SELEPAS
urusan pengebumian Tok Awang selesai, Nek Hajar terus pulang ke rumahnya. Air
mata masih lagi tidak henti-henti mengalir mengenangkan keadaan keluarganya
yang huru-hara. Takdir kematian Tok Awang diterima dengan hati yang reda tetapi
kehilangan Aisy yang diculik tempoh hari masih tidak dapat diterima oleh akal
Nek Hajar.
Sebaik
saja sampai di rumah, Nek Hajar terus melangkah masuk ke dalam rumah. Waktu ini
rumahnya kembali sunyi. Semua jiran tetangga telah pulang ke rumah
masing-masing sebelum datang kembali selepas asar untuk menyediakan kelengkapan
majlis tahlil untuk arwah Tok Awang.
Nek
Hajar menyeka peluh dan air mata yang membasahi wajah tuanya. Dia menghela
nafas panjang dan menghembuskannya dengan perlahan.
“Kenapa
polis datang tadi, mak?” sergah satu suara mengejutkan Nek Hajar. Dia
berpaling.
Kelihatan
Tuan Zabir berdiri berhadapan dengannya sambil anak mata lelaki itu melilau
memandang ke luar rumah melalui tingkap.
“Bakpe mung macam takut je bila polis datang. Mung ada buat saloh ke?”
soal Nek Hajar kembali tanpa menjawab soalan Tuan Zabir.
Tuan
Zabir terkelu dengan soalan yang terbit daripada mulut Nek Hajar. Seboleh
mungkin dia cuba mengawal riak wajahnya. Dia berdeham kecil.
“Mana
ada Zabir takut, mak. Zabir cuma tak suka polis tu datang, lagi pun buat apa
dia datang. Ayah meninggal sebab sakit biasa je kan?” Jawab Tuan Zabir cuba
berdalih.
Nek
Hajar mengeluh kecil. Wajahnya yang sudah berkedut, diraup dengan kedua belah
telapak tangannya. Kesal dengan sikap yang ditunjukkan Tuan Zabir. Selama ini
dia percaya menantunya itu bekerja keras untuk menyara kehidupan mereka
sehinggalah mereka tiga beranak dapat hidup dengan senang lenang di kampung.
Ternyata di sebalik kemewahan yang
dilimpahkan kepada Nek Hajar dan sekeluarga ada hak orang lain yang
dirampas kejam oleh Tuan Zabir. Nek Hajar kecewa. Cukup kecewa.
“Ayah
mung meninggal bukan sebab sakit
biasa tapi sebab mung!” Suara Nek
Hajar mula meninggi. Melotot anak matanya merenung wajah Tuan Zabir yang
selamba. Dia cuba menahan sabar tapi bayangan peristiwa sewaktu empat lelaki
bertopeng menyerang rumah mereka disebabkan berlian yang dicuri oleh Tuan
Zabir, kesabaran Nek Hajar terbang entah ke mana.
“Apa
yang mak merepek ni? Zabir tak tahu menahu pasal ayah. Macam mana ayah boleh
meninggal sebab Zabir pulak.” Jawab Tuan Zabir sambil ketawa kecil.
“Mak
bukan bodoh, Zabir. Mung ingat mak dok tahu benda hok mung buat belakang
mak. Malam sebelum ayah mung
meninggal, rumah ni kena ceroboh dengan empat orang lelaki yang cari berlian
dia hok mung curi. Mung buat benda ni, Zabir? Mung tahu dok, Aisy sekarang jadi tawanan orang-orang jahat tu!” Jawab Nek
Hajar dengan esakan halus mula kedengaran.
Tuan
Zabir tersentak. Aisy diculik? Hati Tuan Zabir tersentap. Berubah terus
wajahnya.
“Aisy
kena culik, mak? Siapa yang culik? Kenapa mak tak bagi tahu Zabir awal-awal?”
bertubi-tubi soalan yang muntah daripada mulut Tuan Zabir. Kedua-dua belah bahu
Nek Hajar digoncang kuat.
