12 tahun
kemudian…
“AYAH,
HAJAR nak ayam goreng tu.” Ucap Hajar sambil menunjukkan
ke arah seketul ayam goreng yang masih bersisa di dalam piring.
Iqram yang mendengar terus menoleh pada Hajar. Dia
menayang muka tidak puas hati.
“Mana boleh! Ayam tu Am punya!” Bantah Iqram. Dia cuba
mencapai ayam goreng tersebut tetapi dengan pantas tangannya ditampar lembut
oleh Wak Rosli yang berada di sebelahnya.
“Cubalah berkongsi sikit dengan kakak kamu tu. Kamu
makan aje ikan goreng tu.” Balas Wak Rosli menyebelahi Hajar.
Iqram menarik mulut muncung. Dia menjeling pada
Hajar yang tersenyum gembira apabila Wak Rosli meletakkan ayam goreng di dalam
pinggannya. Iqram benar-benar rasa tersisih meskipun dia adalah anak bongsu
dalam keluarga ini.
“Kak Hajar dah makan ayam goreng tadi. Tu yang Am
punya!” Iqram masih lagi tidak berpuas hati.
Pantas, dia cuba merampas balik ayam goreng daripada
pinggan Hajar. Dia akan lakukan apa saja untuk mendapatkan haknya balik.
“Ya Allah, budak bertuah ni! Janganlah berebut masa
makan! Apa nak jadi dengan kau ni, Am?” Marah Wak Rosli sambil menarik baju
Iqram supaya menjauhi Hajar yang sudah pun terjerit-jerit.
Zaidi yang berada di sisi Mak Nab hanya memerhatikan
insiden itu. Setiap kali mereka hendak menjamu selera pasti diakhiri dengan
perbalahan antara Iqram dan Hajar. Selaku abang dia sudah tidak mampu untuk
menasihati. Sekadar pandangan kosong dihadiahkan kerana dia tahu pasti ayahnya
akan menyebelahi Hajar tidak kira apa jua yang berlaku.
“Am cuma nak ayam goreng Am je!” Bentak Iqram keras.
“Hajar pun nak ayam goreng jugak!” Hajar turut
bersuara. Dia menyembunyikan ayam gorengnya di belakang tubuh.
Wak Rosli menggelengkan kepala melihat dua orang
anaknya yang bertelagah. Dia mengalihkan pandangan pada Mak Nab yang kelihatan
tenang.
“Nab, ayam goreng dah tak ada ke kat dapur?” Soal
Wak Rosli sebolehnya cuba bersikap adil.
Mak Nab mengangkat wajah kemudian menggelengkan
kepala.
“Dah habis, bang. Lagipun ayam goreng ni bini si
Jali yang bagi. Kita manalah mampu nak makan ayam bang. Dapat makan ikan masin
ni pun dah kira rezeki kita hari ni.” Jawab Mak Nab perlahan.
Wak Rosli mengeluh kecil. Dia kembali memandang
Iqram dan Hajar silih berganti.
“Am, kau makan ajelah ikan tu. Buat apa nak berebut
dengan kakak kau tu. Makan je apa yang ada.” Ujar Wak Rosli lantas kembali
menyuapkan nasi ke mulutnya.
Wajah Iqram berubah riak. Keruh. Tampak ingin
menangis. Hati kecilnya sedikit terasa dengan layanan Wak Rosli yang sentiasa
berpihak pada Hajar sedangkan dia juga anak ayah. Tidak pernah walau sekali pun
Wak Rosli mempamerkan kasih sayang pada dirinya jika hendak dibandingkan dengan
Hajar, apa yang kakaknya itu minta pasti akan dapat walau pun lambat.
“Ayah memang tak sayangkan Am!” Bentak Iqram lalu
duduk berpaling membelakangi Wak Rosli. Turun naik nafasnya menahan perasaan.
“Eh budak ni aku lempang kang!” Marah Wak Rosli
lantas mengangkat tangan.
“Abang!” Tegah Mak Nab lalu melindungi tubuh Iqram.
“Abang ni dah kenapa sampai nak pukul-pukul anak ni?
Budak ni kecil lagi, bang. Sabarlah sikit. Tahan sikit perangai panas baran abang
tu. Abang tak kesian ke kat anak kita ni?” Suara Mak Nab menyedarkan Wak Rosli.
Dia menjatuhkan tangan.
