Oppss, sorry saya tak perasan cikgu dah siap mandi,” balas Nuha sambil menggigit bibir kerana tersedar yang dia sudah tersasul memanggil lelaki itu ‘abang’.
Thaqif tidak membalas sebaliknya dia mengambil sejadah lalu di bentangkan mengadap kiblat. Sejadah untuk Nuha turut dihamparkan di belakangnya.
Nuha  menarik nafas lega apabila Thaqif seolah- olah tidak mempedulikan panggilannya tadi. Sekurang- kurangnya lelaki itu tidak memarahinya seperti semalam. Akhirnya, Nuha mengambil tempat di belakang Thaqif untuk bersolat.
Setelah selesai bersolat, Nuha menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Thaqif. Walaupun kelihatan teragak- agak, Thaqif tetap menyambut huluran tangan Nuha. Tersentuh hatinya saat Nuha mengucup lembut tangannya. Spontan, satu ciuman lekat di dahi isterinya.
Nuha terpana. Serentak perasaan terharu menyelinap ke segenap hatinya menyebabkan air matanya bergenang. Dia mendongak untuk memandang wajah Thaqif yang kelihatan sudah merona merah. Nuha tersenyum manis.
“Terima kasih sebab cikgu sudi cium dahi saya. Itu sudah cukup untuk saya,” ucap Nuha perlahan.
Thaqif menelan air liur. Apa yang dah aku buat tadi? Soalnya dalam hati.
Apabila melihat Thaqif yang hanya mendiamkan diri, Nuha bingkas bangun. Namun, belum sempat dia melangkah, tiba- tiba pergelangan tangannya ditarik membuatkan Nuha berpaling pada Thaqif yang masih lagi berteleku di atas sejadah. Kemudian, Nuha kembali duduk bertentangan dengan Thaqif. Wajah suaminya di pandang.
“Saya mintak maaf kalau saya berkeras dengan awak semalam. Saya tahu saya tak patut berkasar dengan awak, Nuha tapi saya harap awak faham saya. Saya tak mampu untuk mencintai perempuan lain selain arwah isteri saya. Mungkin bagi awak saya ni gila sebab cintakan orang yang sudah tiada di atas dunia ini tapi saya tak boleh nak lupakan dia walau sesaat. Saya harap awak faham,” luah Thaqif.
Nuha tersenyum manis. Dia mencapai tangan Thaqif lalu digenggam erat. Kelihatan Thaqif sedikit terkejut. Namun, dia merelakan tapak tangannya berada di dalam genggaman tangan Nuha yang lembut.
“Saya tahu sukar untuk cikgu lupakan cinta pertama cikgu. Apatah lagi wanita itu wanita yang telah lahirkan zuriat untuk cikgu. Saya takkan paksa cikgu untuk lupakan Kak Wahi lagipun siapalah saya, kan. Saya yang rela terima lamaran cikgu jadi saya bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku. Mencintai cikgu yang sudah menjadi suami saya itu adalah tanggungjawab saya tapi jika mencintai saya itu satu beban pada cikgu, tak payahlah cikgu paksa perasaan itu. Saya faham,” balas Nuha lembut.
Thaqif terkedu mendengar kata- kata Nuha. Memang gadis itu seorang yang matang walaupun usianya baru menjangkau 18 tahun. Nuha memang seorang gadis yang baik tetapi sayangnya dia tidak mampu untuk mengubah perasaannya untuk menjadi yang lebih serius. Dia tetap tidak boleh mengelak untuk melayani Nuha sama seperti adiknya. Berdosakah dia?
“Terima kasih, Nuha. Tapi pasal nafkah tu…saya harap awak tak marah, saya masih belum bersedia. Pasal nafkah zahir saya boleh berikan tapi….errr….awak fahamlah ye…” ujar Thaqif tergagap- gagap. Dia menundukkan pandangan. Malu dirasakan untuk meluahkan apa yang berada di dalam fikirannya.
Nuha tergelak kecil melihat wajah Thaqif yang sudah merona merah. Patutnya aku yang malu ini terbalik pulak. Apa- apa saja Cikgu Thaqif ni. Bisik hati Nuha.
“Saya faham, cikgu. Cikgu jangan risau saya takkan paksa. Cuma saya rasa bangga dengan cikgu…”
“Bangga sebab apa pulak ni?” potong Thaqif dengan dahi berkerut.  Kurang mengerti apa yang dimaksudkan oleh Nuha.
“Banggalah sebab cikgulah satu- satunya kucing yang tolak ikan yang ada depan mata,” balas Nuha sambil tergelak. Dia menekup mulut.
Thaqif yang mengerti apa yang dimaksudkan oleh Nuha turut tergelak. Lama dia menatap wajah Nuha yang masih lagi ketawa. Comel, bisik hatinya.
“Pandai Nuha kenakan saya ya. Tak apa kali ni saya kalah tengoklah lain kali saya akan pastikan Nuha kalah dengan saya,” jawab Thaqif selepas tawanya reda.
“Saya dah lama kalah dengan cikgu,” ucap Nuha perlahan sambil anak matanya menikam bola mata Thaqif yang coklat perang.
Thaqif cepat- cepat mengalihkan pandangan. Gementar. Itulah dirasakan saat ini.
