Tetamu Rindu

Sunday, 22 April 2018

JODOH HAK MILIK ALLAH ( BAB 1 )


LAPANGAN Terbang Antarabangsa Dubai kelihatan sesak dengan manusia yang berpusu-pusu keluar dari perut pesawat menuju ke destinasi pilihan mereka yang terdapat di Dubai. Dari jauh kelihatan seorang jejaka melangkah keluar dari lapangan terbang dengan penuh gaya. Kaca mata hitam yang tersungging di hidungnya yang mancung menambahkan lagi kekacakannya apatah lagi dengan badan yang tegap dan ketinggian persis model.
Hans Yusuf membetulkan kamera DSLR yang tergantung di leher. Troli beg ditolak sebelum langkahnya terhenti di satu sudut. Dia melabuhkan punggung di bangku yang telah disediakan. Anak matanya melingas melihat orang ramai yang membanjiri lapangan terbang tersebut.
Hans tersenyum sendirian. Dia suka memerhati gelagat manusia yang bermacam ragam. Nyata, semuanya kelihatan teruja apabila dapat menjejakkan kaki ke Dubai, sebuah kota raya yang terkenal dengan kekayaan hasil minyak. Malah, Dubai juga terkenal dengan gelaran syurga dunia.
Hans menarik keluar kamera DSLR yang tergantung di lehernya lalu diarahkan ke kawasan sekitar lapangan terbang, beberapa keping gambar pelancong yang sedang berbincang dalam kumpulan dirakamkan. Malah, beberapa keping gambar kawasan lapangan terbang turut diambil sekadar untuk kenang-kenangan.
Sedang asyik dia melihat kawasan sekeliling, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Pantas, Hans menyeluk poket dan menjawab panggilan.
“Waalaikummusalam, mama. Alhamdulillah Hans dah sampai. Kejap lagi Hans nak check in dekat hotel. Mama tak payah risaulah, Hans datang sini nak melancong. Tenangkan fikiran bukannya nak lari,” jawab Hans. Dia berjeda seketika mendengar butir bicara daripada mamanya.
Dia bingkas berdiri dengan menarik beg pakaiannya sambil telefon melekap di telinga.
“Mama cubalah pujuk papa tu. Hans boleh cari sendiri. Tak perlulah papa carikan. Hans tak nak kalau apa-apa jadi nanti, Hans salahkan mama dan papa. Masa depan Hans, jodoh Hans, biar Hans yang pilih. Kali ni entah perempuan mana yang papa pilih untuk Hans. Hans tak nak.” Rungut Hans dengan riak yang serius.
Sebuah teksi berhenti di hadapannya. Dengan bergegas dia memasukkan beg pakaiannya ke dalam boot teksi sebelum dia melangkah masuk di tempat duduk belakang. Setelah memberi arahan kepada pemandu teksi tersebut, Hans meneruskan perbualannya di corong telefon.
“Hans bukan tak percaya papa, mama. Hans bukan tak nak kahwin. Hans ni straight tau mama. Cuma Hans tak ada masa nak cari girlfriend. Mama tengoklah perempuan yang papa kenalkan pada Hans bulan lepas, mama tahu tak dia dah ada kekasih dan kekasih dia perempuan, mama! Dia setuju dengan cadangan papa dia untuk berkenalan dengan Hans semata-mata nak tutup hubungan songsang dia tu. Nasib baik Hans tahu cepat, kalau tak… Mama fikirlah sendiri.” cerita Hans lagi. Dia menggelengkan kepala.
Anak matanya menebar ke luar tingkap kereta. Cuaca di Dubai sekarang ini kelihatan cerah. Bangunan-bangunan yang tersergam kelihatan unik di mata Hans. Dia mengangkat kamera dengan tangan kirinya namun dia terpaksa meletakkan kamera tersebut kembali apabila mengenangkan tangannya kanannya masih memegang telefon.
“Mama tak perlu risau, mama akan dapat menantu juga nanti. Biar masa dan jodoh yang menentukan. Hans tak jumpa lagi perempuan yang buatkan Hans rasa sesuatu dekat hati ni…” jawab Hans dengan senyuman. Perlahan-lahan dia menyentuh dada kirinya.
“Hans tak merepek, mama. Hans hanya akan kahwin dengan perempuan yang mampu buat hati Hans terasa sesuatu. Rasa yang Hans sendiri tak mampu jelaskan cuma hati Hans saja yang mengerti.” Balas Hans. Dia ketawa kecil apabila mendengar bebelan mamanya.
“Hans dah nak sampai hotel ni, mama. Nanti Hans call mama semula. Kirim salam kat papa. Assalamualaikum…” ujar Hans mengakhiri bicaranya.
Dia tersenyum apabila mengenangkan mamanya yang tak habis-habis risau akan dirinya. Maklumlah, umurnya sudah menjangkau 35 tahun. Ibu mana yang tak risau apabila anak lelakinya masih lagi membujang. Bimbang akan menjadi buah mulut orang, papanya bertekad untuk mencari calon isteri untuk dirinya.
Namun, bagi Hans umur itu hanya angka. Bukan dia tidak bersedia untuk berumah tangga namun kesibukan kerja membuatkan dia tidak sedar umurnya makin meningkat. Disebabkan papanya yang memaksa untuk dia berkahwin membuatkan Hans membawa diri sementara ke Dubai untuk menenangkan perasaannya.
“Buat apa nak kusutkan fikiran, jodoh pasti bertemu. Yang terjadi pasti akan terjadi…” desis Hans kepada dirinya sendiri. Dia tersenyum nipis lantas membuang pandang ke luar tingkap menikmati pemandangan indah kota raya Dubai.

