TIDUR
Qartal terganggu apabila kedengaran pintu pondok yang sedang dijaga olehnya
dikuak kasar dari arah luar. Dia terjaga. Anak matanya menebar ke muka pintu.
Dia menelan air liur apabila melihat figura Razak Hitam sedang melangkah masuk
ke dalam markas mereka. Serta-merta Qartal berdiri dan menunduk hormat.
“Bos…”
Sapa Qartal perlahan saat Razak menghampiri dirinya.
“Kau
yang jaga budak-budak ni? Geng kita yang lain mana?” soal Razak ingin tahu.
Kelihatan Jamal turut datang bersama tiga orang lagi ahli kumpulan mereka yang
lain.
“Jeff
dan Bob pantau keadaan dekat jeti, bos. Malam nanti budak-budak, dan dua
perempuan tu kita akan hantar ke seberang. Openg dan Lan keluar beli makanan.”
Terang Qartal.
Razak
menganggukkan kepala tanda faham. Perhatiannya teralih pada sebatang tubuh yang
dirantai kemas di sebatang tiang. Kelihatan gadis muda itu sedang menyandarkan
diri dalam keadaan lemah dan tidak berdaya. Razak tersenyum sinis lantas
menghampiri. Dia duduk mencangkung berhadapan dengan gadis bertudung hitam itu.
“Jadi
ini anak si King tak guna tu?” soal Razak sambil memaut kasar dagu Aisy.
Aisy
yang hampir terlelap tersedar. Pantas dia menepis apabila wajahnya disentuh
tanpa kebenaran. Anak matanya tegak memandang wajah yang cukup asing di
pandangannya. Siapa pulak ni? Detik hatinya.
“Kau
yang tak guna! Lepaskan aku sekarang!” bentak Aisy tanpa menunggu lama. Dia
meronta-ronta di hadapan Razak.
Razak
ketawa lepas. Dia memandang pada Jamal yang kelihatan serius. Anak mata Jamal
tidak lepas daripada merenung Aisy. Kelihatan lelaki itu seperti sedang menahan
amarah. Pandangannya sudah cukup untuk menjelaskan segala-galanya.
“Oh,
kuat melawan. Macam bapak dia jugak. Tapi tak sangka King ada anak perempuan
yang manis macam ni. Aku rasa kalau kita jual pasti hasilnya lumayan.
Maklumlah, raja dunia hitam kononnya, tapi ada anak yang setaraf dengan
ustazah.” Ejek Razak bersama tawa yang bersambung-sambung.
“Tapi
bos lebih baik kita serahkan dia pada Kitai sebagai hadiah sebelum berlian tu
kita jumpa.” Abdul memberi cadangan.
Razak
terdiam sambil menjuihkan bibirnya. Ada benarnya juga cadangan Abdul tu. Dia
mengamati batang tubuh milik Aisy daripada atas hingga ke bawah. Satu helai
rambut pun dia tidak mampu lihat apatah lagi ingin melihat kulit mulus milik
gadis genit itu.
“Aku
setuju tapi sebelum tu aku kena check
sama ada perempuan ni tak cacat apa-apa. Mana tahu dia tak ada rambut ke.
Takkan Kitai tu nak perempuan yang tak cukup sifat. Abdul, kau tanggalkan
tudung perempuan tu sekarang!” arah Razak dengan riak wajah yang serius.
Aisy
terpempan. Air liur ditelan berkali-kali. Apa? Mereka nak tanggalkan tudung
aku? Ya Allah! Jerit hati Aisy bersama gelengan yang laju. Dia menangis.
Apabila Abdul semakin mendekati, semakin kuat tangisan Aisy.
“Tolong
jangan tanggalkan tudung aku! Tolong jangan sentuh aku! Aku sanggup mati tapi
tolong jangan buka tudung aku!” rayu Aisy dengan rontaan semakin menjadi-jadi.
Dengan
tenaga perempuannya yang tidak seberapa kuat, dia cuba menendang betis Abdul
yang semakin merapat. Dia meracau-racau seperti orang gila kerana tidak mahu
disentuh oleh lelaki asing.
