Tetamu Rindu

Thursday, 6 October 2016

BISIK PADA LANGIT ( BAB 8 )







BUNYI TAWA Hajar dan Irwan bergema di tepi tasik tersebut. Perkenalan pertama mereka membuatkan mereka ketawa geli hati. Masih segar di minda Hajar reaksi Irwan yang tidak percaya dengan keupayaan dia menceritakan serba sedikit tentang superbike milik lelaki itu.
“Awak tak percaya ya masa tu saya memang banyak tahu tentang superbike?” Soal Hajar sambil menoleh ke sisi.
Irwan mengangguk dengan tawanya yang masih bersisa. Dia turut berpaling ke sisi. Dia tersenyum manis.
“Bukan setakat tak percaya tapi kagum pun ada. Kebiasaan kawan-kawan perempuan saya yang lain, bila saya bercakap pasal motor je tentu dia orang alih topik. Tapi awak, laju macam keretapi je awak cerita pasal motor saya tu. I’m impressed.” Ujar Irwan sambil meleretkan senyuman.
Hajar tertunduk seketika.
“Dah memang itu minat saya. Sejak kecil lagi saya memang minat menunggang. Apa saja berkaitan dengan motor saya minat walaupun ayah saya banyak kali larang saya. Bagi saya bila menunggang motor ni, ia dapat beri kepuasan pada saya. Kepuasaan yang tak mampu saya jelaskan. Bak kata Valentino Rossi, riding a bike is an art- a thing that you do because you feel something inside.” Terang Hajar penuh dengan semangat.
Irwan menganggukkan kepala tanda faham. Hampir tiga tahun dia mengenali Hajar, perangai gadis itu sudah masak pada dirinya. Hajar bukan seperti gadis lain yang sentiasa memenuhi aktiviti dengan membeli-belah dan bersolek, Hajar seorang gadis yang unik. Gadis itu menghabiskan masanya dengan bekerja dan belajar untuk mengapai cita-citanya yang masih belum tercapai.
“Saya tahu. Sebab itulah saya belikan awak ni…” Ucap Irwan lalu mengeluarkan sesuatu daripada beg sandangnya lalu ditayangkan di hadapan Hajar yang sudah berkerut muka.
“Apa ni?” Soal Hajar pelik. Dia cuba mengamati kertas empat segi yang ditunjukkan oleh Irwan.
“Guess what?” Soal Irwan masih cuba berteka-teki.
Hajar tidak menjawab sebaliknya dia menyambut huluran tangan Irwan. Satu persatu maklumat yang tertera di atas kertas itu dibaca dengan teliti. Tidak lama kemudian dia menutup mulut dengan telapak tangannya. Dia tidak percaya dengan apa yang dia lihat.
“Tiket MotoGP??” Soalnya sedikit teruja. Anak matanya tuntas memandang Irwan. Mengharapkan penjelasan selanjutnya daripada buah hatinya itu.
Irwan mengangguk laju. Dia tersenyum lebar.
“Yup, tiket MotoGP kat Philip Island bulan sepuluh ni. Awak mesti suka kan?” Soal Irwan sekadar ingin melihat reaksi Hajar.
Hajar menjerit kegirangan. Memang itulah impiannya. Dia ingin melihat sendiri perlumbaan motosikal bertaraf dunia itu dari dekat. Ini merupakan satu peluang yang takkan dia lepaskan.
“Bukan setakat suka tapi saya dah tak sabar! Kenapa kena bulan sepuluh? Kenapa tak esok je?” Hajar mula teruja. Dia memeluk tiket itu dengan seerat mungkin.
Irwan hanya ketawa melihat telatah Hajar.
“Tapi tiket ni bukan dekat grand stand tapi bolehlah untuk kita tengok Valentino Rossi, idola awak tu berlumba.” Ucap Irwan sambil mengerling ke sisi.
Hajar tersenyum nipis. Dia menumpukan sepenuh perhatian pada Irwan yang berada di sisinya.
“Saya tak kisah pun awak asalkan saya dapat tengok MotoGP ni bersama-sama awak. Itu cukup bermakna untuk saya. Saya tahu tiket ni mahal. Awak susah payah dapatkan untuk saya. Saya janji saya akan bayar balik harga tiket ni. Awak jangan risau ya?” Balas Hajar lembut.
“Tak payahlah, awak. Saya memang hadiahkan tiket ni pada awak. Saya nak beli bunga, awak tak suka bunga. Saya nak beli coklat, awak tak makan benda-benda manis. Saya nak beli cincin, awak tak suka pakai. Nampaknya terpaksalah saya korbankan segalanya untuk beli tiket MotoGP ni. Hai, apalah nasib dapat kekasih, minah motor!” Keluh Irwan sambil berpura-pura mengesat peluh di dahi.
Hajar ketawa besar. Spontan dia menumbuk lembut bahu Irwan. Dia tahu Irwan hanya bergurau.
“Awak nak tahu kenapa saya sayang sangat kat awak?” Soal Hajar dengan mata yang bersinar-sinar.
Irwan menggeleng pantas. Dia menjongketkan kening.
“Kenapa?”