BUNYI lonceng angin yang berdenting mengejutkan Marissa dari lenanya. Kelopak matanya terbuka luas sebelum anak matanya melingas ke kiri dan kanan.
“Apa yang aku mimpi tadi tu?” Soal Marissa sendirian. Dia memisat-misatkan mata sebelum dia bangun dan duduk sambil rambutnya yang kusut diselak ke belakang.
“Place your heart in the hands of God, and He will place it in the hands of man who He believes deserves it…” gumam Marissa sendirian. Cuba mengingati kata-kata yang terpapar di dalam mimpinya sebentar tadi.
Marissa tersenyum sendiri namun dahinya berkerut kerana cuba mentafsir makna tersirat melalui mimpi dan kata-kata itu.
“Apalah maksud mimpi tu ya? Tulah kau Rissa, fikir sangat pasal jodoh. Sekali Dia bagi kau kata-kata indah. Entah-entah tu petunjuk yang jodoh aku makin hampir…” ucap Marissa sendirian. Dia ketawa lepas namun cepat-cepat dia menekup mulut. Bimbang tawanya didengari oleh papanya.
“Lebih baik aku tulis sebelum aku lupa…”
Lantas, Marissa bingkas bangun dan menuju ke arah meja kerjanya. Sebuah buku nota yang tertera perkataan JODOH HAK MILIK ALLAH dicapai. Dia membelek halaman kosong lalu kata-kata yang diperoleh dalam mimpinya tadi dilakarkan  di halaman buku nota tersebut.
Buku nota itu bukan buku yang biasa bagi Marissa. Itulah buku yang ditulis dengan sepenuh hati. Setiap luahan isi hatinya ditulis dengan kata-kata yang puitis. Hobinya yang suka membaca mutiara kata berkaitan dengan jodoh membuatkan Marissa menulis buku tersebut. Mungkin bagi orang lain, sikapnya itu pelik tapi bagi Marissa, itulah sikapnya yang asli. Dia percaya akan kuasa jodoh dan dia pasti akan bertemu dengan jodohnya suatu hari nanti.
Setelah menulis kata-kata tersebut, Marissa bangun untuk membersihkan diri. Dia mencapai tuala dan menghilangkan diri di sebalik pintu bilik mandi. Manakala, buku nota yang dibiarkan terbuka, terselak akibat ditiup angin yang menerobos masuk daripada tingkap bilik Marissa yang terbuka sedikit. Bunyi lonceng angin terus berdenting.
Helaian buku nota milik Marissa terus terselak, sebelum terhenti di halaman pertama. Lonceng angin sudah berhenti berbunyi membuatkan suasana menjadi sepi seketika. Kelihatan ada beberapa baris ayat yang tertera di halaman pertama buku milik Marissa.
You’re my serendipity,
I wasn’t looking for you,
I wasn’t expecting you,
But I’m very lucky I met you…


JODOH HAK MILIK ALLAH ( PROLOG 1 & PROLOG 2 )