“Bos,
perempuan ni bisinglah!” marah Abdul kerana tidak dapat melaksanakan arahan
yang disuruh oleh Razak.
Razak
mengetap bibir. Dia menghampiri Aisy. Lantas, rambut Aisy yang berbalut dengan
tudung direntap kasar.
“Arghhh!” Jerit Aisy. Kesakitan.
“Kau
nak melawan? Kau lebih pilih mati daripada tanggalkan tudung buruk kau ni?”
soal Razak sambil mengancing giginya.
Aisy
cuba meleraikan pautan tangan Razak namun dia tidak berdaya. Tercungap-cungap
dia cuba mengatur nafas yang tidak sekata. Rasa perit dan pedih ditahan dengan
sekuat hati. Hanya doa yang terus dipanjatkan dalam hati.
“Ya!
Kalau nyawa boleh gantikan maruah aku, aku sanggup kalau kau bunuh aku
sekarang! Walaupun kau selamat dalam dunia ni tapi kau jangan lupa akhirat kau
masih menunggu. La illa haillah inni
kuntum minal zholimin.” Sebaris doa terlafaz di bibir Aisy yang pucat tidak
berdarah.
Razak
tersentak. Pantas, pautan di rambut Aisy terlerai. Telinganya seakan sakit
mendengar ayat yang dilafazkan oleh Aisy. Dia menggelengkan kepala lalu
menjarakkan diri daripada Aisy.
“Kenapa
bos?” soal Abdul pelik melihat tingkah-laku Razak yang tiba-tiba berubah.
Lelaki itu kelihatan resah tanpa punca.
“Call King secepat mungkin. Aku nak
tengok macam mana reaksi dia bila dia tahu anak kesayangannya dalam genggaman
aku. Aku nak dia sendiri yang melutut serahkan berlian tu pada aku.” Ujar
Razak.
Abdul
hanya menganggukkan kepala. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya. Tidak lama
kemudian gambar Aisy yang sedang dirantai diambil dari setiap sudut.
“Kita
ambil gambar dulu bos sebab kalau nak call
pun dalam hutan ni. Tak ada coverage.”
Ujar Abdul sambil tersengih.
Razak
hanya mendengus. Terlupa pula yang mereka sekarang berada di tengah hutan.
Lalu, Razak kembali mengorak langkah menuju ke Aisy yang sedang duduk merapati
dinding. Wajah gadis itu kelihatan pucat. Malah ada kesan lebam menghiasi
pinggir bibirnya. Razak tersenyum sinis.
“Berapa
kali aku nak cakap aku tak ada berlian tu kenapa kau tak percaya? Tolonglah
lepaskan aku! Aku tak bersalah!” rayu Aisy lagi. Air matanya kembali
bercucuran.
“Lepaskan
kau?” perli Razak sambil menghembus asap rokok ke muka Aisy. Terbatuk kecil
gadis itu dibuatnya.
“Baik
aku akan lepaskan kau…” sambung Razak dengan wajah bersahaja. Dia merenung anak
mata Aisy yang berair.
Aisy
tersentak.
“Betul
kau akan lepaskan aku?” soal Aisy kembali. Dia teruja.
“Betul.
Tapi selepas kau jadi pelacur!” jawab Razak bersama tawa yang kuat.
Serentak,
satu pondok buruk itu gamat dengan bunyi ketawa yang cukup menyakitkan telinga
Aisy. Tawa yang mengejek dirinya.
Dada
Aisy berombak kencang. Geram kerana diperkotak-katikkan. Lantas, tanpa amaran
dia meludah muka Razak. Langsung tidak dihiraukan akibat yang bakal dia terima
di atas sikapnya itu.
Tawa
Razak terhenti. Dia menyentuh pipinya yang terasa melekit dengan sisa air liur
milik Aisy. Dadanya mula turun naik menahan amarah yang semakin bergumpal di
dalam dada. Tidak pernah sekali walau dalam hidupnya dia diludah sebegini. Hari
ini, dia dimalukan oleh seorang perempuan kampung di hadapan anak-anak buahnya.
