SUASANA Kampung Apal
yang terletak di daerah Besut, Terengganu kelihatan tenang dan damai. Udara di
waktu pagi begitu segar tanda udara di sini tidak terdedah dengan sebarang
pencemaran. Bunyi kicauan burung yang keluar mencari makan, begitu riuh namun
bunyi kicauan itu cukup menenangkan.
“Aisy!” laung Nek Hajar
memanggil cucu kesayangannya yang hilang entah ke mana.
Nek Hajar menolak pintu
jendela yang tertutup. Terbentang sawah padi yang menghijau di pandangan
matanya. Dari jendela itu dia dapat melihat hampir keseluruhan sawah padi yang
diusahakan hampir lima puluh tahun lepas.
“Isy, mane pulok
budok ni hilang?” soal Nek Hajar
dengan loghat Terengganu yang pekat. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak
gatal.
“Aisy!” panggil Nek
Hajar lagi. Kali ini dengan suara yang lebih lantang.
“Saya, nek!” jerit Aisy
dari kejauhan.
Dia berlari-lari anak
ke arah Nek Hajar. Kakinya yang dipenuhi selut tidak dihiraukan. Tudung yang
tersarung di kepala, dibetulkan sedikit.
“Bakpe nenek cari Aisy?” soal Aisy dengan nafas yang
tercungap-cungap. Sudahlah badannya agak berisi, apabila berlari terkejar-kejar
seperti ini pasti cepat dia diserang mengah.
“Ho gini, nenek nak mintok Aisy gi ambik baju
hok nenek tempah kat rumah Mak Munah.
Rasanya dah siap semalam.” Ujar Nek Hajar sambil memandang wajah cucunya yang
manis.
“Okey, nek. Aisy pergi
sekarang.”
“Jangan lupa bowok payung. Nampok hari macam nak hujang
je.” Laung Nek Hajar lagi apabila melihat Aisy sudah berlalu untuk mencapai
basikal yang disandarkan di dinding rumah.
Pesanan Nek Hajar
dibalas dengan lambaian oleh Aisy. Nek Hajar tersenyum nipis melihat kelibat
cucunya yang sudah menghilang di pandangan mata. Itulah satu-satunya cucu
perempuan yang dia miliki setelah kematian anak perempuannya beberapa tahun
yang lalu. Ayah Aisy pula jarang sekali pulang ke kampung untuk menjenguk Aisy.
Segala urusan Aisy diserahkan seratus-peratus pada Nek Hajar dan Tok Awang.
Nek Hajar mengeluh
berat. Apa khabar agaknya menantunya itu? Takkan sibuk sangat di bandar sampai
terlupa untuk menjenguk anak sendiri di kampung. Kadang-kadang Nek Hajar
terkilan dengan sikap menantunya itu. Suka lepas tangan jika berkaitan dengan
Aisy. Itulah orang zaman sekarang, terlalu mengejar kekayaan sehingga melupakan
keluarga sendiri.
KAYUHAN kaki Aisy terhenti
sebaik saja sampai di tanah perkuburan. Dia turun daripada basikal kemudian
menolak basikalnya menyelusuri tanah perkuburan yang dipenuhi dengan orang
ramai. Dahi Aisy berkerut. Siapa meninggal? Soalan itu menerjah ke benak
hatinya.
Kepalanya dijengukkan
ke arah pusara yang dikelilingi oleh orang ramai. Hatinya berdetak kencang
apabila melihat Mak Munah yang sedang menangis teresak-esak sambil ditenangkan
oleh mak cik yang lain. Kenapa Mak Munah menangis pula? Bisik hati kecil Aisy.
Perlahan-lahan, dia
menghampiri pintu pagar tanah perkuburan. Selesai talkin dibacakan, seorang
demi seorang meninggalkan tanah perkuburan.
“Kiah, siapa yang
meninggal?” Soal Aisy sebaik saja menangkap lengan Rokiah yang lalu
disebelahnya.
“Anak saudara Mak
Munah, Kak Haniza…” jawab Rokiah perlahan.
Mata Aisy membuntang.
Bibirnya terketar-ketar apabila mendengar berita yang disampaikan oleh Rokiah.
“Kak Hani? Bila dia
meninggal? Bakpe dia meninggal?” soal
Aisy dengan air mata yang mula bertakung di kelopak mata. Terbayang wajah
lembut milik Kak Haniza yang sentiasa ceria setiap kali bertemu muka dengannya.
Sungguh Aisy tidak menyangka, ajal Kak Haniza seawal ini.
