Tetamu Rindu

Sunday, 22 April 2018

JODOH HAK MILIK ALLAH ( BAB 5 )


HANS duduk bersantai di bawah pondok yang telah dihias cantik. Angin pantai yang bertiup menambahkan rasa nyaman dalam dirinya. Dia masih lagi ralit membelek gambar-gambar yang diambil sepanjang dia berada di Jumeirah Palm Beach.
“Ehem…” satu gemerisik suara berdeham menarik perhatian Hans untuk mendongak.
Dia menahan diri daripada senyum. Namun, saat anak mata mereka berlaga, Hans mengalah. Dia mengalihkan pandangan ke tempat lain.
“Assalamualaikum. Dah lupa ke cara nak bagi salam?” Tempelak Hans dengan nada yang cukup bersahaja.
Marissa mengetap bibir. Terasa panas cuping telinganya dengan teguran Hans. Namun, teguran itu ada benarnya juga.
“Waalaikummusalam. Saya bukan suka-suka pun nak datang dekat awak ni…”
“Bukan suka-suka? Tapi awak datang juga kan? Saya tak kejar awak. Awak yang datang sendiri,” balas Hans terus-terusan mengusik. Melihat wajah Marissa yang merona merah menahan marah sudah cukup membuatkan hatinya terhibur.
“Ya, kali ni saya datang sendiri. Sejak dua hari lepas asyik terserempak aje dengan awak. Awak bagi hadiah t-shirt lagi untuk saya. Saya rasa awak ni tak adalah jahat sangat. Cuma suka menyakitkan hati aje…” ujar Marissa. Ayat terakhirnya itu diperlahankan.
“Syukurlah kalau awak sedar hakikat yang saya ni baik.” Balas Hans kemudian ketawa kecil.
Marissa menjeling namun tidak lama kemudian dia tersenyum nipis.
“Saya ni bukannya apa. Malas nak cari gaduh dengan awak. Kita ni dahlah ada dekat negara orang, awak pula dari Malaysia. Sebangsa pula tu. So, tak manislah saya berkasar dengan awak. Lagipun saya dah lama tinggal kat sini, jadi awak tu dikira sebagai tetamulah.” Jawab Marissa berterus-terang. Setelah ditimbang segala baik dan buruk, dia merasakan tidak salah kalau dia cuba berkenalan dengan lelaki itu. Mungkin dapat membantu lelaki itu sementara dia melancong di Dubai.
“Tak sangka cepat betul awak insaf. Tapi tak apa, saya suka…”
“Awak suka apa?” Soal Marissa pelik.
“Suka awak.” Jawab Hans spontan.
“Hah??” Marissa terkebil-kebil dengan hati yang mula bergetar halus.
“Saya bergurau ajelah. Tak payahlah serius sangat.” Balas Hans.
Marissa mencebikkan bibir.
“Apa yang saya boleh tolong awak?” soal Marissa tidak lama kemudian.
“Banyak yang awak boleh tolong saya. Tapi sebelum tu, nama awak apa? Saya nak panggil apa?” soal Hans sedikit teruja.
“Marissa Anuar. Panggil saya Rissa. Awak?” soal Marissa kembali.
“Hans. Hans Yusuf.” Jawab Hans kemudian mereka bertukar senyuman.
“Jadi apa yang saya boleh bantu awak?”
“Jadi tour guide saya, boleh?”

“BETUL ke kita nak pusing-pusing padang pasir ni?” Soal Hans sewaktu mereka berdua berada di dalam kereta pancuan empat roda di tengah padang pasir yang tidak berpenghujung.
“Betullah. Rugi kalau awak datang ke Dubai tapi tak explore padang pasir ni. Nanti driver ni akan bawa kita ke kem. Kat sana kita boleh naik unta. Seronok. Tapi untuk pertama kali, mungkin awak akan rasa pening sebab jalan dekat padang pasir ni terumbang-ambing sikit.” Terang Marissa.