Sungguh, Razak tidak dapat menerima kenyataan.
“Kau
ludah aku? Berani kau ludah aku?” tempik Razak lantas tangannya dihayunkan
tepat ke muka Aisy.
Panggg!
Aisy
rebah. Pipinya terasa pijar namun dia puas. Puas kerana dapat membalas sakit
hatinya. Lantas, Aisy bangkit kembali. Darah yang memenuhi ruang mulutnya
diludah ke lantai. Kesakitan dialami langsung tidak memberi kudis dalam diri
Aisy untuk menentang lelaki di hadapannya ini.
“Air
ludah aku tu terlalu suci untuk orang yang hina macam kau!” maki Aisy lagi
dengan suara yang perlahan. Dia senyum sinis apabila melihat wajah Razak mula
memerah.
“Betina
tak guna!” marah Razak.
Dengan
amarah yang semakin memuncak, Razak menghadiahkan satu lagi tamparan di pipi
kanan Aisy. Tidak kurang itu, perut Aisy ditumbuk dengan kejam. Jeritan Aisy
langsung tidak memberi bekas dalam hati Razak.
Semua
yang berada dalam pondok itu tidak mampu menghentikan keganasan Razak terhadap
Aisy. Ida hanya mampu memejamkan mata. Dia menangis ketakutan melihat Aisy
dikasari sebegitu.
“Kau
nak lawan aku? Kau ingat kau siapa?” hambur Razak lagi sambil menendang kaki
Aisy dengan kuat.
“Allah!”
Raung Aisy kuat. Dia mengerekotkan tubuhnya. Kesakitan yang menjalar di seluruh
tubuh melemahkan diri Aisy untuk melawan balik. Dia terbatuk kuat sehingga tersembur
darah daripada mulutnya.
“Hasbunallah wa nikmal wakeel.” Desis
Aisy perlahan. Tiada daya upaya untuk dia melawan saat ini. Hanya pertolongan
daripada Tuhan Yang Satu dia pohonkan.
“Kalau
kau berdoa sekali pun, takkan ada sesiapa yang dapat selamatkan kau daripada
aku!” balas Razak sambil menarik kasar rambut Aisy yang berbalut dengan tudung.
“Tiada
satu pun yang terlepas daripada balasan Allah termasuk kau!” Aisy masih mampu
untuk melawan padahal matanya mula berbinar. Kepalanya turut berpusing.
“Kurang
ajar!” tempik Razak lagi lantas dia mengeluarkan pistol revolver daripada
jaketnya lalu diletakkan tepat dia dahi Aisy.
“Jangan
bos!” Suara Qartal menahan.
Semua
mata memandang ke arah Qartal yang mula maju mendekati Razak yang kelihatan
hilang kewarasan.
“Qartal,
lebih baik kau jangan masuk campur urusan bos.” Jamal pula menegah.
“Aku
bukan nak masuk campur tapi kalau perempuan tu mati, bos jugak yang rugi.
Berlian kita tak dapat, dendam kau pada King pun akan jadi sia-sia. Kau nak
sangat tengok King merana sama macam kau merana tapi kalau satu-satunya anak
yang dia ada mati, macam mana kau nak tengok dia terseksa?” Hujah Qartal mendiamkan
Jamal.
Kata-kata
Qartal membuatkan Razak kembali menjatuhkan pistolnya. Ada benarnya omongan
Qartal. Bagaimana dia ingin menentang King jika senjata utamanya sudah lenyap.
Tidak. Dia tidak akan benarkan semua itu terjadi. Apa pun yang berlaku King harus
jatuh tersungkur di kakinya. Tidak sabar rasanya Razak ingin melihat King
melutut di kakinya. Dia akan pastikan saat itu akan tiba.
“Aku
nak kau jaga perempuan ni dengan ketat. Kalau dia melawan, pukul aje tapi
jangan sampai mampus. Aku nak tengok King jadi gila bila dia tahu anak dia
dalam tawanan kita.” Ujar Razak membuat keputusan.
Dia
memusingkan tubuh dan meninggalkan Aisy yang terkulai layu di atas lantai.
