Serahkan segala cinta hanya untuk DIA nescaya kau akan dapat cinta yang selayaknya.- SitiKhadijah -
Tetamu Rindu
Thursday, 22 November 2018
RINDU DALAM RAHSIA ( RDS remake) - BAB 24
Marha mengerling jam yang melilit pergelangan tangan. Lagi lima belas minit pukul satu. Dia mengeluh. Waktu rehat akan menjelma sedangkan saat ini dia masih terkurung di dalam bilik Amzar.
Apa aku nak buat ni? Mustahil mamat ni hafal susunan semua fail-fail. Nak kemas meja pun tak sempat, apatah lagi nak teliti susunan fail. Tak lain tak bukan, nak buli akulah ni. Bebel hati Marha.
"Buatlah kerja. Kau termenung tu apahal?" sergah Amzar.
Marha tersentak. Pantas dia mendongak. Pandangan mereka bertembung. Marha menjeling manakala Amzar tayang wajah selamba.
"Masalahnya semua yang saya susun, tak betul pada mata tuan. Saya nak susun macam mana lagi? Kalau susun ikut tarikh, inilah gayanya." ujar Marha seakan tidak berpuas hati.
Amzar mencebikkan bibir. Bahunya diangkat. Pen yang berada di tangan diletakkan kembali di atas meja. Tumpuan diberikan sepenuhnya kepada Marha.
"Entah. Mata aku tak berkenan sangat tengok cara kau susun tu. Jadi, kau susunlah sampai aku berkenan." jawab Amzar bersahaja.
Marha merengus. Dia penat. Dahinya mula berpeluh walaupun bilik itu lengkap dengan pendingin hawa. Perutnya pula asyik berkeriut menahan lapar. Setitik air pun tidak singgah di kerongkongnya sejak dari pagi hinggalah sekarang. Semuanya gara-gara Amzar.
"Tuan bukan tak berkenan dengan kerja saya tapi tuan tak berkenan dengan saya!" tempelak Marha. Geram.
Amzar menjengilkan matanya. Dia bangun dan mula menghampiri Marha yang duduk di atas lantai.
"Kau nak proteslah ni?" soal Amzar dengan garang.
Marha tidak menjawab. Pandangannya dilarikan daripada menatap wajah Amzar. Tangannya mula bekerja tanpa mempedulikan Amzar yang duduk bertinggung di hadapannya.
Amzar bengang apabila Marha seolah-olah tidak mengendahkannya. Lantas, dagu Marha ditarik supaya menghadapnya. Marha tersentak. Pandangan mereka terus bersabung. Amzar terkelu bersama hati yang bergetar. Dia salah tingkah kali ini.
"Saya lapar..." ucap Marha perlahan. Secara tiba-tiba.
Amzar terkebil-kebil. Suara yang lembut itu sudah cukup untuk membuatkan tembok besi yang memagari hatinya cair melebur. Ditambah dengan mimik muka gadis itu yang kelihatan polos, menjadikan Amzar tidak sanggup untuk meninggikan suara. Akhirnya, dia hanya membatukan diri.
"Sekarang dah lunch time. Pagi tadi saya tak sempat sarapan. Boleh tak kalau tuan benarkan saya keluar makan sekejap? Saya bawa bekal jadi saya makan kat pantri je. Saya janji lepas makan, lepas solat saya sambung susun semula. Bolehlah ya?" pujuk Marha lagi.
Berlembut merupakan cara terakhir untuk dia berhadapan dengan Amzar kerana dia dapat melihat cahaya kebencian yang dahulu memenuhi ruang mata lelaki itu kini sirna.
"Pukul dua masuk bilik aku semula..." ucap Amzar akhirnya.
Percaya atau tidak, Amzar mengalah dengan senangnya. Ternyata, dia tewas dengan kelembutan yang gadis itu tunjukkan. Ditambah lagi dengan senyuman yang melebar di bibir merah itu, cukup menawan hati Amzar. Membuatkan dia tidak sanggup untuk berkata tidak.
Marha tersenyum manis sehingga kelihatan jelas lekuk di pipi kanannya.
"Terima kasih. Saya keluar dulu." ujar Marha riang. Sedikit pun dia tidak mempedulikan keadaan Amzar saat ini. Lalu, Marha bangun. Cepat-cepat ia berlalu meninggalkan bilik Amzar. Bimbang lelaki itu menukar fikiran.
Manakala Amzar terduduk di atas lantai sebaik saja kelibat Marha hilang di sebalik pintu. Dia menyentuh dadanya.
Dup dap! Dub dap!
Debaran itu semakin kencang. Sekencang darah yang mengalir ke tubuhnya.
"Kau dah parah, Am. Kau dah parah!" ucapnya sendirian. Dia mengeluh.
Saat kau bentak, kau maki, kau marah, dia langsung tidak beriak. Malah, makin tenang. Tetapi kau... Dengan sekali senyuman, hati kau melebur. Apa sudah jadi dengan kau, Am? Detik hatinya bersama keluhan yang terlepas dari bibir.
Sementara itu, pada waktu yang sama, Marha duduk bersendirian di pantri sambil menikmati bekalan yang dibawa dari rumah. Suasana pejabat yang sunyi sepi membuatkan Marha menikmati bekalannya dengan lebih berselera sementelah perutnya memang benar-benar lapar.
Sesekali otaknya berfikir tentang susunan fail yang perlu dia selesaikan sebentar lagi. Bagaimana agaknya susunan yang diinginkan oleh lelaki itu? Soal hatinya. Saat itu dia teringatkan Kak Izzah, mungkin wanita itu tahu sesuatu.
"Lebih baik aku tanya Kak Izzah. Harap-haraplah Kak Izzah boleh bantu." ucapnya sendirian.
Lantas, dia mencapai telefon bimbitnya dengan tangan kiri. Manakala tangan kanannya lincah menyuap nasi lemak ke mulut. Nombor telefon Kak Izzah didail. Selang beberapa saat, talian berjaya disambungkan.
"Assalamualaikum, kak. Sorry ganggu akak. Mesti akak tengah makan kan?" soal Marha berbasa-basi. Dia memperlahankan suaranya agar tidak terlalu kuat.
"Dah habis makan dah. Kenapa Mar? Tuan Am tak benarkan Mar keluar ke?" soal Kak Izzah cuba mengorek cerita. Salam Marha dijawab di dalam hati.
"Saya ada je dekat ofis ni. Tak sempat nak makan kat luar. Saya makan kat pantri je. Saya cuma nak tanya akak, akak tahu tak macam mana susunan sebenar fail-fail dalam bilik Tuan Am tu? Rasanya fail-fail tu bukan saya yang susun." balas Marha terus ke topik asal.
Kak Izzah membisu seketika. Hanya suara bergumam saja yang kedengaran.
"Kalau tak silap akak, secretary Tuan Am lama yang susun. Seingat akak dia pernah pesan kat akak sebelum Mar masuk pasal fail dalam bilik tu cuma akak lupa. Tapi akak rasa dia ada sebut pasal warna dan tarikh." jawab Kak Izzah.
Marha terdiam. Dia memikirkan sesuatu.
"Warna dan tarikh?" soal Marha lebih kepada dirinya sendiri.
"Haah, akak cuma ingat warna dan tarikh je. Mungkin susun mengikut tarikh tapi dalam kelompok warna yang sama." balas Kak Izzah cuba membantu Marha.