Hans hanya menganggukkan kepala. Dia menarik nafas panjang dan menghembuskannya dengan perlahan. Timbul rasa teruja dalam hatinya untuk merasai pengalaman baru.
“Okay, sir. Lets go.” Ujar Marissa memberi isyarat pada pemandu pancuan empat roda tersebut.
Lelaki berbangsa Arab itu hanya menganggukkan kepala. Dia memulakan perjalanan. Pada awalnya, perjalanan seperti biasa. Namun, saat pemandu tersebut mula menambah kelajuan, Hans terasa ingin menjerit namun dia menahan. Tangannya kejap memegang pemegang yang berada di sudut atas tingkap kereta.
“Seronok kan?” Soal Marissa. Dia berpaling ke arah Hans. Serentak, Hans turut berpaling. Mata mereka bertentangan untuk seketika. Hans tersenyum. Marissa pun.
“Seronok. Memang mencabar. Lebih mencabar lagi kalau kita sendiri yang drive.” Balas Hans lantas anak matanya dihalakan ke luar tingkap. Menyaksikan padang pasir yang terbentang luas.
Marissa ketawa kecil. Dia cuba bertahan dengan memegang kemas pemegang kereta. Sesekali dia menjerit kecil apabila kereta yang membawa mereka seolah-olah ingin terbalik.
“Awak okey?” Soal Hans sedikit risau. Dia menoleh ke arah Marissa dengan riak kerisauan tergambar jelas di wajahnya.
“Saya okey aje. Sebab itulah kita tak boleh drive sendiri kalau tak ada pengalaman. Boleh terbalik kereta ni nanti,” balas Marissa dengan senyuman.
Hans hanya menganggukkan kepala. Akur dengan kata-kata Marissa.

USAI solat Isyak, Marissa duduk bermalas-malasan di atas katil. Buku nota dan pen dicapai. Tiba-tiba dia rasa seperti ingin menulis. Halaman kosong dipilih.
“Aku nak tulis apa erk?” Soalnya sendirian. Hujung pen diketuk ke dagunya. Seolah-olah seperti dia sedang memikirkan sesuatu. Namun, lain yang difikir lain yang menerpa ke ruang fikiran.
Wajah Hans kini memenuhi ruang fikiran Marissa. Marissa tersenyum kecil apabila terkenangkan memori yang telah dilalui antara dia dan Hans.
“Hans Yusuf… Hensem juga dia tu. Muka ala-ala Aaron Aziz. Tapi sekali datang perangai annoying dia tu, memang tak boleh nak tolonglah.” Getus Marissa.
Dia bingkas bangun dan duduk bersila di tengah katil. Rambutnya yang panjang dikuakkan ke belakang.
“Tapi… Dia tu macam tak match aje dengan aku. Selalunya orang kata, kalau selalu terjumpa kebetulan, tulah yang tiada jodoh. Agaknya memang dia bukan jodoh aku…” tambah Marissa lagi. Wajahnya berubah sayu. Dia memeluk lutut sambila anak matanya fokus pada halaman buku nota yang kosong.
“Jodoh? Kebetulan?” soalnya perlahan. Lalu, pen dicapai kembali. Dia mula melakar kata.
Do you think the universe fights for souls to be together? Some things are too strange and strong to be coincidences.
Setelah kata-kata itu ditulis, Marissa menutup buku.  Dia mengeluh berat. Akankah wujud pertemuan lagi di antara dia dan Hans? Marissa sendiri tiada jawapan.


JODOH HAK MILIK ALLAH ( BAB 4 )


SUASANA di Jumeirah Palm Beach kelihatan tenang. Hari ini tidak ramai pengunjung yang datang. Hanya beberapa orang pelancong asing yang sedang berjemur di tepi pantai. Hans hanya berjalan di pesisir pantai Jumeirah yang putih bersih. Air laut yang berwarna hijau kebiruan memberi ketenangan kepada Hans saat ini.
