LANGKAH
Aisy semakin longlai. Dia kepenatan. Hampir berjam-jam mereka berdua berjalan
namun bayang sungai pun tidak kelihatan. Di kiri dan kanan dipenuhi dengan
pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan hutan yang jarang dilihat. Aisy mengeluh
panjang sebelum dia terduduk di atas tanah buat kesekian kali. Perutnya yang
lapar minta diisi makin menyukarkan untuk dia bergerak kerana telah banyak
kehilangan tenaga.
“Penatnya,
Ya Allah!” Keluh Aisy lalu dia terbaring di atas tanah. Matanya dipejamkan.
Qartal
hanya menggelengkan kepala melihat tingkah Aisy. Jelas, dia pun kepenatan.
Bukan setakat penat tapi panas dan rimas dengan topeng yang tersarung di
wajahnya. Perlahan-lahan, Qartal menjatuhkan hoodie yang tersakut di kepalanya. Topeng hitam yang sentiasa
menutupi hidung dan mulutnya juga ditanggalkan.
Wahhh…
Selesanya. Getus hati Qartal saat wajahnya yang sekian lama terlindung
disebalik topeng disapa dengan angin hutan. Memang menyegarkan. Dia
mengibas-ngibas tubuhnya yang terasa panas dan melekit.
“Kau
tak rasa lapar ke? Aku nak….”
Kata-kata
Aisy mati di situ saat matanya tertangkap pada seraut wajah yang cukup asing di
pandangannya. Terkebil-kebil dia memandang wajah Qartal yang sebenar. Sedikit
ternganga dia melihat wajah lelaki itu tanpa topeng.
‘Biar
betul muka mamat ni? Cukup sifat rupanya tapi kenapa dia sembunyikan selama
ni?’ Soal hati Aisy sambil mengamati wajah Qartal sedalam-dalamnya.
Nak
kata buruk, taklah buruk. Cuma wajah itu nampak serabut kerana dipenuhi dengan misai
dan janggut yang disimpan menjadi goatees.
Kulit wajahnya tidak cerah dan tidak terlalu gelap. Sawo matang. Rambutnya
panjang hingga ke paras bahu dan kelihatan berserabai seperti tidak pernah
dirapikan. Malah, anak rambut dibiarkan terjuntai di dahi sehingga hampir
menutupi separuh dahi lelaki itu.
“Dah
puas tilik muka aku? Hensem tak?” Soalan Qartal mematikan lamunan Aisy.
Segera
Aisy berpaling ke arah lain. Dia berdeham sambil bingkas bangun dan membetulkan
duduk. Tiba-tiba saja dia rasa tidak selesa dengan renungan tajam milik Qartal.
“Mana
ada aku tilik muka kau. Buang masa je.” Balas Aisy tidak mahu mengaku.
Qartal
tersenyum sinis. Sudah terang lagi bersuluh minah hoi, kau tenung muka aku
macam muka aku ni ada ketumbuhan. Itu pun tak nak mengaku. Dasar perempuan!
Omel hati Qartal.
“Lantak
kaulah. Kau tunggu sini, aku nak cari makanan.” Ujar Qartal lantas bingkas
bangun.
“Hah?
Kau suruh aku tunggu sini? Aku tak nak. Aku nak ikut kau. Aku takut!” Ujar Aisy
terus bangun.
Qartal
mendengus. Dia mencekak pinggang.
“Jangan
banyak songeh boleh tak? Duduk ajelah dekat sini. Aku pergi bukannya jauh. Kau
tu suka buat bising, susah aku nak cari makanan. Ke kau nak mati kebulur dalam
hutan ni?” Soal Qartal garang. Sengaja dia meninggikan suaranya agar Aisy
takut.
Aisy
menggeleng laju. Dia menarik lengan baju Qartal. Dia betul-betul takut jika
ditinggalkan keseorangan. Dia bimbang jika orang-orang Razak datang menyerang.
“Tapi
aku takut. Macam mana kalau orang-orang Razak jumpa aku. Aku tak nak kena
kurung lagi. Aku tak nak kena rantai. Tolonglah, Qartal. Biar aku ikut kau cari
makanan. Aku janji aku tak buat bising.” Pinta Aisy sambil mengangkat kedua-dua
belah tangannya seolah-olah berikrar.
