Tetamu Rindu

Sunday, 24 December 2017

Rindu Dalam Rahsia ( Rindu Dalam Sepi remake )- Bab 13



“SAYA ke dapur dululah. Nak masak untuk tengah hari. Tuan nak makan apa hari ni?” Soal Marha sebaik saja melangkah masuk ke dalam rumah.
Pertanyaan Marha menghentikan langkah Amzar. Dia berpaling ke belakang. Wajah Marha yang masih menanti jawapan daripadanya dipandang daripada atas hingga ke bawah. Dia merenung tajam. Tiada satu pun yang menarik pada Marha tapi dia pelik kenapa semua ahli keluarganya boleh menerima gadis tersebut dengan senang.
“Kau pandai masak ke?” Soal Amzar.
Marha hanya tersenyum nipis. Nafas yang dihela dihembus dengan perlahan.
“Taklah pandai sangat macam chef kat hotel tu, tapi kalau setakat masakan kampung insya-Allah saya boleh masak. Tapi… Tapi tuan makan ke masakan kampung?” Soal Marha teragak-agak. Dia mengerling wajah Amzar yang kelat.
“Aku dah agak dah. Dahlah pakaian kampung, perangai kampung, pandai masak pun masakan kampung. Agaknya kau dengan kampung memang tak dapat dipisahkan ke? Tapi aku peliklah, selalunya orang-orang kampung ni perangai dia orang baik-baik. Sopan-santun. Tapi kau, tak nampak pun macam tu. Ke orang kampung kau semuanya busuk hati macam kau?” Sinis Amzar.
Marha cuba menahan sabar. Sudah lali dia mendengar tohmahan demi tohmahan yang dilontarkan oleh Amzar. Alah bisa, tegal biasa.
“Kalau diikutkan hati saya yang busuk ni, nak je saya biarkan tuan tinggal dalam rumah ni sorang-sorang. Biar mereput. Tapi nasib baik saya ni ada sikap kemanusiaan sikit, saya tak naklah majikan saya ni terabai jadi dengan hati yang busuk nilah, saya sanggup datang sini semata-mata nak tengokkan tuan.” Jawab Marha tidak mahu mengalah.
Amzar tersentak. Aik, dah pandai menjawab perempuan ni?
“Sikap kemanusiaan konon. Cakaplah yang papa aku dah bayar pada kau untuk tengok-tengokkan aku. Aku percaya perempuan tak guna macam kau ni cuma pentingkan duit.”
“Percayalah apa yang tuan nak percaya. Bukan tugas saya untuk buat tuan percayakan semua kata-kata saya. Sekarang saya nak pergi masak. Kalau tuan tak tahu nak makan apa, tuan makan jelah apa yang saya masak nanti. Sementara tu, tuan pergilah berehat. Saya ke dapur dulu.” Ucap Marha lantas berlalu tanpa menunggu bicara daripada Amzar. Dia malas untuk berdebat dengan Amzar kerana di pengakhirannya, dia juga yang kalah.
Amzar ingin membuka mulut namun Marha terlebih dahulu mengorak langkah. Dia mendengus geram. Tanpa membuang masa dia terus melangkah ke tingkat atas. Menuju ke biliknya. Tuala dicapai lalu dia bergerak ke bilik mandi.
“Kenapalah papa dengan mama beria sangat nak perempuan tu jaga aku? Tengok muka dia pun mendidih hati aku ni. Apatah lagi nak tinggal satu rumah. Malang sungguh nasib aku kali ni.” Dengus Amzar.
Dia menyangkut tuala di penyidai sebelum baju yang tersarung di badan cuba ditanggalkan. Namun, perbuatan Amzar terbejat apabila baju yang ingin ditanggalkan tersekat di bahagian lengan kanannya.
“Aduh…aduh…” Amzar mengaduh dengan dahi yang berkerut. Tangan kanannya yang terseliuh terasa sakit.
Dia mengeluh kecil.
“Macam mana aku nak mandi kalau nak tanggal baju pun tak boleh?” Soal Amzar sendirian.
Otaknya ligat memikirkan sesuatu. Kain anduh yang melingkar di leher terasa menganggu. Beberapa kali dia cuba untuk menanggalkan baju dengan sendiri namun Amzar tetap gagal. Tangan kanannya langsung tidak dapat diangkat.
“Tuan!” Panggil satu suara halus menyedarkan Amzar. Dia mengangkat wajah. Itu suara Marha. Kenapa minah ni masuk bilik aku pula? Bebel hati Amzar. Lalu, dia menyarung kembali bajunya dan menarik tombol pintu bilik air.
Marha menjengukkan kepala ke dalam bilik Amzar yang sunyi sepi. Melilau anak matanya mencari kelibat lelaki itu yang tidak kelihatan.
“Mana pulak mamat ni?” Omel Marha sendirian.
“Tuan!” Panggil Marha. Dia memandang ke ruang balkoni tetapi pintu balkoni itu tertutup rapat.
“Hah, kau nak apa?” Sergah Amzar tiba-tiba.
Marha tersentak. Dia mengurut dada. Kus semangat aku mamat nilah! Getus hati Marha lalu kepalanya tegak memandang ke hadapan. Dia tersengih malu.
“Saya cuma nak tanya, tuan makan pedas tak? Saya lupa nak tanya tadi.” Ujar Marha. Bola matanya ditundukkan.
“Tak. Aku tak makan pedas.” Jawab Amzar keras.
Marha menganggukkan kepala.
“Baiklah. Saya pergi dulu…” ucap Marha berura-ura untuk berpaling.
“Tunggu kejap!” Tahan Amzar tidak semena-mena.
Marha berpaling kembali. Anak matanya dibiarkan membalas pandangan Amzar yang kelihatan gelisah.
“Tuan nak apa?” Soalnya tenang.
Amzar serba-salah. Ingin diluahkan, rasa egonya masih lagi menebal. Tetapi kalau diikutkan rasa egonya, sampai ke sudah dia tidak dapat membersihkan badan.
“Errr… Tunggu sekejap…” Hanya itu saja yang terluah dari bibir Amzar.
Dahi Marha berkerut.
“Ya, saya tengah tunggulah ni. Tuan nak apa? Ada apa-apa yang saya boleh tolong ke?” Soal Marha lagi.
Amzar menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Bibir digigit. Nafas dilepaskan dengan kuat. Dia tiada pilihan saat ini.
“Tolong tanggalkan baju aku sekejap. Aku nak mandi.” Pinta Amzar senafas.
“Hah?”
Amzar mendengus. Geram sungguh dengan reaksi Marha saat ini.
“Kau pekak ke? Aku mintak tolong tanggalkan baju aku ni. Sebelum ni mama yang pakaikan baju dan tanggal baju aku. Tapi sekarang mama tak ada. Kau je yang ada dalam rumah ni. Tangan aku tak boleh nak angkat lagi. Sakit.” Terang Amzar.
