Tetamu Rindu

Wednesday, 10 April 2013

Jika Benar Kau Cinta ( Bab 1 )


TAHUN 2009
BUNYI jam loceng yang berdering mengejutkan Taufiqul Isyraq daripada tidurnya yang panjang. Dia merengus kerana mimpinya yang indah diganggu dengan nyaringan jam loceng yang hanya menjalankan tugas yang telah diamanahkan oleh manusia. Dengan rasa yang amat malas Isyraq mencapai jam loceng yang berwarna merah itu.
“ Ala baru pukul 8.30 jam ni dah sibuk nak menjerit.” Rungut Isyraq dengan mata yang separuh terbuka. Namun bila diamati angka jam itu dengan betul baharulah dia melompat turun daripada katil.
“ Alamak dah pukul 8.30 ni. Aku dah lambat!” jerit Isyraq memecah kesunyian pagi itu.
Dengan tergopoh gapah dia menuju ke bilik air. Namun Isyraq terpaksa berpatah balik bila dia terlupa membawa tuala.
“ Shit! Ada je yang tak kena.” Bebelnya lagi.
Setelah siap merapikan diri, Isyraq dengan pantas turun ke bawah kerana dia yakin dia telah lewat untuk ke kelas hari ini. Opps! Bukan hari ini je malah sudah banyak hari dia terlewat maklumlah dia ikut waktu Korea bukan Malaysia.
“ Is tak nak sarapan dulu ke?” Tegur Puan Rahimah menyapa anak sulungnya yang kelihatan tergesa- gesa untuk keluar daripada rumah.
“ Sorry lah mama, Is dah lambat ni. Esoklah Is sarapan dengan mama ya.” Laung Isyraq dari muka pintu. Tangannya lincah mengikat tali kasut yang berwarna putih itu. Tanpa berlengah dia melompat atas motor Yamaha YZF R1 warna merah miliknya. Dia perlu sampai ke kolej dengan secepat mungkin sebelum kelas bermula tapi nampak gayanya memang tak ada peluang untuk dia sampai ke kolej dalam masa lima minit. Tak mungkin sama sekali!
Lima belas minit kemudian dia sampai ke kolej. Sebaik saja dia ingin memakrir motornya di tempat selalu dia parkir, kelihatan ada motor lain yang sudah tersadai di situ. Dengan pantas darahnya menyirap. Dia kenal betul dengan pemilik motor itu. Memang dia ni nak cari nahas dengan aku. Dahlah aku lambat, motor buruk tu pulak sibuk je sailang tempat aku. Memang sakit betul hati aku ni!
Tanpa mahu membuang masa, Isyraq terpaksa memarkir di tempat yang agak jauh daripada biasa. Dia terkocoh- kocoh untuk ke kelas sambil mengeluarkan tag namanya. Sewaktu dia tergesa- gesa untuk masuk ke pintu utama kolej, tiba- tiba bahunya dilanggar oleh seseorang. Dia mendengus marah.
“ Hoi! Tak nampak ke?” Tempik Isyraq sambil memegang bahunya yang sakit. Turun naik nafasnya kerana cuba menahan kemarahan. Dahlah aku lambat ada aje yang buat aku sakit hati. memang nak kena mamat sasau ni. Mamat? Eh sekejap, bukan mamat tapi minah.
“ I’m sorry…” ujar suara yang lembut itu membuatkan suhu kepanasan Isyraq turun ke tahap sederhana. Nasib baik perempuan kalau lelaki memang dah lunyai aku kerjakan. Habislah aku kali ini mesti Puan Marhana marah.
“ Patutnya kau yang cakap macam itu sebab kau yang langgar aku. Habis berterabur kertas- kertas nota aku.” Suara itu kedengaran lagi membuatkan Isyraq tersentak. Pantas kepalanya dipanggung dan dia merenung figura gadis bertudung dan berbaju kurung yang berdiri tegak di hadapannya itu. melawan nampak perempuan ini. Dia belum kenal aku lagi nampaknya.
“ Habis itu kau nak cari gaduh ke?” Cabar Isyraq. Bibirnya diketap geram.
“ Ada aku cakap nak cari gaduh ke? Aku cuma cakap kau yang patut minta maaf bukan aku. Kau yang langgar aku dan sekarang kau nak marah aku. Sungguh bersopan kau ni ya.” Getus gadis yang bernama Hamna dengan berani. Wajah kacak lelaki dihadapannya ditentang. Dia memang pantang dengan lelaki yang kurang ajar seperti lelaki di hadapannya itu. Bukan dia tak kenal dengan lelaki di hadapannya itu. Cukup kenal. Seteru nombor satu dalam hidupnya!
