TERBAHARU OKTOBER 2016! |
BAB 2
TANGAN
SI
isteri yang terbaring kegelisahan di atas pengusung dipegang kejab oleh Wak
Rosli. Seboleh mungkin dia ingin menyalurkan segala kekuatan yang dia ada untuk
Mak Nab yang sedang bertarung dengan kesakitan demi melahirkan zuriat mereka
berdua.
“Bertahan, Nab. Abang tahu Nab sakit tapi Nab kena
tahan demi anak kita!” Ucap Wak Rosli memberi kata-kata semangat.
Baju Mak Nab sudah lencun disimbah dengan air hujan
dan peluh. Sesekali dia mengalihkan kepala ke kiri dan kanan. Cuba mencari
posisi yang dapat memberi keselesaan pada tubuhnya tetapi Mak Nab tidak mampu
memperolehi keselesaan.
“Nab sakit, bang. Ampunkan dosa Nab, bang. Andai ada
kesalahan Nab yang Nab tak sedar, Nab harap abang ampunkan Nab. Halalkan makan
dan minum, Nab. Halalkan segala kasih-sayang yang abang berikan pada Nab selama
ni. Kalau ada apa-apa jadi pada Nab, Nab harap abang jaga anak-anak kita dengan
baik dan kalau abang harus memilih antara Nab dan anak kita, abang tolong pilih
anak kita. Dia lebih berharga daripada nyawa Nab.” Lirih suara Mak Nab
kedengaran. Air mata semakin laju mengalir di pipi.
Dia membalas genggaman tangan Wak Rosli dengan
sekuat mungkin. Anak mata suaminya yang berkaca ditatap sepuas-puasnya.
Wak Rosli menggelengkan kepalanya beberapa kali.
Hatinya cukup sayu mendengar bicara yang dituturkan oleh Mak Nab. Mana mungkin
dia membuat pilihan sebegitu sedangkan hatinya begitu berat untuk berpisah
dengan Mak Nab. Hanya wanita itu saja yang sanggup hidup senang dan susah
dengannya. Pengorbanan Mak Nab bukan sedikit malah kasih-sayang yang wanita itu
berikan, tiada tolok bandingannya.
“Abang halalkan semuanya, Nab. Abang percaya Nab dan
anak kita akan selamat. Ingat Allah, Nab. Sebut nama Dia selalu. Abang nak Nab
ikut abang baca doa ni.” Ucap Wak Rosli sambil kakinya laju mengikut pengusung
itu ditolak hingga ke dalam bilik bersalin.
“Encik dah bersedia? Isteri encik dah nak bersalin
ni.” Ujar doktor yang bertugas memandang Wak Rosli.
Wak Rosli mula cuak. Dia kaget seketika. Tetapi saat
melihat wajah Mak Nab yang dibasahi peluh, timbul perasaan kuat dalam dirinya.
Perlahan-lahan, dia menghampiri telinga Mak Nab.
“Nab ikut abang baca doa ni, ya? Mudah-mudahan Allah
permudahkan segalanya.” Bisik Wak Rosli rapat di telinga.
Mak Nab tidak membalas sebaliknya dia hanya mengangguk
laju. Saat ini hanya nama Allah yang bergemaung di dalam hatinya. Segalanya
diletakkan sebulat-bulat pada Allah s.w.t.
“Wa
hasbunallah wa ni’mal wakil, wala hawla wala kuwata illa billahil ali hil adzim.”
Lafaz Wak Rosli satu persatu.
Kelihatan mulut Mak Nab terkumat-kamit seperti
sedang mengikuti ayat yang disebut oleh suaminya. Selesai saja membaca lafaz
tersebut, kesakitan yang dirasakan sedikit berkurangan.
“Okey, puan. Dah sampai masanya untuk puan teran!”
Suara doktor wanita itu berbunyi dari arah bawah.
Mak Nab menarik nafas panjang dan cuba meneran.
Cubaan kali pertama gagal, dia terus mencuba sambil Wak Rosli memegang
tangannya dengan erat.
Wak Rosli menahan sebak melihat keadaan Mak Nab saat
ini. Wanita itu menjerit kesakitan. Timbul rasa insaf dalam diri Wak Rosli
sebaik saja melihat keadaan Mak Nab. Begitu sukar seorang ibu untuk melahirkan
seorang anak. Dia yang melihat pun hampir putus nyawa, apatah lagi tuan badan
yang merasainya sendiri.
Tidak hairanlah jika darjat seorang ibu tinggi di sisi
Allah kerana pengorbanannya menuntut mereka menggadaikan nyawa mereka sendiri.
Hanya kaum wanita sahaja yang diberi keistimewaan seumpama ini yang tidak akan
dapat dirasai oleh kaum Adam.
Bunyi bayi menangis menyentak Wak Rosli daripada
terus larut dalam lamunannya yang panjang. Dia tersedar apabila genggaman di
tangannya kian longgar. Dia berpaling. Kelihatan Mak Nab sudah mula layu.
Kelopak matanya sekejap terbuka dan sekejap tertutup.