“Semalam, aku pun dok tahu bakpe dia meninggal. Mak Munah dok
bagitahu pulok bakpe. Apa pun sebab dia meninggal, kita doakan supaya dia tenang
di sana.” Ucap Rokiah membuatkan Aisy terdiam. Dia mengangguk perlahan.
Aisy termenung seketika
sambil anak matanya dihalakan ke arah pusara Kak Haniza yang mulai lengang.
Hanya tinggal seorang lelaki sedang berdiri menghadap pusara yang sepi itu.
Wajah lelaki itu tidak kelihatan di mata Aisy kerana batang tubuh itu
membelakangi Aisy. Mungkin saudara-mara Kak Haniza. Bisik hati Aisy.
Perlahan-lahan, Aisy
mengorak langkah menuju ke pusara Kak Haniza. Hujan renyai-renyai tidak
dihiraukan. Sungguh, dadanya sebak dengan pemergian Kak Haniza. Masih segar di
ingatan Aisy saat dia ke hulu ke hilir menjual kuih di sekeliling kampung, Kak
Haniza datang membeli semua kuihnya. Saat dia menunggu bas untuk ke bandar, Kak
Haniza jua yang berhenti mempelawa dirinya. Bagi Aisy, Kak Haniza seperti
kakaknya sendiri walaupun wanita itu jarang pulang ke kampung.
Aisy duduk melutut di
hadapan pusara yang masih merah. Dia mengusap lembut batu nisan yang berada di
hujung tanah. Sayu. Itulah dirasakan saat ini.Terasa seperti dia kehilangan
keluarganya sendiri.
“Aisy macam tak percaya
akak akan pergi tinggalkan Aisy seawal ini. Aisy rasa baru semalam Aisy dengar
akak gelak. Senyuman akak Aisy takkan lupa sampai bila-bila. Rehatlah akak
dekat sana. Rehatlah sepuas-puasnya. Aisy doakan akan ditempatkan dalam
kalangan orang yang beriman. Dunia ini bukan untuk kita sepenuhnya sebab tempat
kita yang kekal adalah di sana. Semoga kita bertemu lagi dalam
kasih-sayang-Nya.” Ucap Aisy perlahan.
Dia menadah tangan
membaca surah al-Fatihah. Kehadiran lelaki yang berdiri kaku di tepinya
langsung tidak dihiraukan. Dia menyeka air mata yang mengalir deras. Buat apa
menangis jika ini pengakhiran yang telah ditetapkan sejak azali lagi.
Selesai berdoa, Aisy
bangkit. Dia mengerling sekilas pada lelaki yang berdiri di sebelahnya. Lelaki
itu tidak bersuara walaupun sepatah. Wajahnya tidak kelihatan kerana
diselubungi dengan sweater berwarna
hitam dan berhoodie. Ada kaca mata
hitam yang tersungging di hidungnya yang mancung. Namun, hujung hidung lelaki
itu kelihatan merah. Mungkin lelaki itu menangis. Teka hati Aisy. Baju lelaki
itu basah kuyup akibat disimbah hujan yang tidak henti-henti membasahi tanah
perkuburan Islam itu. Timbul simpati dalam diri Aisy melihat keadaan lelaki
itu.
“Setiap yang hidup
pasti merasai mati, itu janji Allah pada setiap makhluknya. Kak Haniza sudah
dijemput oleh Allah dan segala tanggungjawabnya atas dunia ini dah selesai.
Biarkan dia berehat dengan tenang kerana Allah akan menjaganya. Kita yang hidup
harus teruskan hidup sebab kita tak tahu bila giliran kita pula dijemput. Salam
takziah daripada saya.” Ucap Aisy perlahan lalu mengundurkan dirinya ke
belakang.
Dia yakin lelaki itu
mendengar segala tutur bicaranya. Namun, lelaki yang berbaju hitam itu kaku
tidak beriak. Malah tiada suara yang kedengaran. Aisy mengangkat bahu. Dia
ingin melangkah pergi tetapi langkahnya tiba-tiba terhenti apabila anak matanya
terpandang pada payung yang sedang digunakannya.
Pandangan Aisy beralih
pada batang tubuh milik lelaki itu yang basah kuyup. Timbul simpati dalam
dirinya lantas payung yang berada di tangannya, diletakkan di tepi lelaki itu.
“Gunalah payung ni.
Saya harap masih tak terlambat untuk menggunakannya.” Ujar Aisy lalu berlalu
meninggalkan payung berwarna merah di tepi lelaki itu.
Dia meneruskan langkah
tanpa berpaling ke belakang. Ada sendu yang bermain di jiwa apabila memikirkan
arwah Kak Haniza. Kak Haniza sudah tenang di sana, giliran aku bila pula? Detik
hati Aisy. Insaf.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.