 “ Hey Minah Gendut, kau ingat kau siapa aku nak minta maaf. Nak minta maaf tunggu hari rayalah. Kau belum kenal aku lagi nampaknya. Aku takkan minta maaf dengan Minah Gendut macam kau ni.” Lantang suara Isyraq membalas kata- kata Hamna. Merah wajahnya menahan rasa marah.
Berdesing telinga Hamna mendengar panggilan yang Isyraq berikan padanya. Berani dia panggil aku Minah Gendut? Aku tahulah aku ni tembam tapi taklah sampai gendut. Yang sedang- sedang saja. Mentanglah dia tu kerepeng macam keropok keping sesuka hati nak panggil orang Minah Gendut! Bebel hati Hamna.
“ Nampaknya aku  tak berminat nak kenal dengan lelaki yang perasan bagus, sombong dan menjengkelkan macam kau  ni. Perangai mengalahkan monyet. Orang macam kau ni layak duduk di zoo sahaja sambil makan pisang kalau dah besar panjang macam ni tak pandai nak hormatkan orang lain. And one more thing kalau tak nak minta maaf, sudahlah aku pun tak nak terima maaf daripada orang gila macam kau ni.” Sembur Hamna habis- habisan tanpa menghiraukan wajah Isyraq yang sudah bertukar menjadi merah. Marah tahap cipan dan mungkin telah meningkat ke tahap gajah.
Dengan selamba Hamna menentang pandangan Isyraq yang tajam seperti ingin menelannya hidup- hidup. Namun Hamna hanya selamba tanpa perasaan bersalah kerana sememangnya mulutnya itu tiada insurans nyawa walaupun memang dia tahu mulutnya itu amat memerlukan insurans dengan segera.
Isyraq cukup terkejut dengan kelantangan gadis itu dalam mengkritik dirinya. Dalam diam Israq merasa tercabar dengan keberanian yang ditunjukkan oleh Hamna.  nafasnya diatur cuba mengawal perasaannya yang sudah tidak keruan itu. jika dibiarkan lama pasti lahar panas itu akan meletus.
“ Nasib baik kau ni….”
“ Perempuan.. itu kan kau nak cakap? Dah bosan aku dengar dialog macam itu. cubalah upgrade dialog tu contoh macam kenapalah aku ni sombong sangat ke, kalaulah aku ni lelaki.. kan sedap sikit bunyinya.” Ujar Hamna memintas kata- kata Isyraq.
Sekali lagi Isyraq tersentak. Dia ingin membuka mulut namun kata- katanya dipintas terlebih dahulu. Hamna memang sudah berjaya menaikkan suhu kemarahannya ke tahap maksimum. Ada aku backhand perempuan ni kan!
“ Kau ni memang perempuan sewel kan. Urat dalam kepala otak kau tu dah putus agaknya. Kau ingat ni ya Minah Gendut, aku takkan bagi hidup kau tenang sebab kau dah cari pasal dengan aku!” ujar Isyraq dengan bahasa yang agak kasar.
Hamna mencebik. Dia menayang muka poyo.
“ Eiii…takutnya…takutnya…” ejek Hamna sambil buat- buat gigit jari.
Tak lama kemudian dia menjengilkan matanya pada Isyraq. Mata bulat itu ditentang berani.
“ Takutlah sangat! Huh!!” sambung Hamna bersahaja. Lantas dia berlalu dengan ketawa yang cukup menyakitkan hati Isyraq.
Isyraq terasa ingin menjerit. Hamna memang seorang gadis yang cukup berani melawan kata- katanya malah gadis itu tidak pernah mengalah jika mereka bertikam lidah sebaliknya dia yang kalah jika berbicara dengan gadis itu. Tak apa, lain kali aku akan pastikan kau tewas di tangan aku!

“ KENAPA kau lambat hari ni, Is? Puan Marhana asyik tanya kau je. Dah dua kali kau ponteng kelas,” sapa Elyas sewaktu dia terlihat kelibat Isyraq di kafe.
Dia melabuhkan punggung di hadapan Israq yang kelihatan tegang. Lelaki itu diam membisu.
“ Aku bangun lambat hari ni. Sampai je kat kolej, aku terlanggar pulak minah senget tu. Nak masuk kelas, memang tak sempatlah…” terang Isyraq. Dia menyedut air 100 plus yang dibeli sebentar tadi.
“ Minah senget? Siapa pulak?” soal Elyas lurus. Dia membetulkan cermin mata yang hampir terlurut.