“Errr…satu lagi saya nak tanya kenapa Nuha suka panggil saya cikgu? Saya rasa macam dalam kelas pulak sekarang ni,” Thaqif mengalih topik.
Nuha terdiam seketika. Telekung yang dipakai ditanggalkan dan dilipat dengan kemas sebelum kembali menatap wajah Thaqif yang masih menunggu jawapan daripadanya.
“Saya pernah dengar motivasi daripada ustaz, dia cakap isteri- isteri Nabi kita panggil Nabi Muhammad dengan panggilan Rasulullah sempena nama jawatan Rasulullah sebagai Rasul Allah, jadi tak salah rasanya kalau saya panggil nama cikgu dengan gelaran ‘cikgu’ sebab itu kan jawatan cikgu. Kenapa cikgu tak suka ke?” soal Nuha kembali.
“Bukan tak suka tapi saya rasa macam pelik je. Nuha panggil saya macam biasa dahlah. Tak payahlah panggil cikgu. Saya takut ibu marah Nuha nanti,” balas Thaqif lembut.
Nuha tersenyum dan mengangguk. Dia suka bila Thaqif berbicara seperti ini. Tiada lagi bahasa yang kasar seperti semalam. Terasa ingin dipeluknya tubuh lelaki itu namun dia menahan rasa hati. Pasti Thaqif tidak suka.
“Kalau cikgu dah cakap macam tu, saya ikut je,”
“Tengok tu, cikgu lagi. Nuha nak saya jadi cikgu Nuha balik ke?” pintas Thaqif sambil menarik muka masam.
Nuha tersengih. Dia menepuk mulutnya kerana tersasul.
“Maaf, tersasul. Tak sengaja,” balas Nuha.
Thaqif tersenyum manis. Suka dia melihat wajah Nuha yang kelihatan segar. Namun kelihatan mata itu sedikit bengkak. Kenapa agaknya? Tapi dia malas hendak bertanya akhirnya pandangannya jatuh pada tangannya yang masih berada dalam genggaman tangan Nuha.
“Nuha, saya nak tanya sikit boleh tak?” soal Thaqif.
“Boleh, banyak pun saya sanggup jawab,”
“Sampai bila ya Nuha nak pegang tangan saya. Dah kebas tangan saya ni,” ucap Thaqif dengan senyuman nakal sudah terbit di bibirnya.
Hah? Nuha tercengang lalu pandangannya jatuh pada tangannya yang sedang mengenggam erat jari- jemari Thaqif. Alamak, malunya. Jerit hati Nuha lalu dengan sepantas kilat dia melepaskan tangan Thaqif. Serta- merta dia berdiri dan menyidai telekung dan sejadahnya di penyidai. Bunyi tawa Thaqif menambahkan lagi malunya.
“Kalau nak pegang tangan saya lama- lama, Nuha tunggulah sampai saya bersedia untuk sambut tangan Nuha tu,” bisik Thaqif rapat di belakangnya.
Nuha tersentak dan berpaling. Terkebil- kebil dia membalas pandangan Thaqif yang tersenyum penuh makna. Apa maksud lelaki ini? soal hatinya. Dia ingin bertanya namun suaranya tidak terkeluar. Akhirnya dia hanya mampu melihat Thaqif hilang di sebalik pintu.

“BILA nak balik rumah ibu?” soal Puan Aminah sewaktu mereka sedang bersarapan.
Nuha yang duduk di sebelah Thaqif mengangkat muka memandang Puan Aminah yang sedang mengunyah nasi lemak.
“Kami ingat nak balik hari ni, mak. Nak tolong ibu prepare barang- barang untuk kenduri doa selamat selepas zohor nanti. Mak ikutlah kami balik sekali,” Thaqif bersuara.
Puan Aminah memandang suaminya yang diam membisu.
“Boleh jugak tu. Lagipun kami semua ni belum bertandang lagi rumah kamu tu. Nanti senanglah kami nak melawat Nuha,” sampuk Encik Idris sambil menghirup teh o buatan Puan Aminah.
Thaqif tersenyum. Dia mengerling Nuha yang sedang leka mengunyah nasi lemak. Nampak penuh tertib.
“Qif, tak puas lagi ya tengok muka Nuha semalam?” soalan Kak Nurin membuatkan Thaqif tersentak. Dia mendongak memandang Kak Nurin yang sudah tersenyum nakal.
Thaqif tersengih pada Nuha yang memandangnya. Kacau daun betullah Kak Nurin ni. Saja nak buat aku malu depan Nuha. Alahai.
“Tak adalah kak…bukan macam tu…” Thaqif mula tergagap- gagap. Dia menggosok hidungnya yang terasa gatal.
“Habis tu macam mana?” Tambah Kak Nurin lagi. Dia tergelak melihat wajah Thaqif yang sudah merona merah. Tak sangka adik iparnya ini seorang yang pemalu. Pantang diusik, muka itu pasti akan merah. Elok sangatlah dengan si Nuha.
“Tak lama lagi, mak dapat cucu barulah nampaknya,” usikan Kak Nurin terus bersambung membuatkan Nuha dan Thaqif tak senang duduk.
“Mak terima je. Tapi takkanlah nak mengandung, kamu cakap nak belajar, Nuha. Kalau mengandung macam mana nak pergi kelas nak tumpu pada pelajaran lagi,” balas Puan Aminah sambil matanya menikam tepat pada wajah anaknya itu.