Kata-kata Kak Izzah sudah cukup membuahkan senyuman di bibir Marha. Dia faham apa yang Kak Izzah cuba tunjukkan kepadanya.
"Saya dah dapat, kak. Terima kasih. Nanti saya belanja akak sebab dah tolong saya." ujar Marha dengan ceria.
"Apa-apa jelah, Mar. Akak kena letak ni. Jumpa kat pejabat. Assalamualaikum." ucap Kak Izzah lalu mematikan talian setelah Marha menjawab salam.
"Yesss! Aku dah tahu formula." ucap Marha sambil menarik sikunya ke bawah.
"Amboi, yang suka sangat ni kenapa? Aku suruh kau makan bukan duduk bersenang-lenang." bunyi suara yang menegur mematikan senyuman manis Marha. Tidak perlu diperkenalkan lagi kerana dia cukup kenal dengan pemilik suara garau itu.
Dia mendongak. Kelihatan Amzar berdiri di hadapan meja yang sedang didudukinya sambil berpeluk tubuh.
"Saya tengah makanlah ni. Tuan tak keluar makan ke?" soal Marha sambil membetulkan duduk menghadap bekalannya.
Amzar menapak menghampiri Marha. Dengan selamba dia menarik kerusi dan duduk berhadapan dengan gadis itu.
"Aku ada meeting dengan papa kejap lagi. Alang-alang makan terus nanti." jawab Amzar. Dia membiarkan saja anak matanya berlabuh pada laman wajah Marha yang duduk berhadapan dengannya.
"Lambat sangat tu untuk tuan makan. Nanti kena gastrik pula. Makanlah sikit. Nanti saya ambilkan biskut, ya?" ujar Marha prihatin.
Dia bingkas bangun dan menuju ke kabinet untuk menyediakan makanan ringan untuk Amzar. Sebiji gelas dicapai lalu peti ais dibuka dan dia mengeluarkan sekotak susu coklat lalu dituangkan ke dalam gelas. Beberapa keping biskut kering diambil dari kabinet lalu diletakkan di atas piring. Dia berpaling dengan tangan berisi segelas susu coklat dan sepiring biskut kering.
"Ni..." belum sempat dia menghabiskan kata, Marha terlebih dahulu tergamam. Apa tidaknya, Amzar dengan selamba makan bekalan yang dibawanya tanpa rasa bersalah.
"Tuan!" bentak Marha dengan suara yang masih terkawal.
Amzar mendongak. Riaknya cukup bersahaja.
"Apa dia?" soalnya tanpa rasa bersalah.
"Tu makanan saya." jawab Marha lalu meletakkan piring dan gelas di atas meja.
"Aku tahu sebab tulah aku makan." jawabnya tenang. Satu demi satu nasi lemak disuapkan ke mulutnya. Sedap. Puji Amzar dalam hati.
Marha melongo. Dia hanya mampu memandang makanannya yang hanya tinggal separuh. Rasa ingin diluku kepala Amzar saat ini.
"Kenapa tuan makan?"
"Sebab benda ni makanan." jawab Amzar masih lagi selamba.
Marha mengetap bibir. Dia menghadiahkan jelingan.
"Saya tahulah. Tapi tu bekas saya makan..."
"Kenapa kalau bekas kau makan pun? Haram?" soal Amzar tepat memandang ke mata Marha.
Marha tertelan air liur. Cepat saja dia menundukkan pandangan. Dadanya berdebar dengan renungan itu.
"Taklah haram. Cuma tuan boleh oder makanan yang sedap-sedap dari kitchen kalau tuan nak. Saya segan." terang Marha.
Amzar tersenyum. Namun, apabila Marha mendongak, sepantas kilat dia mematikan senyuman.
"Nah, ambillah semula. Aku nak rasa sikit pun, kedekut." balas Amzar lalu menolak bekal tersebut ke hadapan Marha.
Marha terkedu. Bukan itu yang dia maksudkan. Dia cuma segan berkongsi sudu dan makanan yang sama dengan Amzar. Makanan yang dibawanya cuma makanan biasa. Pasti tidak kena dengan selera lelaki itu.
"Tuan, bukan itu maksud saya..." Marha mula serba salah.
Amzar mencebik. Dia mencapai gelas yang berisi air kosong lalu diteguk perlahan.
"Tuuu...an tu air saaya..." ucap Marha perlahan. Dia ingin menegah namun Amzar terlebih dahulu meneguk air tersebut sehingga habis.
"Pedasnya sambal ni. Berapa kilo kau letak cili?" soal Amzar sambil mengibas mulutnya yang terasa pijar.
Kata-kata Marha tidak sampai di pendengarannya. Perhatiannya lebih kepada rasa pedas yang tidak mahu hilang.
"Tulah, tuan tak tanya dulu. Sambal nasi lemak yang saya masak memang pedas sebab saya suka pedas." ujar Marha sambil tersengih. Dia kembali menyambung suapan.
Amzar mengecilkan mata. Geram dengan kata-kata Marha. Bibirnya terasa tebal saat ini. Perutnya mula memulas.
Suapan Marha terhenti dengan sendirinya apabila dia teringatkan sesuatu. Lantas dia mendongak memandang Amzar yang tiba-tiba mendiamkan diri. Jelas, wajah lelaki itu basah dengan peluh.
"Masya-Allah, saya terlupa yang tuan gastrik. Tuan tak boleh makan pedas. Mesti perut tuan sakit kan?" soal Marha cemas. Dia bangun lalu menghampiri Amzar.
Amzar hanya menganggukkan kepala tanpa berkata apa-apa.
"Apa saya nak buat ni? Maaf tuan. Saya terlupa." ujar Marha. Dia betul-betul terlupa tentang penyakit Amzar. Lalu, dia mencapai gelas yang berisi susu coklat lalu dihulurkan kepada Amzar.
Amzar menggelengkan kepala.
"Nanti aku muntah." balas Amzar pendek.
Marha mula gelisah. Dia tidak keruan. Dia tidak mahu sakit Amzar mengganggu kerja lelaki itu. Dia pernah menjadi saksi bagaimana seksanya Amzar saat gastrik menyerang.
"Kalau macam tu, jom saya bawa tuan ke klinik." ajak Marha. Dia ingin melangkah tetapi langkahnya terhenti sendiri.
"Lupa. Kereta saya rosak." ucapnya sendirian. Riaknya berubah kecewa.
Amzar hanya menahan tawa melihat Marha yang tidak senang duduk. Terpamer riak kerisauan di wajah gadis itu. Hatinya terasa senang. Amarah yang tersarang buat gadis itu sedari pagi tadi hilang begitu saja.
"Boleh tak kalau kau tenang sekejap. Yang sakitnya aku bukan kau." Ujar Amzar cuba menenangkan Marha.
"Tapi banyak meeting yang tuan kena attend hari ni. Kejap lagi tuan nak kena jumpa papa pula. Kalau tuan sakit, banyak kerja tuan yang tergendala." Balas Marha.
"Aku tahu. Tapi sakit aku bukan teruk sangat. Lepas makan ubat, okeylah ni." jawab Amzar.
"Ubat? Tuan ada bawa ubat? Mana? Biar saya ambilkan." ujar Marha. Dia sudah bersedia untuk mengatur langkah namun lengannya pantas dipaut oleh Amzar membuatkan langkahnya terhenti. Dia memandang tangan Amzar yang berada di lengannya dengan wajah Amzar silih berganti.