Marha mengulum senyum.
“Tak sangka pandai jugak kau mintak tolong…” desis Marha. Cukup hanya dia yang mendengar.
Amzar mengangkat pandang apabila telinganya mendengar sesuatu yang tak jelas.
“Kau cakap apa? Nak tolong ke tak ni?” Soal Amzar malas.
Marha mengetap bibir. Nak tolong ke tak ya? Takkanlah aku nak tanggalkan baju dia pulak? Seganlah aku. Detik hatinya.
“Nak tolong ke tak ni? Kalau tak nak, kau boleh berambus!” Sergah Amzar mula panas hati dengan sikap berdiam diri Marha. Kita dahlah sakit, dia boleh tayang muka bodoh pula kat situ. Bebel hati Amzar.
Bahu Marha terhenjut. Lamunannya pecah berderai. Spontan, kakinya terus melangkah menghampiri Amzar. Dia bimbang baran Amzar akan menjadi-jadi jika arahannya tidak dipatuhi.
“Boleh tak dalam sehari kau tak naikkan darah aku? Kalau kau datang sini sekadar nak menyemak, lebih kau balik rumah kau. Mata aku pun tak sakit tengok muka kau tu.” Sambung Amzar lagi. Dia menjeling benci.
Marha hanya mendiamkan diri. Bukan dia tidak boleh melawan balik cuma dia malas. Malas bertekak dengan lelaki seperti Amzar. Lelaki itu takkan pernah mahu beralah. Jadi biarlah dia mendiamkan diri.
“Apa yang saya boleh tolong, tuan?” Soal Marha akhirnya.
Bebelan Amzar terhenti. Dia memandang wajah Marha yang jauh lebih rendah daripadanya.
“Kau tak dengar aku cakap tadi? Tolong tanggalkan baju aku ni.” Jawab Amzar dengan suara yang sedikit bergetar. Sungguh hatinya segan tetapi dia terpaksa.
Marha menelan air liur. Ada getaran bermukim di jiwanya saat Amzar meluahkan permintaan itu. Terkebil-kebil dia memandang wajah Amzar.
“Errr… Saya… Saya... Macam mana saya nak tolong?” Soal Marha tergagap-gagap. Wajahnya berubah rona. Merah.
Amzar tidak menjawab sebaliknya dia memberi isyarat mata ke arah t-shirt yang tersarung di tubuhnya.
Dengan rasa malu yang menebal, Marha melangkah setapak menghampiri Amzar. Tangannya diangkat untuk menyentuh hujung t-shirt yang dipakai Amzar. Terketar-ketar tangannya akibat menahan rasa. Jantungnya pula bagaikan ingin meletup saat itu juga. Lantas, Marha memejamkan mata saat tangannya mula mengangkat baju Amzar.
Amzar hanya mampu menahan tawa. Wajah Marha yang berona merah dengan mata yang terpejam rapat mencuit hatinya.
“Kalau kau pejam mata, macam mana kau nak nampak tangan aku ni? Buka mata kau sekarang!” Arah Amzar dengan suara yang tegas.
Marha menggeleng pantas. Laju saja tangannya menarik baju keluar daripada tangan kiri Amzar tetapi baju tersebut tersangkut di lengan kanan Amzar yang masih berbalut dengan kain anduh yang terikat di leher.
“Adoiii!” Amzar mengaduh kesakitan.
Spontan, Marha membuka mata.
“Sorry, tuan. Sakit ke? Saya mintak maaf.” Ujar Marha menyedari kesilapannya.
Amzar merengus.
“Kan aku dah cakap kalau kau pejam mata, macam mana kau nak tanggalkan baju ni dari tangan aku ni. Takkan itu pun tak faham? Aku suruh kau tanggalkan baju aku je, bukan aku nak terkam kau pun. Tak selera aku!” Bebel Amzar lagi. Sekadar untuk menyakitkan hati Marha.
Marha menarik nafas sedalam-dalamnya. Berhadapan dengan Amzar memang memerlukan kesabaran yang tinggi. Dia tahu lelaki itu sengaja ingin menyakiti hatinya. Jika hatinya sakit, bermakna lelaki itu akan menang dan Marha takkan membiarkan perkara itu terjadi.
“Yalah. Saya cuma segan. Inilah kali pertama saya tanggalkan baju lelaki selain adik lelaki saya.” Ujar Marha berharap agar Amzar faham keadaannya.
Amzar terdiam. Dia tidak mengulas apa-apa. Sebaliknya, dia membiarkan tangan Marha melepaskan ikatan kain anduh di belakang tengkuknya. Dengan penuh kelembutan, gadis itu memegang lengannya manakala sebelah tangan gadis itu lagi menarik baju keluar daripada tangan kanannya yang terseliuh.
Entah mengapa ada debaran halus menyapa hati Amzar saat lembut tangan Marha menyentuh kulit lengannya. Tiba-tiba saja lidahnya menjadi kelu. Hanya anak mata saja yang merayap di segenap anggota wajah milik Marha yang manis.
“Dah siap. Saya keluar dulu.”
Suara Marha menghentikan khayalan Amzar. Dia berdeham kecil lantas berpaling membelakangi Marha. Cuba meredakan getaran halus yang mula menjengah ke ruang hati.
“Keluarlah!” Ujarnya tanpa memandang wajah Marha.
Marha mengangguk lalu berpaling meninggalkan Amzar. Dia menyentuh dadanya yang berdengup kuat.

SETELAH hampir satu jam Marha memasak, hidangan untuk makan tengah hari mereka akhirnya siap. Marha tersenyum melihat masakannya yang terhidang di atas meja. Hari ini dia memilih untuk memasak ayam masak lemak cili api, ikan goreng, sayur kailan ikan masin dan sambal udang. Dia tidak pasti bagaimana selera Amzar jadi dia cuba-cuba masak. Harap-harap semua lauk yang dihidangkannya menepati selera lelaki itu.
“Dah siap pun. Lama betul mamat tu mandi, takkan tak nak turun makan kut?” Omel Marha sendirian.
Tidak lama kemudian, telinganya menangkap derap tapak kaki seseorang. Marha tersenyum. Dia pasti itu Amzar. Lantas, dia menuju ke peti ais. Air masak dikeluarkan sebelum dia berpaling.
“Arghhh!” Jerit Marha lantas memejamkan mata dengan rapat. Jantungnya berlari kencang.
“Kau ni dah kenapa menjerit tak tentu pasal?” Soal Amzar dengan dengusan nafas yang kuat.
“Tuan tu! Tuan tu kenapa turun ke dapur dengan separuh bogel macam tu?!” Soal Marha dengan suara yang meninggi. Kedua belah matanya ditekup dengan telapak tangan.
