“HAJAR
MANA?” Soal Wak Rosli pendek sebaik saja sampai di
rumahnya. Mak Nab yang sedang mengangkat pakaian di ampaian di pandang lama sebelum
anak matanya melingas mencari motosikalnya.
Wak Rosli menarik nafas lega apabila motosikalnya
masih tersadai sama seperti dia tinggalkan pagi tadi.
“Hajar? Kenapa abang cari Hajar? Petang-petang macam
ni, kat mana lagi dia kalau bukan kat bilik. Tengah ulang kaji agaknya tu.”
Jawab Mak Nab tanpa memandang wajah Wak Rosli.
“Dia ada keluar pergi mana-mana tak hari ni?” Soal
Wak Rosli lagi. Dia merenung Mak Nab yang tampak gelisah.
“Keluar? Setakat keluar pergi kedai tu adalah,
bang.” Balas Mak Nab tanpa mengulas lanjut.
“Dia naik motor saya tak?” Tanya Wak Rosli lagi
tidak ubah seperti pegawai polis yang membuat siasatan.
“Errr…”
Mak Nab mula kehilangan kata. Dia menjilat bibirnya yang terasa kering.
“Ada tak, Nab?” Gesa Wak Rosli lagi. Wajah Mak Nab
yang serba-salah membuatkan dia dilanda tanda tanya.
“Entahlah, bang. Nab tak perasan pulak. Nab tengah
masak tadi.” Jawab Mak Nab sekadar untuk melepaskan diri. Padahal dia tahu
Hajar memang keluar dengan motosikal suaminya itu. Dia tidak mahu menimbulkan
kekecohan pula. Suaminya itu bukan boleh dikira barannya. Seboleh mungkin Wak
Rosli ingin melindungi Hajar walaupun sesekali kelihatan perbuatan Wak Rosli
itu seperti mengongkong segala pergerakan anak dara mereka.
“Kenapa abang tanya pelik-pelik ni? Selalunya abang
tak kisah pun.” Sambung Mak Nab lagi tanpa sempat Wak Rosli bersuara.
“Selalunya memang saya tak kisah sebab dia naik
dengan saya tapi tadi saya nampak ada kemalangan kat bandar tu. Budak
perempuan. Saya takut kalau-kalau Hajar curi-curi naik motor pergi bandar
sana,” Jelas Wak Rosli membuatkan Mak Nab terdiam.
Dia kehilangan kata. Kalaulah Wak Rosli tahu memang
Hajar ada curi-curi naik motornya, agak-agak apa yang akan jadi pada anak
daranya tu? Mak Nab tertelan air liur.
“Hisy, abang ni ke situ pulak. Hajar tu dah besar,
tahulah dia nak jaga diri.” Jawab Mak Nab sambil tersenyum kelat.
“Sebab dah besarlah saya kena pantau dia selalu. Dia
tu perempuan, Nab. Saya risaukan dia. Nasib baik yang meninggal tu bukan anak
kita, kalau tak, saya tak tahulah macam mana perasaan saya.” Balas Wak Rosli.
Masih tergambar jelas di minda Wak Rosli wajah gadis
remaja yang meninggal itu. Dalam rasa sayu melihat kemalangan yang tragik
seperti itu, jauh di sudut hati Wak Rosli terbetik juga rasa lega apabila itu
pemilik tubuh itu bukan Hajar.
“Kalau kita jaga dia dengan elok, dia takkan buat
hal. Lagipun Hajar tu bukan berani nak buat perkara yang tak elok. Takkan dia
nak menyusahkan abang pulak. Selama ni dia tak pernah buat benda yang
bukan-bukan. Abang jangan risau, nanti Nab mintak Zaidi tolong tengok-tengokkan
adik dia tu.” Balas Mak Nab cuba meredakan keadaan.
Wak Rosli menghela nafas dan menghembuskannya dengan
perlahan.