"Kan aku cakap tak payah risau. Jangan gelabah sangat, boleh tak? Hmmm..." suara Amzar bertukar perlahan. Dia memandang tepat ke anak mata Marha yang turut memandangnya.
"Yalah. Saya takkan gelabah. Cuma, boleh tak kalau tuan alihkan tangan tuan ni. Pantri ni ada CCTV, tuan tak takut ke kalau pekerja tuan nampak apa yang tuan buat ni?" ujar Marha sambil menunjukkan ke arah tangan Amzar yang masih melekap di lengannya.
"Oh ya? Tak apa, nanti aku minta staf alihkan CCTV ke bahagian lain." balas Amzar sambil tersengih.
Marha menjengilkan mata. Sedangkan Amzar ketawa kecil. Marha tertegun seketika melihat Amzar yang sedang tertawa. Rasanya, ini kali kedua dia melihat Amzar ketawa seikhlas itu. Hati Marha tercuit. Ketampanan lelaki itu makin bertambah apabila bibir itu melebarkan senyuman atau pun ketawa. Tanpa sedar, Marha terpesona.
"Oh, kat sini rupanya Am. Puas papa tunggu kat bilik Am." tegur Dato Zuhdi mengejutkan Marha dan Amzar.
Keduanya berpaling. Pegangan di lengan Marha terlerai begitu saja. Pantas, Amzar bangun dari duduknya. Dia tersengih.
"Eh, papa dah sampai. Kenapa tak call? Boleh Am tunggu papa kat bawah." ujar Amzar sambil menggaru hujung keningnya yang tidak gatal.
Dato Zuhdi melepaskan nafas pendek.
"Call? Nanti Am check phone Am berapa kali papa call. Satu panggilan pun Am tak jawab. Am tertinggal phone dalam bilik kan?" soal Dato Zuhdi sambi mengecilkan matanya memandang Amzar.
"Eh, ya ke?" soalnya. Lalu meraba kedua-dua poket seluarnya dan hasilnya memang tiada telefon di kedua-dua poket seluarnya.
Amzar tersengih malu.
"Itulah seronok sangat berdating sampai lupa ada meeting dengan papa." usik Dato Zuhdi sambil mengerling ke arah Marha.
Marha terpempan. Dia berpura-pura menyibukkan diri dengan mengemas meja.
"Papa ni ke situ pulak. Jomlah kita gerak." ajak Amzar lalu menarik tangan Dato Zuhdi.
"Alah, tak payah nak malulah. Bukan salah pun kamu berdua dating." tambah Dato Zuhdi semakin seronok mengusik apatah lagi penerimaan Amzar sekarang jauh lebih baik daripada dahulu. Jelas, anak lelakinya itu semakin dapat menerima kenyataan yang sebenarnya walaupun masih berat untuk mengakui hubungan mereka berdua.
"Papa ni, kalau staf lain dengar apa kata mereka?" ucap Amzar sambil mencuri pandang pada Marha yang sudah berubah rona wajah. Merah. Malu mungkin. Fikir Amzar.
"Tak ada orang sekarang ni. Tak perlulah kamu takut sangat. Papa tahu hati kamu tu hati batu. Dahlah, jom gerak." Akhirnya Dato Zuhdi mengalah.
Amzar menarik nafas lega. Dia membiarkan Dato Zuhdi melangkah terlebih dahulu sedangkan dia masih berdiri berhadapan dengan Marha.
"Aku tak balik ofis hari ni. Kau settle kerja kau apa yang patut." Pesan Amzar sambil tepat memandang anak mata Marha yang bening.
Dato Zuhdi hanya memerhatikan telatah Amzar. Tatapan anak mata itu tidak lagi menunjukkan benci malah tatapan itu penuh dengan sinar. Adakah ini petanda baik? Bisik hati Dato Zuhdi.
"Tak sudah lagi ke, Am? Tadi suruh papa cepat, sekarang siapa yang lambat? Tak lari ke mana setiausaha kamu tu. Dia tahulah kerja dia. Kenapa kamu suruh dia buat benda yang dia dah tahu?" bebel Dato Zuhdi.
Amzar menundukkan kepalanya seketika. Merah wajahnya menahan malu.
"Yalah, papa. Am datang ni." ujar Amzar akhirnya.
MARHA mengerling jam yang berada di pergelangan tangan. Jarum jam suda menunjukkan ke angka lima petang namun bayang teksi atau bas masih belum kelihatan. Dia mengetap bibir. Salahnya juga apabila menolak pelawaan Rafiq, terpaksalah dia menunggu sehingga bas atau teksi sampai.
Marha mengeluarkan telefon bimbitnya daripada beg. Dia mengeluh lagi apabila telefonnya kehabisan bateri. Kenapalah aku lupa caj semalam? Power bank pun aku tak bawa. Keluh Marha lagi. Menyesali kecuaian diri sendiri.
Tidak lama kemudian, sebuah kereta jenis Mercedes Benz CLS Coupe berwarna hitam berhenti tepat di hadapan Marha. Marha kaget. Cepat-cepat dia berdiri.
Selang beberapa minit, kelihatan seorang lelaki keluar dari perut kereta dengan senyuman mekar di bibirnya. Marha mengeluh berat. Dia lagi?
"You tunggu bas ke, Ainur? Mana kereta you?" soal Datuk Hisyam sambil menapak ke arah Marha dengan tangan disembunyikan ke belakang.
"Rosak." Jawab Marha sepatah. Dia hanya melemparkan senyuman hambar.
"Rezeki I jumpa you kat sini. Tak pun jodoh." balas Datuk Hisyam sambil ketawa kecil. Ketawa yang cukup menjengkelkan Marha. Tolonglah balik datuk sebelum saya termuntah. Bisik hati Marha penuh doa.
"Tapi saya rasa dua-dua bukan." jawab Marha selamba. Dia memeluk tubuh sambil kepalanya tidak henti menjenguk jika ada teksi atau bas yang muncul. Namun, hampa.
Senyuman Datuk Hisyam mati dengan sendirinya. Dia memandang Marha dari atas hingga ke bawah. Entah mengapa sikap Marha yang jual mahal menarik hatinya dalam diam apatah lagi wajah Marha yang ayu ditambah dengan senyuman yang manis, mampu untuk membuatkan jiwanya bergetar. Gadis itu tampak seksi di mata Datuk Hisyam walau tidak mendedahkan auratnya.
"You tahu tak, I tak sangka dapat jumpa you kat sini. I tawakal je datang ni hah. Nah, untuk you..." ujar Datuk Hisyam lalu menghulurkan satu jambangan besar bunga ros berwarna merah kepada Marha.
Marha terkejut. Wajahnya mula berkerut. Pelik dengan pemberian Datuk Hisyam yang tiba-tiba.
"Untuk apa ni?" soal Marha tanpa menyambut huluran Datuk Hisyam.
"Untuk youlah. You pernah cakap yang you takkan terima hadiah dari orang yang you tak kenal jadi hari ni I sendiri yang datang bagi kat you. Ambillah." terang Datuk Hisyam dengan senyuman manis kembali terhias di bibirnya.
Namun, tidak bagi Marha. Dia tidak selesa apatah lagi saat ini dia hanya berdua dengan Datuk Hisyam.
"Jadi selama ni yang hantar bunga tanpa nama tu datuk? Tapi maaf datuk saya tetap tak boleh terima hadiah datuk. Saya tak suka bunga." tolak Marha dengan baik.
Wajah Datuk Hisyam berubah. Dia kecewa.