Hans mengarahkan lensa kameranya ke arah laut. Angin yang bertiup bersama desiran ombak yang memukul pantai cukup memberi rasa damai dalam diri Hans. Hilang semua segala masalah yang membebani fikirannya sejak dua menjak ini sebaik saja dia kakinya menyentuh pasir pantai Jumeirah.
Jumeirah Palm Beach merupakan salah satu tarikan utama kepada sesiapa sahaja yang datang melancong ke Dubai. Selain pantainya yang bersih dan air lautnya yang memukau pandangan, Jumeirah Palm Beach ini merupakan pantai terkecil daripada tiga Palm Islands iaitu Palm Jumeirah, Palm Jebel Ali dan Palm Deira. Jika dilihat dari pandangan udara, Palm Islands ini berbentuk pohon pokok palma yang mempunyai batang, sebuah mahkota dengan tujuh belas dauh dan sebuah pulau berbentuk sabit yang mengelilinginya. Palm Islands ini bukan saja menjadi pusat tarikan pelancong namun tempat tersohor ini tersenarai dalam Keajaiban Dunia yang ke lapan.
Hans terus melangkah menyelusuri pantai sambil tangannya cekap mengambil gambar-gambar yang dirasakan menarik. Hans mengarahkan lensa kameranya ke arah sepohon pokok palma yang ditanam di tepi pantai. Terdapat sebuah bangku yang sengaja diletakkan di bawah pohon tersebut. Baru saja Hans ingin mengambil gambar, tiba-tiba bangku tersebut diduduki oleh seorang gadis berbaju pink dan berskirt labuh berwarna putih.
Dahi Hans berkerut namun bibirnya tetap mengukir senyuman.
“Hah, kalau dah macam ni, bukan kebetulan lagi dah. Ni jodoh namanya…” omel Hans lalu mengarahkan langkahnya ke arah gadis Melayu yang ditemuinya semalam.
Marissa yang terasa dirinya dipandang, terus mendongak. Hampir saja matanya terjengil keluar apabila melihat Hans yang melangkah menuju ke arahnya. Dia menggaru dahinya yang tidak gatal.
“Sah, mamat ni nak cari pasal dengan aku. Takkanlah kebetulan sampai macam ni sekali? Mana-mana aku pergi mesti ada aje dia. Tak suka betul aku! Huh!” rungut Marissa lalu bingkas bangun ingin meninggalkan tempat itu. Dia tidak mahu bersemuka dengan Hans.
“Cik, tunggu dulu!” laung Hans lantas mengejar Marissa yang cuba mengelak dari bertemu dengannya.
“Cik Baju Pink, tunggu kejap! Kalau cik betul-betul orang Malaysia, Melayu dan Islam, cik tunggu saya kejap!” Hans bersuara lagi. Dia terpaksa meninggikan suara kerana jarak Marissa dan dia agak jauh.
Langkah Marissa terbejat. Dia melepaskan nafas pendek dan berpaling ke belakang. Dia menjeling sedangkan Hans meleretkan senyuman.
“Awak nak apa lagi ni? Tak cukup lagi ke nak tunjuk biadap awak tu dengan saya? Lain kali tolong simpan sikit biadap awak tu untuk diri sendiri jangan tunjuk pada orang lain. Menjengkelkan, tahu tak?” bebel Marissa dengan laju. Dia menyilangkan tangannya ke tubuh.
Hans menahan tawa. Wajah Marissa yang menahan marah mencuit hatinya.
“Hmmm… Cik ni mesti dah lama tinggalkan Malaysia kan? Dah lupa rukun negara? Kesopanan dan kesusilaan tu mesti dipraktikkan tak kira di Malaysia atau di negara mana pun. Kalau cik terlupa saya boleh ingatkan lagi empat rukun negara tu, nak?” Gurau Hans sambil melangkah menghampiri Marissa yang masam mencuka.
