“MACAM mana boleh
mati?” bentak Tuan Zabir sambil tangannya menghentak meja Mencerun bola matanya
memandang dua lelaki yang sedang berdiri di hadapannya.
“Semuanya berlaku
dengan pantas, tuan. Perempuan tu nak larikan diri daripada kurungan jadi kami
terpaksa tembak dia. Bimbang dia akan laporkan markas kita pada pihak polis.”
Jawab Sham dengan tergagap-gagap.
Riak wajah Tuan Zabir
yang keruh sudah cukup membuatkan perut mereka kecut. Bukan mereka tidak kenal
dengan lelaki yang bernama Tuan Zabir. Sesiapa yang menentang pasti menemui
maut.
“Kau orang ingat lepas
kau orang campak mayat tu dalam gaung, polis takkan jumpa? Kau orang baca tak paper hari ni? Baca tak?” sergah Tuan
Zabir sambil mencampakkan surat khabar tepat ke wajah Sham dan Jinggo.
Kedua-dua lelaki itu
hanya mampu menelan air liur. Lutut mereka ketar secara tiba-tiba apabila Tuan
Zabir mula bangun dari kerusi dan menapak ke arah mereka.
“Kami tak sempat nak
baca, tuan.” Jawab Jinggo sambil menundukkan wajahnya.
Tuan Zabir menarik
nafas panjang sebelum melepaskannya dengan perlahan. Dia mencapai kembali
akhbar yang berselerakan di atas lantai. Helaian muka hadapan dicapai lalu
tanpa menunggu lama dia menggumpal helaian tersebut kemudian melemparkan
gumpalan akhbar itu tepat ke muka Jinggo.
“Aku nak kau baca berita
tu sekarang!” arah Tuan Zabir garang.
Jinggo hanya mampu
menurut. Dia membongkokkan badan lalu mencapai kertas surat khabar yang sudah
direnyukkan. Dengan tangan yang terketar-ketar, Jinggo membetulkan helaian
tersebut dan matanya meliar mencari berita yang dikatakan oleh Tuan Zabir.
“Aku nak kau baca
kuat-kuat. Kalau tak, aku kerat lidah kau!” ugut Tuan Zabir.
Jinggo menelan rengkung
sendiri. Peluh mula merembes di dahinya. Anak matanya kemudian tertancap pada
sebaris tajuk yang membuatkan hatinya tersentap.
“Mayat dicampak ke
dalam gaung. Seorang guru di Terengganu dirogol, dibunuh sebelum dicampakkan ke
dalam gaung.” Jinggo menghentikan bicaranya. Dia berpandangan dengan Sham
sebelum anak matanya beralih pada Tuan Zabir yang masih merenung wajah mereka
berdua dengan pandangan yang sukar ditafsirkan oleh Jinggo. Mati aku kali ni!
Hatinya menjerit.
“Kau ingat aku tak tahu
siapa dalang semua ni? Kau tahu kan sekarang ni polis tengah buru geng kita,
kenapa kau buat hal? Aku suruh kau jual budak tu bukan pergi puaskan nafsu kau
orang. Kau ni memang bodoh! Menyusahkan aku!” tempik Tuan Zabir. Dia
menghampiri Jinggo dan Sham lantas kedua rambut pengikutnya itu ditarik dengan
kasar.
“Maafkan kami, tuan.
Kami cuma panik bila perempuan tu lari.” Ucap Sham sambil cuba melepaskan
genggaman tangan Tuan Zabir di rambutnya.
Dada Tuan Zabir turun
naik menahan rasa amarah yang meluap-luap. Disebabkan kecuaian yang dilakukan
oleh kedua pengikutnya ini, segala
kerjanya terpaksa ditangguhkan kerana pihak polis giat menjalankan siasatan.
Dia bimbang jika segala kerja kotornya dapat dihidu pihak polis memandangkan
pihak polis telah berjaya menahan salah seorang mata-mata kumpulan AK47.
“Maaf? Kau dah
menyusahkan aku sekarang kau nak mintak maaf? Bodoh! Tak guna!” balas Tuan
Zabir.
Spontan, kedua-dua
kepala itu dihantukkan sesama sendiri. Jinggo dan Sham menjerit kesakitan
sebelum tubuh kedua lelaki itu jatuh menyembah lantai. Mereka memegang kepala
mereka yang terasa berdengung.