Satu keluhan berat dilepaskan. Dia memandang Hajar
yang diam tidak terkutik. Wajah anak gadis kesayangannya itu bertukar mendung.
“Itulah yang awak tahu, anak buat salah awak
lindung. Anak tinggikan suara dengan dengan saya, awak bela. Macam mana budak
tu nak tahu hormat orang tua kalau awak tak bagi saya ajar dia!” Wak Rosli
masih tidak mahu mengaku kalah. Dia segera mencuci tangannya. Hilang terus
seleranya saat ini. Hanya Zaidi yang masih mengunyah nasi dengan
perlahan-lahan.
“Nab tahu abang nak ajar anak kita tapi bukan dengan
berkasar macam ni. Am ni baru nak membesar. Dia perlukan kasih sayang abang
bukan dengan pukulan. Dia nak abang berikan perhatian yang lebih pada dia.
Takkan itu pun abang tak dapat nak bagi.” Ucap Mak Nab lembut.
Dia memeluk tubuh Iqram yang sudah menangis
teresak-esak. Timbul simpati dalam hatinya terhadap anaknya yang masih kecil.
“Am cuma nak ayam goreng je. Am bukan nak apa-apa
pun…” Rengek Iqram dengan suara yang tenggelam timbul.
Mak Nab menarik nafas panjang dan menghembuskannya
perlahan. Dia harus melakukan sesuatu untuk memujuk Iqram. Lantas, dia
memandang Hajar yang masih lagi berdiri kaku.
“Hajar, datang kat mak sekejap.” Panggil Mak Nab
penuh dengan kelembutan.
Hajar terkebil-kebil. Namun, tidak lama kemudian dia
melangkah menghampiri Mak Nab. Dia berdiri setentang dengan Mak Nab yang duduk
berlutut.
“Hajar sayang adik tak?” Soal Mak Nab sambil
memegang kedua belah bahu Hajar.
Lambat-lambat Hajar menganggukkan kepala.
“Sayang.” Jawabnya sepatah.
Mak Nab tersenyum. Dia mengelus pipi Hajar yang
montel.
“Kalau Hajar sayang adik, Hajar kena layan adik
dengan baik. Adik pun teringin sangat nak makan ayam goreng. Sama macam Hajar.
Apa kata kalau Hajar kongsi sikit ayam goreng tu dengan adik. Biar sama-sama
rasa. Boleh?” Soal Mak Nab perlahan.
Wak Rosli hanya memerhatikan telatah Mak Nab yang
sedang memujuk kedua-dua anak mereka.
“Yelah-yelah. Am, ambillah sikit ayam goreng ni.
Kita kongsi.” Ujar Hajar akhirnya. Dia menghampiri Iqram. Ayam goreng
dihulurkan di hadapan wajah Iqram yang masih lagi tersedu-sedan.
Iqram mengangkat muka. Lama dia memandang wajah
Hajar sebelum bibirnya mengukir senyuman manis. Dia menyambut huluran tangan
Hajar yang memberikan dia separuh ayam goreng.
Mak Nab turut tersenyum melihat kedua anaknya yang
sudah berdamai. Dia berpaling pada Wak Rosli yang diam membisu.
“Sepatutnya kita ajar mereka berkongsi bukannya
melebihkan salah seorang daripada mereka. Kita kena adil, bang.” Ucap Mak Nab
perlahan. Cukup untuk Wak Rosli mendengar.
Wak Rosli mendengus. Tidak suka apabila ditegur
sebegitu oleh isterinya. Sebagai seorang ayah dan juga suami, dia tahu apa yang
terbaik untuk mendidik anak-anaknya.
“Ayah, ayah cakap nak ajar Hajar naik basikal hari
ni.” Suara Hajar kedengaran memecah kesunyian makan tengah hari mereka.
Mak Nab berpaling. Iqram dan Zaidi turut memandang
ayahnya.
“Am nak ikut!” Suara Iqram terlebih dahulu
kedengaran.
Wak Rosli mula serba salah. Dia memandang wajah
anak-anaknya satu persatu. Janji yang dibuat pada Hajar tidak mungkin boleh
diingkari, bimbang anaknya itu akan merajuk.
“Yelah-yelah, petang nanti ayah ajar. Zaidi dengan
Am pun boleh ikut sekali.” Jawab Wak Rosli akhirnya.