Amzar menahan tawa. Reaksi Marha yang gelabah mencuit hatinya. Baju t-shirt yang dipegang disangkutkan ke bahu. Nasib baik aku turun pakai seluar, buatnya aku tak pakai baju dan seluar terus, mahu pengsan minah ni. Omel hati Amzar. Lantas mendekati Marha.
“Aku baru siap mandi. Aku dapat pakai seluar je. Baju ni aku tak lepas nak pakai. Jadi tugas kau pakaikan aku baju.” Ujar Amzar bersahaja.
Demi mendengar kata-kata Amzar, perlahan-lahan Marha menjatuhkan tangan. Kelopak matanya dibuka dengan perlahan. Tidak sanggup rasanya untuk dia melihat badan Amzar yang berotot. Naik semput nafas dibuatnya.
“Kenapa saya pulak nak kena pakaikan untuk tuan? Tuan pakailah sendiri.” Balas Marha masih enggan memandang Amzar meskipun matanya sudah terbuka. Dia rela tunduk menekur lantai dari menoleh ke arah Amzar.
“Kalau aku boleh pakai sendiri, tak adanya aku turun ke bawah dengan separuh bogel macam ni. Tadi kau yang tanggalkan baju aku, jadi sekarang kaulah yang kena pakaikan!” Suara Amzar kedengaran tegas.
Marha terdiam. Dia resah. Melilau-lilau anak matanya memandang ke kiri dan kanan.
“Cepatlah! Aku sejuk ni!” Sergah Amzar kuat.
Marha mengetap bibir. Tidak dapat tidak dia harus menurut. Perlahan-lahan dia mendekati Amzar. Tangannya dihulurkan untuk meminta t-shirt daripada Amzar. Apabila t-shirt bertukar tangan, cepat-cepat Marha sarungkan ke kepala Amzar. Dengan berhati-hati dia menyarungkan tangan kanan Amzar ke lengan baju. Bimbang lelaki itu mengaduh kesakitan lagi.
“Dah siap…” Ucap Marha setelah baju Amzar selamat tersarung di tubuhnya yang tegap. Marha dapat merasakan kulit wajahnya yang berbahang panas. Seolah-olah dibakar hidup-hidup. Dia malu!
“Belum siap lagi.” Balas Amzar menghentikan langkah Marha. Gadis itu mendongak. Sebaik saja anak mata mereka bertemu, Amzar terkelu untuk seketika.
“Apa yang tak siap lagi?” Soal Marha polos.
“Ikatkan anduh tu kat lengan aku.” Arah Amzar lagi.
Marha menarik nafas sedalam-dalamnya dan melepaskannya dengan perlahan. Tak sampai satu hari dia menjaga Amzar, dah macam-macam arahan yang dikeluarkan. Agaknya bagaimana nasib diri dia sementara menunggu Datin Zahidah pulang dari mengerjakan umrah?
“Termenung apa lagi? Cepatlah. Aku dah lapar ni!” Marah Amzar meleraikan lamunan Marha.
Pantas, Marha mendekati Amzar lagi. Kali ini lebih rapat kerana dia terpaksa menjengketkan kaki untuk mengikat kain anduh di belakang tengkuk Amzar.
Amzar cuba berlagak tenang walaupun dalam hatinya sedikit resah apabila terasa tubuh Marha begitu rapat dengan tubuhnya. Seakan terasa hangat tubuh gadis itu.
“Tunduk sikit boleh tak? Tuan tu dahlah tinggi. Saya tak sampai nak ikat ni.” Bebel Marha. Dia terpaksa mendekatkan tubuhnya lagi dengan kaki yang terjengket. Leher Amzar dipaut bagi membolehkan dia melihat bahagian belakang tengkuk lelaki itu.
Perbuatan spontan Marha membuatkan jiwa lelaki Amzar diamuk resah. Jantungnya mula berdengup tidak senada apabila hangat nafas Marha menampar lembut pipinya. Suara Marha yang rapat di telinga Amzar juga turut menganggu tumpuannya. Dah kenapa dengan hati aku ni, asyik bergendang je? Perempuan ni je pun. Bukan ada apa-apa pun. Relaks. Kau kena relaks wahai hati. Benak hati Amzar bersuara.
Manakala Marha dapat menarik nafas lega apabila kain anduh itu berjaya diikat. Lantas, dia melepaskan pautan di leher Amzar. Tetapi disebabkan terlalu lama berjengket, kakinya menjadi kebas. Sebaik saja pautan di leher Amzar dilepaskan, tubuhnya terhuyung-hayang.
“Eh…eh…”
Marha terasa ingin jatuh. Tetapi nasibnya baik apabila tangan kiri Amzar laju saja meraup pinggangnya. Marha selamat. Dia terjatuh ke dalam pelukan Amzar. Rapat tubuhnya melekap di dada Amzar.
Kedua insan itu tersentak. Mata Marha terbuntang. Amzar pula tergamam. Tindakan drastiknya membawa padah apabila jantungnya berdengup tidak tentu arah. Apa yang aku buat ni? Soal hati Amzar.
“Auch! Aduh!” Jerit Amzar tiba-tiba.
Spontan, Marha menolak tubuh Amzar. Dia cuba berdiri dengan tegak. Air liur ditelan berkali-kali tetapi itu masih tidak dapat menghilangkan rasa gementar yang menyerang hatinya saat ini. Dia mengerling ke arah Amzar. Kelihatan lelaki itu turut mengerling ke arahnya. Lantas, Marha berpaling ke tempat lain.
Amzar berdeham. Cuba meredakan debaran di hati. Dia memegang tangan kanannya, berpura-pura sakit padahal dia cuma ingin melindungi rasa malu.
“Errr… Makanan dah siap. Kalau tuan nak makan saya hidangkan sekarang.” Ucap Marha tanpa memandang wajah Amzar.
Amzar tidak banyak bicara. Dia terus menarik kerusi dan duduk. Entah mengapa berada berdua-duaan dengan Marha kali ini terasa sangat janggal. Hilang terus segala makian yang ingin dia lontarkan pada gadis itu. Lidahnya seakan kelu. Bibirnya beku.
Marha yang faham dengan tindakan Amzar, terus saja mencapai pinggan kosong. Dua senduk nasi diletakkan di atas pinggan lalu disuakan ke arah Amzar.
“Masak lemak cili api ni tak pedas pun. Saya letak sikit je. Tuan jangan risau.” Terang Marha apabila melihat wajah Amzar berkerut melihat lauk yang diletakkan di dalam pinggannya.
Amzar hanya merenung kosong nasi dan lauk yang terhidang di hadapan mata. Kecur juga air liurnya melihat masakan Marha namun dia tetap menayang sikap egonya. Seolah-olah lauk yang dimasak oleh Marha langsung tidak menarik perhatiannya.
“Kau letak banyak mana pun makanan dalam pinggan aku ni, kau ingat aku boleh makan sendiri?” Soal Amzar dingin.
