Tahun 2011…
HAJAR
MEMEGANG kejap lengan Mak Nab. Dia merengek manja. Apabila
Mak Nab memusingkan tubuhnya ke kiri, dia ikut. Apabila Mak Nab mengalihkan
badannya ke kanan, Hajar turut ikut. Saat ayahnya keluar bekerja, inilah waktu
yang baik untuk dia memujuk ibunya itu.
“Bolehlah, mak. Hajar tak mintak banyak pun. Satu ni
je yang Hajar nak. Hajar nak kerja mak tak bagi. Kalau tak, Hajar takkan
menyusahkan mak.” Ujar Hajar lembut memujuk.
Mak Nab tidak tenang hendak mengupas bawang.
Rengekan Hajar merimaskan dirinya yang sememangnya sedang kepanasan memasak di
dapur.
“Kamu tu belajar lagi. Tahun ni SPM, buat apa nak
nak kerja? Nak kena parang dengan bapak kamu tu kalau dia tahu kamu curi-curi
kerja?” Soal Mak Nab sambil menjengilkan matanya. Memberi amaran pada Hajar.
“Hah, sebab itulah Hajar nak mintak tolong mak kali
ni. Mak tak payah belikan motor untuk Hajar pun cukuplah mak bagi Hajar duit
untuk buat lesen motor. Lesen motor sekarang tak adalah mahal sangat pun, mak.
Kerajaan dah bagi diskaun.” Balas Hajar masih cuba memujuk.
Mak Nab mengetap bibir. Sedikit sebanyak dia kalah
juga dengan permintaan Hajar. Anak perempuan cuma satu, seboleh mungkin dia
ingin turutkan kemahuan Hajar meskipun kadang kala kemahuan itu bertentangan
dengan kehendaknya sendiri.
“Kalau ayah kamu tahu ni, naya ni Hajar!” Ujar Mak
Nab semakin laju tangannya mengupas bawang. Wajah Hajar tidak dipandang.
“Hajar bukan nak buat jahat pun, mak. Hajar nak
bawak motor dengan cara yang sah je. Nanti bila Hajar dah ada lesen dan pandai
motor, senanglah Hajar nak pergi kelas, nak keluar dengan kawan-kawan, nak pergi
kedai beli barang. Mak juga senang nanti. Hajar boleh bawak mak pergi pekan.”
Hajar mula bermain politik.
Mak Nab mengetap bibir. Bicara Hajar walaupun tampak
memaksa namun ada betulnya juga. Bila Hajar ada lesen, senanglah jika ada
kecemasan di rumahnya nanti. Bolehlah Hajar membantu jika diperlukan.
“Mak tak sedap hati, ni menipu ayah namanya. Kalau
ayah tahu, kau dengan mak memang tak selamat.” Ujar Mak Nab meluahkan rasa
gusar di hatinya.
Hajar tersenyum kelat. Dia sudah dapat membayangkan
kemarahan ayahnya tetapi Hajar yakin jika Wak Rosli tahu sekali pun, kemarahan
lelaki itu sebentar cuma kerana kasih sayang ayahnya itu melebihi segalanya.
“Bukan Hajar tipu, mak. Hajar cuma rahsiakan aje
dulu. Nanti bila Hajar dah sedia, Hajar bagitahulah. Mak jangan risau, apa pun
yang berlaku, Hajar akan tanggung sendiri.” Janji Hajar sambil mengerdipkan
matanya pada Mak Nab yang sedang menatap wajahnya.
Mak Nab mengeluh berat. Sukar hatinya untuk setuju
akan permintaan Hajar namun dia terpaksa akur jika itu mampu menggembirakan
satu-satunya anak perempuan yang dia ada.
“Hajar kena janji dengan mak, kalau mak izinkan
Hajar bawak motor, Hajar kena bawak elok-elok jangan sampai eksiden. Boleh?
Janji dengan mak?” Pinta Mak Nab dengan penuh pengharapan.