“Sebab awak faham naluri saya. Awak tak sama dengan kawan-kawan lelaki saya yang lain. Bila saya cakap saya minat motor, mesti dia orang akan gelakkan saya. Mereka cakap saya ni acah-acah mat rempit padahal saya memang minat motor. Saya tak berpura-pura minat sekadar untuk dapatkan perhatian. Saya betul-betul ikhlas dengan minat saya. Jiwa saya ni macam dah sebati dengan kelajuan dan motor. Sebab itu saya tengah berusaha keras untuk dapatkan apa yang saya nak. Saya akan buktikan pada orang yang cakap saya bukan sia-sia.” Ujar Hajar perlahan.
Irwan tersenyum manis.
“Saya tahu awak boleh buktikan, Hajar. Saya faham awak seperti mana awak faham saya. Malah, pengetahuan tentang motor melebihi kawan-kawan lelaki saya. Bagi saya awak unik. Satu dalam sejuta yang hadir dalam hidup saya. Awak jangan risau, kalau tak ada sesiapa yang percaya pada awak, saya akan sentiasa setia di sisi awak.” Balas Irwan.
Hajar sekadar menganggukkan kepala. Betapa dia rasa bertuah apabila dikurniakan insan yang istimewa seperti Irwan. Lelaki itu bukan setakat kekasih malahan lelaki itu adalah rakannya yang sangat baik dan memahami.
“Tapi boleh saya tanya awak sesuatu?” Soal Irwan membuatkan Hajar menoleh ke sisi.
“Apa dia?” Soalan dibalas soalan oleh Hajar. Dia merenung tepat ke anak mata Irwan yang kelihatan gelisah.
“Ayah awak tahu tak pasal kita ni?” Irwan kembali menyoal. Suaranya kedengaran tersekat-sekat. Bimbang soalan itu menganggu fikiran Hajar tetapi dia inginkan kepastian. Kepastian yang bernoktah.
Hajar tidak menjawab. Mati terus senyumannya. Soalan itu tampak senang tetapi jawapan yang harus diberikan begitu sukar untuk diungkapkan. Ayahnya bukan seperti ayah orang lain. Ketegasannya sukar untuk dilenturkan. Akhirnya, hanya keluhan yang terbit di celah bibir Hajar sebagai jawapan. Soalan Irwan dibiarkan berlalu dibawa angin yang berpuput lembut.

NUN JAUH beribu batu dari tempat Hajar termenung, kelihatan seorang lelaki tua sedang menggalas batang pancing di bahunya. Baju yang tersarung di tubuhnya tampak lusuh dengan baju T putih terpakai kemas di tubuh dan sehelai kemeja lengan panjang yang disingsing hingga ke siku menutupi baju T yang dipakai. Sementelah itu, sehelai tuala lusut dililitkan di kepalanya.
Wak Rosli memandang laut yang terbentang luas. Dia mencari tempat sesuai untuk dilabuhkan batang pancingnya. Laut ini mengingatkan dia pada seseorang. Seseorang yang jauh daripada pandangannya. Rasa rindu yang menggebu memaksa Wak Rosli untuk membawa dirinya hingga ke sini. Hanya laut yang mengerti asakan perasaannya. Hanya alam yang bisa mententeramkan perasaan rindunya pada anak tersayang.
Hampir empat tahun mereka terpisah jasad, berbicara di telefon pun jarang-jarang. Hanya sekeping poskad menjadi pengantara mereka berdua. Melepaskan rindu yang terbenam jauh ke dalam sanubari.
“Hajar….” Sebaris nama itu meniti di bibir Wak Rosli. Dia menarik nafas panjang lalu menghembuskannya dengan perlahan.
“Anak ayah apa khabar agaknya? Semoga Hajar sentiasa berada dalam lindungan Allah selalu. Jaga iman ya, sayang.” Bisik Wak Rosli perlahan. Cukup hanya dia yang mendengar. Cukup hanya alam yang menjadi saksi bisunya.
“Ayah! Ayah!” Laung satu suara garau membuatkan Wak Rosli berpaling.
Terkocoh-kocoh Iqram berlari mendapatkan ayahnya. Anak lelakinya yang berusia 20 tahun kelihatan memegang pancing dan sebuah baldi kecil di tangan. Wak Rosli menunggu dengan penuh sabar.
“Hah, kenapa?” Soal Wak Rosli pendek.
Dia lihat anak lelaki bongsunya itu sedikit termengah-mengah. Penat berlari mungkin. Telah hati Wak Rosli. Dia memandang anaknya yang sedang memegang lutut. Cuba menyedut oksigen bagi mengurangkan rasa lelahnya.
“Am dapat banyak ikan. Nah, ayah tengoklah!” Ujar Iqram bangga sambil menunjukkan baldi yang berisi lima ekor ikan pari di dalamnya.
Wak Rosli menjengukkan kepala ke dalam baldi. Dia tersenyum nipis. Ikan-ikan ini mengingatkan dia pada Hajar. Anak gadisnya itu pasti teruja saat pancing yang mereka tahan ditarik ikan.
“Hajar tentu suka kalau ikan-ikan ni mak masak asam pedas!” Ujar Wak Rosli tiba-tiba. Matanya berkaca.