PROLOG 1
Berkali-kali ku cuba mengerti tentang dirimu,
Tapi selalu saja tak pernah kau sedari,
Renungkanlah,
Begitu besar harapan yang ku bawa,
Ku ingin kau selalu temaniku,
Tiap hariku,
Begitu banyak bintang di langit,
Namun kau tetap pujaan hati,
Kan ku tunggu sampai kau mengerti,
Cinta adalah anugerah,
Rasakan ia dan jaga perasaannya,
Usah kau salahkan takdir,
Bila cinta kita berakhir,
Jika kau sia-siakan kesempatan yang telah kau dapatkan,
Usah kau berharap lagi aku selalu ada untukmu…


PROLOG 2
LAMA mata Marissa membalas pandangan Firman. Wajah temannya itu tampak begitu bersungguh. Cuma Marissa sahaja bagaikan tidak percaya dengan apa yang telah diluahkan oleh Firman sebentar tadi.
“Kenapa awak senyap je ni, Rissa? Awak tak percaya apa yang saya cakapkan ni?” Soal Firma mulai gundah dengan sikap berdiam diri Marissa tika ini.
“Tak percaya dan terkejut. Terkejut sebab awak boleh cakap yang awak sukakan saya. Kita kawan dah lama tau, saya tak pernah nampak pun yang awak macam sukakan saya,” balas Marissa sambil memanah tepat ke anak mata Firman yang hitam pekat.
Firman tersenyum manis. Dia mendekatkan wajah namun Marissa terus menyandarkan tubuhnya ke kerusi agar menjauh daripada Firman.
“Semua kawan-kawan kita perasan yang saya sukakan awak cuma awak tu aje yang tak nampak sikap saya bila dengan awak. Kita berkawan daripada semester satu sampailah sekarang, sedikit sebanyak sikap awak tu buat saya selesa. Kadang-kadang perangai pelik awak tu buat saya terhibur. Saya suka orang yang unik macam awak ni,” jawab Firman jujur.
“Perangai pelik?” Soal Marissa sambil menjongketkan kening.
“Yalah, perangai pelik. Tak perlulah saya sebutkan. Awak tentu lebih kenal diri awak sendiri. Saya tahu ramai lelaki yang sukakan awak, tapi dia orang takut nak dekat dengan awak. Saya tak nak jadi macam tu. Saya tak suka pendam apa yang saya rasa dan apa yang saya rasa sekarang datang dari hati saya sendiri,” ujar Firman dengan bersungguh.
Marissa menghela nafas lalu menghembuskannya dengan perlahan. Dia tersenyum sumbing. Bibirnya diketap. Entah kenapa luahan Firman tidak sampai ke hatinya. Malah, jantungnya seakan tidak memberi reaksi walaupun lelaki itu membicarakan soal hati.
“Awak tahu kan prinsip saya?” Soal Marissa tidak lama kemudian.
Firman hanya menganggukkan kepala.
“Saya nak awak tahu, saya seorang yang sangat berpegang pada prinsip dan takkan ada sesiapa yang dapat lunturkan prinsip saya. Saya akan terima awak kalau awak lulus ujian saya,” ujar Marissa dengan muka yang serius.
Jelas Firman kebingungan.
“Ujian apa, Rissa?” soalnya.
“Awak akan tahu nanti. Sekarang, saya nak awak dengar baik-baik…”
Firman angguk. Dia menumpukan sepenuh perhatian kepada Marissa yang kelihatan memandang ke kiri dan kanan.
“Saya akan panggil waiter tu untuk oder makanan dan saya akan bagitahu dia seorang saja makanan yang saya akan pesan. Lepas saya oder makanan, saya nak awak pun oder sekali. Kalau makanan yang awak pesan sama dengan makanan yang saya pesan, saya akan terima awak,” ucap Marissa dengan senyuman.
“What? Permainan apa yang awak nak buat ni, Rissa?” Soal Firman seakan tidak percaya.
“Awak cakap awak kenal perangai saya kan? Awak suka dengan perangai pelik saya kan? Jadi inilah perangai saya. Kalau awak keberatan, saya tak kisah. Saya boleh balik sekarang,” balas Marissa lalu berura-ura untuk berdiri.
Firman mengetap bibir. Walaupun rancangan Marissa dianggap terlalu pelik, namun demi sebuah perasaan, dia turutkan jua.
“Rissa, nanti dulu! Baiklah. Saya setuju dengan permintaan awak,” balas Firman akhirnya. Dia mengalah.
Marissa tersenyum manis. Lalu, dia menggamit seorang pelayan wanita ke arahnya. Kemudian, senarai menu diletakkan di hadapannya. Dia membelek buku menu tersebut dengan wajah yang tenang. Dia tahu Firman sedang memerhatikannya saat ini. Selepas memilih menu, dia meminta pen dan kertas yang dipegang oleh nelayan tersebut.
