Tetamu Rindu

Wednesday 29 January 2020

MR. FROST ( Bab 10 )


KAU nak apa datang ke sini?” soal Hafeeza sebaik saja Hana melabuhkan punggung di atas sofa berhadapan dengan Puan Zaharah. Manakala, Humaira hanya diam memerhatikan adiknya yang kelihatan lesu.
“Berapa lama lagi mama nak tinggal di rumah nenek ni? Mama tak nak balik jumpa papa?” soal Hana lembut. Dia merenung wajah Puan Zaharah dengan penuh pengharapan meskipun saat ini Puan Zaharah langsung tidak memandang wajahnya.
“Kan mama dah cakap, mama tak nak balik. Kau menyibuk sangat ni kenapa?” Hafeeza masih terus menyampuk sebaik saja dia melihat reaksi mamanya yang dingin.
“Tapi papa perlukan mama sekarang. Perlukan along dan angah. Takkan along langsung tak kesiankan papa. Papa dalam kesusahan sekarang. Papa perlukan sokongan daripada kita semua terutama mama. Isteri papa.” Balas Hana dengan bersungguh-sungguh.
Satu per satu wajah ahli keluarganya dipandang dengan penuh pengharapan. Berharap agar mereka kembali bersatu untuk memberi sokongan kepada Tuan Yahya.
“Papa sihat ke, Hana?” sampuk Humaira apabila tiada balasan daripada Hafeeza mahupun Puan Zaharah.
Anak mata Hana beralih kepada Humaira yang kelihatan lebih tenang berbanding Hafeeza. Raut wajah Humaira yang lembut, sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada Hana.
“Papa sihat, angah. Tapi papa banyak termenung. Selagi hutang papa tak selesai, selagi itulah papa tak tenang. Hana kesiankan papa tapi Hana tak tahu nak buat apa lagi. Kita kena tolong papa, angah.” Pujuk Hana dengan lembut. Anak matanya singgah ke laman wajah Puan Zaharah yang tidak beriak.
“Papa jadi macam tu disebabkan kau. Disebabkan kau tinggal dengan kami, papa ditimpa musibah. Keluarga kita kacau bilau disebabkan kau! Kau tak sedar ke semua musibah yang terjadi ni disebabkan kau! Kalau kau duduk diam-diam kat kampung, tentu papa tak perlu lalui semua ni.” Ujar Hafeeza kasar. Dia menjeling benci.
“Along, sudahlah tu…” Tegur Humaira perlahan.
“Along takkan berhenti selagi perempuan ni sedar diri dia sendiri. Apa yang dia dah buat pada keluarga kita? Dia bunuh adik kita. Kau sedar tak? Dia bunuh adik dia sendiri!” bentak Hafeeza tidak semena-mena.
Hati Hana tersiat. Sedaya upaya dia cuba menahan air mata daripada gugur. Semenjak kecil hinggalah dia dewasa, hanya perkataan itu sahaja yang terluah daripada mulut Hafeeza. Pembawa malang! Sekuat mana pun hatinya bertahan, sedikit sebanyak terguris juga apabila yang orang yang bertanggungjawab mengeluarkan kata-kata itu adalah darah dagingnya sendiri.
“Hana tak bunuh adik! Apa yang jadi pada adik bukan salah Hana!” tegas Hana. Dia bingkas berdiri. Menentang Hafeeza dengan berani.
Hafeeza berpaling. Dia rasa tercabar dengan sikap berani yang ditunjukkan oleh Hana. Lantas, tangannya disilangkan ke dada. Wajah Hana turut ditentang.
“Kau memang pentingkan diri kau sendiri, Hana. Aku tak tahu macam mana kau boleh hidup dengan aman sedangkan adik meninggal disebabkan kau. Sekarang kau berani mengaku yang kau tak bersalah? Kau memang tak tahu malu!” suara Hafeeza meninggi. Dia tidak boleh kalah dengan Hana.
“Hana akan mengaku salah kalau Hana buat salah. Along nak Hana mengaku apa lagi? Mengaku yang Hana salah sedangkan semua dah terbukti yang adik…”
“Diam!” jerkah Puan Zaharah sebelum Hana sempat menghabiskan ayatnya.