"Tak suka bunga atau you tak suka I, Ainur? Kalau you tak suka bunga, you suka apa? You cakap je. I boleh belikan. You nak rumah, you nak kereta, I boleh belikan untuk you." ucap Datuk Hisyam tanpa berfikir panjang.
Marha membeliakkan mata. Biar betul orang tua ni? Sanggup nak beli rumah untuk aku? Nak jadi sugar daddy aku ke apa ni? Tak ingat anak bini ke? Bebel hati Marha.
"Saya tak nak apa-apa pun daripada datuk. Saya cuma nak datuk balik je. Saya nak tunggu bas ni." jawab Marha selamba. Wajah Datuk Hisyam yang seakan merayu langsung tidak menimbulkan simpati dalam hatinya.
"Tapi I betul-betul ikhlas dengan you Ainur. Kalau you nak, I boleh ceraikan isteri-isteri I asalkan you terima I." ucap Datuk Hisyam lagi. Kali ini dia menghampiri Marha.
Marha kaget. Dia melangkah setapak ke belakang.
"Datuk jangan jadi gila. Saya ni bukan supermodel tak pun artis. Tak payahlah datuk fikir sejauh tu. Saya tak ada apa-apa perasaan pada datuk. Selama ni saya layan datuk dengan baik sebab datuk klien Tuan Amzar. Jadi saya harap datuk jangan salah faham." balas Marha cuba menerangkan letak duduk perkara sebenar.
"Tapi I betul-betul sukakan you, Ainur.." suara Datuk Hisyam separuh merayu. Dia cuba mendekati Marha lagi tetapi bunyi kereta yang berhenti di hadapan kereta Datuk Hisyam membantutkan perbuatan lelaki itu.
Mereka berdua berpaling. Kelihatan seorang lelaki melangkah keluar dari Range Rover Evoque berwarna putih. Marha menarik nafas lega.
"Datuk, you buat apa kat sini? Rasanya waktu pejabat dah habis. Setahu I, kita tak ada apa-apa meeting minggu ni." Amzar bersuara. Sempat lagi dia mengerling bunga yang berada di tangan Datuk Hisyam.
Perlahan-lahan, dia mengambil tempat di hadapan Marha memaksa Marha untuk mengundurkan langkah dan berdiri betul-betul di belakang Amzar
"I nak jumpa Marha. I nampak dia tunggu bas jadi I berhentilah. Nak tumpangkan dia sekali." bohong Datuk Hisyam.
"Dengan bunga ni sekali?" soal Amzar dengan wajah yang serius.
Datuk Hisyam cuak. Lantas, bunga itu disembunyikan ke belakangnya.
"You pula buat apa kat sini?" soalan dibalas soalan oleh Datuk Hisyam. Dia tak boleh kalah dengan pemuda itu.
"Depan sana tu hotel I, jadi logiklah kalau I lalu kat sini. Lagipun Marha ni staf I, jadi I ada hak untuk tahu apa yang jadi pada dia." balas Amzar. Tegas.
Marha menghembuskan nafas lega. Sekurang-kurangnya dengan kedatangan Amzar, membuatkan dia rasa selamat. Kata-kata lelaki itu berjaya menghangatkan hatinya.
"Takpe I boleh hantarkan Ainur..." balas Datuk Hisyam tidak mahu mengalah.
Amzar mengetap bibir. Tiba-tiba hatinya panas dengan Datuk Hisyam yang tidak mahu mengalah.
"Marha, awak nak Datuk Hisyam hantarkan ke? Kalau macam tu, saya balik dululah." ucap Amzar lalu menoleh ke belakang sedikit.
Marha terkedu dengan pertanyaan Amzar. Pantas saja belakang baju Amzar ditarik lembut. Dia membalas pandangan Amzar dengan kepala yang digeleng kecil.
"Tak apalah, datuk. Terima kasih. Nanti kalau datin tahu, datuk juga yang susah. Saya tumpang Tuan Am jelah." Marha bersuara.
Amzar meleretkan senyuman. Dia menang.
"I gerak dulu ya datuk. Oh ya, kalau datuk nak jumpa mana-mana staf I lepas ni, tolong minta kebenaran I dulu. Staf I, tanggungjawab I. Be professional, datuk." ucap Amzar lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Datuk Hisyam.
Datuk Hisyam mengetap bibir. Salam Amzar disambut dengan sambil lewa. Akhirnya, dia hanya mampu melihat Marha melangkah masuk ke dalam kereta milik Amzar dengan hati yang remuk rendam.
"Aku takkan kalah Ainur sampai kau jadi milik aku. Aku guna cara baik, kau tetap jual mahal, tak apa aku akan guna cara lain untuk dapatkan kau. Tak ada seorang perempuan pun boleh terlepas daripada aku." ucap Datuk Hisyam penuh tekad. Dia menghempaskan bunga tersebut ke tanah bagi melempiaskan rasa bengangnya.
Aku takkan lepaskan kau, Ainur. Takkan!
Wednesday, 14 November 2018
RINDU DALAM RAHSIA ( Rindu Dalam Sepi remake) - BAB 23
"Kalau dia nak beli barang-barang keperluan, memang dia akan ajak saya..." Gemerisik suara itu kembali bergemaung di pendengaran Amzar sekali gus menjemput rasa hangat di dalam hatinya. Jiwa lelakinya terusik.
Dia dapat bayangkan betapa mesranya Marha dan sepupunya itu. Ditambah dengan wajah yang kacak sudah pasti seorang yang bekerjaya. Perempuan mana yang tidak terpikat dengan lelaki yang mempunyai pakej yang selengkap itu? Pasti hati gadis muda seperti Marha turut bergoncang.
Amzar melepaskan nafas dengan kuat. Entah mengapa fikirannya kacau apabila membayangkan perihal itu. Lantas, dia bangun dan menuju ke balkoni. Langit yang cerah menjadi tatapannya. Tampak tenang tapi tidak mampu mententeramkan jiwanya yang gundah saat ini.
Tidak lama kemudian, bunyi riuh suara ahli keluarganya menyapa pendengaran Amzar. Dia tersedar daripada menungan. Lantas, pandangannya dihalakan ke halaman rumah. Kelihatan, Datin Zahidah sedang mengiringi Marha ke kereta. Dahi Amzar berkedut. Perempuan tu dah nak balik? Soal hatinya. Dia tersenyum sinis. Baguslah. Elok juga dia balik awal. Taklah menyemak mata aku tengok muka dia. Tambah hatinya lagi.
Hatinya mengatakan benci namun pandangannya tidak sedikit pun beralih daripada mengamati Marha yang sedang berbual dengan Datin Zahidah. Gadis itu tersenyum. Sesekali bibir mungil itu tertawa sambil menutup mulutnya dengan telapak tangan. Tampak sopan di pandangan Amzar. Tanpa sedar, bibirnya ikut mengukir senyum.
Amzar tidak membiarkan senyumnya bertahan dengan lama. Dia tersedar lalu mengetuk kepalanya sendiri.
"Apa yang kau fikir, Am? Perempuan tu perempuan murah. Senyuman dia palsu. Dia cuma nak ambil hati mama kau. Dia pasti ada rancangan dia tersendiri. Kau tak boleh terjerat." Amzar berbicara sendirian. Cuba mengingatkan dirinya sendiri. Dia melepaskan keluhan.
Namun, dia masih terus memerhatikan Datin Zahidah dan Marha. Tetapi kali ini riak Marha bertukar serius sebaik saja Datin Zahidah menghulurkan sesuatu kepada Marha. Gadis itu kelihatan terkejut.