Qartal
mula serba-salah. Dia tidak betah apabila melihat anak mata yang redup itu. Apa
yang dah jadi pada kau ni, Qartal? Kau kena kuatkan hati. Kena garang sikit
dengan perempuan ni. Nanti dia pijak kepala kau. Hatinya bersuara.
“Tak
boleh! Kau tunggu sini. Kalau kau ikut aku, aku tak teragak-agak nak tamatkan
riwayat kau. Pistol aku ni peluru pun penuh lagi. Setakat tembak kepala kau
yang kecil ni apalah sangat. Pisau aku pun tajam juga ni. Sekali tikam, gerenti
mati. Jadi kau buatlah pilihan sekarang.” Ucap Qartal cukup bersahaja. Dia
menepis tangan Aisy yang bergayut di lengan baju jaketnya.
Aisy
menelan liur. Apabila menyebut soal pistol pasti dia akan menyerah kalah.
Lelaki di hadapannya ini bukan boleh dibuat main. Silap gaya, nyawanya juga
akan melayang. Lantas, satu sengihan ditayangkan pada Qartal sebelum dia duduk
kembali di atas tanah sambil menyandarkan tubuhnya di batang pokok.
“Baiklah,
aku tunggu sini. Kau pergilah cari makanan.” Balas Aisy akhirnya. Dia menampar
lembut lengannya yang digigit nyamuk yang berterbangan.
Qartal
tersenyum nipis. Tahu takut. Pantang diugut pasti Aisy akan menyerah kalah.
Hati kuman juga perempuan ni. Komen Qartal cuma dalam hati.
“Bagus.
Mulai saat ni, aku akan tetapkan syarat. Kau kena ikut semua cakap aku kalau
kau nak selamat keluar dari hutan ni. Boleh?” soal Qartal.
Aisy
angguk kepala. Memang itulah yang dilakukan sekarang. Ikut segala arahan Qartal
tanpa banyak soal. Iya ke tanpa banyak soal? Aisy memicit dahinya sendiri.
“Satu
lagi, jangan banyak tanya. Aku tak suka perempuan yang banyak soal.” Tambah
Qartal lagi.
“Habis
tu kau suka perempuan macam mana?” Soal Aisy. Qartal menjengilkan matanya. Aisy
menepuk mulutnya sendiri.
“Maaf,
tak sengaja. Baik, aku takkan tanya apa-apa lagi tentang kau.” Jawab Aisy
sambil menundukkan pandangan. Akur dengan arahan Qartal. Dalam keadaan
sebegini, dia tidak boleh mencari pasal dengan Qartal kerana hanya lelaki itu
saja harapannya untuk keluar dari hutan yang tebal ini. Walaupun dalam hatinya
masih ada rasa ragu-ragu dengan lelaki itu.
“Sekarang,
kau ambil pisau ni untuk jadikan senjata. Jangan tidur sewaktu aku tak ada.
Ingat, dalam hutan ni bukan orang-orang Razak je yang berbahaya, binatang pun
berbahaya. Faham?” Sambung Qartal lagi.
Aisy
hanya menganggukkan kepala tanda faham. Dia mencapai pisau rambo yang
dihulurkan oleh Qartal. Dia mengenggam kemas pisau yang diberi sambil anak
matanya melilau memandang sekeliling.
Qartal
tersenyum nipis melihat Aisy yang akur dengan setiap kata-katanya. Dia mula
mengatur langkah. Namun, langkahnya terhenti apabila namanya diseru oleh Aisy.
Dia merengus kasar.
“Qartal…”
Panggil Aisy perlahan.
“Apa
lagi ni?” Bentak Qartal. Geram.
“Jangan
pergi lama-lama. Aku betul-betul takut ni…” Ucap Aisy dengan suara yang
tenggelam timbul akibat menahan tangis.
“Kau
takut apa pulak ni?” Dengus Qartal sambil berpaling sedikit ke belakang. Memang
jelas di pandangannya wajah Aisy bertukar keruh. Nampak seperti ingin menangis.
“Takut
kau tinggalkan aku dalam hutan ni sorang-sorang.” Balas Aisy sambil menahan
sebak.
Qartal
menggigit bibir mendengar kata-kata Aisy. Sayu saja suara itu kedengaran di
peluput telinganya.
“Jangan
nak mengarut!” Balas Qartal lantas meneruskan langkah tanpa menoleh ke belakang
lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.