“Yeayyyy!” Mereka menjerit serentak.
Mak Nab berpandangan dengan Wak Rosli. Dia tersenyum
lantas mengerdipkan mata. Gembira dengan keputusan yang dibuat oleh suaminya.
HEMBUSAN
BAYU
petang begitu mendamaikan. Burung-burung yang berterbangan menambahkan lagi ketenangan
saat ini. Dari jauh kelihatan Zaidi sedang menerbangkan layang-layang untuk
Iqram yang sedang bersorak gembira apabila melihat layang-layang berbentuk
burung itu meliuk-lentok ditiup angin di halaman rumah mereka.
“Hajar, hati-hati!” Bunyi suara Wak Rosli memecah
kesunyian petang itu.
Sesekali Zaidi dan Iqram menoleh namun hanya
seketika. Mereka lebih teruja melihat layang-layang mereka terbang ditiup angin
yang menderu.
Hajar terkial-kial cuba mengayuh basikal tua milik
ayahnya. Ternyata basikal itu jauh lebih besar jika hendak dibandingkan
tubuhnya yang masih kecil. Walaupun agak sukar untuk mengimbangi badan, tetapi
Hajar tetap tidak berputus asa. Malah dia rasa cukup seronok apabila secara
perlahan-lahan dapat menggerakkan basikal sedikit demi sedikit.
“Ayah, Hajar dah pandai!” Jerit Hajar riang.
Dia mula mengayuh dengan perlahan-lahan sambil Wak
Rosli setia memegang para basikal di bahagian belakang. Sesekali Wak Rosli
tersenyum gembira melihat anak kesayangannya kelihatan riang. Saat melihat bibir
Hajar menguntum senyuman manis, hatinya turut berbunga gembira. Seolah-olah
senyuman Hajar adalah pengubat terhadap segala kesedihannya.
“Ayah tahu. Anak ayah ni kan pandai. Cepat belajar.”
Balas Wak Rosli kemudian melajukan langkah sambil menolak basikal yang
ditunggangi oleh Hajar.
“Nanti bila dah besar, Hajar nak beli motor. Hajar
nak bawak sendiri. Mesti seronok!” Ujar Hajar dengan suara terpaksa dikuatkan
akibat melawan bunyi angina yang kuat.
Wajah Wak Rosli berubah. Kata-kata Hajar mengundang
resah dalam dirinya. Sejujurnya dia tidak mahu Hajar terlibat dalam aktiviti
lasak tetapi anak gadisnya ini kelihatan lebih cenderung melakukan kerja-kerja
lasak berbanding melakukan kerja-kerja rumah lazimnya dilakukan oleh
kanak-kanak perempuan seusianya yang lain.
Apa tidaknya, apabila dia keluar memancing, Hajar
pasti ikut. Jika dia pergi memanjat pokok kelapa, pasti akan ada Hajar yang
menemani. Pernah suatu hari, Wak Rosli melihat Hajar cuba memanjat pokok
kelapa. Sebolehnya dia tidak mahu sikap Hajar itu terbawa-bawa ke alam dewasa
kelak.
“Seronok tu memang seronok tapi ayah tak benarkan
Hajar bawak motor. Nanti kalau jatuh, sakit.” Balas Wak Rosli setelah agak lama
mendiamkan diri.
Hajar terdiam. Dia mencebikkan bibir. Namun, tidak
lama kemudian dia melebarkan senyuman apabila dia sudah dapat mengimbangi
basikal itu dengan baik.
“Ayah dah boleh lepaskan basikal ni. Hajar dah boleh
bawak.” Ucap Hajar cuba melajukan kayuhan.
Wak Rosli serba-salah. Hatinya masih lagi gusar.
Walaupun Hajar kelihatan mampu mengimbangi basikal dengan baik tetapi hati
tuanya masih tidak percaya.
“Tak boleh! Hajar tak mahir lagi!” Bantah Wak Rosli.
“Alah, Hajar dah boleh bawak. Percayalah. Kalau ayah
tak lepas, macam mana Hajar nak tahu Hajar boleh bawak ke tak.” Hajar bersuara.
Seakan memujuk.
Wak Rosli mengetap bibir. Kalah apabila mendengar
suara Hajar yang lembut memujuk. Tidak dapat tidak akhirnya dia melepaskan
pegangan. Dia membiarkan Hajar bebas mengayuh basikal tanpa ada dia yang
menolak daripada belakang.