Tuan Zabir mengeluarkan
sejenis pistol yang dilengkapi dengan alat penyerap bunyi daripada jaket yang
dipakainya lalu dihalakan tepat ke kepala Jinggo kemudian beralih ke wajah Sham
yang kelihatan terketar-ketar.
“Tuan, kami mintak
maaf. Beri kami peluang sekali lagi. Kami janji takkan buat lagi.” Rayu Sham
sambil meluru memegang kaki Tuan Zabir yang kelihatan serius.
“Peluang? Aku ni jenis
yang tak suka orang yang buat kerja sambil lewa. Kau tahu tak berapa banyak aku
rugi sebab perempuan tu mati? Aku rasa lebih baik kau orang ikut perempuan tu!”
balas Tuan Zabir.
“Tapi tuan, kami..”
Bang! Bang!
Dua das tembakan tepat
terlepas daripada pistol yang digenggam oleh Tuan Zabir. Tanpa amaran peluru
tersebut melepasi kepala Jinggo dan Sham. Kedua lelaki itu jatuh terkulai di
atas lantai dengan darah yang menyembur keluar daripada tempurung kepala
mereka.
Tuan Zabir tersenyum
sinis. Kedengaran pintunya diketuk. Dia mendongak.
“Masuk!” Arah Tuan
Zabir.
Pintu bilik Tuan Zabir
terkuak dari luar. Kelihatan Jamal berdiri kaku di muka pintu sambil matanya
memandang tubuh Sham yang berlumuran darah. Mata lelaki itu terbeliak memandang
ke atas.
“Sham!” jerit Jamal
lalu mendapatkan tubuh kaku milk Sham.
“Tak payahlah kau nak
kejutkan dia. Adik kau tu bodoh. Orang bodoh memang layak mati!” balas Tuan
Zabir sambil menyepak kaki Sham yang sudah kaku tidak bernyawa.
“Tapi apa salah adik
aku, tuan? Tuan yang minta dia masuk geng kita. Tuan tak patut buat dia macam
ni!” bentak Jamal geram. Dia menahan air mata yang ingin tumpah.
Sayu hatinya melihat
keadaan Sham yang begitu sadis. Darah tidak henti-henti mengalir daripada
kepala adiknya itu. Bukan pilihannya untuk menjadi seperti ini. Kesusahan yang
hidup yang mereka dua beradik hadapi membuatkan dia terpaksa melakukan
kerja-kerja haram.
“Tak patut? Siapa kau
nak halang aku? Kalau kau nak, aku boleh hantar kau sekali ke neraka!” balas
Tuan Zabir tanpa belas kasihan.
Kemudian, dia melangkah
ke mejanya. Laci meja dibuka lalu sebekas duit diambil kemudian dicampakkan ke
arah Jamal yang masih lagi berteleku sambil memeluk tengkuk Sham yang sudah
bertukar menjadi mayat.
“Kau ambil duit tu
sebagai cagaran untuk nyawa adik kau yang tak guna tu.” Ujar Tuan Zabir selamba
tanpa rasa bersalah.
Jamal hanya mendiamkan
diri. Dadanya berombak menahan rasa sakit. Dia telah kehilangan satu-satunya
keluarga yang dia ada. Sekarang Tuan Zabir memberikannya duit untuk menebus
nyawa adiknya? Sebegitu murah ke nyawa seorang manusia pada pandangan Tuan
Zabir? Hati Jamal mendengus marah. Putik-putik dendam mula membenih dalam
hatinya.
Tangannya digenggam.
Rasa amarah cuba ditahan sekuat hati. Aku akan pastikan kematian kau bukan
sia-sia, Sham. Ini janji aku sebagai abang kau! Detik hati Jamal. Dia mengetap
bibir lalu memalingkan wajahnya ke arah Tuan Zabir yang sedang duduk bersilang
kaki.
“Kau bawak keluar
mayat-mayat tak guna ni. Kau campak aje kat mana-mana. Tak pun kau tanam je
belakang markas kita ni. Lepas tu kau tolong cucikan lantai. Aku banyak kerja
nak buat.” Arah Tuan Zabir dengan bersahaja.
