AISY melepaskan lelahnya setelah hampir
berjam-jam mereka berjalan namun mereka berdua tetap sampai ke tempat yang
sama. Tempat di mana mereka mendirikan pondok semalam. Aisy terduduk di atas
tanah sambil anak matanya terarah pada Qartal yang kelihatan risau.
“Aku rasa macam ada yang tak kena ni,
Qartal. Dah jauh kita jalan tapi alih-alih kita sampai ke tempat yang sama. Kau
tak pelik ke?” Soal Aisy sambil mengibaskan tubuhnya menggunakan kain tudung
yang masih tersarung kemas di kepala.
Qartal tidak menjawab sebaliknya dia
turut duduk mencangkung di hadapan Aisy. Dia turut merasakan perasaan yang sama
dengan Aisy. Sejauh mana mereka berjalan tapi mereka tetap sampai ke tempat
yang sama mereka tinggalkan pada pagi tadi. Qartal turut merasakan ada sesuatu
yang tak kena.
“Aku tak tahu. Aku pun buntu sekarang
ni.” Balas Qartal sambil mematah-matahkan jarinya.
“Tok aku pernah cakap, misalan kita
berjalan dalam hutan tapi sampai ke tempat yang sama bermakna ada ‘sesuatu’
cuba bermain dengan kita.” Ucap Aisy dengan suara yang diperlahankan.
Dia memandang ke belakang apabila terasa
seperti diperhatikan. Serentak, bulu tengkuknya meremang. Segera Aisy
beristighfar menghalau rasa seram yang mengintai hatinya.
“Sesuatu maksud kau….” Qartal tidak
menghabiskan ayat. Dia faham apa yang cuba diterangkan Aisy. Dalam hutan tebal,
perkara seperti itu memang tidak mustahil akan berlaku malah setiap mangsa yang
sesat dalam hutan pasti mengalami perkara yang sama.
Aisy mengangguk laju bersama detak
jantung yang mula kedengaran. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya dan
menghembuskannya dengan perlahan.
“Biasanya ‘benda tu’ akan buat kita
berpusing tempat yang sama sampai kita penat dan putus asa. Atau mungkin kita
takkan jumpa jalan keluar sampai bila-bila!” Ujar Aisy membuat kesimpulan.
Qartal terpempan. Dia menggelengkan
kepala. Pantas dia terus bingkas bangun dan meninjau kawasan sekitar dengan
pistol yang kemas di tangan. Dia tidak akan sesekali berputus asa. Berpantang
maut sebelum ajal. Itulah prinsipnya.
“Tak! Aku yakin kita boleh keluar
daripada tempat ni. Kau fikirlah sesuatu!” Julat suara Qartal sedikit meninggi.
Kepalanya naik kusut memikirkan perkara ini. Perkara yang tak dapat dilihat
dengan mata kasar agak rumit untuk diselesaikan.
“Aku tak tahu!” Balas Aisy turut
meninggi. Dia mundar-mandir dengan riak keresahan terpamer jelas di wajahnya.
Inilah kali pertama dia menghadapi situasi tegang seperti ini.
“Allah…Allah…Allah…” Terkumat-kamit bibir
Aisy menyebut kalimah Allah sambil mundar-mandir menenangkan otaknya yang
kusut.
“Ya Allah, berikan petunjuk pada kami.
Sesungguh Kau Maha Mengetahui apa yang kami tak ketahui. Kau Penguasa Alam,
Pemilik langit dan bumi. Tunjukkan kami jalan keluar.” Doa Aisy tidak putus-putus.
Dia meraup wajahnya.
Qartal turut sama mundar-mandir. Tipu
jika dia katakan dia tidak takut. Sekuat apa pun dia, jika lawannya bukan dalam
kalangan manusia, dia tetap tidak mampu untuk berlawan.
“Hah! Hanya ada satu cara!” Ucap Aisy
tiba-tiba.
“Apa dia?” Soal Qartal mula tidak sabar.
