BUNYI
TAWA
Hajar dan Irwan bergema di tepi tasik tersebut. Perkenalan pertama mereka
membuatkan mereka ketawa geli hati. Masih segar di minda Hajar reaksi Irwan
yang tidak percaya dengan keupayaan dia menceritakan serba sedikit tentang
superbike milik lelaki itu.
“Awak tak percaya ya masa tu saya memang banyak tahu
tentang superbike?” Soal Hajar sambil
menoleh ke sisi.
Irwan mengangguk dengan tawanya yang masih bersisa.
Dia turut berpaling ke sisi. Dia tersenyum manis.
“Bukan setakat tak percaya tapi kagum pun ada.
Kebiasaan kawan-kawan perempuan saya yang lain, bila saya bercakap pasal motor
je tentu dia orang alih topik. Tapi awak, laju macam keretapi je awak cerita
pasal motor saya tu. I’m impressed.”
Ujar Irwan sambil meleretkan senyuman.
Hajar tertunduk seketika.
“Dah memang itu minat saya. Sejak kecil lagi saya
memang minat menunggang. Apa saja berkaitan dengan motor saya minat walaupun
ayah saya banyak kali larang saya. Bagi saya bila menunggang motor ni, ia dapat
beri kepuasan pada saya. Kepuasaan yang tak mampu saya jelaskan. Bak kata
Valentino Rossi, riding a bike is an art-
a thing that you do because you feel something inside.” Terang Hajar penuh
dengan semangat.
Irwan menganggukkan kepala tanda faham. Hampir tiga
tahun dia mengenali Hajar, perangai gadis itu sudah masak pada dirinya. Hajar
bukan seperti gadis lain yang sentiasa memenuhi aktiviti dengan membeli-belah
dan bersolek, Hajar seorang gadis yang unik. Gadis itu menghabiskan masanya
dengan bekerja dan belajar untuk mengapai cita-citanya yang masih belum
tercapai.
“Saya tahu. Sebab itulah saya belikan awak ni…” Ucap
Irwan lalu mengeluarkan sesuatu daripada beg sandangnya lalu ditayangkan di
hadapan Hajar yang sudah berkerut muka.
“Apa ni?” Soal Hajar pelik. Dia cuba mengamati
kertas empat segi yang ditunjukkan oleh Irwan.
“Guess what?”
Soal Irwan masih cuba berteka-teki.
Hajar tidak menjawab sebaliknya dia menyambut
huluran tangan Irwan. Satu persatu maklumat yang tertera di atas kertas itu
dibaca dengan teliti. Tidak lama kemudian dia menutup mulut dengan telapak
tangannya. Dia tidak percaya dengan apa yang dia lihat.
“Tiket MotoGP??” Soalnya sedikit teruja. Anak
matanya tuntas memandang Irwan. Mengharapkan penjelasan selanjutnya daripada
buah hatinya itu.
Irwan mengangguk laju. Dia tersenyum lebar.
“Yup, tiket MotoGP kat Philip Island bulan sepuluh
ni. Awak mesti suka kan?” Soal Irwan sekadar ingin melihat reaksi Hajar.
Hajar menjerit kegirangan. Memang itulah impiannya.
Dia ingin melihat sendiri perlumbaan motosikal bertaraf dunia itu dari dekat.
Ini merupakan satu peluang yang takkan dia lepaskan.
“Bukan setakat suka tapi saya dah tak sabar! Kenapa
kena bulan sepuluh? Kenapa tak esok je?” Hajar mula teruja. Dia memeluk tiket
itu dengan seerat mungkin.
Irwan hanya ketawa melihat telatah Hajar.
“Tapi tiket ni bukan dekat grand stand tapi bolehlah untuk kita tengok Valentino Rossi, idola
awak tu berlumba.” Ucap Irwan sambil mengerling ke sisi.