Nuha mula rasa tidak selesa dengan kata- kata maknya. Dia menggarukan kepala yang tidak gatal.
“Errr…Nuha belum sedia nak ada anak buat masa terdekat ni mak. Mak jangan risau ye, kalau ada rezeki Nuha terima kalau tak ada Nuha tak nak tergopoh- gopoh,” balas Nuha selembut mungkin. Dia mengerling pada Thaqif yang kelihatan tenang.
“Anak Thaqif kan ada. Kamu jaga elok- elok. Nanti kalau mengandung macam mana nak kerja. Ingat apa yang ayah cakap sebelum kamu kahwin,” Encik Idris bersuara.
Thaqif mengerutkan kening. Dia berpaling pada Nuha yang kelihatan serba- salah. Wajah isterinya itu tegang.
“Ayah, Qif rasa Nuha tak perlu kerja. Qif dah jadi suami dia jadi Qif akan tanggung dia. Kalau dia nak sambung belajar pun Qif benarkan. Qif boleh tanggung,” Thaqif menyampuk.
Nuha tersenyum hambar. Dalam hati dia terharu dengan kata- kata Thaqif namun Thaqif masih belum kenal ayah tirinya macam mana. Kalau A yang dicakap maknanya A jawapannya. Tiada siapa yang boleh bantah.
“Sekarang Nuha dah kahwin jadi buat apa sambung belajar lagi. Kalau sambung belajar kalau akhirnya duduk dekat ceruk dapur jugak buat apa? Nuha, ayah nak kau kerja,” tegas Encik Idris membantah kata- kata Thaqif.
Thaqif terdiam. Dia malas mahu melawan takut hati Encik Idris akan terluka. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk mendiamkan diri walaupun dia tidak bersetuju dengan kata- kata Encik Idris kerana sekarang ini Nuha adalah tanggungjawabnya jadi dia yang berhak dalam mengatur apa yang terbaik untuk isterinya itu.
Pantas, tangannya menjalar di bawah meja mencari tangan Nuha. Dia menggenggam tangan Nuha yang kedinginan. Mungkin dengan cara itu dia boleh memberikan sedikit kekuatan pada gadis itu.
Nuha tersentak apabila terasa tangan kirinya dipegang. Dia memandang wajah Thaqif namun lelaki itu kelihatan tenang. Akhirnya, Nuha tersenyum sendirian.
“Insya- Allah ayah, kalau Abang Qif izinkan, Nuha kerjalah…” balas Nuha lembut.
Thaqif hanya tersenyum nipis. Barulah dia tahu Nuha memiliki sekeping hati yang lembut. Gadis itu amat menjaga hati dan perasaan orang lain sehinggakan hati sendiri yang terluka tidak dipedulikan.
“Jadi ke Qif dan Nuha pergi bulan madu dekat India?” soal Kak Naemah menghentikan lamunan Thaqif.
“Qif tak pasti lagi, kak. Kena tanya dengan ibu. Kalau ikutkan Qif nak jalan- jalan dalam Malaysia je,” balas Thaqif.
“Alah, apa salahnya pergi negara orang pulak. Mesti bestkan dapat tengok Taj Mahal yang cantik tu,” Kak Naemah mula berangan- angan. Matanya terpancar sinar kekaguman.
Thaqif tergelak kecil.
“Memanglah cantik kak, Taj Mahal kan diperbuat daripada marmar putih yang berkilau. Sesiapa yang tengok pasti terpegun, kak.” Balas Thaqif.
“Awak pernah pergi India ke?” bisik Nuha.
Thaqif berpaling dan tersenyum. Dia menganggukkan kepala. Walaupun baru sekali dia menjejakkan kaki di bumi India tetapi kenangan di istana yang diberi nama Taj Mahal itu takkan dilupakan.
“Akak teringin nak pergi sana tapi yelah…bukannya murah nak pergi ke sana kan?” balas Kak Naemah sedikit kecewa.
“Kak ajaklah Abang Pian pergi honeymoon kali kedua,” ujar Thaqif sambil tergelak kecil.
“Huh, mati hidup balik pun Abang Pian kamu tu takkan pergi. Nak pergi Teluk Chempedak pun banyak cekadak inikan pula nak pergi India,” bebel Kak Naemah sambil menarik mulut muncung.
Thaqif dan Nuha tergelak. Nasib baik Abang Pian tak ada, kalau tidak pasti Kak Naemah tidak berani bersuara. Abang Pian tu boleh tahan garangnya juga. Maklumlah askar.
“Awak betul ke kita nak pergi India?” soal Nuha lagi sambil berbisik.
“Saya tak tahulah, Nuha. Kena tanya ibu. Nuha tak suka ke kalau pergi India?” soal Thaqif pula sambil berbisik.
“Suka. Untung- untung boleh jumpa Shah Rukh Khan dan Salman Khan,” balas Nuha tersengih.
Thaqif hanya ketawa mendengar angan- angan isterinya itu.

THAQIF dan Nuha sampai di rumah Puan Maryam tepat pada pukul 10 pagi. Kelihatan beberapa orang jiran sudah berkumpul di rumah Puan Maryam untuk menolong apa yang patut. Sebaik saja turun dari kereta, Thaqif menarik tangan Nuha untuk masuk ke dalam rumahnya.