“ Hamna tulah. Siapa lagi, kalau suka sangat cari pasal dengan aku. Dahlah dia parking motor buruk dia kat tempat yang aku selalu parking, tak pasal- pasal aku kena parking bawak pokok. Dahlah jauh dari pintu pagar. Aku memang tak puas hati dengan Minah Gendut tu. Kalau dia lelaki memang dah lama jadi arwah aku rasa,” Isyraq meluahkan rasa geramnya. Penumbuk digenggam.
Elyas tergelak kecil. Dia menggeleng- gelengkan kepala.
“ Kau panggil Hamna tu Minah Gendut?” tanya Elyas sambil menahan tawanya.
Dengan pantas Isyraq mengangguk. Wajahnya masih lagi tegang. Tiada senyuman yang terukir di bibirnya. Memang Isyraq seorang yang susah untuk senyum. Disebabkan wajahnya yang garang itulah, tiada perempuan yang berani untuk dekat dengannya malah tiada seorang perempuan tu yang berani mendekati dirinya kecuali seorang. Siapa lagi kalau bukan perempuan yang mulutnya tiada insurans tu, Ezlaili Hamna.
“ Kenapa kau panggil dia macam tu. Aku tengok dia tak gendut pun. Okey je,” balas Elyas. Dia turut menyedut  teh o ais yang dibeli sebentar tadi. Wajah Isyraq dipandang.
“ Entah, aku sakit hati sangat dengan dia. Kau tahu, dia boleh samakan aku dengan monyet kat zoo. Selamba je dia kutuk- kutuk aku. Siapa tak bengang? Kalau boleh nak je aku sepak- sepak muka dia tu. Dah lama aku sakit hati dengan minah tu,” luah Isyraq.
Dia membuang pandangan ke tempat lain. Tiba- tiba matanya tertacap pada lama wajah seseorang yang sedang berbual dengan rakannya. Gadis itu tersenyum dan ketawa. Isyraq mendengus, setiap kali dia pandang ke tempat lain pasti akan terlihat wajah gadis itu. memang cukup menyerabutkan dan menyemakkan matanya.
“ Aku tengok kau selalu je gaduh dengan Hamna, padahal kau orang berdua ni satu kelas sejak semester pertama lagi. Tak boleh ke kalau kau orang berdua berdamai untuk sem terakhir ni?”
“ Tak boleh! No way!  Aku takkan berdamai dengan perempuan otak mereng macam Hamna tu. Aku takkan lupa apa yang dia buat dekat aku, disebabkan dia aku terpaksa repeat paper TITAS kau tahu tak? Dia suka sangat campur urusan aku. Aku tak suka orang masuk campur urusan aku!” tegas Isyraq.
Elyas terdiam. Dia cukup maklum dengan kisah Isyraq dan Hamna. Disebabkan Hamna yang mengadu perbuatan Isyraq yang meniru semasa ujian bulanan menyebabkan carry mark Isyraq dipotong dan keputusan peperiksaan akhirnya tidak dapat membantu Israq untuk lepas subjek Tamadun Islam Tamadun Asia. Sejak daripada kejadian itu, Isyraq telah melancarkan perang pada Hamna namun yang peliknya Hamna hanya menayang muka tak ada perasaan. Walaupun pelbagai kata- kata kutukan yang Isyraq lemparkan, namun gadis itu hanya melemparkan senyuman sinis. betul- betul kebal hati seorang perempuan bernama Ezlaili Hamna.
Apabila menyebut nama Taufiqul Isyraq siapa yang tidak kenal. Pelajar cerdik tapi tak ada perasaan. Memang itulah sikap Isyraq yang Elyas kenal. Isyraq memang seorang yang susah untuk senyum apatah lagi ketawa. Setiap hari tayang muka bengis muka tak ada perasaan tapi Elyas perasan hanya satu saja perasaan yang biasa Isyraq tunjukkan, perasaan marah! Bukannya Elyas tak tahu ramai perempuan yang cuba mendekati Isyraq tetapi semuanya terpaksa batalkan niat kerana tidak tahan dengan mulut lancang sahabatnya itu.
“ Yang kau asyik nak tergedik- gedik, menggesel- gesel kat aku ni kenapa? Rimas tahu tak?”
Itulah ayat yang biasa Isyraq gunakan apabila ada gadis yang cuba bermanja- manja dengan dirinya. Elyas yang melihat hanya mampu menggelengkan kepala. Muka kacak tapi perangai masya- Allah garang habis.
“ Kau ni aku tengah bercakap pun, kau boleh termenung. Ingatkan si Minah Gendut tu ke?” tempelak Isyraq sambil memetik jarinya di hadapan Elyas yang kelihatan leka termenung.