Dia menghampiri Aisy. Wajah itu ditenung lama. Mengharapkan jawapan.
“Azan!” Balas Aisy bersungguh.
“Azan?” Qartal tayang muka pelik.
Sedangkan Aisy sudah mengangguk laju.
“Buat apa nak azan? Kita bukan nak solat
pun sekarang.” Tambahnya lagi.
“Azan bukan cuma untuk solat semata-mata
tapi dalam saat genting macam ni, dengan izin Allah, azan boleh bukakan jalan
untuk kita jumpa jalan keluar. Kita cuba dan letakkan harapan pada Allah
semata-mata. Setuju?” Aisy meluahkan pendapat.
Qartal tidak dapat berkata tidak. Mungkin
ini boleh dijadikan satu usaha untuk mereka melepaskan diri daripada
‘permainan’ yang diciptakan oleh alam.
“Siapa yang nak azan?” Soal Qartal
seperti orang bodoh.
Aisy melongo. Dia menepuk dahinya sendiri.
“Kau lelaki. Kaulah yang azan. Kau tahu
tak nak azan macam mana?”
Senyap. Qartal hanya mengalihkan bola
matanya ke tempat lain.
Aisy mengeluh. Sikap mendiamkan diri
Qartal sudah menjelaskan segalanya.
“Okey tak apa. Aku sebutkan tapi kau kena
laungkan. Kau pernah dengar orang azan kan?” Soal Aisy lagi. Dia perlu
mengambil sikap bertenang jika keadaan genting seperti ini. Sikap kelam kabut
akan menyukarkan lagi usaha mereka.
Qartal menganggukkan kepala tanda pernah
mendengar laungan azan.
“Okey kita mulakan sekarang. Kau dengar
elok-elok nanti kau laung je apa yang aku sebut.” Ucap Aisy. Dia anggukkan
kepala tanda memberi isyarat pada Qartal.
Qartal sudah bersiap sedia. Dia berdeham.
Dia mendengar teliti laungan azan yang diajarkan oleh Aisy. Gadis itu tampak
begitu tenang dalam mengajarnya. Kemudian Qartal mengulang kembali bait-bait
azan yang diajarkan oleh Aisy.
Aisy terpaku seketika mendengar laungan
azan yang dilafazkan oleh Qartal. Walaupun suara lelaki itu garau namun laungan
azan itu persis seorang yang sudah mahir mengalunkan azan. Merdu dan menyentuh
hati.
Aisy tersedar apabila dia merasakan
suasana di sekelilingnya berubah. Angin yang pada mulanya bertiup lembut kini
bertukar garang. Sewaktu Qartal melaungkan bait yang terakhir, suasana mula
bertukar dingin. Serentak bulu roma Aisy merinding. Jantungnya berdegup laju.
Lalu, dia memejamkan mata. Ayatul Kursi
dan surah tiga kul dibaca berulang-kali sehingga angin yang bertiup kencang
kembali reda.
“Laa
hawla wa laa quwwata illa billah”…” Ucap Aisy perlahan kemudian membuka
mata.
Dia menarik nafas lega apabila keadaan
kembali seperti biasa. Tiada lagi angin kencang malah cahaya matahari semakin
terik di atas kepala.
“Kau rasa semua dah okey ke?” Soal Qartal
sambil matanya meliar ke kiri dan kanan.
“Insya-Allah. Selagi kita letak
sepenuhnya pergantungan pada Allah, selagi itulah kita akan selamat. Jomlah
kita gerak.” Ajak Aisy dengan senyuman nipis terukir di bibir.
Qartal mengangguk dan meneruskan
perjalanan. Syukur kerana perjalanan mereka tidak lagi diganggu dengan perkara
pelik. Dia memandang Aisy daripada belakang. Ternyata gadis itu mempunyai bukan
gadis sebarangan. Qartal kagum dalam diam dengan ilmu agama yang dimiliki oleh
Aisy.
