LANGKAH
terus dipercepatkan tanpa menghiraukan apa pun rintangan yang bakal menunggunya
di hadapan. Saat ini Aisy hanya fikirkan
maruah dan keselamatan dirinya. Dia tidak sanggup lagi menjadi tawanan dan
hampir-hampir menjadi alat pemuas nafsu pada manusia yang tidak berakal seperti
empat orang lelaki yang sedang mengejarnya kini.
“Jangan
lari!” Jerit suara itu dari arah belakang membuatkan Aisy meneruskan lariannya.
Habis
semua ranting-ranting kayu dilanggarnya malah kakinya seakan tidak jejak ke
bumi kerana terlampau laju berlari. Keadaan hutan yang gelap pekat menyukarkan
Aisy untuk mencari arah. Dia hanya mengikut langkah kakinya saja.
Nafas
Aisy semakin semput. Dia tidak berdaya lagi untuk berlari lantas lariannya
berhenti secara perlahan-lahan. Dia duduk bersandar di sepohon pokok yang
berakar banir. Bertujuan untuk melepaskan lelahnya buat sementara waktu. Air
liur terus ditelan dengan dada yang turun naik mengawal nafas.
“Ya
Allah, aku takut.” Desis hati Aisy sambil anak matanya melilau memandang ke
sekeliling.
Tiada
satu pun yang kelihatan di matanya hanya daun-daun kayu yang terbuai lembut
mengikut rentak angin yang bertiup. Dia cuba mencari jalan keluar namun hampa.
Aisy memejamkan mata buat seketika.
“Kau
ingat kau boleh lepas daripada aku dengan senang macam ni?” soal satu suara
mengejutkan Aisy. Matanya terbuka luas.
Jelas
di pandangannya empat orang lelaki sedang berdiri di hadapannya. Seorang
daripada mereka mengaju muncung pistol di dahi Aisy. Dada Aisy mula berdetak
kencang. Saat ini hanya maut yang berada dalam fikiran Aisy.
“Kau
orang nak apa? Lepaskan akulah!” Jerit Aisy. Geram.
“Bob,
Jamal kau pegang perempuan ni. Dia nak tunjuk lagak pulak dengan kita!” Arah
Jeff sambil anak matanya masih mengawal setiap pergerakan Aisy.
Aisy
cuba mengelak. Wajah Bob dan Jamal yang cuba mendekat ditampar sekuat hati
malah kaki lelaki itu turut dipijak. Namun, usaha Aisy sia-sia apabila dengan
senang, Jamal merentap tangannya dan memulas kedua belah tangannya ke belakang.
Aisy menjerit kesakitan.
“Kau
memang degil kan? Kalau aku tak boleh jual kau hidup-hidup, aku rasa mayat kau
pun berharga!” Ujar Jeff.
Dia
mengangkat pistol lalu diacukan tepat ke dahi Aisy. Kemarahannya sudah tidak
mampu dikawal. Kedegilan Aisy membuatkan dia lupa seketika pada arahan Razak.
Mungkin dengan melihat kematian Aisy itu merupakan satu kepuasan buat dirinya.
“Lebih
baik kau ucap selamat tinggal. Aku benci dengan perempuan yang kuat melawan
macam kau!” Sambung Jeff lagi sambil menarik picu pistol. Bila-bila masa saja
tembakan akan dilepaskan.
Aisy
memejamkan mata. Mungkin inilah penamat hidupnya. Ya Allah, ampunkan segala
dosa-dosa aku. Detik hati Aisy. Pasrah.
Jeff
ketawa melihat reaksi Aisy. Dia sudah bersedia untuk melepaskan tembakan. Lalu…
Bang!
Ada
darah terpercik di wajah Aisy. Dia membuka mata. Sungguh dia terkejut melihat
batang tubuh Jeff yang jatuh melurut ke atas tanah sebelum menggelupur seperti
ayam disembelih.
“Jeff!”
Jerit Jamal, Bob dan Abdul. Mereka tergamam melihat Jeff yang sudah bertukar
menjadi mayat dengan sekelip mata. Mereka berpaling ke belakang.