Hajar tersenyum nipis. Dia menumpukan sepenuh
perhatian pada Irwan yang berada di sisinya.
“Saya tak kisah pun awak asalkan saya dapat tengok
MotoGP ni bersama-sama awak. Itu cukup bermakna untuk saya. Saya tahu tiket ni
mahal. Awak susah payah dapatkan untuk saya. Saya janji saya akan bayar balik
harga tiket ni. Awak jangan risau ya?” Balas Hajar lembut.
“Tak payahlah, awak. Saya memang hadiahkan tiket ni
pada awak. Saya nak beli bunga, awak tak suka bunga. Saya nak beli coklat, awak
tak makan benda-benda manis. Saya nak beli cincin, awak tak suka pakai.
Nampaknya terpaksalah saya korbankan segalanya untuk beli tiket MotoGP ni. Hai,
apalah nasib dapat kekasih, minah motor!” Keluh Irwan sambil berpura-pura mengesat
peluh di dahi.
Hajar ketawa besar. Spontan dia menumbuk lembut bahu
Irwan. Dia tahu Irwan hanya bergurau.
“Awak nak tahu kenapa saya sayang sangat kat awak?”
Soal Hajar dengan mata yang bersinar-sinar.
Irwan menggeleng pantas. Dia menjongketkan kening.
“Kenapa?”
“Sebab awak faham naluri saya. Awak tak sama dengan
kawan-kawan lelaki saya yang lain. Bila saya cakap saya minat motor, mesti dia
orang akan gelakkan saya. Mereka cakap saya ni acah-acah mat rempit padahal
saya memang minat motor. Saya tak berpura-pura minat sekadar untuk dapatkan
perhatian. Saya betul-betul ikhlas dengan minat saya. Jiwa saya ni macam dah
sebati dengan kelajuan dan motor. Sebab itu saya tengah berusaha keras untuk
dapatkan apa yang saya nak. Saya akan buktikan pada orang yang cakap saya bukan
sia-sia.” Ujar Hajar perlahan.
Irwan tersenyum manis.
“Saya tahu awak boleh buktikan, Hajar. Saya faham
awak seperti mana awak faham saya. Malah, pengetahuan tentang motor melebihi
kawan-kawan lelaki saya. Bagi saya awak unik. Satu dalam sejuta yang hadir
dalam hidup saya. Awak jangan risau, kalau tak ada sesiapa yang percaya pada
awak, saya akan sentiasa setia di sisi awak.” Balas Irwan.
Hajar sekadar menganggukkan kepala. Betapa dia rasa
bertuah apabila dikurniakan insan yang istimewa seperti Irwan. Lelaki itu bukan
setakat kekasih malahan lelaki itu adalah rakannya yang sangat baik dan
memahami.
“Tapi boleh saya tanya awak sesuatu?” Soal Irwan
membuatkan Hajar menoleh ke sisi.
“Apa dia?” Soalan dibalas soalan oleh Hajar. Dia
merenung tepat ke anak mata Irwan yang kelihatan gelisah.
“Ayah awak tahu tak pasal kita ni?” Irwan kembali
menyoal. Suaranya kedengaran tersekat-sekat. Bimbang soalan itu menganggu
fikiran Hajar tetapi dia inginkan kepastian. Kepastian yang bernoktah.
Hajar tidak menjawab. Mati terus senyumannya. Soalan
itu tampak senang tetapi jawapan yang harus diberikan begitu sukar untuk
diungkapkan. Ayahnya bukan seperti ayah orang lain. Ketegasannya sukar untuk
dilenturkan. Akhirnya, hanya keluhan yang terbit di celah bibir Hajar sebagai
jawapan. Soalan Irwan dibiarkan berlalu dibawa angin yang berpuput lembut.