“Kalau awak panggil saya setakat nak buang masa saya, lebih baik tak payah! Saya tak kenal awak, jadi jangan kacau saya!” bentak Marissa berura-ura untuk melangkah pergi.
“Amboi, garangnya cik ni. Saya bergurau aje. Saya panggil awak ni bukan nak cari gaduh. Saya cuma nak minta maaf sebab saya dah sakitkan hati awak semalam. Semalaman saya tak dapat tidur fikirkan cik. Jadi, sebagai tanda ucapan maaf saya, saya hadiahkan t-shirt semalam ni untuk cik…” Ucap Hans lalu mengambil bungkusan plastik yang disimpan di dalam beg galasnya.
Marissa melongo. Terkebil-kebil dia memandang Hans yang menghulurkan bungkusan yang berisi kemeja T dengan senyuman yang tidak lekang daripada bibirnya.
“Errr… Tak payah. Saya tak nak…”
“Tak sudi ke? Nampak sangat cik ni dah berpuluh tahun tak duduk Malaysia kan? Sebab orang Malaysia….”
Belum sempat Hans menghabiskan leterannya, Marissa terlebih dahulu merampas bungkusan dari tangan Hans. Satu pandangan tajam dilemparkan kepada Hans yang hanya tersengih bak kerang busuk. Rasa ingin ditampar saja wajah itu.
“Saya dah ambil ni. Puas hati?” tekan Marissa lalu berpaling meninggalkan Hans.

“HAH, awak ikut saya ni kenapa?” Soal Marissa sebaik saja dia menoleh ke belakang.
Kelihatan Hans berpura-pura mengambil gambar kawasan sekitar. Melotot anak mata Marissa memandang Hans. Dia berdiri sambil mencekak pinggang.
“Mana ada saya ikut awak. Saya cuma tak jumpa cari jalan…” Jawab Hans selamba. Dia mengulum senyum. Wajah Marissa yang cemberut ditenung lama.
“Cari jalan? Jalan apa? Bukan main besar jalan kat sini, itu pun awak tak jumpa?” Soal Marissa pelik. Keningnya bercantum.
“Saya tengah cari jalan ke hati awak. Boleh tak awak tunjukkan?” Soal Hans kemudian dia ketawa dengan kata-katanya sendiri.
“Gila!” terpacul perkataan tersebut dari celah bibir Marissa. Dia berpaling semula untuk meninggalkan Hans namun tanpa sedar bibirnya mengukir senyuman apabila teringatkan kata-kata Hans.
“Cik tunggulah dulu. Cik tak ucap terima kasih pun lagi untuk baju tu!” laung Hans apabila Marissa mula menjarakkan diri.
Marissa hanya melambaikan tangannya ke belakang tanda dia malas melayan kerenah Hans yang cukup menjengkelkan. Inilah kali pertama dia berjumpa dengan lelaki yang berperangai seperti Hans.
“Mamat ni nak apa lagi agaknya? Aku tak nak t-shirt ni dia membebel, aku terima t-shirt ni dia merungut. Spesis apalah mamat ni? Setahu aku, kaum lelaki ni tak banyak cakap, tapi mamat ni macam tak nak berhenti bercakap. Keturunan apa agaknya?” omel Marissa sendirian.
Dia menoleh semula ke belakang. Kosong. Kelibat Hans tidak kelihatan dia hadapannya. Marissa mengerutkan dahinya.
“Aik, dah hilang? Baguslah. Aman hidup aku.” Ujar Marissa.
Namun, bibir dan hati tidak sekata. Anak matanya melingas mencari kelibat Hans yang menghilang secara tiba-tiba. Tidak lama kemudian, retina matanya terhenti di pinggir pantai. Kelihatan Hans sedang memimpin tangan seorang lelaki Arab yang bertongkat menuju ke bangku. Mungkin pemuda itu menghalang lelaki tua daripada berjalan menuju ke laut.