Ketiga-tiga mereka tersentak. Kata-kata Hana terus mati di situ. Terkebil-kebil dia memandang Puan Zaharah. Kepalanya ditundukkan sebaik saja menyedari pandangan Puan Zaharah yang tajam merenung anak matanya.
“Balik! Lebih baik kau balik. Aku tak nak tengok muka kau dekat sini!” Puan Zaharah bersuara sambil menuding jari ke arah luar.
Hana terkedu untuk sesaat dua. Hati yang tersiat terus berkecai dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Puan Zaharah.
“Mama… Hana tak bermaksud nak buat mama marah. Hana cuma nak pujuk mama…”
“Aku cakap balik! Pergi balik!” jerkah Puan Zaharah tanpa memberi peluang untuk Hana terus berkata-kata.
Melihat keadaan semakin tegang, Humaira terus mendapatkan Hana. Bahu si adik dipegang lembut.
“Hana balik dulu ya? Nanti angah call. Insya-Allah, angah cuba bantu apa yang patut. Nanti angah cuba pujuk mama jumpa papa, ya.” Pujuk Humaira dengan nada yang berbisik.
Hana pasrah. Dia tidak mempunyai pilihan lain selain mengikuti kata-kata Humaira. Dia tahu mamanya masih lagi terkilan dengan apa yang terjadi kepada keluarga mereka tapi itu bukan alasan untuk mengabaikan Tuan Yahya sedangkan apa yang berlaku disebabkan sikap mereka sendiri. Tidak adil jika menyalahkan Tuan Yahya seratus peratus. Itulah yang difikirkan oleh Hana selama ini.
“Baiklah. Kalau itu yang angah cakapkan. Hana ikut aje.” Balas Hana akhirnya mengalah.
Beg sandang dicapai. Dia ingin menghulurkan salam kepada Puan Zaharah namun sebaik saja dia melihat roman Puan Zaharah yang masam mencuka, secara automatik niatnya terbantut.
“Hana tahu mama bencikan Hana tapi jangan jadikan itu alasan untuk mama abaikan papa. Selama ni papa selalu ada di sisi mama, berikan apa saja yang mama minta, tapi sekarang bila papa susah, takkan mama nak biarkan papa keseorangan? Kalau pun kita tak dapat nak tolong bayarkan hutang papa, sekurang-kurangnya bila mama ada, beban fikiran papa dapat dikurangkan. Hana tahu mama takkan dengar cakap Hana sebab mama bencikan Hana. Sedangkan Hana tak tahu apa kesalahan Hana pada mama. Kalau Hana penyebab mama tak nak balik ke rumah, Hana boleh keluar daripada rumah tu. Mama cakap aje, Hana akan buat apa saja yang mama minta walaupun Hana terpaksa….” Kata-kata Hana terhenti. Dia mengetap bibir. Menahan rasa sebak yang semakin membuak di dada.
“Hana… Sudahlah tu. Hana balik dulu…” Sampuk Humaira lalu menggosok lengan adiknya dengan lembut. Berharap agar dengan cara itu dapat menenangkan Hana.
Hana menggelengkan kepala. Tangan Humaira ditolak lembut. Dia tersenyum hambar.
“Walaupun Hana terpaksa tinggalkan keluarga kita semula…” Ucap Hana perlahan.
Dia menundukkan kepala kemudian melangkah setapak ke belakang sebelum berpaling dan meninggalkan ruang tamu mewah itu tanpa menunggu jawapan balas daripada Puan Zaharah. Dadanya terasa sesak saat ini. Dia tidak mahu kolam air matanya tumpah di hadapan Puan Zaharah dan Hafeeza yang tidak pernah menghargai kehadirannya.
“Hana!” panggil Humaira kuat. Dia cuba menahan Hana namun gadis itu terlebih dahulu menghilangkan diri. Satu keluhan dilepaskan.


HANA menyapu sisa air mata yang berbekas di pipinya sebaik saja kereta diberhentikan tidak jauh dari kawasan rumahnya. Dahinya berkerut apabila melihat beberapa orang sedang berkerumun di hadapan rumahnya.
“Apa hal tu?” soalnya sendirian. Beg dicapai lalu disilangkan ke badan sebelum pintu kereta ditolak. Dia melangkah keluar dengan dahi yang bertindan tindih.