“Nab…” Panggil Wak Rosli lembut di telinga.
“Tahniah, Encik Rosli. Isteri dan anak encik
selamat. Anak encik perempuan.” Ucap doktor tersebut dengan senyuman. Dia
menyuakan seorang bayi perempuan yang berbungkus dengan kain ke arah Wak Rosli.
“Perempuan?” Wak Rosli terus tergamam.
BUNYI
TANGISAN bayi menyedarkan Wak Rosli yang sedang termenung di
ruang menunggu. Dia mendongak. Kelihatan seorang jururawat wanita menuju ke
arahnya dengan senyuman manis tersungging di bibir. Anak mata Wak Rosli jatuh
pada kedua belah tangan jururawat tersebut yang sedang memegang bayi yang berbalut
dengan kain berwarna biru. Wak Rosli teruja. Pantas, dia bingkas berdiri.
“Encik Rosli, ini bayi encik. Isteri encik tengah
berehat jadi bolehlah encik tengok atau nak iqamatkan anak encik ni.” Ujar
jururawat itu bersama senyuman.
Dia menghulurkan bayi perempuan yang masih menangis
kepada Wak Rosli yang kelihatan terpaku. Lama pandangan Wak Rosli berlabuh pada
bayinya sebelum dia tersedar dengan sendirinya.
“Anak saya?” Soal Wak Rosli seperti orang
kebingungan.
Jururawat yang memakai tanda nama Izati itu hanya
menganggukkan kepala. Reaksi sebegitu memang biasa dilihatnya setiap kali jika
ada kelahiran yang berlaku.
“Betul, inilah anak encik. Anak encik comel dan
sihat. Encik dah fikirkan nama ke?” Soal Izati lagi sekadar berbasa-basi.
Lambat-lambat Wak Rosli menyambut huluran Izati.
Walaupun ini bukan kali pertama dia mendapat cahaya mata tetapi entah mengapa
kelahiran anak perempuannya ini cukup bermakna dalam hidup Wak Rosli.
“Nama?” Soal Wak Rosli lebih pada dirinya sendiri.
Dia menyelak sedikit kain yang hampir menutupi wajah
bayi kecilnya dan sebaik saja wajah itu menyapa ruang mata, Wak Rosli terus
terpaku. Wajah yang kemerahan itu nampak begitu suci dan bersih. Sukar
digambarkan perasaan Wak Rosli tika ini. Semuanya bercampur-baur. Dia terharu.
Cukup terharu dengan pemberian Allah yang cukup besar ini.
“Anak saya, misi. Ini anak saya…” Ucap Wak Rosli
dengan mata yang berkaca. Dia memandang sejenak ke arah Izati yang sudah
tersenyum.
Segaris senyuman nipis terukir di bibir Izati. Dia menganggukkan
kepala.
“Kalau macam tu saya tinggalkan bayi ni dengan encik
ya? Saya pergi dulu.” Ucap Izati lalu berlalu meninggalkan Wak Rosli yang masih
leka menatap wajah anaknya itu.
Wak Rosli menyentuh lembut pipi anaknya yang gebu.
Perlahan-lahan, anak itu menggeliat kegelian.
“Assalamualaikum, sayang. Selamat datang ke dunia
baru. Ini ayah. Nanti ayah bawak jumpa mak, ya?” Ucap Wak Rosli sambil jari
telunjuknya diletakkan di tapak tangan anaknya itu.
Tanpa dia sangka, si kecil itu terus mengenggam erat
jarinya seolah-olah faham dengan bicaranya tadi. Wak Rosli terkesima.
“Terima kasih kerana hadir dalam hidup ayah dan mak.
Semoga sayang akan menjadi anak yang solehah suatu hari nanti. Ayah janji akan
jaga sayang seumur hidup ayah.” Desis Wak Rosli perlahan.
Lantas, dia mendekatkan bibirnya di sisi bayi
kecilnya. Nafas ditarik perlahan sebelum menghembuskannya dengan tenang.
“Allahu
akhbar, allahu akhbar, asy haduanna Muhammadan Rasulullah…”
Suara Wak Rosli bergema di ruang hospital. Suaranya
kedengaran tenggelam timbul akibat menahan rasa sebak dengan hadiah yang
diberikan. Sesungguhnya seorang anak itu merupakan satu anugerah yang tidak
ternilai bagi seorang ayah. Malah, seorang anak lebih berharga daripada
segunung intan berlian.
MAK
NAB
melemparkan senyuman manis saat melihat suaminya duduk sambil memangku anak
mereka yang baharu saja dilahirkan. Lelaki itu tampak leka dengan anak mereka
yang masih belum diberikan nama.
Lalu, perlahan-lahan dia menyentuh lengan Wak Rosli
memaksa lelaki itu supaya berpaling.
“Abang gembira?” Soal Mak Nab dengan nada yang masih
lemah.
Spontan, Wak Rosli mengangguk laju. Bukan setakat
gembira malah sangat gembira dengan kurniaan yang tak terhingga ini.