“Assalamualaikum, ibu,” sapa Thaqif sewaktu melihat kelibat ibunya yang sedang membersihkan ruang tamu bersama adiknya Taufiq Asrar.
“Wa’alaikummusalam, eh awalnya kamu berdua sampai.” Balas Puan Maryam dengan senyuman. Dia merapati Nuha dan Thaqif. Tangan dihulurkan untuk bersalaman dengan anak menantunya yang kelihatan berseri- seri.
“Kami ingat nak tolong ibu apa yang patut untuk kenduri nanti. Rasa macam tak best je kalau kami duduk goyang kaki dekat rumah sedangkan ibu tengah sibuk dekat sini,” balas Thaqif selepas mengucup tangan ibunya sebelum diikuti oleh Nuha.
“Alah, kamu berdua kan pengantin baru, rehatlah dulu,” balas Puan Maryam.
“Eh, tak apalah ibu. Dani dan Dania mana, ibu? Rindulah dekat kembar tu,” Nuha menyampuk. Dia memandang sekeliling mencari kelibat kedua- dua anak tirinya itu.
“Ada kat atas, Nuha. Tengah tidur. Semalam asyik menangis je, mungkin rindukan kamu berdua agaknya,” balas Puan Maryam.
“Kalau macam tu, Nuha naik atas dululah nak jenguk kembar. Nanti, Nuha turun balik tolong apa yang patut,” ujar Nuha dengan senyuman.
“Elok jugak tu Kak Nuha. Akak boleh tolong Fiq kemas ruang tamu ni. Tak syoklah kemas sorang- sorang,” Taufiq menyampuk.
Thaqif berpaling pada adiknya yang sudah tersenyum pada Nuha.
“Eh boleh je. Nanti Nuha turun ya, Fiq. Sekejap, Nuha nak pergi peluk cium dengan kembar dulu,” ucap Nuha dengan senyuman manis dilemparkan buat Taufiq.
Taufiq mengangguk dan berlalu meninggalkan Thaqif dan ibunya. Thaqif menarik nafas dalam melihat kemesraan Nuha dan Taufiq. Tak sampai sehari mereka berkenalan, dah boleh mesra macam tu. Cebik Thaqif sendirian.
“Kenapa dengan kamu ni, Qif? Pergilah tukar baju dulu. Kata nak tolong ibu tadi,” suara Puan Maryam menyentakkan lamunan Thaqif. Dia tersengih dan menganggukkan kepala.
Manakala di dalam bilik si kembar, Nuha tersenyum melihat Dani dan Dania yang sedang nyenyak tidur. Wajah yang tenang itu membuatkan hati Nuha terasa lapang lalu dia menghadiahkan sebuah ciuman di dahi Dania dan Dani.
“Anak mama, apa khabar? Sihat? Semalam menangis ye?” bisik Nuha perlahan. Dia mengelus pipi Dani yang tembam.
Inilah Putra Danial Darwish dan Putri Dania Danisya. Walaupun mereka berdua bukanlah darah dagingnya tetapi kasihnya telah tertumpah pada si kecil yang masih belum mengerti apa- apa yang berlaku. Dia sanggup mengorbankan masa mudanya semata- mata untuk menjaga Dani dan Dania, dia lakukan ini bukan semata- mata kerana cinta pada Thaqif tapi atas nilai kemanusiaan. Dia tidak mahu si kecil ini terasa kehilangan kasih sayang seorang ibu apabila mereka membesar nanti. Tetapi mampukah dia bertahan untuk terus hidup bersama dengan Thaqif sedangkan lelaki itu masih hidup dalam kenangan lama?
“Assalamualaikum…” sapa satu suara mengejutkan Nuha. Dia mengangkat muka.
Kelihatan Thaqif melangkah masuk ke dalam bilik. Nuha kembali tegak. Dia duduk di birai katil sambil menepuk- nepuk tubuh Dania yang kelihatan terganggu dengan suara Thaqif.
“Waalaikummusalam, awak nak main dengan kembar ke? Tapi dia tengah tidur. Saya keluar dululah ye,” ucap Nuha lalu berura- ura untuk bangun.
Sepantas kilat Thaqif menarik pergelangan tangan Nuha membuatkan Nuha kembali terduduk. Dia mengerutkan wajah tapi pegangan tangan Thaqif tidak dirungkaikan.
“Mulai hari ini anak saya dah jadi anak Nuha, jadi saya harap Nuha dapat berikan dia kasih sayang selayaknya. Saya tak mahu mereka rasa kekurangan kasih sayang seorang ibu. Nuha pun tahu itulah salah satu sebabnya kenapa saya setuju untuk menikah dengan Nuha. Saya sayangkan mereka lebih dari nyawa saya sendiri, saya harap Nuha tak mengecewakan saya,” ujar Thaqif sambil matanya menatap wajah kedua putera dan puterinya yang sedang nyenyak tidur.
Perlahan- lahan Nuha menarik tangannya daripada pegangan tangan Thaqif. Dia menundukkan wajah.
‘Kalaulah awak tahu saya sayangkan awak bukan atas sebab Dani dan Dania semata- mata, agak- agaknya awak sudi tak terima saya jadi cinta yang kedua dalam hidup awak?’ soalan itu hanya bermain di hati Nuha tanpa diluahkan.