“Aku minta maaf. Aku janji aku akan bayar secepat mungkin,”
Bunyi suara garau yang merayu itu cukup untuk membuatkan langkah Hana mati dengan sendiri. Dia kenal suara itu. Cukup kenal!
“Papa!” jeritnya kuat. Lalu, dia berlari dan merempuh kumpulan lelaki itu sekuat hatinya.
“Papa, apa dah jadi ni?!” teriak Hana lalu memeluk tubuh Tuan Yahya yang terduduk di atas jalan sambil memegang perutnya. Kelihatan ada darah mengalir daripada bibir dan hidung ayahnya.
“Tak ada apa-apa, Hana. Hana jangan masuk campur,” ujar Tuan Yahya dalam kepayahan. Dia menepis tangan Hana. Cuba memberi isyarat agar Hana meninggalkan dia di situ.
“Tak ada apa-apa papa cakap. Berdarah semua ni kenapa? Tentu mereka pukul ayah kan?” suara Hana meninggi. Dia dapat rasakan kesabarannya makin menghilang dengan sikap sesetengah manusia yang suka mencari kesempatan dalam kesempitan orang lain.
Lantas, Hana memalingkan kepalanya. Satu per satu wajah yang berdiri di hadapannya diperhatikan dengan renungan yang tajam.
“Kau orang ni kenapa, hah?! Tak reti nak sabar ke? Kalau kami cakap, kami akan bayar maknanya kami akan bayar! Takkan itu pun tak faham?!” bentak Hana dengan suara yang melengking tinggi. Turun naik dadanya menahan rasa marah yang membuak di dada.
“Nak bayar? Bila? Esok? Lusa? Atau buat-buat lupa?” soal salah seorang daripada mereka tanpa rasa bersalah.
“Sekarang ni kami betul-betul ada masalah kewangan. Tolonglah faham. Memang kami bersalah tapi bukan ini caranya untuk lepaskan kemarahan. Sekarang, kau orang dah serang papa aku, aku boleh laporkan perkara ni pada polis. Walaupun kami bersalah, tapi tak bermakna kau orang boleh buat sesuka hati pada kami!” tegas Hana. Dia mencapai telefon bimbitnya.
Namun, belum sempat dia membuat panggilan, pergelangan tangannya terlebih dahulu direntap. Telefonnya tercampak di sisi Tuan Yahya. Hana mendongak.
“Kau nak tunjuk pandai, perempuan? Ini baru sikit amaran yang kami bagi pada bapak kau. Kami cuma nak hak kami. Itu saja!” lelaki berwajah bengis itu bersuara.
Hana melepaskan nafas berat. Dia merentap tangannya dengan kuat.
“Hak? Banyak kali aku jelaskan pun kau takkan faham kan?” ucap Hana.
Pantas, dia menyeluk beg sandangnya, dompet panjang berwarna hitam dikeluarkan lalu ruang dalamannya dibuka. Beberapa not berwarna merah, hijau muda dan biru dikeluarkan lalu dihulurkan kepada lelaki tersebut.
“Ini saja yang aku ada. Ambillah! Aku tak ada duit lain selain ni. Papa aku pun sama. Kami betul-betul tak ada duit sekarang. Jadi kami minta beri kami masa.” Pinta Hana. Suaranya kembali mengendur. Berharap agar bekas pekerja Tuan Yahya memahami keadaan mereka sekarang ini.
Lelaki itu tersenyum sinis. Dengan selamba, dia menepis tangan Hana. Duit yang dipegang Hana bertaburan di atas jalan. Kemudian, dia mendekati Tuan Yahya. Kolar baju Tuan Yahya dicekak lalu ditarik agar lelaki yang sudah berusia itu berdiri.
“Papa! Jangan apa-apakan papa aku!” Hana kembali menjerit. Dia cuba mendapatkan Tuan Yahya tetapi lengannya pantas dicengkam dengan kuat oleh dua lagi lelaki lain.
Lelaki itu kembali memandang Hana. Dia memandang Hana dari hujung kepala hingga hujung kaki. Akal jahatnya mula merasuk.