“Sepatutnya
mak tanya mung, Zabir. Mung lebih kenal siapa musuh mung. Dia nak mung pulangkan semula berlian tu sebelum dia orang apa-apakan Aisy.
Mak dok mintak banyok dengan mung,
Zabir. Mak mintak mung selamatkan
Aisy. Pulangkan semula barang yang bukang
milik mung.” Ujar Nek Hajar dengan
suara yang lirih.
Tuan
Zabir tertunduk. Dia mengetap bibir. Pautan di bahu Nek Hajar terlepas. Dadanya
mula berombak menahan rasa marah. Selama ini bukan main dia menjaga rahsia
tentang keluarganya dan sengaja dia hantar Aisy jauh kampung arwah isterinya di
hulu Terengganu semata-mata tidak mahu musuhnya mengesan keberadaan satu-satu
warisnya. Kini semuanya hancur. Dia yakin pasti ada seseorang dalam kumpulan
AK47 yang membelot padanya.
“Tak
guna!” Bentak Tuan Zabir tiba-tiba. Pantas, satu tumbukan dilepaskan di dinding
batu rumahnya. Buku limanya yang berdenyut, tidak dipedulikan.
“Mak
dok tahu bakpe mung jadi gini. Mak
dok sangka jalan ni yang mung pilih, Zabir. Patutlah mung dok
pernah balik ke sini rupa-rupanya benda ni mung
rahsiakan pada Aisy dan mak. Mak kecewa dengan mung. Lebih baik mung
serah diri jelah kat polis. Biar polis yang selamatkan Aisy. Bendalah nasib
cucu mak tu sekarang.” Keluh Nek Hajar dengan ngongoian yang semakin jelas.
Tuan
Zabir berpaling pada Nek Hajar. Menyerah diri pada polis? Tidak akan sesekali!
“Mati
hidup balik pun Zabir takkan serah diri pada polis, mak. Takkan!” balas Tuan
Zabir dengan suara melengking tinggi.
Nek
Hajar tersentak. Dia memandang Tuan Zabir dengan pandangan tidak percaya. Air
mata yang mengalir laju disapu kasar dengan lengan bajunya.
“Habis
tu mung nak biar je Aisy tu kena
culik? Mung lebih suka tengok anak mung dalam bahaya daripada serah diri? Mung tahu dok benda hok mung buat
selama ni saloh? Mana iman mung Zabir? Mana?” Nek Hajar turut
bertempik dengan soalan-soalan yang menyesakkan fikiran Tuan Zabir.
“Zabir
buat semua ni untuk kita, mak. Dengan cara dan jalan ni saja yang boleh bagi
kita kesenangan. Masa Zabir susah, tak ada siapa pun yang sudi berkawan. Semua
orang kampung pandang rendah pada Zabir, tapi sekarang bila Zabir dah kaya,
semua berlutut nak mintak Zabir tolong. Zabir dah buktikan pada mereka yang
Zabir jugak boleh berjaya. Zabir boleh beri mak dan Aisy kekayaan dan
kesenangan.” Balas Tuan Zabir dengan suara yang kembali mengendur.
“Dengan
mengorbankan nyawa ayah mung? Dengan
meletakkan nyawa Aisy dalam bahaya? Ni yang mung
kabor kesenangan, Zabir? Aku takboh
semua tu!”
“Habis
tu mak nak terus miskin? Kena hina, kena caci dengan orang sebab miskin, mak
nak ke semua tu? Zabir tak nak!” pintas Tuan Zabir berkeras.
Nek
Hajar menggelengkan kepala perlahan. Dia tidak menyangka sikap Tuan Zabir berubah
sejauh ini.
“Tapi
kalau kaya dengan cara yang salah, mana keberkatannya? Mung ingat hidup mung
akan tenang dengan merompak, jual perempuan, jual dadah tu? Sudahlah tu Zabir.