“Saya tak mampu untuk berjanji kerana saya takut saya akan mungkiri janji tu tapi selagi saya mampu, saya akan berikan Dani dan Dania kasih sayang yang selayaknya seorang ibu berikan. Itu pun kalau awak sudi untuk terus berada di sisi untuk menyokong saya,” balas Nuha perlahan.
Thaqif berpaling. Dia duduk berhadapan dengan Nuha. Wajah Nuha yang masih tertunduk dipandang lama. Dia tersenyum kecil. Lalu, dengan perlahan- lahan dia mengangkat dagu gadis itu. Mata mereka bertentangan.
“Kalau Nuha ada untuk saya, maknanya saya akan ada untuk Nuha,” ucap Thaqif dengan senyuman. Dia mengerdipkan matanya beberapa kali.
Nuha tersenyum manis.
“Tapi sebagai seorang abang yang sentiasa ada untuk adiknya. Tak lebih daripada itu…” sambung Thaqif.
Mati terus senyuman manis Nuha. Hanya yang terukir di bibirnya hanyalah senyuman hambar. Dia menghela nafas panjang. Perlahan- lahan dia menolak tangan Thaqif yang masih lagi memegang dagunya. Kenapa susah sangat untuk lelaki itu faham apa yang bermain di hati dan fikirannya? Perlukah dia mengungkapnya sendiri barulah lelaki itu jelas akan perasaannya yang sebenarnya?


JADIKAN AKU YANG KEDUA ( BAB 7 )



BAB 7
MAJLIS pernikahan di antara Thaqif dan Nuha berjalan dengan lancar. Dengan sekali lafaz Nuha telah selamat menjadi isteri kepada lelaki yang dipuja dalam diam. Saat lelaki itu melafazkan ijab dan kabul, Nuha telah menanamkan kesetiaannya hanyalah untuk lelaki itu dan dia akan sentiasa menunggu pintu hati Cikgu Thaqif akan terbuka untuknya walaupun ia akan mengambil masa seumur hidupnya. Dia rela asalkan Cikgu Thaqif sentiasa berada di sisinya.
“Aku tak sangka rupa- rupanya kaulah lelaki yang beruntung tu sebab dapat jadi suami Nuha. Patutlah aku nak usha dia kau selalu banyak alasan, rupa- rupanya kau pun syok dekat dia,” Cikgu Izuan bersuara.
Memang dia terkejut saat Thaqif menghulurkan kad kahwin kepada mereka di bilik guru tempoh hari apatah lagi saat terbaca nama pengantin perempuan di kad kahwin lagilah Cikgu Izuan terperanjat. Nuha, gadis yang diintai dalam diam rupanya sudah menjadi milik Thaqif. Cuma satu saja yang dia musykil, khabarnya Thaqif sangat setia pada arwah isterinya tetapi kenapa lelaki itu menikahi Nuha? Soalan itu berlegar- legar di kepala Cikgu Izuan.
“Dah jodoh, Iz. Kau terima jelah, ye…” sampuk Cikgu Rashid sambil ketawa melihat wajah Cikgu Izuan yang cemberut.
Thaqif hanya ketawa kecil. Dari jauh dia dapat melihat Nuha yang sedang bersembang dengan beberapa orang kawan sekolahnya. Adiknya, Taufiq turut berada di sisi Nuha.
“Tapi Nuha itu kan sebaya dengan adik kau, Qif. Dia boleh terima ke Nuha jadi kakak ipar dia?” soal Cikgu Rashid sambil meneguk air sirap yang diambil sebentar tadi.
“Entahlah, aku tengok okey je. Mungkin dia orang boleh ngam kut lepas ni maklumlah sebaya,” balas Thaqif bersahaja.
“Kau jangan biarkan dia orang bergaul bebas, Qif. Kau kena jaga batas pergaulan isteri kau tu, dia tu muda lagi darah pun masih panas, jangan dia terpikat dekat adik kau sudahlah,” Cikgu Izuan membalas.
Dengan pantas Cikgu Rashid menyiku lengan Cikgu Izuan. Dia mencerlang memandang wajah Cikgu Izuan yang agak celopar. Ada ke cakap macam tu pada kawan sendiri?
Namun, Thaqif hanya tersenyum tawar. Dia tak peduli Nuha suka pada siapa pun kerana di dalam hatinya tiada langsung perasaan cemburu kerana dia sudah menanam batas antara dia dan Nuha. Biarlah kalau Nuha terpikat dengan Taufiq sekali pun, dia tidak kisah. Kalau dah jodoh, siapa boleh halang? Bisik hati Thaqif seolah- olah menyerah.
“Aku yakin dia orang boleh berkawan baik. Adik aku tu peramah orangnya, aku tak kisah pun kalau dia orang baik sebab aku yakin Nuha pandai jaga hati dia dan hati aku,” balas Thaqif membela Nuha.
Cikgu Izuan hanya tersenyum kelat.
“Untunglah kau dapat pucuk muda. Tiap- tiap malam, honeymoon,” tambah Cikgu Izuan lagi disambut gelak oleh Cikgu Rashid.
Thaqif hanya tersenyum hambar. Dia tidak pernah terfikir ke arah itu kerana baginya rasa itu telah mati bersama dengan Waheeda. Sejak isterinya meninggal tiada seorang perempuan pun yang menarik hatinya termasuklah Nuha. Rasanya telah mati, itu yang pasti.