Kelihatan
seorang lelaki berpakaian hitam dan bertopeng merenung tajam ke arah mereka
bertiga. Kecut juga perut mereka apabila melihat lelaki misteri itu memegang
pistol yang masih berasap. Mereka cuak. Malah, pegangan di tangan Aisy turut
terlerai.
“Tak
guna! Siapa kau?” Soal Jamal dengan suara yang terketar-ketar. Keadaan yang
gelap menyukarkan mereka untuk mengecam wajah lelaki yang berbadan tegap itu.
Sekali dilihat gerak gayanya seakan-akan Qartal tetapi tidak mungkin Qartal
membunuh Jeff. Telah hati mereka bertiga.
“Siapa
pun aku, bukan urusan kau!” Suara garau itu berbunyi.
“Qartal?”
Abdul menyoal pelik.
Serentak
Abdul menyebut sebaris nama itu, sepantas kilat lehernya dihujah dengan peluru
membuatkan Abdul terus terdiam. Dia jatuh tersembam di atas tanah dengan mata
yang terbeliak.
“Abdul!”
Jerit Jamal dengan mata yang terbuntang.
Kini
tinggal dia dan Bob. Mereka cuba meraba pistol yang biasa tersisip di pinggang
namun kali ini nasib mereka tidak baik, pistol tertinggal di pondok. Bob
mengetap bibir mengawasi setiap pergerakan lelaki misteri itu.
“Tak
guna. Lebih baik kau cakap, kau dari kumpulan mana!” Jamal cuba
melengah-lengahkan masa. Anak matanya tertangkap sebatang kayu yang mungkin
boleh dijadikan senjata untuk mempertahankan diri.
“Aku
dari kumpulan maut!” Jawab lelaki itu.
Lantas,
dua das tembakan dilepaskan tepat mengenai bahu dan rusuk kedua-dua penjahat
itu. Kedua-dua lelaki itu tumbang menyembah tanah.
Aisy
menggeletar ketakutan. Kepalanya mula berbinar-binar. Melihat pembunuhan di
hadapan mata bukan impian hidupnya selama ini! Akhirnya, Aisy turut jatuh
melurut di atas tanah. Matanya terpejam rapat.
“NENEK!”
Jerit Aisy lantang sebelum matanya yang terpejam dibuka dengan seluas-luasnya.
Aisy cuba mengatur nafasnya yang tidak teratur. Mimpi ngeri semalam membuatkan
lenanya terganggu.
Anak
mata Aisy melilalu melihat kawasan sekeliling. Aik, dah cerah? Bukan ke semalam
hutan ni gelap? Dah pagi ke? Aku kat mana ni? Bertubi-tubi soalan menjengah
minda Aisy. Namun, dia tiada jawapan.
“Dah
besar-besar pun, tidur masih mengigau,” sapa satu suara mengejutkan Aisy. Dia
terlompat daripada tempat duduk.
Pandangan
dihalakan pada sebatang tubuh yang duduk bersandar di sebatang pokok. Lagaknya
cukup santai dengan jaket hitam berhoodie
dan memakai topeng yang turut berwarna hitam. Hanya menampakkan sepasang
mata dengan renungan yang cukup tajam.
Lelaki
tu! Jerit hati Aisy ketakutan. Masih segar dalam ingatannya bagaimana lelaki
bertopeng itu menembak tepat kepala lelaki yang menculiknya. Malah lelaki itu
berjaya menumpaskan tiga lagi lelaki yang mengejarnya semalam. Jadi kenapa
lelaki misteri ini menyelamatkannya? Aisy mula cuak. Dia cuba mengintai peluang
untuk melarikan diri.
“Nak
lari ke? Pergilah kalau berani.” Ujarnya dengan bersahaja.
Aisy
menelan air liur. Dia dapat rasakan wajahnya pucat tidak berdarah dan jika
ditoreh dengan pisau sekali pun pasti lukanya tidak mengeluarkan darah.
“Kau
siapa? Kau nak apa dengan aku? Aku tak ada duit. Aku bukan anak orang kaya.”
Balas Aisy cuba meraih simpati lelaki di hadapannya ini.
“Aku
tak nak duit kau tu.”
