ASAP rokok dihembus
dengan kasar daripada mulutnya. Anak matanya tegak memandang wajah orang
suruhannya yang lebam-lebam. Malah kepala salah seorang daripada pengikutnya
turut berdarah.
“Siapa punya kerja ni?”
soalnya dengan riak wajah yang tegang.
“Ni semua kerja King,
bos. Dia cuba rampas kawasan kita. Dia sailang kita punya tapak projek. Elok
kami rangka strategi untuk rompak bank tu alih-alih geng dia yang gerak dulu.
Masa terserempak dengan mereka dekat Lorong Tun Ismail, kami seranglah.” Cerita
Jeff mewakili rakan-rakannya yang lain.
“King? Geng AK47?
Bedebah tu memang tak serik-serik cari pasal dengan aku. Sekarang berani
sailang aku punya tempat pulak. Memang nak kena betullah. Baik, dia orang yang
mulakan, kita kena ikut rentak dia orang. Nak main sangat, jom kita tengok
siapa yang kalah.” Ujar Razak Hitam sambil mengurut janggutnya yang kelihatan
panjang.
“Apa yang kita nak
buat, bos? Mereka makin melampau. Hari ni saja dua orang geng kita tumbang.
Nasib baik tak ada polis yang campur tangan. Kalau tidak, masak kita bos.”
Sambung Jeff sambil mengelap peluh.
“Kita serang tempat
mereka, bos!” sampuk Abdul yang menahan rasa sakit akibat dihentak di bahagian
perut oleh orang-orang suruhan King.
“Tak boleh! King bukan sembarangan
orang. Pengikut dia ramai. Kita kena fikirkan cara lain. Aku tak kisah macam
mana caranya asalkan King tu sembah kaki aku.” Ujar Razak sambil memandang
wajah-wajah orang suruhannya satu per satu sebelum anak matanya terhenti pada
seraut wajah yang agak janggal di pandangannya.
“Kau siapa?” tanya
Razak sambil mengangkat kepalanya pada seorang anak muda yang tidak pernah
dilihatnya sebelum ini.
Lelaki muda berkulit
sawo matang itu mara ke hadapan. Riak wajahnya tenang. Anak rambut yang
menganggu pandangan diselak ke belakang.
“Err..maaf, bos. Lupa
aku nak kenalkan. Inilah lelaki yang selamat kami semasa bertempur dengan geng
King. Dia ni hebat, bos. Tak guna pistol pun tapi boleh tumbangkan lima orang
sekali gus.” Puji Jeff sambil menepuk-nepuk belakang badan lelaki muda itu.
“Aku tak nak tahu dia
hebat atau tidak, tapi aku nak tahu siapa dia!” sergah Razak kasar. Mencerun
anak matanya memandang wajah anak muda itu.
“Aku bukan sesiapa. Aku
cuma bantu apa yang aku rasakan perlu. Aku nampak geng kau kena serang dulu.
Jadi aku tolong. Kalau kau tak suka, aku boleh berambus dari sini.” Jawab
lelaki itu selamba tanpa rasa takut.
Razak terdiam. Lama dia
mengamati figura lelaki yang berdiri di hadapannya ini. Rambut lelaki itu
kelihatan panjang dibiarkan lepas bebas. Sangat serabai di pandangan Razak.
Wajahnya bengis. Malah janggut dan jambang dibiarkan tumbuh meliar di mukanya
yang berkulit sawo matang. Nampak benar-benar tidak terurus.
“Siapa nama kau?” soal
Razak tidak lama kemudian.
Lelaki itu terdiam lama
seperti memikirkan sesuatu. Dia memandang Jeff sekilas sebelum kembali membalas
pandangan Razak yang penuh curiga.
“Aku tak tahu nama
sebenar aku apa. Tapi kau boleh panggil aku Qartal.” Ujar lelaki itu setelah
agak lama mendiamkan diri.
“Qartal? Pelik nama kau
tapi aku tak peduli. Asal kau mana?” soal Razak lagi.
“Dari jalanan. Aku
membesar di jalanan. Jadi aku tak tahu mana asal aku yang sebenarnya.” Jawab
Qartal.
“Dia tak ada IC, bos.
Kita boleh ambil dia untuk kuatkan geng kita bos. Dia memang hebat bos. Kalau
bos tak percaya, bos boleh tanya geng kita yang ada kat tempat kejadian.” Jeff
menyampuk lagi membela Qartal. Ahli kumpulan mereka yang lain hanya
menganggukkan kepala tanda mengiyakan.
Masih segar dalam
ingatan Jeff saat kumpulan mereka diserang oleh geng AK47. Ahli kumpulan mereka
seramai lapan orang hampir saja tersungkur akibat diserang bertubi-tubi oleh
dua belas orang anggota geng AK47. Jeff sendiri pun hampir putus nyawa, namun
saat itulah Qartal muncul. Dengan berbekalkan buku lima dan pisau rambo, lelaki
muda itu mampu menghalau kuncu-kuncu King yang hampir mencabut nyawa mereka.