“Kalau aku tak boleh apa-apakan bapak kau, apa kata kalau aku jadikan kau sebagai ganti. Boleh dijadikan tebusan untuk bapak kau cari duit secepat yang mungkin,” ujar lelaki itu dengan suara yang cukup menyeramkan Hana.
“Zahid, aku tahu kau bukan lelaki yang jahat. Aku mohon pada kau, jangan apa-apakan anak aku. Aku yang bersalah pada kau orang semua. Hukum aku. Jangan babitkan anak aku. Dia tak tahu apa-apa.” Tuan Yahya cuba memujuk lelaki yang bernama Zahid itu.
“Aku dah muak dengan alasan kau orang. Selagi tak ada orang yang ajar kau orang selagi itulah orang kaya macam kau orang ni tindas kami yang miskin ni. Aku memang miskin tapi aku bukan lembik! Semua titik peluh aku dengan pekerja lain kau buat main. Kau anak beranak hidup mewah, sedangkan aku dengan pekerja lain? Pernah kau ambil tahu? Sekarang, gaji kita orang pula kau rembat? Kau memang tak guna!” maki Zahid lagi. Cengkaman di kolar baju Tuan Yahya diketatkan.
Mata Hana terbuntang melihat papanya diperlakukan seperti itu. Dia cuba merentap tangannya tapi tetap tidak berjaya.
“Lepaskan aku!” ronta Hana.
Dia bertindak dengan memijak kaki salah seorang lelaki yang memegangnya. Lelaki itu terjerit kecil lalu secara spontan melepaskan cengkaman tangannya. Melihat sahabatnya yang kesakitan seorang lagi lelaki turut melepaskan cengkamannya. Kesempatan itu digunakan oleh Hana untuk menerpa ke arah Zahid yang terpinga-pinga melihat kejadian itu.
Pergelangan tangan Zahid cuba direntap namun tidak berhasil. Padahnya, tubuhnya ditolak sehingga dia jatuh tertiarap di atas jalan.
“Hana!”
Sebaik saja melihat anak gadisnya diperlakukan seperti itu, timbul rasa marah dalam diri Tuan Yahya. Pantas, tangan Zahid ditepis dengan menggunakan tenaganya yang masih bersisa. Cubaannya sia-sia apabila Zahid terlebih dahulu mengilas kedua belah tangannya ke belakang. Tuan Yahya mengaduh kesakitan. Dia gagal menyelamatkan dirinya dan Hana.
Hana memusingkan badannya. Hatinya tersiat melihat Tuan Yahya diperlakukan seperti itu. Dia cuba menahan air mata daripada gugur. Dia tidak boleh lemah di hadapan manusia yang buta hatinya.
“Aku merayu pada kau, tolong lepaskan papa aku. Beri aku masa seminggu. Dalam masa seminggu aku akan berikan hak kau dan kawan-kawan kau yang lain. Tapi tolong, tolong lepaskan papa aku.” Rayu Hana. Dia terpaksa berkata sedemikian semata-mata untuk menyelamatkan Tuan Yahya.
“Seminggu? Kau jangan cuba nak main-mainkan aku…”
“Tak! Aku tak main-main! Beri tempoh aku seminggu. Aku akan bayar gaji kau yang tertunggak.” Janji Hana. Dia cuba mengawal riak wajahnya agar tidak ketara bahawa dia sedang kegelisahan walaupun tika ini peluh di dahi seakan tidak mahu berhenti mengalir.
Zahid ingin mengatakan sesuatu namun bunyi siren polis mengejutkan mereka yang berada di situ.
“Zahid, polis! Kita kena cabut sekarang! Kalau tak masak kita!” salah seorang daripada kumpulan mereka bersuara. Wajah masing-masing bertukar cemas termasuk Zahid.
Zahid mendengus. Dia tiada pilihan lain selain akur dengan ahli kumpulannya yang lain. Lantas, tubuh Tuan Yahya ditolak ke tanah sebelum mereka berenam lari meninggalkan kawasan rumah Tuan Yahya.
“Papa! Papa tak apa-apa?” soal Hana lantas mendapatkan Tuan Yahya yang jatuh tersungkur di atas jalan tar. Riak wajahnya cukup cemas.
