Tahun 2016,
Australia…
KEINDAHAN
TASIK buatan yang terbentang di hadapan mata begitu
menenangkan. Kelihatan beberapa ekor burung terbang rendah sebelum hinggap di
atas tanah berhampiran dengan tasik. Tidak jauh dari situ, kelihatan seorang
gadis sedang duduk di bawah pokok sambil memerhatikan panorama tasik yang
begitu mendamaikan.
Hajar membetulkan tudungnya yang ditiup angin. Udara
yang sejuk membuatkan Hajar membetulkan baju sejuknya beberapa kali. Di sisinya
pula terdapat sebuah diari berwarna merah dan sekeping gambar yang sentiasa
menemani walau ke mana saja dia pergi.
Nafas ditarik sedalam-dalamnya sebelum
menghembuskannya dengan perlahan. Hari ini genap empat tahun dia berada di bumi
orang. Perasaan rindu terhadap kampung halaman kian mencengkam.
Hajar mencapai sekeping gambar keluarga yang
sentiasa berada dalam begnya. Dia merenung lama gambar tersebut. Gambar wajah
tua milik ayahnya dielus lembut.
“Ayah, Hajar rindukan ayah. Hajar harap ayah sihat
selalu…” Desis Hajar perlahan. Dia termenung sejenak mengingatkan keluarganya
di kampung. Satu persatu wajah-wajah insan tersayang bermain di ruang mata
sehingga menjemput segaris senyuman di bibir Hajar.
“Hari ni Hajar belanja abang, jadi abang kena
tunaikan janji abang kat Hajar.” Ucap Hajar sambil memandang wajah Zaidi dengan
penuh pengharapan.
Zaidi menjeling sejenak pada Hajar sebelum dia
kembali menatap pisang goreng yang berada di hadapannya. Sekeping pisang goreng
dicapai lalu dicicah dengan sambal kicap sebelum pisang goreng tersebut
disuapkan ke mulutnya dengan riak yang sungguh berselera.
“Hmmm..sedapnya…
Hajar oderlah lagi untuk abang.” Ucap Zaidi tanpa membalas kata-kata Hajar. Dia
tersengih apabila melihat wajah Hajar yang cemberut.
“Abang! Abang dengar tak apa yang Hajar cakapkan
ni?” Soal Hajar mula membentak. Dia menarik pinggan yang berisi pisang goreng
yang berada di hadapan Zaidi.
“Hajar cakap apa tadi? Abang kurang dengar. Syok
betul makan pisang goreng ni.” Usik Zaidi lagi. Dia suka melihat wajah Hajar
yang merona merah menahan geram.
“Abang janji nak tolong Hajar pujuk ayah supaya
benarkan Hajar belajar kat Australia. Abang cakap kalau Hajar belanja abang
pisang goreng, abang sanggup tolong Hajar.” Terang Hajar. Dia menggoncang
lengan abangnya dia kuat.
Zaidi cuma bersikap selamba.
“Bila abang janji? Abang tak janji apa-apa pun.”
Ujar Zaidi lagi sekadar mengusik adiknya.
“Abang! Malaslah layan abang ni! Bak balik pisang
goreng Hajar!” Bentak Hajar sambil merampas pisang goreng yang sedang dipegang
oleh Zaidi.
Zaidi ketawa lepas. Dia merenung wajah Hajar yang
kelihatan tidak berpuas hati.
“Eleh, merajuk konon. Nanti kat luar negara tu tak
ada pisang goreng dengan cili kicap macam ni tau. Nak pergi jugak ke?” Soal
Zaidi memancing minat Hajar untuk bersuara.
Hajar menoleh. Dia menarik muka tidak puas hati.
“Huh, abang ni sama macam ayah suka cari beribu
alasan supaya Hajar tak belajar kat luar negara. Menyampah tau!” Ucap Hajar
masih dalam rajuknya. Dia memeluk tubuh dan memalingkan wajahnya ke tempat
lain.
Zaidi hanya tersenyum kelat. Dia tahu adiknya ini
bercita-cita tinggi tapi jauh di sudut hatinya dia masih bimbangkan Hajar.
Dalam usia yang masih mentah, sukar untuk dia lepaskan Hajar belajar di luar
negara. Siapa yang akan jaga satu-satu adik perempuan yang dia ada di sana
nanti? Itu yang membuatkan Zaidi berat untuk bersetuju dengan Hajar.
“Universiti kat Malaysia pun bagus-bagus belaka. Ada
yang diiktiraf daripada universiti luar negara. Malah, ada pelajar Malaysia
yang dapat menempa nama kat persada antarabangsa walaupun tak belajar kat luar
negara.” Bidas Zaidi bernas.