Hajar menjerit kegirangan. Dia meneruskan kayuhan.
Daripada perlahan kemudian dia menambahkan kelajuan. Perasaan seronok dan
teruja bergabung menjadi satu membuatkan Hajar terleka.
“Jangan laju, Hajar! Hati-hati!” Laung Wak Rosli
lalu mengejar Hajar daripada belakang.
Hajar tidak mengendahkan. Sebaliknya dia meneruskan
kayuhan. Makin lama makin laju sehingga menyebabkan kayuhan Hajar sedikit
sumbang. Senyuman yang tadinya mekar di bibirnya mati dengan sendirinya apabila
dia sukar untuk memberhentikan basikal.
“Eh..eh…” Hajar mula cuak apabila basikal itu
semakin sukar dikawal.
“Ayah!” Jerit Hajar apabila dia gagal mengawal
basikal dengan baik.
Secara tiba-tiba, tayar hadapan basikal tersebut
melanggar seketul batu besar menyebabkan basikal tersebut tersadung. Hajar
jatuh. Nasibnya agak malang apabila basikal itu jatuh menghempanya!
“Hajar!” Jerit Wak Rosli kuat.
Dia tergamam. Seakan seperti tercabut nyawanya
apabila melihat keadaan Hajar yang mengerang kesakitan. Anak matanya meliar
pada kaki Hajar yang dihempap oleh basikal. Mata Wak Rosli terbeliak melihat
cecair merah yang membasahi kaki seluar Hajar. Darah!
“Hajar!” Laung Wak Rosli seraya menerpa ke arah
Hajar. Basikal yang menghempap tubuh anak kesayangannya itu ditolak ke tepi.
Tangisan Hajar begitu meruntun hatinya.
“Sakit, ayah!” Rengek Hajar sambil memeluk tengkuk
Wak Rosli dengan kemas. Dia menangis kuat.
“Jangan risau, ayah ada. Ayah takkan biarkan anak
ayah sakit. Jangan menangis. Sikit je ni. Hajar kuat kan?” Pujuk Wak Rosli
sambil mengelap air mata Hajar yang mengalir di pipi.
Hajar tersedu-sedan. Dia menyembam wajahnya di dada
Wak Rosli. Meminjam kekuatan daripada si ayah. Dia rasa selamat apabila Wak
Rosli mengusap lembut kepalanya. Terasa kesakitan di kakinya hilang sendiri.
“Mari ayah tengokkan kaki tu.” Pinta Wak Rosli lalu
menarik kaki Hajar. Dia menggigit bibir apabila melihat lutut Hajar yang
berdarah. Hatinya sedikit tersiat melihat luka yang tercipta di lutut Hajar.
Tidak ada ayah yang sanggup melihat satu-satu anak perempuannya terluka begitu
juga dengan Wak Rosli.
Lalu, Wak Rosli mengoyakkan t-shirt yang dipakainya
kemudian cebisan kain itu dibalutkan pada lutut Hajar yang berdarah.
“Jom balik. Nanti ayah letakkan ubat.” Ajak Wak
Rosli lalu mendukung tubuh kecil milik Hajar.
“Zaidi! Am! Jom balik!” Laung Wak Rosli pada kedua
anak lelakinya.
Zaidi dan Iqram berlari-lari anak ke arah Wak Rosli
dan Hajar. Tanpa arahan daripada Wak Rosli, Zaidi terus mengangkat basikal lalu
menyorong mengikuti langkah Wak Rosli.
Wak Rosli mengerling ke belakang. Cuba mengintai
keadaan Hajar berada di atas belakangnya. Dia menarik nafas lega apabila
tangisan Hajar sudah tidak kedengaran.
‘Tiada apa yang ayah dapat lakukan pada Hajar selain
melindungi Hajar daripada segala bahaya. Jika kesakitan ini dapat dipindahkan
pada ayah, tentu ayah akan sanggup tanggung segala kesakitan agar Hajar terus
tersenyum. Tapi apakan daya, Hajar juga perlu merasakan kesakitan kerana hanya
kesakitan yang akan mematangkan Hajar dalam kehidupan. Tanpa kesakitan, hidup
umpama patung yang tidak bernyawa.’ Detik hati Wak Rosli lalu meneruskan
langkah.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.