“Kau ni ustazah ke?” Soal Qartal
tiba-tiba. Dia memintas perjalanan Aisy apabila mereka terpaksa mendaki tebing
tinggi. Qartal menghulurkan tangan untuk membantu.
Aisy memandang sepi huluran daripada
Qartal. Dia lebih rela berpaut pada batang-batang pokok daripada menyambut
huluran tangan daripada Qartal.
Qartal menjongketkan bahu dan menjatuhkan
tangannya. Perjalanan diteruskan. Aisy hanya mengikut langkah Qartal dari
belakang.
“Kau tak jawab lagi soalan aku. Kau ni
ustazah ke?” Soal Qartal mengulang kembali soalannya sambil memalingkan
wajahnya ke belakang.
“Kenapa kau tanya aku macam tu? Aku
nampak macam ustazah ke?” Soalan dibalas soalan.
Qartal menjuihkan bibirnya.
“Entahlah. Daripada kau baca doa,
bercerita dan beri nasihat nampak macam kau ni ustazah.” Jawab Qartal selamba.
Tangannya lincah mencantas pokok-pokok kecil yang mengganggu laluannya.
Aisy ketawa kecil.
“Tak semestinya pandai baca doa, bagi
nasihat tu ustazah. Itu tugas kita sebagai manusia. Kalau memberi nasihat dan
baca doa tu tertakluk pada ustazah atau ustaz je, ramailah yang jadi jahat
dalam dunia ni.” Ucap Aisy bersahaja.
Qartal diam. Dia menghentikan langkah
seketika dan berpaling menghadap Aisy.
“Tapi kenapa kau lain daripada bapak kau,
hah? Aku tak percaya yang King ada anak alim macam kau. Aku rasa lepas ni kau
kena nasihat sikit bapak kau tu…”
Aisy tayang muka bosan bila soal Tuan
Zabir diutarakan. Dia berpaling ke tempat lain seketika sebelum memandang
Qartal tetapi matanya terpaku pada sesuatu yang berada di belakang Qartal.
Matanya membulat besar.
“Babi!” Ucap Aisy dengan suara
tertahan-tahan.
Qartal mengecilkan kelopak matanya. Cuba
mengamati perkataan yang terbit daripada mulut Aisy.
“Kau cakap apa?” Soalnya inginkan
kepastian.
“Babi!” Suara Aisy tenggelam timbul.
“Apa? Kau cakap aku…?” Qartal tidak dapat
menghabiskan ayatnya. Telinganya berdesing. Darahnya menyirap.
Aisy menggelengkan kepala dengan laju.
Dia memuncungkan bibirnya ke belakang dengan dahi yang berpeluh. Seekor khinzir
hutan sedang merenung tajam ke arah mereka berdua seolah-olah ingin ditelan
mereka hidup-hidup.
Aisy mula cuak. Dia menelan air liur yang
tiba-tiba rasa berpasir. Dia memberi isyarat mata pada Qartal supaya
memusingkan kepalanya ke belakang. Namun lelaki itu masih tidak memahami bahasa
tubuhnya. Aisy mengeluh.
“Pandang belakang!” Arah Aisy sambil
mengancingkan gigi.
Dahi Qartal berpaling. Namun, dia akur.
Perlahan-lahan dia memusingkan kepalanya ke belakang. Serentak dengan itu mata
Qartal terbeliak. Bala apa lagi ni? Jerit hatinya.
Di hadapannya kini terdapat seekor
khinzir hutan sebesar anak lembu sedang merenung ke arah mereka dengan cukup
tajam. Taring binatang itu yang melekuk membuatkan Qartal kecut perut. Dia
menelan air liur. Binatang berhidung pelik itu kelihatan sedang mengais-ngais
tanah. Qartal mengetap bibir. Ini bahaya!
“Kita nak buat apa ni?” Soal Aisy apabila
Qartal hanya kaku.
Qartal berpaling semula pada Aisy.
“Tunggu apa lagi? Lariii!”
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.