“Saya nak minta tolong boleh tak?” Soal Marissa kepada pelayan wanita tersebut.
“Boleh, cik. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” soal gadis itu dengan senyuman ramah menghiasi bibir.
“Awak tolong pegang kertas yang saya dah tulis oder saya ni. Awak jangan baca, biar kawan saya ni pilih makanan dia dulu kemudian baru awak tengok, boleh? Saya nak tengok sama ada makanan dia pilih sama tak dengan makanan yang saya pilih.” Terang Marissa.
Pelayan tersebut melemparkan pandangan pelik namun Marissa tidak endahkan. Ada perkara yang lebih penting untuk dia fikirkan.
“Okey Firman, sekarang awak boleh pilih makanan apa yang awak nak makan.” Arah Marissa.
Firman hanya menurut. Dengan dada yang berdebar-debar, Firman membuat pilihan. Dia menulis nama makanan yang ingin dipesannya di atas kertas lalu diserahkan kepada pelayan tersebut. Marissa hanya memerhati dengan penuh rasa teruja.
“Nak saya bukakan sekarang ke?” Soal pelayan wanita tersebut.
Marissa hanya menganggukkan kepala tanda mengiakan. Kemudian, pelayan wanita tersebut membukakan kertas yang dilipat dua oleh Marissa dan Firman. Dia meletakkan kedua-dua kertas tersebut di atas meja. Firman berdebar. Marissa teruja.
Kedua-duanya menjenguk pada perkataan yang tertera di atas kertas tersebut. Marissa hanya tersenyum sumbing. Sedangkan Firman meraup rambutnya ke belakang. Dia menggigit bibir. Dia menatap wajah Marissa dengan lama.
“Awak pilih Nasi Goreng Pattaya sedangkan saya pilih Char Kue Teow. Nampaknya kita tak ada jodoh,” jawab Marissa dengan wajah yang serius sebaik saja pelayan tersebut diminta beredar.
Firman terkebil-kebil memandang Marissa. Seakan tidak percaya dengan apa yang diucapkan oleh gadis itu.
“Tak ada jodoh? Apa maksud awak? Takkan disebabkan makanan yang saya pilih tak sama dengan awak, bermakna kita tak ada jodoh? Mengarut tahu tak?” ujar Firman seakan tidak berpuas hati dengan Marissa.
“See. Awak pun tak boleh faham dengan prinsip saya. Apa yang saya buat untuk cari keserasian antara kita berdua. Sekarang ni kita tak serasi, Firman. Hati kita tak serasi jadi jodoh tak berpihak kepada kita. Jadi saya tak dapat terima awak,” balas Marissa dengan riak yang serius. Dia memang maksudkan kata-katanya tadi.
“Rissa, awak tak boleh tentukan jodoh dengan cara macam ni. Ini cuma kepercayaan awak.”
“Ya, memang ini kepercayaan saya dan saya akan percaya cara saya ni sampai bila-bila. Saya minta maaf, Firman. Awak gagal dalam ujian ni,” ujar Marissa lalu bingkas berdiri.
“Ujian apa?” Soal Firman pelik. Wajahnya jelas kebingungan.
“Ujian jodoh…” jawab Marissa lalu meninggalkan Firman yang terpinga-pinga.
“Rissa, tunggu dulu!” laung Firman namun Marissa meneruskan langkahnya tanpa menoleh ke arah Firman.
Marissa melangkah keluar dari restoran, sedang dia ingin mengatur langkah menuju ke perhentian bas, tiba-tiba bahunya dilanggar seseorang.
“Maaf…” ucap lelaki tersebut sambil memegang kejap telefon di telinga. Tangan diangkat. Kelihatan lelaki itu tergesa-gesa.
Marissa tidak sempat berkata apa. Hanya bibir saja yang diketap.
“Berjalan tak pandang kiri kanan…” Bebel Marissa.
Lantas, dia kembali memandang ke hadapan. Dahinya berkerut apabila ada titisan gerimis mengenai tepat pada wajahnya. Dia mendongak ke langit. Cuaca yang tadinya cerah kini bertukar mendung.
“Aik… Hujan pula…” ucapnya sendiri. Namun Marissa hanya berdiri di kaki lima itu sambil mendongak ke langit. Nafas ditarik dan dilepaskan dengan perlahan.
“Aku tak tahu kau di mana, aku tak tahu kau siapa, tapi aku yakin kau wujud. Kita pasti bertemu di saat yang tepat dengan cara yang indah…” ucap Marissa sendiri. Satu senyuman nipis terukir di bibirnya.