Marha berpaling. Dia menyoroti wajah Amzar yang kelat. Salah apa pula aku kali ni? Detik hatinya.
“Kee…kenapa tuan?” Soalnya lambat-lambat.
“Kenapa kau tanya aku? Nak cakap kau ni bebal, dah jadi setiausaha aku. Tak nampak ke tangan aku tak boleh nak gerak ni? Aku nak makan macam mana?” Soal Amzar garang.
“Tuan nak saya suapkan ke?” Soalan dibalas soalan oleh Marha.
Amzar menepuk dahi. Lama-lama dia menghadap Marha, boleh terbang segala kesabarannya.
“Kenapalah hidup aku ni selalu malang je bila kau ada? Tu pun nak tanya lagi ke? Kau nampak orang lain tak selain kau dalam rumah ni?”
Marha menggelengkan kepala. Hatinya sedikit terasa dengan kata-kata Amzar.
“Dah tu, tanya lagi buat apa?” Suara Amzar meninggi.
Marha terpaksa akur. Lambat-lambat dia menyuapkan nasi ke mulut Amzar tanpa sedikit pun memandang wajah lelaki itu.
“Boleh hilang selera aku bila terpaksa hadap muka kau hari-hari sementara mama balik.” Sinis Amzar sambil mengunyah makanan yang masih bersisa.
Marha menarik nafas. Dia cuba bertenang meskipun telinganya berdesing mendengar omelan Amzar. Hilang selera konon, padahal dah nak masuk dua kali kau tambah nasi ni. Kelentong betul mamat ni. Bebel hati Marha.
“Tuan nak saya panggilkan Cik Ratna ke?” Soal Marha bersahaja.
“Nak buat apa panggil Ratna?” Soal Amzar pula.
“Tolong suapkan tuanlah. Mudah-mudahan tuan berselera kalau Cik Ratna yang suapkan.” Balas Marha. Geram. Dia meletakkan sudu lantas berdiri.
“Eh tunggu dulu. Aku tak keluarkan apa-apa arahan, jadi jangan memandai nak buat tindakan sendiri.” Halang Amzar. Laju saja tangannya memaut pergelangan tangan Marha.
Langkah Marha terbejat. Dia memandang tangan Amzar yang bergayut di pergelangan tangannya silih berganti dengan wajah lelaki itu. Dia mencebik sebelum merentap kembali tangannya.
“Cik Ratna tu kan kekasih tuan, saya yakin tuan mungkin lebih berselera bila tengok muka dia. Jadi tak perlulah saya jaga tuan lagi. Biar Cik Ratna yang jaga. Orang cantik macam kekasih tuan tu pasti pandai jaga orang sakit macam tuan.” Balas Marha lagi.
Amzar berlagak tenang tetapi jauh dalam hati dia resah juga.
“Kau jangan nak mengarut. Jangan nak libatkan Ratna dalam hal ni. Dia sibuk. Cakap ajelah yang kau memang tak pernah ikhlas nak jaga aku. Kau guna alasan Ratna untuk lepaskan diri.”
Marha mengeluh. Dia sudah naik bosan apabila bertekak dengan Amzar hari-hari.
“Pernah tak walau sekali tuan nampak keikhlasan saya? Saya ikhlas mintak maaf, tapi tuan tetap tuduh saya yang bukan-bukan. Saya ikhlas jaga tuan sekarang ni, tapi tuan cakap saya buat semua ni sebab papa yang bayar. Agaknya dalam otak tuan tu, tak pernah fikir baik pasal saya walaupun sekali kan? Ikhlas tu tak semestinya kita kena cakap, tuan. Hanya hati kita yang rasa. Kalau tuan tak dapat nak rasa keikhlasan saya, anggap saja yang tuan tu tak ada hati!” Hambur Marha. Tegas.
Tanpa menunggu lama, dia meninggalkan Amzar terkebil-kebil di meja makan.

Sunday, 17 December 2017

RINDU DALAM RAHSIA ( Rindu Dalam Sepi remake ) - BAB 12



“MAMA tak tahulah nak cakap apa sekarang. Kamu ni suka sangat buat mama risau. Nasib baik tak ada apa-apa yang serius. Kalau tak, mama ni boleh sakit jantung tau!” Bebel Datin Zahidah sambil memandang Amzar yang tersengih.
“Am bukan sengaja nak buat mama risau. Am tak sangka jadi macam ni. Am terlelap sikit je masa drive. Am tak perasan lampu isyarat tu dah bertukar merah, sebab tu Am redah je. Alah, terseliuh sikit aje ni. Seminggu, dua minggu, eloklah balik. Mama tak payah risaulah.” Bohong Amzar cuba menyedapkan hati Datin Zahidah. Padahal dia bukan terlelap, tapi fikirannya yang terganggu membuatkan Amzar memotong lampu isyarat merah dan dilanggar oleh kereta lain.
Dia memandang tangannya yang berbalut dengan kain anduh. Satu keluhan dilepaskan.
“Macam mana mama dengan papa tak risau, hujung minggu ni dah nak berangkat ke Mekah. Kamu pulak kena macam ni. Tak sampai hati papa nak tinggal. Siapa yang nak jaga kamu?” Soal Dato Zuhdi. Gusar.
“Am okey, papa. Tangan Am ni boleh gerak lagi. Mama dengan papa pergilah umrah. Tak payah risaukan pasal Am. Tahulah Am jaga diri.” Balas Am. Dia membetulkan duduk.
“Papa tak percaya yang Am boleh jaga diri. Siapa yang nak masakkan untuk Am? Tangan Am ni pun kena urut juga. Siapa yang nak urutkan Am kalau adik-adik semuanya ikut mama dan papa? Mak Minah pun ambil cuti dua minggu. Siapa yang nak jaga Am? Papa takkan benarkan Am tinggal sorang-sorang kat rumah Am tu.  Kalau macam tu biar papa batalkan ajelah umrah tu. Mungkin tak ada rezeki nak pergi umrah kali ni.” Lirih suara Dato Zuhdi kedengaran.
Demi anak sulungnya ini, dia sanggup gadaikan hasratnya untuk ke umrah semata-mata tidak sanggup biarkan Amzar keseorangan tanpa penjagaan.
Amzar tersentak. Laju saja kepalanya digelengkan.
“Janganlah macam tu, papa. Kesian kat adik-adik. Dah lama sangat nak pergi umrah.  Arif tu bukan selalu ada masa untuk cuti daripada kerja dia. Riana pun sama. Janganlah disebabkan Am, mama dan papa batalkan semuanya.” Amzar mula serba-salah. Dia tidak senang duduk.
“Mama pun setuju cakap papa tu. Senang-senang kami batalkan aje umrah tu. Mama pun tak sanggup biar kamu sakit sorang-sorang…” Tambah Datin Zahidah.