Tercuit rasa aneh dalam diri Marissa apabila melihat keprihatinan lelaki itu dalam menolong orang lain meski pun orang tersebut berbeza bangsa dan negara. Tanpa sedar bibir Marissa mengukir senyum.
“Tak sangka, baik juga hati dia. Ingatkan tahu buat orang rasa menyampah aje,” ucap Marissa sendirian.
Dia terus memerhati tingkah lelaki yang berbadan sasa itu. Terdetik rasa tenang di hatinya.


JODOH HAK MILIK ALLAH ( BAB 3 )


HANS duduk bersendirian di Dubai Miracle Garden sambil tangannya tidak jemu-jemu menangkap gambar kecantikan dan keunikan taman bunga yang terbesar di dunia ini. Setiap susun atur bunga-bunga segar di dalam taman ini cukup mengkagumkan. Sebaik saja menjejakkan kaki ke taman ini, pasti terasa seperti berada di syurga. Warna- warni, bau yang cukup mengharumkan, rasa segar dan mata pasti akan terpukau dengan susun letak bunga-bunga yang terdapat dalam taman ini. Tidak hairanlah jika taman ini telah tersenarai dalam Guinness World Record kerana susunan bunga-bungaan yang terbesar dan taman bunga terbesar yang telah memuatkan sebanyak 109 milion pokok bunga!
Hans memejamkan matanya sejenak. Ingin menikmati kesegaran bunga-bungaan yang terdapat dalam taman ini. Serentak, seraut wajah lembut menerpa ruang fikiran membuatkan mata Hans terbuka dengan sendirinya. Anak matanya melingas ke kiri dan kanan. Pipinya ditepuk dengan perlahan.
“Apa kena dengan aku ni? Tak pernah-pernah aku teringatkan muka perempuan, kenapa muka perempuan tu pula yang aku ingat?” bebel Hans sendirian.
“Cepat bagi tahu saya, siapa awak yang sebenarnya? Atau awak ni stalker? Tak pun awak ni spy papa saya?”
Kata-kata gadis itu terngiang-ngiang di telinga. Tanpa sedar, Hans ketawa sendirian. Namun tidak lama kemudian, dia menekup mulut.
“Kalau orang nampak aku gelak sorang-sorang, sah dia orang ingat aku tak betul. Semua ni minah tu punya pasal. Ada ke dia cakap muka aku yang hensem ni stalker? Tak patut betul.” Omel Hans lagi sambil menggelengkan kepala.
Lalu, dia mencapai kameranya yang diletakkan di sisi. Gambar-gambar yang telah diambil, dibelek sekali lagi. Namun, jari-jemarinya terhenti apabila terpapar gambar gadis itu yang ditangkap secara curi.
Hans mengamati gambar wajah itu dengan lama. Wajah gadis itu yang ayu menarik perhatiannya tanpa sedar.
“Indah… Sungguh indah ciptaan Allah…” desisnya perlahan.
Tiba-tiba dia terasa seperti ada titisan air yang lembut mengenai pipinya, pantas Hans mendongak ke langit. Ternyata ada gerimis yang menyapa walhal cuaca saat ini cerah.
“Aik, hujan lagi?” Soal Hans sendirian. Kemudian, dia memandang ke hadapan dan…
Dup! Jantung berdegup sebaik saja anak mata menangkap kelibat seseorang yang sedang duduk di bangku tidak jauh dari tempatnya berada. Hans hanya memerhati gelagat gadis itu tanpa ada niat untuk menegur. Sementelah gadis itu langsung tidak menyedari akan kehadirannya mungkin juga gadis itu sedang khusyuk menulis sesuatu pada buku nota yang dibawanya.
Hans hanya tersenyum nipis. Hatinya terasa lain. Lantas, dia melekapkan telapak tangan di dada kiri. Entah mengapa dia merasakan hatinya tidak keruan malah perasaannya terasa hangat. Petanda apakah ini?