Elyas tersengih- sengih. Dia menggelengkan kepala.
“ Taklah, aku teringatkan kau…”
“ Kenapa aku pulak? Aku depan kau ni hah.” Pintas Isyraq.
“ Kenapa kau benci sangat pada Hamna? Aku tengok dia baik je…” soal Elyas.
Isyraq mendengus. Tak ada soalan lain ke? Menyampah betul aku dengan soalan yang berkaitan dengan minah tu. Kalau dah benci memang tak ada sebab. Benci tu datang sendiri, nak buat macam mana?
“ Kau tahukan kenapa aku benci dia. Kalau dia tak repot kat ustaz yang aku meniru, aku takkan gagal paper TITAS dan aku takkan repeat paper tu sampaikan bagi efek dekat pointer aku. Dahlah aku tak suka subjek sejarah dia pulak cari pasal dengan aku. Mahu aku tak angin.” Luah Isyraq.
“ Aku tahu pasal tu tapi tak boleh ke kau maafkan dia…” sambung Elyas lagi.
“ Boleh tapi dalam mimpi! Kalau boleh nak je aku hantuk kepala perempuan mereng tu!” ujar Isyraq dengan suara yang sengaja dikuatkan. Dia memandang ke arah Hamna yang turut memandang ke arahnya.
“ Apahal kau pandang- pandang aku?!” soal Hamna kasar.
Dia mengangkat kepalanya pada Isyraq yang duduk di meja tidak jauh daripadanya. Pandangan tajam dilemparkan buat lelaki itu. Rasa sakit hati apabila teringat panggilan yang selalu lelaki itu panggilkan padanya.
“ Na, sudahlah tu…” Fika cuba memujuk. Dia menyentuh lengan sahabatnya itu.
“ Eh, kau ingat kau tu cantik sangat ke, sampai aku kebulur nak pandang kau! Muka macam mak lampir, perasan je lebih!” pintas Isyraq selamba.
“ Tak guna! Kau yang pandang aku lepas tu kau kutuk aku. Memang terbaiklah kan. Kau, kalau tak puas hati dengan aku baik cakap depan- depan tak payah nak kutuk- kutuk aku. Kang ada yang makan penampar!” Hamna tak mahu kalah.
Dia sudah berdiri dan bersiap sedia untuk menyerang Isyraq yang sudah berdiri tegak. Mereka beradu pandangan.
“ Is, sudahlah tu. Malulah orang tengok,” tegur Elyas turut bingkas sambil memegang lengan Isyraq.
Dengan pantas, Isyraq menepis tangan Elyas. Dia sudah bergerak menghampiri Hamna yang memandangnya dengan tajam. Macamlah aku takut!
“ Kau nak tampar aku? Sampai ke? Dahlah kentot, gendut pulak tu. Tapi kalau aku tampar kau, gerenti berpusing 40 kali!” ejek Isyraq sambil tersenyum sinis.
Hamna mengenggam tapak tangannya. Cuba mengumpul kesabaran yang semakin menipis. Kecil saja Isyraq di matanya.
“ Aku benci kau!!!” tempik Hamna tak semena- mena.
Fika dan Elyas tersentak. Mereka berpandangan. Mereka menanti reaksi daripada Isyraq yang kelihatan selamba dengan senyuman sinisnya.
Isyraq mendekatkan wajahnya dengan wajah Hamna. Ditenung anak mata Hamna yang terlindung di sebalik kaca mata besar yang dipakai. Anak mata itu bulat sama seperti cermin matanya. Macam Detective Conan pun ada juga rupa Hamna jika di amati betul- betul. Isyraq mengutuk dalam hati.
“ Benci aku mengatasi benci kau pada aku!” tekan Isyraq. Walaupun suaranya perlahan tapi cukup tegas. Dengan selamba dia menunjal kepala Hamna.
Bulat mata Hamna dengan perbuatan Isyraq. Terlopong mulutnya. Belum pernah ada yang berani menunjal kepalanya. Sensitif tau!
“ Kurang ajar!!” marah Hamna. Matanya sudah mengecil. Kesabarannya sudah hilang melayang.
Tanpa buang masa, dia memijak kaki Isyraq dengan sekuat hati. Dihentak- hentak kakinya atas kaki lelaki itu dengan rasa marah yang membuak- buak. Tak kurang dengan itu, satu tumbukan keras lekat di perut Isyraq tanpa disedar. Huh, rasakan!
Isyraq tak sempat menepis.
“ Adoiiii! Sakitlah!” tempik Isyraq.