“Assalamualaikum…” Kedengaran suara lembut memberi salam membuatkan tiga beranak itu beralih pandangan ke pintu bilik. Terjengul wajah Marha disebalik pintu dengan senyuman manis terukir buat Dato Zuhdi dan Datin Zahidah.
“Waalaikummusalam. Eh, Mar. Masuklah…” Ajak Datin Zahidah lalu bangun mendapatkan Marha yang mengorak langkah menghampiri katil Amzar.
Amzar mendengus. Kurang senang dengan kehadiran Marha. Sakit hatinya masih bersisa lantas wajahnya dipalingkan ke tempat lain.
“Kau buat apa kat sini? Siapa yang bagitahu kau aku masuk hospital?” Soal Amzar dingin.
“Am, kenapa cakap kasar macam ni? Tak elok.” Tegur Dato Zuhdi lalu menggelengkan kepalanya.
“Siapa suruh tak faham bahasa? Orang tak suka tu, sibuk aje tayang muka. Kat pejabat muka dia, kat sini muka dia. Nak muntah!” Jawab Amzar tanpa rasa bersalah. Dia menjeling benci.
“Am! Cuba jaga sikit mulut tu kalau bercakap. Allah bagi Am sakit ni sebab nak hapus dosa-dosa kecil Am, takkan nak tambah balik dosa tu kut. Tak serik lagi? Nak tangan tu patah dulu ke baru nak insaf?” Tempelak Dato Zuhdi mulai bengang dengan sikap Amzar yang tidak mahu berubah.
Amzar mencebik. Apabila Dato Zuhdi sudah mula bersuara, lebih baik dia diam. Sebelum papanya itu berleter panjang.
“Saya mintak maaf, tuan. Kalau tuan tak suka saya datang melawat, tak apalah. Saya balik dulu.” Ujar Marha. Dia berura-ura untuk berpaling. Orang dah tak sudi, buat apa dia ternanti-nanti.
“Tunggu dulu, Mar.” Halang Datin Zahidah lalu menarik pergelangan tangan Marha. Menghalang gadis itu daripada berlalu.
“Am, mama yang telefon Mar bagitahu kamu kemalangan. Dia setiausaha kamu jadi dia perlu tahu keadaan kamu. Senanglah dia nak inform pada client nanti. Itu pun Am tak boleh fikir ke? Lagipun Mar ni isteri kamu. Tak salah rasanya kalau dia ambil berat.” Datin Zahidah bersuara. Dia memandang Amzar dan Marha silih berganti.
Amzar tidak membalas. Hanya bibir dicebikkan tanda dia meluat mendengar perkataan isteri yang terbit daripada mulut Datin Zahidah. Kalau bukan disebabkan mama, Am tak ingin jadikan dia isteri Am. Desis hati Amzar.
“Tak apalah, mama. Kalau Tuan Am tak suka, saya boleh keluar. Saya tak nak ganggu privasi Am. Tugas saya cuma kat pejabat…”
“Siapa cakap tugas Mar pada Am cuma kat pejabat? Suka atau tak, rela atau tak, Mar dan Am dah jadi suami isteri yang sah. Sekarang, dah jadi tanggungjawab Mar untuk jaga Am. Tangan dia seliuh ni. Doktor kata teruk juga. Jadi Mar kena jaga Am mulai sekarang.” Sampuk Dato Zuhdi.
Amzar tersentak. Marha tergamam. Serentak, mereka berdua berpandangan.
“Papa! Apa yang papa mengarut ni? Am tak nak perempuan ni jaga Am! Am rela mati sorang-sorang daripada perempuan ni jaga Am. Entah-entah dia dah buat rancangan nak bunuh Am!” Ujar Amzar mula merapu.
Marha tidak mampu menahan rasa geli hati. Tanpa sedar dia ketawa kecil.
“Kalau saya nak bunuh tuan, tak perlu tunggu masa tuan tengah sakit, saya boleh aje letak racun tikus dalam minuman tuan kat pejabat tu…” Jawab Marha berani. Dia menentang pandangan Amzar yang tajam mencerun ke arahnya.
Datin Zahidah dan Dato Zuhdi hanya ketawa melihat muka Amzar yang tidak berpuas hati dengan kata-kata Marha.
“Mama, papa tengoklah tu. Dah berani menjawab sekarang!”
“Dah mulut kamu tu tak ada insurans, siapa yang tak panas telinga. Kalau ikutkan hati mama, dah lama mama cilikan mulut kamu tu.” Komen Datin Zahidah ternyata berpihak pada Marha.
“Am tak payahlah fikir yang bukan-bukan. Baik, kalau Am tak nak Marha jaga Am, jadi terpaksalah papa batalkan umrah tu. Am tentu tak kisah kan?” Dato Zuhdi bersuara lirih. Sengaja ingin memancing simpati Amzar.
Dia rasa inilah saat paling tepat untuk dia membantu hubungan Amzar dan Marha. Sampai bila hubungan itu harus dibiarkan terus mendingin? Dato Zuhdi bimbang, kedinginan itu akan meretakkan hubungan yang telah dibina.
“Papa, janganlah macam tu…” Amzar kehilangan kata. Dia serba-salah.
“Papa nak batalkan umrah? Sayanglah papa. Bukan senang nak dapat peluang dan ruang pergi umrah.” Tambah Marha.
“Hah, tahu pun Mar. Sebab tu papa mintak tolong sangat Mar jaga Am. Papa dan mama tak sampai hati nak biarkan Am sorang-sorang kat rumah tu. Mak Minah pun tak ada. Siapa nak jaga makan minum Am dengan tangan dia yang masih berbalut ni? Mar tolong mama dan papa, ya?” Pinta Dato Zuhdi lagi penuh pengharapan.
Marha menggigit bibir. Permintaan Dato Zuhdi kali ini terasa berat.
“Tak payahlah, papa. Am tak nak perempuan ni jaga Am!” bantah Amzar lagi. Masih belum mengalah.
“Baik! Kalau macam tu sekarang juga papa call agensi untuk batalkan umrah tu!” Ugut Dato Zuhdi kesekian kalinya.
“Jangan papa!” Tingkah Marha.
Amzar berpaling. Anak mata mereka bertentangan seketika.
“Mar sanggup jaga Tuan Am sementara papa dan mama pergi umrah…” Marha membuat kata putus.
Datuk Zuhdi tersenyum kemenangan. Begitu juga dengan Datin Zahidah. Kini anak mata mereka tuntas memandang Amzar. Mereka inginkan jawapan yang pasti daripada Amzar.
Amzar mengetap bibir. Dia tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk menolak permintaan mama dan papanya. Pantas, kepalanya dijatuhkan. Akur dengan kehendak Datuk Zuhdi.

“KAU nak ke mana ni?” Soal Qistina sewaktu dia melangkah masuk ke dalam bilik Marha. Kelihatan sahabatnya itu sedang melipat baju lalu dimasukkan ke dalam beg pakaian.