Senyuman di bibir Iqram mati dengan sendirinya. Dia mengemam bibir menahan rasa yang berlibang-libu di dalam dada. Sejak kakaknya melanjutkan pelajaran ke Australia, tidak pernah walau dalam sehari nama itu tidak meniti di bibir ayahnya. Sebagai anak yang paling bongsu, sedikit sebanyak timbul rasa cemburu terhadap kasih sayang yang ayahnya limpahkan pada Hajar. Cuma rasa itu dipendamkan jauh ke dalam lubuk hatinya yang paling dalam. Dia anak lelaki sepatutnya dia tidak lemah dengan permainan emosi. Itulah kata-kata yang sering Iqram laungkan dalam hatinya.
“Ayah….” Panggil Iqram perlahan.
Wak Rosli berpaling. Dia membalas pandangan Iqram dengan tanda tanya. Wajah Iqram yang kelat membuatkan kening Wak Rosli terjongket. Ada yang salah ke aku cakap tadi? Detik hatinya.
“Apa dia?” Soalnya pendek. Matanya masih ligat mengira ikan pari yang menggeletik di dalam baldi.
“Hajar tak ada kat sini, ayah.” Ucap Iqram perlahan.
Wak Rosli terkedu. Pandangannya beku seketika. Ada rasa sayu menyelubungi dadanya. Ada angin rindu yang menderu dalam kalbunya. Rasa rindu seorang ayah pada anaknya memang takkan pernah terpadam.
“Oh, ayah lupa pulak. Tak apalah, kita mintak mak masak asam pedas ikan pari. Tentu sedap makan ramai-ramai nanti. Kau tak kerja hari ni?” Soal Wak Rosli cuba mengalih topik perbualannya.
Iqram tersenyum hambar. Dia tahu ayahnya cuba meredakan perasaan tetapi rasa sendu itu jelas tergambar di wajah tua milik ayahnya.
“Hari ni kan hari Jumaat, ayah. Am cuti. Lama Am tak ikut ayah memancing. Rindu pulak rasanya nak datang ke jeti ni. Tak sangka ikan-ikan masih banyak lagi kat sini.” Balas Iqram cuba menghidupkan suasana.
“Kalau kakak kau ada sekali tentu lagi seronok. Biasanya dia yang selalu tolong ayah buangkan ikan daripada mata kail tu. Bila dapat ikan, dia melompat tinggi tak usah nak cakaplah.” Balas Wak Rosli dengan tawa kecil meniti di bibirnya.
Senyuman manis Iqram bubar dengan sendirinya. Bicara ayahnya menyentuh hati. Dia menarik nafas dan melepaskannya dengan perlahan.
“Ayah, Am tahu ayah rindukan kakak tapi ayah janganlah sampai macam ni sekali. Tak lama lagi kakak baliklah ayah. Am risau kalau ayah terus macam ni, nanti ayah sakit pulak. Kalau ayah sakit, tentu kakak risau. Kesian dia tak tenang nak belajar kat sana.” Hujah Iqram cuba mengingatkan ayahnya.
Wak Rosli tertunduk menekur lantai pantai.
“Aku cuma rindukan dia je. Kalau menyebut nama dia boleh kurangkan rindu aku, apa salahnya aku sebut. Lagipun dia tak pernah jauh daripada kita. Kali ni bila dia tak ada sedikit sebanyak terkesan juga kat aku ni sebagai ayah dia.” Balas Wak Rosli sebelum mengemas semua alatan memancing. Hilang terus moodnya hari ini.
“Am tahu ayah, tapi kakak pergi sana untuk tuntut ilmu. Insya-Allah, semua baik-baik hendaknya. Abang dan Am akan selalu ada di sisi ayah.” Pujuk Iqram dengan lembut.
Wak Rosli tidak membalas. Dia tahu dua anak lelakinya itu memang boleh diharap tetapi itu tetap tidak dapat menggantikan tempat Hajar. Anak perempuannya itu tiada gantinya.
“Dahlah, jom balik. Dah nak senja ni.” Ajak Wak Rosli tanpa mengulas kata-kata Iqram dengan lanjut.
Iqram hanya menurut. Cahaya di kaki langit mula berubah warna. Warna cerah yang melatari langit mula bertukar keperang-perangan. Tahulah Iqram, senja akan menjengah tidak lama lagi. Lalu, langkah kakinya diayun mengikut rentak ayahnya dari arah belakang. Lama anak mata Iqram memandang susuk tubuh Wak Rosli dari belakang. Hatinya terbetik sayu.
‘Am pun anak ayah. Kenapa ayah tak pernah peduli? Am ni tak ada nilai ke di mata ayah? Memang Am tidak mampu menyaingi kakak dalam segala hal, tapi kami tetap dari darah yang sama. Am juga anak ayah tapi kenapa ayah tak pernah nampak Am?’ Detik hati Iqram. Pilu dan nyilu.


BISIK PADA LANGIT ( BAB 7 )






“HAHHH!” SERGAH satu suara mematikan lamunan Hajar yang panjang. Hampir saja dia terlompat daripada tempat duduknya akibat terkejut. Lantas, dadanya diurut perlahan.