Makin panjang mulut Hajar. Dia tidak suka apabila
Zaidi seolah-olah memperlekehkan cita-citanya untuk belajar di Australia.
“Hajar tahu, bang. Hajar tahu universiti Malaysia
ada yang bagus-bagus, cuma Hajar nak cari pengalaman merantau kat tempat orang.
Hajar cuba nak berdikari. Mana tahu kalau-kalau Hajar berjaya kat sana, Hajar
boleh gunakan ilmu yang Hajar belajar tu kat Malaysia pulak. Lagipun, sebagai
manusia kita memang dituntut untuk menuntut ilmu sampai ke negeri China. Tapi
Hajar tak nak pergi China, Hajar nak belajar kat Australia je.” Jawab Hajar
petah. Sempat lagi dia melebarkan sengihan pada Zaidi.
Zaidi menahan senyum. Dia berpura-pura tidak dengar
dengan kata-kata Hajar. Dia inginkan alasan yang kukuh mengapa Hajar begitu
beria-ria ingin belajar di Australia.
“Abang! Abang dengar tak ni? Hajar tahu keputusan ni
memang keputusan yang sukar untuk Hajar buat. Tapi Hajar rasa inilah peluang
yang terbaik untuk Hajar tolong keluarga kita. Lagipun pihak JPA bagi tajaan
untuk Hajar. Bukan semua pelajar yang dapat peluang keemasan macam ni. Abang
dengan ayah tak perlu keluarkan duit untuk Hajar, Hajar yang akan usahakan
sendiri. Cuma Hajar nak abang support
Hajar je. Tolong yakinkan ayah supaya bagi kebenaran untuk Hajar belajar kat
sana. Hajar janji, Hajar takkan malukan abang dan keluarga kita.” Ucap Hajar
sambil mengangkat lima jarinya seolah-olah berikrar.
Zaidi mencebik.
“Yelah tu. Boleh percaya ke adik abang ni?” Soal
Zaidi menguji.
Hajar mengangguk laju.
“Kali ni abang boleh percayakan Hajar. Abang boleh
pegang janji Hajar. Hajar akan belajar bersungguh-sungguh dan buat abang
bangga. Abang lupa ke menuntut ilmu ni kan satu jihad. Jadi Hajar nak juga
berjihad.” Jawab Hajar dengan penuh keyakinan.
“Tapi Australia tu jauh, Hajar. Siapa yang nak jaga
Hajar kat sana?” Soal Zaidi lagi.
Hajar mengeluh kecil. Dia duduk menghadap Zaidi.
“Kawan Hajar pun ikut sekali. Dia dapat tajaan
jugak. Abang tak perlu risau, kalau tak ada sesiapa pun yang nak jaga Hajar,
Hajar masih ada Allah. Bukan ke Dia sebaik-baik pelindung?” Hujah Hajar membuatkan
Zaidi mati kutu.
Satu keluhan dilepaskan oleh Zaidi. Berdebat dengan
Hajar memang tidak akan pernah menang. Adiknya itu memang handal dalam
mempengaruhi fikiran orang lain termasuklah dia saat ini.
“Yelah-yelah, Hajar menang.” Jawab Zaidi lalu menarik
kembali piring berisi pisang goreng.
Hajar bersorak girang. Dia ketawa kecil.
“Jadi abang akan support
Hajar?” Soal Hajar inginkan kepastian.
Zaidi mencemikkan wajah namun tidak lama kemudian
dia menganggukkan kepala tanda setuju.
“TAK
BOLEH!” Suara Wak Rosli kedengaran tegas. Anak matanya
dibiarkan tegak memandang batang pancing tanpa sedikit pun menoleh pada Hajar
yang setia berdiri di sisinya.
“Alah, ayah ini ajelah peluang yang Hajar ada untuk
timba pengalaman kat negara orang. Bila Hajar dah habis belajar nanti, Hajar
baliklah. Tak lama pun ayah, empat tahun je. Jarang-jarang tau orang kampung
kita dapat belajar kat luar negara. Ayah tak bangga ke bila orang-orang kampung
tahu anak ayah belajar luar negara? Mesti dia orang puji ayah.” Pujuk Hajar.
Dia memandang Zaidi yang sedang menyangkut umpan di
mata kail. Lelaki itu hanya mendiamkan diri tanpa sedikit pun menyampuk. Hajar
memberi isyarat mata pada Zaidi supaya turut sama menyakinkan ayah mereka.
“Ayah tak pernah halang Hajar belajar tapi Hajar
boleh belajar dalam negara je. Luar negara tu entah apa-apa budaya nanti yang
Hajar bawak balik. Ayah tetap tak benarkan!” Tegas Wak Rosli tanpa kompromi.