Marha terdiam seketika. Anak matanya melilau ke kiri dan kanan, cuba mencari alasan yang dirasakan sesuai untuk diberikan kepada Qistina.
“Aku ada training…” jawab Marha cuba berlagak tenang sedangkan dalam hatinya sudah berdetak kencang. Bimbang jika pembohongannya diketahui oleh Qistina.
“Training? Berapa lama?” soal Qistina lagi. Dia merenung wajah Marha dengan lama.
“Tak lama. Dua minggu je..” jawab Marha ringkas. Sedaya upaya dia cuba untuk tidak menentang pandangan Qistina. Dia gugup.
“Dua minggu? Lamanya. Kau training dekat mana?” Soal Qistina lagi. Jelas dia terperanjat dengan jawapan Marha.
“Aku kan pekerja baru kat hotel tu jadi aku training lamalah sikit. Biasalah on the job training, buat kat hotel tu je. Jadi bos aku sediakan bilik untuk pekerja-pekerja yang terpilih untuk training ni,” terang Marha lagi. Matanya terus fokus kepada baju-baju yang harus dikemas. Sedikit pun dia tidak memandang Qistina yang kelihatan terangguk-angguk. Maafkan aku, Qis sebab terpaksa tipu kau. Keluh hati Marha.
“Alah, ni yang tak best. Aku kena duduk rumah sorang-sorang. Kau tak boleh balik ke?” Soal Qistina lagi. Terpamer rasa kecewa di wajahnya.
Marha hanya menggelengkan kepala sebagai jawapan.
Qistina mengetap bibir. Pasrah dengan tugas yang dipikul oleh Marha selaku setiausaha.
“Nak buat macam mana kan? Dah kerja kau. Tapi kalau free, kau jangan lupa call aku pula. Aku tak boleh kalau tak dengar suara kau dalam sehari. Rindu.” Gurau Qistina lantas mencuit pipi Marha.
Marha ketawa kecil. Dia menghembus nafas lega.

DATIN ZAHIDAH memeluk erat tubuh anak terunanya saat mereka sekeluarga tiba di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Sayu juga hatinya kerana terpaksa meninggalkan Amzar yang masih belum sembuh sepenuhnya. Dia tahu sukar untuk Amzar menerima pertolongan Marha dek kerana benci lelaki itu yang tidak pernah padam.
“Masa mama dengan papa tak ada, Am jaga diri baik-baik tau. Am rehat ajelah kat rumah. Urusan syarikat, papa dah lantik orang untuk uruskan.” Ucap Datin Zahidah sambil menepuk lembut belakang Amzar.
Amzar tersenyum. Dia meleraikan pelukan.
“Mama sekarang nak pergi Mekah tau, nak beribadat jadi mama jangan fikirkan apa-apa  selain umrah tu. Tahulah Am jaga diri. Lagipun tangan Am ni bukan teruk sangat. Sakit sikit je.” Balas Amzar sambil memandang lengannya yang masih berbalut dengan kain anduh. Rasa sakit dan sengal masih lagi terasa cuma di hadapan Datin Zahidah dia bersikap selamba.
“Mama kenal sangat dengan perangai kamu Am ni. Kalau sakit bukannya nak bagi tahu orang. Suka sangat pendam sendiri. Nasib baik Mar ada boleh tolong jagakan kamu. Tapi kamu jangan dera dia pulak sepanjang mama dan papa tak ada ni.” Tambah Datin Zahidah lagi. Memberi amaran.
Amzar mengeluh berat apabila nama Marha disebut. Dia mengerling ke sisi. Kelihatan Marha sedang berbual dengan adik perempuannya. Sesekali gadis itu ketawa kecil. Amzar mencebik. Rasa bahang di hati masih belum reda sepenuhnya.
“Am tak perlukan dialah mama. Mama suruhlah dia jangan tinggal kat rumah kita. Am rimas tengok muka dia.” Balas Amzar dengan muka yang cemberut.
Datin Zahidah menjengilkan mata. Kepalanya digeleng dengan pantas.
“Mama dah nak berlepas ni. Kamu jangan nak buat hal. Cuba untuk terima Mar tu. Dia isteri kamu yang sah.Kat Mekah nanti mama akan doakan kebahagiaan kamu. Ingat Am, buat kesilapan itu manusia tapi memberi kemaafan itu adalah kemanusiaan. Kamu dan Mar pernah buat silap, tapi mama maafkan kamu. Kamu nak tahu sebab apa?” Soal Datin Zahidah sambil memegang kedua belah bahu Amzar dengan kemas.
Amzar tidak menjawab. Sedikit sebanyak hatinya terkesan dengan kata-kata Datin Zahidah.
“Sebab mama tak nak jadi manusia yang tak ada sikap kemanusiaan. Kalau kita tak ada sikap tu, sama je kita patung. Ada rupa tapi tak berjiwa.” Ucap Datin Zahidah buat kali terakhir. Dia tersenyum penuh makna.
Amzar kaku. Kata-kata Datin Zahidah meresap terus ke dasar hati. Jadi selama ni aku tak ada sikap kemanusiaan ke? Soal hati Amzar. Dia berpaling ke sisi. Matanya tertancap pada Marha yang sedang melambaikan tangan pada Datin Zahidah sekeluarga yang sedang menuju ke balai pelepasan. Gadis itu tersenyum. Wajahnya kelihatan sayu.
“Semua dah naik flight, jomlah kita balik.” Ajak Marha seraya berpaling ke sisi.
Dia terkaku saat anak mata mereka berdua berlaga. Ada debaran menjengah ke dada Marha. Spontan, anak mata ditundukkan. Dia meneguk liur.
Amzar menjeling. Nampaknya dalam masa dua minggu ini, terpaksalah dia menghadap wajah gadis yang cukup dia benci. Dah nasib!


Monday, 11 December 2017

RINDU DALAM RAHSIA ( Rindu Dalam Sepi remake) - BAB 11



MARHA menyapu sisa air matanya yang masih berbekas di pipi sambil tangannya lincah menyapu gel aloe vera pada kesan lecur di lengannya. Hatinya masih tersiat dengan perbuatan Amzar sebentar tadi. Nasibnya baik kerana Dato Zuhdi muncul tepat pada waktunya, jika tidak entah apa yang Amzar akan lakukan kepadanya.
“Marha, awak okey ke?” Sapa satu suara mengejutkan Marha. Lantas, ubat yang dipegangnya jatuh ke lantai. Dia berpaling sekilas sebelum dia menunduk bagi mencapai ubat yang terjatuh.
“Saya okey, Encik Rafiq…” Jawab Marha. Senyuman hambar diukirkan.
Dahi Rariq berkerut. Dia yakin pasti ada yang tidak kena dengan Marha. Wajah kelat gadis itu menceritakan segalanya. Lantas, dia menghampiri Marha. Pandangan Rafiq terarah pada lengan Marha.