“Ya Allah, kus semangat!” Omel Hajar sambil berpaling ke sisi. Dia cuba meredakan dadanya yang berombak kencang.
Irwan yang melihat reaksi Hajar terkekek-kekek ketawa. Wajah Hajar yang merona merah begitu mencuit hatinya.
“Irwan!” Bentak Hajar lalu mencapai batu kecil kemudian dilemparkan tepat ke dada Irwan yang masih ketawa.
“Awak tahu tak, gaya awak terkejut tu sebijik macam monyet kat zoo yang lapar pisang. Serius lawak betul. Lupa pulak saya nak rakam tadi!” Usik Irwan sambil menyambung tawanya.
Hajar mencekak pinggang. Rasa ingin dicekiknya Irwan saat ini namun dia masih lagi waras. Satu jelingan dihadiahkan buat Irwan yang sudah melabuhkan punggung di sisinya. Tawa lelaki itu mulai reda.
“Seronoklah awak gelakkan saya. Tak senonoh tau sergah macam tu. Tak boleh ke kalau awak bagi salam dulu? Saya tak terkejut, pahala pun awak dapat.” Bebel Hajar lagi sambil membetulkan hujung tudungnya yang ditiup angin.
Irwan tersenyum kecil. Inilah perkara yang dia suka tentang Hajar, gadis itu tidak pernah jemu mengingatkan dia tentang kelebihan memberi salam sehinggakan dia sendiri jatuh hati tanpa sedar pada gadis bernama Siti Hajar ini.
“Saya dah lama bagi salam. Dah masuk tiga kali tapi awak tu leka sangat termenung. Awak ingatkan siapa? Ingat lelaki lain ke?” Soal Irwan dengan suara berubah tegang.
Hajar menoleh. Secebis senyuman diukirkan buat Irwan. Nada suara Irwan yang berubah itu menandakan lelaki itu sedang cemburu. Hajar ingin menguji.
“Haah, saya ingat lelaki lain. Lelaki yang cukup bermakna dalam hidup saya. Saya tak boleh hidup tanpa dia.” Jawab Hajar dengan riak yang cukup serius. Dia melemparkan pandangan di dada tasik yang jernih. Kelihatan dua ekor swan sedang berenang dengan bebas.
“Siapa lelaki tu? Hebat sangat ke dia sampaikan awak sanggup buat saya macam ni?” Soal Irwan mula panas hati. Darahnya berderau mendengar kata-kata Hajar.
“Memang hebat malah cukup hebat. Lebih hebat daripada awak. Sebelum saya jumpa awak, dialah lelaki pertama yang saya cinta.” Jawab Hajar lagi. Dia dapat mengesan riak kurang senang yang terpamer di wajah Irwan. Hajar cuba menahan gelak. Dia ingin lihat sejauh mana cinta Irwan pada dirinya.
Irwan mula tidak senang duduk. Dia merasa panas punggung. Cermin mata yang tersungging di hidung, dibetulkan sedikit.
“Awak tak pernah cerita pun pada saya tentang hal ni. Saya tak cukup baik ke untuk awak? Kalau awak rasa dia boleh membahagiakan awak lebih daripada saya, saya rela…” Bicara Irwan terhenti. Dia tidak sanggup untuk melafazkan kata. Sungguh dia terasa sebak saat ini. Bukan ini yang diimpikan saat hatinya mula mencintai Hajar. Dia bayangkan hari-harinya yang mendatang lebih bahagia apabila Hajar ada di sisi tetapi pengakuan Hajar tadi begitu meremukkan hatinya.
Hajar menanti kata-kata Irwan yang selanjutnya. Dia cuba mengawal riak namun sebaik saja dia melihat air mata yang bergenang di kelopak mata Irwan, spontan dia menghamburkan tawa. Tawa yang bersambung-sambung.
Irwan berpaling. Dahinya berkerut melihat Hajar yang ketawa berdekah-dekah. Gadis itu menekan perutnya.
“Kenapa awak ketawa pulak? Saya tengah sedih ni!” Bentak Irwan. Terasa dirinya diperkotak-katikkan oleh Hajar.
“Kenapa awak sedih?” Soal Hajar tanpa mengulas kata-kata Irwan.
“Saya sedihlah sebab awak jumpa lelaki lain yang lebih baik daripada saya. Kalau saya tak dapat bagi awak kebahagiaan, saya rela lepaskan awak untuk orang yang lebih baik.” Jawab Irwan laju.
Hajar meneruskan tawa. Lama dia merenung wajah Irwan yang bersih. Tiga tahun menyulam cinta dengan Irwan, dia terasa cukup dihargai oleh lelaki seperti Irwan. Saat dia susah, lelaki itu orang pertama yang menghulurkan tangan untuk memberi pertolongan. Tiada sebab untuk dia mengecewakan lelaki sebaik Irwan.
“Awak ni lurus bendul jugak kan?”
“Kenapa pulak?” Soal Irwan tidak berpuas hati. Dia menyeka air mata yang hampir mengalir keluar.
“Lelaki lain yang saya maksudkan tu, ayah saya. Dia kan lelaki pertama yang hadir dalam hidup saya. Dia cinta pertama dan cinta terakhir saya. Awak ni pun janganlah serius sangat.” Balas Hajar.
