SAMBIL
bersiul kecil, Qartal memandang tangannya yang dipenuhi dengan makanan. Dia
tersenyum kecil sambil melangkah kembali ke tempat Aisy ditinggalkan. Semakin
hampir dengan tempat Aisy ditinggalkan, hati Qartal terasa semacam. Dia dapat
mendengar seperti ada sesuatu memijak daun-daun dan ranting-ranting kering.
Hati
Qartal berdetak. Perlahan-lahan dia meletakkan makanan yang berada dalam
genggaman di atas tanah. Pistol berwarna hitam dikeluarkan daripada poket
belakang. Dia memegang kemas pistol di tangan sebelum melutut untuk mengintai
apa yang berlaku.
Dengan
berhati-hati, Qartal menjengukkan kepala ke belakang. Dia keluar daripada
tempat persembunyian dengan mengacukan muncung pistol tepat pada Aisy yang
sedang terlena. Mata Qartal membuntang melihat keadaan Aisy sekarang ini.
Aisy
yang terasa seperti ada sesuatu bergerak di sekitar tubuhnya dengan pantas
mencelikkan mata. Saat kelopak matanya terbuka luas, dia tersentak. Apa
tidaknya muncung pistol milik Qartal menghala tepat ke mukanya. Aisy cuak. Dah
kenapa mamat ni nak tembak aku pula?
“Qartal,
kau bukan nak bunuh aku kan?” Soal Aisy dengan suara yang tenggelam timbul.
Anak matanya sudah berair menahan perasaan gerun melihat wajah Qartal yang
bertukar bengis.
“Syhhhh…Diam!”
Qartal mengeraskan suaranya. Tangannya sedikit terketar-ketar apabila cuba
memastikan sasaran yang ingin ditembaknya adalah tepat. Peluh yang jatuh
berderaian di dahi dibiarkan tanpa sekaan.
Aisy
terkedu. Tetapi tiba-tiba dia terasa seperti ada sesuatu merayap di bahagian
perutnya. Malah hidungnya dapat menghidu sesuatu yang busuk dan hanyir. Bau
seperti lumpur!
“Ssyyyyssss….”
Bunyi
itu seperti biasa didengari oleh Aisy. Jantungnya mula laju mengepam darah. Di
dalam fikirannya sudah terbayang semua perkara apatah lagi saat ini dia rasakan
ada sesuatu yang melingkari pinggangnya. Aisy tidak mampu menahan perasaan. Dia
mengalihkan bola matanya ke bawah dan….
“Ular!”
Suara Aisy seperti tersekat. Hanya mulutnya saja yang bergerak. Dia mengenggam
tangannya dengan erat cuba mengusir rasa takut yang semakin menjadi-jadi.
Saat
ini, ular sawa batik sebesar lengan Qartal sedang menjalar di batang tubuh
Aisy. Dia ingin menjerit namun tiada suara yang terkeluar. Hanya pandangan mata
yang dihalakan pada Qartal. Berharap lelaki itu menyelamatkannya. Sungguh, dia
kegelian dengan bau hanyir ular itu cukup meloyakan tekak Aisy.
“Tahan
nafas, Aisy! Jangan buat sebarang pergerakan kalau kau nak selamat!” Qartal
bersuara sambil mengancingkan gigi. Dia tidak mahu suaranya mengejutkan ular
sawa tersebut. Bimbang, jika tersalah cara ular itu akan terus membelit leher
Aisy.
Memang
ular sawa tidak mematuk dan mengeluarkan bisa tetapi jika ia sudah membelit,
tiada siapa yang dapat terlepas. Bayangkan seekor lembu pun mampu ditelan
apatah lagi gadis bertubuh genit seperti Aisy. Dengan sekelip mata saja mampu
menjadi lauknya.
Aisy
mengangguk perlahan. Dia memejamkan mata dan menahan nafas. Ketakutan
menyelubungi dirinya saat ini. Hanya Allah saja yang tahu perasaannya apabila
berhadapan dengan spesis ular sawa yang sangat dia geruni. Badan ular itu yang
lembik terasa sejuk apabila menyentuh lengan Aisy.
Qartal
melangkah dengan berhati-hati. Dia cuba untuk tidak menghasilkan sebarang
bunyi. Kalau ikutkan hati, berkecai kepala ular itu ditembak tetapi Qartal
khuatir tembakannya akan tersasar pada Aisy.
