KAYUHAN basikal Aisy
terhenti apabila tiba-tiba sebuah kereta Toyota Hilux berwarna hitam menyekat
laluannya. Aisy terpaksa berhenti di pinggir jalan. Dia mengamati kereta
tersebut. Cermin tingkap kereta itu diturunkan. Membulat biji mata Aisy melihat
pemilik kereta tersebut.
“Masuk!” Arah suara
garau itu.
“Abah!” jerit Aisy
teruja. Lantas dia menghempaskan basikalnya lalu meluru masuk ke dalam kereta.
Tempat duduk sebelah pemandu dibuka lalu dia melompat masuk ke dalam pancuan
empat roda tersebut.
“Tak sangka abah balik.
Ayah sihat? Aisy rindu sangat kat abah!” ujar Aisy dengan girang. Dia memeluk
lengan ayahnya dengan erat. Kepalanya sengaja dilentokkan ke bahu lelaki itu.
Rasa rindu yang menggunung tinggi surut serta-merta apabila dapat menatap wajah
lelaki yang amat dirinduinya ini.
“Abah pun rindu tapi
abah banyak kerja dekat bandar tu. Bukan abah saja-saja tak nak jumpa Aisy. Ini
pun abah curi masa untuk jumpa Aisy. Abah tak nak dengar lagi Aisy merajuk
dengan nenek dan tok. Faham?” ujar Tuan Zabir dengan lembut.
Aisy tersengih lalu
mengangkat tangan kanannya seolah-olah berikrar. Anak matanya bersinar-sinar
apabila melihat senyuman di wajah abahnya.
“Aisy janji takkan
susahkan hati tok dan nenek tapi dengan syarat abah selalu balik jenguk Aisy.
Boleh?” Giliran Aisy pula yang membuat tawaran.
Tuan Zabir terdiam.
Bagaimana dia ingin menjenguk Aisy selalu jika keluarganya tidak mengetahui
pekerjaan sebenarnya? Dia tidak ingin musuh-musuhnya mengetahui kewujudan
keluarganya yang sengaja dirahsiakan sebaik saja dia terjerumus ke kancah gelap
ini.
“Abah tak dapat janji,
Aisy. Tapi abah nak Aisy buat yang terbaik untuk hidup Aisy. Jadi perempuan
yang baik. Jadi cucu yang baik untuk nenek dan tok. Jangan susahkan mereka.
Soal duit, Aisy jangan risau. Abah boleh tanggung Aisy. Aisy minta apa saja
yang Aisy nak, abah akan tunaikan.” Jawab Tuan Zabir sambil mengusap lembut
kepala satu-satunya waris yang dia ada.
“Aisy tak perlukan duit
yang banyak, abah. Aisy cuma perlukan abah berada di sisi Aisy. Aisy rindukan
abah Aisy. Dahlah ibu tinggalkan Aisy. Takkan abah sanggup tinggalkan Aisy kat
sini. Sekurang-kurangnya tunjuklah kat mana rumah abah. Bawalah Aisy tinggal
dengan abah.” Pinta Aisy sambil memegang lengan Tuan Zabir.
Tuan Zabir mengeluh
berat. Dia meraup wajahnya yang kusut. Permintaan Aisy membuatkan Tuan Zabir
diserang serba-salah.
“Buat masa sekarang ni
tak boleh, sayang. Abah tak boleh bawak Aisy tinggal dengan abah.”
“Tapi kenapa, abah?”
pintas Aisy mematikan percakapan Tuan Zabir.
“Abah kerja apa
sebenarnya ni? Berat sangat ke kerja abah sampaikan Aisy pun tak boleh nak
tahu?” sambung Aisy lagi.
Tuan Zabir hanya
mendiamkan diri. Hanya itu yang mampu dilakukan saat ini. Jika dia berkata
jujur, itu akan mengahancurkan sekeping hati milik anaknya. Mana ada anak yang
dapat terima kenyataan apabila ayahnya merupakan ketua samseng!