“Baik, tuan.” Akur
Jamal dengan rasa panas yang meluap-luap.
Dia tahu jika dia
melawan Tuan Zabir menggunakan kekerasan, dia akan tewas. Budi yang ditaburkan
oleh Tuan Zabir kepadanya selama ini menjadikan alasan untuk Tuan Zabir
mengungkit jadi Jamal harus merangka sesuatu agar dendamnya terbalas. Lambat
laun, kau akan tersungkur tuan! Desis hati Jamal.
“Sekarang kau boleh
keluar.” Ujar Tuan Zabir lalu mencapai telefon bimbitnya yang berdering.
Tertera nama yang cukup dikenali di skrin telefon membuatkan Tuan Zabir sedikit
gelabah.
Kali ketiga telefon
bimbitnya berdering memaksa Tuan Zabir untuk menjawab panggilan tersebut.
Sekilas dia menjeling ke arah Jamal yang sedang bersusah-payah mengheret mayat
Jinggo untuk dibawa keluar.
“Hello, Zabir ada kerja
sikit sebab tu lambat angkat.” Jawab Tuan Zabir dengan suara yang perlahan.
Jamal yang sedang
mencuci sisa-sisa darah di lantai hanya memasang telinga. Pelik juga apabila
mendengar bahasa Tuan Zabir yang kedengaran lembut apabila bercakap di telefon.
Siapa pemanggil tu? Soal hati Jamal penuh dengan tanda tanya.
“Konvo? Zabir tak dapat
nak balik. Banyak kerja dekat sini. Nanti ada masa Zabir balik. Lagi pun konvo
je. Bukan penting pun.” Ucap Tuan Zabir lagi sambil memicit dahinya.
Konvo? Hati Jamal mula
tertanya-tanya. Siapa yang konvo? Tuan Zabir ada anak ke? Lelaki kejam seperti
Tuan Zabir ada keluarga ke? Bertubi-tubi soalan bermain di fikiran Jamal. Dia
harus mendapatkan maklumat itu. Jika benar Tuan Zabir masih mempunyai keluarga,
itu merupakan kelemahan yang boleh digunakan untuk menghancurkan lelaki keparat
itu.
“Zabir kena letak
telefon sekarang. Mak kirim salam ajelah dengan dia. Nanti Zabir kirimkan duit
untuk dia.” Ucap Tuan Zabir sebelum menamatkan panggilan.
Mak? Sah, orang tua ni
masih ada keluarga. Tapi kat mana keluarga dia? Soal Jamal pada dirinya
sendiri. Aku harus siasat! Tekad Jamal sendirian.
“Kau buat apa tercegat
kat situ? Bersihkan lantai pun lembab!” sergah Tuan Zabir mengejutkan Jamal.
Dia hanya mampu tayang
sengih. Kemudian, dia cepat-cepat keluar dari bilik Tuan Zabir dan menutup pintu
bilik Tuan Zabir dengan rapat.
“Kau takkan selamat,
orang tua. Bersiap sedialah untuk menghadapi kehancuran kau!” getus Jamal sarat
dengan api dendam yang membara.
LAMA Aisy merenung
wajah Nek Hajar yang sedang bercakap di telefon. Wajah neneknya itu kelihatan
manis-manis kelat. Senyuman hambar terukir jelas di bibir wanita tua itu.
Sesekali kedengaran Nek Hajar mengeluh berat. Hati Aisy tak sabar-sabar ingin
mengetahui cerita daripada Nek Hajar.
“Guane nek, abah jadi datang dok?”
soal Aisy dengan loghat Terengganu yang pekat. Apabila bercakap dengan Nek
Hajar, dia terpaksa menggunakan dialek Terengganu bimbang neneknya itu tidak
faham jika dia menggunakan bahasa yang biasa digunakan jika bersama-sama dengan
sahabatnya.
Nek Hajar hanya
tersenyum kelat. Wajah Aisy yang penuh mengharap hanya mampu ditenung dengan
pandangan kosong.
“Abah Aisy dok dapat balik. Banyak kerja dia kabor.” Jawab Nek Hajar dengan rasa
serba-salah.