Amzar turut pelik. Dia cuba untuk mendengar perbualan kedua-dua wanita itu namun gagal. Suara Marha dan Datin Zahidah tidak sampai ke telinganya.
Apa yang jelas, kelihatan Marha menolak pemberian Datin Zahidah tetapi Datin Zahidah tetap menolak sampul surat berwarna coklat itu kepada Marha.
"Sampul surat? Mama bagi duit kat perempuan tu?" soal Amzar membuat kesimpulannya sendiri. Matanya membulat kerana tidak percaya dengan apa yang dilihat dengan mata kepalanya sendiri.
Dada Amzar mula berombak. Dia menahan perasaan yang mula bergejolak. Hatinya bertambah sakit apabila akhirnya Marha mengambil sampul surat tersebut lalu disimpankan ke dalam tas tangan miliknya.
"Pasti tu bayaran sebab perempuan tu dah jaga aku. Dasar mata duitan. Buat kerja tak pernah ikhlas!" bentak Amzar. Giginya dikancingkan. Tanda dia sedang geram.
Dia tidak menyangka Marha akan mengambil bayaran daripada Datin Zahidah kerana menjaganya selama dua minggu. Memang Marha ada menyebut tentang itu namun Amzar menyangka gadis itu hanya ingin menyakitkan hatinya tetapi kini sebaliknya berlaku. Marha benar-benar maksudkannya.
"Saya akan buktikan betapa teruknya saya sampai tuan sendiri rasa tak sabar nak lepaskan saya." kata-kata Marha kembali berlegar-legar dalam fikiran Amzar. Layanan gadis itu yang lembut selama dua minggu lepas turut terpamer di ruang mata. Sungguh, Amzar rasa tertipu. Gadis itu berjaya mengaburi matanya dengan sikap lembut padahal hatinya penuh dengan muslihat.
Dia mengetap bibir. Penghadang balkoni dihentak kuat. Sakit. Tapi tidak sesakit hatinya saat ini.
JAM yang melingkar di pergelangan tangan dijeling entah ke berapa kali. Jarum jam sudah mula menginjak ke angka sembilan sepuluh minit pagi. Amzar merengus apabila bayang Marha masih tidak kelihatan.
"Perempuan ni memang nak cari masalah dengan aku. Aku paling pantang orang lambat." getusnya sendirian. Lantas, dia bangkit dari duduk menuju ke luar biliknya dengan wajah yang masam mencuka. Dia melangkah menghampiri ruang kerja Kak Izzah.
"Akak ada nampak Marha tak? Dia tak datang lagi ke? Dah pukul berapa ni?" soal Amzar dengan riak yang tegang. Tangannya dicekakkan ke pinggang.
Kak Izzah meneguk liur. Wajah Amzar yang menyinga membuatkan dia kecut perut.
"Saya tak tahu, tuan. Tak ada pula Marha call. Biasanya kalau dia cuti atau emergency, dia akan call dulu." jawab Kak Izzah dengan suara yang tenggelam timbul. Gementar.
Amzar melepaskan nafas. Dia bengang. Terasa gadis itu ingin mencabar kesabarannya.
"Akak call dia sekarang. Cakap kat dia, tak payah datang terus pun tak apa." dengus Amzar lagi. Dia cuba mengawal rasa panas dalam hatinya.
Entah mengapa setelah kejadian dia melihat Marha mengambil pemberian daripada Datin Zahidah yang diyakini sebagai upah kerana menjaganya, hati Amzar terasa sakit. Sukar untuk dia menerima kenyataan, segala kebaikan yang gadis itu tunjukkan semata-mata kerana duit walhal sudah berkali-kali gadis itu mengingatkannya.
Kak Izzah menurut. Dia mengangkat gagang telefon. Belum sempat nombor telefon Marha didail, anak mata Kak Izzah tegak memandang ke arah pintu masuk pejabat.
"Hah, tu Marha dah sampai bos... Dengan..." ayat Kak Izzah tergantung. Dia menunjukkan jari ke arah belakang Amzar memaksa Amzar untuk berpaling.
Kelihatan Marha melangkah masuk ke dalam ruang pejabat dengan tergesa-gesa sambil diekori oleh Rafiq yang berada di belakang Marha.
Amzar cuba mengawal rasa amarahnya sebaik saja figura Marha menyapa pandangan. Dia berdiri sambil berpeluk tubuh. Menantikan kedatangan Marha.
"Jam kau rosak ke apa? Atau kau nak company sedekah jam kat kau?" sinis Amzar. Perlahan tapi cukup menikam tepat ke hati Marha.
Marha serba salah. Dia menyeka peluh yang merembes di dahi akibat terlalu gementar. Kali pertama dia datang lewat dan terpaksa berhadapan dengan Amzar yang tidak akan melepaskan peluang untuk mengenakannya.
"Maaf, tuan. Kereta saya tiba-tiba mati tengah jalan. Saya tak..."
"Alasan!" pintas Amzar pantas.
Marha menelan air liur. Apa yang difikirkan memang menjadi kenyataan. Amzar tidak akan percaya walau apa pun sebab yang dia berikan.
"Tu bukan alasan, Am. Memang kereta Marha mati tengah jalan. Aku saksi. Aku yang follow dia dari belakang dan kalau kau tak percaya, aku boleh bagi nombor telefon bengkel. Kau boleh check." sampuk Rafiq membela Marha.
Marha hanya mampu tertunduk. Sedangkan saat ini Amzar merenung Marha dengan tajam. Dia mula mengesyaki sesuatu melalui pandangan Rafiq terhadap Marha. Tiba-tiba, hatinya rasa tidak selesa.
"Telefon ada kan? Takkan tak boleh langsung telefon pejabat?" soal Amzar lagi. Masih tidak berpuas hati.
"Emergency kan. Mana nak sempat tengok telefon. Dalam kereta tadi pun, Marha tak senang duduk bimbang lambat sampai ofis. Ni kali pertama dia lambat, Am. Bertimbang rasalah sikit." pujuk Rafiq.
Amzar melepaskan nafas kuat. Sekuat hati dia cuba menahan perasaan. Rafiq begitu bersungguh dalam membela Marha. Dia yakin pasti ada sesuatu yang lelaki itu sembunyikan.
"Saya tahu saya salah tapi saya..."
"Oh, ada suara. Aku ingat dah bisu! Masuk bilik aku sekarang!" arah Amzar lalu meninggalkan Marha, Rafiq dan Kak Izzah begitu saja.
Marha melepaskan keluhan. Kepalanya ditundukkan. Penat akibat berlari masih belum hilang, kini dia terpaksa berhadapan dengan baran Amzar.
"Sabarlah, Mar. Angin tuan tak berapa nak eloklah tu. Bergaduh dengan Cik Ratna agaknya." tebak Kak Izzah.
Dia menghampiri Marha. Lengan gadis itu digosok perlahan. Dia simpati dengan nasib Marha. Sejak kebelakangan ini, gadis itu sering menjadi mangsa amarah Amzar. Kesalahan yang kecil pasti dibesar-besarkan. Lagak seperti Marha itu musuh utama Amzar.
"Betul kata Kak Izzah tu, Mar. Kita dah bagi penjelasan terpulang kepada Am nak percaya atau tak. Tapi saya yakin Am tu professional. Dia nampak je garang, panas baran tapi dia seorang yang rasional bila berkaitan dengan kerja. Cuma satu je, dia terlalu tegas." jawab Rafiq cuba menyedapkan hati Marha.