“Aku balik dululah, Qif. Jumpa dekat sekolah dua minggu lagi. Pergilah honeymoon jauh- jauh sikit, mana tahu boleh bagi adik untuk si kembar tu,” gurau Cikgu Rashid sambil memeluk tubuh Thaqif.
Thaqif hanya ketawa dan membalas pelukan Cikgu Rashid.
“Lupakan kisah lama, mulakan hidup baru. Hargai isteri kau sekarang, jangan dera perasaan dia dengan kenangan kau dulu,” nasihat Cikgu Rashid lembut kedengaran di telinga Thaqif.
Thaqif terpana seketika sebelum meleraikan pelukan. Dia hanya mampu tersenyum sebagai balasan. Semua orang ingin dia melupakan cerita lama tetapi mampukah dia untuk melupakan Waheeda yang telah sebati dalam dirinya?
“Insya- Allah, aku berserah pada Allah dalam menentukan hidup aku,” balas Thaqif pasrah.
Tidak lama kemudian, Cikgu Rashid dan Cikgu Izuan pulang ke rumah masing- masing. Thaqif berpusing untuk kembali ke dalam rumah. Namun, langkahnya terhenti apabila Nuha berdiri betul- betul di belakangnya. Gadis itu tersenyum manis sehingga menjemput debaran di hati Thaqif.
“Abang, ibu panggil,” ucap Nuha lembut. Dia tersenyum pada suaminya yang kelihatan kacak dengan baju Melayu yang masih tersarung di badan.
“Okey, nanti saya masuk. Nuha, boleh tak saya nak minta sesuatu dengan awak sikit?” Thaqif memandang wajah Nuha yang kelihatan berseri- seri.
“Apa dia, bang? Abang nak air ke? Abang nak makan?” soal Nuha bertalu- talu. Seboleh mungkin dia ingin melayani Thaqif dengan sebaik- baiknya. Dia tahu lelaki itu pernah kecewa, jadi sebagai isterinya sekarang sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mengubati kekecewaan lelaki itu.
“Tolong jangan panggil saya abang. Saya rasa hati saya sakit sangat bila awak panggil saya macam tu. Panggilan itu hanya boleh dipanggil oleh Wahi, arwah isteri saya. Saya harap awak faham, saya masih tidak boleh gantikan awak dengan dia,” ucap Thaqif selamba.
Namun kata- kata itu telah menikam hati Nuha. Cukup tajam dan memedihkan. Mati terus senyuman manisnya cuma yang tinggal hanyalah senyuman yang dibuat- buat sedangkan matanya sudah berkaca menahan rasa sebak yang menyerang dada. Sampai hati cikgu buat saya macam ni! rintih hati Nuha.
“Oh, tak apalah. Saya nak panggil apa?” soal Nuha sedaya upaya menceriakan suaranya.
“Panggillah apa pun asalkan bukan abang,” balas Thaqif tanpa perasaan. Dia memandang sekeliling mencari kelibat bekas mentuanya yang tidak kelihatan padahal semasa dia akad nikah, bekas mentuanya ada di sisi.
“Hmmm…kalau macam tu saya panggil cikgu dengan panggilan biasa jelah. Lagipun saya dah terbiasa panggil cikgu dengan ‘cikgu’,” ucap Nuha pura- pura ceria.
“Ikut awaklah. Saya tak kisah, tapi depan ibu pandai- pandailah awak cover saya tak nak ibu banyak soal pulak nanti. Saya pergi dulu,” ujar Thaqif kemudian beredar meninggalkan Nuha yang termangu sendirian.
Dari belakang, Nuha hanya memerhati lenggok tubuh Thaqif yang berjalan ke halaman rumah. Sikap lelaki itu yang dingin begitu menyentuh hati Nuha. Siapa lagi yang awak tunggu? Saya kan ada untuk awak. Pandanglah sekali saya di sini, saya sentiasa menunggu awak. Desis hati Nuha bersama titisan air mata yang mula gugur. Namun, Thaqif tidak berpaling walaupun sekilas pada Nuha yang sudah menitiskan air mata.

MALAM yang hening, Thaqif berbaring di atas katil sambil matanya dibiarkan tertancap di siling rumah. Kemudian matanya meliar memandang bilik pengantin yang dihias cantik. Walaupun bilik itu sederhana tapi matanya cukup selesa melihat keadaan bilik itu yang kemas dan berbau wangi.
Dia mengeluh. Malam ini adalah malam pertama antara dia dan Nuha sebagai suami isteri namun hatinya langsung tidak berasa gembira malah dia rasa terbeban dengan gelaran suami itu. Kalau dulu lainlah, dia berkahwin atas dasar suka sama suka, sekarang semuanya berbeza. Dia menerima Nuha sebagai isteri adalah atas dasar tanggungjawab terhadap anak- anaknya tidak lebih daripada itu. Mampukah dia melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami kepada Nuha yang sudah dianggap seperti adik sendiri? Thaqif pening dalam mencari jawapan. Ditambah dengan kata- kata bekas mentuanya masih lagi bermain di fikiran membuatkan otak Thaqif semakin kusut.
“Ayah tak sangka kau kahwin jugak, Qif. Ayah ingatkan kau setia cintakan anak ayah,” sebaris perkataan itu cukup membuatkan Thaqif tersentak. Dia memandang Haji Lokman yang kelihatan sugul.