Terjongket- jongket Isyraq memegang kakinya yang dipijak oleh Hamna. Namun, belum sempat sakitnya hilang, perutnya terasa senak ditumbuk oleh Hamna.  Isyraq tidak dapat mengimbangi badan, dia jatuh terlentang di atas lantai.
“ Is!!!” jerit Elyas lantas mendapatkan kawannya  yang jatuh terbungkam. Huish, tak sangka Hamna seganas itu. Buntang biji matanya melihat aksi ganas yang Hamna lakukan.
“ Huh, rasakan! Jangan sesekali cabar aku Is, kau akan menyesal!” jerit Hamna lagi.
“ Sudahlah tu Na, malu orang tengok. Ganas sangat kau ni,” tegur Fika sambil menarik lengan Hamna daripada dekat dengan Isyraq. Kalau dibiarkan pasti teruk Isyraq dikerjakan oleh Hamna. Hamna ni bukan boleh dikira sangat, buat meroyannya sampai boleh terbungkam Isyraq nanti.
“ Aku takkan lepaskan kau Hamna! Kau tunggulah pembalasan daripada aku!” Isyraq masih belum kalah. Dia memegang perut dengan dahi yang berkerut- kerut. Pautan kemas Elyas menyukarnya untuk bergerak.
“ Fika, awak tolong bawak kawan awak tu pergi dari sini, sekarang!” arah Elyas.
Fika mengangguk laju. Lantas,  dia mengheret Hamna supaya menjauhi Isyraq.
“ Aku tak takut dengan kaulah! Boleh blah dengan kau!” tempik Hamna lagi dengan lantang. Dia kelihatan seperti orang kena rasuk.
Isyraq cuba bangun untuk mendapatkan Hamna namun dia ditahan oleh Elyas.
“ Sabar, sabar Is. Jangan ikutkan rasa marah tu. Isghtifar banyak- banyak!”
“ Aku tak boleh kalah dengan dia, Elyas. Aku akan kerjakan dia cukup- cukup! Aku tak kira! Dia dah malukan aku! Aku akan pastikan dia pun dapat malu!” ucap Isyraq sambil menumbuk lantai kafenya.
Pandangannya di halakan ke arah Hamna dan Fika yang semakin menjauh. Sakit hatinya semakin membukit. Bencinya semakin mendalam. Kau akan terima akibatnya Ezlaili Hamna!

Tuesday, 9 April 2013

Mini Novel : Jika Benar Kau Cinta ( Prolog )


TAHUN 2013
Hamna mempercepatkan langkahnya. Sesekali dia memandang ke belakang. Nafasnya tercungap- cungap menahan rasa penat kerana terpaksa berjalan dengan laju. Kain kurung ditarik sedikit agar langkahnya boleh dipanjangkan. Tak mungkin lelaki itu wujud kembali dalam hidupnya selepas hampir beberapa tahun mereka tidak bertemu.
“ Ezlaili Hamna!!” jerit suara lelaki itu dari jauh. Kelihatan lelaki yang  berbaju kemeja warna biru itu mengejarnya daripada belakang.
Hamna makin tidak keruan. Dia ingatkan selepas kejadian dulu, mereka tidak lagi dipertemukan tetapi ternyata takdir Tuhan berkehendak lain. Sewaktu dia pergi temuduga sebentar tadi, dia dikejutkan dengan pertemuan yang tidak disangka- sangka.
“ Okey, Cik Ezlaili Hamna boleh masuk bilik tu,” tunjuk penyambut tetamu itu kepada Hamna dengan senyuman ramah.
Hamna membalas senyuman itu dengan manis. Dia mencapai beg tangan dan fail lalu berdiri dengan penuh semangat. Aku kena dapatkan kerja kali ni. Aku dah penat jadi penanam anggur yang berjaya. Bisik hatinya.
Langkahnya di hayun ke arah bilik yang ditunjukkan. Dia mengetuk pintu dan memberi salam dengan dada yang berdebar- debar. Aik, lain macam je jantung aku ni berdebar. Macam nak melompat keluar je gayanya. Sabarlah wahai jantung hatiku. Lima minit je temuduga ni. Sabar ye, sabar. Hamna cuba memujuk jantungnya.
Salamnya dijawab dari dalam. Kedengaran suara orang menyuruhnya masuk. Dengan pantas, Hamna memulas tombol pintu. Dia melemparkan senyuman manis seperti mana yang disuruh oleh pensyarahnya dulu- dulu.
“ Kalau awak semua pergi interview, jangan lupa untuk berikan senyuman walaupun masa tu awak tengah gementar. Jangan tunjuk sangat rasa gementar tu,”
Hah, itulah pesanan yang diberikan oleh Puan Putri dulu, sampai sekarang masih melekat dalam otak Hamna. Namun, kata- kata Puan Putri tidak menjadi kali ini. Sebaik sahaja melihat wajah penemuduganya sepantas kilat senyuman yang terukir di bibir Hamna mati Cuma hatinya saja yang tidak sudah- sudah berdenyut.