Hajar mengangguk laju. Pantas, dia menghulurkan jari
kelingkingnya pada Mak Nab. Wanita tua itu berkerut dahinya.
“Nak buat apa ni?” Soal Mak Nab lurus.
Hajar ketawa kecil. Jari kelingkingnya menyauk jari
kelingking Mak Nab.
“Hajar janji akan jaga diri Hajar elok-elok. Hajar cuma
perlukan restu mak aje.” Ujar Hajar sebelum menghadiahkan satu ciuman kecil di
pipi Mak Nab.
Mak Nab tersenyum hambar. Dia hanya membuang pandang
pada Hajar yang sudah bingkas bangun. Tudung ekspres disarungkan ke kepalanya.
“Tu nak pergi mana pulak tu?” Soal Mak Nab mula
pening kepala dengan sikap Hajar yang satu ini. Betullah kata orang, menjaga
anak perempuan seorang lebih sukar daripada menjaga sekandang lembu. Baru
sekarang Mak Nab merasakannya. Pergerakkan Hajar sukar dikawal apatah lagi ingin
dikekang. Anak gadisnya aktif sangat orangnya.
“Ayah tak ada kat rumah kan? Hajar nak keluar
sekejap.” Ujar Hajar sambil tersengih.
“Nak keluar pergi mana pulak? Pantang ayah tak ada
kat rumah, ada je kamu nak balun motor buruk ayah kamu tu.” Bebel Mak Nab geram
dengan sikap anak gadisnya yang satu ini.
Hajar mengenyitkan mata dengan nakal.
“Buruk tak apa, mak. Janji laju. Tu yang penting.”
Balas Hajar bersahaja. Dia melarikan diri tanpa sempat Mak Nab membalas. Dia
yakin, semakin lama dia menunggu di situ, semakin panjang bebelan Mak Nab
nanti. Jadi, lebih baik dia cabut lari.
“Hisy, budak bertuah ni! Kita cakap ada saja yang
dia nak bantah. Bertuah betul!” Omel Mak Nab lagi. Lama-lama begini, boleh naik
darahnya secara mendadak. Hajar, Hajar, apa sajalah perangai kamu ni. Perangai
tak macam perangai perempuan!
HAJAR
MENJERIT kegirangan apabila akhirnya dia dapat juga
menunggang motosikal milik ayahnya ini. Satu kepuasan bagi Hajar apabila dapat
menunggang dengan laju di sekeliling kampung. Mujur ada abangnya, Zaidi yang
sudi mengajar dia cara-cara menunggang, jika tidak pasti sekarang ini dia tidak
dapat merasa betapa seronoknya menunggang motor. Namun, dalam rasa seronok itu,
terbit juga rasa bimbang jikalau ayahnya tahu dia curi-curi menunggang. Pasti
haru-biru jadinya nanti.
“Yuhuuuuu!”
Jerit Hajar cuba mengatasi bunyi angin yang kuat. Dia menambah kelajuan.
Buat seketika Hajar memandang ke langit biru.
Beberapa ekor burung layang-layang sedang terbang bebas di udara. Hajar ingin
jadi seperti burung itu. Lantas, dia memulas throttle dengan lebih kuat, berniat untuk menyaingi
burung yang terbang di awan.
“Hajar! Jom lumba!” Tegur satu suara menyebabkan
Hajar berpaling. Dia memperlahankan motor. Dia menayang muka bosan apabil
melihat Asiah anak Pak Mail kampung sebelah cuba membuat provokasi.
“Kau lumbalah sorang-sorang, aku nak menikmati
keindahan alam ni!” Laung Hajar dengan malas.
Asiah mencebik. Tipah yang berada di belakangnya
turut senyum mengejek.
“Cakaplah kau takut! Maklumlah anak bapak. Takut
bapak marah bawak motor!” Perli Asiah sambil ketawa berdekah-dekah. Tipah turut
ketawa.
Hajar cuba tidak mengambil pusing tetapi kata-kata
Asiah seolah-olah mencabarnya yang sesungguhnya pantang dicabar.