“Abang bersyukur sangat bila Nab dan anak kita ni
selamat. Rasa macam seluruh hidup abang ni lengkap. Abang ada Nab. Abang ada
Zaidi dan sekarang abang dah ada si comel ni. Tak ada apa yang abang harapkan
selain Nab dan anak-anak kita ni selalu ada depan mata abang cuma….” Bicara Wak
Rosli terhenti. Dia mengetap bibir.
Mak Nab mengerutkan kening.
“Cuma apa, bang?” Soal Mak Nab sambil mengelus
lembut lengan si suami.
Wak Rosli mengangkat pandangan. Anak matanya
bertentangan dengan Mak Nab yang masih menanti penjelasan daripadanya.
“Abang cuma tak dapat bagi kesenangan dan kekayaan
buat Nab dan anak-anak kita. Ini saja yang mampu abang berikan pada keluarga
kita. Abang harap Nab dapat terima segala kekurangan abang.” Jawab Wak Rosli
sambil menundukkan kepala.
Mak Nab tersenyum nipis. Dia faham tentang
kebimbangan yang melanda hati si suami. Jadi sebagai isteri dia harus
menyenangkan hati Wak Rosli.
“Abang, sebaik saja Nab pilih abang sebagai suami
Nab, Nab sanggup tanggung segala-galanya dengan abang. Sejak kahwin dengan
abang, Nab tak pernah rasa susah sebab melihat abang tersenyum itu adalah
kesenangan bagi Nab. Abang kunci syurga untuk Nab. Jadi Nab terima segala
kelebihan mahu pun kekurangan abang.” Ucap Mak Nab dengan lembut. Lebih kepada
memujuk.
Wak Rosli melepaskan nafas lega. Spontan, dia
mengelus dahi Mak Nab dengan lembut sebelum satu kucupan penuh syahdu lekat di
dahi isterinya.
“Ternyata abang tak pernah salah pilih isteri.
Terima kasih sebab hadir dalam hidup abang dan berikan abang seluruh
kebahagiaan. Lepas ni, bolehlah bagi abang seorang lagi anak.” Gurau Wak Rosli
kemudian ketawa lepas.
Mak Nab menjengilkan mata. Tidak lama kemudian dia
ikut ketawa.
“Ada hati nak anak baru, anak kita ni pun belum ada
nama lagi. Abang dah ada nama untuk anak kita ni?” Soal Mak Nab mengalih topik
perbualan.
Wak Rosli berjeda. Dia mengetuk dagunya sejenak
seolah-olah sedang berfikir.
“Dah, abang dah jumpa nama yang sesuai.” Jawab Wak
Rosli sebelum mengalih pandangan pada wajah anaknya yang sedang merengek. Dia
mengagah-agah anaknya.
“Apa namanya, bang?” Soal Mak Nab ingin tahu.
“Siti Hajar…” Jawab Wak Rosli tanpa sedikit pun
mengalihkan pandangan daripada laman wajah si kecil.
“Siti Hajar? Kenapa abang pilih nama tu?”
Wak Rosli terdiam seketika. Sukar untuk dia
terangkan mengapa dia memilih nama tersebut tetapi sebaik saja melihat wajah
anak kecilnya, nama itu kerap bermain di fikirannya.
“Sebab abang nak anak kita kuat sama seperti isteri
Nabi Ibrahim yang ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir bersama anaknya,
Nabi Ismail. Abang nak dia jadi seorang perempuan yang tabah dan sabar saat
diberikan ujian. Abang nak dia jadi seorang perempuan yang akan melindungi
dirinya sendiri tanpa perlu bergantung harap pada orang lain sama seperti Siti
Hajar yang tabah menjaga anak kecilnya di tengah-tengah padang pasir yang
kering dan tandus tanpa sedikit pun mempersoalkan takdir yang telah tertulis.”
Terang Wak Rosli dengan tenang.
Mak Nab hanya menganggukkan kepala tanda faham.
Dalam diam dia turut setuju dengan nama pilihan suaminya.
Siti Hajar, ketabahan mu menjadi pedoman. Kesabaran
mu menjadi ikutan. Ketaatan mu begitu mengagumkan, semoga anakku Siti Hajar
menjadi sekuat mu dan menjadi sumber kekuatan bagi kami sekeluarga. Bisik hati
Mak Nab penuh pengharapan.
“Kalau macam tu Nab setuju je, bang. Siti Hajar pun
nama yang bagus. Mudah-mudahan dia membesar jadi anak yang solehah.” Ujar Mak
Nab setelah agak lama mendiamkan diri.
Wak Rosli tidak membalas sebaliknya anak matanya
dibiarkan terus menatap wajah polos si anak. Dia tersenyum girang.
‘Ya Allah, jadikanlah jiwa puteriku ini sekental
jiwa Siti Hajar ketika terdampar di padang pasir yang tandus. Jadikanlah dia
anak yang taat seperti mana taatnya Siti Hajar saat diperintahkan untuk tinggal
di gurun yang panas membahang.’ Doa hati Wak Rosli tidak putus-putus.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.