Tidak
dapat tidak, Qartal mencari kepala ular sawa yang mula merayap ke bahagian
kepala Aisy. Kepala ular sawa sebesar penumbuk Aisy diamati betul-betul. Dia
melepaskan nafas yang tidak teratur. Inilah kali pertama dia berada dalam
situasi yang genting ini.
Qartal
memandang wajah Aisy dan ular sawa itu silih berganti. Lantas, sepantas kilat
Qartal mencekup kepala ular tersebut dan sedaya-upaya menarik ular itu jauh
daripada Aisy.
“Bangun
Aisy!” arah Qartal apabila dia berjaya meleraikan belitan ular itu daripada
badan Aisy.
Tanpa
berlengah, Aisy bangun dan menggeliat kegelian. Dia hanya mampu melihat Qartal
yang bergelut dengan ular tersebut sebelum ular itu dicampak jauh ke dalam
gaung. Aisy menarik nafas lega.
Qartal
termengah-mengah. Dia tunduk memegang lutut.
“Kau
tak apa-apa?” Soal Qartal sambil mengalih pandangan pada Aisy yang berdiri
tegak di sampingnya.
Aisy
menggelengkan kepala tanda dia tidak apa-apa.
“Terima
kasih sebab selamatkan aku…” Ucap Aisy lembut.
Qartal
mendengus. Dia membetulkan bajunya. Tangannya yang melekit dikesat di kulit
pokok.
“Aku
dah pesan pada kau tadi kan, jangan tidur. Kau tidur jugak kenapa?!” Suara
Qartal meninggi. Melotot dia memandang wajah Aisy yang terkulat-kulat.
“Aaa…aku…”
“Aku
apa? Nasib baik aku datang tepat pada masa kalau tak, kau tu dah jadi lauk pada
ular tu. Cakap aku bukannya nak dengar. Tahu tidur aje kerja kau. Suka sangat
menyusahkan aku!” Marah Qartal lagi sambil menyisip pistolnya kembali ke dalam
sarung.
Aisy
tersentak. Hatinya terguris. Dia cuba menahan air mata daripada gugur.
Berkali-kali dia cuba mengerdipkan mata. Berharap agar mutiara jernih itu tidak
gugur.
“Kalau
kau tak culik aku, kita takkan ada kat sini. Kalau kau tak culik aku, aku
takkan menyusahkan kau!” Balas Aisy sambil mengesat pipinya dengan kasar.
Qartal
terdiam. Suara Aisy yang hampir tidak kedengaran itu membuatkan dia mengalih
pandangan pada gadis itu. Dia terkelu apabila melihat anak mata Aisy yang mula
berair. Menangis ke gadis itu?
“Menjawab!
Itulah kerja kau. Asyik menjawab aje. Kau cakap nak selamat tapi cakap aku tak
nak dengar. Eh, kalau kau asyik nak menyusahkan aku lebih baik kau pergi cari
jalan keluar sendiri! Tak kuasa aku nak hadap perangai kau ni!” bentak Qartal
lagi seolah-olah menyimbah minyak ke api yang sedang marak.
Aisy
mendengus. Dia rasa tercabar dengan kata-kata Qartal. Dia yang culik aku
sekarang aku pulak yang dipersalahkan. Dasar mamat otak biul! Maki Aisy dalam
hati. Dia menghentak kaki.
“Baik!
Mulai sekarang kau dengan jalan kau, dan aku dengan jalan aku!” Aisy turut
membentak.
Tanpa
menunggu balasan Qartal, dia berlari meninggalkan lelaki itu. Dia hanya
mengikut langkah kaki yang entah ke mana. Habis segala pokok kayu dilanggar.
Dia tidak peduli asalkan dia boleh jauh daripada lelaki yang tak ada perasaan
seperti Qartal.
Qartal
mengetap bibir. Dia meraup rambutnya ke belakang. Susah betul dia nak faham
perangai perempuan seperti Aisy. Satu keluhan dilepaskan. Dalam hutan yang
tebal ini agak sukar untuk gadis seperti Aisy mencari jalan keluar. Tidak dapat
tidak, Qartal terpaksa memanjangkan langkah mengejar gadis itu.
“Aisy!”
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.