Taubatlah!” nasihat Nek Hajar lagi.
Berdesing
telinga Tuan Zabir mendengar perkataan taubat yang keluar daripada mulut Nek
Hajar. Dia mengepal penumbuk. Hatinya memberontak marah.
“Mak
nak suruh Zabir taubat? Selama ni Zabir berdoa siang malam untuk dapat
kesenangan, ada Tuhan bagi? Tak ada, mak. Makin Zabir susah adalah. Sekarang
bila Zabir dah senang dengan cara Zabir, mak nak suruh Zabir bertaubat? Kembali
pada Dia? Memang taklah!” balas Tuan Zabir dengan senyuman sinis.
Nek
Hajar terkesima. Dia mengurut dada. Terkejut dengan kata-kata Tuan Zabir
berbaur riak.
“Astaghfirullah-al-azim. Bawak mengucap
Zabir. Jangan kufur nikmat, nak. Harta yang mung
dapat sama ada jalan halal atau haram, itu tetap dengan izin Allah. Mung tu bukan sesiapa pun tanpa
pertolongan Allah!” Bantah Nek Hajar mematahkan bicara Tuan Zabir.
“Arghhh! Semuanya karut!”
“Mung tu yang kena berubah, Zabir. Baik,
kalau mung takboh serah diri, biar mak yang serahkan mung kat polis…” ujar Nek Hajar lalu melangkah laju menuju ke
telefon yang terletak di atas meja hiasan.
Tuan
Zabir cuak. Pantas, dia segera berlari mendapatkan Nek Hajar yang sedang
mengangkat gagang telefon. Lengan Nek Hajar dipaut kasar lalu gagang telefon
tersebut dirampas sebelum dibaling ke lantai.
Terbeliak
mata Nek Hajar melihat telefonnya yang pecah berderai. Lagi dia terkejut
apabila Tuan Zabir mencengkam kuat lengannya.
“Lepaskan
mak, Zabir! Sakit!” Adu Nek Hajar cuba menepis tangan Tuan Zabir.
“Aku
memang pantang kalau ada orang yang cuba tunjuk pandai dengan aku. Kau nak
repot polis? Kau belum kenal aku siapa.” Bahasa Tuan Zabir mula berubah kasar.
Melotot anak matanya merenung mata Nek Hajar yang sudah berair.
Nek
Hajar menggeletar ketakutan. Sikap Tuan Zabir yang berubah dalam sekelip mata
membuatkan dia kecut perut. Sudah hilang kelembutan dalam diri menantunya itu.
Malah sinar mata lelaki itu sarat dengan kebencian dan kesakitan yang
terpendam.
“Jangan
buat mak macam ni, Zabir. Lepaskan tangan mak. Mak sakit ni.” Rayu Nek Hajar
masih cuba melepaskan diri.
Namun,
Tuan Zabir tidak peduli sebaliknya dia ketawa. Ketawa yang sengaja dibuat-buat.
Dia puas apabila melihat Nek Hajar merayu-rayu padanya. Terasa dirinya lebih
berkuasa. Tapi kau jangan termakan rayuan tu, Zabir. Perempuan tua ni nak
serahkan kau pada polis. Kau kena tamatkan riwayat dia secepat mungkin sebelum
dia laporkan kau pada polis. Kalau polis tahu dekat mana kau berada, habis kau,
Zabir. Semua harta kau pun akan hilang macam tu aje. Paling penting, kau akan
masuk penjara. Kau nak masuk penjara? Suara halus berbisik di peluput telinga
Tuan Zabir.
Tuan
Zabir menggelengkan kepalanya dengan laju. Tidak dapat dibayangkan jika dia
ditangkap polis dan dihumban ke dalam penjara. Jika nasibnya buruk pasti dia ke
tali gantung. Tidak! Aku takkan benarkan perkara itu terjadi! Tingkah Tuan
Zabir.