“Habis
tu kau nak apa?” Pintas Aisy dengan laju. Dia menyeka peluh yang mula memercik
di dahi.
Lelaki
itu mencebik. Dia menjongketkan bahu dan mula merapati Aisy.
“Entah.
Mungkin aku nak cari hiburan sikit. Selama ni aku asyik ikut telunjuk orang,
jadi kali ni aku nak orang pula ikut telunjuk aku!” Balas lelaki itu sambil
berdiri bertentangan dengan Aisy yang sudah terperangkap di batang pokok.
“Jangan
dekat! Jangan dekat aku!” Aisy menjerit.
“Syhhhh!
Jangan buat bisinglah. Kau nak ke geng-geng Razak tu datang tangkap kau lagi?”
Lelaki itu bersuara keras sambil meletakkan jari telunjuknya di bibir.
Aisy
terdiam apabila mendengar nama Razak disebut. Itulah nama ketua kumpulan
samseng yang menculiknya. Jadi lelaki di hadapannya ini siapa? Takkan….
“Kau
orang Razak kan? Kau lelaki bertopeng yang ceroboh rumah aku hari tu. Kau bunuh
kawan-kawan kau semalam?” soal Aisy dengan mata yang membulat besar. Dia tidak
percaya lelaki yang berada di hadapannya ini adalah salah seorang penculik yang
bertanggungjawab memerangkap dia di dalam hutan ini dan semalam, lelaki itu
juga telah menyelamatkan nyawanya.
“Baguslah
kalau kau dah kenal. Tak perlulah aku susah payah kenalkan diri. Semalam tu,
bukan sengaja pun aku nak selamatkan kau tapi perbuatan mereka dah melampau.
Elok sangatlah kalau mati pun.” Balas Qartal cukup bersahaja tanpa perasaan
bersalah.
Dengan
selamba, dia membelek-belek pistol revolver yang masih berada di tangannya.
Setiap kelosong peluru diperiksa sebelum ditambah dengan peluru yang baru.
Aisy
memerhati setiap perilaku Qartal dengan rasa curiga. Dia masih tidak dapat
meneka apa yang berada di dalam fikiran lelaki misteri itu. Dahlah rupa pun tak
tahu. Hati budi jauh sekali nak kenal. Mustahil dia selamatkan aku tanpa
mengharapkan apa-apa balasan. Detik hati Aisy membuat telahan sendiri.
“Aku
nak balik rumah!” ucap Aisy tiba-tiba.
Qartal
mendongak. Pandangan mata mereka bertaut sejenak sebelum Qartal mengalihkan
bola matanya ke arah lain.
“Pergilah
balik. Siapa yang halang? Tapi aku tak jamin akan selamatkan kau sekali lagi
kalau geng-geng Razak tu tangkap kau. Kalau semalam dia orang hampir rogol kau,
aku rasa kali ni gerenti kau jadi lauk je untuk dia orang. Aku tumpang tengok
jelah.” Jawab Qartal selamba.
Aisy
meneguk liur buat kesekian kali. Terimbas kembali perbuatan kurang ajar
koncu-koncu Razak semalam. Kalau bukan disebabkan Qartal yang datang tepat pada
masanya, dia pasti nyawanya sudah melayang saat ini. Jadi apa yang harus aku
buat sekarang?
“Errrr…aku
tak nak. Kalau aku ikut kau boleh?” Soal Aisy antara yakin dan tidak yakin.
“Kau
nak ikut aku? Kau tak takut aku hantar kau pada Razak semula?” Qartal ingin
menguji. Dia merenung tepat ke anak mata Aisy yang kelihatan tidak tentu arah.
Masih ada perasaan was-was yang terbias di sebalik anak mata bundar itu.
“Tak
mungkin kan kau kembali pada Razak lepas kau bunuh orang-orang dia. Aku pasti
Razak pun tengah cari kau juga sekarang. Nyawa kau dan aku sama-sama dalam
bahaya jadi apa kata kalau kita cari jalan untuk keluar dari hutan ni
sama-sama.” Jawab Aisy sambil tersengih.