“Pantang aku sebut bapak-bapak ni!” Gumam Hajar pada
diri sendiri. Dia mengetap bibir. Geram.
“Aku tak kacau kau kan? Kau janganlah sibuk hal aku.
Suka hati akulah anak bapak ke anak mak ke. Susah apa kau?” Hajar mula berang.
Dia cuba melajukan motornya tetapi Asiah masih lagi mengejarnya. Kini, gadis
itu berada betul-betul di sebelahnya.
“Hoi, tak payah nak berlagak jadi Valentino Rossi
kalau kau tu pengecut macam pondan!” Asiah meneruskan provokasi. Seronok juga
dia melihat wajah Hajar yang merah menahan marah.
Hajar mendengus kasar. Tajam dia merenung wajah
Asiah yang ketawa mengejek sebelum dia kembali memandang ke hadapan. Perempuan
macam ni kena ajar sikit, biar dia tahu tinggi ke rendah. Desis hati Hajar.
Lalu, dia memulas minyak dengan kuat. Dia akan sahut
cabaran Asiah. Dia akan buktikan Asiah yang dia bukan selemah yang gadis itu
sangkakan.
“Sekarang kita tengok siapa Valentino Rossi, siapa
Casey Stoner!” Laung Hajar kuat.
Dia menambah kelajuan. Menderum bunyi enjin motor
Honda Cub C70 milik ayahnya. Asiah tersenyum sinis. Dia turut menambah
kelajuan. Dia tidak akan biarkan Hajar menang. Lalu, terjadilah aksi kejar
mengejar di antara Hajar dan Asiah.
Hajar ketawa kuat apabila Asiah tidak berjaya
mengejarnya. Dia terasa puas apabila memperoleh kemenangan. Dia memandang ke
belakang seketika kemudian menunjukkan isyarat ibu jari terbalik pada Asiah.
Dia ketawa berdekah-dekah. Namun, saat dia berpaling ke hadapan semula,
kelihatan sekawan lembut sedang melintas jalan dalam jarak 500 meter.
Hajar mula kaget. Motornya semakin laju. Kelam kabut
dia cuba menurunkan kelajuan. Brek ditekan perlahan-lahan. Namun, motornya
tetap meluncur laju. Hajar mula kelam-kabut.
“Arghhhhh!” Jeritan Hajar bergema.
MATAHARI
MASIH lagi berdiri tegak di atas kepala meskipun hari sudah
berganjak ke petang. Sesekali Wak Rosli menyeka peluh yang merembes di dahi.
Rasa penat makin menjalar ke segenap badan namun dia tetap meneruskan langkah
untuk mencari tin dan botol kosong yang boleh dijual.
Seketika, Wak Rosli memandang dua guni yang berada
di tangannya. Dia tersenyum nipis. Kedua-dua guni ini hampir penuh dengan hasil
kutipan hari ini. Selain mengambil upah memanjat kelapa, membersihkan kebun
kelapa dan mengupas kelapa, Wak Rosli juga terpaksa mencari tin minuman dan
botol-botol kosong untuk dijual. Ini sajalah cara untuk mencari pendapatan
tambahan untuk menyara keluarganya. Di waktu hujung minggu pula, Wak Rosli akan
ke sungai atau pun ke laut untuk memancing ikan. Ikan-ikan yang dapat itu
dijual di kedai Pak Ali.
Anak-anaknya yang semakin membesar menuntut Wak
Rosli bekerja dengan lebih keras. Hajar dan Iqram, masing-masing akan
menghadapi peperiksaan terbesar tahun ini, jadi Wak Rosli harus membanting
tulang untuk menyediakan kelengkapan persekolahan mereka. Nasibnya baik apabila
Zaidi sanggup mengorbankan masa remajanya untuk bekerja membantunya. Walaupun
kerja sebagai kerani biasa, tetapi gaji anak sulungnya itu sudah cukup untuk
menambah pendapatan keluarga mereka.