Marha menggelengkan kepalanya dengan pantas.
"Tak. Dia akan professional dengan orang lain tapi bukan saya. Benar atau tak alasan saya, dia takkan terima sebab dia tak suka saya. Tak ada sebab lain." jawab Marha. Wajahnya sugul.
Rafiq dan Kak Izzah berpandangan. Kata-kata Marha seakan mempunyai makna yang tersirat. Mereka kebingungan.
"Saya minta diri dululah. Saya tak boleh lambat. Tak pasal-pasal kena marah lagi. Encik Rafiq, terima kasih dah tolong saya. Kak Izzah, saya pergi dulu." ujar Marha lalu melangkah dengan laju menuju ke bilik Amzar.
Pintu bilik diketuk. Nafas dilepaskan dengan perlahan. Dia cuba mencari kekuatan untuk berhadapan dengan Amzar saat ini. Jika tadi ada Rafiq yang membela dirinya, tetapi kini dia terpaksa berhadapan dengan Amzar berseorangan. Apa aku nak buat ni? Getus hatinya. Berdebar.
"Masuk!" bunyi suara garau memberi arahan sudah cukup untuk membuatkan Marha menelan air liur berkali-kali. Dengan lafaz bismillah, Marha menolak daun pintu.
Amzar merenung tajam ke arah Marha yang sedang melangkah menghampiri mejanya. Tidak ada secarik senyuman pun menghiasi bibirnya saat ini. Ketat dan kelat wajahnya.
"Tuan nak jumpa saya?" soal Marha seperti kebiasaannya. Padahal dia kehabisan ayat untuk memulakan perbualan tika ini.
Amzar tidak menjawab sebaliknya dia menghadiahkan senyuman sinis sebaik saja melihat wajah Marha yang tenang.
"Kau memang muka tembok kan? Bangga ke bila ada orang back up?" soal Amzar tidak semena-mena.
Marha termangu seketika. Tidak lama kemudian barulah dia dapat menangkap maksud kata-kata Amzar.
"Bagi saya tu bukan back up. Rafiq... Maksud saya Encik Rafiq cuma terangkan situasi sebenar. Dia saksi dan saya tak menipu." ujar Marha. Dia menggigit bibir apabila menyedari dia tersasul menyebut nama Rafiq secara tak formal.
Amzar membulatkan mata. Hal itu semakin menguatkan andaiannya tentang hubungan Marha dan Rafiq. Mungkin mereka bukan sekadar rakan sekerja. Fikir Amzar. Hatinya mula berbahang panas.
"Apa jenis perempuan kau ni, hah? Semalam dengan lelaki lain. Hari ni dengan lelaki lain. Seronok sangat jadi perempuan murah?" soal Amzar tiba-tiba.
Marha melepaskan nafas dengan perlahan. Cuba bersabar untuk tidak melatah dengan provokasi Amzar.
"Itu bukan soalan berkaitan dengan kerja jadi saya takkan jawab. Terpulang pada tuan untuk fikir apa. Fikiran tuan, tuan yang kawal bukan saya." jawab Marha berani.
Amzar tersentak. Pantas dia berdiri dan menghampiri Marha. Punggung disandarkan ke sisi meja sambil tubuhnya dihadapkan ke arah Marha. Kedua belah tangan disilangkan ke dada.
"Dah pandai menjawab sekarang. Oh, lupa pula aku, kau dah ada hero kan." sinis Amzar lagi.
"Saya rasa tuan dah tak ada apa-apa nak cakap kan? Jadi saya minta diri dulu." ujar Marha malas melayani kerenah Amzar yang tidak henti-henti ingin menyakiti hatinya. Lalu, dia berpaling.
"Siapa yang benarkan kau keluar?" soal Amzar. Tangan Marha direntap dan dicengkam kemas.
Langkah Marha terbejat. Dia kembali berhadapan dengan Amzar sambil pergelangan tangannya berada dalam cengkaman lelaki itu. Sakit. Wajahnya berkerut.
"Kau jangan fikir Rafiq akan selalu ada untuk back up kau. Ini antara kau dan aku. Kau sengaja nak cari pasal dengan aku kan? Nak tunjuk yang kau kuat. Inilah jadinya kalau mama dan papa bagi sangat muka pada perempuan macam kau. Percaya sangat orang macam kau." hambur Amzar lagi.
Marha mengetap bibir. Dia cuba melepaskan tangannya daripada cengkaman tangan Amzar tetapi gagal.
"Jangan libatkan mama dan papa dalam hal ni. Sekurang-kurangnya mama dan papa masih boleh fikir dengan waras. Bukan macam tuan. Tuan benci saya tanpa alasan yang kukuh. Tuan cari salah saya setiap masa walaupun saya cuba berdamai dengan tuan. Saya tak minta tuan akui ikatan ni. Saya tak minta tuan akui siapa saya pada tuan saya cuma minta tuan layan saya dengan adil sama seperti tuan layan pekerja tuan yang lain. Tak boleh ke?" balas Marha sekali gus meluahkan perasaannya.
Amzar terkelu. Bening mata itu membuatkan hati yang panas tiba-tiba berubah menjadi sejuk dan dingin. Tanpa sedar cengkaman di pergelangan tangan Marha kian longgar tetapi Amzar masih belum melepaskan pegangan itu.
"Berdamai? Kau nak berdamai dengan aku? Kau fikir aku tak tahu apa yang kau buat? Depan aku, kau acah-acah baik tapi belakang aku, kau memang mata duitan. Macam tu kau nak aku layan kau dengan adil. Kau penipu!" hambur Amzar lagi.
"Mata duitan? Apa maksud tuan?" soal Marha keliru.
Amzar senyum sinis. Gadis itu berlakon lagi. Lantas, dia melepaskan pegangan daripada tangan Marha.
"Sudahlah. Tak payah kau nak berlakon. Muak aku tengok. Kau jangan ingat aku tak tahu yang mama bayar kau untuk jaga aku. Aku tahu semuanya. Aku tahu yang kau tak pernah ikhlas!" balas Amzar.
Marha terdiam seketika. Mama bayar aku? Bila? Soal hatinya. Dia berfikir sendiri. Tidak lama kemudian dia mula teringatkan sesuatu. Dia menahan diri daripada tersenyum.
"Baguslah kalau tuan sedar yang saya ni mata duitan, saya penipu, saya kuat berlakon, saya tak pernah ikhlas, senanglah untuk tuan lepaskan saya daripada ikatan yang tak ada makna ni. Saya pernah cakap pada tuan, saya akan buat tuan menyesal sebab tak nak lepaskan saya." ujar Marha cukup bersahaja. Dia tersenyum sumbing.
Amzar mengetap bibir menahan geram. Gadis itu memang tidak mahu mengalah. Dia juga tidak mahu mengaku kalah.
"Sebelum kau buat aku menyesal, aku akan buat kau menyesal sebab cari pasal dengan aku!" ujar Amzar.
Sepantas kilat, dia merentap lengan Marha sehingga gadis itu terdorong ke arahnya. Tubuh isterinya dipeluk erat dan kemas.
Marha tergamam. Jantungnya bagai ingin melompat keluar dengan tindakan spontan Amzar. Darah merah mula menyerbu ke segenap kulit wajahnya.