“Zaidi tu pun sama dengan adik dia.” Ucap Wak Rosli.
Mak Nab tersengih mempamerkan giginya yang masih
penuh.
“Tak baik abang cakap macam tu. Zaidi tu abang yang
baik untuk adik-adik dia. Abang kena percaya. Hah, bercakap pasal kemalangan
tu, siapa yang kemalangan tu, bang?” Soal Mak Nab mengalih topik perbicaraan.
Dia mengangkat bakul yang dipenuhi dengan kain lalu
menuju ke tangga rumah. Wak Rosli turut mengikut langkah kaki Mak Nab. Dia
melabuhkan punggung di anak tangga.
“Entah, abang tak kenal. Tapi budak tu eksiden
langgar bas kilang. Seorang meninggal kat tempat kejadian, seorang cedera parah.”
Cerita Wak Rosli.
Mak Nab tersentak. Sempat dia menutup mulut kerana
terkejut.
“Innalillahi
wa innalillahi rojiun.” Lafaz Mak Nab sambil mengurut dada.
“Ada saksi cakap dia berlumba kat jalan raya. Helmet
pulak tak pakai tapi wallahualam.
Sebab itulah abang tak nak Hajar jadi liar. Bukan awak tak tahu anak awak tu
suka sangat dengan motor. Abang pun naik risau dengan dia.” Ujar Wak Rosli
sambil menggelengkan kepalanya.
Mak Nab mengeluh kecil. Dia tersenyum nipis
memandang suaminya.
“Abang tak payah fikir banyak sangat. Nab ada kat
rumah, tahulah Nab nak tengok-tengokkan dia. Lagipun kita kena percayakan dia,
bang. Nanti tak adalah dia memberontak tak tentu pasal.” Balas Mak Nab dengan
lembut.
Wak Rosli tidak menjawab. Dia hanya mengeluh
panjang. Bukan dia tidak percaya tetapi selepas melihat kejadian tadi dengan
mata kepalanya sendiri, dia jadi paranoid. Jadi fobia. Mungkin kasih sayang dia
pada Hajar melebihi segala-galanya menjadikan dia takut. Takut jika kehilangan
anaknya itu.
HAJAR
YANG
mengintip perbualan ibu dan ayahnya hanya mampu menarik nafas lega. Bimbang
juga jika ayahnya tahu kegiatannya awal petang tadi. Nasib baik ibunya pandai
menjernihkan suasana. Tidak perlulah dia menanggung kemarahan dan mendengar
bebelan ayahnya yang boleh tahan garangnya itu.
Hajar meraup wajah. Teringat kembali saat dia
berlumba dengan Asiah, sekumpulan lembu melintas jalan, nasibnya baik kerana
dapat brek dengan awal kalau tidak pasti dia juga akan ikut jejak langkah gadis
yang dilihat oleh ayahnya tadi.
Buat seketika Hajar memandang poster-poster yang
ditampalkan di dinding bilik. Dia bangun dan merapati dinding. Poster Valentino
Rossi, pelumba motosikal idolanya memenuhi ruang bilik. Dia tersenyum sambil
menggosok permukaan poster tersebut.
“Hari ni aku menang lagi. Kalau boleh aku nak jadi
macam kau, tawan dunia sebanyak sembilan kali. Tapi sebelum aku jadi macam kau,
aku kena ada motor dulu. Tak apa, aku akan usahakan juga untuk dapat motor.
Tapi macam mana nak dapat erk?” Soal
Hajar sambil mengurut dagunya. Memikirkan cita-citanya untuk memiliki sebuah
motosikal berkuasa tinggi.
Dapat ke dia mengejar angan-angannya itu? Jika dia
dapat, apa reaksi Wak Rosli nanti? Hati Hajar tertanya-tanya. Kusut juga
fikiran Hajar memikirkan penghujung kisahnya.