Wak Rosli menghembuskan nafas pendek. Dia memandang
sinar mentari yang masih tegak di kepala. Rasa penat sudah mula menjalar ke
segenap badan memaksa Wak Rosli untuk berhenti dan meneguk air buat seketika.
Setelah membasahkan tekak, Wak Rosli meneruskan langkahnya ke hadapan.
Tiba-tiba, ketenangan Wak Rosli diganggu dengan
bunyi bising. Kelihatan beberapa buah motosikal dan kereta meluru laju ke
hadapan. Dahi Wak Rosli mula berkedut seribu.
“Apa pulak tu?” Soal Wak Rosli sambil menjengukkan
kepalanya ke hadapan.
Dia melihat sekumpulan orang kampung mengerumuni
sesuatu. Di bahu jalan sebelah kanan, kelihatan sebuah bas kilang tersadai kaku
di situ. Mata Wak Rosli teralih pada sebuah motosikal Honda Cub C70 yang
kelihatan remuk dialih oleh orang kampung. Wak Rosli tergamam. Motor tu! Motor
itu mirip motosikalnya yang berada di rumah!
Hati Wak Rosli mula berdegup kencang. Jiwanya
merusuh. Di fikirannya mula terbayangkan perkara yang bukan-bukan. Janganlah
apa yang berada di fikirannya ini menjadi kenyataan. Wak Rosli dilanda debar.
Laju kaki Wak Rosli diayunkan ke tempat kemalangan.
Serentak dengan itu dia menahan seorang lelaki yang menaiki motor. Wajah lelaki
itu agak asing di pandangan Wak Rosli. Mungkin bukan penduduk kampung ini.
Fikirnya.
“Adik, apa yang berlaku kat depan tu?” Soal Wak
Rosli dengan riak tegang tergambar jelas di wajah tuanya.
Lelaki muda itu menghentikan motosikalnya. Wajah Wak
Rosli dipandang sayu.
“Ada kemalangan, bang. Motor langgar bas kilang.”
Jawab lelaki itu perlahan.
“Langgar bas kilang? Lelaki ke perempuan yang bawak
motor tu?” Soal Wak Rosli berdebar-debar. Dia harus tahu. Harus!
“Perempuan. Muda lagi. Dalam belasan tahun macam tu.
Saya rasa arwah tu sekolah lagi. Tapi dah ajal nak buat macam mana.” Keluh
lelaki itu penuh keinsafan.
Wak Rosli sedikit terpempan. Perempuan? Masih
bersekolah? Jangan-jangan…
“Arwah?” Soalnya masih lagi kabur dengan cerita
lelaki itu.
“Haah, budak tu meninggal kat tempat kejadian. Tu
polis dah nak angkat mayat.” Ujar lelaki itu sambil memuncungkan mulut ke
belakang.
Wak Rosli mula cemas. Dia bimbang jika gadis remaja
yang diceritakan oleh lelaki itu adalah Hajar. Hajar satu-satu anak perempuan
yang dia ada. Lantas, Wak Rosli berlari mendapatkan tempat kejadian. Dia cuba
mencelah dalam keramaian orang yang berada di tempat kejadian.
Kelihatan dua orang gadis terbaring kaku di atas
jalan raya. Seorang gadis sedang terbaring di atas pengusung. Kepalanya
berdarah teruk. Manakala, seorang lagi gadis berada di atas pengusung sambil
wajahnya ditutupi dengan plastik hitam.
Saat itu, Wak Rosli terasa seperti jantungnya
direntap. Dia cuba untuk bertenang. Turun naik dadanya menahan rasa sebak. Tak
mungkin! Tak mungkin itu Hajar! Bentak hatinya.
“Haa..Haajj…”
Belum sempat Wak Rosli menyebut sebaris nama itu,
plastik hitam yang menutupi tubuh gadis yang meninggal dunia itu terselak
ditiup angin menampakkan wajahnya yang sebenar. Wak Rosli yang melihat terus
tergamam. Dia kaku tanpa riak.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.