Razak terdiam sejenak.
Dia meneliti penampilan Qartal daripada atas ke bawah. Melihat daripada
perwatakan Qartal, dia rasakan lelaki itu memang sesuai untuk menjadi anggota
kumpulan mereka tapi dia masih was-was untuk mengambil orang asing sebagai
salah seorang kumpulan mereka.
“Kau ada keluarga?”
soal Razak ingin tahu.
“Dah mati.”
“Kenapa?” soal Razak
lagi.
“Aku yang bunuh! Dia
orang selalu bising-bising depan aku. Ayah aku yang keparat tu selalu pukul mak
aku depan mata aku sendiri. Aku tak tahan, aku bunuh kedua-duanya. Baru aman
hidup aku.” Cerita Qartal. Dia mengepal kedua belah tangannya dengan erat.
Seolah-olah menahan perasaan sendiri.
Razak tersentak. Dia
menelan rengkungnya sendiri. Sejahat-jahat dirinya, Razak takkan sesekali
membunuh orang yang telah membesarkan dirinya selama ini. Inilah kali pertama
dia berjumpa dengan orang seperti Qartal. Lalu, bibirnya mengukir senyuman
penuh makna.
“Baiklah, aku terima
kau jadi salah seorang anggota kumpulan ni. Golden Eagle memang perlukan orang
yang berani macam kau! Selamat datang!” ucap Razak lalu bangun.
Dia menghulurkan
tangannya pada Qartal untuk berjabat. Kedengaran Jeff bersorak keriangan.
Lama Qartal memandang
tangan Razak sebelum dia menyambut huluran itu. Razak tersenyum lebar sedangkan
Qartal hanya tersenyum nipis. Perjalanan hidupnya baru bermula.
DUMMM!
Bunyi pintu dirempuh
dari luar mengejutkan Razak. Segera dia berpaling apabila mendengar bunyi
riuh-rendah. Kelihatan Samad sedang mengheret seorang lelaki yang pernah dia
lihat sebelum ni.
“Sekarang kau menghadap
bos aku!” jerkah Samad sambil menghumban tubuh kurus milik seorang lelaki yang
sudah kelihatan lemah. Wajah lelaki itu calar-balar dan lebam-lebam. Malah
pinggir bibir lelaki itu pecah berdarah.
“Apa kecoh-kecoh ni,
Mad?” soal Razak sambil memandang wajah Samad dan lelaki yang jatuh tersungkur
di kakinya silih berganti.
“Budak tak guna ni
orang suruhan King. Aku jumpa dia mengintip depan tempat kita, bos.” Jelas
Samad sambil cuba mengatur nafasnya yang termengah-mengah.
“Orang King? Macam mana
dia boleh lepas masuk ke kawasan kita? Kau nak apa hah?” sergah Razak lantas
mencekak kolar baju lelaki itu dengan kemas.
“Aku…aku…” lelaki itu
tergagap-gagap. Bibirnya bergetaran saat berhadapan dengan Razak Hitam yang
memang terkenal dengan sikap bengisnya.
“Aku apa?” tempik
Razak. Lantas, tidak semena-mena satu tumbukan keras dihadiahkan tepat ke wajah
lelaki itu. Bunyi jeritan bergema dalam ruang bangunan tinggal itu.
“Siapa budak tak guna
ni?” soal Razak pada Samad yang sudah tersenyum sinis.
“Jamal,bos. Orang kuat
King.” Jawab Samad.
Razak menghela nafas
panjang. Jari-jemarinya dipatah-patahkan sebelum dia mengatur langkah ke
mejanya. Sebilah pedang samurai yang berkilat dicapai lalu dibawa ke arah Jamal
yang sedang menggeletar ketakutan.
“Lebih baik kau cakap
kenapa King hantar kau ke sini, sebelum kepala kau terburai aku kerjakan!” keras
suara Razak kedengaran.
Tanpa rasa bersalah dia
menghunus pedang samurai tersebut rapat ke tengkuk Jamal yang sudah
terketar-ketar. Tajam anak matanya menikam tepat anak mata Jamal.
“Nanti dulu, Raz. Aku
datang bukan nak bermusuh dengan kau. Aku tak datang sebagai orang kanan King.
Aku nak kau hancurkan King untuk aku!” Jamal bersuara juga akhirnya setelah
agak lama suaranya tersekat di kerongkong.
Razak pegun seketika.
Pedang yang dihunus, dijatuhkan kembali. Lama dia memandang wajah Jamal yang
berdarah sebelum dia duduk mencangkung sambil menarik baju Jamal supaya
mendekatinya.
“Kau nak aku hancurkan
King? Kau buat lawak?” soal Razak sambil menolak kasar tubuh Jamal. Dia bangkit
kembali lantas memalingkan tubuhnya daripada menghadap Jamal. Rambutnya diraup
ke belakang.