Irwan hanya tersengih. Dia menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal. Malu pula apabila dia yang terlebih emosi.
“Salah awak juga sebab main-mainkan saya. Awak tahu kan Hajar saya sayangkan awak. Saya cuma nak awak yang menemani saya hingga ke akhir hayat saya. Saya tak pernah jatuh cinta tapi bila saya jatuh cinta pada awak, saya rasa macam tak nak bangkit. Saya rela terus rebah.” Ucap Irwan penuh romantis.
Hajar hanya tersenyum manis. Hatinya berbunga-bunga dengan bicara Irwan.
“Aduhhh!” Ucap Hajar kemudian memegang dadanya. Dia memejamkan mata seolah-olah dadanya betul-betul terasa sakit.
“Kenapa dengan awak Hajar?” Soal Irwan cemas.
“Hati saya sakitlah!” Jawab Hajar sambil menekan-nekan dadanya.
“Hah, hati awak sakit? Jom saya bawak pergi hospital!” Ucap Irwan lalu bangkit.
Dia cuba untuk menarik lengan Hajar namun perbuatannya terbejat. Hampir dia terlupa yang dia dan Hajar masih tiada sebarang ikatan. Tambahan pula Hajar memang tidak suka dirinya disentuh. Irwan mula kelam-kabut.
“Saya tak nak pergi hospital. Panggilkan saya doktor.” Ujar Hajar dengan suara yang tertahan-tahan.
Irwan menggaru belakang kepalanya. Doktor? Mana aku nak cari doktor ni? Soal hatinya resah.
“Kat sini tak ada doktor, Hajar. Kita pergi hospital ya? Mana tahu ada komplikasi kat hati awak tu.” Ucap Irwan memujuk.
“Buat apa saya pergi hospital kalau doktor hati saya ada depan mata.” Jawab Hajar kemudian mendongak. Anak matanya bertentangan dengan Irwan.
Kedua-dua insan itu berpandangan dengan agak lama sebelum Hajar melebarkan senyuman. Irwan masih lagi kebingungan. Dia kurang mengerti dengan maksud kata-kata Hajar.
“Hajar, awak…”
“Awaklah doktor hati saya. Penyembuh luka di hati saya.” Ujar Hajar kemudian ketawa besar. Dia membetulkan duduknya semula sambil menghadap tasik.
Irwan mengetap bibir. Geram apabila selalu dikenakan oleh Hajar. Spontan, dia menarik belakang tudung Hajar.
“Irwan, jangan tarik tudung sayalah!” Marah Hajar dengan wajah yang berkerut.
“Awak main-mainkan saya tak apa pulak. Sesak nafas saya bila tengok awak sakit macam tu tau. Jangan buat saya macam ni lagi. Saya tak suka. Saya nak tengok awak sentiasa tersenyum pada saya.” Ujar Irwan sambil merenung wajah Hajar daripada sisi.
“Kehidupan kita ni penuh misteri, awak. Kita takkan tahu bila hidup kita akan menemui noktahnya. Bagi saya hidup ni umpama sebuah karangan. Segalanya telah ditulis dan segalanya sudah dikawal. Tetapi apabila ia menemui penamat, tiada siapa yang dapat menyambungnya.” Ucap Hajar penuh makna.
Irwan terdiam. Wajah Hajar kelihatan berseri-seri di pandangannya. Dia tersenyum sendirian. Inilah gadis yang dipilih untuk menjadi buah hatinya. Dia takkan pernah menyesal apabila memilih Hajar menjadi insan yang teristimewa dalam hidupnya.
“Saya harap saya ada dalam karangan hidup awak…” Ucap Irwan seraya berpaling ke sisi.
Serentak, Hajar turut berpaling. Mereka berpandangan dan bertukar senyuman.  Kenangan pertama kali mereka bersua kembali terlayar di ruang fikiran.

“THEIF! THEIF! Help me!” Satu jeritan bergema di kawasan bank sehingga menarik perhatian beberapa orang yang lalu lalang. Ada yang menjengukkan kepala untuk melihat apa yang berlaku.
Di koridor bangunan tersebut, kelihatan seorang gadis bertudung mengejar seorang lelaki berkulit putih yang sedang memegang beg sandangnya. Gadis itu menggapai-gapai tangannya cuba menangkap pencuri yang berlari di celah orang ramai.
“Theif! Help me! Help!” Jerit Hajar lagi. Dia menguatkan larian mengejar pencuri yang berjaya meragut begnya saat dia keluar dari bangunan bank.
Tercungap-cungap nafas Hajar cuba menyedut oksigen. Dia mengerah segala tenaga yang ada untuk menangkap pencuri tersebut. Saat dia hampir mengapai baju lelaki itu di bahagian belakang, tiba-tiba lelaki itu melompat naik ke atas motosikalnya. Tanpa menunggu lama, pencuri itu terus memecutkan motornya meninggalkan Hajar.
“Tak guna!” Jerit Hajar. Hampir berputus asa. Namun, belum sempat dia menangis, sebuah motosikal berkuasa tinggi berhenti di hadapannya. Menderum-derum bunyi enjin motor tersebut menarik perhatian Hajar.