“Aisy kan abah dah
pernah pesan dulu jangan tanya kerja abah. Tak penting pun untuk Aisy tahu.”
Jawab Tuan Zabir sambil membuang pandang ke tempat lain.
Aisy mengeluh hampa.
Inilah sikap Tuan Zabir yang sering membuatkan dia gundah. Apabila soal kerja
dipersoalkan pasti Tuan Zabir akan mengelak. Bukan sehari dua malah sejak kecil
lagi dia tidak tahu apa pekerjaan Tuan Zabir yang sebenarnya.
“Tak penting bagi abah
tapi penting bagi Aisy.” Jawab Aisy perlahan.
“Aisy…apa pun yang abah
buat, abah buat untuk kesenangan Aisy dan keluarga kita.” Ucap Tuan Zabir
perlahan.
Dia memegang kedua
belah pipi Aisy. Dahi anaknya dikucup lembut.
“Sekurang-kurangnya
abah cakaplah abah kerja dekat mana.” Aisy masih belum berputus asa untuk
mengorek rahsia daripada Tuan Zabir.
“Abah kerja kat bandar
Kuantan. Lepas ni jangan tanya apa-apa lagi kat abah.” Ujar Tuan Zabir sambil
menarik lembut hujung hidung Aisy.
Aisy tersengih. Kasih
sayang inilah yang sering dirindukan. Alangkah bahagia hidupnya jika Tuan Zabir
tinggal bersama sebagai satu keluarga. Tapi itu cuma mimpi. Ketegasan Tuan
Zabir tidak mampu dilunturkan oleh sesiapa.
“Yelah, abah ni suka
sangat rahsia. Kerja apalah yang abah buat sampai rahsia sangat tu. Jangan
cakap abah jadi perdana menteri sudah.” Gurau Aisy sambil ketawa kecil.
Tuan Zabir turut
ketawa. Inilah kali pertama dia ketawa sepanjang hidupnya. Rasa tenang saat
bersama anak gadisnya ini sukar untuk diungkapkan. Andai mampu diundurkan masa,
dia mahu menjadi ayah yang mampu dibanggakan oleh anaknya tetapi semuanya sudah
terlambat. Dia harus tamatkan apa yang telah dimulakan.
“Abah nak Aisy ingat
pesan abah, jaga diri Aisy baik-baik. Jaga tok dan nenek. Walau siapa pun abah,
jangan pernah berhenti sayangkan abah sebab abah sayangkan Aisy sampai abah
mati. Ingat tu.” Pesan Tuan Zabir sambil menatap terus ke dalam mata Aisy yang
jelas kelihatan kebingungan.
Dahi Aisy berkerut.
Kurang faham dengan kata-kata Tuan Zabir.
“Apa maksud abah ni?
Aisy tak faham.” Ucap Aisy. Terkebil-kebil dia memandang Tuan Zabir.
Tuan Zabir hanya
tersenyum nipis. Soalan Aisy dibiarkan tergantung tanpa jawapan. Perlahan-lahan
dia menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan seutas rantai emas lalu dihulurkan
pada Aisy.
Aisy melopong. Besar
matanya melihat rantai emas 916 yang halus berkilat dihulurkan oleh Tuan Zabir.
Kelihatan ada loket berbentuk hati tergantung kemas di rantai tersebut. Sedikit
sebanyak Aisy rasa teruja.
“Cantiknya, abah. Abah
belikan untuk siapa? Untuk nenek ke?” soal Aisy sambil menyambut huluran
daripada Tuan Zabir.
Tuan Zabir hanya mampu
tersenyum melihat telatah anak gadisnya ini. Nampak jelas sikap
kebudak-budakkannya walaupun umur Aisy sudah menjangkau ke angka 25 tahun.
“Abah belikan untuk
Aisy. Untuk nenek Abah beli yang lagi besar.” Jawab Tuan Zabir dengan senyuman
melebar.
“Lagi besar? Mana aci.
Untuk Aisy abah beli halus je.” Omel Aisy sambil menyangkutkan rantai tersebut
ke lehernya.