Jeff dan Qartal hanya
berpandangan sesama sendiri. Mereka membuat bulatan mengelilingi Jamal yang
kelihatan tidak berdaya. Agak pelik jika orang kanan King menyerah diri. Pasti
ada yang tak kena. Tebak mereka.
“Kali ini aku tak buat
lawak. Aku nak kau buat dia merana setelah apa yang dia buat pada aku!” ucap
Jamal sarat dengan dendam.
“Apa yang dia pada
kau?” soal Razak kemudian berpaling menghadap Jamal yang sedang melutut di atas
lantai.
“Dia bunuh adik aku
selepas adik aku bersumpah untuk taat setia pada dia!” jawab Jamal.
Nafasnya dibiarkan
turun naik tidak sekata. Masih tergambar jelas di mindanya wajah Sham yang
hancur kepalanya akibat ditembak oleh Tuan Zabir. Wajah adiknya sering
menghantui ke mana saja Jamal pergi. Itulah satu-satunya keluarga yang dia ada.
Walaupun mereka hidup susah dan merempat namun tidak pernah sesekali Sham
meninggalkannya. Tetapi Tuan Zabir merenggut nyawa Sham dengan begitu kejam.
Jamal bersumpah tidak akan memaafkan Tuan Zabir walaupun nyawa terpisah
daripada badan.
“Apa yang aku dapat
kalau aku musnahkan King?” soal Razak kembali. Dia masih menimbal baik buruk
jika dia menghancurkan King.
“Kau boleh ambil alih
perniagaan King. Kau akan lebih berkuasa. Semua orang-orang King akan tunduk
pada kau. Itu janji aku pada kau.” Jawab Jamal penuh dengan perasaan.
Razak mencebikkan
bibir. Dia mematah-matahkan jari-jemarinya.
“Berat aku nak percaya
pada kau ni…”
“Kali ini kau kena
percayakan aku. Aku nak sangat tengok dia terseksa macam mana dia seksa adik
aku. Kau kena tolong aku, Raz. Aku sanggup buat apa saja untuk kau asalkan kau
hancurkan King!” pinta Jamal sambil memegang kaki Razak.
Razak menggaru-garu
keningnya yang berparut. Kesungguhan Jamal membuatkan Razak serba-salah. Tapi
inilah peluang yang dia ada untuk mengambil alih takhta King. Selama ini King
kerap kali menganggu perniagaannya. Jika dia seludup senjata api ke seberang,
King akan turut seludup dengan menawarkan harga yang lebih murah. Jika dia jual
anak-anak gadis untuk dijadikan pelacur di Thailand, King juga akan berbuat
perkara yang sama. Dendam yang Razak tanamkan pada King sudah terpahat lama
dalam dirinya. Kini, dia mendapat peluang yang terbaik untuk menghancurkan
King. Adakah ini masanya?
“Apa yang kau boleh
tolong aku untuk hancurkan King?” soal Razak setelah lama mendiamkan diri.
Jamal tersenyum nipis
dan cuba untuk berdiri tegak. Dia mengibas-ngibas bajunya yang berdebu.
“Aku tahu satu rahsia
terbesar yang King sorokkan daripada pengetahuan semua orang.” Ucap Jamal
dengan senyuman penuh makna.
“Rahsia apa?” Wajah
Razak berkerut seribu.
“Dia masih ada
keluarga. Malah dia ada anak yang dijaga
oleh mak dan ayah King sendiri.” jawab Jamal sambil terbatuk kecil.
Razak tersentak. Dia
benar-benar terkejut. Dia tidak menyangka orang sekejam King masih mempunyai
keluarga. Punya anak dan ibu bapa.
“Kat mana keluarga King
sekarang?”
“Itu aku belum tahu.
Tapi aku akan ekori King sampai aku tahu mana keluarga dia.”
Razak berjeda. Dia
melabuhkan punggungnya di tepi meja.
“Apa yang aku nak buat
dengan keluarga King? Tak ada faedah pun untuk aku.” Ujar Razak.
“Tapi bos, kalau anak
King tu perempuan, kita boleh culik dan jual kat seberang. Rasanya kalau anak
King, harganya lagilah mahal.” Jeff menyampuk memberi cadangan.
Qartal mengalih
pandangan pada Jeff. Dia mendengar dengan teliti setiap butir bicara samseng-samseng
yang berada di hadapannya ini.
“Jual? Cantik juga idea
kau tu. King akan lebih merana jika kita jadikan anak dia hamba! Hahaha!” Razak
ketawa kuat. Dalam otaknya sudah terangka pelbagai jenis rancangan untuk
menjatuhkan King.
Jamal hanya tersenyum sinis.
Impiannya untuk melihat Tuan Zabir hancur akan tercapai tidak lama lagi. Dia
akan pastikan hidup orang kesayangan Tuan Zabir musnah kerana itu adalah
senjata yang paling ampuh untuk Tuan Zabir merana. Dendam harus dibalas dengan
dendam!
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.