“Orang
macam kau ni selalu dengki dengan aku. Aku dah bagi kau hidup senang, sekarang
kau nak khianat aku? Aku takkan biarkan. Kau terimalah padahnya sebab cuba
melawan aku!” ujar Tuan Zabir.
Lantas,
tanpa rasa belas kepala Nek Hajar dihentak ke almari dengan kuat. Nek Hajar
bertempik kuat. Tuan Zabir semakin geram. Lalu, sekali lagi kepala Nek Hajar
dihentak kuat tapi kali ini ke dinding. Darah mula menyembur ke serata tempat.
“Kau
nak aku bertaubat? Kau nak aku pasrah dengan takdir? Takdir bodoh tu takkan
mampu halang aku untuk kaya!” ucap Tuan Zabir dengan penuh rasa amarah.
Tangannya yang berlumuran dengan darah Nek Hajar tidak dipedulikan. Sebaliknya
dia rasa puas apabila Nek Hajar diam membisu.
Dia
terus menghentak kepala Nek Hajar sehingga kulit wajah Nek Hajar tersiat.
Perbuatan Tuan Zabir terhenti apabila tiada lagi suara Nek Hajar yang
kedengaran. Lalu, tubuh Nek Hajar yang terkulai laju dihempas ke lantai. Dia
hanya mampu merenung tubuh tua itu yang berlumuran darah.
Tuan
Zabir memandang tangannya yang dibasahi dengan darah pekat. Dadanya turun naik
menahan perasaan yang bercampur-baur. Zabir, apa yang kau dah buat ni? Kau
bunuh mak kau? Kau bunuh orang yang kau sayang? Bertalu-talu suara halus itu
berbisik membuatkan hati Tuan Zabir diserang rasa bersalah yang maha hebat.
“Aku
tak sengaja nak bunuh mak. Dia nak serahkan aku pada polis. Aku tak nak! Aku
cuma bela diri!” Tuan Zabir bersuara sendirian. Nadanya terketar-ketar menahan
rasa takut.
Anak
matanya mula melingas melihat sekeliling rumahnya yang sunyi sebelum anak
matanya kembali memandang tubuh Nek Hajar yang sudah bertukar mayat. Dia
menelan rengkungnya sendiri. Peluh mula mencurah-curah membasahi wajah dan
tubuhnya.
“Mak
maafkan, Zabir. Apa aku nak buat ni?” soal Zabir.
‘Lari!
Lebih baik kau lari sebelum polis datang.’ Suara itu berbisik lagi.
Tuan
Zabir mengangguk laju. Dengan tergesa-gesa dia menuju ke dapur untuk mencuci
tangannya yang dibasahi darah sebelum dia hilang di sebalik pintu belakang
rumahnya. Apa pun terjadi, dia harus selamatkan diri terlebih dahulu. Harus!
“LEPASKAN
aku! Lepaslah!” Suara jeritan Ida dan Hidayu bergema diikuti dengan tangisan
lima kanak-kanak yang dipaksa untuk mengikut langkah pengikut Razak Hitam.
“Diamlah,
perempuan!” Jerkah Jeff lantas menghadiahkan telapak tangannya di pipi Ida dan
Hidayu. Kedua-dua gadis itu terdiam bersama tangisan yang berpanjangan.
Aisy
hanya mampu melihat Ida, Hidayu dan lima kanak-kanak tersebut dibawa keluar
dari pondok tempat dia dikurung. Dia pasti mereka bertujuh akan dibawa ke jeti
untuk dijual. Aisy menangis lagi mengenangkan untung nasib dirinya.
“Perempuan
tu banyak bising, ma.” Komen Ah Leong dengan pelat Cina yang masih kedengaran.
Razak
hanya tersenyum sinis sambil menghembuskan asap rokoknya.
“Takkan
lu tak biasa, Ah Leong. Mula-mula memang melawan, lama-lama bila dah dapat
banyak duit, hilang semua bising tu.” Jawab Razak ketawa kecil.