“AYAH,
HAJAR naik motor dalam kampung ni je kut. Takkan itu pun
ayah tak bagi? Lesen pun Hajar tak ada, manalah Hajar berani nak pergi bandar
sana tu.” Ucap Hajar sewaktu mereka sedang menonton berita di televisyen.
Hajar menarik muka tidak puas hati apabila Wak Rosli
membangkitkan isu kemalangan yang berlaku petang tadi.
“Mulai hari ni, dalam kampung pun tak boleh! Dalam
kampung lagi bahaya. Ada binatang melintas, ada monyet, ada budak-budak main
tepi jalan. Semua tu bahaya. Ayah tak nak berlaku apa-apa kat kamu, faham?” Tegas
suara Wak Rosli kedengaran.
Hajar menjuihkan bibir. Dia rasa ayahnya tidak adil.
“Abang boleh je naik motor ke sana ke sini. Am pun
ayah bagi. Kenapa Hajar tak boleh pulak?” Bantah Hajar.
Mak Nab sudah menjengilkan matanya pada Hajar. Dia
tidak mahu Hajar menambahkan lagi kemarahan Wak Rosli. Bila suaminya itu
membuat keputusan, bermakna tiada sesiapa yang dapat membantah atau pun
menghalang. Hitam katanya, hitamlah jawabnya. Takkan ada putih.
“Lelaki ke perempuan ke, sama je, ayah. Kalau tak
hati-hati, eksiden juga. Tapi kita janganlah doa macam tu. Benda boleh elak,
kita elak.” Jawab Hajar berani.
Wak Rosli berpaling pada Hajar. Melotot matanya
memandang Hajar. Cuba menahan kesabaran dengan sikap Hajar kali ini. Baharu
pertama kali Hajar berani melawan cakapnya. Semuanya disebabkan motor. Minat
anak gadisnya terhadap motor memang tidak dapat disangkal lagi.
“Memang kita hati-hati, tapi kalau orang lain tak
hati-hati, tak boleh jadi juga. Boleh tak Hajar dengar cakap ayah kali ni?”
Soal Wak Rosli cuba mengawal nada suaranya agar tidak terlalu tinggi.
Hajar mengeluh berat. Terkilan sungguh hatinya
dengan keputusan Wak Rosli. Salah ke kalau menunggang motor? Kalau salah, di
mana salahnya? Ingin saja soalan itu diutarakan kepada Wak Rosli, tetapi Hajar
tidak berani. Dia masih menghormati ayahnya itu.
“Habis tu, memang Hajar tak boleh naik motorlah
sampai bila-bila?” Soal Hajar dengan riak yang kecewa tergambar di wajah.
Wak Rosli bengang. Susah sangat ke Hajar nak faham
kata-katanya? Dia bertutur dalam bahasa melayu, bukannya bahasa asing sampai
dia perlu mengulang banyak kali kata-katanya.
“Ayah cakap tak boleh, maknanya tak bolehlah! Kenapa
susah sangat ni nak dengar cakap ayah?” Melengking tinggi suara Wak Rosli.
Sekadar untuk memberi amaran kepada Hajar yang dia benar-benar maksudkan
tegahannya itu.
Hajar terkesima. Pertama kali Wak Rosli meninggikan
suara padanya. Hati Hajar tersiat. Dia bangun lalu meninggalkan ruang tamu
menuju ke biliknya. Biarlah dia rawat kekecewaannya sendiri. Ayah tak pernah
faham perasaan Hajar!
APA YANG AKAN JADI DENGAN HAJAR? DAPAT KE WAK ROSLI TERIMA MINAT HAJAR TU? NAK TAHU, SILA DAPATKAN DARIPADA PENULISAN2U ATAU PUN DI KEDAI-KEDAI BUKU OKTOBER NI, YA...NAK BELI DENGAN SK PUN BOLEH...NANTI SK UPDATE KAN CARA-CARANYA... STAY TUNED... ^_^
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.