Kelihatan lelaki itu sudah berdiri sambil matanya memandang tepat ke dalam anak mata Hamna yang kaku di muka pintu.
“ Ezlaili Hamna?” lelaki itu menyebut nama penuhnya.
Bagaikan tersedar daripada mimpi, Hamna tersentak. Dia menggelengkan kepala. Aku tak nak jumpa kau lagi! jerit hati Hamna.
Tanpa membalas apa- apa, Hamna lari meninggalkan pejabat itu dengan perasaan yang bercampur baur. Kenapa masih lagi wujud pertemuan antara dia dengan lelaki itu di saat luka lama masih lagi belum sembuh? Kenapa langkahnya tertuju kepada lelaki itu? Kenapa mesti lelaki itu?
Sedang asyik dia cuba melarikan diri tiba- tiba…
Bukkkk!!!
Kepalanya terlanggar tiang lampu yang elok berdiri di depan mata. Sejak bila pula ada tiang lampu ni? Adoi, sakitnya kepala aku! jerit hati Hamna. Dia menggosok- gosok dahinya.
“ Hamna, tunggu dulu!” jerit lelaki itu.
Alamak, dia dah dekat. Aku kena lari lagi ni. Hamna bertekad. Tapi tekadnya tinggal tekad, lelaki itu sudah tercegat di depan mata. Dia terpaksa mendongk memandang wajah lelaki itu yang agak tinggi daripadanya. Dia cuba membuka langkah tetapi dengan pantas lengannya disambar oleh lelaki itu.
“ Hoi, apa pegang- pegang? Nak kena sepak ke?” marah Hamna lantang lantas merentap tangannya dengan kasar.
Lelaki itu mengangkat tangan tanda menyerah kalah. Tapi untuk melepaskan gadis itu pergi tidak mungkin dia lakukan.
“ Lama aku tak jumpa kau, sampai hati kau pergi macam tu je…” ucap lelaki itu lembut.
Matanya redup memandang wajah Hamna yang serius. Huih, dah macam gangster je aku tengok muka dia ni. Kelat sungguh!
“ Eh, suka hati akulah nak pergi macam tu ke macam ni ke, ada kau kisah!” balas Hamna kasar. Dia menjeling. Tangannya disilang ke dada sementara wajahnya dipalingkan ke arah lain.
“ Amboi, garangnya kau. Tak berubah macam dulu…” ucap lelaki itu lagi.
Hamna mencebik. Dia tersenyum sinis.
“ Eiii…dahlah aku nak balik. Serabutlah kau ni…”
“ Kau datang nak minta kerja kan? Kenapa nak balik macam tu je?”
Hamna menjeling wajah lelaki itu yang kelihatan tenang.
“ Aku tak jadi nak minta kerja. Aku minta kat tempat lain jelah,” balas Hamna acuh tak acuh.
Lelaki itu terdiam. Lama dia menatap wajah Hamna sebelum senyuman manis terukir di bibirnya.
Dahi Hamna berkerut. Dah kenapa senyum pula mamat ni? Aku cakap bukan main lagi serius dia boleh senyum je? Dah tak betul agaknya.
“ Betul kau nak kerja kat tempat lain?” soal lelaki itu.
“Yalah,” balas Hamna malas.
“ Okey…” balas lelaki itu.
Hamna tersentak. Okey? Tu je? Memang perangai tak pernah berubah! Detik hati Hamna. Tanpa menunggu lama, dia berlalu meninggalkan lelaki itu yang diam membisu.
“ HAH, macam mana dengan interview kamu hari ni Na? Dapat tak kerjanya?” tanya Puan Rosnani tanpa sempat Hamna memberi salam.
Hamna menghempaskan badannya di sofa. Wajah ibunya yang masih menanti jawapannya ditenung lama. Nak dapat macam mana mak, tak sempat interview Na dah cabut lari. Jawab hatinya.
“ Tak dapat mak. Jawatan tu dah penuh…” bohong Hamna.
Wajahnya diraup dengan telapak tangan. Dia memejamkan mata namun wajah lelaki itu terbayang di ruang mata menggamit peristiwa dulu bertandang di ruang fikiran. Sungguh hatinya masih sakit dengan apa yang berlaku walaupun kejadian itu sudah hampir bertahun berlalu.