“Siapa kata Qif tak setia, ayah? Sampai sekarang Qif masih cintakan arwah. Tiada seorang pun yang dapat gantikan tempat arwah dalam hati Qif ni cuma Qif berkahwin dengan Nuha disebabkan tanggungjawab Qif pada Dani dan Dania. Qif mahukan si kembar tu membesar dengan sempurna seperti anak orang lain, ada mama dan papa dan kalau ayah nak tahu Dani dan Dania yang suka pada Nuha bukannya Qif,” ucap Thaqif memujuk.
Haji Lokman mengeluh berat. Wajah isteri Thaqif yang baru dipandang dari jauh. Nampak lembut dan ayu tetapi sayang masih muda untuk memikul tanggungjawab seorang ibu.
“Kenapa Qif tak tunggu Wawa balik dulu? Qif boleh nikah dengan Wawa lagipun Wawa tu kembar Wahi, mesti rindu Qif pada Wahi terubat bila tengok wajah Wawa,” sampuk Hajah Latifah menyebelahi suaminya.
Thaqif terdiam. Hampir dia terlupa tentang kembar Waheeda yang kini sedang menuntut di University of Yarmouk, Jordan. Semasa mereka bernikah dulu, Wawa tidak dapat pulang jadi sehingga sekarang, Thaqif masih tidak berpeluang untuk bertemu dengan kembar Waheeda. Hanya cerita yang selalu dia dengar tentang adik kembar arwah isterinya itu.
“Ini semua dah tertulis ibu, ayah. Qif pun tak pasti kalau Wawa balik sekalipun belum tentu dia nak nikah dengan Qif. Pasti dia dah ada pilihan hatinya sendiri,” balas Thaqif lemah.
“Ibu yakin Wawa tak ada pilihan hati. Tentu dia kesian tengok anak saudaranya yang membesar tanpa ibu. Wawa pun macam Wahi, Qif. Lemah lembut dan baik orangnya,” tambah Hajah Latifah cuba menyakinkan.
Thaqif mengeluh panjang. Namun, lamunannya terhenti apabila kedengaran pintu ditolak daripada luar. Thaqif berpaling ke muka pintu dan kelihatan Nuha melangkah masuk ke dalam bilik. Pintu bilik di tutup dengan rapat.
Thaqif bingkas bangun dan duduk di birai katil. Dia merenung isterinya yang masih lengkap berbaju kurung dan tudung. Wajah itu selalu ditundukkan apabila berhadapan dengannya, itu yang selalu Thaqif perhatikan.
“Nuha, duduk sini sekejap,” pinta Thaqif sambil menggamit Nuha untuk duduk di sisinya. Dia menepuk- nepuk tilam di sebelahnya.
Nuha akur. Dia melabuhkan punggung di sebelah Thaqif. Dia memberanikan diri untuk menatap wajah suaminya itu walaupun wajahnya sudah berbahang panas. Malu.
“Terima kasih sebab sudi jadi ibu kepada anak- anak saya. Selepas ni mesti Dani dan Dania tak sunyi lagi sebab awak dah ada dekat sisi mereka. Lepas bulan madu nanti, kita balik rumah saya. Tak payahlah kita duduk rumah ibu lagi, lagipun Taufiq dah balik ke sini jadi dia boleh jaga ibu, awak okey ke dengan semua tu?” soal Thaqif inginkan pendapat Nuha. Manalah tahu takut- takut gadis itu tidak bersetuju pulak.
“Saya ikut saja, cikgu. Lagipun cikgu suami saya jadi apa pun keputusan cikgu saya terima,” balas Nuha lembut.
Thaqif mengeluh berat. Perkataan suami yang disebut oleh Nuha seperti batu yang menghempap kepalanya. Dia rimas. Dia rasa terjerat. Bayang wajah Waheeda yang kecewa semakin kuat menari- nari di kepalanya.
“Boleh tak kalau awak anggap saya ni abang awak dan bukannya suami. Saya rasa macam tak dapat nak terimalah,” ujar Thaqif tiba- tiba. Wajahnya berubah tegang.
Nuha tersentak. Lama dia memandang wajah Thaqif yang merah. Takkan pasal itu pun nak marah? Bisik hati Nuha. Sedikit sebanyak hatinya tersentuh dengan penerimaan Thaqif yang dingin.
“Tapi kenyataannya, cikgu suami saya. Mana boleh saya anggap cikgu sebagai abang saya je,” balas Nuha berani.
Thaqif meraup wajahnya. Dia semakin tertekan.
“Awak tahu tak yang saya tak dapat nak jalankan tanggungjawab saya sebagai suami awak. Saya tertekan sekarang ni. Saya tak mampu untuk terima wanita lain dalam hidup saya, awak tolonglah faham dan jangan desak saya dengan menggunakan perkataan suami tu. Itu satu beban pada saya!” suara Thaqif sedikit meninggi.
Nuha tersentak. Sebak dadanya apabila Thaqif meninggikan suara. Selama ini lelaki itu cukup halus dalam menyusun kata walaupun kadangkala kedengaran dingin namun kata- katanya tidak menikam hati tetapi hari ini sudah dua kali lelaki itu menyakiti hatinya. Tiba- tiba air mata Nuha bergenang. Dengan pantas dia memalingkan wajah ke tempat lain.