Sunday, 31 December 2017

RINDU DALAM RAHSIA ( Rindu Dalam Sepi remake ) BAB 14



 BUNYI ketukan di pintu mengganggu Amzar yang sedang larut dalam lamunan. Dia melemparkan pandangan ke muka pintu. Satu dengusan terlepas daripada bibir.
“Nak apa lagilah minah ni?” Sungut Amzar sendirian. Dia melepaskan keluhan berat.
“Masuk!” laung Amzar kuat. Dia membetulkan duduk sambil menunggu kehadiran Marha.
Tidak lama kemudian, pintu bilik tidurnya terkuak. Muncul Marha yang melangkah dengan tenang menghampiri Amzar.
“Hah, kau nak apa? Nak boleh tengok aku senang sikit ke?” Soal Amzar tanpa berlengah. Dia memerhati Marha yang berdiri di sisi katil. Terdapat sebotol minyak berada dalam genggaman tangan gadis itu.
“Mama pesan sebelum tidur, tangan tuan tu kena urut dulu. Barulah cepat sembuh.” Terang Marha dengan senyuman nipis terukir di bibir.
Amzar mencebikkan bibir. Dia menjeling.
“Aku tak nak!” Balas Amzar pantas dan tegas.
Marha melepaskan nafas pendek. Dia cuba menghimpun kesabaran untuk berhadapan dengan Amzar. Kebencian lelaki itu terhadapnya setinggi gunung, mana mungkin dapat terhakis dalam masa yang singkat.
“Baiklah kalau tuan tak nak, saya tak paksa. Tapi kalau tangan tuan tu lambat sembuh, jangan salahkan saya pulak. Makin lambat tangan tuan sembuh, lagi lamalah tuan terpaksa menghadap muka saya yang tak cantik ni. Jadi tuan jangan menyesal.” Ugut Marha. Dia berura-ura untuk melangkah keluar dari bilik Amzar.
Amzar mengetap bibir. Dia memandang tangannya yang berbalut dengan kain anduh sebelum pandangannya dilemparkan ke figura Marha yang sudah membelakanginya. Dia menghembus nafas pendek.
“Aku bagi lima belas minit aje untuk kau urut. Lepas tu kau boleh berambus dari bilik aku.” Amzar bersuara.
Langkah kaki Marha terhenti. Dia tersenyum sendirian. Dasar lelaki ego! Dia ingat aku hadap sangat nak berdua-duaan dalam bilik ni dengan dia. Boleh jalanlah! Omel hati Marha. Lantas, dia berpaling.
“Hah, macam tulah. Saya tahu tuan dah muak tengok muka saya ni. Jadi saya akan cari jalan supaya tuan cepat sembuh.” Ujar Marha lalu duduk di birai katil bertentangan dengan Amzar.
Amzar tidak membalas. Dia hanya membatukan diri. Namun, saat Marha menyentuh tangannya, dia mengaduh kesakitan.
“Sakitlah! Tak boleh berlembut sikit ke? Kau ingat tangan aku ni kayu?” bentak Amzar tidak puas hati. Berkerut dahinya menahan rasa sakit.
“Maaf, maaf. Saya tak sengaja.” Ucap Marha sambil menggigit bibir. Sakit sikit je, itu pun nak kecoh. Kalau ikutkan aku, nak aje aku patah-patahkan tangan kau ni. Omel Marha dalam hati.
Amzar menjeling. Dia terpaksa menahan rasa nyilu setiap kali tangan halus milik Marha mengurut lembut lengannya. Sesekali dia mengerling wajah Marha yang kelihatan tenang. Tanpa sedar bola matanya mula merayap meneliti setiap anggota wajah Marha. Bermula dari kening gadis itu yang lebat, kemudian anak matanya beralih ke sepasang mata bundar milik Marha yang kelihatan bersinar. Nampak cantik dengan bulu mata yang melentik. Percaya atau tidak, rasa nyilu hilang begitu saja saat dia menatap keindahan wajah isterinya.