Dahi Hajar berkerut melihat penunggang motosikal tersebut. Anak mata Hajar jatuh pada motor yang ditunggang oleh lelaki yang tidak dikenalinya itu. Wow, Honda CBR1000RR Repsol Champion Special Edition! Siapa lelaki ni? Detik hati Hajar. Sempat lagi dia menilik motor yang digunakan oleh lelaki misteri itu.
“Faster! We must catch the thief now!” Ujar lelaki itu menyedarkan Hajar.
Hajar tersentak. Dia hanya memandang lelaki yang memakai helmet Arai RX-7V HRC LTD full face dan bersut lengkap. Tidak lama kemudian dia mengangguk lantas melompat naik ke atas motor.
Lelaki misteri itu memulas minyak dengan kuat. Berderum laju motosikal itu membelah jalan raya yang sibuk. Dari jauh Hajar dapat melihat lelaki yang membawa lari begnya sedang menunggang motor tanpa rasa bersalah. Timbul rasa sakit hati dalam hatinya.
“I can see him! There! Hurry up!” Jerit Hajar lagi. Dia terpaksa menguatkan suara bagi menyaingi bunyi angin yang kuat.
Lelaki itu hanya menurut. Dia meningkatkan kelajuan. Dengan sekelip mata, berdesup Honda CBR1000RR  membelah jalan raya. Lelaki itu menghampiri motosikal milik pencuri itu. Hajar menjerit cuba memberi isyarat agar lelaki itu menghentikan motornya. Namun, lelaki itu masih lagi enggan sebaliknya dia turut menambah lagi kelajuan.
Hajar bengang. Dadanya berombak kencang.
“Hey! Stop right there! I say stop right there!” Hajar memberi arahan sambil menuding jarinya pada pencuri begnya. Pencuri itu langsung tidak mengendahkan Hajar. Dia masih cuba melarikan diri.
Hajar mula naik darah. Dia sudah bersedia saat lelaki misteri mendekati motosikal pencuri tersebut. Hajar mula mengambil langkah berani, saat motor menghampiri motosikal pencuri itu, Hajar menggunakan sepenuh tenaganya dan satu tendangan dihadiahkan tepat pada belakang motosikal terbabit.
Pencuri tersebut tidak dapat mengawal motosikalnya lalu terbabas di bahu jalan. Hajar bersorak kemenangan. Dia puas apabila melihat pencuri tersebut tergolek di tepi jalan.
“Stop! Stop!” Arah Hajar sambil menepuk belakang badan lelaki yang dia tumpangi.
Lelaki tersebut menghentikan motornya berhampiran dengan pencuri tersebut. Sebaik saja motor dihentikan, Hajar terus melompat dan menghampiri pencuri terbabit. Dia merampas kembali begnya daripada tangan pencuri itu.
“Lain kalau kalau nak duit mintak, bukan mencuri. Menyusahkan orang betul!” Bebel Hajar dalam Bahasa Melayu. Dia yakin pencuri itu tidak faham tapi dia hanya biarkan.
“Sorry, I’m sorry! Please don’t call police!” Rayu pencuri itu sambil mencantumkan kedua-dua belah tangannya.
Hajar merengus. Melotot anak matanya memandang wajah pencuri tersebut.
“If I do not call the police now, you’ll do the same thing to others in future. It’s better to put you in jail before you create another problems!” Hajar bersuara tegas.
Kelihatan pencuri itu menggigil. Dia bingkas bangun. Jelas dia ketakutan.
“Please don’t let police know. I swear, this is my last time!” Janji pencuri itu.
Hajar menggelengkan kepala. Tanpa mempedulikan pencuri tersebut, Hajar terus menyeluk poket mencari telefon bimbitnya. Dia tetap dengan keputusannya untuk menelefon polis.
Tanpa Hajar sedar, pencuri itu sudah bersiap sedia. Dia menyeluk saku di bahagian belakang seluarnya lantas saat Hajar sedang leka melihat telefon, dia mengeluarkan pisau lipatnya yang disembunyikan di belakang. Saat Hajar sedang membelakanginya, pencuri tersebut cuba menyerang Hajar dari arah belakang.
Perbuatan itu disedari oleh lelaki misteri yang datang bersama Hajar. Dia memandang Hajar dan pencuri itu silih berganti. Sedar Hajar dalam bahaya, lelaki itu terus bertindak pantas. Dia berlari ke arah Hajar lalu lengan Hajar ditarik kuat dan dia membiarkan tubuhnya melindungi tubuh kecil milik Hajar.
Zappppp!
Lengan lelaki itu ditoreh. Darah tersembur.
“Arghhhh!” Lelaki itu menjerit keras. Hajar tergamam.
Pencuri itu mula terketar-ketar. Pisau yang dipegang, terlepas daripada genggaman.
Lelaki misteri itu bengang. Berombak dadanya menahan rasa marah mula bercampur dengan rasa pedih yang terasa jelas di lengannya. Lantas, tanpa menunggu lama lelaki itu menolak Hajar ke belakang. Serentak, satu tendangan dihadiahkan tepat ke dada pencuri tersebut. Pencuri itu rebah tersungkur di atas tanah.