“ Mak rasa kamu ni kena mandi bungalah Na. Semua kerja yang kau cari tak dapat. Kerja pulak tak pernah tetap, ada je yang tak kena dengan kerja tu kat mata kau. Kalau ada orang pinang kau mak terima je,” bebel Puan Rosnani sambil tangannya lincah melipat kain.
Hamna tersentak. Dia panggung kepala memandang wajah ibunya.
“ Eh, Na nak kerjalah mak. Tak ada maknanya nak kahwin- kahwin ni. Tunggu jelah jodoh datang bergolek,” balas Hamna tak mahu kalah.
“ Banyaklah kau punya golek,”

JERITAN Puan Rosnani mengejutkan Hamna yang sedang leka menonton TV. Dengan pantas dia mendapatkan Puan Rosnani yang berada di luar rumah.
“ Kenapa mak ni menjerit- jerit macam Pontianak Harum Sundal Siang dan Malam ni?” tanya Hamna selamba.
“ Amboi, mulut kamu ni tak agak- agak panggil mak pontianak…” balas Puan Rosnani sambil menjeling.
Hamna tersengih membariskan giginya yang tersusun rapi. Dia mengangkat dua batang jarinya. Peace yo!!
“ Ada apa mak panggil Na ni?” soal Hamna tidak sabar.
Dia dapat melihat Puan Rosnani sedang memegang sesuatu di tangan. Nampak macam surat dalam saiz A4. Apa agaknya? Hmmm…
“ Ni hah, ada surat untuk kamu. Mungkin surat tawaran kerja lagi kut,” Puan Rosnani membuat telahan.
Dia memandang wajah anaknya yang kelihatan sedikit bercahaya. Puan Rosnani tahu Hamna memang sedang resah menanti kerja yang tidak kunjung tiba. Sudah hampir empat tahun anak perempuannya itu mencari kerja tetap tetapi semuanya hampa. Satu kerja pun tak lekat dengan anaknya itu.
Hamna tersenyum. Dia menyabut huluran Puan Rosnani. Sampul surat berwarna putih itu dibuka dengan rasa yang tidak sabar. Dia membaca satu persatu ayat yang tertera di dalam surat itu. Tetapi yang peliknya tiada nama pengirim.
Puan Rosnani menanti dengan sabar namun dia pelik wajah Hamna berubah pucat. Anaknya itu bagaikan terkaku.
“ Na, kenapa diam je ni? Bacalah kat mak, surat apa tu?” gesa Puan Rosnani tidak sabar.
Hamna diam seribu bahasa. Wajah ibunya dipandang tanpa perasaan. Kalau ditoreh wajahnya sekarang pasti tidak ada darah. Tangannya menggigil memegang surat yang memang tidak dijangka itu.
“ Mak..mak…” Hamna memanggil ibunya.
“ Ye, mak kan ada dekat sini. Yang kamu jadi macam patung cendana bernyawa ni kenapa pulak?” soal Puan Rosnani pelik.
“ Mak, Na rasa macam nak pengsan.” Balas Hamna. Kepalanya sudah mula pening- pening lalat. Kali ini bukan rasa macam pening lalat tapi dah sampai tahap langau.
Surat itu yang menjadikan dirinya seperti berada di atas awan. Aku bermimpi ke ni? soal hatinya. Tak, takkanlah aku mimpi bawak mak sekali. Kalau bukan mimpi, apakah semua ini?
“ Kalau nak pengsan pun baca dulu surat tu…” balas Puan Rosnani selamba.
Hamna memegang kepalanya. Dia berpaut pada lengan Puan Rosnani. Demi tidak mahu menghampakan Puan Rosnani, akhirnya dia membuka mulut.
“ Tawaran kerja seumur hidup. Dengan sukacitanya saya ingin memaklumkan bahawa saudari telah terpilih untuk menjadi pekerja di Syarikat Rumahtangga.  Jawatan yang ditawarkan adalah seperti berikut…” Hamna membacakanya pada Puan Rosnani.
Kelihatan dahi Puan Rosnani berkerut.
“ Syarikat Rumahtangga? Syarikat apa tu Na? Mak tak pernah dengar pun. Syarikat pembinaan ke?” soal wanita itu lagi.
“ Na pun tak tahu mak. Na tak penah mohon pun dekat syarikat ni…” balas Hamna. Tapi bukan nama syarikat yang dia membuatnya ingin pengsan tapi….
“ Jawatan apa Na?” tanya Puan Rosnani lagi.
Hamna serba salah. Dia meneguk air liur yang terasa berpasir.
“ Jawatan….” Hamna tidak menghabiskan bicaranya. Dia serba salah. Wajahnya sudah berubah merah.