MARISSA merenung air di kolam yang kelihatan tenang. Namun, bayang peristiwa tengah hari tadi terlayar di ruang fikiran. Dia menggenggam kedua belah tangannya dengan kejap.
“Prinsip saya, kalau benda pertama yang saya lihat dan saya berkenan, saya takkan lepaskan dengan mudah walaupun awak menggelupur dekat sini!”
Kata-kata yang menjengkelkan itu kembali terngiang di telinga Marissa. Dia mendengus geram.
“Mamat gila. Psiko! Dekat mana aku pergi mesti dia ada. Kau bukan stalker, bukan spy papa. Jadi apa maksudnya tu? Jodoh? Oh, tidak! Tak. Tak. Tu bukan jodoh!” ucap Marissa sendirian. Dia menggeleng kepala dengan pantas. Dia mundar mandir di tepi kolam mandi. Memikirkan kebetulan demi kebetulan yang terjadi di antara dia dan lelaki yang tidak diketahui namanya itu.
“Tak naklah aku jodoh macam tu. Dahlah berlagak. Annoying. Kurang ajar. Kurang adab. Haih, memang serba serbi kuranglah. Memang taklah dapat jodoh macam tu.” Bebel Marissa bagi meluahkan rasa hatinya yang terpendam. Dia memicit dahi.
Dia menjeling ke arah buku notanya yang selalu dibawa ke mana saja dia pergi. Dia tersenyum kecil lalu mencapai buku nota tersebut. Halaman demi halaman dibelek sebelum dia beralih kembali ke halaman pertama.
“You’re my serendipity, I wasn’t looking for you, I wasn’t expecting you, but I’m very lucky I met you…” Marissa membaca kembali ayat yang tercatat di bukunya itu.
“Bilalah nak jumpa jodoh macam ni? Serendipity… Tapi tak mustahil kan?” Soal Marissa kepada dirinya sendiri.
Dia membelek ke halaman seterusnya. Ayat yang baru ditulis tengah hari tadi dibaca sekali lagi.
“Kebetulan akan menemukan jodoh dan jodoh adalah kebetulan yang indah?” Ucap Marissa membaca tulisannya sendiri.
Namun, dahinya berkerut apabila terdapat sebaris ayat tertulis selang tiga baris daripada ayat yang di atas.
“Kebetulan itu juga takdir. Takdir yang tidak dijangka oleh manusia tetapi telah diatur dengan sebaiknya oleh Pencipta.” Marissa terkaku seketika. Dahinya bertindih-tindan. Kata-kata itu seolah-olah cuba menjawab soalan pada ayatnya sebelum ini. Tetapi menjadi persoalan, adakah dia yang menulis kata-kata tersebut?
“Aku ke yang tulis ni? Tapi bila? Kenapa tulisan ni tak sama dengan tulisan aku pun?” Soal Marissa sendirian. Dia mengetuk dagu. Lama dia meneliti tulisan tersebut namun dia tidak punya jawapan. Setahu Marissa, tiada sesiapa yang menyentuh bukunya itu tetapi bagaimana kata-kata itu boleh tertulis di dalam bukunya?
“Mungkin aku tak perasan bila aku tulis kut. Lantaklah…”
“Rissa… Buat apa tu?” Sapa Dato Seri Anuar dari arah belakang mengejutkan Marissa. Dia berpaling dan tersengih. Persoalan tentang kata-kata itu lenyap ditelan angin lalu.
“Tak buat apa pun, papa. Ambil angin kat luar ni. Papa baru balik ke?” Soal Marissa berbasa-basi.
Dato Seri Anuar tersenyum lalu menganggukkan kepala. Briefcase miliknya diletakkan di atas bangku panjang buat seketika. Wajah si anak dipandang lama.
“Dari mana aje tadi?” Soalnya sekadar ingin tahu.