Hajar tersentak. Dia menarik mulut muncung.
“Ayah tak sayang Hajar!” Bentak Hajar tanpa dia
sedari. Dia menghentak kaki tanda protes.
Wak Rosli berpaling. Wajah sugul Hajar sudah cukup
menceritakan bahawa anak gadisnya itu kecewa. Tetapi apa yang Wak Rosli mampu
lakukan? Inilah satu-satu cara untuk dia pastikan Hajar sentiasa berada di
sisinya. Dia ingin anaknya selamat di hadapan matanya.
“Sebab ayah sayangkan Hajar, ayah tak benarkan Hajar
belajar luar negara. Siapa nak jaga Hajar kat sana? Sakit demam Hajar siapa
yang nak tengokkan? Ayah risau Hajar tahu tak?” Tekan Wak Rosli lagi mengharap
agar Hajar mengerti keresahan yang membadai hatinya.
“Ayah, Hajar tahu ayah risaukan Hajar. Hajar tahu
ayah bimbang tak ada sesiapa yang nak jaga Hajar tapi ayah jangan lupa Hajar
masih ada Allah. Ayah sendiri yang pesan pada Hajar, tiada siapa yang dapat
menjaga kita sebaik Allah menjaga hamba-Nya. Hajar pegang kata-kata tu, sebab
itulah Hajar sanggup pergi sana. Setiap hamba yang keluar menuntut ilmu pasti
didoakan dan dijaga oleh para malaikat.” Hujah Hajar lagi.
Wak Rosli terdiam mendengar kata-kata Hajar. Inilah
diri Hajar. Dia akan gunakan apa saja cara bagi memastikan Wak Rosli bersetuju
dengan kata-katanya.
“Betul tu, ayah. Kalau Hajar belajar kat sana nanti,
pihak penaja takkan lepas tangan macam tu je. Mereka akan pastikan pelajar
tajaan mereka dapat hak yang selayaknya. Setahu Zaidi, ramai pelajar Malaysia
yang belajar kat sana. Orang Malaysia pun ramai yang tinggal kat Australia.
Insya-Allah, Hajar akan selamat kat sana.” Sampuk Zaidi setelah agak lama
mendiamkan diri.
Wak Rosli berpaling pada Zaidi. Bicara anaknya yang
tenang membuatkan hati Wak Rosli mula berbelah bahagi.
Hajar tersenyum manis pada Zaidi. Akhirnya, abangnya
bersuara juga.
“Kawan Hajar pun ada juga yang dapat tajaan sama
dengan Hajar. Ayah jangan bimbang, Hajar akan jaga diri Hajar dengan baik.
Hajar takkan buat perkara yang akan memalukan ayah dan keluarga. Hajar janji!”
Ucap Hajar seolah-olah berikrar.
Wak Rosli mengeluh. Anak matanya dibiarkan tertancap
pada dada laut yang luas. Dia ingin mencari ketenangan yang mula menghilang
dari dalam diri. Haruskah dia mengikut segala kemahuan Hajar? Sanggupkah dia
berpisah dengan Hajar selama empat tahun sedangkan selama ini Hajar selalu di
hadapan matanya?
“Biasanya kalau pelajar tajaan ni ayah, lepas
belajar terus dapat kerja. Jarang orang dapat peluang macam ni. Masa depan
Hajar insya-Allah akan terjamin nanti. Kita pun boleh tumpang senang.” Zaidi
bersuara lagi. Memujuk dalam diam.
Hajar mengangguk pantas. Mengiyakan kata-kata
abangnya.
“Kos apa yang universiti tu tawarkan kat Hajar?”
Soal Wak Rosli.
“Kejuruteraan Petroleum, ayah.” Jawab Hajar penuh
yakin.
“Universiti mana?”
“University Of Melbourne, Australia.” Jawab Hajar
lagi. Dia melihat reaksi Wak Rosli semakin positif. Dia memandang Zaidi. Dia
memberi isyarat mata pada abangnya itu.
‘Tunggu sekejap.’ Zaidi membuat isyarat sambil
mengangkat tangannya. Apabila Wak Rosli berpaling pada mereka berdua,
cepat-cepat Zaidi menjatuhkan tangannya. Riak wajah Wak Rosli yang serius sukar
untuk ditebak oleh mereka berdua.
“Bila nak pergi?” Soal Wak Rosli akhrinya.
Hajar terpaku. Dia berpandangan dengan Zaidi sebelum
bibirnya mengukir senyuman manis. Zaidi turut tersenyum.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.