Lelaki itu masih tidak berpuas hati, dia mencapai helmet milik pencuri itu yang jatuh atas tanah lalu diangkat untuk menghentak kepala pencuri tersebut. Tetapi pencuri itu segera bingkas bangun dan lari lintang-pukang meninggalkan lelaki itu dan Hajar.
“Tak guna punya penyangak! Kecil-kecil tak nak mati, besar-besar menyusahkan orang!” Bebel lelaki itu dengan Bahasa Melayu yang fasih. Dia mengetap bibir sambil menekup lengannya yang berdarah.
Hajar yang masih tergamam terus tergamam. Telinganya menangkap jelas bahasa yang digunakan oleh lelaki misteri ini. Lama dia mengamati tetapi dia masih tidak tahu siapakah gerangan lelaki yang sudah memberi pertolongan pada dirinya.
“Awak orang Malaysia?” Soal Hajar setelah agak lama mendiamkan diri.
Lelaki itu berpaling. Jelas di matanya Hajar yang sedang kebingungan. Dia tersenyum sendiri kemudian menganggukkan kepala.
“I’m proud to be Johorean.” Ujar lelaki itu membuahkan senyum di bibir Hajar.
“Saya pun orang Johor. Saya orang Benut. Awak?” Soal Hajar teruja. Hampir saja dia menjerit kerana tidak menyangka akan bertemu dengan orang senegara dengannya. Apabila berada di bumi asing, bertemu dengan orang Malaysia, itu sama seperti berjumpa dengan keluarga sendiri.
“Saya orang Pontian.” Jawab lelaki itu ramah.
Hajar melonjak gembira. Namun, senyuman manisnya mati sebaik saja melihat lengan lelaki itu yang berdarah.
“Alamak, tangan awak berdarah. Maafkan saya! Kalau bukan sebab saya, awak takkan jadi macam ni.” Ucap Hajar sarat dengan rasa bersalah yang menggunung.
“Jangan cakap kalau, itu perkataan yang syaitan suka. Dah takdir saya datang selamatkan awak. Selamatkan orang senegara dengan saya umpama saya selamatkan diri saya sendiri. Awak jangan risau, luka ni sikit je. Saya boleh tahan.” Ujar lelaki itu dengan ramah.
Hajar kagum seketika. Timbul rasa senang dengan perwatakan lelaki yang tidak diketahui namanya itu.
“Saya Hajar. Siti Hajar. Awak?” Soal Hajar sambil merenung tepat ke anak mata lelaki itu.
“Irwan Hakeem. Awak boleh panggil saya Irwan je.” Ucap lelaki itu sambil menanggalkan helmetnya.
Hajar terpaku. Terkebil-kebil anak matanya memandang wajah Irwan. Wajah itu seperti pernah dilihatnya. Tapi di mana?
“Kita pernah jumpa ke? Saya rasa macam pernah jumpa awak…” Ucap Hajar sambil mengecilkan matanya. Sedaya upaya dia cuba mengingati wajah Irwan yang putih kemerahan itu.
“Faculty of Engineering (Petroleum). University Of Melbourne. Second year student. Do you remember? Kita jumpa masa rumah terbuka hari raya tahun lepas di kedutaan.” Balas Irwan cuba mengingatkan pertemuan pertama mereka.
Anak mata Hajar melilau-lilau cuba mengingati sesuatu. Dia terlopong seketika.
“Hah, saya dah ingat. Awak Irwan Shah budak yang suka duduk kat belakang kelas. Suka masuk lambat. Assignment pun awak suka hantar lambat kan?” Soal Hajar lagi sambil menuding jari ke wajah Irwan yang terkulat-kulat.
Irwan tersengih-sengih. Malu juga apabila dia diingati dengan sikap buruk.
“Janganlah cakap macam tu, saya ada sebab saya sendiri kenapa masuk lambat.” Ujar Irwan sambil menundukkan wajah.
Hajar tersenyum nipis. Sejuk matanya melihat wajah Irwan yang tenang.
“Saya tahu. Awak buat kerja part- time kan?” Soal Hajar.
Kepala Irwan tegak kembali. Anak matanya bertaut dengan Hajar. Tekaan Hajar mengena.
“Macam mana awak tahu?” Soalan dibalas soalan oleh Irwan.
“Sebab saya pun buat kerja part-time juga.” Jawab Hajar.
“Awak buat kerja part-time pun, result awak selalu bagus. Awak selalu jadi best student. Tak macam saya ni. Pointer pun cukup-cukup makan je.” Ucap Irwan merendah diri.
Hajar hanya tersenyum.
“Sebagai balas jasa awak sebab tolong saya, saya akan ajar awak. Kita buat study group sama-sama. Amacam?” Hajar memberi cadangan.
Irwan teruja. Anak matanya mula bersinar. Sinar yang cukup bahagia.
“Boleh! Saya setuju!” Irwan memberi kata putus.
“Tapi sebelum tu, biar saya balut luka awak dulu.” Ucap Hajar. Dia mencari sesuatu dalam beg sandangnya. Tidak lama kemudian dia mengeluarkan sehelai sapu tangan lalu dia menghampiri Irwan yang ralit memerhati dirinya.