“Kenapa dengan lengan awak tu? Sakit ke?” Soal Rafiq dengan riak yang serius.
Marha menggelengkan kepalanya dengan pantas. Kedua belah tangannya disorokkan ke belakang badan.
“Tak ada apa-apalah, encik. Saya okey je.” Jawab Marha cuba melindungi rasa yang sebenar.
“Kalau awak ada apa-apa nak cakap dengan saya, cakap aje tau. Anggap saya macam kawan awak. Tadi saya ternampak Dato Zuhdi keluar dari bilik Am. Nampak macam tegang aje. Awak ada masalah dengan bos awak tu ke? Dia buli awak?” Soal Rafiq lagi masih belum mengalah.
Marha terdiam. Dia menundukkan wajah seketika. Patutkah dia menceritakan segalanya pada Rafiq atau diamkan saja? Sedangkan dia tahu, Amzar sengaja mencari fasal dengannya bukan disebabkan hal kerja tetapi disebabkan rasa amarah lelaki itu yang tidak pernah surut.
“Buli fasal kerja tu biasa kan encik? Tak ada apalah.” Jawab Marha.
“Tapi buli tetap buli. Kalau Am suruh awak buat kerja melebihi kemampuan awak, awak boleh buat aduan. Sebagai pekerja kita ada hak tau. Awak pun ada hak. Walaupun awak baru dekat sini, tapi tak ada sesiapa yang berhak buli awak.” Ujar Rafiq dengan riak wajah yang serius.
Sejujurnya, sejak kali pertama dia bertentang mata dengan Marha, dia dapat rasakan dia mula sukakan gadis ini. Dia cuba untuk mendekat tapi Marha terus-terusan mengelak.
“Encik jangan risaulah. Tuan Am takkan buli saya. Kalau dia buli saya, saya report terus dekat Dato Zuhdi.” Balas Marha cuba menyedapkan hati Rafiq.
Rafiq hanya tersenyum sebaik saja melihat bibir Marha mengukir senyuman. Lesung pipit di pipi kanan gadis itu cukup membuatkan senyumannya menawan. Bergetar halus jantung Rafiq.
“Tak payah panggil saya encik. Panggil biasa aje. Saya lebih suka kalau awak anggap saya kawan.” Ucap Rafiq cuba beramah.
Marha tersenyum lagi. Dia menganggukkan kepala.
“Saya pergi sambung kerja dululah, Encik Rafiq. Oppss… Salah… Rafiq.” Ujar Marha sambil memperbetulkan percakapannya. Dia ketawa kecil. Rasa sebal terhadap sikap Amzar tadi hilang begitu saja dengan kehadiran Rafiq.
Rafiq menjengilkan matanya namun dia ketawa kemudiannya.
“Baiklah. Err… Marha…” panggil Rafiq perlahan.
Langkah Marha terhenti. Dia menoleh ke belakang.
“Takziah atas kehilangan ayah awak…” ucap Rafiq dengan lembut.
Marha tersenyum lagi. Dia menganggukkan kepala sebelum berpaling untuk melangkah pergi.
“Marha….” Suara Rafiq memanggil lagi.
Sekali lagi langkah Marha terhenti. Dia menoleh buat kali kedua.
“Ada apa, Rafiq?” soalnya pendek.
“Jangan senyum macam tu lagi. Tak tidur lena saya malam ni,” gurau Rafiq lantas ketawa lepas.
Marha membesarkan matanya. Sedikit terkedu dengan kata-kata Rafiq. Namun tidak lama kemudian dia ikut ketawa.

TUMPUAN Amzar masih terarah pada jalan raya yang kelihatan sesak sebaik saja pulang dari pejabat. Sekilas Amzar mengerling jam yang terpapar di dashboard. Sedar tak sudah waktu sudah menghampiri pukul sembilan malam. Satu bandar Kuantan dia berpusing tanpa arah tujuan.
Perbualan dengan Dato Zuhdi menganggu ketenteramannya saat ini sehinggakan dia nekad untuk mencari secebis ketenangan.
“Papa tahu kamu benci sangat pada Mar tu tapi ini pejabat. Jaga sikit perangai kamu tu. Jangan disebabkan masalah peribadi antara kamu dan dia, kamu bawa sampai ke tempat kerja.” Nasihat Dato Zuhdi dengan tegas.
Wajah Amzar dipandang lama. Tiada secalit senyuman pun terukir di bibir anak sulungnya itu.
“Dah dia melawan, memang patutlah Am ajar sikit. Perempuan kurang ajar macam tu memang elok ditampar aje.” Balas Amzar bersahaja. Hatinya masih berdongkol dengan rasa marah terhadap Marha. Dia sendiri keliru sama ada amarahnya disebabkan Ratna atau pun rasa marah itu disebabkan pernikahan yang terjadi antara mereka berdua.
“Astaghfirullah-al-azim. Sejak bila kamu jadi macam ni, Am? Kalau marah sekali pun jangan sampai angkat tangan dekat perempuan tak kiralah siapa pun dia pada kamu. Papa tak pernah ajar kamu berkasar dengan perempuan. Ingat sikit, dia tu isteri kamu. Tanggungjawab kamu untuk jaga dia, bukan jadikan dia tempat untuk lepaskan kemarahan kamu.” Tegur Dato Zuhdi lagi. Kali ini lebih tegas.
Dia tidak menyangkan anak yang dia didik selama dua puluh lapan tahun dengan penuh kasih sayang, dengan penuh sifat penyayang akhirnya menjadi seorang yang panas baran dalam sekelip mata. Dato Zuhdi menggelengkan kepala tanda kesal.
“Tak pernah terlintas dalam fikiran Am ni untuk jaga dia. Am nikah dengan dia sebab mama dan papa tau. Kalau ikutkan Am tak ingin langsung ambil perempuan tu jadikan isteri.” Balas Amzar mendabik dada.
“Jadi kamu nak menidakkan jodoh yang Allah tetapkan untuk kamu? Papa peliklah dengan kamu ni, Am. Kamu tahu kamu dan Marha tak bersalah, tapi kenapa kamu letakkan semua kesalahan malam itu seratus peratus atas bahu dia? Papa terima apa yang terjadi pada kamu sebagai satu kemalangan tapi kenapa kamu tak dapat terima semua tu?” soal Dato Zuhdi membuatkan Amzar mati bicara.
“Sebab dia mama paksa Am kahwin. Papa tahu kan Am dah ada Ratna. Am boleh cari pasangan hidup Am sendiri. Kenapa Am nak kena kahwin dengan dia pulak? Malam tu. Malam tu papa tahu Am tak bersalah, tapi kenapa papa nak juga Am kahwin dengan perempuan tu? Papa nak tengok hidup Am musnah ke kahwin dengan perempuan yang Am langsung tak kenal.” Luah Amzar. Dia meraup rambutnya ke belakang.