Tawa kecil meletus di
bibir Tuan Zabir. Mulut Aisy yang memuncung mencuit hatinya. Sikap manja itulah
yang sering dirinduinya.
“Tapi Aisy ni lebih
istimewa daripada rantai nenek tau.” Jawab Tuan Zabir.
Aisy mendongak.
“Serius abah? Apa yang
istimewanya?” soalnya ingin tahu.
“Rantai Aisy ada loket
yang betul-betul special. Nenek pun
tak ada loket macam ni tau.” Balas Tuan Zabir.
Aisy tidak menjawab
sebaliknya dia membelek rantai yang berbentuk hati. Mulutnya sedikit ternganga
apabila loket tersebut boleh dibuka. Terpampang gambar Tuan Zabir dan gambar
arwah ibunya yang diselit kemas di dalam loket tersebut. Serentak, rasa sebak
menghentak dada Aisy apabila terpandang gambar arwah ibunya.
“Ada gambar ibu…”
perlahan saja suara itu kedengaran namun sempat ditangkap oleh telinga Tuan
Zabir. Ada sendu yang terbias di anak mata Aisy yang bundar. Sayu sungguh
dirasakan oleh Tuan Zabir. Namun, sepantas kilat dia membuang rasa itu
jauh-jauh.
“Sebab itulah abah nak
Aisy jaga rantai ini macam Aisy jaga nyawa Aisy sendiri. Nak tahu kenapa abah
selitkan gambar abah dan arwah ibu dekat loket tu?” soal Tuan Zabir lembut.
Aisy mengangkat
pandangan. Anak mata Tuan Zabir ditenung lama.
“Kenapa?” soalnya
pendek.
Tuan Zabir meleretkan
senyuman.
“Sebab loket tu akan
berada dekat di dada Aisy. Dalam dada ada apa? Ada hati kan? Jadi abah nak abah
dan arwah ibu sentiasa dekat di hati Aisy.” Ucap Tuan Zabir perlahan.
Aisy terharu. Spontan
dia memeluk tubuh Tuan Zabir dengan erat.
“Aisy sayang abah.”
Ucap Aisy dengan air mata yang menitis perlahan di pipi. Sebelah tangannya
mengenggam kemas loket yang tergantung di lehernya.
“Abah pun sayangkan
Aisy.” Balas Tuan Zabir.
Dia membalas pelukan
Aisy. Belakang tubuh Aisy dielus lembut. Maafkan abah, Aisy. Abah akan lakukan
apa saja asalkan anak abah hidup senang-lenang. Bukan niat abah untuk rahsiakan
perkara sebenar tetapi abah terpaksa lakukan semua ini untuk kebahagiaan kita.
Desis hati Tuan Zabir.
Tanpa mereka sedar,
gerak-geri mereka diperhatikan oleh sepasang mata yang tajam.
QARTAL hanya mendiamkan
diri saat melihat meja yang diterbalikkan oleh Razak. Habis ruang itu
berselerakan akibat diamuk oleh Razak. Dia tidak tahu harus berbuat apa. Hanya
pandangan gusar yang dilemparkan. Bimbang jika amukan Razak membawa nahas pada
dirinya.
“Macam mana berlian tu
boleh terlepas ke tangan King?” tempik Razak.
Jeff dan rakan-rakan
yang lain yang menundukkan kepala. Tidak berani untuk menentang wajah Razak
yang menyinga. Dia yakin pasti mereka akan mendapat habuannya sekejap lagi.
“Kami dah berjaya curi
berlian tu daripada muzium tapi masa kami nak balik ke markas, orang-orang King
block kereta kami. Dia ramai, bos.
Kami cuma sempat pertahankan diri je. Berlian tu…”
“Bodoh! Aku dah cakap
kan, walau apa terjadi berlian tu lebih penting daripada nyawa kau sendiri!