“Luka awak ni walaupun tak dalam mana tapi kena balut juga. Bimbang ada kuman pulak yang hinggap.” Ujar Hajar. Dia meneruskan kerjanya membalut luka di lengan Irwan.
Irwan tidak membalas sebaliknya dia hanya merenung wajah Hajar yang sawo matang. Wajah gadis itu kelihatan sangat comel di matanya. Dia tersenyum apabila melihat Hajar yang begitu risau akan dirinya.
“Okey, dah siap!” Ucap Hajar lantas mendongak.
Duppp!
Jantungnya bagai direntap. Bertentangan mata dengan Irwan tika ini menjemput debaran di hati Hajar. Sebolehnya dia cuba mengawal riak namun pandangan Irwan begitu memukau jiwa wanitanya.
“Ehem… Okey, terima kasih.” Ucap Irwan mematikan lamunan mereka berdua. Dia mengalihkan pandangan ke lengannya yang sudah berbalut kemas.
“Sama-sama. Saya balik dulu.” Balas Hajar dengan suara yang hampir tidak kedengaran.
Mata Irwan tegak memandang Hajar.
“Awak nak balik dengan apa?” Soalnya ingin tahu.
“Errr…Saya naik teksilah.” Jawab Hajar serba salah. Dia memandang sekeliling. Kelihatan kawasan ini sunyi sepi. Hanya satu dua buah kenderaan yang lalu lalang, malah kelibat teksi pun tidak kelihatan.
“Saya rasa payah awak nak jumpa teksi kat sini. Apa kata saya hantar awak balik?” Irwan memberi cadangan.
Hajar mula gelisah.
“Naik motor dengan awak ke?” Soalnya lagi.
“Yelah, tadi pun awak naik motor dengan saya kan?”
“Tadi saya tak sengaja. Sebenarnya saya tak biasa naik motor dengan lelaki. Kalau ayah saya tahu ni, memang teruk saya kena marah. Saya harap awak jangan fikir bukan-bukan bila saya naik motor dengan awak tadi. Saya buat semua tu sebab nak selamatkan beg saya ni.” Bicara Hajar dengan laju.
Irwan ketawa kecil. Dia menggeleng-gelengkan kepala melihat telatah Hajar yang mudah kelam-kabut.
“Saya tahulah. Awak tak perlu jelaskan pun. Saya betul-betul nak tolong awak ni. Kalau awak tunggu teksi kat sini, esok pun belum tentu awak akan dapat teksi. Kat sini jarang dapat teksi. Percayalah.” Balas Irwan cuba menyakinkan Hajar.
Hajar berbelah bahagi. Dia memerhati kawasan sekeliling. Mungkin kata-kata Irwan ada benarnya. Lantas, dia menghampiri lelaki itu.
“Baiklah, kali ni saya ikut cakap awak. Tapi boleh ke awak bawak motor tu? Tangan awak sakit. Kalau awak tak kisah, saya boleh bawakan.” Balas Hajar dengan kelopak mata yang terkebil-kebil memandang Irwan.
Irwan tersenyum nipis. Fikirnya Hajar hanya bergurau.
“Awak pandai ke bawak motor besar ni? Awak tu kecil nanti tak pasal-pasal kena hempap dengan motor.” Gurau Irwan.
Hajar tersenyum sinis. Lelaki itu memandang rendah pada dirinya. Tetapi tak mengapa, lelaki itu masih belum mengenalinya. Jadi dia biarkan Irwan larut dalam persepsinya sendiri.
“Motor awak ni Honda CBR1000RR Repsol Champion Special Edition kan? Honda CBR ni atau dikenali sebagai Fireblade mula diperkenalkan sejak tahun 1992 sampailah sekarang. Design motor yang awak pakai ni sempena kemenangan Marc Marquez menjadi juara dunia dua kali dalam kejohanan MotoGP. Betul tak?” Soal Hajar sambil mengangkat-angkat keningnya.
Irwan menelan air liur. Dia terkedu mendengar penerangan Hajar. Nampaknya gadis itu tahu banyak tentang superbike. Dia kagum dalam diam. Lambat-lambat dia menganggukkan kepala mengeyakan kata-kata Hajar.
“Macam mana awak tahu? Saya ingat perempuan lembut macam awak ni…” Irwan tidak jadi meneruskan kata apabila dia melihat Hajar mula melangkah menghampiri superbike miliknya. Gadis itu berjalan mengelilingi motornya sambil mengetuk jari di dagu.
“This Honda CBR engine is capable of producing 171 horsepower and 78.3 pound-feet of torque. It is allow the bike to cover a distance from 0 t0 6mph in just 2.6 seconds to go with top speed of 145mph. Superbike awak ni direka sebijik macam motor Repsol Honda yang Marc Marquez dan Dani Pedrosa gunakan dalam MotoGP. Kelajuan yang sama. Am I right?” Soal Hajar lagi sambil merenung tepat ke wajah Irwan yang melopong.
Irwan melongo. Terkebil-kebil dia memandang Hajar. Dia tidak manyangka pengetahuan Hajar tentang superbike begitu meluas. Jelas, Hajar bukan calang-calang gadis!