Dalam
ketakutan dia melihat penampilan Qartal yang misteri tetapi jauh dalam hatinya,
timbul perasaan selamat jika Qartal ada bersama. Sekurang-kurangnya dia masih
ada tempat untuk meminta pertolongan walaupun dia tidak pasti sejauh mana
kebaikan Qartal.
“Nak
cari jalan? Kau ingat ada GPS tak pun Waze yang boleh bagi kau petunjuk. Lima
ratus meter, belok ke kanan. Jalan terus, seratus meter belok ke kiri. Macam
tu?” Balas Qartal sambil mengajuk arahan yang biasa didengari apabila
menggunakan aplikasi Waze.
Aisy
mengetap bibir menahan tawa. Tak sangka, mamat serba hitam ni tahu buat lawak.
Detik hati Aisy.
“Okey,
aku tahu payah nak keluar. Tapi kita cubalah redah dulu. Takkan kau tak ingat
jalan masuk ke sini. Kau kan biasa keluar masuk markas Razak tu.” Aisy
bersuara.
Qartal
mendengus.
“Masalahnya,
jalan yang aku biasa guna tu kat depan. Sekarang mungkin kita dah semakin jauh
daripada markas Razak. Semalam masa kau pengsan, aku terpaksa pikul kau bawak
lari. Faham!” tekan Qartal dengan suara yang tertahan-tahan.
Aisy
melongo mendengar kata-kata lelaki yang tidak diketahui namanya itu.
Terkebil-kebil dia cuba menganalisa bait-bait yang dimuntahkan tadi.
“Kau
pikul aku?” Soal Aisy sambil menghalakan jari telunjuk ke mukanya sendiri.
“Hmmm….”
Qartal menggumam.
Wajah
Aisy berubah rona. Merah.
“Kau
bawak aku lari sampai ke sini?” Soalnya lagi.
Qartal
menjeling. Berapa kali aku nak ulang benda yang sama minah ni pun. Sekali aku
luku dengan pistol ni, pengsan seumur hidup kang. Bebel hati Qartal.
“Yalah.
Kalau tak, kau tu dah lama jadi arwah kena cincang dengan Razak.” Balas Qartal.
Tetapi
Aisy tidak dapat menerima. Malunya hanya Tuhan yang tahu. Tidak dapat
dibayangkan bagaimana Qartal memikul tubuh genitnya sehingga jauh ke tengah
hutan dalam keadaan dia tidak sedarkan diri. Malunya aku! Jerit hati Aisy.
Tiba-tiba dia jatuh terduduk di atas tanah. Dia memeluk lutut sambil menekup
wajahnya dengan kedua belah telapak tangan.
Qartal
memandang pelik tingkah laku Aisy. Kedengaran esakan halus terbit daripada
celah bibir gadis itu. Lantas, Qartal menghampiri.
“Kau
ni dah kenapa tiba-tiba je nak menangis?” soal Qartal sambil menolak perlahan
bahu Aisy.
Aisy
menepis kemudian menggelengkan kepala.
“Malulah!”
jawabnya dengan suara yang tenggelam timbul.
“Malu?”
Dahi Qartal berlapis.
“Nak
malu sebab apa pulak?” Soalnya kembali.
“Malulah
sebab kau dukung aku. Aku tak suka tahu tak!” Bentak Aisy.
Qartal
berjeda. Tidak lama kemudian dia ketawa.
“Hoi,
kau tak payah nak perasan. Aku tak rasa apa-apa pun masa dukung kau tu. Kau
bukan jenis perempuan yang aku suka!” Balas Qartal setelah tawanya reda.
Aisy
tersentak. Serta-merta tangisannya terhenti. Dia mendongak memandang lelaki
bertopeng itu. Satu jelingan dihadiahkan.
“Orang
macam kau ada perasaan ke? Pembunuh! Penculik! Penceroboh!” Jerit Aisy
tiba-tiba. Dia jadi geram dengan setiap bait yang dituturkan oleh Qartal.
Berdesing
telinga Qartal. Serentak pada masa yang sama, dia terdengar ranting kayu
dipijak sesuatu. Sepantas kilat, dia menekup mulut Aisy. Rontaan gadis itu
tidak dihiraukan. Dia yakin ada seseorang sedang mengekori mereka. Tapi siapa?
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.