Anak mata Amzar mula turun memandang pipi dan hidung Marha sebelum turun ke bibir Marha yang merah basah. Lama pandangannya berlabuh di situ menjemput debaran halus di dalam dada. Inilah kali pertama dia menatap wajah Marha secara dekat dan lama. Dia meneguk liur. Ada rasa aneh mula mengalir di setiap urat sarafnya. Amzar cuba mematikan rasa itu namun pandangannya langsung tidak dapat dialihkan. Hatinya mula bergetar. Apa dah jadi dengan aku ni? Hati Amzar menjerit.
“Rasanya cukuplah untuk hari ni…” Marha bersuara seraya mengangkat pandangan.
Zapppp!
Pandangan mereka bertemu. Marha terkelu. Amzar terkedu. Hanya mata mereka saja yang bertentangan. Seminit. Dua minit. Tiga minit berlalu begitu saja. Namun, keduanya seakan tenggelam dalam dunia mereka sendiri.
Akhirnya, bunyi deringan telefon bimbit milik Amzar mematikan khayalan mereka berdua. Amzar tersentak. Sepantas kilat dia melarikan pandangan dengan  dada yang bergetar hebat.
Begitu juga dengan Marha. Dia menghembuskan nafas dengan perlahan. Cuba mengusir rasa gemuruh yang tiba-tiba hadir. Entah bagaimana dia bagaikan terpaku dengan renungan Amzar yang tajam. Tapi kenapa dia pandang aku macam tu? Soal hati Marha. Lantas, dia mengerling Amzar yang meraba-raba tilam untuk mencari telefon bimbitnya.
“Apa lagi yang kau tunggu? Berambuslah!” Ujar Amzar dengan suara yang tersekat-sekat.
Dia mencapai objek keras yang terdapat di atas tilamnya lalu dilekapkan ke telinga. Anak matanya diliarkan ke kanan dan kiri.
“Tuan…” Panggil Marha perlahan.
Amzar menahan wajah bengis. Padahal dalam hati sudah bergendang sesama sendiri apabila mendengar suara Marha yang gemeresik.
“Apa? Kau tak nampak aku tengah bercakap dengan phone ni?” Amzar berpura-pura marah.
Marha menundukkan wajah seketika. Dia menahan rasa yang membuak di dada. Dia menarik nafas panjang sebelum menghembuskannya dengan perlahan.
“Tuan, benda yang tuan pegang tu bukan phone tapi minyak gamat. Tuan bagi minyak tu kat saya, baru saya keluar dari bilik tuan.” Terang Marha. Sedaya-upaya dia cuba menahan rasa geli hati apabila melihat Amzar melekapkan botol minyak gamat ke telinga seolah-olah dia sedang memegang telefon bimbit.
Amzar tersentak. Pantas, dia melihat benda yang berada dalam genggaman. Matanya terbuntang.
“Arghh!” Dia menjerit. Spontan dia mencampakkan botol minyak gamat ke lantai. Terasa berbahang wajahnya saat ini. Malunya!
Tawa Marha terburai jua melihat reaksi wajah Amzar yang ketakutan seperti melihat hantu. Pantas, dia mencapai minyak gamat tersebut dan beredar dari bilik Amzar dengan sisa tawa yang masih kedengaran.
Amzar meraup wajahnya dengan tangan kiri. Malunya hanya Allah yang tahu. Lalu, Amzar merebahkan tubuhnya di tilam. Selimut ditarik menutupi seluruh tubuhnya tetapi rasa malu masih tidak mahu berlalu dari dirinya mengenangkan apa yang berlaku. Telefon bimbitnya yang berbunyi nyaring lansung tidak diendahkan.
“Argghhh!” Jerit Amzar dari dalam selimut.


P/S: MAAF, ENTRY RDR AKAN DIHENTIKAN BUAT SEMENTARA WAKTU, YA. INSYA-ALLAH SK AKAN SAMBUNG SEMULA NANTI. TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA. ;-)