Tuan Yahya cuba mengukir senyum walaupun senyum itu dirasakan cukup hambar.
“Papa tak apa-apa, sayang. Ni hukuman yang papa kena terima disebabkan sikap cuai papa selama ni,” ujar Tuan Yahya dengan suara yang tersekat-sekat. Dia menekan perutnya yang terasa senak. Dibelasah, disepak oleh Zahid cukup membuatkan badannya terasa berbisa.
“Jom ikut Hana ke hospital. Teruk sangat luka papa ni.” Ujar Hana lalu memapah tubuh Tuan Yahya menghampiri kereta peronda polis yang berhenti di hadapan mereka.
“Apa yang terjadi cik? Kami dapat laporan ada berlaku pergaduhan di kawasan ni,” salah seorang anggota polis itu bersuara. Dia memandang Hana dan Tuan Yahya silih berganti.
“Papa saya kena pukul. Boleh tuan bawakan kami ke hospital?” soal Hana.
“Boleh. Jom ikut kami sekarang.” Ujar anggota polis tersebut lalu keluar dan membuka pintu untuk Hana dan Tuan Yahya.
Hana melepaskan nafas lega sebaik saja dia selamat berada di dalam kereta pihak polis. Dia menyandarkan belakang badannya ke tempat duduk. Dia mengerling ke arah Tuan Yahya yang sedang memejamkan mata. Pantas, tangan Tuan Yahya digenggam lembut. Memberi kekuatan dan semangat.
“Oh, kalau boleh saya tanya, siapa yang buat laporan tadi ya?” soal Hana ingin tahu. Dia benar-benar berterima kasih dengan orang yang telah membuat laporan sekali gus menyelamatkan dia dan papanya daripada sikap panas baran Zahid dan konco-konconya.
“Maaf, kami tak boleh maklumkan pada cik.” Jawab anggota polis itu sopan.
Hana mengeluh. Dia menganggukkan kepala. Faham akan tugas polis. Namun, jauh di sudut hatinya dia bersyukur apabila Allah menghantar bantuan tepat pada waktunya. Namun, sekarang masalah lain pula yang timbul. Mana dia nak cari duit dalam tempoh seminggu seperti yang dijanjikan kepada Zahid?

TUMPUAN Tuan Ruslan di kaca televisyen terganggu apabila telefon bimbitnya berbunyi. Dia mengerling nama yang tertera di skrin. Sebaik saja nama itu menyapa pandangan, sepantas kilat Tuan Ruslan menyambar telefon bimbit yang diletakkan di atas meja. Panggilan dijawab.
“Hah, ada apa telefon?” soal Tuan Ruslan dengan suara yang perlahan. Tidak mahu suaranya mengganggu Puan Leyla yang sedang leka menonton drama di televisyen.
“Tuan minta saya siasat tentang pemilik syarikat Kalam Kreatif kan? Sekarang Tuan Yahya dalam masalah, tuan. Tadi saya ke rumahnya. Saya ternampak Tuan Yahya dipukul oleh beberapa orang lelaki. Memandangkan dia ada masalah dengan syarikat jadi saya syak semua tu bekas pekerja Tuan Yahya, tuan.” Suara di hujung talian berbunyi.
Hmmm… Lagi?” soal Tuan Ruslan. Wajahnya terus berubah riak sebaik saja Johan menyelesaikan bicaranya.
“Saya rasa sekarang Tuan Yahya dan anak dia tentu dalam perjalanan ke hospital. Sekali imbas saya nampak macam teruk juga cedera Tuan Yahya tu, tuan. Err… tuan…” Suara Johan kedengaran tersekat. Dia menelan air liur yang terasa bergumpal di kerongkong.
“Apa dia?” soal Tuan Ruslan pantas.
“Masa saya sampai tadi, saya ternampak…” Kata-kata kembali terhenti seakan ada sesuatu yang menghalang daripada dia berkata-kata.
“Ternampak apa ni?”
Err… Saya ternampak Tuan Rais!”
“Apa?!”
Ternyata sebaris ayat itu mampu membuatkan Tuan Ruslan terkejut. Tanpa sedar dia bingkas berdiri dengan mata yang membulat besar. Rais? Apa kena mengena Rais dan keluarga Tuan Yahya?



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.