“Tak ke mana pun, papa. Burj Khalifa, naik train, pusing Dubai. Bosanlah tak ada teman. Bila papa nak ada masa untuk….”
“Hurmm… Papa nak naik rehat. Penat.” Potong Dato Seri Anuar tanpa sempat Marissa menghabiskan kata.
Marissa mengeluh hampa. Dia menggigit bibir menahan rasa dengan sikap dingin yang ditunjukkan oleh Dato Seri Anuar. Dia sendiri tidak tahu apa salahnya sehingga Dato Seri Anuar bersikap seperti itu.
“Tu aje yang papa nak tanya Rissa? Kenapa papa tak nak luangkan masa untuk Rissa? Kalau Rissa tahu papa sibuk sangat sampaikan tak ada masa untuk Rissa, lebih baik Rissa duduk aje dekat Malaysia tu. Dekat sana Rissa ada kawan. Ada nenek yang selalu ada untuk Rissa. Dekat sini Rissa ada papa tapi papa buat macam Rissa ni tak wujud. Apa masalah papa sebenarnya?” Soal Marissa meluahkan isi hatinya yang sudah lama dipendamkan.
“Papa busy Rissa. Cubalah faham papa.” Jawab Dato Seri Anuar lalu melarikan pandangan ke tempat lain. Melihat wajah Marissa yang saling tidak tumpah dengan wajah arwah isterinya menambahkan rasa galau dalam diri Dato Seri Anuar.
“Busy? Papa boleh keluar main golf dengan kawan-kawan papa, itu papa kata busy?” Soal Marissa tidak berpuas hati. Dia berdiri sambil menentang wajah Dato Seri Anuar yang kelihatan serba salah.
“Itu urusan kerja papa. Kawan-kawan papa datang dari Malaysia. Rissa kena faham, papa ni pegawai kedutaan dekat sini. Papa kena layan tetamu dari jauh dengan baik…”
“Papa layan tetamu dari jauh dengan baik sampaikan papa lupa anak papa yang ada depan mata papa ni. Rissa tak minta semua masa papa, Rissa cuma nak papa luangkan sedikit masa papa tu untuk Rissa. Seminit pun tak apa, papa. Rissa rindu papa yang dulu. Papa yang selalu ada untuk Rissa. Yang tak pernah jemu dengar cerita-cerita Rissa. Tak boleh ke papa tunaikan permintaan Rissa tu?” Soal Marissa dengan mata yang berkaca. Dia menahan rasa sebak yang mula menghurung dada. Sebolehnya dia tidak mahu air matanya tumpah di hadapan Dato Seri Anuar.
“Kita hidup untuk masa depan Rissa bukan masa lalu…”
“Kalau masa lalu itu lebih membahagiakan, Rissa sanggup untuk hidup dalam masa lalu tu selamanya. Masa itu Rissa ada mama dan papa yang selalu ada untuk Rissa. Tapi sekarang, memang mama dah tak ada. Rissa reda dengan ketentuan tu tapi Rissa minta dari papa, jangan biar Rissa rasa Rissa turut kehilangan papa…” pintas Marissa pantas.
“Rissa!” terjerit kecil Dato Seri Anuar mendengar kata-kata Marissa yang agak berbisa. Namun, dalam hati Dato Seri Anuar mengiakan kata-kata anak gadis itu cuma ego seorang lelaki menidakkan kebenaran itu.
Marissa tersenyum sinis. Tanpa bertangguh, dia berlari-lari anak menuju ke tingkat atas. Meninggalkan Dato Seri Anuar yang masih lagi terkelu untuk membalas kata-kata Marissa.
Satu keluhan terbit dari celah bibir Dato Seri Anuar.
“Maafkan papa, Rissa. Papa tak bermaksud untuk abaikan Rissa. Papa cuma…” kata-kata Dato Seri Anuar terhenti di situ. Dia menundukkan kepala. Tergambar seribu kekesalan di raut wajahnya.