“Saya mintak maaf, cikgu. Saya tak bermaksud nak buat cikgu tertekan. Saya cuma nak ingatkan saja. Saya lupa pula yang saya ni jauh lebih muda daripada cikgu. Sama baya pula tu dengan Fiq. Tentu cikgu anggap saya pun sama macam Taufiq. Okey jugaklah tu kalau cikgu nak saya anggap cikgu macam abang, lagipun saya pun tak ada abang. Cikgu tak payahlah risau sangat, saya takkan bagi cikgu tekanan,” balas Nuha. Suaranya kedengaran ceria. Dia tersengih di hadapan Thaqif.
Thaqif menghela nafas mendengar kata- kata Nuha. Sekurang- kurangnya, Nuha tak akan menuntut haknya sebagai isteri sedangkan saat ini Thaqif belum bersedia untuk melanjutkan hubungan mereka ke peringkat yang lebih serius. Baginya, perkahwinan itu memerlukan penyatuan dua hati kerana kerelaan bukannya rasa terpaksa seperti yang Thaqif rasakan saat ini.
“Baguslah kalau awak faham. Satu lagi saya nak ingatkan awak, jangan pernah jatuh cinta pada saya dan jangan pernah cuba untuk buat saya jatuh cinta pada awak. Saya tak nak awak merana sebab cinta saya sudah lama mati untuk arwah isteri saya. Jadi mulai sekarang saya nak awak layan saya macam seorang abang, boleh?” pinta Thaqif. Walaupun kedengaran kasar tetapi itulah hakikat yang Nuha perlu tahu. Cinta di hatinya hanya untuk Waheeda walaupun wanita itu sudah tiada di sisinya namun untuk mengalihkan cinta itu pada wanita lain, amat sukar buat Thaqif.
Nuha terpempan dengan permintaan Thaqif. Jangan pernah jatuh cinta pada dia? jangan pernah cuba untuk buat dia jatuh cinta? Apa semua ini? Aku tak dapat nak halang hati aku yang sememangnya cintakan dia. Kenapa cikgu tak faham perasaan saya?! Jerit hati Nuha tetapi kata- kata itu hanya melantun di dalam hatinya saja.
“Itu senang je, cikgu. Cikgu tak payah risau semua itu, janji masalah cikgu dah settle, selepas ni saya bolehlah tumpukan perhatian untuk didik Dani dengan Dania, pasal hubungan kita cikgu tak perlu fikir sangat. Semuanya akan berjalan seperti yang cikgu inginkan. Saya takkan kacau hati cikgu,” balas Nuha dengan senyuman yang manis.
“Baguslah kalau macam tu,” ucap Thaqif dengan suara mendatar. Dia percaya akan kata- kata Nuha. Wajah gadis itu pun kelihatan ceria tanpa ada masalah. Mesti gadis itu pun senang dengan keputusannya.
 “Okey, kalau macam tu, saya nak pergi mandi dululah. Solat isyak pun belum lagi. Hari ni saya nak tidur dekat mana?” soal Nuha kemudiannya.
“Awak tidur je atas katil. Biar saya tidur dekat bawah. Selama setahun saya tidur sendiri, jadi saya dah selesa dengan keadaan itu,” jawab Thaqif bersahaja. Dia merenung wajah Nuha yang kelihatan selamba. Wajah itu tidak menunjukkan sebarang riak pun. Marah pun tidak, asyik senyum memanjang. Betul ke dia tak kisah?
“Okey, saya pergi mandi dululah. Cikgu tidurlah,” ucap Nuha.
Dia bergegas masuk ke bilik air selepas mencapai tuala dan pakaian. Sebaik saja masuk ke bilik air, Nuha menghamburkan segala tangisannya yang tidak tertahan- tahan. Air paip di singki dibuka sekuat- kuatnya bagi menghalang Thaqif mendengar esakannya. Setiap kata yang Thaqif ucapkan seolah- olah pita rakaman bermain di fikirannya membuatkan hati Nuha bertambah sakit.
Dia menyandarkan belakang badannya di belakang pintu yang sudah tertutup rapat. Air mata yang merembes laju dibiarkan mengalir tanpa henti. Beginikah sakit mencintai lelaki yang tidak pernah sedar kewujudannya? Beginikah rasa sakitnya kecewa dalam bercinta? Dia sudah kalah tanpa sempat bertanding. Cinta Thaqif bukan miliknya tapi cinta Thaqif milik wanita yang sudah tiada di dunia ini dan yang paling menyakitkan, dia bersaing dengan wanita tiada di depan mata! Hukuman apakah ini? Inikah balasannya kerana mencintai insan yang bernama lelaki?
Pelbagai persoalan menjengah ke ruang fikiran Nuha, tetapi satu pun tidak berjawapan. Akhirnya, Nuha melurut jatuh di belakang pintu sambil tangannya memegang dada yang terasa sakit.Air mata mengalir tanpa henti tidak dihiraukan, dia terduduk dilantai bilik mandi sambil menangisi nasibnya yang tidak tahu hujung pangkalnya.
“Saya tetap akan mencintai awak, maafkan saya kerana tak dapat buang perasaan ni!” bisik Nuha perlahan bersama dengan tangisan yang tidak henti- henti.