“Tapi
gua rasa macam tak cukup saja dua perempuan tu. Apa kata kalau lu bagi gua
perempuan tu…” Ucap Ah Leong sambil memuncungkan mulutnya pada Aisy yang
tersandar di tepi dinding.
Razak
mengalihkan pandangan ke arah yang ditunjukkan Ah Leong. Dia turut berpandangan
dengan pengikutnya yang lain.
“Lu
nak perempuan ni? Berapa lu boleh bagi?” soal Razak sambil mengangkat keningnya
yang berparut.
Ah
Leong terdiam seketika. Dia mengetuk dagu memikirkan sesuatu.
“Sepuluh
ribu, boleh?” soal Ah Leong. Anak matanya menikam tepat ke wajah Razak yang
mundar-mandir di hadapannya.
“Sepuluh
ribu? Banyak murah, mey. Perempuan ni
‘ayam kampung’ tau. Masih fresh.
Takkan sepuluh ribu kut. Lagi pun kalau lu nak tahu inilah anak perempuan
King.” Ujar Razak. Jelas Ah Leong terlopong.
“Maksud
lu King ketua Geng AK47 ada anak perempuan?” Soal Ah Leong inginkan kepastian.
Razak
mengangguk laju.
“Inilah
rupa anak si bedebah yang dia sembunyikan selama ni. Dia pasti akan merana
kalau tahu anak dia aku jadikan pelacur!” ucap Razak penuh dengan dendam. Dia
ketawa kuat.
Aisy
mula tidak senang duduk. Bicara Razak dengan lelaki Cina itu cukup menggerunkan
Aisy. Namun, tiada apa yang dapat dia lakukan saat ini selain daripada berdoa
dan terus berdoa. Bukankah berdoa itu senjata orang mukmin? Aisy yakin dia akan
selamat juga suatu hari nanti.
“Seratus
ribu gua offer lu. Setuju?”
“Sejuta.
Gua bagi lu angkat. Kalau lu tak mau, gua kasi orang lain.” Razak membuat
tawaran.
Aisy
menangis tersedu-sedan apabila mengenangkan dirinya dijadikan bahan dagangan.
Bilakah sengsara ini akan berakhir, Ya Allah? Keluh hati Aisy.
“Sejuta?
Wow, banyak mahal woi.”
“Mestilah,
still fresh ma. Kalau lu tak percaya
gua boleh buktikan. Qartal, tanggalkan baju perempuan tu!” Arah Razak tanpa
perasaan.
Aisy
tersentak. Dia tergamam seketika. Pantas, kepalanya digelengkan bersama air
mata yang laju menuruni lekuk pipi.
Bukan
setakat Aisy, Qartal turut tergamam dengan arahan yang diberikan oleh Razak. Dia
terkaku di tempatnya berdiri sambil anak matanya memandang tepat pada Aisy yang
kelihatan gelabah.
“Qartal,
apa yang kau tunggu lagi tu? Pergi tanggalkan baju perempuan tu. Cepat!” Gesa
Razak membuatkan Qartal tersedar. Dia mengangguk laju.
Lalu,
dengan langkah yang memberat, Qartal mengatur langkah menuju ke arah Aisy yang
dirantai kemas. Lengan gadis itu ditarik kasar agar berdiri tegak.
“Tolong
jangan apa-apakan aku. Tolong jangan ikut apa lelaki tu cakap. Tolong aku!”
Rayu Aisy bersama tangisan yang tidak pernah surut.
Qartal
mengetap bibir. Dia cuba menguatkan hatinya agar tidak terpedaya dengan rayuan
Aisy. Lantas, tangannya diangkat dan mencekak tudung milik Aisy.
Aisy
meronta dengan kuat. Dia tidak akan membenarkan sesiapa pun menyentuh dirinya.
“Tolong,
aku merayu pada kau. Jangan sentuh aku. Jangan tanggalkan tudung aku. Ini
maruah aku. Tolong! Aku tahu kau tak sama dengan kawan-kawan kau yang lain.”