Senyuman di bibir Aisy
mati dengan sendirinya. Dia menundukkan pandangan. Jari-jemarinya bermain
sesama sendiri. Hatinya sedikit terkilan dengan sikap abahnya yang lebih suka
mengambil sikap lepas tangan bila berkaitan dengan dirinya. Bukan sehari dua
malah semenjak kecil, Aisy tidak pernah mendapat kasih sayang apatah lagi
perhatian daripada seorang ayah.
Sejak berumur sepuluh
tahun dia dihantar ke kampung oleh ayahnya sendiri sebaik saja ibunya meninggal
dunia akibat kemalangan jalan raya. Nek Hajar dan Tok Awang yang
bertanggungjawab menjaga kebajikannya. Walaupun segala perbelanjaan dan kos
pembelajaran ditanggung penuh oleh ayahnya tetapi bukan itu yang diperlukan
oleh Aisy. Dia hanya perlukan seorang ayah yang sentiasa berada di sisinya
memberi kasih-sayang tanpa berbelah bahagi.
“Aisy janganlah sedih.
Mungkin abah Aisy betul-betul sibuk.” Sambung Nek Hajar apabila Aisy hanya
mendiamkan diri. Jelas terpancar riak kecewa di roman wajah milik Aisy.
“Sibuk sangat ke sampai
nak balik sekejap masa Aisy konvo pun tak boleh? Bukan lama pun Aisy mintak.
Sehari je luangkan masa untuk Aisy. Selama ni Aisy tak pernah merungut kalau
abah tak dapat nak balik. Raya pun abah tak balik. Bila abah nak balik, nek?
Nak tunggu Aisy mati dulu ke baru nak balik?” bentak Aisy tiba-tiba.
Dadanya sebak. Air mata
mula mengalir di pipi. Sungguh dia terkilan dengan sikap yang sering
ditunjukkan oleh ayahnya.
Nek Hajar tersentak
mendengar bentakan yang terbit daripada mulut Aisy. Selama ini Aisy tidak
pernah meninggikan suara tapi hari ini pasti kesabaran cucunya ini sudah berada
di hujungnya.
“Tak baik Aisy kabor gitu. Kata-kata tu satu doa, cu.
Jangan cakap macam tu. Abah Aisy kerja untuk Aisy juga.” Pujuk Nek Hajar
lembut. Dia menyentuh lengan Aisy.
Aisy menarik lengannya
daripada disentuh oleh Nek Hajar. Dia merajuk.
“Aisy tak minta pun
abah kerja sampai lupakan Aisy. Lupakan nenek dan tok. Abah lupa ke yang Aisy
ni tanggungjawab abah? Aisy ni manusia, nek. Aisy ada perasaan. Bila raya semua
orang beraya dengan mak dan ayah, tapi Aisy? Aisy sorang-sorang kat sini. Aisy
tak pernah rasa Aisy ada abah.” Luah Aisy dengan esakan yang makin kedengaran.
Nek Hajar menghela
nafas panjang kemudian menghembuskannya dengan perlahan. Dia memeluk bahu Aisy
dengan mesra.
“Tapi Aisy ada nenek
dengan tok. Nenek dengan tok sayang sangat dengan Aisy. Kami ada Aisy je untuk
tumpang kasih. Jangan cakap gitu. Jangan cakap seolah-olah nenek tak ada untuk
Aisy.” Balas Nek Hajar lembut memujuk.
Aisy menyeka air mata
yang merembes di pipi. Hatinya sedikit terubat dengan kata-kata pujukan
daripada Nek Hajar. Lalu, dia memeluk tubuh Nek Hajar dengan kejap.
“Maafkan Aisy, nek.
Aisy dah berkasar dengan nenek. Aisy cuma kecewa dengan abah. Tapi Aisy
sayangkan nenek dan tok. Nenek dengan tok jangan tinggalkan Aisy, tau. Aisy tak
ada sesiapa lagi dalam dunia ni selain nenek dan tok.” Ucap Aisy penuh dengan
emosi.
Nek Hajar hanya mampu
menganggukkan kepala. Dia mengusap kepala Aisy yang bertudung. Hembusan angin
petang di tengah sawah meredakan kemarahan dalam diri Aisy. Pelukan hangat
penuh dengan kasih sayang daripada Nek Hajar memadamkan rasa kecewa pada
abahnya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.