Sekarang apa aku nak jawab dengan Kitai, hah? Berlian yang dia nak sangat tu
dah terlepas pada King. Sah-sah, Kitai tak percayakan geng kita lagi.” Bentak
Razak sambil mengenggam rambutnya yang sememangnya kusut.
“Maafkan kami bos…”
balas Jeff sambil tunduk menekur lantai.
Razak memandang wajah
pengikutnya yang bertanggungjawab untuk mencuri berlian The Moussaieff Red
Diamond dari Muzium Negara. Sangkanya rancangan yang mereka rangkakan begitu
sempurna tetapi ternyata King bertindak lebih licik. Berlian yang berharga puluhan
juta itu dirampas dengan sekelip mata oleh pengikut-pengikut King. Perbuatan
King ternyata mengundang amarah yang takkan pernah surut dalam diri Razak.
“Maaf kau takkan dapat
kembalikan berlian tu!” jerkah Razak.
Pantas, satu tumbukan
keras hinggap di muka Jeff terlebih dahulu sebelum mendarat di muka Qartal dan
dua rakannya yang lain. Mereka berempat rebah di lantai sambil memegang wajah
mereka yang mulai lebam penangan buku lima Razak Hitam.
Qartal menahan sakit.
Dia mengetap bibir. Kalau diikutkan rasa marahnya, pasti wajah Razak turut
lebam dikerjakan olehnya namun Qartal cuba sabarkan diri.
“Kalau bos tumbuk kami
sampai hancur muka kami sekali pun, berlian tu takkan datang bergolek ke sini!”
balas Qartal berani. Dia bingkas bangun sambil berdiri bertentangan dengan
Razak.
Razak tersentak.
Berdesing telinganya mendengar ocehan Qartal. Aik, nak tunjuk berani nampak
budak hingusan ni. Desis hati Razak tidak berpuas hati.
“Qartal, apa kau
merepek ni?” Jeff bangun lalu menarik lengan Qartal supaya menjauhi Razak.
Qartal menepis. Dia
menjeling tajam pada Jeff.
“Kau cakap apa? Kau nak
lawan aku? Kau nak tunjuk berani dengan aku?” soal Razak sambil menolak tubuh
Qartal dengan kasar.
Qartal menggigit
bibirnya yang pecah berdarah. Darah yang memenuhi ruang mulutnya diludah ke
lantai.
“Aku bukan nak tunjuk
pandai dengan kau tapi rancangan King buat betul-betul teliti. Sekarang kalau
kau nak bunuh kami sekali pun, kau takkan dapat balik berlian tu. Jadi lebih
baik kita rampas balik apa yang King rampas daripada kita.” Usul Qartal.
Razak termangu seketika.
Ada benarnya juga kata-kata Qartal. Kalau dia menjerit, mengamuk dan membunuh
pengikutnya sekali pun, King takkan kembalikan semula berlian miliknya. Lantas,
dia menghela nafas dan menghembuskannya dengan perlahan. Cuba meredakan
kemarahan yang semakin meluap-luap dalam dirinya.
“Betul bos. Saya sokong
apa yang Qartal cakap. Kami akan tuntut balik apa yang King rampas daripada
kita. Masa nilah kita kena gunakan Jamal. Dia boleh tunjukkan kita kelemahan
King. Kita guna kelemahan King tu untuk ugut dia.” Jeff menyampuk memberi
cadangan.
Razak memeluk tubuhnya.
Kepalanya terangguk-angguk memikirkan cadangan Jeff dan Qartal.
“Baik, kali ini aku
bagi kau peluang untuk rampas balik berlian tu. Aku tak nak dengar apa-apa
alasan lagi. Aku bagi tempoh dua minggu aje untuk rampas balik berlian tu
daripada King. Kalau dalam tempoh tu kau tak dapat berlian tu, sendiri mau
ingatlah. Nyawa kau sebagai ganti!” tegas Razak membuat keputusan.
Qartal dan Jeff
berpandangan sesama sendiri. Rela dalam terpaksa mereka menganggukkan kepala.
Apabila nyawa menjadi taruhan, halal dan haram tidak menjadi persoalan.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.