“ Jawatan apa?” soal Puan Rosnani. Dia mengetap bibir. Geram dengan sikap main-main anaknya itu.
Hamna menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Nak bagitahu tak nak? Nak? Tak nak? Kang kalau aku bagitahu, mesti mak pengsan. Syarikat ni pun satu, kenapalah nak main- main dengan aku. Bisik hatinya.
“ Jawatan…”
“ Sekali lagi kau cakap jawatan je, mak bakar surat tu. Jawatan apa?!” tanya Puan Rosnani hampir menjerit.
Bahu Hamna terhinjut.
“ Jawatan….”
“ Apa?!”
“ Isteri sepenuh masa, mak!”
“ Hah??!”

Sunday, 31 March 2013

Eksklusif : RYT


“ QIS tunggu dulu.” Panggil Ryan sewaktu mereka sampai di rumah.
Balqis berpaling. Dia ingatkan Ryan akan terus bersama dengan Zarryn tetapi ternyata lelaki itu mengikutinya pulang. Balqis melepaskan keluhan. Langkahnya dihentikan.
“ Kau nak apa lagi?” Tanya Balqis malas. Dia menghempaskan tubuh di sofa. Wajah cemberut Ryan dipandang tanpa perasaan.
“ Kenapa kau tak balik rumah terus? Sempat lagi kau pergi jumpa Daniel kat luar ek. Kau ingat aku ni apa? Ada aku izinkan kau keluar dengan Daniel?” Soalan Balqis dibalas soalan.
“ Kau ni kelakarlah Ryan, kalau aku balik pun bukan kau ada kat rumah pun. Pasal aku nak jumpa Daniel atau sesiapa pun bukan hak kau nak halang. Lagipun kau keluar dengan Zarryn ada aku halang? Tak ada kan so mine your own business.” Balas Balqis agak sinis.
Ryan tersentak. Balqis sudah berani melawannya. Baharu semalam mereka berbual mesra di telefon. Sesungguhnya Ryan memang tidak sabar menanti kepulangan Balqis dari kampung memandangkan sudah dua hari mereka tidak berjumpa, terbit juga rasa rindu pada temannya itu. Oleh itu, awal pagi lagi dia sudah bangun untuk menunggu kepulangan isterinya tetapi panggilan daripada Zarryn yang mengajaknya untuk sarapan membantutkan niat Ryan untuk menunggu Balqis. Dia tidak menyangka akan terserempak dengan Balqis dan Daniel di Mid Valley. Panas hatinya melihat kemesraan mereka hanya ALLAH yang tahu tetapi dipendamkan sahaja.
“ Sejak bila kau pandai melawan aku Balqis? Apa pun yang berlaku dengan perkahwinan kita, kau tu masih isteri aku yang sah dan aku berhak untuk tidak membenarkan kau keluar dengan lelaki lain.” Tegas Ryan dengan suara yang tegang.
“ Kau keluar dengan perempuan lain boleh pula? Aku dan Daniel hanya sekadar kawan tapi kau dan Zarryn? Hanya ALLAH yang tahu apa hubungan korang. Aku tak pernah larang untuk kau keluar dengan Zarryn dan kau jangan nak halang aku keluar dengan sesiapa saja yang aku suka.” Bidas Balqis geram. Asyik kita je yang tak boleh buat itu dan ini, dia boleh pulak. Bebel hati Balqis.
“ Hal ini tak kena mengena dengan Zarryn, Qis. Kau tak malu ke keluar dengan Daniel sedangkan kau tu isteri orang. Kalau kau terserempak dengan umi atau abah apa aku nak jawab dengan mereka nanti?” Kemarahan Ryan masih belum reda. Tajam dia merenung wajah Balqis yang kelihatan tenang.
Balqis tersenyum sinis.
“ Kau cakaplah yang isteri kau ni curang!”
“ Qis!” Tengking Ryan dengan suara melengking. Kesabarannya sudah mencapai tahap maksimum. Tangan yang diangkat hampir singgah ke muka Balqis.
Balqis terkesima. Dadanya berombak kencang. Belum pernah Ryan berkasar seperti ini dengannya. Balqis sebak. Pertengkaran mereka terhenti hanya mata mereka sahaja bertautan. Balqis kecewa. Ryan kesal. Perlahan- lahan tangannya diturunkan.
“ Sekali lagi kau buat macam ni aku takkan teragak- agak…”
“ Nak pukul aku?” Potong Balqis pantas. Dengan berani dia menentang wajah kacak Ryan. Wajah itu dipandang dengan penuh kebencian.
“ Kau ingat aku akan biarkan kau sentuh aku? Boleh jalanlah!