Pujuk Aisy lagi dengan suara yang perlahan. Cukup untuk Qartal mendengar.
Qartal
terkedu seketika. Bicara gadis itu menghentikan perbuatannya. Anak mata mereka
bertentangan. Jelas, anak mata bundar itu berair.
“Kau
tunggu apa lagi tu, Qartal?” Jerkah Razak apabila melihat Qartal hanya merenung
Aisy tanpa berbuat apa-apa.
Bagai
dikejut daripada mimpi, Qartal tersedar. Dia kembali menatap wajah Aisy yang
comot. Otaknya ligat memikirkan sesuatu. Manakala tanganya sudah siap sedia
untuk merentap pakaian Aisy.
“Tolong
jangan! Aku rayu pada kau!” Rayu Aisy lagi dengan esak tangis yang makin kuat.
Dia tiada tenaga untuk melawan, hanya inilah cara yang dapat digunakan untuk
menyelamatkan dirinya.
Qartal
tidak peduli sebaliknya dia terus menarik lengan Aisy sehingga tubuh mereka
bertambah rapat.
“Gigit
tangan aku cepat!” Arah Qartal sambil berbisik rapat di telinga Aisy.
“Hah?”
Aisy kebingungan. Terkebil-kebil dia memandang wajah Qartal yang ditutupi
dengan topeng berwarna hitam.
“Kalau
kau tak nak aku tanggalkan baju kau, ikut arahan aku!” Tambah Qartal masih lagi
berbisik.
Tidak
dapat tidak, Aisy terpaksa menurut. Sewaktu tangan Qartal cuba menyelak tudung
yang menutupi kepalanya, sepantas kilat Aisy menggigit lengan Qartal dengan
kuat.
“Arghhhh!”
Qartal menjerit lalu melepaskan pautannya di tubuh Aisy. Lantas tubuh genit itu
ditolak keras hingga batang tubuh itu jatuh terhenyak di atas lantai.
Tanpa
menunggu lama, Qartal mengeluarkan pistolnya lalu diajukan tepat ke kepala
Aisy.
“Perempuan
ni kuat melawan, bos! Lebih aku tamatkan aje riwayat dia!” ujar Qartal keras.
Anak matanya mengerling pada Razak yang turut terkejut dengan tindakan Aisy.
“Tak
guna punya perempuan!” Maki Razak lalu mendapatkan Aisy. Rambut Aisy yang
berbalut tudung dicekak kuat.
“Kau
nak melawan sangat, hah lawan aku sekarang!” Arah Razak. Satu tamparan hinggap
di pipi Aisy yang sudah berbirat.
“Ayoo,
jangan kasar macam tu Razak. Nanti muka cantik tu pecah, tak laku ma.” Tegur Ah
Leong mematikan niat Razak untuk melayangkan penumbuk sulungnya ke muka Aisy.
“Perempuan
macam ni kena ajar sikit!”
“Gua
tahu lorh tapi kalau lu nak jual
perempuan ni lu kena jaga muka dia baik-baik. Kalau muka buruk, tak ada siapa
mahu beli. Tak ada selera mey.” Balas
Ah Leong lagi.
Razak
mendengus kasar. Lantas, dia melepaskan cengkamannya di kepala Aisy. Sempat
lagi dia menendang kaki Aisy sebelum berlalu. Qartal menarik nafas lega.
Sekilas dia memandang Aisy yang sedang mengerekot menahan sakit. Pandangannya
dibalas dengan redup. Qartal menggelabah lalu melarikan pandangan ke tempat
lain.
*Maksud perkataan:
- Mung - Awak / kamu / kau
- Kabor - beritahu / maklumkan
- Hok - hak / yang (tengok atas ayat)
- Takboh - tak nak
- Saloh - salah
- Dok - tidak / tak
- Bakpe - kenapa / mengapa
- Banyok - banyak
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.