Kedengaran bibir itu terbatuk kecil. Dia sudah tidak berdaya. Sakit yang dia
rasa begitu mencucuk-cucuk sehingga terasa ke segenap urat-saraf. Adakah ini
pengakhiran hidup aku? Detik hatinya.
Sedangkan
Qartal hanya mampu memandang tubuh lemah Aisy dengan pandangan kosong.
“KAK
AISY!” panggil Ida sewaktu semua penculik-penculik itu keluar dari pondok. Dia
memandang pintu masuk pondok yang tertutup rapat. Bimbang jika suaranya
membuatkan penculik itu datang kembali.
“Kau
rasa Kak Aisy hidup lagi tak?” soal Hidayu perlahan.
Ida
menjeling tajam pada Hidayu. Kurang gemar dengan soalan yang diajukan oleh
gadis muda itu.
“Insya-Allah
Kak Aisy tak apa-apa. Kak Aisy kuat.” Jawab Ida sambil pandangannya terarah
pada tubuh Aisy yang masih terdampar di atas lantai.
“Kakak,
bila kita boleh keluar daripada sini? Saya lapar.” Suara halus menyampuk
membuatkan Ida dan Hidayu mengalih pandangan ke arah kanan mereka.
Wajah
kelima-lima kanak-kanak yang turut ditawan dipandang dengan rasa sayu.
Rata-rata kesemuanya kurus kering kerana berhari-hari mereka dijamu dengan roti
dan air masak.
“Akak
tak tahu, dik. Akak pun nak balik juga. Kita berdoa ajelah supaya Allah
kirimkan orang untuk selamatkan kita.” Ucap Ida buntu.
“Tapi
kak…”
Belum
sempat budak lelaki itu bersuara, pintu pondok terkuak dari luar. Muncul Qartal
dengan membimbit satu plastik berisi nasi bungkus dan air mineral. Dia
mendekati Ida dan Hidayu. Bungkusan itu diletakkan di hadapan mereka berdua.
“Ni
makanan untuk kau orang. Lepas ni jangan banyak bunyi. Aku tak suka dengar
orang yang banyak cakap. Faham?” tekan Qartal sambil merenung tajam pada
tawanan-tawanannya.
Hidayu
dan Ida hanya mengangguk laju. Dia mencapai nasi bungkus itu lalu turut
diberikan pada kanak-kanak yang lain. Agak sukar untuk dia menjamah makanan
kerana tangannya masih terikat kemas. Namun dek kerana lapar, Ida terpaksa
menopang nasi bungkus itu dengan kedua belah tapak tangannya. Kepalanya
ditundukkan lalu dengan hanya menggunakan mulut, Ida menjamah nasi yang
diberikan.
Sesekali
anak mata Ida menyoroti tingkah laku lelaki bertopeng yang berada di
hadapannya. Kelihatan lelaki itu merapati Aisy dengan membawa sebotol air
mineral. Selama dia menjadi tawanan, belum pernah walau sekali pun dia melihat
wajah sebenar lelaki bertopeng yang dipanggil Qartal itu. Apa yang Ida dapat
lihat, hanya Qartal lebih berhati perut berbanding penculik yang lain.
Qartal
menghampiri tubuh Aisy yang mengerekot di atas lantai. Anak matanya beralih
pada wajah Aisy yang berbirat malah masih ada sisa darah di hidung dan di
pinggir mulut gadis itu kesan daripada tamparan Razak Hitam.
Perlahan-lahan,
Qartal mengeluarkan tuala kecil daripada poket seluarnya lalu sedikit air
mineral dituangkan ke atas tuala itu. Dengan berhati-hati, dia mengesat darah
kering yang terdapat di pinggir bibir Aisy.
Aisy
yang terasa seperti wajahnya disentuh sesuatu lantas terjaga. Dia membuka mata
dengan perlahan-lahan. Sebaik saja matanya dicelikkan, pandangannya terus
bertaut dengan sepasang anak mata yang hitam pekat. Aisy terkedu. Malah,
jantungnya mula berdengup laju. Tanpa membuang masa, dia bingkas bangun dan
duduk merapati dinding. Dia memeluk lutut.