NUN
JAUH
beribu batu dari tempat Hajar termenung, kelihatan seorang lelaki tua sedang
menggalas batang pancing di bahunya. Baju yang tersarung di tubuhnya tampak
lusuh dengan baju T putih terpakai kemas di tubuh dan sehelai kemeja lengan
panjang yang disingsing hingga ke siku menutupi baju T yang dipakai. Sementelah
itu, sehelai tuala lusut dililitkan di kepalanya.
Wak Rosli memandang laut yang terbentang luas. Dia
mencari tempat sesuai untuk dilabuhkan batang pancingnya. Laut ini mengingatkan
dia pada seseorang. Seseorang yang jauh daripada pandangannya. Rasa rindu yang
menggebu memaksa Wak Rosli untuk membawa dirinya hingga ke sini. Hanya laut
yang mengerti asakan perasaannya. Hanya alam yang bisa mententeramkan perasaan
rindunya pada anak tersayang.
Hampir empat tahun mereka terpisah jasad, berbicara
di telefon pun jarang-jarang. Hanya sekeping poskad menjadi pengantara mereka
berdua. Melepaskan rindu yang terbenam jauh ke dalam sanubari.
“Hajar….” Sebaris nama itu meniti di bibir Wak
Rosli. Dia menarik nafas panjang lalu menghembuskannya dengan perlahan.
“Anak ayah apa khabar agaknya? Semoga Hajar sentiasa
berada dalam lindungan Allah selalu. Jaga iman ya, sayang.” Bisik Wak Rosli
perlahan. Cukup hanya dia yang mendengar. Cukup hanya alam yang menjadi saksi
bisunya.
“Ayah! Ayah!” Laung satu suara garau membuatkan Wak
Rosli berpaling.
Terkocoh-kocoh Iqram berlari mendapatkan ayahnya.
Anak lelakinya yang berusia 20 tahun kelihatan memegang pancing dan sebuah
baldi kecil di tangan. Wak Rosli menunggu dengan penuh sabar.
“Hah, kenapa?” Soal Wak Rosli pendek.
Dia lihat anak lelaki bongsunya itu sedikit
termengah-mengah. Penat berlari mungkin. Telah hati Wak Rosli. Dia memandang
anaknya yang sedang memegang lutut. Cuba menyedut oksigen bagi mengurangkan
rasa lelahnya.
“Am dapat banyak ikan. Nah, ayah tengoklah!” Ujar
Iqram bangga sambil menunjukkan baldi yang berisi lima ekor ikan pari di
dalamnya.
Wak Rosli menjengukkan kepala ke dalam baldi. Dia
tersenyum nipis. Ikan-ikan ini mengingatkan dia pada Hajar. Anak gadisnya itu
pasti teruja saat pancing yang mereka tahan ditarik ikan.
“Hajar tentu suka kalau ikan-ikan ni mak masak asam
pedas!” Ujar Wak Rosli tiba-tiba. Matanya berkaca.
Senyuman di bibir Iqram mati dengan sendirinya. Dia
mengemam bibir menahan rasa yang berlibang-libu di dalam dada. Sejak kakaknya
melanjutkan pelajaran ke Australia, tidak pernah walau dalam sehari nama itu
tidak meniti di bibir ayahnya. Sebagai anak yang paling bongsu, sedikit
sebanyak timbul rasa cemburu terhadap kasih sayang yang ayahnya limpahkan pada
Hajar. Cuma rasa itu dipendamkan jauh ke dalam lubuk hatinya yang paling dalam.
Dia anak lelaki sepatutnya dia tidak lemah dengan permainan emosi. Itulah
kata-kata yang sering Iqram laungkan dalam hatinya.
“Ayah….” Panggil Iqram perlahan.
Wak Rosli berpaling. Dia membalas pandangan Iqram
dengan tanda tanya. Wajah Iqram yang kelat membuatkan kening Wak Rosli
terjongket. Ada yang salah ke aku cakap tadi? Detik hatinya.
“Apa dia?” Soalnya pendek. Matanya masih ligat
mengira ikan pari yang menggeletik di dalam baldi.