"Apa ni tuan?!" Marah Marha. Sedaya upaya dia cuba menjarakkan wajahnya daripada terus dekat dengan wajah Amzar. Tubuh sasa itu cuba ditolak dengan kuat tetapi sedikit pun tidak berganjak.
"Kau nak lawan dengan aku? Kau sedar tak kau tu siapa?" soal Amzar sambil cuba merapatkan wajahnya ke wajah Marha. Sekadar menggertak.
Marha gelabah. Dia tidak betah dalam situasi seperti ini. Bagaikan ingin patah pinggangnya sekarang. Amzar memang sengaja ingin menyakitinya.
"Ya, saya sedar. Saya minta maaf. Lepaskan saya!" ucap Marha pantas. Dia mengalah. Dia sanggup mengulang perkataan maaf itu beribu kali asalkan lelaki itu melepaskannya. Marha rimas. Dia sukar untuk bernafas akibat pelukan Amzar yang ketat.
"Semudah tu?" soal Amzar bersama senyuman nakal. Rontaan Marha tidak mendatangkan kesan terhadapnya.
Marha seram sejuk. Intonasi suara Amzar mula kedengaran lain. Jantung Marha mula berdetak kencang apatah lagi saat ini anak mata Amzar terarah ke bibirnya. Marha panik. Dia tidak boleh membiarkan perkara itu berlarutan. Lantas, dengan sisa tenaga yang masih ada, Marha menolak tubuh Amzar sekuat hati. Pelukan terlerai.
"Tuan dah gila ke?! Ini tempat kerja, bukan tempat tuan buat perangai tak senonoh!" oktaf suara Marha meninggi. Turun naik dadanya cuba mengatur nafas.
Amzar mencemik.
"Tempat kerja? Kau nak kerja sangat. Baik!" ujar Amzar.
Dia menghampiri kabinet yang disediakan khas untuk meletakkan fail-fail berkaitan dengan syarikat. Sekelip mata, segala fail yang terletak di atas rak kabinet itu ditolak sehingga jatuh berserakan di atas lantai. Tidak cukup dengan itu, fail yang tersimpan di dalam kabinet yang tertutup rapi turut dikeluarkan oleh Amzar dan dicampakkan ke atas lantai yang ditutupi dengan permaidani tebal.
Marha terlopong. Matanya membulat melihat longgokan fail di atas lantai.
"Nak kerja sangat kan? Kemas semula tempat ni dan susun fail ni seperti keadaan asal! Selagi tak siap, selagi tulah kau tak boleh keluar dari bilik ni dan tak boleh makan!" arah Amzar.
Marha ternganga. Dia memandang Amzar dengan riak kurang percaya. Mamat ni dah gila ke?
Thursday, 1 November 2018
RINDU DALAM RAHSIA ( Rindu Dalam Sepi remake ) - BAB 22
ARYANA berpura-pura menutup mata apabila dengan tidak sengaja melihat adegan mesra di antara Amzar dan Marha.
“Sorry along, Yana tak nampak apa-apa. Yana ke depan dulu ya.” Ujar Aryana lantas berpaling untuk meninggalkan ruang dapur.
“Errr… Yana, tunggu dulu. Akak dengan along Yana tak buat apa-apa pun.” Ujar Marha lantas bergegas mendapatkan Aryana dan menarik tangan adik iparnya. Sempat lagi dia menghadiahkan jelingan kepada Amzar.
Amzar hanya menjongketkan bahu. Dia cuba bersikap selamba walhal hatinya seakan ingin direntap saat figura Aryana muncul di hadapan mata. Niatnya hanya ingin menyakat Marha namun sebaliknya pula yang berlaku. Hampir saja dia menyentuh Marha dan jika Aryana tidak muncul, dia sendiri tidak dapat membayangkan apa yang terjadi.
“Eh, tak apa kak. Akak tak perlu jelaskan apa-apa. Kalau akak dan along buat apa-apa pun, tak ada yang salahnya. Berdosa pun tak.” Jawab Aryana sambil tersengih.
Marha malu sendiri. Dia dapat merasakan wajahnya berbahang sebaik saja mendengar kata-kata Aryana. Bukan itu yang dia maksudkan. Marha cuba menjelaskan namun kata-kata itu hanya tersekat di kerongkong.
“Apa bising-bising ni?” soal Datin Zahidah lalu menghampiri anak dan menantunya.
Aryana tersenyum simpul lalu mendapatkan Datin Zahidah. Dia membisikkan sesuatu di telinga Datin Zahidah sehingga membuahkan senyum di bibir wanita itu.
“Mama…” tegur Marha lalu menghulurkan tangan untuk bersalam. Salamnya bersambut.
“Kenapa sejuk sangat tangan Mar ni? Am buat apa kat kamu?” soal Datin Zahidah bergurau. Dia ketawa kecil.
Marha menundukkan kepala. Dia benar-benar malu saat ini. Semuanya salah Amzar tetapi dia yang menjadi mangsa usikan keluarga lelaki itu.
“Mama duduklah dulu. Nanti Mar hidangkan air.” Ujar Marha cuba untuk tidak menjawab soalan Datin Zahidah.
Cepat-cepat dia berlalu ke ruang masak. Dia berhenti di hadapan Amzar.
“Semuanya salah tuan. Menggatal sangat. Entah apa yang Yana fikir pasal tadi.” Marha bersuara sambil mengancingkan gigi. Cukup untuk Amzar yang mendengar.
Amzar turut menjeling ke arah mama dan adiknya yang sedang memerhatikan mereka berdua. Dia tidak menunjukkan sebarang riak sebaliknya lengan Marha ditarik supaya mendekatinya.
“Eh, apa ni?!” Marha terkejut. Spontan lengan Amzar ditepuk.
“Kau dengar sini, kalau kau menyerah diri sekali pun, aku tetap tak ingin. Jadi jangan nak perasan.” Ujar Amzar dengan intonasi suara yang perlahan. Bimbang didengari oleh Datin Zahidah.
Mata Marha membulat. Tak ingin? Dia yang miang kalahkan ulat bulu, dia tak sedar agaknya? Omel hati Marha. Pantas, tangan Amzar ditepis. Dia memeluk tubuhnya sendiri setentang dengan Amzar.
“Baguslah tuan tak ingin sebab saya sepuluh kali tak ingin!” balas Marha tidak mahu mengalah. Dia mencemikkan wajah.
Amzar tersentap. Dia mengecilkan matanya memandang Marha. Kecil saja Marha di matanya saat ini. Gadis itu memang suka melawan!
“Kau…”
“Dahlah tuan. Saya nak sambung masak ni. Nanti lambat pula mama dan papa boleh makan. Tepilah sikit.” Balas Marha lantas tubuh Amzar ditolak supaya menjauhi ruangnya untuk memasak.
“Kau ni kan…”
“Am, dahlah tu. Jangan kacau Marha masak.” Suara Datin Zahidah kedengaran membantutkan niat Amzar untuk meneruskan leteran.
Dia berpaling. Satu sengihan dilemparkan kepada Datin Zahidah sebelum langkah dipanjangkan ke arah mamanya itu.
“Jomlah kita ke depan dulu, mama.” Ajak Amzar sebelum mencapai tangan Datin Zahidah. Sempat lagi dia menoleh ke belakang dengan senyuman yang cuba disembunyikan.
“MACAM mana dengan umrah, mama?” soal Amzar sambil membiarkan Marha mencedok nasi dan lauk ke dalam pinggannya.
“Alhamdulillah semua okey. Seronok kat sana. Tenang je.” Jawab Datin Zahidah dengan senyuman.