“Kau
nak apa?” soal Aisy garang.
Qartal
mengetap bibir. Kedegilan Aisy kadangkala menguji dirinya.
“Jangan
banyak tanya boleh tak? Aku nak tolong cucikan luka kau tu. Kang tak
pasal-pasal berulat pulak.” Ujar Qartal bersahaja.
Aisy
menjeling benci. Tidak sedikit pun dia percaya pada lelaki di hadapannya ini.
Sudahlah rupa pun tak kenal. Alih-alih nak tunjuk baik. Pasti ada yang tak
kena. Detik hatinya.
“Tolong
cucikan luka? Baik tak payahlah. Aku tak nak kau tolong cucikan luka, aku nak
kau tolong lepaskan aku. Boleh?” cabar Aisy.
Qartal
terdiam. Dia tetap merapati Aisy. Tuala yang telah dibasahkan sengaja disuakan
ke wajah Aisy. Kata-kata Aisy dibiarkan tanpa balasan.
Aisy
menepis apabila Qartal cuba menyentuh kulit wajahnya dengan menggunakan tuala.
Dia memalingkan wajahnya ke tempat lain. Enggan menatap wajah lelaki itu.
“Sombong!
Lantak kaulah!” bentak Qartal lalu mencampakkan tuala kecil itu tepat ke wajah
Aisy. Dia bingkas bangun dan memusingkan tubuhnya untuk keluar.
Dia
tergamam apabila melihat Jamal berada tepat di belakangnya. Renungan tajam
lelaki itu tidak dipedulikan oleh Qartal. Dia menayang wajah selamba.
“Kau
buat apa pada perempuan tu?” soal Jamal ingin tahu. Dia memandang Qartal dengan
rasa curiga.
“Bukan
urusan kau. Ini arahan Razak untuk aku jaga perempuan tu. Kenapa kau ada dekat
sini? Sepatutnya kau ikut Razak balik.” Ujar Qartal mengalih topik perbicaraan
mereka.
Jamal
mengalih pandangan ke arah lain. Dia meneguk liur. Tidak betah dengan sorotan
mata Qartal itu.
“Razak
arahkan aku untuk pantau tempat ni. Kejap lagi budak-budak ni dan dua orang
perempuan tu akan dihantar ke jeti Sungai Golok. Malam karang ada orang yang
akan beli budak-budak ni.” Jawab Jamal sambil anak matanya tuntas memandang
Aisy yang sedang menyandar lesu di tepi dinding.
Sebaik
saja terpandang wajah lembut milik gadis itu hatinya tiba-tiba disengat amarah
apabila terkenangkan adiknya yang mati di tangan Tuan Zabir. Api dendam yang
menyala sukar untuk dipadamkan. Dia akan pastikan lelaki keparat seperti Tuan
Zabir rasa apa yang dirasakan semenjak kematian Sham.
“Kalau
macam tu aku keluar dulu. Aku nak cari orang kita yang lain. Boleh buat
persiapan untuk malam ni. Kau jaga budak-budak ni. Aku nak keluar sekejap.
Pastikan kau jangan tinggalkan tempat ni.” Qartal memberi arahan.
Jamal
hanya menganggukkan kepala. Dia tersenyum tawar. Kalau ikutkan hatinya yang
menggunung marah, sudah lama Aisy menjadi mangsa untuk dia melunaskan dendam.
Tetapi Jamal berusaha untuk memujuk dirinya supaya bersabar. Dia tidak mahu
segalanya menjadi kacau-bilau jika dia campur tangan. Biar Razak Hitam yang
uruskan segalanya. Dia hanya ingin melihat. Melihat sejauh mana Tuan Zabir
mampu bertahan melihat satu-satu anak kesayangannya diseksa oleh lelaki yang
berhati binatang seperti Razak Hitam.
Satu
senyuman sinis tersungging di bibir Jamal. Anak matanya dibiarkan memandang
Aisy dengan penuh kebencian. Kau harus tanggung apa yang bapak kau telah
lakukan!
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.