AISY
memegang lututnya. Dia cuba menyedut oksigen yang semakin berkurangan. Cahaya
matahari yang terik membuatkan tekaknya terasa kering. Mujur ada daun-daun
pokok yang melindungi kepala mereka daripada terkena panas mentari. Sesekali
Aisy memandang ke hadapan. Qartal masih lagi melangkah laju tanpa menghiraukan
keadaanya di belakang.
“Eh,
tunggulah dulu. Penat ni.” Aisy bersuara. Dia serba salah untuk memanggil
lelaki bertopeng itu kerana sampai sekarang dia masih belum mengetahui nama
sebenar lelaki itu.
Qartal
menghentikan langkah. Dia berpaling ke belakang sejenak. Kelihatan Aisy sudah
duduk di atas tanah bagi melepaskan lelah. Dia merengus sebelum mendekati Aisy.
“Boleh
tak kalau kau jangan lengah-lengahkan masa? Sekarang ni kita tak tahu bahaya di
hadapan dan belakang. Kalau kau duduk macam ni, bila kita nak keluar dari hutan
ni?” Bebel Qartal sambil melabuhkan punggung di atas tunggul kayu yang telah
mati.
Aisy
melepaskan nafasnya. Anak matanya dihalakan tepat ke wajah Qartal. Waktu
panas-panas macam ni pun dia boleh lagi berbungkus macam tu. Aku pelik betul
dengan mamat ni. Nak kata jahat, tapi dia tolong selamatkan aku. Nak kata baik,
kawan dia sendiri pun dia bunuh. Pelik memang pelik. Omel hati Aisy sendirian.
“Woi,
yang kau pandang aku macam nak makan ni kenapa?” Soal Qartal lantas
mencampakkan ranting kayu tepat ke wajah Aisy.
Aisy
tersedar. Dia tersengih malu.
“Nama
kau siapa?” Soalnya tiba-tiba.
Qartal
terdiam. Dia berdeham tanpa menjawab soalan Aisy.
“Aku
Aisy Raisya.” Tambah Aisy setelah Qartal tidak menjawab soalannya.
“Aku
tak tanya pun.”
“Memanglah
kau tak tanya sekurang-kurangnya bila aku dah kenalkan nama aku, tak adalah kau
nak panggil aku hoi lagi. Sebab itu jugak aku tanya nama kau. Aku tak nak
panggil nama kau hoi je. Tak elok. Jadi siapa nama kau? Aku nak panggil apa?”
Aisy mengulang soalannya. Dia meluruskan kakinya cuba menghilangkan rasa
lenguh.
Qartal
diam lagi. Dia duduk sambil memeluk tubuh.
Aisy
menanti lelaki di hadapannya ini membuka mulut namun hampir lima minit dia
menunggu, Qartal masih enggan bersuara. Dia mendengus geram.
“Baiklah
kalau kau susah sangat nak bagi tahu nama kau, jadi kau jangan salahkan aku
kalau aku panggil nama kau bukan-bukan ya? Macam nilah, aku panggil kau Combi
boleh? Sebab dekat rumah aku, aku ada bela kucing hitam. Sebijik macam pakaian
kau sekarang. Semua hitam. Aku bagi nama dia Combi jadi sekarang aku panggil
kau Combi sempena nama kucing aku. Boleh?” Aisy cuba memancing Qartal bersuara
dan ternyata usahanya berhasil. Wajah Qartal kelihatan berubah. Semuanya terjelas
di sebalik anak mata yang tajam itu.
Qartal
tersedak. Matanya membulat. Dia nak panggil aku Combi? What the…?
“Qartal…
Kau boleh panggil aku Qartal!” Jawab Qartal akhirnya.
Dahi
Aisy berkerut. Nama apa pula tu? Pelik semacam aje bunyinya.
“Gatal?”
Soal Aisy inginkan kepastian.
Saat
itu Qartal terasa lehernya seperti dicekik. Kenapalah anak King ni banyak
cakap? Aci tak kalau aku plaster mulut minah ni? Getus hati Qartal. Sebal.
“Qartal
bukan gatal. Faham?” Tekan Qartal sambil mengetap bibir. Dia menampar lengannya
yang digigit nyamuk.
Aisy
menutup mulut menahan tawa.
“Sorry. Itu nama dalam kad pengenalan ke?
Pelik je bunyi.” Aisy kembali menyoal.
Qartal
meraup wajahnya. Sakit otak apabila terpaksa melayan kerenah Aisy yang banyak
bertanya.
“Entah,
aku tak tahu nama sebenar aku apa. Orang panggil aku macam tu. Aku ikut jelah.”
Jawab Qartal acuh tak acuh.
Aisy
menganggukkan kepala. Betul juga. Orang seperti Qartal pasti membesarnya di
jalanan dan tidak seperti orang-orang lain. Jauh dalam hati Aisy, terbit perasaan
simpati pada Qartal yang hidup dalam dunia yang penuh kegelapan.
“Kau
kerja apa sebelum ni?” Soal Aisy lagi. Perasaan ingin tahu semakin membuak-buak
dalam dirinya.
Qartal
melepaskan keluhan berat. Dia memicingkan mata memandang Aisy yang masih setia
mengharapkan jawapan daripada mulutnya.
“Bunuh
orang. Itu bukan setakat kerja aku tapi hobi aku. Kalau aku tak bunuh orang
memang rasa tak lengkaplah hidup aku. Aku rasa, kejap lagi ada yang jadi mangsa
aku pulak.” Ucap Qartal sambil menjeling penuh makna pada Aisy.
Aisy
cuak. Dia menelan air liur. Kata-kata Qartal berjaya membuatkan dia kecut
perut. Apatah lagi saat lelaki itu menayang-nayangkan pistol di hadapan
matanya. Makin cuak Aisy dibuatnya. Lantas, Aisy bingkas bangun. Dia
mengibas-ngibas baju kurungnya yang berpasir.
“Errr… Jomlah cari jalan keluar. Aku pun
dah dahaga ni. Kita cari sungai dululah.” Jawab Aisy lalu berjalan laju ke
hadapan.
Qartal
menahan tawa daripada terburai. Reaksi kelam-kabut yang ditunjukkan Aisy
mencuit hatinya. Kepalanya digelengkan beberapa kali sebelum dia bangun
membuntuti langkah Aisy yang semakin ke hadapan.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.