“Mesti seronok. Mar pun teringin nak pergi sana. Tapi belum ada rezeki. Kalau boleh Mar nak bawak ibu dengan adik-adik sekali.” Cerita Marha dengan ramah.
“Kalau macam tu, akak boleh pergi dengan along sekali.” Aryana menyampuk. Semua mata memandang Aryana yang sedang menayang sengih.
Amzar yang sedang mengunyah makanan, tiba-tiba tersedak. Dengan pantas dia menutup mulut. Hampir saja makanan yang dikunyahnya tersembur keluar.
Marha tersenyum kelat. Cepat saja dia menghulurkan segelas air kosong kepada Amzar. Hulurannya bersambut. Namun, tanpa sengaja Amzar terpegang tangannya. Marha dan Amzar tersentak. Keduanya berpandangan dengan dada yang mula berdebaran.
Datin Zahidah dan Aryana tersenyum simpul. Begitu juga Dato Zuhdi dan Akhil.
“Ehem!” Dato Zuhdi berdeham. Sekali gus menghentikan lamunan Marha dan Amzar. Marha gelabah. Sedangakan Amzar berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku. Air putih yang dihulurkan oleh Marha diteguk rakus.
“Betul kan apa yang Yan cakap? Nanti Kak Mar dan along boleh umrah sekali. Kemudian, bolehlah honeymoon. Kan mama?” soal Aryana mengusik. Dia menjongketkan keningnya kepada Datin Zahidah yang mula tertawa.
Kulit wajah Marha berubah rona. Dia tersipu malu. Pantas, wajahnya ditundukkan.
“Yan ni merepek tak sudah kan…” Amzar bersuara. Dia melarikan pandangan ke tempat lain. Jantungnya turut bergetar dengan usikan adik perempuannya itu.
“Haah, betul cakap Tuan Am tu. Jauh sangat Yan fikir. Dah tentulah Tuan Am pergi ke sana dengan Cik Ratna. Akak ni secara tak sengaja je singgah dalam keluarga ni. Sampai masa akan kembali semula ke tempat asal akak.” Ucap Marha. Ayat akhirnya kedengaran perlahan namun sempat didengari oleh Amzar.
Spontan, dia kalih pandangan ke sisi. Wajah Marha yang sedang tertunduk direnung lama. Entah kenapa bicara gadis itu berjaya membuat hatinya terasa ngilu.
“Lebih baik kau diam.” Ucap Amzar. Perlahan tapi tegas.
Marha mendiamkan diri. Namun, bibirnya tetap mengukir senyuman. Hambar.
“Mar, tak ada sesuatu yang jadi dalam kehidupan kita, jadi kepada diri kita sendiri dengan tidak sengaja. Semuanya Allah dah rancang dengan sebaiknya. Mungkin sekarang kita rasa ini satu musibah, tapi mana tahu akan datang kita jumpa rahmat di sebalik musibah tu. Baik atau buruk yang kita alami, semuanya datang dari Allah dalam bentuk takdir. Ingat tu.” Nasihat Dato Zuhdi.
Marha menganggukkan kepala. Kata-kata Dato Zuhdi ada benarnya cuma Marha tetap berpijak pada bumi yang nyata. Perkara yang terjadi di antara dia dan Amzar hanyalah satu kesilapan.
Itu yang sering lelaki itu momokkan.
“Betul tu, kak. Kalau along susah sangat nak terima kenyataan, Akhil ada. Akhil akan terima akak seadanya.” Sampuk Akhil dengan sengihan melebar di bibirnya.
Marha ketawa lepas. Sedangkan Amzar menjengilkan mata.
“Akhil ni ke situ pula.” Balas Marha sebaik saja tawanya reda.
“Kau tu belajar dulu. Tak payah nak jadi romeo sangat. Nanti, apa pun tak dapat.” Balas Amzar tanpa senyuman di bibirnya.
“Along jealous ke?” soal Akhil sekadar mengusik. Dia mengangkat kening.
Amzar membulatkan matanya.
“Jealous? Memang taklah.” Jawabnya laju.
Akhil hanya mencebikkan bibir. Dia tahu apa yang terluah di bibir tidak sama yang tersimpan di hati abangnya itu.
“Sudahlah tu. Jangan nak bergaduh depan rezeki ni. Hah, bila Mar cadang nak balik rumah sewa Mar? Tak pun, Mar tak payah balik lagilah. Tidur sini je dulu. Esok baru balik.” Datin Zahidah mengalih topik perbualan mereka. Dia merenung lama wajah Marha sambil menantikan jawapan daripada menantunya itu.
“Eh tak boleh mama. Lepas zohor, Mar baliklah. Kawan serumah Mar dah banyak kali tanya bila nak balik. Kesian kat dia. Lagipun malam karang Mar ada janji nak jumpa sepupu Mar.” terang Marha berharap agar Datin Zahidah mengerti.
Datin Zahidah mengeluh kecewa. Namun dia tetap tersenyum. Dia mengangguk kecil.
“Sepupu Mar? Yusuf kan?” soal Datin Zahidah lagi.
Sebaik saja mendengar nama Yusuf meniti di bibir Datin Zahidah, sepantas kilat Amzar menoleh ke sisi. Dia menanti reaksi Marha. Jelas, gadis itu mengangguk dengan senyuman manis. Dia mendengus. Hatinya tiba-tiba berbahang panas.
“Haah, mama. Hari ni dia off jadi dia ajak Mar temankan dia jalan-jalan.” Jawab Marha.
“Macamlah tak ada orang lain yang boleh dia ajak.” Tempelak Amzar. Dia menguis-nguis nasi yang bersisa di dalam pinggannya.
Datin Zahidah dan Dato Zuhdi berpandangan. Manakala, Aryana menyiku Akhil. Dato Zuhdi memberi isyarat agar anak-anaknya tidak menyampuk. Dia ingin lihat sejauh mana ego yang Amzar cuba pertahankan.
“Kalau dia nak beli barang-barang keperluan dia, memang dia akan ajak saya. Saya….”
“Kau bini dia ke? Dia budak kecil lagi ke? Sampaikan kau nak kena teman beli barang-barang dia? Kenapa kau tak kahwin je dengan dia dulu? Tak adalah kau menyusahkan aku!” bentak Amzar tiba-tiba.
Tanpa menunggu balasan daripada Marha, dia bangun dengan membawa pinggan kotor menuju ke dapur. Dia bengang. Hatinya panas. Dia perlukan ketenangan saat ini.
Sedangkan saat ini Marha tercengang-cengang. Dia tidak tahu kenapa dia dimarahi tanpa sebab. Dia hanya mampu melemparkan pandangan penuh tanda tanya kepada Datin Zahidah.
“Kenapa Tuan Am marah? Apa salah Mar?” soal Marha. Dia terkebil-kebil.
Datin Zahidah ketawa kecil. Diikuti oleh Aryana dan Akhil. Hanya Dato Zuhdi yang menggelengkan kepala melihat tingkah anak dan menantunya.
“Dia bukan marah Mar, tapi dia marahkan diri dia sendiri.” Jawab Datin Zahidah. Dia tersenyum simpul.
“Marahkan diri sendiri? Maksud mama?” soalnya masih lagi keliru.
“Jealousy always born with love, kak.” Sampuk Akhil. Dia mengenyit mata.
Marha terpempan. Amzar cemburu? Tidak mumgkin sama sekali!