“Hajar tak ada kat sini, ayah.” Ucap Iqram perlahan.
Wak Rosli terkedu. Pandangannya beku seketika. Ada
rasa sayu menyelubungi dadanya. Ada angin rindu yang menderu dalam kalbunya.
Rasa rindu seorang ayah pada anaknya memang takkan pernah terpadam.
“Oh, ayah lupa pulak. Tak apalah, kita mintak mak
masak asam pedas ikan pari. Tentu sedap makan ramai-ramai nanti. Kau tak kerja
hari ni?” Soal Wak Rosli cuba mengalih topik perbualannya.
Iqram tersenyum hambar. Dia tahu ayahnya cuba
meredakan perasaan tetapi rasa sendu itu jelas tergambar di wajah tua milik
ayahnya.
“Hari ni kan hari Jumaat, ayah. Am cuti. Lama Am tak
ikut ayah memancing. Rindu pulak rasanya nak datang ke jeti ni. Tak sangka
ikan-ikan masih banyak lagi kat sini.” Balas Iqram cuba menghidupkan suasana.
“Kalau kakak kau ada sekali tentu lagi seronok.
Biasanya dia yang selalu tolong ayah buangkan ikan daripada mata kail tu. Bila
dapat ikan, dia melompat tinggi tak usah nak cakaplah.” Balas Wak Rosli dengan
tawa kecil meniti di bibirnya.
Senyuman manis Iqram bubar dengan sendirinya. Bicara
ayahnya menyentuh hati. Dia menarik nafas dan melepaskannya dengan perlahan.
“Ayah, Am tahu ayah rindukan kakak tapi ayah
janganlah sampai macam ni sekali. Tak lama lagi kakak baliklah ayah. Am risau
kalau ayah terus macam ni, nanti ayah sakit pulak. Kalau ayah sakit, tentu
kakak risau. Kesian dia tak tenang nak belajar kat sana.” Hujah Iqram cuba
mengingatkan ayahnya.
Wak Rosli tertunduk menekur lantai pantai.
“Aku cuma rindukan dia je. Kalau menyebut nama dia
boleh kurangkan rindu aku, apa salahnya aku sebut. Lagipun dia tak pernah jauh
daripada kita. Kali ni bila dia tak ada sedikit sebanyak terkesan juga kat aku
ni sebagai ayah dia.” Balas Wak Rosli sebelum mengemas semua alatan memancing.
Hilang terus moodnya hari ini.
“Am tahu ayah, tapi kakak pergi sana untuk tuntut
ilmu. Insya-Allah, semua baik-baik hendaknya. Abang dan Am akan selalu ada di
sisi ayah.” Pujuk Iqram dengan lembut.
Wak Rosli tidak membalas. Dia tahu dua anak
lelakinya itu memang boleh diharap tetapi itu tetap tidak dapat menggantikan
tempat Hajar. Anak perempuannya itu tiada gantinya.
“Dahlah, jom balik. Dah nak senja ni.” Ajak Wak
Rosli tanpa mengulas kata-kata Iqram dengan lanjut.
Iqram hanya menurut. Cahaya di kaki langit mula
berubah warna. Warna cerah yang melatari langit mula bertukar
keperang-perangan. Tahulah Iqram, senja akan menjengah tidak lama lagi. Lalu,
langkah kakinya diayun mengikut rentak ayahnya dari arah belakang. Lama anak
mata Iqram memandang susuk tubuh Wak Rosli dari belakang. Hatinya terbetik
sayu.
‘Am pun anak ayah. Kenapa ayah tak pernah peduli? Am
ni tak ada nilai ke di mata ayah? Memang Am tidak mampu menyaingi kakak dalam
segala hal, tapi kami tetap dari darah yang sama. Am juga anak ayah tapi kenapa
ayah tak pernah nampak Am?’ Detik hati Iqram. Pilu dan nyilu.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.