Dato Zuhdi tersenyum sinis. Dia menyandarkan belakang tubuhnya ke kerusi. Wajah kacak milik Amzar ditenung lama.
“Jadi Am betul-betul kenal Ratna? Am kenal semua ahli keluarga dia? Dan yang paling penting, betul Am cintakan Ratna dengan sepenuh hati Am?” soal Dato Zuhdi sambil merenung tepat ke dalam anak mata Amzar yang coklat cair.
Amzar terkedu. Soalan Dato Zuhdi benar-benar mencabar mindanya. Bukannya Dato Zuhdi tidak tahu, satu-satunya kelemahan Amzar adalah perkataan ‘cinta’. Sejak dulu, bibirnya bagaikan berat untuk menyebut perkataan itu. Entah kenapa dan mengapa.
“Apa yang papa tanya ni? Of course Am cin….” Kata-kata Amzar mati di situ. Dia berdeham. Dadanya mula berdetak tidak menentu. Perkataan itu bagaikan tidak mahu keluar daripada kerongkongnya. Lidahnya turut beku dengan tiba-tiba malah dahinya mula berpeluh walaupun bilik mesyuarat itu lengkap dengan pendingin hawa.
“Apa yang Am nak cakapkan ni?” Soal Dato Zuhdi menguji. Dia tersenyum sinis.
“Am nak cakap yang Am memang cin….” Sekali lagi Amzar gagal untuk menghabiskan bicara. Dia melepaskan satu keluhan dengan kuat. Dia mengalah akhirnya. Perkataan itu terus tersekat di kerongkongnya. Sumpahan apakah ini?
“See… Nak cakap perkataan cinta pun kamu payah. Inikan pula kamu nak mengaku yang kamu mahukan Ratna jadi teman hidup kamu. Sudahlah, Am. Papa tak rasa pun yang Ratna tu jodoh terbaik untuk kamu. Mana tahu orang yang kamu benci, orang yang kamu tak sangka itulah yang akan jadi jodoh kamu. Jadi cinta kamu. Kita ni, kadang-kadang lebih suka memandang yang jauh dari apa yang ada di hadapan mata. Bila dah hilang mulalah mencari,” nasihat Dato Zuhdi dengan kiasan.
Amzar hanya mencebik. Dia tidak mempercayai apa yang dikatakan oleh Dato Zuhdi.
“Dan papa jangan harap Am akan terima perempuan tu dalam hidup Am. Tengok muka dia pun Am dah menyampah. Kalau boleh Am nak aje buang dia dari hotel ni. Baru tak sakit hati Am.” Tambah Amzar lagi. Dia mengepal penumbuk.
“Jangan macam tu Am. Kerja Marha tak pernah mengecewakan papa dan papa tahu dia setiausaha yang baik untuk Am. Jangan tabur pasir dalam periuk nasi dia. Am tahu kan Marha baru kehilangan ayah dia, takkan Am nak tambah lagi kedukaan dia? Sekarang tugas dia sara adik-adik dan keluarga dia. Jangan jadi kejam Am. Allah tak suka.” Balas Dato Zuhdi mulai risau dengan sikap Amzar.
Amzar tersenyum sinis.
“Kalau inilah cara yang boleh beri dia penderitaan, apa salahnya.” Jawab Amzar selamba tanpa perasaan.
“Ya Allah, Am!” terjerit kecil Dato Zuhdi dibuatnya. Dia menggelengkan kepala dengan rasa kecewa yang membuak-buak.
“Terima takdir Allah ini dengan reda, Am. Pasti ada hikmahnya. Jangan menidakkan apa yang dah Allah rencanakan untuk kamu.” Tambah Dato Zuhdi lagi. Masih belum berputus asa untuk menasihati Amzar yang keras sudah berkeras hati.
“Am tak pernah menidakkan takdir Allah tapi Am tetap tak dapat terima perempuan tu walau apa pun yang berlaku.” Tegas Amzar. Lantas, dia bingkas bangun untuk meninggalkan bilik itu.
“Tapi papa takkan pernah berhenti berdoa untuk kebahagiaan Am. Am lelaki. Tugas Am sebagai pelindung bukan pemusnah.” Ucap Dato Zuhdi sebelum Amzar menghilang di sebalik pintu.
Ping! Ping!
Bunyi hon dari belakang menghentikan Amzar daripada lamunan. Dia memandang cermin pandang belakang sekilas sebelum kembali memulakan perjalanan. Kata-kata Dato Zuhdi berlegar-legar di fikirannya saat ini membuatkan otaknya semakin kusut. Dia perlukan ketenangan, lantas keretanya dihalakan menuju ke rumah sewa Ratna.
Sebaik saja sampai di kawasan perumahan Ratna, Amzar menghentikan keretanya agak jauh dari rumah gadis itu. Kelihatan sebuah kereta Nissan Fairlady berada di hadapan rumah Ratna. Dahi Amzar berkerut.
“Siapa pula tu?” Soalnya sendirian.
Tidak lama kemudian, kelihatan Ratna keluar dari rumah dengan siap berpakaian cantik. Malah, pakaiannya juga cukup seksi di mata Amzar. Wajah gadis itu nampak begitu gembira sebaik saja terpandang pemilik kereta tersebut melangkah keluar.
Jelas, seorang lelaki yang agak berumur keluar lalu mendapatkan Ratna. Mereka berdua berpeluk untuk seketika. Sebelum lelaki tua itu menghadiahkan ciuman di pipi Ratna. Ratna ketawa kecil.
Mata Amzar terbuntang. Jantungnya mula berdegup pantas. Dia tidak menyangka Ratna semurah itu. Namun, Amzar hanya mampu ketawa. Tidak terdetik pun dalam fikirannya untuk menyerang Ratna atau pun lelaki tersebut. Hatinya kosong saat ini. Kosong sekosongnya.
Lalu, dia terus menekan pedal minyak dan meninggalkan kawasan perumahan Ratna.
“Tak sangka senang betul kau diperbodohkan dengan perempuan, Am.” Ucap Amzar sendirian. Dia ketawa kemudian wajahnya bertukar serius.
“Aku nak tengok sejauh mana kau bersandiwara, Ratna. Kalau kau boleh tipu aku, aku pun boleh tipu kau,” sambung Amzar lagi.
Dia akan gunakan Ratna untuk lepaskan diri daripada Marha. Bila segalanya telah selesai, dia akan tinggalkan Ratna. Itu rancangan Amzar. Lantas, dia meneruskan pemanduan dengan fikiran berkecamuk. Tanpa sedar, lampu isyarat sudah bertukar merah tetapi Amzar tetap meneruskan perjalanan dan…
Dummm!
Kereta yang dipandu Amzar bertembung dengan kereta lain tanpa sempat dia mengelak. Segalanya berlaku dalam sekelip mata. Dunia Amzar terus kelam.